Co Q10 untuk kesihatan jantung

SAYA mula mengambil suplemen koenzim Co Q10 sejak sebulan yang lalu setelah saya sering kelesuan selepas sekian lama mengambil ubat anti kolesterol. Ternyata ia membantu saya. Bagaimanakah nutrien ini membantu saya?

Jawapan:

Co Q10 wujud secara semula jadi dengan kuantiti kecil dalam pelbagai jenis makanan tetapi lebih tinggi jumlahnya di dalam organ dalaman haiwan seperti jantung, hati dan buah pinggang. Ia juga hadir di dalam daging, minyak soya, sardin, markeral dan kekacang.

Sebenarnya, Co Q10 dapat dihasilkan dalam tubuh, tetapi penghasilannya semakin berkurangan apabila usia meningkat.

Kekurangannya mungkin berpunca daripada kurangnya pengambilan dari sumber pemakanan, gangguan dalam biosintesisnya, penggunaannya secara berlebihan oleh tubuh ataupun kombinasi faktor-faktor yang dinyatakan.

Dalam tubuh manusia, Co Q10 dapat dijumpai dalam pusat penghasilan tenaga, iaitu mitokondria.

Dengan ini, Co Q10 selalunya menyumbang dalam aktiviti yang berkaitan dengan metabolisma tenaga.

Selain peranannya dalam menghasilkan tenaga, Co Q10 juga merupakan antioksida yang kuat dengan menstabilkan membran sel dan melindungi dari kesan kerosakan radikal bebas dalam jantung.

Terdapat bukti menunjukkan bahawa ubat kolesterol yang sering digunakan boleh merendahkan paras Co Q10 dalam badan.

Lazimnya, ubat koleterol bertindak dengan merencatkan aktiviti enzim HMG-CoA yang diperlukan untuk menghasilkan kolesterol dalam badan.

Disebabkan Co Q10 dan kolesterol berkongsi laluan biosintesis dalam badan, menghalang biosintesis kolesterol oleh ubat turut akan menghalang biosintesis Co Q10.

Kekurangan Co Q10 juga biasanya mengakibatkan keletihan dan kelemahan otot. Dengan itu, adalah dinasihatkan agar kita menambahkan suplemen Co Q10 ke dalam diet untuk memenuhi keperluan harian badan.

Aktiviti antioksida CoQ-10 telah dibuktikan oleh beberapa kajian klinikal terutamanya dalam mengelakkan pengoksidaan kolesterol LDL (kolesterol jahat).

Pengoksidaan kolesterol merupakan salah satu faktor yang menyebabkan tekanan darah tinggi dan penyakit jantung.

Di pos oleh Arbain Muhayat pada 04 January 2009