Kempen serampang dua mata

KEKEJAMAN tentera rejim Zionis Israel ke atas penduduk Palestin di Semenanjung Gaza menuntut Persatuan Pengguna Islam Malaysia melancarkan kempen boikot barangan Amerika Syarikat dan Israel.

Secara kebetulan pula Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna akan melancarkan kempen Beli Barangan Tempatan pada 16 Januari ini.

Langkah NGO dan kerajaan ini nampaknya bertepatan dengan suasana ekonomi dan politik dunia sekarang. Elok benar dilaksanakan kempen serampang dua mata ini.

Tidak perlu kita jelaskan lagi apa yang dilakukan oleh rejim Israel di Gaza. Keangkuhan dan kekejamannya akibat mendapat pembelaan daripada AS hingga 'anak Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu' itu langsung tidak boleh diambil tindakan apa-apa.

Jangan kita lupa krisis ekonomi dunia sekarang pun akibat angkara sistem ekonomi AS. Selepas AS tidak dapat menyelamatkan ekonominya sendiri maka masalah penyakitnya itu disebar supaya dijangkiti oleh negara-negara lain.

Oleh itu, apa yang sedang kita usahakan adalah umpama membina tembok daripada serangan kemelesetan ekonomi dunia di samping memperkukuhkan ekonomi dalam negara sendiri.

Jadi kita jangan risaukan tentang kesan kempen boikot barangan AS dan Israel. Kerana mereka akan menerima kesan lebih teruk jika semua negara dunia memulaukan mereka.

Rakyat Malaysia tidak perlu gusar menghadapi zaman sukar berikutan krisis ekonomi dunia sekarang asalkan kita sanggup berkorban dan menjadikan budaya berjimat cermat sebagai satu amalan hidup.

Memang petanda yang ada di sekeliling kita sekarang sudah jelas ekonomi negara sedang terhimpit. Malangnya kebanyakan kita masih belum menampakkan kepekaan terhadap kemelut ekonomi sekarang dan merasai seolah-olah tidak ada apa-apa yang sedang berlaku, semata-mata kerana sehingga kini kita masih boleh berbelanja.

Mulai hari ini, elok kita elak daripada membeli barangan AS dan Yahudi dan beralih membeli barangan buatan Malaysia yang tidak kurang menarik dan tinggi mutunya.

Lupakan soal jenama barangan. Kerana fungsi dan kegunaan barangan berkenaan tetap sama.

Setiap ringgit yang dibelanjakan untuk barang buatan Malaysia akan membantu pertumbuhan ekonomi dan perindustrian negara kita.

Kita pernah mengharungi zaman perit. Ternyata kita mampu mengharunginya dengan cara kempen membeli barangan buatan tempatan.

Untuk tahun ini, rakyat digesa menanam sikap mengutamakan beli barangan buatan tempatan kerana ia boleh membantu usaha kerajaan memulihkan masalah ekonomi negara dengan cepat.

Di pos oleh Arbain Muhayat pada 08 January 2009