Jangan nodai keamanan
![]() |
|
Sebuah keluarga Palestin keluar dari runtuhan bangunan di Genting Gaza.
|
kekejaman Israel melakukan pembunuhan di Genting Gaza secara jelas membuktikan bahawa bangsa Israel tidak boleh dibawa ke pentas rundingan ke arah mencari jalan penyelesaian dan keamanan. Israel adalah bangsa hina yang sudah tidak ada nilai manusia dalam dirinya. Memang terbukti bahawa usaha untuk membawa perdamaian di bumi Palestin tidak ada ruang kerana Israel.
Kekejaman dan keganasan yang dilakukan oleh Israel seolah mendapat restu dunia melalui kuasa-kuasa besar seperti sekutu kuatnya Amerika Syarikat. Tidak ada usaha pantas ke arah menghentikan pembunuhan rakyat Palestin tetapi kita menyaksikan satu persatu nyawa manusia melayang melibatkan kanak-kanak, wanita dan orang awam lain.
Israel dengan rakus meratah bumi Gaza dengan bedilan senjata canggih. Kehidupan rakyat di Genting Gaza diselaputi ketakutan, kebimbangan dan trauma. Rakyat Palestin sudah lama tidak menikmati kelazatan keamanan. Mereka terus menerus diasak dengan ancaman, pembunuhan dan kelaparan. Penderitaan mereka seakan-akan tidak ada noktahnya.
Sebagai rakyat yang bernaung di sebuah negara bernama Malaysia, kita tidak pernah merasa gelisah dan bimbang akan tahap keselamatan. Kita bebas membawa diri di negara sendiri tanpa ada gangguan. Kehidupan kita dikelilingi dengan kegembiraan dan kesejahteraan.
Impian
Kita dapat menunaikan sebarang hajat dan impian dengan sedikit usaha. Keselesaan yang dikecapi rakyat negara ini tidak dapat dinikmati di tempat lain.
Apa yang kita nikmati adalah anugerah Allah SWT yang tidak ternilai. Kita tidak dapat membelinya dengan wang ringgit atau dengan segunung emas. Ia adalah kurniaan tertinggi Allah SWT untuk hambanya. Nikmat keamanan dan kebebasan hidup perlu disyukuri.
Nikmat keamanan ini perlu dibajai dan disuburkan dengan rasa kesyukuran dan keinsafan. Peluang untuk hidup di bumi yang penuh dengan udara kesejahteraan dan keindahan ini perlu dimanfaat dengan usaha-usaha yang selari dengan suruhan Allah SWT. Jangan sesekali kita mengganggu dan menodai keamanan yang sedang dikecapi ini. Mereka yang merosakkan nilai-nilai murni kehidupan adalah manusia yang hilang pedoman.
Jika kita turut meratapi apa yang sedang berlaku di Palestin maka sudah sewajarnyalah kita insaf akan nikmat yang kita kecapi di negara kita ketika ini. Rakyat Palestin diikat dengan suasana ketakutan dalam setiap gerak-geri. Mereka dihimpit dengan suasana yang menyiksakan fizikal dan mental. Peluang menikmati kehidupan dalam suasana aman damai sudah tidak terlintas. Apa yang ada dalam hidup mereka ialah perjuangan untuk mengembalikan yang hak.
Justeru, kita sebagai warganegara yang bertuah mendiami bumi Malaysia yang tidak putus-putus dihujani kemakmuran perlu memanjatkan rasa kesyukuran secara berterusan. Kita perlu menginsafi diri kerana dipilih Allah SWT menjadi rakyat negara ini.
Sebagai umat Islam, kita perlu mendoakan saudara kita semasa Islam lain yang sedang diuji dengan hebatnya. Kita mengharapkan mereka diberikan kekuatan untuk menempuh ujian Allah SWT. Setiap kali selepas menunaikan solat kita dituntut untuk memanjatkan doa memohon Allah SWT memberikan sinar kebahagiaan kepada saudara kita di bumi Palestin.
Adalah menjadi kewajipan kepada semua Muslim untuk menyatakan kesyukuran atas segala nikmat yang diterima. Banyak sebab dan alasannya kenapa kita perlu berbuat demikian. Pertamanya kita mengharapkan nikmat yang sedang dikecapi itu berterusan tanpa gangguan. Keduanya kita pastinya mengharapkan agar Allah SWT akan mengurniakan nikmat-nikmat baru yang lebih tinggi nilainya dengan nikmat yang sedia ada.
Peranan ibu bapa juga dituntut untuk menyemarakkan ungkapan syukur terhadap anak-anak.
Bimbinglah anak-anak untuk sentiasa memelihara keamanan dan kemakmuran negara. Bandingkan apa yang sedang berlaku di bumi Palestin, Iraq dan Afghanistan dengan apa yang dinikmati di negara kita. Binalah rasa keinsafan dan kesedaran betapa pentingnya sebuah negara yang aman dan damai.
Di pos oleh Arbain Muhayat pada 02 January 2009
