Pencarian madu lebah tualang


salah satu sarang lebah yang terdapat di pokok tualang di hutan simpan berhampiran Empangan Sungai Muda, Kuala Nerang, Kedah.


Menerima jemputan daripada Lembaga Pemasaran Persekutuan Malaysia (FAMA) untuk mengikuti ekspedisi memungut madu lebah di hutan sememangnya mengujakan.

Tambahan pula, jemputan berkenaan adalah untuk mengikuti trip terakhir kerana musim memungut madu berakhir pada bulan Mei.

Selepas menyediakan semua kelengkapan peribadi termasuk penyembur nyamuk, losen penghalau serangga dan selimut, kami menunggu di Ibu Pejabat FAMA di Bandar Baru Selayang, Selangor, selepas solat Jumaat.

Kami yang sepatutnya berlepas jam 3.00 petang terpaksa bertolak setengah jam lewat kerana beberapa orang wartawan lagi tersesat kerana tidak tahu lokasi.

Bertolak dengan dua buah van yang membawa kakitangan FAMA dan media, kami meneruskan perjalanan ke Alor Setar, Kedah.

Perjalanan yang memakan masa hampir enam jam akhirnya tiba ke destinasi dan kami dihantar untuk makan malam di Restoran Old Village.

Di sana, kami diberikan taklimat mengenai langkah-langkah perlu diambil ketika memasuki kawasan hutan simpan di Empangan Sungai Muda, Kuala Nerang.

Malam itu kami berehat bagi mengumpul tenaga untuk ekspedisi mengumpul madu yang bermula pada esoknya.

Seawal jam 7 pagi, kami telah bersarapan dan jam 8.00 pagi bertolak ke Pejabat FAMA Kuala Nerang yang mengambil masa lebih kurang satu jam bagi mendengar taklimat sekali lagi.

Setelah bersarapan kali kedua, kami menaiki kenderaan ke Empangan Sungai Muda - satu pemandangan sungguh menakjubkan.

Di sana, kami menaiki sampan yang boleh memuatkan hanya empat orang termasuk pemandu untuk ke tempat perkhemahan.

Perjalanan menggunakan bot memakan masa hampir satu jam setengah, tetapi pemandangan sekitar tasik memang mengasyikkan walaupun agak menggerunkan.

Sampai di kawasan perkhemahan di Sungai Air Hangat, kami berehat sambil makan tengahari dengan nasi yang dimasak dalam buluh, kerabu daun kayu dan ikan air tawar hasil tangkapan dari tasik seperti lampan dan tilapia yang digoreng dan dibakar.

Setelah mengerjakan solat, kami bersiap sedia untuk ke tempat pokok tualang yang menjadi tempat sarang lebah bergayut.

Perjalanan yang dikatakan hanya mengambil masa 50 minit terlajak sehingga hampir satu jam setengah memandangkan kebanyakan kami adalah orang bandar yang sudah lama tidak ‘bersenam’.

Sebelum sampai ke pokok tualang kami dibawa ke kawasan sira gajah atau kawasan mata air panas yang mengeluarkan belerang atau sulfur yang mengalir ke sungai.

Kawasan berkenaan merupakan tempat haiwan liar minum atau menghabiskan masa di malam hari.

Akhirnya, setelah bersusah-payah meredah hutan dan mendaki bukit pada sudut 45 darjah kami tiba ke pokok tualang yang tingginya lebih kurang 10 tingkat bangunan.

Ketika sampai empat orang pemungut lebah sedang bersiap sedia memotong kayu untuk dibuat sigar atau tangga untuk memanjat pokok tualang yang setinggi 12 tingkat bangunan.

Ekspedisi diketuai oleh Mohd. Nawi Abdullah yang berpengalaman mengambil madu lebah tualang sejak 1980-an.

Sebelum memulakan operasi, Mohd. Nawi menurunkan pelbagai pantang larang yang harus diikuti semasa mengumpul madu seperti tidak ‘menegur’ apabila terdengar atau melihat sesuatu yang pelik.

“Semasa acara mengumpul madu dijalankan lampu tidak boleh dinyalakan kerana ini akan membahayakan pengumpul madu.

“Tetapi saya akan beritahu bila masa gambar-gambar boleh diambil,” katanya.

Mohd. Nawi memberikan petua jika disengat lebah, hanya ambil madu lebah dan sapu pada tempat yang disengat.


beberapa orang pekerja sedang memproses madu lebah tualang di Pusat pengumpulan madu lebah tualang, Kuala Nerang, Kedah.


kematangan

Melihat kepada keadaan pokok yang terlalu tinggi, terlintas juga bagaimana untuk menentukan kematangan sesuatu sarang.

Mohd Nawi berkata, sarang yang matang biasanya berwarna merah kehitaman kerana lebah baru saja mempunyai anak dan madu belum lagi dimakan oleh anaknya. Jika sarang berwarna merah, ia masih belum matang dan jika hitam, kandungan madu sudah kehabisan.

