Media Barat sembunyi fakta kekejaman Zionis
SERANGAN udara dan darat tentera Israel di Gaza selama 10 hari telah menjadi berita utama dalam media arus perdana di seluruh dunia. Kebanyakan berita arus perdana diterima sumbernya daripada Barat terutamanya Amerika Syarikat (AS).
Kebanyakan wacana atau naratif isi kandungan media Barat menyalahkan Hamas yang mencetuskan serangan rejim Zionis di Gaza dengan serangan roket Al Qassam milik Hamas yang terus membatalkan gencatan senjata pada 19 Disember 2008.
Tetapi apa yang menghairan sejak sepuluh hari laporan serangan ke atas Gaza, tiada suatu laporan berita daripada media Barat yang menyebutkan jumlah kematian di pihak Israel yang terbunuh akibat serangan roket Hamas.
Tinjauan yang dilakukan oleh Ahmed Bouzid yang dipetik daripada Palestine Media Watch (PMW) hanya didapati laporan berita seorang lelaki Yahudi terbunuh dan lebih kurang sedozen lagi mengalami kecederaan. Tetapi tiada laporan rasmi yang melaporkan kematian penduduk Israel.
Apa yang dilaporkan sekurang-kurangnya 110 roket Al Qassam yang dilancarkan ke Israel sejak Sabtu pagi (20 Disember) manakala sesetengah laporan memetik sumber Tentera Pertahanan Israel (IDF) menyatakan sejumlah 300 roket dilancarkan sepanjang minggu tersebut. Tetapi manakah fakta kematian di pihak Yahudi itu?
Dalam sebuah artikel yang diterbit oleh laman web IDF (Laporan tahunan IDF, 31 Disember 2007) sendiri menyatakan sejak 2001 sehingga 2007 serangan roket dan mortar yang berasal daripada Semenanjung Gaza telah menyebabkan 20 kematian.
Bayangkan berapa kerapkah serangan roket dan mortar itu jika dibandingkan dengan apa yang dilakukan Isreal ke atas Gaza dan hanya 20 kematian sejak lapan tahun serangan.
Persoalannya, kenapakah tiada fakta jumlah kematian itu sekarang? Bolehkah kita percayai laporan media Barat. Kita sedang berhadapan dengan masalah objektiviti dan kesahihan berita. Suatu perkara asas dalam pelaporan berita dan kewartawanan. Jangan lupa apabila membaca berita dari Barat ini, periksalah faktanya!
Serangan
Oleh itu, bolehkah kita percaya kenyataan yang disebarkan media AS dan Israel yang mengatakan serangan Israel ke atas Gaza atas alasan mempertahankan diri. Inilah kesimpulan kebanyakan laporan media arus perdana Barat sama ada media cetak atau media elektroniknya.
Laporan berita media Barat juga tidak menyatakan siri serangan atau balas serangan bermula pada 4 November 2008 apabila Israel memutuskan untuk menyeberangi Gaza bagi memusnahkan apa yang didakwa sebagai terowong yang digali oleh Hamas.
Sebelum ini pun gencatan senjata masih berjalan lancar walaupun terdapat usaha pihak Israel untuk mengepung Gaza.
Pada hari berikutnya (5 November 2008) setelah kerajaan Israel memutuskan menutup semua laluan masuk keluar dari Gaza, tentera Israel terus mengganas dan menyerang Gaza.
Akibatnya menurut laporan OXFAM (pertubuhan bantuan antarabangsa) antara 5 dan 30 November 2008 hanya 23 buah lori dibenarkan masuk ke Gaza (menurun daripada purata 3,000 lori bantuan makanan sebulan) yang merupakan hanya enam peratus daripada laluan trafik yang membantu memberikan makanan kepada 1.5 juta penduduk Palestin yang kelaparan itu.
Sebaliknya laporan berita media Barat menyatakan tindakan Israel hanyalah mempertahankan diri dan 'membalas' serangan pengganas.
Tiada ruang berita diberikan daripada kenyataan penduduk Palestin yang membuat pengisytiharan terbuka bahawa keganasan dicetuskan dan diteruskan oleh Israel.
Malah terdapat kenyataan bahawa serangan akan dilakukan jika Israel terus-menerus menyerang dan menyerang kawasan yang dipenuhi penduduk dan terus memburu pejuang Hamas di Tebing Barat.
Laporan berita Barat juga tidak menyebut fakta asas bahawa Gaza adalah sebuah kawasan seluas 25 batu panjang dan 4 hingga 7.5 batu lebar dan sejumlah 1.5 juta penduduk. Pengepungan Israel ke atas jalan darat melalui tembuk yang dibinanya dan menguasai laluan udara dan laut yang bersempadan dengan Mediterranean, kehidupan penduduk Gaza semakin tersepit.
Terdapat beberapa fakta lagi yang tidak dinyatakan oleh media Barat bahawa Hamas adalah pihak berkuasa yang sah di Palestin dan memenangi pilihan raya 2006. Sebarang permasalahan boleh diatasi dan diselesaikan secara perundingan kerana Hamas mewakili rakyat Palestin.
Seperkara lagi, Israel kini berhadapan dengan pilihan raya dan parti pemerintah yang dipimpin oleh Perdana Menteri Ehud Olmert, Menteri Pertahanan Ehud Barak dan Menteri Luar Tzipi Livni memerlukan sokongan pengundi bagi memenangi kerusi pilihan raya dalam menentang parti pembangkang yang diketuai Benjamin Netanyahu. Mereka memerlukan daya tarikan pengundi dan salah satu caranya ialah menyerang Gaza.
Sudah sampai masanya untuk kita tidak terus bergantung kepada laporan media Barat terutamanya dalam isu berkaitan dengan umat Islam. Kita harus bersikap kritikal terhadap segala fakta yang dikemukakan.
Jangan lagi terperdaya dan terperangkap dengan laporan yang membohongi dunia dahulu bahawa serangan ke atas Iraq kerana Presidennya, Allahyarham Saddam Hussein memiliki senjata nuklear.
Naratif atau wacana kasihankan sebuah negara kecil Israel yang berjuang mempertahankan diri menentang pihak Arab yang dituduh mengganas harus disingkirkan.
Berhubung dengan isu Palestin-Israel marilah kita memahami fakta asas bahawa Israel sebuah negara kuasa nuklear haram yang menyerang dan menakluki sebuah kawasan kecil dengan penduduk yang sudah pun kelaparan dan mengalami krisis kemanusiaan serius sekarang.
Di pos oleh Arbain Muhayat pada 08 January 2009