Ekonomi Barat boleh digugat

Konflik Israel-Palestin dan keganasan Israel tanpa peri kemanusiaan ke atas penduduk Islam Palestin di Gaza sebenarnya mencerminkan kelemahan pemimpin-pemimpin negara Islam itu sendiri.

Demonstrasi, boikot dan bantahan sama ada diplomasi atau keras tanpa tindakan balas yang setara ke atas keganasan Israel tidak membawa sebarang pengertian.

Tidak hairanlah Israel masih mengganas walaupun resolusi gencatan senjata telah diluluskan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Seperti biasa, Amerika Syarikat (AS) mengambil sikap berkecuali dalam resolusi PBB itu.

Konflik Israel-Palestin dan serangan rejim Zionis ke atas Gaza mencerminkan kelemahan kesatuan geopolitik dalam kalangan pemimpin negara Islam.

Kelemahan negara Islam dari segi ekonomi, politik dan tentera, terutamanya selepas Perang Dunia Kedua, memberi ruang kepada negara Barat, terutamanya AS dan Kesatuan Eropah (EU) untuk menentukan hala tuju ekonomi dan politik dunia.

Merekalah arkitek kepada penubuhan PBB, Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), Bank Dunia dan Pertubuhan Perdagangan Antarabangsa (WTO).

Menerusi institusi antarabangsa itu, AS dan EU melaungkan peri pentingnya demokrasi dan meluaskan pengaruh mereka menerusi bantuan keselamatan dan kewangan kepada negara sedang membangun, termasuk negara Islam.

Liga Arab (22 negara ahli) dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC, 57 negara ahli) tidak dapat mempengaruhi, apa lagi menguasai konflik Israel-Palestin, sebaliknya bergantung kepada PBB untuk menyelesaikan konflik itu.

Adakala melobi negara Rusia untuk mencari jalan penyelesaian kepada konflik itu, namun Rusia kini bukan lagi kuasa ekonomi dan politik yang besar.

Bagaimanapun, sebarang resolusi mengenai konflik Israel-Palestin yang ditentukan oleh PBB akan memihak kepada Israel dan disertai dengan sokongan padu daripada AS.

Pada satu pendekatan ekstrem, AS berperanan sebagai polis dunia dan pendamai antarabangsa dalam sebarang konflik dunia jika ia menggugat kepentingannya.

Malah ada negara Islam yang menjemput AS dan EU menyelesai masalah dalaman negara mereka. Satu ironi yang besar.

Krisis kewangan yang melibatkan berbilion dolar di AS dan euro di EU menunjukkan bahawa ekonomi negara Barat itu bukan tidak boleh digugat.

Negara Islam perlu memanfaatkan kelemahan ekonomi negara Barat pada masa ini dengan mewujudkan wilayah perdagangan bebas (FTA) sejagat dalam kalangan negara Islam, khususnya OIC-FTA.

Misinya adalah untuk menguasai hala tuju ekonomi politik dunia yang selama ini ditentukan oleh AS dan EU. Blok OIC-FTA perlu mengambil gagasan baru yang lebih agresif dengan menjadi saingan kepada AS dan EU.

Kekuatan

Ini boleh dilakukan dan telah dilakukan oleh negara Islam yang merupakan pelaku utama dalam geopolitik dunia dan menjadi pusat rujukan antarabangsa sebelum kejatuhan Empayar Turki Uthmaniyah.

Kekuatan negara Islam terletak pada kesatuan geopolitiknya. Untuk mencapai matlamat itu, ekonomi negara-negara Islam perlu diperkukuhkan terlebih dahulu.

Pergantungan kepada blok Barat dari segi bantuan keselamatan dan kewangan memberi implikasi yang tidak sihat.

Akibatnya, negara Islam tidak bebas daripada pengaruh dasar luar terutamanya dari AS dan EU. Situasi ini juga berpunca daripada kelemahan ekonomi negara ahli OIC dan pemimpin negara Islam dalam pengurusan ekonomi dan kekayaan negara masing-masing.

