BAB 27 : PEMBANGUNAN MENERUSI KERJASAMA ANTARABANGSA
I : PENDAHULUAN
27.01
Dalam tempoh Rancangan Malaysia Kelapan (RMKe-8), kerjasama yang
dipupuk dengan komuniti antarabangsa mengukuhkan kerjasama peringkat
dua hala, serantau dan pelbagai hala. Kerjasama antarabangsa adalah
penting memandangkan Malaysia merupakan negara ekonomi terbuka dan
negara perdagangan yang ke-18 terbesar di dunia. Malaysia juga
menyokong kerjasama peringkat pelbagai hala bagi mempelopori keamanan
dan pembangunan antarabangsa dan juga mempromosi secara aktif kerjasama
Selatan-Selatan melalui Program Kerjasama Teknikal Malaysia (PKTM).
27.02
Malaysia akan terus mempergiat usaha untuk memperkukuh kerjasama
antarabangsa ke arah pembentukan dasar dan strategi yang sesuai bagi
memboleh negara membangun menerima manfaat globalisasi dengan lebih
saksama. Dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9), inisiatif
akan diambil bagi meningkatkan kerjasama serantau dan kerjasama dengan
rakan pembangunan ke arah memperluas hubungan global negara. Bagi
memperkukuh lagi PKTM, strategi baru akan diambil untuk meningkat
kerjasama dengan sektor swasta dan badan bukan kerajaan (NGO). Di
samping terus menumpu kepada pembinaan modal insan dengan kerjasama
negara membangun lain, PKTM juga akan menyokong inisiatif bagi
memajukan lagi hubungan dua hala.
II : KEMAJUAN 2001-2005
27.03
Dalam tempoh RMKe-8, Malaysia bekerjasama dengan rakan pembangunan dua
hala, pelbagai hala dan serantau untuk menangani beberapa isu peringkat
serantau dan global yang mempengaruhi pembangunannya serta menyokong
kerjasama Selatan-Selatan menerusi perkongsian pengalaman pembangunan.
Penekanan khusus diberi kepada pembangunan modal insan dan peningkatan
keupayaan institusi ke arah mencapai Matlamat Pembangunan Milenium
(MDG). Usaha diambil untuk memperkukuh hubungan politik dan ekonomi
selaras dengan dasar luar negara Malaysia, terutamanya dalam kumpulan
serantau seperti Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) dan
Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) serta kumpulan seperti Pertubuhan
Persidangan Islam (OIC) dan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM).
Kerjasama Dua Hala
27.04
Kerjasama dua hala dipertingkatkan dengan negara rakan melalui
penubuhan 22 buah pejabat perwakilan baru, menanda tangani 14
perjanjian kerjasama ekonomi, saintifik dan teknikal, dan mengadakan 23
Mesyuarat Suruhanjaya Bersama. Kerjasama perdagangan dan perkhidmatan
telah dipertingkatkan dengan termeterainya 45 perjanjian perdagangan
dan perkhidmatan. Rundingan bagi perjanjian perdagangan bebas dua hala
dimulakan dengan beberapa rakan dagangan utama. Perjanjian Perkongsian
Ekonomi Jepun-Malaysia (JMEPA) ditanda tangani pada tahun 2005 untuk
menggalak kerjasama, liberalisasi dan pemudahan dalam perdagangan dan
pelaburan. Rundingan yang sama dibuat dengan Pakistan, India, Australia
dan New Zealand manakala persediaan juga dibuat untuk rundingan dengan
Amerika Syarikat dan Chile. Di samping itu, Jawatankuasa Strategi
Pembangunan Bersama (JDS) kawasan sempadan Malaysia-Thailand ditubuhkan
untuk menggalak pembangunan ekonomi dalam empat negeri di Malaysia dan
lima provinsi di Thailand.
27.05
Malaysia terus menerima bantuan pembangunan rasmi (ODA) dua hala namun
pada tahap yang lebih rendah. Jepun merupakan rakan bantuan dua hala
terbesar yang menyediakan pinjaman mudah sebanyak AS$1.5 bilion untuk
projek pembangunan sumber manusia, enterpris kecil dan sederhana (EKS)
dan infrastruktur.
