Israel abai suara dunia

Menteri Pertahanan Israel Ehud Barak, berikrar bahawa Pasukan Pertahanan Israel (IDF) akan menggunakan setiap sumber tenaga untuk mengakhiri serangan roket dari wilayah yang dikuasai Hamas di Genting Gaza.

Bahkan di Knesset (Parlimen Israel), Barak mengatakan jika perlu operasi di Gaza itu akan diperluas.

"Jika serangan roket... yang ditujukan kepada rakyat awam Israel tak dihentikan segera, Israel akan menggunakan semua sumbernya dan semua alat senjata yang dimilikinya digunakan untuk memaksa musuh menghentikan tindakan tidak sah ini," kata Barak sebagaimana dipetik harian tempatan, Ha'etz.

Menteri Pertahanan Israel itu menyampaikan tekadnya pada hari ketiga serangan udara besar-besaran Israel terhadap rakyat Palestin di Genting Gaza.

Masyarakat antarabangsa yang berdemonstrasi di seluruh negara jelas mendesak para pemimpin dunia segera mengambil langkah-langkah untuk menghentikan tindakan barbarian tentera Israel terhadap rakyat Palestin.

Jika para pemimpin dunia tidak mampu menghukum pihak-pihak Israel yang berlaku biadab dan zalim terhadap rakyat awam di Genting Gaza, sebaik-baiknya mereka jangan lagi bercakap tentang perlunya penghormatan terhadap hak asasi manusia.

Dalam beberapa hari terakhir ini, tentera Israel terus melakukan serangan ke Gaza dengan alasan utama membedil kedudukan pasukan pejuang Hamas, salah satu kelompok penting Palestin.

Akibat serangan yang dilakukan sejak Sabtu lalu dengan menggunakan pesawat pengebom F-16 dan kereta kebal, ratusan penduduk yang sebahagian besar orang awam Palestin terbunuh dan cedera.

Apa pun alasannya, serangan Israel tidak boleh diampunkan. Ini adalah bukti yang nyata bahawa Israel adalah teroris yang brutal dan ganas.

Kebijakan Israel yang terus menerus bertindak ganas ke atas rakyat Palestin merupakan salah satu penyebab berkembangnya terorisme antarabangsa.

Dunia tidak harus berhenti hanya pada kecaman. Dunia harus memboikot Israel agar segera menghentikan penjajahan terhadap Palestin.

Sudah terlalu lama kekejaman dan brutalisme Israel tidak diambil tindakan tegas oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa bersatu (PBB). Jadi tidak hairan kenapa Pergerakan Hamas yang menguasai Genting Gaza, kecewa terhadap masyarakat antarabangsa yang tidak mampu menghentikan serangan brutal tentera Israel.

"Israel sedang melakukan holocaust di mana seluruh dunia sedang menyaksikannya tetapi tidak menghentikan tindakan itu," kata jurucakap Hamas, Fauzi Barhum yang dipetik AFP di Kota Gaza kelmarin.

Holocaust merujuk pada pembunuhan oleh tentera Nazi Jerman pimpinan Adolf Hitler terhadap warga Yahudi dalam Perang Dunia Kedua. Pembunuhan itu meragut nyawa enam juta orang berketurunan Yahudi.

Sumber-sumber dari pasukan perubatan Palestin menyebut, operasi tentera rejim Zionis itu sudah mengorbankan kira-kira 320 orang dan mencederakan 1,400 lainnya.

Dunia memang mengecam dan meminta Israel segera menghentikan operasi ketenteraan di wilayah Gaza yang berpenduduk sekitar 1.5 juta orang itu.

Kini, persoalan pokok ialah bagaimana untuk mencipta kembali gencatan senjata di antara Hamas dan Israel. Mesir selama ini telah menaja gagasan itu dan berhasil selama enam bulan terakhir. Pintu rundingan damai mungkin tertutup untuk tempoh tertentu akibat perkembangan di Asia Barat ini.

