Al-Quran dahului kecanggihan sains
REMAJA hari ini cerdik, pintar dan berpelajaran berdasarkan akademik serta fakta sains. Ini mungkin kerana sistem pendidikan yang menekankan dan memberi penumpuan dalam bidang sains.
Tidak hairanlah
remaja hari ini mengenali nama saintis dan kagum dengan penemuan
mereka. Penciptaan teknologi canggih membantu penemuan baru rahsia
alam.
Seperkara yang remaja patut tahu, penemuan baru ini
selari dengan penyataan al-Quran malah ia sudah lama disebut dalam
kitab suci itu.
Jika kita boleh berbangga dengan penemuan
sains semestinya kita patut lebih takjub dengan kecanggihan al-Quran
berabad dahulu mendahului zaman, malah manusia memerlukan masa yang
panjang ribuan tahun memahami sentuhan ayat al-Quran mengenai alam dan
sains.
Antara ayat mengenai sains ialah yang berkaitan dengan
pengembangan alam. Firman Allah yang bermaksud: “Dan, langit Kami
bangunkan dengan kekuasaan Kami. Sesungguhnya Kami benar-benar
meluaskannya.” Ayat ini menceritakan mengenai pengembangan alam.
Ini
bermaksud langit diluaskan oleh Allah. Allah sudah menyatakan ribuan
tahun dahulu, jika ada orang yang menolak al-Quran kerana menyangka
dirinya maju dengan sains, sepatutnya tunduk dengan fakta ini.
Pada
tahun 1929 Edwin Hubble dengan menggunakan alat canggih meneropong ke
langit mendapati alam ini sebenarnya mengembang dan membesar malah
saintis sekarang ini berupaya mengukur kelajuan pengembangan alam.
Kedua,
ayat berhubung teori Big Bang. Hal ini sudah lama disentuh ribuan tahun
dulu dalam surah al-Anbia': 30, bermaksud: “Apakah orang kafir tidak
melihat bahawa sesungguhnya langit dan bumi pada asalnya bercantum satu
kemudian Kami pisahkan (letupkan) antara kedua-duanya.”
Maknanya langit dan bumi asalnya melekat bercantum, Allah pisahkan antara keduanya dengan udara.
Teori
Big Bang diasaskan oleh formula umum ‘Theory Of Relativity’ oleh
Einstein 1915, kemudian disahkan pakar fizik Rusia pada 1922. Pada 1929
teori ini disahkan Edwin Hubble. Cuba bayangkan hakikat yang ditemui
pada abad 20 ini telah dijelaskan oleh al-Quran sejak 1400 tahun dulu.
Segala
penemuan ini selari penyataan ayat al-Quran yang menunjukkan al-Quran
“Kalamullah” kerana ilmu sains belum berkembang pada zaman Nabi
Muhammad (s.a.w), tambahan pula tiada sebarang kemudahan yang tidak
memungkinkan manusia mengetahui asal-asul alam ini. Benarlah al-Quran
bukan ciptaan Muhammad.
Jadi tidak hairan sekiranya orang
Islam mendahului bangsa lain dari sudut ketamadunan. Ini kerana
al-Quran berada di hati mereka, sebagaimana disebut dalam pertemuan
lalu al-Quran bukan hanya dibaca tapi juga untuk memakmurkan alam ini.
Percikan
daripada kehebatan al-Quran inilah terbinanya tamadun di Iraq,
Sepanyol, Turki, India , Afrika dan Barat mempelajari daripada Islam
seterusnya mengembangkan lagi menurut acuan mereka.
Yang tidak
seronoknya mereka menimbus serta memadamkan sumbangan Islam dalam dunia
sains malah memutar belit fakta sejarah dengan menuduh Islam tidak
menyumbang apa-apa.
Justeru, dalam menimba ilmu, remaja jangan
lupa melihat sejarah tamadun Islam. Belajar di Barat untuk mencari ilmu
bukan satu kesalahan, yang kita bimbang sebelum dapat ilmu sudah jadi
Barat, pergaulannya, pakaiannya dan budayanya.
Marilah kita maju dengan acuan dan budaya kita sendiri, berpaksikan al-Quran, sunnah.
Oleh: Ustaz Mohd Zawawi Yusoh
Di pos oleh Arbain Muhayat pada 08 June 2008