27.06
Jumlah bantuan teknikal dua hala yang diterima oleh Malaysia ialah
sebanyak AS$328.4 juta. Daripada jumlah tersebut, AS$260.1 juta atau 79
peratus diterima daripada Jepun, seperti ditunjukkan dalam Jadual 27-1.
ODA yang diterima daripada Denmark ialah sebanyak AS$46.4 juta dalam
bidang alam sekitar dan AS$12.5 juta daripada Jerman bagi latihan
kemahiran. Malaysia telah dikeluarkan daripada senarai penerima bantuan
ODA Australia pada tahun 2003 dan Kanada pada tahun 2004.
Kerjasama Serantau
27.07
Selaras dengan komitmen Malaysia terhadap regionalisme terbuka,
Malaysia meneruskan penyertaan aktif dalam ASEAN, APEC dan Mesyuarat
Asia-Eropah (ASEM). ASEAN merupakan teras utama dasar luar dan serantau
negara melibatkan kerjasama dalam bidang berkepentingan bersama yang
luas. Penyertaan dalam APEC bertujuan memupuk kerjasama dalam isu
perdagangan dan ekonomi serantau dan global yang luas, terutamanya
dalam bidang pemudahan perdagangan dan perniagaan dan bina upaya. APEC
juga menyediakan forum yang berguna untuk mendapat maklumbalas daripada
komuniti perniagaan antarabangsa dalam pembentukan inisiatif APEC yang
memudah dan meningkatkan aktiviti perniagaan dalam rantau Asia Pasifik.
Kerjasama dengan ASEM adalah berdasarkan dialog politik, kerjasama
ekonomi dan interaksi budaya.
27.08
Dalam tempoh Rancangan, anggota ASEAN meningkatkan kerjasama untuk
menangani isu serantau dari segi ekonomi, politik dan keselamatan.
Anggota ASEAN melalui Deklarasi ASEAN Concord II yang dibuat dalam
Sidang Kemuncak ASEAN Kesembilan di Bali, Indonesia pada tahun 2003
telah mengesahkan semula komitmen penubuhan Komuniti ASEAN selaras
dengan Wawasan 2020 ASEAN.
27.09
Malaysia menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN Ke-11 dan Sidang
Kemuncak Berkaitan yang diadakan pada 12 sehingga 14 Disember 2005.
Sidang Kemuncak tersebut mencapai kemajuan yang baik ke arah mendalami
komitmen untuk mengukuh integrasi ekonomi dalam rantau ini. Kemajuan
ini termasuk mencepatkan liberalisasi sektor perkhidmatan ASEAN
sebanyak lima tahun kepada 2015 dan mempercepatkan lagi integrasi
sektor perkhidmatan pelancongan dan penerbangan dalam pelaksanaan Fasa
II Integrasi Sektor Utama.
27.10 Langkah diambil untuk memperkukuh rantaian ekonomi ASEAN dengan rakan dialog utama termasuk negara Plus Three1,
India, Rusia dan Australia-New Zealand. Framework Agreement on
Comprehensive Economic Cooperation antara ASEAN dengan China ditanda
tangani pada tahun 2002 memperuntuk, antara lain, penubuhan ASEAN-China
Free Trade Area (FTA) menjelang tahun 2010. Perjanjian mengenai Trade
in Goods dilaksanakan sejak 1 Julai 2005. Framework Agreement yang sama
telah ditanda tangani antara ASEAN dengan Republik Korea, ASEAN dengan
India dan ASEAN dengan Jepun untuk mengukuhkan lagi kerjasama ekonomi
termasuk penubuhan FTA untuk ASEAN dengan Republik Korea menjelang
2010, ASEAN dengan India 2011 dan ASEAN dengan Jepun 2012. Sempena
Sidang Kemuncak ASEAN Ke-11, Malaysia menjadi tuan rumah Sidang
Kemuncak Asia Timur (EAS) yang pertama yang menyediakan forum untuk
negara ASEAN dan Plus Three berunding dengan negara rakan, iaitu India,
Australia-New Zealand dan Rusia mengenai isu berkepentingan strategik
yang luas kepada rantau Asia Timur.
