BERSAMA BANGKIT MENGHARUNGI CABARAN tahun baru
HARI ini dunia menyambut Tahun Baru 2009. Apakah yang sewajarnya dijadikan azam tahun baru bagi rakyat Malaysia?Tidak seperti tahun-tahun sebelumnya, kemasukan Tahun Baru 2009 sudah dibayangkan dengan penuh debaran terutama dalam menghadapi kegetiran ekonomi dunia yang boleh mencengkam Malaysia.
Pada hakikatnya, rata-rata rakyat mula menghitung satu persatu masalah berikutan kemelesetan ekonomi yang dijangka lebih memberi kesan pada tahun baru ini.
Ini meliputi soal dasar seperti perancangan dan strategi kerajaan dalam menangani cabaran ekonomi global hinggalah kepada harga barang serta inflasi yang dikhuatiri boleh menghimpit kehidupan rakyat.
Walaupun tanda-tanda ekonomi dunia mula bergolak dan melanda negara kita, tetapi pelbagai langkah telah diambil oleh kerajaan untuk memelihara kesejahteraan rakyat dan ekonomi negara.
Sebagaimana dalam perutusan sambutan Tahun Baru 2009, Perdana Menteri memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan lari daripada tanggungjawab untuk meringankan beban rakyat dan melindungi mereka daripada kesusahan.
Kita bersyukur kerana kerajaan meletakkan dua matlamat bagi menghadapi krisis ekonomi global. Pertama, mengekalkan daya saing dan keutuhan pertumbuhan ekonomi; kedua, memelihara kesejahteraan rakyat terutamanya golongan miskin.
Pada hakikatnya, kemampuan negara menghadapi cabaran 365 hari dalam 2009 tidak bergantung kepada keupayaan dan langkah-langkah dalam bidang ekonomi sahaja. Keutuhan dan integriti institusi-institusi negara, pentadbiran yang bersih dan cekap serta sistem kehakiman yang berwibawa amat penting untuk menjamin pengurusan ekonomi dan sosial yang baik dan mampu menarik keyakinan pelabur.
Kita berharap pendekatan Perdana Menteri ini akan meraih sokongan daripada rakyat untuk bersama beliau bagi mewujudkan Malaysia yang lebih selesa, makmur dan berjaya.
Ini bermakna semua pihak harus membuka mata kepada tindakan-tindakan yang perlu diambil untuk memperkukuhkan lagi semua sistem baik sistem kewangan dan pasaran modal hinggalah kepada kesepaduan menghadapi kegetiran hidup secara berkesan.
Kita tidak tahu apa yang bakal berlaku dalam tahun 2009 tetapi ia tetap akan memberi ujian yang cukup besar. Jadi, segala-galanya memerlukan pengorbanan, iltizam dan semangat muafakat yang cukup kental daripada semua pihak termasuk rakyat berbilang kaum.
Perdana Menteri mahu rakyat bersedia menghadapi sebarang kemungkinan walaupun kegawatan ekonomi belum begitu menekan negara ini.
Mesej yang lebih jelas ialah inilah masa untuk kita berkorban kepada negara. Sesungguhnya kita telah mempunyai banyak pengalaman dalam mengharungi suasana dunia yang lebih buruk dan mencabar.
Jadi ini bukan ujian getir pertama bagi Malaysia. Tetapi bersediakah kita untuk berkorban dan bangkit bersama-sama bagi memperkukuhkan ekonomi dan kesejahteraan negara sekali lagi?
Di pos oleh Arbain Muhayat pada 01 January 2009