Curi tulang adalah perbuatan tidak amanah
Tiga perkara yang boleh menyebabkan kerugian dan kekecohan dalam sesebuah organisasi mahupun sebuah negara ialah:
1.Kurang tanggungjawab terhadap tugas yang diamanahkan.
2.Suka membuang masa dan bersembang serta bercakap perkara sia-sia.
3.Suka melengahkan tugas yang dipertanggungjawab.
Sikap
suka meninggalkan tugas sehingga menyusahkan orang lain adalah
perbuatan yang tidak bertanggungjawab.Malah, ia juga boleh
dikategorikan sebagai khianat atau ‘curi tulang’ iaitu sikap orang
malas yang sentiasa mengharapkan habuan dan pertolongan orang lain.
Golongan
begini mensia-siakan amanah yang diberikan dan masa yang diperuntukkan
kepadanya. Kesannya apabila kesuntukan masa orang lain yang terpaksa
memberikan bantuan.Bukankah itu menyusahkan orang lain, malah jika
tidak diberikan bantuan, dipersalahkan pula atas alasan tidak
memberikan kerjasama. Ini mengakibatkan perselisihan, kekecohan dan
kemarahan.
Nabi s.a.w bersabda, maksudnya: “Dilaknat Allah sesiapa yang menyusahkan orang-orang beriman atau membuat kecoh terhadapnya.”
Sikap
terbabit juga mengakibatkan satu-satu operasi menjadi lemah. Pengabaian
tanggungjawab golongan yang suka menangguhkan kerja sehingga satu pun
tidak terlaksana boleh juga dianggap satu sikap suka membuli, kerana
kesudahannya orang lain yang menjadi mangsa.
Tabiat
buruk itu sepatutnya dijauhi bukan saja bagi memastikan operasi
sesebuah organisasi atau negara berjalan lancar, malah mengelakkan
daripada menanggung dosa yang berterusan.
“Sesungguhnya
kami memberi tangguh kepada mereka hanyalah supaya bertambah-tambah
dosa mereka dan bagi mereka azab yang menghinakan.” (Ali-Imran: 178)
Allah
membiarkan golongan ini berterusan mengumpul dosa kerana mereka
menyangka perbuatan mereka itu betul dan tidak akan menerima pembalasan
di akhirat nanti, sebagaimana firman-Nya pada ayat 36 surah al-Qiaamah,
bermaksud:
“Patutkah
manusia menyangka bahawa ia akan ditinggalkan terbiar (dengan tidak
diberikan tanggungjawab dan tidak dihidupkan menerima balasan?)”
Ini
bererti mereka yang suka membuli dengan mengharapkan tenaga orang lain
hanya mampu berbangga, bermegah dan gembira di dunia.Di akhirat, mereka
dihina dan muflis akibat berhutang kepada orang dikhianatinya di dunia
dahulu akibat tipu daya mereka sendiri.
Di pos oleh Arbain Muhayat pada 08 June 2008