Dakwah bukan tugas ustaz sahaja
Apabila disebut perkataan dakwah, yang terlintas di kotak pemikiran kita bagi perkataan ini adalah seorang yang mempunyai ilmu agama atau dipanggil ustaz memberikan ucapan atau memperkatakan serta mengajarkan kepada khalayaknya berkenaan dengan Islam.
Bentuk gambaran
yang tipikal ini serta sempitnya dimensi dakwah seperti yang
digambarkan, membuatkan kerja dakwah seolah-olah hanya dimiliki oleh
golongan yang mempunyai ilmu agama semata-mata. Golongan ini atau
panggilan rasminya golongan agama atau ustaz adalah golongan yang
selalu dibebankan dengan permasalahan dakwah dan penyebaran risalah
dakwah ini.
Hakikatnya, pemikiran dan tanggapan yang sebegini
amat jauh dan langsung tidak menepati roh dan semangat dakwah itu
sendiri. Bebanan dan gerak kerja dakwah yang mulia ini sebenarnya
merupakan tugas yang sepatutnya bukan sahaja dipikul oleh golongan
ustaz bahkan terpikul di atas bahu kesemua umat Islam yang
mensyahadahkan bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan Allah dan
Muhammad itu utusan Allah.
Tanggungjawab mempersembahkan ajaran
Islam dalam apa jua bentuk dan memperkenalkan Islam dengan wajahnya
yang tulen kepada manusia sejagat adalah tugas hakiki yang harus
dilaksanakan dengan penuh kesungguhan oleh seluruh umat Islam.
Jika
kita membuka dan menyorot isi kandungan al-Quran, terdapat banyak
sekali nas yang menyentuh persoalan dakwah serta tanggungjawab umat
Islam dalam menjayakannya.
Antaranya firman Allah yang
mafhumnya, Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang
menyeru kepada kebaikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari
yang mungkar; merekalah orang-orang yang beruntung. (Ali-Imran: 104)
Daripada
ayat ini, amat jelas kepada kita satu perintah Allah supaya umat Islam
membentuk diri mereka dan menjadi umat atau kelompok manusia yang
sentiasa menyeru kepada kebaikan iaitu Islam, menyuruh melakukan yang
makruf dan mencegah dari berlakunya kemungkaran.
Inilah tiga
unsur dan elemen penting terkandung dalam gerak kerja dakwah yang
dijana dan dipaksikan kepada kekuatan keimanan kepada Allah s.w.t.
Tanpa
paksi dan janaan iman, penghayatan terhadap dakwah akan menjadi rapuh
dan luluh seperti rapuhnya iman dan luluhnya takwa kepada Allah s.w.t.
Satu
persoalan penting yang patut ditanggap dengan teliti oleh umat Islam
bahawa penghayatan terhadap dakwah Islamiah sebenarnya mempunyai
hubungkait yang rapat dengan manifestasi kepada keunggulan Iman kepada
Allah dan ketinggian kedudukannya di sisi Allah.
Dakwah yang
dirintis oleh seorang Muslim bukan sahaja satu usaha untuk menyampaikan
risalah Islam kepada khalayak bahkan merupakan satu terjemahan yang
jelas terhadap ketinggian keimanan seseorang itu kepada Allah.
Persoalan
inilah yang pernah dititipkan oleh Rasul pembawa risalah dalam sebuah
hadisnya yang sahih lagi masyhur. Sabda Nabi s.a.w yang mafhumnya,
Sesiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran maka ubahlah ia dengan
tangannya (kuasa yang ada pada seseorang) jika dia tidak mampu maka
ubahlah ia dengan lidahmu, jika dia tidak mampu maka gunakanlah hatinya
(dalam membenci dan tidak meredai berlakunya kemungkaran itu) dan yang
demikian itu adalah selemah-lemah iman. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Hadis
secara literalnya mengungkapkan persoalan tentang langkah-langkah yang
patut diambil seorang muslim itu dalam usahanya mencegah kemungkaran.
Tetapi di sebalik mafhumnya yang mendasar diungkapkan persoalan Iman
yang mempunyai konotasi yang rapat dengan dakwah.
Kemampuan
seseorang itu dalam mencegah kemungkaran - salah satu dari unsur
penting dalam dakwah - diukur bersama dengan tahap keimanannya kepada
Allah s.w.t.
