Tiada jalan pintas untuk berjaya
PERIBAHASA ‘kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya’ bermakna kita tidak mendapat kejayaan jika tidak berusaha, manakala ‘jangan pula sampai jadi seperti pungguk yang rindukan bulan’ pula bermakna jangan berharap pada sesuatu yang mustahil diperolehi.
Yang penting, kita harus melihat keupayaan diri, bak kata orang: “Bertindak biar berpada-pada. Jangan sampai benda yang diharap tidak dapat, kelak diri sendiri yang menderita.”
Namun,
semua itu bergantung kepada niat. Jika betul niat kita, tidak mustahil
kejayaan itu menjadi milik kita, tetapi jika sebaliknya, terimalah
kepayahan yang bakal dilalui di atas kesilapan sendiri.
Sebenarnya
kunci setiap kejayaan ialah tidak mebazirkan masa yang terluang seperti
kata pepatah " Masa itu Emas " kerana kejayaan itu adalah milik sesiapa
saja. Tidak kira siapa kita, jika rajin berusaha dan tidak membazir
masa yang terluang, kejayaanlah yang akan menjadi upahnya.
Ketika
usia mudalah seseorang perlu menyemat sifat bersaing, tetapi biarlah
persaingan yang sihat. Pupuk sifat berlumba-lumba untuk menuju ke
puncak menara gading.
Lihatlah bangsa lain dan pelajari cara
mereka mengejar kejayaan dalam hidup. Mereka berusaha
bersungguh-sungguh.Jarang sekali kita melihat mereka berfoya-foya
menghabiskan masa dengan aktiviti tidak berfaedah.
Habis saja
waktu sekolah, mereka terus duduk di rumah mengulangkaji pelajaran.
Bagi golongan remaja dan dewasanya pula, mereka tidak jemu berusaha
untuk mencari ilmu, walau dengan cara apa sekalipun.
Sewajarnya,
kita menjadikan semua itu sebagai contoh dan pengajaran. Jangan jadikan
bangsa kita sebagai bangsa yang ketinggalan. Kita perlu bersemangat
untuk memartabatkan bangsa sendiri.
Dalam aspek ini, ibu bapa
juga harus memainkan fungsi betul. Jangan ada sifat sambil lewa ketika
mendidik anak. Jadikan ia sebagai tanggungjawab dan agenda utama.Ini
kerana tidak dapat dinafikan setiap kejayaan anak terletak pada ibu
bapa mereka. Mungkin kita pernah mendengar cerita mengenai orang dulu
mendidik anak mereka. Cuba kita bandingkan dengan sekarang, jauh betul
bezanya.
Tidak salah kalau hendak manjakan anak, tetapi biar
setimpal dengan keadaan. Jangan pula hanya mengikutkan kata mereka,
sedangkan kata-kata kita langsung tidak dihiraukan.
Berbalik
semula kepada topik asal kita yang ingin diperbincangkan. Setiap kita
mesti ada impian dan matlamat. Kalau tidak ada, apa gunanya hidup,
betul tak?
Menanam impian memang mudah. Yang sukar ialah cara
merealisasikan setiap impian. Banyak dugaan harus ditempuhi. Pelbagai
persediaan harus dibuat. Persiapan juga harus disusun rapi.
Umpama
nak membina sebuah rumah. Kita harus menyediakan pelan terlebih dulu.
Untuk menghasilkan rumah yang sempurna, empat faktor utama perlu
dititikberatkan adalah tiang, dinding, lantai dan seterusnya bumbung.
Jika kurang satu daripadanya, tidak sempurnalah rumah yang dibina itu.
Tidak jauh beza dalam membina kejayaan. Empat faktor utama perlu diterapkan dalam merialisasikan impian kita. Yang utama ialah niat diikuti dengan ketekunan berusaha.
Seterusnya perlu ada pengalaman atau sedikit pengetahuan mengenai ke mana arah usaha itu dan akhir sekali mesti ada sifat jujur kerana ia menjanjikan keberkatan di dalam setiap usaha dilakukan.
Jadi
kesimpulan utamanya di sini ialah perancangan. Setiap susun atur
perancangan itu mesti diikuti satu persatu. Memang tiada jalan pintas.
Cuma kita perlu kreatif untuk menggubahnya. Kreatif yang macam
mana?Kreatif dalam menguruskan masa.
Gunakan kesilapan masa lalu
sebagai rujukan pada masa akan datang. Kumpulkan setiap kelemahan yang
ada pada diri kita dan cari jalan untuk membina kekuatan pada setiap
kelemahan itu.
Dalam hal ini, perkara yang paling penting ialah
kefahaman terhadap nilai agama perlu diterapkan dalam diri bagi
menghasilkan rohani yang sihat.Ketiadaan pemahaman agama akan
membuatkan pintu hati kita tertutup.Itu sebabnya ada yang merungut
setiap kali usaha yang dilakukan tidak berhasil. Fikirkanlah di mana
kekurangannya.
Di waktu mudalah kita perlu beramal. Jangan
sesekali beranggapan kita akan hidup kekal lama. Dan jangan juga
beranggap kesenangan yang kita peroleh sekarang adalah milik kekal.
Dengarkan kata-kata ini dan fikirkanlah ia sebagai pedoman kita semua: “Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu, melainkan mereka mengubah nasib diri mereka sendiri.”
Di pos oleh Arbain Muhayat pada 08 June 2008