Kemurungan perlu dirawat


Lesu dan sakit seluruh badan merupakan antara simptom kemurungan. - Gambar hiasan


RASA sakit dan lesu seluruh badan biasanya disebabkan keletihan dan kerja keras, namun tidak ramai daripada kita yang mengaitkannya dengan masalah kemurungan.

Keadaan itu menyebabkan ramai mereka yang mengalami kemurungan tidak menyedari mereka mempunyai masalah tersebut kerana menyangkakan sakit badan yang dialami adalah sakit biasa.

Presiden Persekutuan Psikiatri dan Kesihatan Mental Asean (AFPMH), Profesor Dr. Mohamad Hussain Habil, berkata, sememangnya ramai yang tidak sedar bahawa kesakitan yang tidak dapat dijelaskan ini sebenarnya berkait rapat dengan kemurungan

Katanya, para penyelidik mendapati bahawa 82 peratus daripada pesakit murung yang datang mendapat rawatan daripada pengamal perubatan pada awalnya tidak mengetahui mereka mengalami gejala kemurungan.

Ini menyebabkan mereka tidak mendapat rawatan sewajarnya, sementara 18 peratus lagi hanya menerima ubat anti kemurungan.

Beliau yang juga Ketua Pakar Ketagihan dan Perunding Psikiatri di Jabatan Perubatan Psikologi di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), berkata, pemahaman mengenai hubung kait kesakitan dan kemurungan amat penting bagi memudahkan proses rawatan penyakit tersebut.

"Ini terutama bagi pesakit yang berada di tahap yang lebih kronik sehingga terdorong kepada perasaan ingin membunuh diri," katanya ketika menyampaikan ceramah di Bengkel Kesakitan dan Kemurungan, di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Bengkel tersebut ditaja oleh Eli Lilly (M) Sdn. Bhd., dengan kerjasama AFPMH dan Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA)

Dr. Mohammad Hussain berkata, kemurungan merupakan penyakit yang melanda kira-kira 121 juta manusia di seluruh dunia.

Malam menurut Laporan Kesihatan Sedunia 1999 yang diterbitkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kemurungan merupakan penyakit keempat paling ramai dihidapi di dunia yang boleh menimbulkan ketidakupayaan individu.

"Perlu untuk diberitahu kepada masyarakat juga bahawa kemurungan bukan penyakit yang sengaja diada-adakan.

"Ia adalah satu penyakit yang memerlukan rawatan dan banyak mempengaruhi kehidupan lebih-lebih lagi dalam negara yang mengalami krisis ekonomi," katanya.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA), Dr. Yen Teck Hoe berkata, terdapat beberapa simptom kemurungan yang boleh dikenalpasti secara mata kasar.

Ini termasuk hilang minat atau keinginan terhadap aktiviti yang lazim dilakukan seperti bersukan, riadah bersama keluarga, seks dan sebagainya.

"Pesakit juga mudah dilanda rasa sedih, cepat marah, hilang tumpuan dan lebih teruk lagi timbul rasa ingin bunuh diri.

"Kemurungan tidak mengenal mangsa, ia boleh terjadi kepada kanak-kanak semuda usia lima tahun dengan simptom yang berbeza," tambah beliau.

Dr. Teck Hoe berkata, mengikut kajian, kejadian kemurungan di kalangan wanita adalah lebih tinggi berbanding lelaki dengan nisbah 2:1.

"Antara sebabnya ialah perubahan peringkat hormon yang dialami wanita. Itu sebabnya, kemurungan berlaku ketika wanita mengalami peredaran haid, hamil selepas bersalin dan putus haid.

"Biasanya wanita akan menunjukkan tanda-tanda kemurungan seperti putus asa dan tidak berupaya manakala lelaki pula bersikap berang atau cepat marah," jelas beliau.

Dari segi saintifiknya, penyelidikan mendapati kemurungan disebabkan ketidakseimbangan dua bahan kimia dalam otak dan badan iaitu serotonin dan noradrenalin.

Serotonin ialah sejenis bahan kimia yang wujud dalam sistem saraf pusat dan perubahan paras serotonin dalam otak boleh mengubah mood seseorang.

Begitu pun, kajian turut mendapati bahawa kemurungan boleh diwarisi yang bermaksud ia mempunyai hubung kait dengan faktor genetik.

