Dunia membantah kekejaman Israel
Hari ini masuk hari ke 16 Israel membedil penduduk Palestin di Genting Gaza namun masih belum terdapat sebarang tanda-tanda kekejaman ini akan berakhir. Dengan jumlah nyawa terkorban mencecah lebih 800 nyawa dengan satu pertiga atau hampir 200 darinya adalah kanak-kanak, sepatutnya tiada sebarang alasan lagi untuk dunia terus melihat kekejaman ini.Alasan Israel untuk membenarkan serangan ini hanyalah kerana terdapat kelompok pejuang Hamas menyerang wilayah mereka menggunakan bom mortar dan pelancar roket. Namun jumlah mereka yang mati hanya sekelumit berbanding rakyat Palestin.
Adalah sesuatu yang menjengkelkan apabila tentera Israel yang dilengkapi senjata perang yang canggih menyerang Palestin yang kebanyakan pejuangnya yang hanya bersenjatakan kelengkapan yang sudah ketinggalan zaman.
Namun lebih menyayat hati kebanyakan mereka yang terkorban terdiri daripada kanak-kanak, wanita dan warga tua yang tidak berdosa. Setakat ini jumlah kematian di pihak Israel hanyalah 11 orang, lapan darinya adalah tentera dan empat darinya mati akibat tersilap sasaran oleh tentera mereka sendiri.
Hanya tiga orang awam mati akibat serangan yang dilancarkan pejuang Hamas.
Ini telah cukup untuk membuktikan bahawa serangan ini sememangnya berat sebelah malah menonjolkan matlamat sebenar Israel kali ini hanyalah untuk menunjukkan keangkuhannya.
Tidak cukup dengan serangan dari kawasan sempadan, Israel masuk ke dalam Genting Gaza setelah seminggu melancarkan serangan dan serangan darat dilakukan tanpa mempedulikan keadaan dan keselamatan penduduk.
Sifat kebinatangan mereka ini sememangnya tidak pernah mempedulikan perasaan orang lain dan segala apa yang ada di hadapan mereka dibedil dan dimusnahkan termasuklah masjid, sekolah dan hospital.
Nyawa 1.5 juta penduduk Gaza ini dilihat tidak bernilai dan sesungguhnya keangkuhan Israel ini selayaknya dilaknat dan disifatkan sebagai haiwan yang bertopengkan manusia.
Kekejaman Yahudi ini sememangnya sesuatu yang tidak boleh diterima oleh kita semua tanpa perlu mengambil kira latar belakang agama, kaum dan negara di dunia kerana peristiwa ini telah melangkaui batasan kemanusiaan.
l Protes di seluruh dunia
Penduduk di seluruh dunia sejak dari hari pertama serangan ini, telah mengadakan dan menyertai protes antarabangsa bagi membantah serangan Israel serta mengutuk tindakan Amerika Syarikat (AS) yang menyokong sekutu rapatnya itu.
Penunjuk perasaan di seluruh dunia memenuhi jalan-jalan raya bagi mengutuk serangan Israel dan mendesak agar rejim zionis menghentikan pengeboman ke atas Genting Gaza.
Di London, lebih 10,000 penduduk dan penyokong Palestin berarak dan mengadakan demonstrasi dan ada antaranya yang bertukar ganas.Antara mereka yang menyertai perarakan ini termasuklah penyanyi Annie Lennox, bekas Datuk Bandar London, Ken Livingstone dan pelawak berbangsa Yahudi, Alexei Sayle.
Perarakan ini bermula di Trafalgar Square dan melintasi kediaman Perdana Menteri, Gordon Brown di Downing Street dan ia turut membabitkan penduduk di beberapa bandar lain seperti di Manchester, Portsmouth dan Bristol.
Apa yang menarik tunjuk perasaan ini turut melibatkan aksi membaling kasut. Ini sama seperti yang berlaku kepada Presiden George W. Bush ketika melawat Iraq bulan lepas apabila dibaling kasut oleh seorang wartawan negara itu, Muntadhar Al-Zeidi.
Sementara itu, ribuan penduduk Islam di Australia pula berarak di Sydney bagi menyatakan sokongan kepada rakyat Palestin dan mengutuk serangan oleh Israel.
Lebih 4,000 berarak sambil membawa bendera Palestin di Parry Park dan mengecam tindakan kejam tentera Yahudi.