27.11
Inisiatif rantau-kecil dalam ASEAN juga menerima perhatian yang lebih
dengan penganjuran Sidang Kemuncak Pertama Pertumbuhan Segi Tiga
Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) dan Sidang Kemuncak Kedua Kawasan
Pertumbuhan
1 Republik Rakyat China, Jepun dan Republik Korea.
ASEAN Timur
Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) pada 11 Disember 2005 di
Kuala Lumpur. Untuk mengurangkan jurang pembangunan antara negara
anggota ASEAN, Malaysia melaksanakan 33 projek bina upaya di bawah
Initiative for ASEAN Integration (IAI) bagi Cambodia, Lao PDR, Myanmar
dan Vietnam dengan kos sebanyak RM5.8 juta.
Kerjasama Pelbagai Hala
27.12
Malaysia terus bekerjasama dengan Rancangan Colombo, Komanwel, OIC, NAM
dan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) untuk meningkatkan kerjasama
pembangunan. Kerjasama dengan Bank Pembangunan Asia (ADB), Bank
Pembangunan Islam (IDB) dan Bank Dunia adalah bertujuan untuk
meningkatkan keupayaan negara dalam pelbagai bidang seperti
produktiviti, pelaburan dan pendidikan. Malaysia terus mendapatkan
bantuan modal daripada IDB sebanyak AS$148.4 juta untuk pembelian
peralatan. Malaysia menjadi tuan rumah Mesyuarat Lembaga Gabenor IDB
Ke-30 pada bulan Jun 2005 dan dua Memorandum Persefahaman serta tiga
perjanjian ditanda tangani termasuk program
biasiswa anjuran bersama untuk pendidikan
tertiari dan bina upaya dalam industri kelapa sawit di Sierra Leone.
Malaysia juga dilantik untuk mempengerusi Suruhanjaya Wawasan 1440H IDB
yang diamanahkan untuk mengenal pasti cabaran yang dihadapi oleh ummah
dan peranan masa hadapan IDB untuk menghadapi cabaran tersebut dengan
lebih baik. Malaysia menyertai OIC Trade Preferential System dan
menanda tangani peraturan pembayaran dua hala (BPA) dengan beberapa
negara anggota OIC. Selaras dengan komitmen terhadap usaha menjaga
keamanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Malaysia menyertai 13
misi di Afrika, Timur Tengah, Eropah Tengah, Caribbean dan Asia.
27.13
Malaysia menerima bantuan teknikal berjumlah AS$35.5 juta daripada
agensi khusus PBB. Walau pun bantuan teknikal yang diterima semakin
berkurangan, Malaysia terus bekerjasama dengan agensi tersebut seperti
Program Pembangunan PBB (UNDP), Tabung Kependudukan PBB (UNFPA) dan
Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF). Namun Malaysia semakin mengambil
peranan yang lebih besar sebagai rakan pembangunan dengan projek
dilaksana secara perkongsian kos. Pencapaian matlamat MDG telah
didokumen dan dilancarkan pada bulan Januari 2005. Laporan ini
menonjolkan pencapaian Malaysia dalam kesemua sasaran MDG, iaitu
kemiskinan, kesihatan dan pendidikan, alam sekitar dan perkongsian
global, lebih awal daripada tahun 2015 sepertimana yang disasar,
melainkan Matlamat Keenam, iaitu menghentikan dan mengurangkan
jangkitan HIV/AIDS. Sumbangan Malaysia kepada pertubuhan dan institusi
pelbagai hala adalah sebanyak RM341.3 juta, seperti ditunjukkan dalam
Jadual 27-2.
