Tuntutan menjaga lisan
ANTARA punca utama anak Adam terjerumus ke lembah maksiat ialah mereka tidak menjaga dua perkara iaitu lidah dan kemaluan. Dalam hal ini Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang mampu menjaga apa yang terdapat di antara dua janggutnya dan apa yang ada di antara dua kakinya, maka aku jamin akan masuk syurga.” (Muttafaqun ‘alaih)
Kemaksiatan yang ditimbulkan daripada
kemaluan adalah zina dan kemaksiatan yang ditimbulkan oleh lisan adalah
dusta.Dengan lisannya seseorang mengucapkan kata-kata tanpa
pertimbangan dan difikirkan hingga menimbulkan fitnah dan kemudaratan
bagi dirinya mahupun orang lain.
Jelaslah antara faktor
keselamatan seseorang hamba bergantung kepada penjagaannya terhadap
lisannya. Nabi s.a.w sendiri pernah menasihati Uqbah bin Amir ketika
dia bertanya mengenai keselamatan, lalu baginda bersabda yang
bermaksud: “Peliharalah lidahmu, tahanlah tinggal di rumahmu dan tangisilah dosa-dosamu.’’ (Hadis Riwayat: At Tirmidzi).
Termasuk
penyimpangan yang nyata dan banyak terjadi dalam masyarakat kita
sekarang adalah melakukan dusta, baik dalam ucapan mahupun perbuatan,
dalam jual beli, dalam sumpah dan perjanjian, bahkan menggunakan dusta
sebagai unsur dakwah dan menjatuhkan orang kerana kedengkian.
Manusia
daripada kalangan orang awam atau yang alim banyak menganggap dusta
sebagai kebiasaan yang membudaya dan sukar ditinggalkan. Lebih parah
lagi, apabila dusta yang sudah menjadi kebiasaan ini tidak dipedulikan
lagi orang awam mahupun golongan alim.
Sesungguhnya, perbuatan
dusta termasuk dalam hal yang berbahaya, kerana ia adalah haram yang
menyebabkan pelakunya terjerumus ke neraka. Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesungguhnya
dusta itu membawa kepada kekejian dan kekejian itu menjerumuskan ke
neraka. Tidak henti-hentinya seseorang itu berdusta dan membiasakan
diri dalam dusta, sehingga dicatat di sisi Allah sebagai pendusta
(Muttafaqun ‘alaih).”
Dusta mempunyai beberapa pengaruh
buruk, seandainya hal ini disedari pendusta pasti mereka akan
meninggalkan tabiat berdusta dan akan kembali bertaubat kepada Allah
s.w.t.
Sebahagian daripada kesan buruk itu:
i.
Menyebarkan keraguan kepada dan di antara manusia. Keraguan ertinya
bimbang dan resah. Ini bererti seorang pendusta selamanya menjadi
sumber keresahan dan keraguan serta menjatuhkan ketenangan orang yang
jujur. Bersabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Tinggalkanlah apa-apa
yang membuatmu ragu dan ambil apa-apa yang tidak meragukanmu, kerana
sesungguhnya kejujuran itu adalah ketenangan dan dusta itu adalah
keresahan.” (Hadis Riwayat: Tirmidzi dan An Nasai)
ii. Terjerumusnya seseorang ke dalam salah satu tanda munafik. Rasulullah s.a.w bersabda:
“Ada
empat hal, barangsiapa yang memiliki semua, maka dia munafik sejati.
Dan barangsiapa memiliki salah satu daripadanya, bererti dia mempunyai
satu jenis sifat munafik hingga dia meninggalkannya, iaitu bila diberi
amanah dia khianat, bila berkata dia dusta, bila berjanji dia
mengingkari, dan jika berselisih dia berkata kotor.” (Muttafaqun
‘alaih).
Sebagaimana diketahui, orang munafik akan
menghuni neraka paling bawah. Sebutan munafik adalah amat berat,
mengapa kita berani berdusta dan mempertahankannya padahal ia akan
menghantar kita kepada kedudukan buruk lagi hina.
iii.
Hilangnya kepercayaan. Sesungguhnya selama dusta tersebar dalam
kehidupan masyarakat, hal itu akan menghilangkan kepercayaan di
kalangan kaum Muslimin, memutuskan jalinan kasih sayang di antara
mereka, sehingga menyebabkan tercegahnya kebaikan dan menjadi
penghalang sampainya kebaikan kepada orang yang berhak menerimanya.
iv. Memutarbalikkan
kebenaran. Antara akibat buruk dusta adalah memutarbalikkan kebenaran
dan membawa berita berlainan dengan fakta, lebih-lebih lagi dilakukan
tanpa mencari penjelasan atau tabayyun yang disyariatkan. Hal ini
dilakukan kerana pendusta suka merubah kebatilan menjadi kebenaran dan
kebenaran menjadi kebatilan dalam pandangan manusia.
Sesungguhnya,
pendusta suka menghiasi keburukan sehingga nampak baik dan
memburuk-burukkan yang baik sehingga menjadi buruk. Itulah perniagaan
pendusta yang mahal harganya menurut pandangan mereka.
Apa
saja yang mereka katakan mengenai keburukan seseorang dan apapun
pengaruhnya, maka berhati-hatilah terhadap mereka, sama ada yang anda
baca daripada mereka ataupun yang anda dengar. Fahamilah firman Allah
bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang yang melampaui batas lagi pendusta.” (Surah Al Mukmin Ayat 28)
v. Pengaruh
dusta terhadap anggota badan. Dusta menjalar dari hati ke lidah, maka
rosaklah lidah itu, lalu menjalar ke anggota badan, maka rosaklah amal
perbuatannya sebagaimana rosaknya lidah dalam berbicara. Jika Allah
s.w.t tidak memberikan kesembuhan dalam kejujuran kepada pendusta itu,
semakin rosaklah mereka dan menjerumuskan mereka ke arah kehancuran.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya kejujuran itu menuntut kepada kebajikan, sedangkan dusta menuntun kepada kedurhakaan.’’ (Muttafaqun ‘alaih).
Itulah
sebahagian daripada akibat buruk dusta yang semuanya nampak di dunia
dan di sisi Allah balasan bagi pendusta lebih dahsyat dan mengerikan.
Jelaslah, pendusta akan berjalan di atas laluan menuju neraka, kerana
dengan berdusta bererti ia akan membuka pelbagai pintu keburukan lain.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya dusta
itu menuju kepada kekejian dan kekejian membawa ke neraka, seseorang
yang terus menerus berdusta sehingga dicatat di sisi Allah sebagai
pendusta.” (Muttafaqun ‘alaih)
Kita hendaklah merenung dan memperhatikan bahaya dusta sehingga takut untuk melakukannya. Antara cara menghindarinya ialah:
i. Tidak bergaul dengan pendusta sebaliknya mencari teman soleh dan jujur.
ii. Mempunyai keyakinan mantap akan bahaya yang ditimbulkannya baik di dunia mahupun di akhirat.
iii. Melatih hati dan lisan untuk selalu berkata secara jujur.
iv. Selalu mengkaji dan mengamalkan al-Qur’an. Semoga Allah menganugerahkan kejujuran kepada kita dalam ucapan dan perbuatan.
Di pos oleh Arbain Muhayat pada 08 June 2008