Sementara itu, perunding psikiatri Pusat Perubatan Universiti Malaya, Profesor Dr. Nor Zuraida Zainal, dalam kertas kerjanya yang bertajuk Penyakit Kronik dan Hubung Kaitnya dengan Kemurungan dan Kesakitan pula menjelaskan, kemurungan di kalangan pesakit yang menghidapi penyakit kronik seperti barah, jantung, strok dan parkinson boleh memburukkan lagi keadaan kesihatan mereka.

"Hubung kait kemurungan dan penyakit kronik amat tinggi. Kesakitan menyebabkan kemurungan dan kemurungan menyebabkan kesakitan.

"Penyakit kronik menyebabkan jiwa tertekan dan menjejaskan keadaan psikologi pesakit, seterusnya membawa kepada kemurungan.

"Kemurungan pula boleh memburukkan lagi keadaan kesakitan dan menjejaskan keadaan fizikal yang mengganggu keberkesanan rawatan penyakit tersebut," jelas beliau.

Sementara itu, pensyarah kanan Jabatan Perubatan Psikologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Dr. Jesjeet Singh Gill berkata, cabaran sebenar dalam mengenal pasti kesakitan dan kemurungan ini ialah untuk mengatasi stigma yang berkait rapat dengan diagnosis dan rawatan penyakit tersebut.

"Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan kedua pada tahun 1996 menyatakan 10.7 peratus daripada orang dewasa Malaysia berusia 16 tahun ke atas menghadapi masalah kesihatan mental.

"Kemurungan menyumbang 11.8 peratus kepada masalah psikologi paling umum dihadapi oleh para responden. Walaupun peratusan itu tidak tinggi, ia telah menunjukkan tanda-tanda amaran.

"Didapati hanya sebilangan kecil pesakit yang berjumpa dengan pengamal perubatan am untuk mengatasi masalah kemurungan manakala hanya segelintir yang terus berjumpa dengan pakar psikiatri," jelas beliau.

Dr. Jesjeet menambah, masalah kemurungan ini boleh dirawat namun ramai pesakit yang enggan atau keberatan untuk berjumpa pengalam perubatan.

"Kami mendapati para pesakit enggan mendapatkan rawatan kerana mereka bimbang akan dipulaukan. Mereka juga takut dipandang rendah di tempat kerja dan mereka yang menghidapi masalah ini masih dianggap sebagai mempunyai masalah emosi atau kurang keazaman," ujar Dr. Jesjeet.

Pensyarah kanan Jabatan Perubatan Psikologi, Universiti Malaya, Dr. Ting Joe Hang menegaskan kemurungan bukan satu kelemahan peribadi tetapi penyakit yang menjejaskan otak dan memerlukan rawatan segera.

"Sekiranya pesakit mempunyai empat atau lima simptom tetapi tidak tahu apakah sebabnya berkemungkinan mereka menghidap kemurungan.

"Pesakit tidak harus berdiam diri, mereka perlu berjumpa dengan doktor dan utarakan kemungkinan menghidapi kemurungan supaya mereka boleh dirujuk kepada doktor pakar. Perkara yang tidak harus dilakukan oleh doktor ialah dengan menganggap kesakitan fizikal ini sebagai sakit biasa," ujar beliau.

Menerusi satu kajian kes yang dijalankan, beliau mendapati bahawa seorang suri rumah yang mengadu mengalami sakit gigi masih mengalami kesakitan tersebut walaupun giginya telah dicabut.

"Menerusi perbualan dengan pakar psikiatri, menemukan hasil bahawa wanita tersebut sebenarnya mengalami kemurungan sejak tiga tahun lalu iaitu sebelum dia mengalami kesakitan gigi.

"Wanita itu juga mengakui sukar tidur, hilang selera makan, tidak lagi gemar berkebun seperti dahulu dan mudah sensitif.

Setelah diagnosis dijalankan, rawatan melibatkan ubat, terapi dan sokongan sosial terbukti membantu wanita tersebut mengembalikan keceriaan hidupnya. Bukannya kesakitan gigi yang menyebabkan beliau sakit, tetapi apa yang dipendam menjadi punca kemurungan tersebut," kata beliau.

Di pos oleh Arbain Muhayat pada 13 March 2009