Program Kerjasama Teknikal Malaysia
27.14
Dalam tempoh Rancangan, Malaysia memperluas lagi skop kerjasama
Selatan-Selatan melalui perkongsian pengalaman pembangunan dengan
negara membangun lain. Sehubungan ini, skop dan liputan PKTM diperluas
dengan tumpuan terus diberi kepada pembangunan modal insan, kerjasama
berbentuk projek dan khidmat nasihat. Bilangan negara ahli PKTM
meningkat daripada 121 kepada 135 negara manakala 16 institusi latihan
baru menyertai program tersebut dengan menyediakan kursus jangka
pendek. Dengan itu, jumlah institusi latihan telah meningkat hampir dua
kali kepada 34. Dalam tempoh Rancangan, jumlah peserta meningkat dengan
ketara, iaitu 158 peratus kepada 7,030 peserta berbanding 2,724 peserta
dalam Rancangan Malaysia Ketujuh, seperti ditunjukkan dalam Carta 27-1.
Sejumlah RM164.3 juta dibelanja untuk melaksanakan aktiviti PKTM.
Jadual 27-1 : Bantuan Teknikal Diterima Mengikut Sumber, 2001-2005 (AS$ '000)
27.15
Beberapa projek khusus dilaksanakan termasuk bantuan khas dalam bentuk
khidmat perunding untuk Algeria, Pakistan, Sudan, Timor Leste, Uganda,
Afrika Selatan dan Namibia serta projek pembangunan di Bosnia
Herzegovina, Malawi, Lao PDR dan kajian kemungkinan di Iran, Syria dan
Myanmar. Bagi mengukuhkan impak program tersebut, PKTM melaksanakan
beberapa inisiatif termasuk menggalakkan rangkaian antara alumni PKTM,
mengeluarkan video korporat, menerbit buku PKTM dan kalendar kursus
tahunan serta menerbit MTCP Alumni Newsletter sebanyak tiga kali
setahun. Program Alumni Homecoming and Study Visit diadakan pada bulan
Mei 2005 bagi memperbaharui hubungan dua hala dan menggalakkan
rangkaian antara alumni dengan rakan sejawat di Malaysia termasuk
sektor swasta. Kerjasama telah dibuat dengan Rancangan Colombo dan
Japan International Cooperation Agency (JICA) bagi menjalankan 47
kursus di bawah Program Kerjasama Latihan bagi Negara Ketiga (TCTP)
secara perkongsian kos berasaskan 11 tema seperti diplomasi, latihan
perubatan, latihan kemahiran dan pembangunan EKS.
III : PROSPEK 2006-2010
27.16
Dalam tempoh RMKe-9, Malaysia akan terus memain peranan secara aktif
untuk menggalakkan kerjasama antarabangsa peringkat dua hala, serantau
dan pelbagai hala bagi mewujudkan sistem yang lebih adil dan saksama
pada peringkat antarabangsa untuk mencapai matlamat negara. Di samping
tumpuan terus diberikan kepada bina upaya dan perkongsian pengalaman
dengan negara Selatan, PKTM akan memula hala tuju strategik baru yang
akan meningkatkan lagi penglibatan sektor swasta dan NGO dalam
melaksanakan program serta memperkemas aktiviti bagi meningkatkan
keberkesanan kos dan impak.
Kerjasama Dua Hala
27.17
Dalam tempoh Rancangan, Malaysia akan menerus dasar mengenai kerjasama
pembangunan melalui penubuhan dan pengukuhan hubungan dua hala dengan
negara maju dan negara membangun. Teras hubungan dua hala negara adalah
untuk memperkukuh hubungan bagi faedah bersama. Pejabat perwakilan yang
baru akan ditubuhkan di negara rakan manakala mekanisme Mesyuarat
Suruhanjaya Bersama akan diperkukuh untuk memantap hubungan dua hala,
terutama kerjasama dalam sains dan teknologi, pertukaran pendidikan dan
kebudayaan serta perdagangan dan pelaburan. Sehubungan ini, perjanjian
jaminan pelaburan (IGA), BPA dan Tatacara Kredit dan Pembayaran Minyak
Sawit (POCPA) serta perjanjian perdagangan dan pelaburan akan
dirundingkan antara Malaysia dengan negara yang menjalin kerjasama.
