Kriteria Naib Presiden
Sehingga semalam, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hassan merupakan calon kelapan di kalangan pemimpin UMNO yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan naib presiden parti itu dalam pemilihan pada Disember ini.
Sebelum ini, tujuh pemimpin sudah menawarkan diri, mereka ialah penyandangnya, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam; Menteri Luar, Datuk Seri Dr.Rais Yatim , Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob; bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim dan bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik.
Apa yang menarik dalam senarai itu, ramai masih tertunggu-tunggu pendirian dua lagi penyandang iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad. Ketika ini kedua-dua mereka masih mendiamkan diri.
Isa dikatakan hanya akan menyatakan pendirian selepas tempoh penggantungannya kerana disabitkan kesalahan mengamalkan politik wang dalam pemilihan lalu tamat tidak lama lagi.
Muhyiddin pula yang ketika ini dianggap pemimpin UMNO paling lantang menegaskan 'kebenaran itu perlu dinyatakan walaupun pahit' dikatakan masih menghitung-hitung posisi manakah seharusnya beliau meletakkan dirinya.
Dari segi rekod, Muhyiddin sudah menjadi Naib Presiden sejak 1993 - ertinya sudah 15 tahun beliau berada di kedudukan itu. Justeru orang UMNO ternanti-nanti apakah langkah seterusnya yang akan beliau lakukan, apakah untuk terus bertahan di posisi tersebut atau melangkah setapak lagi.
Tetapi apa yang pasti sudah ada suara-suara yang mencadangkan agar Muhyiddin tidak lagi berada di posisi Naib Presiden. Ia bukan bermakna Muhyiddin tidak bertanding langsung tetapi perlu memikirkan untuk "meningkatkan kerjaya politiknya."
Apa pun ia terserah kepada Muhyiddin menentukannya, sebagai seorang yang sudah lama bergelumang dalam politik dan memahami perhitungan yang berlaku dalam setiap kali pemilihan UMNO, Muhyiddin sudah pasti mengetahui apa yang sepatutnya beliau lakukan.
Dalam membuat keputusan itu, Muhyiddin harus meletakkan kepentingan parti melebihi segala-galanya, jika beliau merasakan mampu memainkan peranan yang lebih besar dalam UMNO, beliau harus melakukannya. Beliau tidak perlu bimbang dengan andaian-andaian nakal akan berlaku perpecahan dalam parti jika beliau berusaha bertanding di posisi "meningkatkan kerjaya politiknya."
Apa yang penting ialah suara akar umbi yang semakin lantang menuntut supaya sesuatu dilakukan dari segi kepimpinan. Mereka bersuara demikian sebagai usaha mengembalikan kegemilangan UMNO yang luntur berikutan keputusan pilihan raya umum lalu.
Muhyiddin dilihat mempunyai keupayaan untuk mengembalikan kegemilangan berkenaan.
TumpuanMungkin Muhyiddin boleh meniru langkah Hishammuddin yang meninggalkan kerusi Ketua Pemuda untuk bertanding kerusi Naib Presiden bagi "meningkatkan kerjaya politiknya".
Ahli UMNO juga ingin melihat apakah beberapa lagi pemimpin terutamanya dari Johor akan bertanding jawatan itu. Antaranya termasuk Datuk Seri Syed Hamid Albar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Abdul Ghani Othman. Namun apa yang pasti, perebutan jawatan naib presiden sentiasa menjadi tumpuan utama dalam pemilihan UMNO.
Malah jawatan itu dianggap landasan untuk melangkah ke posisi lebih tinggi dalam parti dan kerajaan. Persoalannya, selepas prestasi Barisan Nasional (BN) dan UMNO dalam pilihan raya umum lalu, naib presiden seperti manakah yang diperlukan oleh UMNO untuk memperkukuhkan parti?
Adalah jelas, di peringkat akar umbi mereka mahukan naib presiden yang tegas dan berani menyatakan kebenaran demi kebaikan parti dan kerajaan. Walaupun di dalam UMNO terdapat segelintir pemimpin yang tidak selesa dengan pemimpin yang lantang tetapi memetik kata-kata Datuk Shahrir Samad, "UMNO tidak boleh selama-lamanya berada dalam zaman feudal, iaitu orang bawah takut untuk bercakap."
Sebenarnya, apabila seseorang pemimpin kanan bertaraf naib presiden menegur kepimpinan yang lebih tinggi atau membuat kenyataan yang berkaitan dengan kebenaran ia adalah demi untuk kebaikan parti tetapi jika ada pihak melihat ia 'menderhaka' kepada kepimpinan ertinya orang yang berkata demikian hanya merosakkan parti.
Justeru dalam pemilihan UMNO kali ini, ahli-ahli parti yang akan membuat keputusan memilih naib presiden harus memilih mereka di kalangan yang dilihat mampu menegakkan kebenaran dan berani menegur demi kebaikan parti dan kerajaan.
