Kemelut automotif di seluruh dunia

Bukanlah sesuatu yang mengejutkan apabila firma penyelidikan dan perunding antarabangsa, Frost & Sullivan meramalkan jualan kenderaan di negara ini menyusut lebih lapan peratus tahun ini ekoran krisis ekonomi dan berkurangnya pelancaran model kenderaan baru.

Menurut Kavan Mukhtyar iaitu Rakan Niaga dan Ketua Praktis Kenderaan dan Pengangkutan rantau Asia Pasifik Frost & Sullivan, kenderaan penumpang bakal menerima tekanan daripada keadaan ekonomi semasa apabila pelanggan mengambil sikap berhati-hati dalam membuat pinjaman baru dan menunda rancangan untuk bertukar kenderaan baru.

Ramalan Kavan itu senada dengan jangkaan Persatuan Automotif Malaysia (MAA) yang membuat unjuran jumlah jualan industri (TIV) bagi kenderaan baru di negara ini menurun sebanyak 16.5 peratus atau 45,874 buah bagi setengah tahun kedua 2008.

Presiden MAA, Datuk Aishah Ahmad berkata, sebahagian besar penurunan itu berpunca daripada kemerosotan 28 peratus dalam jualan kenderaan perdagangan diikuti penyusutan 0.5 peratus kereta penumpang.

Realitinya, bukan pasaran Malaysia sahaja yang sedang bergelut dengan kesan negatif ekoran kemelut ekonomi dunia yang melanda hari ini kerana industri yang sama di negara serantau antaranya Thailand, Indonesia, Filipina, Brunei dan Vietnam juga diramal mengharungi perjalanan yang sukar pada tahun ini.

Di Thailand, jualan kereta dijangka menurun tahun ini setelah menerima kenyataan bahawa rekod jualan pada bulan Oktober yang lalu mulai menyusut sekitar 15.4 peratus dengan Toyota yang menjadi pengeluar kenderaan terbesar di negara itu mengalami kerugian selama lima bulan berturut-turut.

Menguasai

Selain Toyota, dua firma pengeluar kenderaan dari Jepun iaitu Isuzu dan Honda menguasai hampir 80 peratus pasaran automotif di Thailand.

Berikutan penurunan jualan kereta baru tersebut, jumlah pengeluaran kenderaan di Thailand juga dijangka menurun 35 peratus pada tahun ini dan akan menyebabkan 45,000 daripada 300,000 tenaga kerja sektor automotif di negara itu akan kehilangan pekerjaan mereka.

Sementara itu, sektor automotif di Indonesia juga diramal menerima nasib yang serupa setelah berjaya mencatatkan pertumbuhan jualan kereta baru sehingga 22 peratus manakala jualan motosikal pula meningkat sembilan peratus pada tahun lalu.

Menurut Pengerusi Persatuan Industri Automotif Indonesia, Gunadi Sindhunata, jualan kereta baru dijangka menurun kepada 400,000 buah daripada 602,000 buah pada tahun lalu dan 495,000 buah pada tahun sebelumnya akibat penurunan kuasa beli pengguna ekoran krisis ekonomi global yang melanda.

Bagi negara Vietnam, penurunan jualan kereta oleh 16 pengeluar kenderaan di negara tersebut sebanyak 37 peratus pada bulan Oktober yang lalu ekoran kenaikan cukai serta yuran pendaftaran menandakan cuaca sektor automotifnya yang semakin suram tahun ini.

Di Brunei pula, langkah mewajibkan para pembeli membayar deposit atau wang pendahuluan untuk membeli kenderaan baru dijangka mengekang pertumbuhan jualan industri automotif di negara berkenaan walaupun usaha itu mampu memberi keselamatan kepada bank-bank dari menanggung pinjaman tidak berbayar (NPL) yang tinggi.

Sebelum ini, pembeli kenderaan boleh memandu keluar kereta baru dari bilik pameran kereta di Brunei tanpa perlu membuat apa-apa bayaran pendahuluan sehingga menjana jualan 14,354 buah kenderaan tahun lalu.

Keadaan agak berlainan pula di Filipina yang menjangka turut menerima tempias krisis ekonomi semasa tetapi dalam skala yang lebih kecil ekoran kejayaan dasar dan kerangka ekonomi semasa yang begitu berkesan dengan pengaliran wang masuk dari luar negara yang terus tinggi daripada warga Filipina yang bekerja di luar.

Justeru, kemelut industri automotif yang melanda Amerika Syarikat (AS) dan Eropah akan mula menjangkiti sektor yang sama secara agresif mulai tahun ini dan banyak pihak melahirkan kebimbangan sejauh masa kesannya ke atas tenaga kerja dalam sektor itu.

Apa yang pasti, kesemua firma dan syarikat pengeluar kenderaan di mana-mana negara sekalipun pastinya berhadapan dengan ujian terbesar pada tahun ini untuk kekal berdaya saing dan berdaya tahan dalam industri yang cukup hebat persaingannya terutama dari segi harga, persepsi dan khidmat lepas jualan.

Di pos oleh Arbain Muhayat pada 11 January 2009