27.18
Bantuan Pembangunan Rasmi Dua Hala. Malaysia akan terus berusaha
mendapatkan kerjasama daripada sumber tradisional pinjaman pembangunan
bagi melaksanakan projek dalam bidang tumpuan yang dikenal pasti,
terutama pembangunan modal insan. Malaysia dan Japan Bank for
International Cooperation (JBIC) akan menjalankan penilaian bersama
mengenai projek ODA dua tahun selepas projek tersebut disiapkan bagi
memasti projek berkenaan memberi faedah bersama. Melalui pendekatan ini
projek akan dinilai daripada perspektif kedua-dua negara, dengan ini
menyumbang kepada penggubalan projek masa hadapan.
27.19
Bantuan Teknikal Dua Hala. Dalam tempoh Rancangan, bantuan teknikal
daripada Jepun akan berpandu kepada JMEPA. Sehubungan ini, inisiatif,
program dan projek akan dilaksanakan di bawah Economic Partnership
Programme (EPP), iaitu program di bawah Perjanjian tersebut. Di bawah
EPP, kedua-dua negara adalah komited kepada objektif meningkatkan
pembangunan sosioekonomi, memperkukuh daya saing, membangun modal
insan, menggalak pembangunan mampan dan merapat jurang antara Malaysia
dengan Jepun.
27.20
Bantuan teknikal akan terus merangkumi kajian pembangunan, kerjasama
berbentuk projek, geran kebudayaan serta penghantaran Japan Overseas
Cooperation Volunteers (JOCV), Japan Senior Volunteers (JSV) dan pakar.
JOCV dan JSV akan ditempatkan untuk melengkap dan menyokong kerjasama
berbentuk projek dan khidmat pakar. JOCV akan terus memberi khidmat,
terutama dalam pembangunan desa, pendidikan khas, khidmat kebajikan
masyarakat dan alam sekitar. Pengalaman dan kepakaran JSV akan terus
menyumbang ke arah bina upaya serta pemindahan kepakaran teknikal dan
industri untuk pembangunan sektor pembuatan.
27.21
Dalam tempoh Rancangan, kerjasama dengan Danish International
Development Agency (DANIDA) akan terus ditumpu kepada komponen bahan
berbahaya alam sekitar, pengurusan sisa pepejal dan pengurusan
biodiversiti di bawah Environment Cooperation Programme (ECP). Unit
Sokongan Program akan ditubuhkan di Unit Perancang Ekonomi (UPE) pada
tahun 2006 sebagai sekretariat untuk mengkaji dan melaksana projek ECP.
Unit ini juga akan mengambil alih fungsi pasukan DANIDA di Kuala Lumpur
mulai tahun 2007 seterusnya sementara DANIDA akan terus memberi
sokongan kepada ECP dari segi prosedur dan perkara teknikal. Satu
program sistem pemantauan ECP akan juga diwujud untuk memasti
keberkesanannya.
27.22
Kerjasama teknikal dengan Jerman akan diterus melalui Deutsche
Gesellschaft Fur Technische Zusammenarbeit (GTZ) bagi Projek Pendidikan
Perhutanan Malaysia-Jerman dengan tempoh pelaksanaan selama enam tahun
yang dijangka berakhir pada tahun 2009. Projek ini akan merangkumi
pembangunan kurikulum dalam bidang perhutanan untuk kursus di peringkat
ijazah dan ijazah lanjutan serta meningkat keupayaan penyelidikan dan
khidmat nasihat. Melalui projek ini, Universiti Malaysia Sabah dijangka
dapat membangunkan lagi Sekolah Antarabangsa Perhutanan Tropika yang
akan menggalakkan pembangunan perhutanan yang mampan, terutamanya
memandangkan jaraknya yang dekat dengan salah satu ekosistem hutan
terbesar di dunia.
Kerjasama Serantau
27.23
Dalam tempoh Rancangan, Malaysia akan terus bekerjasama pada peringkat
serantau untuk menjadikan rantau ini lebih dinamik dan meningkat lagi
kerjasama antara rantau. Malaysia akan juga bekerjasama dengan negara
serantau untuk menangani isu bersama dan meningkat daya saing untuk
pertumbuhan ekonomi dan pembangunan melalui integrasi ekonomi yang
lebih rapat, khususnya di kalangan anggota ASEAN.
