Konvokesyen anak-anak DIC

DIDIKLAH anak-anak dalam tiga perkara: Mencintai Nabimu, mencintai keluarga dan tilawah al-Quran, sebab orang yang memelihara al-Quran itu berada dalam lindungan singgahsana Allah bersama para Nabi-Nya dan orang-orang yang suci, pada hari tidak ada perlindungan selain daripada perlindungan-Nya." (riwayat At-Tabrani)

Hadis di atas jelas kepada kita terutamanya ibu bapa Muslim kaedah dalam mendidik anak yang digariskan Islam. Yang pastinya, ia bukan sahaja memberi jaminan keselamatan dan kebahagiaan duniawi semata-mata tetapi mencakupi ukhrawi yang kekal abadi.

Mungkin ramai ibu bapa yang berkerut dahi memikirkan bagaimana tiga perkara ini mampu mendepani isu-isu serius yang melanda masyarakat kita hari ini. Oleh kerana itulah, hadis di atas tidak sahaja perlu difahami maksud yang tersurat tetapi apa yang tersirat di sebaliknya.

Menyedari pendidikan atau menuntut ilmu adalah sesuatu yang dituntut agama Islam, apa lagi dengan ilmu dan amal itu ia bakal menjadi aset di akhirat kelak.

Sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Apabila manusia mati maka terputuslah amalannya kecuali daripada tiga perkara: Sedekah jariah, ilmu bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya. (riwayat Muslim)

Kewujudan pusat-pusat asuhan dan sekolah prasekolah kini bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Yang pastinya, penubuhan institusi pendidikan awal ini bergerak demi menjana modal insan yang berguna kepada agama, keluarga, bangsa dan negara.

Di samping itu, ia juga menyediakan platform kukuh kepada kanak-kanak ini agar tidak terkejut sama ada dalam menguasai ilmu komunikasi, pergaulan dan pendedahan kepada ilmu konvensional seperti penguasaan komputer, bahasa dan sebagainya.

Menjelang 2009 yang tinggal beberapa hari lagi pastinya membawa semangat baru kepada wanita kelahiran Cik Siti Wan Kembang iaitu, Robiyah Yusoh, Pengarah Urusan Pusat Perkembangan Minda Kanak-kanak Darul Iqra Centre Sdn. Bhd. (DIC).

Kalau sebelum ini, DIC sekadar beroperasi di Persiaran Menanti Bandar Sri Damansara, Kuala Lumpur, kini ia telah melebarkan cawangannya di beberapa lokasi strategik. Yang terbaru, terletak di Seksyen 7, Bandar Baru Bangi, Selangor.

"Sekarang ini DIC sedang giat mengadakan sesi temuduga kepada mereka yang berkelayakan khususnya kepada para siswazah bidang Pengajian Islam, Pendidikan Awal Kanak-kanak serta Psikologi Kanak-Kanak dan Keluarga untuk menjadi warga DIC yang semakin berkembang, lebih-lebih lagi menjelang 2009.

"Malah kakitangan yang diterima juga akan dihantar berkursus berkaitan teori dan praktikal bagi memantapkan ilmu dan kemahiran diri.

Ini kerana di DIC, kami bukan sahaja mementingkan pembelajaran semata-mata tetapi segala aspek yang berkaitan pembinaan modal insan adalah menjadi keuntamaan kami.

"Oleh itu, empat aspek yang diterapkan dan diamalkan di DIC iaitu; fizikal, bahasa, kemahiran kognitif dan sosial emosi," ujar Robiyah selepas Majlis Konvokesyen dan Kecemerlangan DIC kali yang keempat yang berlangsung di Kelab Golf Sri Damansara, baru-baru ini.

Setakat ini kata Robiyah, DIC menyediakan lima kemudahan atau pakej iaitu tadika, taska, transit , kelas fardu ain dan tuisyen dengan bayaran yang berpatutan. Kanak-kanak daripada seawal usia empat tahun akan diberikan penekanan kepada teknik 3M (membaca, menulis dan mengira) sebelum mereka melangkah ke alam persekolahan.

"Bermula tahun depan juga kami akan menyediakan kelas komputer sebagai satu cara menyahut seruan kerajaan agar kanak-kanak celik teknologi maklumat (IT).

"Malah kami sentiasa memastikan perlaksanaan kajian berterusan berkaitan bidang pendidikan awal kanak-kanak menjadi teras keutamaan," ujarnya yang turut menerima sumbangan berjumlah RM3,000 daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras merangkap Ketua Bahagian UMNO Subang, Datuk Ir. Muhammad Bushro Mat Johor yang telah merasmikan majlis pagi itu. Turut hadir Datuk Said Mulok.

Kata Robiyah lagi, dalam usaha mengembagkan lagi sayap DIC, pada tahun depan, pihaknya akan memperkenalkan projek rakan kongsi sejajar dengan matlamat untuk melahirkan lebih ramai usahawan bumiputera.

"Mereka yang berminat dalam pendidikan awal kanak-kanak dan pada masa sama mahu berdikari dalam membina ekonomi diri, bolehlah menghubungi kami di talian 03-6277 5891 atau 017-2499150.

Para hadirin pada majlis konvokesyen itu telah dihiburkan dengan aneka persembahan daripada kanak-kanak DIC.

Di pos oleh Arbain Muhayat pada 31 December 2008