Di tengah-tengah realiti masyarakat hari ini yang
diselubungi dengan segala macam kefasadan dan kerosakan yang ditandai
dengan terhakisnya penghayatan umat terhadap ajaran Islam. Lalu
menumbuhkan dan menerbitkan barah keruntuhan moral dan akhlak walaupun
di sebalik itu terlihat kilauan kemajuan dan ketamadunan yang
mempesonakan.
Namun semua kemajuan ini adalah kosong
semata-mata, tidak ada nilai yang boleh dibanggakan jika di celahannya
tersusun seribu satu keruntuhan moral akhlak dan terhakisnya nilai
kemanusiaan.
Hari demi hari, keadaan umat dilihat tidak
menampakkan kemajuan dari segi penghayatan agamanya yang mengundang
kekhuatiran dan kebimbangan kepada mereka yang sentiasa mengambil berat
nasib umat ini.
Gejala-gejala yang entah dari mana datangnya
menjadi amalan harian para remaja kita. Budaya hedonisme yang melampau
seolah-olah umat ini tidak memikirkan kematian selepas kehidupannya.
Gaya
hidup manusia yang mendaulatkan materialistik dan bertuhankan hawa
nafsu semata-mata telah mencampak jauh prinsip ketauhidan kepada Tuhan
yang satu. Apa yang paling membimbangkan rosaknya akidah umat yang
membawa kepada kemurtadan yang merupakan jenayah yang paling besar
terhadap agama.
Melihat kepada senarai yang panjang ini,
membuatkan kita berfikir sendirian, apakah yang telah terjadi kepada
umat ini? Di manakah pegangan agama mereka sehingga mereka terjerumus
ke dalam kerosakan yang maha hebat ini dan banyak lagi
persoalan-persoalan yang menuntut kita berfikir dan bermuhasabah
kembali nasib yang menimpa umat di akhir zaman ini.
Kunci
kepada segala permasalahan ini adalah kegagalan semua lapisan umat
untuk menghayati ajaran Islam yang sebenar serta kecuaian umat dalam
menggalas tugas sebagai daie ilallah penyeru kepada agama Allah.
Kegagalan
institusi agama dalam melaksanakan tugasnya serta menyampaikan ajaran
Islam yang tulen, kegagalan institusi keluarga dalam mendidik anak-anak
dengan acuan Islam.
Kegagalan institusi masyarakat dalam
membimbing masyarakat berpandukan ajaran Islam serta kecuaian
pihak-pihak yang berwajib menyediakan persekitaran yang membenihkan
rasa keimanan dan ketakwaan kepada Allah.
Maka kegagalan dan
kecuaian yang berpunca dari kelesuan dalam menghayati dakwah inilah
yang membawa kepada kesan negatif kepada umat keseluruhannya.
Oleh
yang demikian setiap entiti masyarakat perlu bangkit dari kelesuan ini.
Seterusnya menyusun usaha dalam menghayati dan melaksanakan tugas
dakwah berpaksikan kepada kekuatan, kapasiti dan dimensi kemampuan
masing-masing.
Apa yang penting, setiap muslim walau apa
kedudukan dan gelarannya menjadikan dakwah sebagai agenda hidupnya yang
paling penting.
Semangat dan roh dakwah seperti inilah yang
telah menyerap dalam urat nadi dan hembusan nafas generasi awal Islam
hasil didikan langsung yang diterima dari Rasulullah s.a.w. Mereka
menjadi umat yang terbaik dalam sejarah umat manusia di atas keimanan
yang teguh berserta ketinggian penghayatan mereka terhadap dakwah dan
risalah nabawi.
Akhirnya marilah kita merenungi firman Allah
yang bermaksud, Telah dilaknat orang-orang kafir dari bani Israil di
atas lidah Daud dan Isa bin Maryam yang disebabkan mereka derhaka dan
selalu melampaui batas. Mereka satu sama lain selalu tidak melarang
tindakan mungkar yang mereka perbuat, sesungguhnya amat buruk apa yang
selalu mereka perbuat. (Al-Maidah: 78-79)
Cukuplah ayat Allah
ini menjadi satu ancaman kepada lantas mengingatkan kita akan peri
pentingnya menjalankan usaha dakwah dan tidak mencuaikannya agar kita
sentiasa berada di bawah rahmat Allah yang amat luas dan kita terhindar
dari laknat Allah yang amat berat seksanya.
Dipetik daripada:Bahagian Dakwah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)
Di pos oleh Arbain Muhayat pada 08 June 2008