Walaupun negara-negara Islam menguasai pengeluaran minyak mentah dunia dan AS pula pengguna minyak terbesar dunia, negara Islam masih tidak dapat mempengaruhi dan menguasai AS. Ini merupakan isu besar.

Daripada 13 negara Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC), 10 adalah negara Islam dengan Arab Saudi, Iran, Iraq dan Kuwait mempunyai rezab minyak mentah yang terbesar di dunia.

Minyak dikeluarkan sebegitu banyak oleh negara Islam OPEC tetapi malangnya tidak membawa apa-apa formula demi survival negara-negara Islam di dunia, khususnya untuk menyelesaikan konflik Israel-Palestin dan Barat-Islam.

Oleh itu, anugerah minyak yang diberi oleh Allah tidak digunakan oleh pemimpin Islam untuk menjaga agama Islam dan masyarakatnya.

Ini kerana pemimpin negara Islam tidak bergerak secara kolektif sebagaimana blok AS dan EU sering bekerjasama menerusi badan dunia yang disahkan oleh masyarakat antarabangsa dan juga negara Islam seperti PBB, IMF, Bank Dunia dan WTO untuk menjaga kepentingan mereka dan masyarakatnya.

Sumbangan OIC kepada output dunia adalah kecil. Berdasarkan data 2006, OIC menyumbang hanya lapan peratus dalam output dunia, berbanding EU sebanyak 30 peratus, dan AS menyumbang 23 peratus.

Ini bererti daripada satu ringgit, 30 sen ekonomi dunia dijana oleh blok EU dan 23 sen dihasilkan oleh AS. Sementara negara OIC yang terdiri daripada 57 negara ahli menjana lapan sen sahaja. Inilah gambaran jurang kekuatan ekonomi antara Barat dan Islam.

Penyumbang terbesar dalam output dunia, ialah AS, Jepun, China, Jerman, Perancis, United Kingdom, Itali, Rusia, Sepanyol dan Brazil.

Ini bererti, tidak ada negara Islam individu yang menduduki tangga 10 teratas dari segi sumbangan kepada output dunia.

Daripada 180 negara di dunia, kedudukan yang tertinggi tercapai oleh negara Islam ialah Turki, di tangga ke-17.

Sumbangan Turki dalam output dunia hanya satu peratus diikuti dengan Arab Saudi (ke-19), Indonesia (ke-26) dan Iran (ke-26).

Seperti Turki, kegiatan ekonomi Iran ialah di EU dan Asia. Malaysia pula di tangga ke-41 dalam kedudukan dunia tetapi di tangga ke-7 dalam kedudukan OIC.

Apa yang menarik ialah Iran, ia masih mampu membangunkan ekonominya walaupun dengan sekatan dan halangan perdagangan daripada AS dan salah satu daripada negara Islam yang tidak boleh dipengaruhi oleh AS. Kecuali, Turki dan Iran, kebanyakan negara Islam bergantung kepada AS dalam perdagangan dan pelaburan antarabangsa.

Blok OIC-FTA

Ekonomi negara Islam dapat dikukuhkan dengan penubuhan OIC-FTA yang sistematik dan bergerak secara kolektif dan agresif dan menyelesai segera konflik Sunni-Syiah. Kerjasama ekonomi yang teratur sesama negara Islam sudah pun dilaksanakan menerusi penubuhan D-8 pada tahun 1996.

Blok dagangan itu bagaimanapun berskala kecil kerana hanya melibatkan lapan negara ahli OIC terpilih iaitu Bangladesh, Mesir, Indonesia, Iran, Malaysia, Nigeria, Pakistan dan Turki.

Blok D-8 dan Perjanjian Perdagangan Keutamaan (PTA) yang berkuat kuasa 1 Januari 2009 sesama negara ahli OIC akan menyediakan laluan pembangunan kepada kejayaan penubuhan blok OIC-FTA yang lebih luas lagi.

