Ibu bapa ‘didik’ anak berbohong tanpa sedar
RAMAI ibu bapa mengeluh apabila anak mereka sering berbohong. Anak yang memiliki kecenderungan berbohong cukup merisaukan mereka dan kalangan pendidik.Ibu bapa tidak mengetahui apa yang menjadi penyebab wujudnya gejala berkenaan. Justeru, peranan ibu bapa sangat penting untuk membimbing si kecil mengenal mana yang perlu mereka dekati dan mana pula yang perlu dijauhi.
Keluarga adalah tempat pertama
si kecil melakukan interaksi. Perilaku ibu bapa sehari-hari akan
membentuk keperibadian anak sebagai seorang yang jujur, dapat
dipercayai atau sebagai seorang yang suka berbohong.Misalnya, seorang
anak mendengar ayahnya berpesan kepada ibu, kalau ada panggilan telefon
jawablah dengan memberitahu ayah tidak ada di rumah, sedangkan ia ada
di rumah dan hanya ingin berehat serta tidak mahu diganggu. Tanpa
disedari si ayah sudah mengajar anaknya berbohong.
Anak yang berbohong ternyata banyak ragamnya. Ahli psikologi membahagikannya kepada tujuh golongan iaitu:
i. Bohong imajinatif.
Biasanya
anak senang berfantasi kerana rnengimpikan sesuatu. Apa yang
dibayangkan dalam fikirannya sering diungkapkan dalam bentuk gambar.
Dia tidak dapat menerima perbezaan antara imajinasi dan realiti. Apa
pun yang dikatakannya dianggapnya realiti, padahal orang dewasa
menganggapnya sebagai pembohongan.
Mendengar cerita dapat
memberi pengaruh yang besar kepada anak. Pada suatu ketika, dia
menganggap dirinya sebagai pahlawan dan berikutnya, dia menganggap
sebagai doktor ahli bedah. Imajinasi seperti itu adalah petanda yang si
anak memiliki akal yang sihat. Ibu bapa tidak perlu khuatir. Tetapi
bila perlu, ibu bapa mesti menjelaskan kepada anak siapa dirinya yang
sebenar.
ii. Bohong ambiguiti.
Seorang
anak mungkin berkata bohong kerana dia tidak secara tepat mengetahui
sesuatu kejadian atau kerana membesar-besarkannya. Kadang-kadang dia
tidak mampu menjelaskan sesuatu kejadian secara terperinci dan tidak
dapat mengungkapkannya secara efektif. Dalam keadaan seperti ini, ibu
bapa harus bersabar menghadapinya sambil mencari kebenaran daripada
kejadian yang diceritakannya.
iii. Bohong minta perhatian.
Ramai
ibu bapa kurang memperhatikan anak mereka, misalnya apa keinginan dan
pandangan anak. Bahkan ibu bapa sering melarang anak melakukan sesuatu
di depan orang ramai hingga menimbulkan sakit hati pada diri anak.
Keadaan ini akan dapat menimbulkan gangguan kejiwaan seperti perasaan
tertekan kepada anak. Anak juga belajar berbohong untuk menarik
perhatian orang lain terhadap dirinya.
Dalam keadaan ini,
seorang anak mungkin misalnya, berpura-pura berlari sambil berteriak:
“Rumah pakcik terbakar!” Ketika seluruh anggota keluarga terkejut dan
berlari menuju rumah yang disebutkan, si anak berasa senang kerana
dengan berbuat demikian dia membalas sakit hatinya. Salah siapa apabila
anak berbohong seperti itu?
iv. Bohong kerana dendam.
Kadang-kadang
anak bertengkar dan bahkan berkelahi sesama sendiri atau antara adik
beradik. Biasanya seorang daripada mereka akan menaruh dendam dan cuba
mencari sokongan ibu bapa dengan menuduh yang lainnya berbohong serta
dialah yang benar. Ibu bapa atau pendidik harus berhati-hati untuk
tidak cepat memihak, apatah lagi pertengkaran atau perkelahian antara
anak biasanya tidak mempunyai alasan munasabah. Sebaik-baiknya, ibu
bapa berusaha mendamaikan dan berbicara dengan baik pada anak yang
berbohong sambil membimbingnya mengatakan apa sebenarnya terjadi.
v. Bohong membela diri.
Bohong
jenis ini biasanya dilihat dalam keluarga iaitu ibu bapa bersikap kuku
besi. Anak, kerana takut mendapat hukuman fizikal atas kesalahan yang
dilakukan, lalu bercakap bohong. Jika keluarga itu diliputi suasana
yang intim, anak tidak perlu berbohong. Bahkan mungkin dia terlebih
dulu menyatakan persoalannya dan mencari bantuan ibu bapa untuk
memecahkannya, atau dia dengan terus terang menjelaskan alasan
tindakannya.
Bohong jenis ini sering terjadi berkaitan
kegiatan sekolah. Banyaknya kerja rumah yang tidak dapat diselesaikan
di rumah menyebabkan anak berbohong untuk menghindarkan hukuman. Dalam
hal ini, ibu bapa atau pendidik perlu memperhatikan kemampuan anak agar
dia tidak dimalukan di depan teman kelasnya, atau kalau tidak, dia akan
terpaksa berbohong.
vi. Bohong egois.
Bohong
jenis ini digunakan untuk memperdaya orang lain. Dengan berbohong,
seorang anak berasa lebih mudah memanfaatkan orang lain untuk memenuhi
keinginannya. Bohong jenis ini bukan sahaja terbatas pada anak, malah
ia juga terjadi di kalangan orang dewasa.
vii. Bohong untuk menunjukkan kesetiaan.
Anak-anak
berbohong terutama di sekolah kerana kecenderungan dan mereka terikat
pada teman kelas. Dalam hal ini, pendidik harus selalu berkata benar
walaupun keadaan mungkin menimbulkan kerugian sesaat.
Dalam
kebanyakan keluarga, berbohong sudah menjadi epidemik dan ramai ibu
bapa melakukannya.Mereka menganggap enteng perilaku tidak terpuji itu
dan tidak bimbang perbuatan itu boleh menular kepada anak mereka.
Ibu
bapa yang bercakap bohong di rumah akan meracuni jiwa anak dan
seterusnya meracuni masyarakat untuk menyimpang dari jalan lurus yang
diajar agama.Anak tidak hanya membohongi dirinya atau membohongi orang
lain malah akhirnya akan membohongi Tuhan.
Anak adalah amanah Allah. Memberi mereka contoh pembohongan adalah bentuk ketidaksetiaan kepada masyarakat dan kepada-Nya.
Di pos oleh Arbain Muhayat pada 08 June 2008