Badan perlu 40 nutrien
Amalan makan ulam
atau sayur-sayuran mentah boleh membuatkan seseorang awet muda kerana
ia mengandungi banyak bahan antioksidan yang mampu menghalang tindakan
radikal bebas.
Sebenarnya amalan makan ulam menjadi budaya
masyarakat Melayu sejak turun temurun lagi. Malah, ia menjadi ikutan
kaum lain sehingga ada yang kata rasa tidak puas makan nasi jika tiada
ulam bercecah sambal belacan.
Ada juga yang tidak berselera
makan jika tiada ulam atau sayur. Paling tidak, mesti ada timun untuk
membuka selera. Ini amalan baik kerana setiap hari badan kita
memerlukan kira-kira 40 jenis nutrien untuk kekal sihat.
Apabila
kita makan, kita sebenarnya membuat pelaburan pada kesihatan. Kesan
pelaburan ini bergantung kepada jenis makanan diambil. Jika mengamalkan
diet yang banyak lemak, bermakna kita akan mengalami masalah
pertambahan berat badan dan paras kolesterol tinggi.
Sebaliknya,
individu yang mengamalkan pemakanan seimbang dengan melebihkan
pengambilan sayur dan buah biasanya tampil lebih sihat dan menarik
serta mampu mengekalkan kelangsingan badan.
Selain mempunyai
pelbagai khasiat, ulam sering dijadikan bahan rawatan tradisional dan
kini banyak kajian dilakukan untuk mengkomersialkan khasiat ulam.
Pengamal
perubatan tradisional mengatakan, ubat bagi pelbagai penyakit
sebenarnya ada di sekeliling rumah seperti cekur, pegaga, nanas,
kunyit, halia, peria, kacang botor, pucuk betik mahupun kacang panjang.

Pegaga
Pegaga
biasanya tumbuh melata di keliling rumah. Namun tumbuhan yang kecil ini
besar khasiatnya. Ia kaya vitamin A dan C serta zat besi sering
dijadikan sayur-sayuran ‘rasmi’ untuk wanita ketika berpantang.
Pegaga
atau nama saintifiknya Cantella asiatica boleh membangkitkan selera
makan, membantu meredakan masalah penghadaman, mengatasi masalah buasir
kerana mengandungi serat. Ia juga mampu melancarkan aliran darah,
terutama bagi wanita yang ada masalah haid.
Air perahan daun
pegaga juga dikatakan boleh menyejukkan badan dan elok diamalkan jika
demam, mengalami masalah berak berdarah atau lelah. Malah, ada yang
menjadikannya sebagai minuman untuk menguruskan badan.
Pegaga
juga dipercayai boleh mempercepatkan proses penyembuhan luka, ulser dan
masalah kulit lain. Ini sebabnya ia dijadikan makanan wajib bagi wanita
berpantang supaya luka bersalin lebih cepat sembuh.
Pegaga juga
dijadikan ubat untuk merawat masalah keputihan yang menyebabkan faraj
terasa gatal. Masalah keputihan biasanya dialami wanita yang mempunyai
anak. Caranya, minum air rebusan pegaga yang dicampurkan secubit
sedikit garam. Amalkan minum air rebusan ini dua kali sehari.
Orang
tua-tua percaya, akar pegaga juga banyak khasiatnya. Amalan minum air
rebusan akar pegaga ini dipercayai boleh membantu mengawal paras gula
dalam darah di kalangan pesakit kencing manis.

