Tragedi Gaza kecilkan isu lain

Terdapat pelbagai isu dan persoalan politik yang berlaku pada masa ini. Termasuklah kempen pilihan raya kecil Kuala Terengganu di mana Barisan Nasional sedang bertembung dengan pakatan pembangkang yang diwakili Pas.

Tetapi apabila dibandingkan dengan apa yang berlaku di Gaza, lain-lain isu akan kelihatan kecil. Segala masalah yang dihadapi oleh rakyat negara ini, termasuk parti-parti politik menjadi begitu kecil.

Apa yang dihadapi oleh penduduk Gaza tidak dapat dibayangkan keperitannya. Lebih-lebih lagi ini bukannya bencana alam. Kalaulah mala petaka, maka sebagai manusia tentunya dapat menerima bahawa ia adalah takdir yang berlaku akibat proses alam.

Bagaimanapun, tragedi Gaza ini berlaku kerana kekejaman segolongan manusia yang mempunyai fahaman politik, menganut agama dan mendominasi tamadun dunia hari ini. Tetapi segala kekayaan minda bangsa ini menjadi hampas kerana kemiskinan moral.

Kadangkala hendak disifatkan bahawa negara Israel itu bukannya manusia yang mempunyai fikiran dan akal budi, apatah lagi mempunyai agama. Tetapi hakikatnya mereka adalah manusia yang sudah hilang sifat kemanusiaannya.

Segala kepandaian, agama dan teknologi mereka tidak mempunyai makna apabila kekejaman ini dilakukannya.

Juga menjadi tanda tanya bagaimana sebuah negara besar iaitu Amerika Syarikat dan keseluruhan benua Eropah umumnya menyokong Israel. Bagaimanakah propaganda dan penguasaan orang Yahudi pro-israel telah mengabui jutaan penduduk dunia untuk merestui kekejaman terhadap kanak-kanak dan orang tidak bersenjata?

Menyebelahi

Memang benar ada segelintir orang Yahudi yang bukan saja menyebelahi rakyat Palestin, malah menjadi aktivis memihak kepada kemanusiaan. Antaranya adalah tokoh seperti Noam Chomsky. Sebab itu, entiti yang membunuh rakyat Palestin bukannya bangsa dan penganut agama Yahudi atau fahaman Zionisme, tetapi adalah negara Israel, termasuk kerajaan serta rakyat yang memilihnya.

Penulis pernah berbalah dengan seorang Yahudi beberapa tahun lalu di Los Angeles yang memulakan provokasinya. Beliau bertanya mengapakah rakyat Malaysia begitu anti-Israel sedangkan tidak ada orang Yahudi pun di negara ini.

Ahli perniagaan Yahudi itu tidak dapat memahami mengapakah Malaysia yang beribu-ribu batu jauhnya daripada Israel tetapi mempunyai perasaan benci yang teramat sangat kepada Israel. Penulis terus menjawab bahawa Israel kejam dan mereka telah merampas tanah rakyat Palestin.

Tetapi orang Yahudi itu berkata, Israel hanya mempertahankan diri dan mengambil apa yang menjadi hak miliknya. Akhirnya bagi penulis ini, orang Yahudi dengan segala kecerdekannya telah dikelabui mindanya berhubung hak dan kemanusiaan. Hakikat bahawa mereka merampas tanah-tanah Palestin pada tahun 40-an dan membunuh rakyat Palestin dari masa ke semasa dengan bilangan yang ramai secara kejam telah tidak disedari.

Dalam hal ini, penulis berasa bangga bahawa walaupun bilangan orang Melayu amat kecil berbanding dengan bangsa lain di dunia, sementara Malaysia juga sebuah negara kecil yang kekuatannya jauh lebih rendah daripada Israel tetapi mempunyai sikap tegas membenci perbuatan negara Zionis itu.

Kebencian orang Melayu terhadap Israel itu adalah atas kemanusiaan. Sementara hakikat bahawa majoriti rakyat Palestin itu beragama Islam menjadikannya ia bersaudara dengan orang Melayu. Sungguhpun begitu, orang Melayu juga sedar bahawa sebahagian darpada rakyat Palestin adalah penganut agama Kristian. Mereka juga dianggap bersaudara kerana sama-sama menerima nasib yang sama ditindas dan dibunuh oleh Israel.

Maka biarlah apa yang berlaku di Gaza itu menjadi pengajaran bagi negara ini. Sama ada UMNO atau Pas, orang Islam adalah bersaudara. Begitu juga sama ada orang Melayu atau bukan Melayu, semua rakyat Malaysia juga adalah bersaudara.

Di pos oleh Arbain Muhayat pada 11 January 2009