Perubahan di Permatang Pauh

TIDAK ada topik yang menjadi bualan paling panas minggu ini kecuali kenaikan harga minyak dan kebimbangan mengenai kenaikan harga barangan dan perkhidmatan lain. Pesta isi penuh tangki minyak - malahan diisi dalam tong - menjelang 12 tengah malam baru-baru ini sudah berakhir. Sekalipun isi tangki dah mula berkurangan atau telah habis, sekurang-kurangnya penjimatan kos sudah dilakukan untuk satu hari yang tidak datang lagi selepas ini.

Bagi penulis yang bercuti di Pulau Pinang (Penang) sempat mengisi penuh tangki minyak sebagai bekalan pulang ke Kuala Lumpur (KL) beberapa minit sebelum harga baru dikuatkuasakan. Sekurang-kurangnya bekalan bernilai RM80 (kadar harga lama) itu mampu membawa penulis dan keluarga sampai ke KL. Dan selepas itu, terimalah hakikat harga baru dan berfikirlah dua kali sebelum memandu pulang ke kampung. Fikirkan soal kos - minyak, makan, minum dan tol. Contohnya dari KL ke Penang, kata orang paling sengkek, dalam poket mesti ada RM500 - itu pun sekadar menziarahi orang tua di Parlimen Permatang Pauh dan mertua di Parlimen Batu Kawan - kedua-duanya diwakili Pakatan Rakyat (PR). Disebabkan tol masih dikenakan di laluan negeri-negeri yang dikuasai PR - Selangor, Perak, Kedah dan Pulau Pinang, maka kos tol juga perlu diambilkira. Tidak berbaloi lagi jika cuti dua tiga hari nak balik kampung. Cukuplah pulang semasa cuti sekolah atau musim perayaan. Tetapi kalau nak tahu kisah politik tempatan, kenalah juga turun ke bawah untuk bertanyakan khabar berita mengenai politik semasa. Ketika berada di kawasan Parlimen Permatang Pauh baru-baru ini, penulis sempat berbual bersama dua tiga orang politik. Banyak cerita yang didengar, antaranya, kisah mantan ahli Parlimen kawasan itu, Anwar Ibrahim yang terus yakin akan menjadi Perdana Menteri pada September ini. Ada juga yang bimbang, kalau-kalau RM0.78 sen (kenaikan harga minyak) mampu mengubah landskap politik negara kerana Anwar berjanji mahu menurunkan harga minyak. Itu antara cerita di Permatang Pauh. Namun yang lebih menarik ialah menjelang pemilihan di peringkat bahagian. Kemungkinan berlaku perebutan jawatan Ketua UMNO bahagian Permatang Pauh - sama seperti ghairahnya mereka yang mahu merebut jawatan Naib Presiden UMNO. Setakat ini khabarnya lima orang berminat merebut jawatan itu. Mereka ialah penyandang, Jalil Abdul Majid; timbalannya Pirdaus Ismail; bekas ketua, Ahmad Saad; bekas Ketua Penerangan Arif Shah Omar Shah dan bekas Ketua Pemuda bahagian, Razak Osman.

NekadKenapa ramai yang mahu menawarkan diri? Pastinya masing-masing akan memberi alasan untuk membawa perubahan. Tetapi apa lagi yang mahu diubah kerana mereka adalah muka lama yang telah diberi peluang sebelum ini?

Apatah lagi Jalil gagal mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti sementara Pirdaus sekali lagi gagal mengembalikan semula kerusi Permatang Pauh ke pangkuan UMNO. Begitu juga DUN Permatang Pasir terus kekal di tangan Pas. Tentunya sedikit sebanyak ia berkait rapat dengan tanggungjawab pemimpin bahagian. Ahmad pula dianggap sudah terkeluar daripada arus perdana bahagian walaupun beliau dikatakan masih mempunyai sokongan. Razak juga muka lama yang gagal menyerlah. Kecuali Arif Shah yang sebelum ini sanggup memberi laluan kepada Pirdaus untuk jawatan timbalan dan terpaksa meninggalkan regunya Ahmad bersendirian pada pemilihan lalu. Khabarnya, kali ini Arif Shah sudah nekad bertanding. Beliau tidak berminat memberi laluan setelah 'pengorbanannya' sebelum ini seolah-olah tidak dihargai apabila tidak diberi jawatan sewajarnya untuk sama-sama menyumbang kepada UMNO bahagian. Namun Arif Shah yang dikatakan bersendirian mampu untuk hidup sekurang-kurangnya bagi meneruskan khidmat di kawasan yang diwakilinya DUN Seberang Jaya. Dan pada penggal ini peranannya semakin besar kerana beliaulah satu-satunya wakil UMNO di kawasan Parlimen Permatang Pauh apabila mengekalkan kerusi DUN Seberang Jaya. Secara tidak langsung Arif Shah perlu mewakili suara ahli-ahli UMNO di seluruh kawasan Parlimen Permatang Pauh. Mungkin disebabkan faktor ini, Arif Shah bersedia menawarkan diri untuk jawatan ketua supaya peranannya sebagai wakil rakyat UMNO Permatang Pauh lebih bermakna. Lebih-lebih lagi Arif Shah adalah anak tempatan yang sudah lama bergiat di bahagian itu di samping tidak ke mana kerana menjadi 'pemastautin tetap' di Permatang Pauh. Inilah antara kelebihan Arif Shah yang menurut penyokongnya sudah bersedia turun ke gelanggang bagi membawa perubahan. Sememangnya Permatang Pauh memerlukan perubahan kerana ketika ini ia dalam kelesuan - seperti 'lesu dan muramnya' bangunan UMNO bahagian Permatang Pauh di Tanah Liat. UMNO Permatang Pauh perlu kembali ceria sekurangnya-kurangnya seperti ketika era Allahyarham Mohd Noor Abu Bakar yang kemudiannya menerima Anwar sebagai ketua.

- HASSAN MOHD. NOOR.

Di pos oleh Arbain Muhayat pada 08 June 2008