Revolusi kasut Muntadar
Usaha kecil tetapi besar impaknya. Seorang wartawan Iraq, Muntadar Al-Zeidi mungkin telah melancarkan "Revolusi Kasut" mewakili berjuta-juta warga Iraq yang mati, cedera, sakit dan lumpuh disebabkan pencerobohan yang tidak bermoral dan berperikemanusiaan serta kejam.
Soalan yang akan ditanya? Kasut manakah menghina Presiden Amerika Syarikat (AS). Jawapannya kasut Muntadar.
Balingan kasut Muntadar akan dikenang dalam sejarah sebagai "kasut yang menghina presiden AS". Jenama Muntadar akan lebih popular daripada Adidas, Camel, Hush Puppy, Nike, Timberland dan seumpamanya.
Satu permainan komputer di Internet - Sock and Awe - yang diilhamkan daripada insiden tersebut turut dilancarkan minggu lalu .
Sehingga kini laman web yang diperkenalkan oleh seorang rakyat Britain, Alex Tew menerusi www.sockandawe.com dikunjungi lebih 1.4 juta pengunjung.
Awal Muharam juga akan ditandai dengan revolusi kasut sebagai simbol kebangkitan umat Islam di Asia Barat dan dunia Islam dalam menentang sebarang pencerobohan serta tindakan kejam imperialis AS, Israel dan sekutu Barat. Ia adalah penutup tirai yang baik buat umat Islam untuk dijadikan pengajaran bermakna.
Jika Presiden George W. Bush tidak menghidap penyakit 'Alzheimer' atau nyanyuk, beliau akan terus mengenang insiden ini sebagai episod yang amat memalukan dan menghina dalam hidupnya.
Kejadian itu seolah-olah memberi amaran kepada bakal Presiden Amerika, Barrack Hussein Obama bahawa sebarang tindakannya akan diperhatikan oleh seluruh umat Islam.
Keberanian
Muntadar mungkin lebih berani berbanding mana-mana pemimpin Arab lain. Sekurang-kurang beliau telah mengembalikan maruah dan keberanian serta membangkitkan semangat bangsa Arab dalam menentang imperialis itu.
Sepasang kasut yang akan mencetuskan revolusi dari Palestin ke Iraq, Afghanistan, Chechya dan serata dunia Islam yang diduduki dan dikuasai oleh Amerika dengan cara apa sekali pun.
Revolusi kasut ini harus ditandai oleh umat Islam dengan semangat membebaskan diri daripada cengkaman kuasa imperialis Amerika dan Barat terutama dari sudut penggantungan ekonomi, kewangan dan perindustrian yang keterlaluan.
Dunia Islam harus mewujudkan pasaran modal dan pasaran eksport sesama mereka melalui pertukaran barangan dan nilai kewangan dunia Islam. Dalam hal ini mungkin penggunaan dinar emas boleh dijadikan permulaan.
Negara-negara Islam juga harus bermula dengan usaha para pemimpinnya membebaskan diri daripada berhutang dan berkiblatkan kuasa Barat. Usaha mendidik anak bangsa supaya menyingkirkan nilai-nilai yang tidak sesuai dengan Islam dan budaya ketimuran mesti digerakkan secara aktif.
Sumber kekayaan galian dan bahan mentah tidak harus diboloti oleh elit pemerintah yang pro Barat, sebaliknya pengagihan kekayaan harus dilakukan secara adil kepada rakyat jelata.
Laporan berita menyebut Muntadar mengalami patah tulang rusuk dan tangan sebelum disumbat ke dalam penjara. Beliau mungkin mengalami penyeksaan yang lebih teruk kerana tindakannya ke atas Presiden Amerika itu.
Bush sekali lagi akan diingati sebagai tokoh yang menyeksa umat Islam melalui kem-kem tahanannya di Guantanamo ke Filipina.
Sejarah akan mengukir kisah kasut Muntadar sebagai satu revolusi kecil yang membebaskan umat Islam daripada ketakutan penguasaan Barat.
Umat Islam harus membuat anjakan melalui pijakan yang menggunakan kasut untuk membebaskan diri daripada hegemoni dan pengaruh Barat.
Di pos oleh Arbain Muhayat pada 22 December 2008