Dalam kedudukan UMNO dan BN sekarang, UMNO tidak memerlukan pemimpin 'Santa Claus', apatah lagi pemimpin yang dilihat hanya tahu 'mengampu' dan tidak berani untuk menyatakan kebenaran kerana bimbang akan kehilangan kedudukan.
Pemilihan naib presiden kali ini harus dijadikan sebahagian daripada persiapan UMNO untuk memilih 'panglima-panglima' yang benar-benar berwibawa bagi bersama-sama Presiden dan Timbalan Presiden berhadapan dengan pembangkang dalam pilihan raya umum akan datang.
Justeru kriteria paling penting dalam memilih naib presiden ialah meletakkan mereka yang berani membawa suara rakyat kepada kepimpinan dan bukannya pemimpin yang hanya tahu menyokong apa sahaja tindakan kerajaan biarpun mereka tahu rakyat di peringkat akar umbi menentangnya.
Mungkin pemimpin seumpama itu akan terselamat kedudukannya tetapi apakah ia akan mendatangkan keuntungan kepada parti? Pilihan raya umum lalu telah menunjukkan bagaimana suara rakyat di peringkat akar umbi amat penting didengari oleh pemimpin-pemimpin.
Tetapi mampukah seorang naib presiden itu memainkan peranannya untuk bersuara lantang apabila turut memegang jawatan dalam kerajaan dalam erti kata lain menjadi menteri atau timbalan menteri?
Mungkin masanya sudah tiba dalam usaha memperkukuhkan UMNO, mereka yang memegang jawatan naib presiden tidak perlu diletakkan dalam posisi berkenaan.
Ini kerana tindakan itu akan membolehkan mereka memberi pandangan dan pendapat dengan lebih bebas demi kepentingan rakyat terhadap sebarang langkah yang dilakukan oleh kerajaan. Adalah sesuatu yang malang apabila seseorang naib presiden yang bersuara lantang biarpun apa yang dinyatakan itu benar dicadangkan dikenakan tindakan disiplin. Seharusnya di zaman UMNO dikatakan semakin terbuka, telus dan demokratik ini, soal itu tidak timbul.
Mungkin dengan berada di luar kerajaan, seseorang naib presiden itu akan dapat melihat kelemahan berhubung sesuatu tindakan kerajaan berbanding dengan beliau sendiri berada dalam jemaah menteri untuk membuat keputusan.
Mungkin ada antara kita beranggapan cadangan ini agar janggal tetapi ia bukanlah sesuatu yang aneh, bukankah sekarang ini pun Ketua Wanita UMNO yang bertaraf naib presiden tidak berada dalam kerajaan?
Selain itu, ahli-ahli UMNO juga harus memahami bahawa pemilihan UMNO kali ini terutamanya bagi jawatan naib presiden bukanlah untuk menyelamatkan atau menghidupkan karier politik mana-mana pemimpin. Ia adalah pemilihan bagi menentukan barisan kepimpinan pemimpin Melayu masa depan.
BerlaluJusteru mereka perlu berhati-hati untuk membuat pemilihan. Jika mereka melihat ada di kalangan calon itu dianggap 'eranya sudah berlalu', biarlah ia berlalu dan menjadi catatan sejarah perjuangan UMNO sahaja.
Mereka tidak boleh mengikut hawa nafsu atau terpengaruh dengan rasa simpati kerana rakyat terutamanya orang Melayu akan turut menilai siapakah pemimpin yang dipilih itu.
Jika mereka melihat barisan naib presiden yang dipilih berwibawa sudah pastilah mereka akan kembali menyokong UMNO tetapi jika mereka melihat barisan pembangkang jauh lebih baik daripada barisan UMNO, mereka mungkin tidak akan memilih UMNO dan BN lagi.
Oleh itu, dalam soal memilih naib presiden ini, ahli-ahli UMNO harus berani membuat keputusan dan memikirkan dengan semasak-masaknya sebelum melontarkan sokongan hatta dari segi pencalonan sekalipun.
Jika mereka merasa ada calon yang perlu diketengahkan ke peringkat lebih tinggi bagi 'meningkatkan kerjaya politiknya' demi kepentingan parti, lakukanlah.
Apa yang perlu difahami, UMNO memerlukan barisan naib presiden yang kuat. Tiga individu yang akan dipilih ke jawatan berkenaan haruslah mempunyai perjalanan politik yang cemerlang dan paling penting tidak pernah takut menyatakan kebenaran..
"Kita tidak mahu pemimpin yang tahu menyokong sahaja, kita memerlukan pemimpin yang lantang bersuara demi rakyat,'' kata seorang pemimpin Pemuda sebuah cawangan UMNO di Selangor.
Kini segalanya terserahlah kepada ahli-ahli UMNO untuk menentukannya. Mereka mempunyai kuasa memilih pemimpin yang mereka kehendaki.
Ahli UMNO boleh menentukan sama ada memilih pemimpin untuk sekadar wujud sahaja atau pemimpin yang memperjuangkan nasib mereka demi kepentingan bangsa, agama dan negara.
Di pos oleh Arbain Muhayat pada 08 June 2008