Setiausaha Agung PBB Ban Ki-moon juga mengeluarkan kutukan. Namun, Majlis Keselamatan hanya mengeluarkan pernyataan tidak tegas yang menuntut Israel segera menghentikan operasi militer dan semua pihak mengakhiri kegiatan ketenteraan. Seperti biasa, Israel tidak peduli terhadap suara dunia. Menteri Pertahanan Ehud Barak mengumumkan perang habis-habisan terhadap Hamas. Ia menetapkan perbatasan dengan Gaza sebagai zon tentera tertutup.

"Kami tidak menyerang orang awam Gaza, tapi kami sedang berperang habis-habisan melawan Hamas dan anggotanya," kata Barak.

Cabaran Barak nampaknya disambut oleh Hamas. Selepas tiga hari Gaza, dibedil dengan bom oleh pasukan kereta kebal dan jet-jet tempur Israel, sebanyak 5,000 anggota pasukan elit Hamas dikumpulkan dari tempat-tempat persembunyian untuk melawan dan membalas balik serangan Israel.

Pemimpin Hamas, Ismail Haniye memerintahkan serangan balik ke atas wilayah yang diduduki Israel. "Jika perlu dengan serangan bunuh diri terhadap pasukan dan semua kepentingan Israel serta sekutunya di seluruh dunia," tegas Ismail.

Beberapa pejuang daripada pasukan elit Hamas sudah melakukan pembalasan dengan menyerang beberapa bandar di Israel. Pejuang-pejuang Palestin itu telah melepaskan 20 roket ke wilayah Israel sepanjang Isnin lalu. Dua di antaranya meledak kawasan Ashdod, sebuah kota pelabuhan yang hanya 25 km dari Tel Aviv.

Jangkauan terbaru roket Hamas itu boleh membuatkan Israel kecut perut kerana kemampuannya dua kali ganda daripada sasaran roket Hamas pada Ahad lalu yang jatuh di Ashkelon dan membunuh seorang rakyat Israel. Roket jenis Katyushas yang dilancar pejuang Palestin itu mengorbankan seorang tentera Israel di Ashdod. Dengan demikian, sudah dua warga Israel terbunuh sejak mereka mengadakan serangan udara di seluruh Gaza sejak 27 Disember lalu.

Untuk rekod, sepanjang 2008 sudah enam rakyat Israel terbunuh akibat serangan roket-roket Hamas. Bagaimanapun jumlah ini sangat tidak ketara jika dibandingkan dengan jumlah penduduk Gaza yang terkorban akibat serangan bom Israel yang jumlahnya sudah melebihi 320 nyawa.

Masih kuatnya penentangan Hamas itu membuatkan Israel semakin geram. Pada serangan gelombang ketiga Isnin lalu, giliran kampus terbesar, Universiti Islam Gaza menjadi sasaran. Hanya kerana banyak pemimpin Hamas merupakan bekas penuntut universiti itu, jet-jet tempur Israel mengebom habis-habisan gedung lima tingkat Universiti Islam itu. Makmal kampus yang didakwa Israel sebagai sumber dukungan bagi kelompok militan Hamas itu hancur lebur.

Selain itu, beberapa pusat kekuatan Hamas lainnya menjadi sasaran serangan udara yang berlangsung sebelum matahari terbit. Rumah Perdana Menteri Ismail Haniye, Pejabat Menteri Dalam Negeri dan terowong-terowong yang digunakan oleh rakyat Palestin untuk membawa barang keperluan dari Mesir juga dimusnahkan oleh bom-bom pesawat F-16 Israel.

Kerakusan serangan dari udara juga diikuti pergerakan barisan kenderaan berat tentera Israel di sempadan Gaza. Jumlah pasukan di wilayah perbatasan itu ditambah dua kali ganda. Para ahli ketenteraan meramalkan Israel menunggu jumlah anggota pasukan mencapai 10,000 orang sebelum penaklukan darat dilancarkan.

Apa yang dibimbangkan, serangan darat itu akan memakan korban lebih banyak dan semakin sulit untuk dihentikan.

Di pos oleh Arbain Muhayat pada 31 December 2008