Jula Juli Bintang Tiga teruskan kesinambungan bangsawan


AZIZ Abdullah (kiri) melakonkan watak Sultan Darshah Alam merupakan antara pelakon utama pada pementasan bangsawan Jula Juli Bintang Tiga di Panggung Bandaraya, Kuala Lumpur baru-baru ini.


PEMENTASAN bangsawan di negara ini agak bernasib baik kerana kelangsungannya diteruskan oleh banyak pihak termasuklah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) serta persatuan seperti Persatuan Seni Bangsawan Bintang Timur (PSBBT).

Persatuan itu yang di bawah bimbingan Seniman Negara 2004, Rahman Abu Bakar atau Rahman B merupakan antara individu yang banyak memperjuangkan seni pementasan bangsawan sejak tahun 1950-an sehinggalah kini.

Fakulti Teater di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) turut tidak ketinggalan membantu menghidupkan lagi bangsawan menerusi kursus-kursus yang ditawarkan menerusi fakulti tersebut sejak beberapa tahun lalu.

Jula Juli Bintang Tiga merupakan naskhah bangsawan terbaru arahan Rahman B yang dipentaskan di Panggung Bandaraya, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Ia menampilkan cerita lisan yang umumnya diperturunkan secara turun temurun masyarakat dahulu kala.

Watak-watak seperti Maharaja Jin Beragas dan pari-pari merupakan antara watak-watak yang sinonim dipertontonkan menerusi cerita bangsawan yang berkonsepkan mitos.

Sebagai aktivis bangsawan, beliau seolah-olah mahu mempertahankan gaya lakonan, dialog dan penampilan karakter-karakter dalam bangsawan ini tanpa banyak mengubah daripada versi asalnya sama seperti ia dipersembahkan dari dulu hinggalah kini.

Para penonton seakan-akan sudah dapat meneka jalan cerita dan klimaks sesebuah cerita bangsawan, tetapi elemen itu sukar untuk dipertikaikan kerana ia merupakan identiti bangsawan sejak dari dulu lagi.

Tetapi bagi penulis skrip mahupun pengarah bangsawan mereka sebenarnya masih boleh melakukan pelbagai anjakan bagi mengubahsuai dialog dan jalan ceritanya supaya ia lebih segar serta tidak nampak terlalu stereotaip.

Pendekatan itu contohnya, boleh dilakukan dengan menggunakan elemen moden seperti sains dan teknologi terkini dalam pengisahan cerita-cerita bangsawan fantasi termasuklah dalam Jula Juli Bintang Tiga.

Ini kerana, pementasan bangsawan yang berkonsepkan fantasi seperti itu mempunyai sedikit kelonggaran demi mempelbagaikan lagi jalan cerita, watak-wataknya bagi menarik perhatian lebih ramai penonton.

Malah, banyak lagi elemen lain yang berteraskan dunia teknologi hari ini yang boleh diaplikasikan dalam jalan cerita pementasan bangsawan seperti itu sesuai dengan perubahan zaman bagi menarik perhatian terutamanya generasi baru.

Sayangnya, ruang pendekatan seperti itu belum diguna pakai oleh para pengkarya bangsawan genre itu di mana masih banyak idea yang tanpa batas sempadan belum digali serta digunakan sepenuhnya.

Diharap di lain masa, Rahman B mahupun aktivis bangsawan lain akan lebih aktif serta berani untuk memaparkan kelainan atas nama tiket genre fantasi yang sepatutnya mampu melangkaui pemikiran para penonton.

Penggunaan dialog cerita-cerita sebegini juga sepatutnya tidak terikat ataupun terikut-ikut seperti gaya pementasan bangsawan yang lebih berorientasikan budaya dan tradisional Melayu.

Tidak dinafikan karya arahan Rahman B itu memperlihatkan kepelbagaian beliau dalam mementaskan bangsawan yang turut meliputi seni berteraskan tradisional dan boleh dianggap klasik dalam susur galur budaya masyarakat Melayu.

Sebelum Jula Juli Bintang Tiga, Rahman B misalnya, pernah mengarahkan pementasan bangsawan Raden Galoh yang merupakan sebuah epik klasik yang amat popular, juga ditempat yang sama baru-baru ini.

Tidak seperti cerita fantasi, bangsawan tradisional lebih terikat dengan etika yang membabitkan soal pengekalan nilai-nilai keaslian budaya termasuklah bahasa klasik, kostum tradisional Melayu, adat istiadat, protokol istana dan prob yang menggambarkan suasana purbakala.

Jula Juli Bintang Tiga antara lain mengisahkan Cincin Mustika Bumi kepunyaan Sultan Darshah Alam yang disambar seekor burung ketika baginda sedang bermain bola bersama anak-anak menterinya di tepi sebuah tasik.

Baginda kemudiannya terlihat seorang puteri memakai cincin yang hilang itu di atas seekor angsa dan meminta supaya dikembalikan barang berharga tersebut kepadanya.

Insiden itu akhirnya merupakan suatu titik mula pertemuan Sultan Darshah Alam hingga baginda bertemu jodoh dengan puteri tersebut walaupun tanpa mengetahui asal usul permaisurinya itu.

Penggunaan kostum dalam pementasan ini juga boleh dipelbagaikan bagi membezakannya dengan pementasan lain, misalnya dengan melakukan tokok tambah bagi menampilkan identiti yang berbeza pada watak-watak dalam bangsawan ini.

Sebagai contohnya, watak pari-pari boleh dipelbagaikan dengan tidak hanya bergantung kepada sepasang sayap kecil yang membolehkannya terbang di mana ia boleh digantikan dengan peralatan moden lain bagi tujuan tersebut.

Perkara itu tiada cela atau salahnya asalkan ia sesuai dan kena dengan jalan cerita bangsawan yang berkonsepkan seperti ini demi memastikan para penonton dapat menggunakan medium ini sebagai suatu elemen escapism (pelarian dari dunia nyata).

Jika tidak, cerita-cerita bangasawan seperti itu mungkin sekadar mampu menarik perhatian golongan kanak-kanak sahaja dan ia mungkin akan menyebabkan para penonton dewasa mudah menguap ketika mereka menonton pementasan seperti ini.

Jula Juli Bintang Tiga yang dibarisi oleh 16 pelakon penting tidak mengecewakan para penonton kerana kebanyakan mereka memang berpengalaman dan cukup popular dalam dunia pementasan bangsawan tempatan.

Difahamkan selepas ini bertempat di panggung yang sama banyak lagi pementasan bangsawan seperti Raja Bersiong, Tok Arau, Raden Mas dan Musang Berjanggut turut akan dipentaskan.

Cuma diharap semua pementasan itu dapat dilakukan perubahan dan penambahan sesuai dengan keperluan jalan ceritanya agar ia tidak sama dengan pementasan bangsawan-bangsawan lain sebelum ini.

Di pos oleh Arbain Muhayat pada 22 December 2008