27.24
Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara. Malaysia bersama anggota ASEAN
lain akan terus mengambil langkah untuk memperkukuh integrasi ekonomi
ASEAN ke arah mencapai matlamat Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) menjelang
tahun 2020. Sehubungan ini, Malaysia akan bekerjasama secara aktif
dengan anggota ASEAN untuk melaksana pelbagai inisiatif di bawah
Vientiane Action Programme (VAP) dan Perjanjian Rangka Kerja Bagi
Integrasi Sektor Utama. Liberalisasi sektor perkhidmatan yang
dicepatkan dijangka akan menggalak perdagangan dalam perkhidmatan di
kalangan anggota ASEAN dan juga menyedia ransangan yang perlu untuk
mengekal dan meningkat pertumbuhan ekonomi.
27.25
Dalam tempoh Rancangan, selain daripada ASEAN-China FTA in Goods, ASEAN
juga akan melaksana ASEAN-Korea FTA in Goods pada tahun 2006. Usaha
akan dipertingkat untuk memuktamadkan rundingan FTA yang sedang
berlangsung dengan rakan dialog lain. Semua FTA ini dijangka akan
mempunyai impak penting ke atas ekonomi ASEAN dan menyedia pemangkin
bagi terus menarik pelaburan asing ke rantau ini.
27.26
Malaysia akan terus memberi galakan dan menyokong kerjasama dalam
rangka kerja ASEAN Plus Three ke arah penubuhan komuniti Asia Timur
termasuk kemungkinan mewujud FTA Asia Timur. Kerjasama dengan Jepun,
Republik Rakyat China dan Republik Korea akan diterus bagi menjayakan
inisiatif pembangunan rantau kecil, terutama dalam kawasan Pertumbuhan
Segi Tiga dan usaha untuk mengurangkan jurang pembangunan antara negara
anggota ASEAN. Malaysia akan juga menerajui usaha memperkemas dan
memperkukuh ASEAN melalui penilaian semula institusi dan menerima pakai
Piagam ASEAN.
27.27
Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik. Malaysia akan terus memberi penekanan
untuk memperkukuh pembangunan ekonomi serantau dan meningkatkan
kemakmuran bersama di rantau Asia Pasifik. Sehubungan ini, perdagangan
dan pemudahan perniagaan akan dilaksana dengan kos menjalankan
perniagaan dikurangkan dan inisiatif bina upaya akan terus diberi
penekanan. Malaysia akan menggalak lagi usaha di kalangan negara
anggota untuk meningkat kerjasama ekonomi dan teknikal serta membina
keupayaan modal insan dan institusi.
Kerjasama Pelbagai Hala
27.28
Dalam tempoh Rancangan, Malaysia akan terus menyertai dan menyokong
program organisasi pelbagai hala. Malaysia akan berusaha ke arah
pembaharuan PBB bagi menjadikan proses membuat keputusan peringkat
global lebih demokratik, memperkukuh usaha pelbagai hala dan menangani
isu kemiskinan di negara Selatan. Malaysia juga akan terus bekerjasama
dengan PBB dalam usaha menjaga keamanan dan ke arah penyelesaian
konflik. Walau pun bantuan teknikal daripada sumber pelbagai hala
berkurang dalam tempoh Rancangan, kerjasama akan diteruskan terutamanya
untuk mencapai sasaran melepasi MDG.
27.29
Malaysia akan mempromosi kaedah kerjasama baru melalui rundingan dengan
rakan pembangunan termasuk pelaksanaan projek secara perkongsian kos.
Di samping itu, Malaysia dengan kerjasama komuniti antarabangsa akan
terus melaksana kaedah yang inovatif untuk membiayai pembangunan
infrastruktur di negara membangun.
27.30
Pertubuhan Persidangan Islam. Bagi meningkat lagi hubungan ekonomi di
kalangan anggota OIC, Malaysia akan bekerjasama dengan negara anggota
untuk melaksana inisiatif perniagaan yang akan menggalakkan perdagangan
dan pelaburan antara negara anggota. Kerjasama ini termasuk meningkat
peluang untuk memperoleh barangan dan perkhidmatan berkualiti daripada
negara anggota. Malaysia akan bekerjasama dengan negara anggota untuk
meningkat pewujudan kekayaan melalui aktiviti seperti pengeluaran dan
pembekalan produk dan perkhidmatan halal, perbankan dan kewangan Islam,
pendidikan serta pelancongan.
