Amalan pemakanan tidak sihat


Para penceramah menjawab soalan-soalan daripada ibu bapa yang hadi pada Seminar Pemakanan Anak Pengasuhan Positif 2009 di Hotel Royale Bintang, Damansara, baru-baru ini.


KEBULURAN atau kekurangan makanan sememangnya tidak menjadi isu lagi selepas lebih 50 tahun negara ini mencapai kemerdekaan.

Terbukti Malaysia telah menangani isu ini dengan jayanya sehinggakan kalau dulu orang mati tidak makan tetapi kini istilahnya berbeza pula mati kerana terlebih makan.

Walaupun cukup makan bukan bermakna semua rakyat negara ini mengamalkan corak pemakanan yang betul. Ini kerana mengikuti laporan kajian Kesihatan Kebangsaan dan Morbiditi Ketiga yang diadakan pada tahun 2006, terdapat bilangan kanak-kanak di negara ini yang mengalami masalah kekurangan berat badan dan berlebihan berat badan yang membimbangkan.

Bendahari Kehormat Persatuan Pediatrik Malaysia (MPA), Datuk Dr. Musa Mohd. Nordin berkata, status pemakanan kanak-kanak di Malaysia telah menjadi suatu masalah yang membimbangkan di negara ini.

"Yang lebih membimbangkan lagi, kebanyakan daripada kanak-kanak ini ialah kanak-kanak yang berumur di antara satu hingga enam tahun,'' katanya di Seminar Pengasuhan Positif Pemakanan Anak 2009, di Damansara, baru-baru ini.

Dr. Musa turut mengingatkan masyarakat Malaysia supaya memberi perhatian terhadap perkembangan yang membimbangkan ini dan mula mengambil isu pemakanan sebagai isu serius.

Ini kerana katanya, pemakanan membawa manfaat yang tinggi kepada kanak-kanak sama ada dari segi perkembangan fizikal mahupun mental.

Sementara itu, siri Seminar Pemakanan Anak Pengasuhan Positif 2009 yang diadakan itu bertujuan memberi peluang kepada ibu bapa mendalami isu-isu kesihatan berkaitan pemakanan kanak-kanak serta berkongsi cara penyelesaian.

Seminar ini turut menyediakan ibu bapa pengetahuan dalam kepentingan nutrisi awal untuk tumbesaran si manja, implikasi tabiat pemakanan terhadap kesihatan dan memberi tip untuk mengatasi masalah cerewet makan dan masalah pemakanan yang lain.

Seminar bertemakan Makan Dengan Sihat, Membesar Secara Sihat ini disokong oleh geran pendidikan daripada Abbott Nutrition International.

Di pos oleh Arbain Muhayat pada 14 July 2009