
Pendahuluan
Pada tahun 1970-an, pelbagai golongan masyarakat Islam, para cendiakawan dan
NGO di negara ini telah mengemukakan resolusi dan desakan agar sebuah maktab
khas bagi melatih guru Pendidikan Islam ditubuhkan. Berikutnya pada bulan
Februari 1977 sebuah unit Pendidikan Islam telah ditubuhkan di Maktab Perguruan
Ilmu Khas sebagai titik tolak sebelum sebuah maktab tersendiri didirikan.
Kemudian unit ini dipindahkan bagi menjalankan pengajaran dan pembelajaran pada
sesi petang di Bangunan Institut Bahasa, Lembah Pantai, Kuala lumpur. Pada
bulan November 1977, Unit ini telah meningkat dan ditempatkan di bangunan
sementaranya di bangunan bekas Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan
Malaysia di Seksyen 14, Petaling Jaya.
Pada bulan April 1983, Universiti Islam Antarabangsa yang baru ditubuhkan pada
tahun itu telah mengambil alih bangunan tersebut dan operasi MPI dipindahkan
pula ke bangunan menara dan beberapa buah bangunan kayu tinggalan Universiti
Kebangsaan Malaysia di Lembah Pantai, Kuala Lumpur. Pada 14 Julai 1990 barulah
MPI menduduki kampus tetap di Seksyen 12, Jalan Sungai Merab. Kampus ini
terletak berhampiran Bandar Baru Bangi. Kampus ini yang mula dibina dalam
Rancangan Malaysia Ke-5 meliputi kawasan seluas 40 hektar menggunakan rekabentuk
berunsur Islam, lengkap dengan kemudahan sebagai pusat latihan guru. Maktab
Perguruan Islam telah dirasmikan oleh D.Y.M.M. Sultan Selangor pada 30 Oktober
1992.
Mengangkat dan memartabatkan guru Pendidikan Islam dan Bahasa Arab adalah misi
utama MPI sebagai Pusat Latihan Guru Pendidikan Islam dan Bahasa Arab. Oleh itu
guru pelatih yang menerima latihan adalah terdiri daripada KDPM, KPLI dan juga
melatih KDP, KSPK, PKPG dan Pra PKPG.
Untuk kecermerlangan pentadbiran dan latihan keguruan MPI bersama 26 buah
maktab yang lain di seluruh Malaysia telah berusaha untuk memperolehi
pensijilan MS ISO 9002. Pada 8 Ogos 2002 MPI telah menerima penganugerahan
Sijil MS ISO 9002 bersama maktab-maktab lain. MPI yang telah dikenali sebagai
Institut Perguruan Islam Selangor akan terus berusaha bagi meningkatkan sistem
pengurusan kualiti berasaskan MS ISO 9001:2000.
IPG Kampus Pendidikan Islam
Dengan lulusnya akta AUKU yang baru oleh Parlimen Malaysia maka semua Institut Perguruan Guru telah dijadikan kampus cawangan kepada Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) yang bertaraf universiti yang dipertanggungjawabkan untuk melahirkan guru siswazah sekolah rendah. Melalui pengauditan MQA semua IPGM telah diberi pengiktirafan untuk menganugerahkan Ijazah Sarjana Muda melalui Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (Rendah) - PISMP.
Selaras dengan itu Institut Perguruan Islam, Selangor (IPIS) telah mendapat nama baru sebagai IPG Kampus Pendidikan Islam. Nama Islam dikekalkan selaras dengan sejarahnya yang terulung dan terunggul dalam melahirkan guru Pendidikan Islam selama ini. Dinamik dalam alam pendidikan memerlukan guru sekolah rendah yang bersifat generalistik dan dengan itu pelbagai bidang disiplin perlu dikuasai oleh seorang guru yang hendak dilahirkan oleh IPG.