Tiada noktah dalam hijrah


SISTEM pendidikan lama seperti pengajian kitab dari kulit ke kulit masih diteruskan di MMPSD, Kuala Krai, Kelantan. - Gambar HAFIZ JOHARI


MESKIPUN hijrah dari Mekah ke Madinah tidak akan berlaku lagi tetapi hijrah ke arah yang lebih baik itu harus terus berlaku sepanjang zaman.

Hakikatnya, hijrah bukanlah asing dalam Islam dan ia adalah lumrah dalam kehidupan muslim, apatah lagi penghijrahan itu adalah ke arah yang lebih baik.

Bahkan, hijrah kerana menuntut ilmu, berakhlak mulia, mencari kebenaran, berdakwah dan bermacam-macam bentuk hijrah adalah tuntutan dan asas ajaran Islam itu sendiri.

Lantas, untuk terus maju dan mencapai kemuliaan, masyarakat Islam tidak boleh berpeluk tubuh dan hanya berserah kepada takdir.

Umat Islam terdahulu telah berjihad secara habis-habisan, sebab itulah Islam berada di tempat yang mulia dan sepatutnya.

Sempena sambutan Maal Hijrah yang diraikan hari ini, maka umat Islam perlu melihat hijrah dalam perspektif yang luas demi menuju kegemilangan di dunia dan di akhirat.

Lantaran itu, langkah perubahan berterusan Madrasah Muhammadiah Pondok Sungai Durian (MMPSD) di Kampung Sungai Durian, Kuala Krai, Kelantan sepanjang 50 tahun usia penubuhannya adalah contoh terbaik dalam mewarisi semangat juang Baginda Rasulullah SAW dan para sahabat demi menegakkan syiar Islam.

Sebut sekolah pondok pastinya yang terbayang pondok-pondok kayu yang usang dan serba kekurangan dari segi prasarana. Pun begitu, hijrah MMPSD mampu membuktikan pengajian pondok kini sudah melangkah ke fasa baru.

Setiausaha MMPSD, Ustaz Yahya Yaacob berkata, berlakunya pelbagai perubahan di situ adalah seiring dengan perkembangan dan kemampuan semasa, apa lagi perubahan itu adalah sebahagian daripada tuntutan agama. Malah bagi beliau, inilah makna sebenar hijrah yang harus dihayati dalam kehidupan ini.

"Jika pada awal penubuhannya dahulu, MMPSD hanya berada dalam satu kawasan yang agak terhad, iaitu dalam sebidang tanah seluas lima hingga enam ekar, kini bertambah 12 ekar hasil pembelian tanah daripada jiran sekitar pondok.

"Malahan jika dilihat dari aspek kemudahan infrastruktur, dari 1958 hingga akhir 70-an, MMPSD tidak mempunyai kemudahan jalan, penginapan, tempat belajar dan tempat ibadat yang selesa.

"Hari ini, MMPSD telah mempunyai kemudahan jalan, penginapan juga telah berubah dari pondok-pondok kecil yang asalnya dibina dengan kayu tetapi sekarang sebahagiannya telah diubah dengan binaan bangunan batu. Begitu juga dengan bilik-bilik darjah dan masjid yang turut diperbesarkan," katanya yang dihubungi, baru-baru ini.

Tambah Yahya, walaupun sekarang ini sistem pendidikan sudah diselaraskan dari aspek kurikulum dan sistem pendidikan, namun sistem lama seperti pengajian kitab dari kulit ke kulit masih diteruskan.

Pun begitu, pendekatannya telah diubah iaitu dengan memperkenalkan ujian atau peperiksaan agar pelajar memperoleh sijil bagi membolehkan mereka menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

"MMPSD melaksanakan dua sistem pembelajaran iaitu sistem pondok cara tradisional dan sistem persekolahan dengan mengikut sukatan Yayasan Islam Kelantan (YIK).

"Menerusi sukatan pelajaran YIK, pelajar akan mengikuti tujuh mata pelajaran dalam kelas dan pada masa sama MMPSD membuat sedikit tambahan dalam sukatan berkenaan untuk mengimbanginya dengan sukatan pondok.

Pelajar MMPSD juga akan menduduki tiga peperiksaan dalam setahun kerana pihak sekolah juga akan mengeluarkan sijil kepada pelajar yang berjaya dalam peperiksaan akhir sesi pengajian (Shahadah Thanawiah).

Pelajar tingkatan empat pula diwajibkan menduduki peperiksaan Sijil Menengah Agama yang dikelolakan YIK. Manakala Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan diduduki secara persendirian.

"Alhamdulillah, pencapaian mereka dalam kedua-dua peperiksaan ini membanggakan," terang Yahya hingga kini terdapat 200 pelajar termasuk lelaki dan perempuan berbanding pada awal penubuhannya iaitu 15 orang.

Akui Yahya lagi, meskipun sejak dahulu terdapat sebahagian masyarakat yang memandang negatif terhadap peranan pengajian pondok, namun ada juga yang menerima dengan baik terutamanya dalam menghadapi fenomena 'langit terbuka'.

Malah melihat kepada jumlah kemasukan pelajar yang bertambah dari semasa ke semasa, membuktikan bahawa peranan dan fungsi sekolah pondok masih relevan dengan situasi pendidikan masa kini.

Di pos oleh Arbain Muhayat pada 31 December 2008