Timun
Seorang
saintis tempatan mengesyorkan supaya makan empulur (isi timun) setiap
hari untuk awet muda. Rawatan tradisional Cina menggunakan timun
sebagai makanan kesihatan, khususnya untuk menyingkirkan bahan toksik
dari badan.
Amalan makan timun juga boleh mengatasi masalah
sakit tekak, gatal kerongkong dan batuk. Mengamalkan minum jus timun
segar juga dipercayai dapat membantu merendahkan tekanan darah.
Ada
juga petua menyarankan individu yang mahu mengurangkan berat badan
supaya minum jus timun dua gelas sehari, di samping bersenam dan
mengawal pemakanan.
Timun juga sebenarnya boleh menambah selera
makan dan ia baik untuk diambil individu yang mengalami masalah terlalu
kurus, tiada selera atau kurang berat badan.
Timun juga menjadi
bahan asas kepada pelbagai produk kecantikan. Secara tradisionalnya,
hirisan timun boleh dijadikan pencuci muka dan membuatkan kulit lembut,
licin dan sentiasa lembap; sesuai diamalkan individu yang mengalami
masalah kulit berminyak.

Cekur
Ia
adalah ulam yang biasa tetapi jarang mendapat perhatian. Ulam daripada
keluarga halia ini mempunyai banyak khasiat, khususnya untuk mengubati
batuk, sakit tekak dan meredakan demam.
Selain dimakan mentah,
hirisan akarnya boleh dijadikan perencah untuk menaikkan rasa masakan.
Ia juga mempunyai bahan antibakteria, antifungus dan antikeradangan.

Kunyit muda
Walaupun rasanya kurang disenangi, kunyit muda sangat berkhasiat untuk dijadikan ulam.
Kajian
dijalankan penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) mendapati, kunyit
mengandungi curcumin yang memberikan warna kuning jingga berpotensi
untuk merawat barah.
Kunyit juga mengandungi banyak bahan
antioksida yang lebih baik berbanding vitamin C dan E, ia mampu
melindungi sistem kardiovaskular, merendahkan kadar kolesterol dalam
darah dan merawat demam kuning.
Perubatan tradisional Melayu
menggunakan pati kunyit yang diberikan kepada wanita selepas bersalin
untuk mempercepatkan penyembuhan luka dan mengecutkan rahim.

Petai
Walaupun
mempunyai bau kuat, ia menjadi kegemaran ramai, sama ada dimakan mentah
atau dimasak bersama sambal tumis. Sebenarnya pucuk petai juga boleh
dijadikan ulam dan ia dikatakan baik untuk membantu mengawal penyakit
kencing manis dan tekanan darah tinggi.

Pucuk kaduk
Pucuk
kaduk biasanya lebih kerap dijadikan bahan perasa masakan, tetapi ia
juga boleh dimakan mentah. Ia dipercayai boleh menguatkan tulang dan
rebusan daun kaduk dijadikan ubat melegakan batuk, selesema dan sengal
sendi.
Pucuk gajus
Rasanya
yang masam menjadikan ulam ini sangat istimewa. Pucuk gajus dipercayai
boleh mengubati masalah cirit-birit, mual dan muntah. Daun tua yang
dilumatkan boleh dijadikan ubat untuk kulit melecur atau penyakit kulit
lain.
Lobak merah
Jarang
kita jadikan lobak merah sebagai ulam harian kerana ia biasanya
dicampur dalam salad. Lobak merah kaya vitamin A dan mineral seperti
kalium, magnesium, fosforus dan sulfur.
Ia baik untuk mengatasi
masalah rabun malam akibat kekurangan vitamin A dan kandungan serat
tinggi dapat memperbaiki gangguan saluran usus.

Mengkudu
Pucuk
mengkudu biasanya dimasak atau dicelur untuk dijadikan perencah urap
dan pecal. Ia kaya dengan beta karoten dan zat besi yang baik digunakan
untuk mengatasi masalah kurang darah.
Buah mengkudu masak pula
mengandungi bahan antiseptik berfungsi melegakan kesakitan, bahan
antioksida, merangsang pengeluaran sel darah putih dan meningkatkan
daya ketahanan badan.

Jering
Walaupun
berbau kuat, jering mempunyai khasiat perubatan tinggi. Ia kaya
protein, karbohidrat dan serat yang mampu mengubati penyakit kencing
manis.
Makan Ulam untuk awet muda
Di pos oleh Arbain Muhayat pada 08 June 2008