"Israel melancarkan tindakan pengganas dan di luar batas kemanusiaan maka menjadi tanggungjawab semua orang yang percaya pada kebebasan untuk menyokong agar tindakan kejam ini dihentikan," kata seorang imam, Ibrahim Abu Mohamma
Namun sesuatu yang menarik turut berlaku di sini apabila lebih 100 penduduk Australia keturunan Yahudi termasuk bekas Menteri dan dua orang penulis mengadakan bantahan terhadap serangan yang dilancarkan Israel.
"Kami yang berbangsa Australia dari keturunan Yahudi bersama dengan ribuan lagi keturunan Yahudi di seluruh dunia membantah keras serangan ini dan menggambarkan peristiwa ini sebagai melangkaui batas kemanusiaan.
"Bersama dengan kumpulan kumpulan keamanan Gush Shalom, kami menentang serangan terhadap penduduk Palestin yang tidak berdosa ini," kata kumpulan ini dalam satu kenyataan.
Kumpulan ini yang disertai bekas Menteri Alam Sekitar dari tahun 1972 hingga 1975, Moss Cass, mengakui hak Israel untuk mempertahan diri, namun serangan ketenteraan bukanlah penyelesaian dan ia sekali gus melanggar perjanjian damai yang dimeterai sebelum ini.
Manakala di Perancis, demonstrasi besar-besaran disertai lebih 7,000 orang dilancarkan di beberapa bandar di seluruh negara ini dengan separuh daripadanya mengadakan protes di Paris, ibu negara Perancis, sementara bakinya di bandar lain.
Di Indonesia, puluhan ribu penduduk beragama Islam berarak di Jakarta selepas solat Jumaat menuju ke kedutaan AS sambil mengusung roket-roket palsu yang bertulis "Sasaran: Tel Aviv, Israel".
Wanita dan kanak-kanak turut serta dalam perarakan anjuran Parti Keadilan Sejahtera itu sambil mengibarkan bendera Indonesia dan Palestin serta melaungkan "Allahu Akbar"
Bantahan terbesar
Kutipan derma yang disasarkan sebanyak AS$200,000 (RM693,400) untuk disumbangkan kepada penduduk Palestin turut diadakan pada perarakan yang disertai oleh 200,000 orang itu. Protes turut dijalankan di bandar-bandar lain di Indonesia selepas solat Jumaat dalam bantahan terbesar sejak Israel mula membedil Gaza.
Dalam pada itu, sekumpulan pelajar Islam yang marah dengan serangan Israel ke atas Genting Gaza pada Khamis lepas bertindak menyerang sebuah restoran Kentucky Fried Chicken (KFC) di Sulawesi Tengah.
Kira-kira 300 pelajar berkumpul di luar restoran makanan segera francais AS di bandar di sini sambil mengibarkan bendera Palestin.
Mereka turut membakar lambang AS dan Israel dan mengutuk negara Yahudi itu sebagai "pengganas dan penjenayah." Tidak berapa lama kemudian sebahagian daripada mereka menyerang restoran KFC berkenaan dengan menterbalikkan meja dan kerusi.
"Menggunakan produk AS adalah sama dengan memberi sumbangan wang kepada serangan tentera Israel ke atas penduduk Palestin," kata penganjur protes tersebut, Maful Haruna.
Ratusan penduduk Islam di Srinagar, Kashmir pula membakar bendera Israel sambil melaungkan slogan anti-Yahudi dan anti-AS. Mereka juga mengibarkan bendera Palestin dan potret ketua Hizbullah, Hassan Nasrallah.
Kashmir sendiri sudah dua dekad mengalami pemberontakan bagi menentang pemerintahan India yang telah meragut lebih 47,000 nyawa.
Sementara itu, lebih 1,000 penduduk Afghanistan tidak ketinggalan menyertai demonstrasi mengutuk Israel, hari ini. Protes di bandar Herat itu turut menyaksikan bendera Israel dicarik hingga koyak dan patung Presiden Israel, Shimon Peres dibakar.
Di Kabul, seramai 3,000 orang berkumpul di sebuah masjid utama mengadakan perarakan selepas solat Jumaat dengan mengutuk Israel, AS dan penyokong mereka serta membakar bendera AS dan Britain.
Ratusan peguam dan anggota kesatuan perdagangan di Tunisia menyertai kumpulan aktivis untuk mengadakan demonstrasi tanpa mengendahkan pengharaman berhimpun oleh polis.
Penunjuk perasaan di bandar pelabuhan Aden, Yemen menceroboh konsulat Mesir di sana buat beberapa ketika bagi membantah pendirian negara itu terhadap serangan Yahudi dengan merosakkan perabot, sebelum diarahkan keluar dengan aman dari bangunan tersebut.
Di pos oleh Arbain Muhayat pada 11 January 2009