Cintai Nabi iman sempurna

Beriman kepada Rasul juga mesti sampai ke peringkat mencintai Baginda, ikut melakukan apa yang Nabi buat, bukan pilih-pilih tetapi segala-galanya mesti diikut kerana segala perbuatan Nabi adalah wahyu daripada Allah.

Sebagaimana firman Allah yang bermaksud: “Tiadalah segala yang datang daripada Nabi itu nafsu melainkan wahyu yang diturunkan kepadanya.”

Bila bercinta banyak keajaibannya, yang jauh rasanya dekat, yang berat rasanya ringan, sanggup berkorban apa sahaja, jiwa dan raga, harta ataupun nyawa. Namun sebelum cinta pada yang lain, Nabi mesti dicintai terlebih dahulu. Mengapa kita mesti mencintai Nabi dan Rasul?

Pertama: Kerana Nabi terlalu cinta kepada kita.Kadangkala dalam hidup kita ini, orang tidak cintakan kita pun kita tergila-gila padanya, apatah lagi pada Nabi yang amat mencintai umatnya, cintailah Nabi sepenuh hati.

Apa bukti Nabi sangat cinta kepada kita? Bacalah sejarah, sebelum Nabi wafat, antara perkataan akhir Nabi ialah “ummati, ummati (umatku, umatku) umat Nabi itu ialah kita.

Lagi bukti di Padang Mahsyar. Menurut satu riwayat, ketika Nabi s.a.w dibangkitkan di Padang Mahsyar antara perkataan pertama yang ditanya Nabi kepada malaikat Jibril ialah: “Di manakah umatku?”

Nabi s.a.w juga pernah menyatakan dalam satu hadis yang bermaksud: “Berbahagialah siapa yang melihatku dan beriman kepadaku.” Kemudian Nabi menyebut tiga kali: “Bahagialah, bahagialah, bahagialah siapa yang tidak melihatku tetapi beriman denganku.”

Orang yang tidak melihat Nabi tetapi beriman kepada Nabi antaranya diri kita yang Nabi puji tiga kali itu.

Kedua: Kita mesti cintai Nabi sebab cinta Nabi tanda sempurna iman kita. Maknanya kalau tidak cinta Nabi tidak sempurnalah iman kita.

Sabda Nabi yang bermaksud: “Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga aku lebih disayangi daripada kamu menyayangi kedua ibu bapamu dan manusia seluruhnya.”

Pernah satu hari Saidina Umar berkata kepada Nabi: “Aku sayangi diriku, selepas itu baru aku sayang padamu, wahai Rasulullah.” Nabi menjawab: “Cintailah aku lebih daripada cinta kepada dirimu, barulah sempurna iman kamu.”

Ketiga: Kita mesti cintai Nabi kerana Nabi sangat banyak berjasa kepada kita. Jasa Nabi bukan sebarangan, bukan kecil, malah tidak boleh ditebus dengan wang ringgit.

Jasa Nabi kepada kita kerana memperkenalkan siapa Tuhan kita yang sebenar. Nabi berhabisan harta, isteri Baginda menjadi miskin, bergolok-gadai buat modal untuk berdakwah. Baginda s.a.w. berjuang mendidik pelapis agar ada penyambung generasi hingga Islam sampai ke dalam hati kita.

Bersyukur kita kerana kita mendapat nikmat iman dan Islam, sedangkan bapa saudara Nabi, Abu Talib, walau didakwah Nabi s.a.w. dua kali sehari pun tidak menerima Islam. Begitu mahalnya nilai Islam ini.

Keempat: Kita mesti cintai Nabi sebab Nabi makhluk Allah yang maksum tidak ada salah apatah lagi cacat cela. Semuanya terpelihara daripada segala aib. Dapat pula al-Quran sebagai mukjizat sebagai panduan.

Ternyata mencintai Nabi s.a.w. bermakna kita mencintai seorang yang agung dan amat mulia. Cuba lihat dunia cinta remaja, kadangkala penuh tragis, ada yang mencintai seseorang sepenuh hati, walaupun si dia nampak ada yang tidak kena, dicintai dan dipercayai juga dengan sepenuh hati, tetapi akhirnya si dia menodai cintanya malah dirinya.

Cintailah Nabi kerana Nabi membimbing kita kepada kebenaran, Nabi huraikan ayat al-Quran agar kita mudah memahaminya, Nabi tidak jemu-jemu memberi nasihat kepada kita agar selamat dan berbahagia dunia dan akhirat.

- Ustaz Mohd Zawawi Yusoh -

Di pos oleh Arbain Muhayat pada 08 June 2008