Guru SABK ditawar jawatan
KUALA LUMPUR 29 Dis. - Program pendaftaran Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) yang diperkenalkan oleh Kementerian Pelajaran memberi peluang kepada guru sekolah berkenaan untuk diserapkan ke dalam perkhidmatan awam.
Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, guru tersebut turut ditawarkan gaji bersesuaian dengan kelayakan, kenaikan pangkat, kemudahan sebagai penjawat awam serta berpeluang mengikuti kursus di dalam dan luar negara.
''Kementerian telah mula memperkenalkan program pendaftaran Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan Sekolah Agama Negeri (SAN) sebagai SABK sejak 2005.
''Melaluinya, sekolah tersebut berpeluang menerima guru terlatih sekiranya guru sedia ada tidak mencukupi,'' katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.
Menurut Hishammuddin, program itu juga bertujuan membantu meningkatkan kualiti pendidikan di SAR dan SAN dari pelbagai aspek terutama pengurusan sekolah, proses pengajaran dan pembelajaran, pengurusan sumber manusia, prasarana serta kemudahan fizikal.
Beliau memberitahu, sehingga hari ini, jumlah SAR dan SAN yang berdaftar dengan kementerian sebagai SABK ialah sebanyak 154 buah di seluruh negara.
''Pada masa sama, terdapat 101 sekolah agama masih di peringkat perbincangan untuk menandatangani memorandum persefahaman (MoU) berkaitan pendaftaran ini,'' katanya.
Tambahnya, bagi merealisasikan program pendaftaran SABK, pelbagai peruntukan meliputi pembaikan bangunan, bantuan perkapita serta bantuan modal dan utiliti telah disalurkan kepada sekolah berkenaan.
Katanya, murid di SABK pula berpeluang mendapat pelbagai bantuan seperti biasiswa, makanan tambahan serta buku teks selain bersaing dengan murid di sekolah aliran perdana dalam sebarang aktiviti.
Dalam pada itu, katanya, kementerian memberi jaminan bahawa SABK akan terus diperkasa bagi memantapkan pendidikan berteraskan Islam di negara ini.
''Kementerian akan bertanggungjawab sepenuhnya dalam memastikan SABK menerima manfaat penuh peruntukan tambahan sebanyak RM50 juta itu,'' tegas beliau.
Hishammudin berkata, kementerian akan terus berusaha gigih bagi memastikan SABK dapat berkembang menjadi institusi sekolah yang cemerlang dan mampu memberi pendidikan agama yang sempurna kepada generasi muda.
Semalam, Kementerian Pelajaran mengumumkan akan menyalurkan peruntukan berjumlah RM200 juta kepada Sekolah Bantuan Kerajaan (SBK) yang dikenal pasti pada minggu pertama sesi persekolahan 2009.
SBK melibatkan empat jenis aliran sekolah iaitu Sekolah jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), Sekolah Mubaligh dan SABK.
Di pos oleh Arbain Muhayat pada 03 January 2009