Cukupkah sekadar marah kepada Israel?
ISRAEL telah mengganyang bumi Gaza hingga meragut lebih 900 nyawa. Hampir separuh daripadanya adalah kanak-kanak, wanita dan orang awam.Dalam kebanyakan gambar yang disiarkan oleh akhbar, saya amat tersentuh dan gambar yang disiarkan di muka hadapan Utusan Malaysia bertarikh 7 Januari 2009 lalu. Gambar yang memaparkan mayat seorang budak perempuan Palestin sangat menyentuh perasaan saya.
Dia kemungkinan sebaya dengan anak perempuan bongsu saya yang berumur 4 tahun. Gambar berkenaan bukanlah satu-satunya gambar yang menceritakan penderitaan bangsa palestin.
Gambar berkenaan juga mengingatkan saya kepada gambar yang hampir serupa ketika media memaparkan gambar mayat seorang kanak-kanak Palestin yang terkorban dalam tragedi Shabra dan Shatila kira-kira 20 tahun yang lalu.
Setiap kali menyaksikan penindasan yang menimpa umat Islam, kita sering melihat reaksi balas umat Islam dan warga dunia yang lain meluahkan perasaan marah di jalan-jalan raya. Ia mungkin sebahagian daripada reaksi segera yang mampu kita lakukan.
Namun apakah ia memberi kesan yang segera kepada keangkuhan Israel yang menjadi semakin gila? Benarlah ingatan al-Quran kepada umat Islam bahawa Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan reda dengan Islam melainkan kita mengikuti ajaran mereka.
Dengan kemelut yang melanda umat Islam hari ini, tidak ada apa yang boleh kita lakukan dengan berkesan. Tindakan memboikot barangan Israel dan sekutunya AS mungkin pilihan terbaik setakat ini.
Tetapi tindakan ini juga akan memberi kesan kepada negara kita sendiri kerana terdapat juga pemegang francais kepada produk yang hendak diboikot di negara kita adalah usahawan tempatan seperti JCorp yang memegang francais KFC.
Saya menyokong sepenuhnya pandangan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang meminta umat Islam terutama di negara kita supaya membuat pembetulan diri dengan mengambil Palestin sebagai iktibar.
Tidak guna kita menyalahkan Yahudi dan AS jika sebahagian besar keperluan hidup kita bergantung kepada mereka.
Bukan sahaja kita memerlukan mereka untuk menyediakan senjata kepada kita, malah kita juga memerlukan mereka untuk menyediakan keperluan makanan seharian kita. Itu belum lagi mengambil kira keperluan ilmu pengetahuan dan teknologi.
Memiliki
Tidak ada apa yang boleh kita lakukan jika tidak memiliki ilmu pengetahuan terutama dalam bidang sains dan matematik.
Penguasaan ilmu pengetahuan pula janganlah diukur dengan hanya melihat pangkat dan kelulusan akademik semata-mata, tetapi ia perlu diterjemahkan kepada sumbangannya kepada pembangunan umat secara keseluruhannya.
Universiti kita janganlah hanya menjadi gedung ilmu semata-mata dengan segala tenaga pakar dan hasil pelbagai jenis kajian, tetapi hendaklah turut berperanan sebagai penjana kepada setiap keperluan umat Islam. Ramai tenaga pakar dan ilmuwan yang mampu mengkaji, menulis, bersyarah dan bercakap. Begitu juga ramai pemimpin dan pentadbir Islam yang kaya dengan idea dan kuasa.
Tetapi tidak ramai yang bersedia turun padang mengorbankan masa, wang ringgit dan kedudukan masing-masing untuk mengubati penyakit umat.
Untuk mencapai semua ini, ia bukanlah semudah menulis pendapat ini. Ia memerlukan umat yang sedia berkorban seperti mana yang dilakukan oleh generasi umat terdahulu.
Untuk itu, saya menyeru diri saya sendiri dan semua umat Islam, mulakan dengan diri kita sendiri, keluarga kita dan sahabat yang sedia memilih perjuangan ini.
Perjuangan ini melampaui batasan ideologi politik, sempadan negara dan warna kulit. Mulakan dengan doa kerana kita sering lupa bahawa umat Islam memiliki senjata yang lebih ampuh daripada senjata nuklear iaitu doa.
AMAN ALMASHOORI
Alor Star, Kedah
Di pos oleh Arbain Muhayat pada 15 January 2009