Pengalaman lebih 20 tahun dalam mengumpul madu menyebabkan Mohd. Nawi boleh menentukan sarang yang mempunyai madu yang banyak.

Katanya, pokok tualang yang akan dipanjat tidak terlalu tinggi dan hanya ada tujuh sarang lebah berbanding dengan pokok lain yang yang lebih tinggi dan mempunyai sehingga 150 sarang.

“Biasanya sigai dibuat pada sebelah siang tetapi jika kawanan lebah di sana garang, segalanya dilakukan sebelah malam,” katanya yang biasanya menurunkan sehingga 50 sarang lebah pada satu malam.

Bercerita mengenai musim mengumpul madu, Mohd. Nawi berkata, biasanya pada bulan Oktober, lebah akan mencari tempat bersarang dan menjelang Disember, sarang itu telah matang untuk diambil.

Aktiviti pengumpulan madu lebah pula biasanya dilakukan semasa musim bulan gelap - 23 hingga 7 hari bulan mengikut kalendar Hijrah.

“Ini kerana cahaya bulan boleh menarik perhatian lebah dan mengganggu aktiviti pengumpulan madu,” katanya

Menjelang Maghrib, pengumpul madu tadi pulang ke khemah mereka untuk menunaikan bersolat Maghrib dan Isyak sebelum menyambung tugas mendirikan sigai.

Beberapa ahli ekspedisi pulang ke kawasan perkhemahan untuk mandi, solat dan makan, sementara yang lain menunggu di kawasan pokok tualang walaupun masih jam 5 petang.

Menjelang jam 9.30 malam, pengumpul madu kembali ke kawasan pokok tualang diikuti ahli ekspedisi yang membawa makan malam dan air minuman.

Kumpulan pemungut madu tadi menyambung tugas membina sigai, sementara Mohd. Nawi memeriksa jamung yang diperbuat daripada akar pokok merau.

“Akar pokok merau dipilih kerana ia mengeluarkan bunga api yang cantik ketika jatuh ke tanah,” katanya.

Lebih kurang jam 11.00 malam, setelah sigai siap dibuat, keempat-empat pengumpul madu turun dan memakai pakaian tebal, penutup kepala, cermin mata, sarung tangan dan stokin sebagai langkah berjaga-jaga terhadap serangan lebah.

Sebelum memulakan operasi, Mohd. Nawi membaca surah al-Fatihah sebanyak tiga kali serta beberapa surah lain dan berdoa agar segalanya berjalan dengan lancar.

Dua orang pengumpul madu mula memanjat sigai dan mencari kawasan sarang yang telah dikenalpasti dan menarik jamung yang dihulur oleh pengumpul yang berada di bawah.

Ketika itu kami disuruh duduk diam dalam keadaan gelap gelita dan bulan gelap dan tiada satu lampu pun boleh dinyalakan.

Jamung dinyalakan dan direnjis ke bawah sambil mentera dibacakan:

Intan manis turunkan ikut bunga bintang,

Turunlah ke bumi duduk diam-diam.

Ketika itu bunga api jamung cantik berwarna merah berselerak turun ke bawah dan cahaya lampu limpah atau flash kamera bersinar-sinar.

Dari bawah pokok tualang, jurugambar berusaha mencari sudut yang bagus bagi mendapatkan gambar terbaik.

Dalam kegelapan malam, pemungut madu menaikkan palong atau besen yang digunakan untuk mengumpul madu.

Tali besar digunakan untuk menaikkan palong dan hanya sebahagian sarang lebah diambil dan diletakkan dalam palong sebelum dibawa turun menggunakan tali saiz kecil.

“Sarang tidak diambil semua bagi membolehkan lebah datang semula pada musim akan datang,” kata Mohd. Nawi.

Sarang lebah yang mempunyai madu tadi diagihkan kepada petugas media dan kakitangan FAMA yang mengikuti ekspedisi berkenaan.

“Ambil madu saja dan buang sarang kerana boleh menyebabkan gatal tekak,” kata Mohd. Nawi.

Disebabkan kami berada lebih lima jam di kawasan bukit berkenaan, keinginan melelapkan mata menyebabkan kami ingin kembali lebih awal tetapi tidak boleh berbuat demikian.

“Ada ‘orang besar’ lalu,” kata salah seorang kakitangan FAMA yang bermaksud gajah sedang menggunakan laluan kami untuk ke kawasan air panas tadi. Setelah pengumpul madu menyelesaikan tugasnya, kami sama-sama turun ke khemah, berehat sebentar dan mandi di sungai.

Selesai solat Subuh, kami melelapkan mata sebentar sebelum bersarapan dan menaiki sampan ke Jeti Empangan Sungai Muda.

Di pos oleh Arbain Muhayat pada 03 January 2009