Makanan pembentuk peribadi
PEMBONGKARAN media massa mengenai penipuan penggunaan logo halal dan betapa bahan makanan haram dijual sebagai ‘halal’ di pasaran di negara ini, dari semasa ke semasa, membuktikan masalah terbabit terus berleluasa.
Bagaimanapun, setiap kali isu itu didedahkan
media, barulah pihak tertentu akan ‘melompat’ dengan pelbagai bentuk
tindakan. Yang terbaru mengenai pengenalan logo halal baru yang
dilengkapi ciri keselamatan lebih ketat.
Sebenarnya isu halal
haram berkisar kepada tiga perkara asas: Pertama, sikap pengguna yang
beragama Islam terhadap nilai halal haram makanan yang dibeli; kedua,
sikap penjual sama ada mereka menghormati pantang larang orang Islam;
dan ketiga, penguatkuasaan undang-undang sama ada mencukupi untuk
membendung perbuatan menipu logo halal.
Pemahaman mengenai
pentingnya memilih makanan memang diketahui umum. Kita suka memilih
makanan kegemaran mengikut kemampuan, keinginan dan selera
masing-masing.
Bagaimanapun, ramai yang hanya melihat kelazatan
dan khasiat tanpa meneliti sejauh mana kesesuaiannya untuk dimakan,
terutama dari segi kebersihan dan halal menurut syariat.
Rasulullah s.a.w. dalam sebuah hadis diriwayatkan Muslim bersabda yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, makanlah barang yang bersih daripada apa yang kami kurniakan kepada kamu”.
Baginda
kemudian menyebut seorang lelaki yang sedang berjalan jauh dengan
keadaan kusut masai rambutnya dan berlumuran debu sedang dua tangannya
menadah ke langit sambil berdoa “Ya Tuhanku, pada hal makanannya haram,
minumannya haram, pakaiannya haram, maka betapakah boleh diperkenankan
Allah doanya.”
Makanan yang suci dan bersih menjamin kesihatan
yang baik. Justeru, di samping memilih makanan berzat dan berkhasiat,
sebaik-baiknya perlu ditekankan soal kebersihan dan kesuciannya dari
segi syariat agama.
Sabda Rasulullah dalam sebuah hadis diriwayatkan at-Tirmizi yang bermaksud: “Setiap daging yang tumbuh daripada makanan yang haram, maka api nerakalah yang layak baginya.”
Islam
menitikberatkan kesihatan umatnya. Seseorang mukmin yang sentiasa
prihatin terhadap kebersihan dan kesucian makanannya setiap hari akan
melahirkan nur keimanan dalam dirinya untuk turut sama menjaga
kebersihan diri secara keseluruhannya, termasuk pakaian, tempat
tinggal, tubuh badan dan sebagainya.
Dalam ibadat asas agama
iaitu solat, aspek terpenting yang ditekankan ialah kebersihan diri.
Allah s.w.t. tidak akan menerima solat hamba-Nya yang beribadat dalam
keadaan kotor.
Ia sesuai dengan maksud hadis Rasulullah yang diriwayatkan Ibnu Hibban iaitu: “Menjadi bersihlah kamu, kerana sesungguhnya Islam itu bersih.”
Islam
sangat syumul dalam pemilihan makanan dengan menekankan yang bersih dan
halal. Dalam surah al-Nahl ayat 114-115, Allah s.w.t berfirman yang
bermaksud: “Makanlah apa yang dikurniakan Allah kepada kamu
daripada benda yang halal lagi bersih. Bersyukurlah dengan nikmat Allah
jika kamu benar-benar menyembah Allah. Sesungguhnya Allah hanya
mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, darah, daging babi dan
binatang sembelihan bukan kerana Allah. Maka, sesiapa dalam keadaan
yang terpaksa memakannya, sedang dia tidak sengaja dalam mencarinya,
sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha penyayang.”
Makanan
haram sama ada daripada bahan yang dicampur najis dan benda syubhah
atau daripada punca yang tidak halal dan syubhah boleh mendatangkan
tiga bahaya besar kepada pemakannya.
Pertama,
makanan itu akan mempengaruhi jiwa seseorang sehingga dia berasa lebih
gemar melakukan kejahatan dan maksiat dan bencikan kerja-kerja
kebajikan dan ketaatan.
Kedua, doanya tidak akan dimakbulkan Allah s.w.t. dan ketiga, ia akan menyebabkan dia mendapat seksaan neraka di akhirat kelak.
Apa jua bentuk makanan halal dan bersih perlu diikuti peraturan memakannya sebagaimana disarankan Islam.
Makanan seimbang umpamanya, akan dapat menghindarkan diri seseorang daripada dihidapi penyakit tertentu.
Rasulullah
menyarankan perut manusia diisi dengan satu pertiga air, satu pertiga
makanan dan satu pertiga lagi adalah udara. Ia amat bertepatan dengan
ilmu sains dan kesihatan yang perlu diamalkan manusia.
Insya-Allah
jika cukup jumlah yang disarankan Rasulullah itu, sudah pasti kita
bukan saja akan dapat merasai nikmat kenyang bahkan hidup lebih
mendapat rahmat dan keredaan Allah s.w.t.
Daripada aspek adab
pemilihan makanan pula, insan mukmin perlu menghindarkan diri daripada
mengambil makanan yang sudah lama terbuka, dari tin berkarat, makanan
yang layu dan sebagainya.
Kita memakan sesuatu jenis makanan
untuk mendapat sejumlah tenaga mencukupi daripada zat di dalamnya.Islam
dan ilmu kesihatan begitu intim hubungannya. Sejak manusia dilahirkan,
makanan atau minuman awal yang masuk ke dalam perut adalah susu ibunya.
Selain
terjamin kebersihan dan suci dari segi syariat Islam, susu ibu adalah
pemangkin terawal untuk menyemai kasih sayang antara seorang ibu dan
anaknya.
Akhlak yang bakal dijelmakan anak adalah melalui
susuan ibunya. Tabiat si penyusu akan dipindahkan kepada anak yang
menyusu. Jika solehah si ibu yang menyusukan, akan lahirlah generasi
anak berakhlak mulia dan terpuji.
Jika dimulakan dengan susu haiwan, bayi itu bila membesar akhlaknya dikhuatiri menjadi tidak sempurna.
Selain
adab makan dan memilih makanan, dari segi penjagaan kesihatan, Islam
melarang mengambil makanan dan minuman secara berlebihan.
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Tiada bahaya yang lebih dibenci Allah s.w.t. daripada perut yang dipenuhi dan ketat dengan makanan yang halal.”
Banyak
jenis penyakit bermula daripada salah memilih makanan, termasuk makan
secara melampaui batas. Dalam sebuah hadis, Rasulullah s.a.w. bersabda
yang bermaksud: “Perut adalah sumber penyakit dan berpantang adalah sebaik-baik ubat. Biasakanlah setiap tubuh dengan apa yang lazimnya.”
Allah s.w.t murka kepada hamba-Nya yang suka melampaui batas, termasuk dalam soal pemilihan, adab dan cara makan.
Sebagai
balasan, Allah s.w.t. akan menurunkan pelbagai wabak penyakit, sama ada
ia akan menyerang manusia secara keseluruhan atau menyerang individu
yang berpunca daripada kelalaian dan kealpaan manusia mengurus diri
untuk menikmati kurniaan Allah s.w.t.
Di pos oleh Arbain Muhayat pada 08 June 2008