Bilangan penduduk Islam di dunia yang hampir 1.8 bilion orang (2006) sudah menyediakan pasaran kepada negara Islam. Penduduk Islam menyumbang kira-kira 28 peratus kepada jumlah penduduk dunia seramai 6.3 bilion orang (2006).

Dikehendaki

Sebenarnya, negara Islam mempunyai kekuatan ekonomi jika ia bergerak secara kolektif dan itulah yang dikehendaki oleh Islam. Krisis kewangan di Barat menunjukkan ekonomi AS dan EU adalah rapuh.

Sistem ekonominya bergerak dalam jaringan hutang dan wang ciptaan dan bukannya bersandarkan emas.

Negara Islam perlu memanfaat kelemahan itu. Kedudukan rezab kewangan AS dan beberapa negara EU sebenarnya boleh disaingi oleh negara Islam.

Rezab tukaran asing dan emas adalah antara beberapa petunjuk kekuatan ekonomi kewangan sesebuah negara.

Daripada 25 negara teratas dalam ranking dunia, China mempunyai rezab tukaran asing dan emas yang tertinggi, iaitu AS$1.5 trilion dan diikuti Jepun (AS$954 bilion) dan Rusia (AS$476 bilion).

AS yang merasakan ia mempunyai kekuatan ekonomi dalam bentuk sumbangannya kepada output dunia, berada di tangga ke-21 (AS$71 bilion) berbanding negara Islam seperti Algeria (ke-12 dengan AS$111 bilion), Malaysia (ke-13 dengan AS$101 bilion) dan Libya (ke-17 dengan AS$80 bilion).

Jika rezab tukaran asing dan emas digabungkan di bawah blok OIC-FTA, negara Islam secara kesatuan mempunyai kekuatan kewangan.

Ia memberi asas kepada OIC-FTA untuk membentuk sistem monetari yang berasaskan emas (atau dinar) bagi tujuan perdagangan dan pelaburan sesama 57 negara ahli.

Ini mengelak mereka daripada terikat dengan sistem IMF, WTO dan Bank Dunia ciptaan Barat. Malah kewujudan negara Israel adalah ciptaan Britain dengan sokongan AS untuk menguasai negara Islam di Timur Tengah.

Sistem monetari dinar yang diuar-uarkan oleh kerajaan Malaysia adalah langkah permulaan dan praktikal bagi OIC-FTA, di samping PTA, untuk mengurangkan pergantungan negara Islam kepada blok Barat secara berperingkat.

Selain itu memberi isyarat kepada AS dan EU bahawa negara Islam adalah serius untuk mewujudkan blok OIC-FTA yang mempunyai keabsahan (legitimacy) bagi menentukan hala tuju ekonomi politik dunia.

Dalam pada itu, ia memberi keabsahan kepada Liga Arab yang akan menjadi sayap politik OIC-FTA untuk melobi, mempengaruhi dan menguasai PBB untuk menyelesaikan konflik Israel-Palestin.

Meningkatkan kekuatan ekonomi, politik dan tentera sesama negara Islam adalah satu amanah bagi menjaga masyarakat Islam antarabangsa.

Kerjasama perniagaan, perdagangan dan pelaburan antara negara Islam menerusi blok OIC-FTA memperkasakan ekonomi ummah Islam.

Kini keabsahan negara Islam dan survival masyarakat pada masa ini bergantung kepada Mekah dengan Masjid al-Haram, Madinah dengan Masjid Nabawi, dan Baitulmaqdis dengan Masjid Al-Aqsa.

Masyarakat Islam antarabangsa yang berketurunan bukan Arab akan selalu mengaitkan diri mereka dengan ketiga-tiga masjid yang utama dalam Islam. Di masjid-masjid ini adalah lambang tauhid dan persaudaraan manusia sejagat.

Di pos oleh Arbain Muhayat pada 15 January 2009