27.31
Untuk mempromosi semangat berdikari, Malaysia akan terus menggalak
negara OIC yang lebih membangun membantu pembangunan ekonomi negara
anggota yang kurang membangun melalui bina upaya dengan tujuan membasmi
kemiskinan. Pendekatan ini akan merapat jurang pembangunan yang ketara
antara 10 negara OIC yang juga anggota OPEC dengan 22 negara OIC yang
dikategorikan oleh PBB sebagai negara kurang membangun. Dalam
melaksanakan Program Bina Upaya Negara OIC, Malaysia akan bekerjasama
dengan IDB dan negara OIC yang lain membantu negara anggota
berpendapatan rendah dan negara kurang maju yang dikenal pasti. Program
ini termasuk bina upaya dalam bidang perikanan di Bangladesh,
pembangunan perusahaan kecil dan pembiayaan mikro di Aceh, Indonesia,
pembangunan sumber minyak dan galian di Mauritania serta bina upaya
dalam industri kelapa sawit di Sierra Leone. Di samping itu, Fasa II
program ini melibatkan Comoros, Guinea, Maldives, Burkina Faso,
Palestin dan Somalia.
27.32
Pergerakan Negara-Negara Berkecuali. Tempoh Malaysia menjadi Pengerusi
NAM akan berakhir pada tahun 2006 dan akan diambil alih oleh Cuba.
Sebagai bekas negara pemimpin NAM, Malaysia akan terus aktif dalam
menyumbang kepada pengukuhan NAM bagi menghadapi cabaran baru global,
menggalak dan memperkukuh usaha pelbagai hala, memastikan kedaulatan
undang-undang antarabangsa dan satu order dunia yang demokratik dan
saksama serta keamanan dan kestabilan global. Pusat Pembangunan Gender
di Malaysia yang ditubuhkan di bawah NAM akan menerajui program yang
akan menyumbang ke arah pembangunan gender di kalangan negara anggota.
27.33
Bank Pembangunan Asia. Untuk mengukuh keupayaan negara, Malaysia akan
terus menyertai program yang ditawarkan oleh ADB. Di samping itu,
kerjasama dengan ADB akan merangkumi perkongsian pengalaman pembangunan
dengan negara Selatan melalui lawatan sambil belajar dibiayai oleh ADB
dalam pelbagai bidang teknikal. Bidang kerjasama baru akan diteroka
bagi meningkat daya saing negara dan menggalakkan kadar pertumbuhan
yang mampan dalam rantau ini serta integrasi ekonomi yang lebih kukuh.
27.34
Bank Pembangunan Islam. Malaysia akan terus bekerjasama dengan IDB
untuk menggalak dan memperkukuh lagi kerjasama di kalangan negara
anggota termasuk menyokong aktiviti Suruhanjaya Wawasan 1440H IDB.
Sebagai Pengerusi Suruhanjaya ini, Malaysia akan memainkan peranan
utama dalam merangka pelan tindakan IDB untuk meningkat kerjasama
perniagaan dan hubung kait ekonomi melalui rundingan dengan negara
anggota.
27.35
Malaysia akan menyumbang kepada bina upaya dan pembangunan institusi
sistem kewangan global Islam dengan mengguna kepakaran, pengalaman dan
pengetahuan sedia ada. Sehubungan ini, Malaysia akan menawar program
bina upaya dalam bidang pasaran modal Islam melalui Pusat Pembangunan
Industri Sekuriti, iaitu institusi pendidikan dan latihan Suruhanjaya
Sekuriti. Usaha akan juga dijalankan untuk bekerjasama dengan institut
penyelidikan dan latihan IDB dan negara anggota lain ke arah mewujud
sekumpulan profesional Muslim dalam bidang pasaran modal.
27.36
Malaysia akan terus memperoleh pembiayaan daripada IDB dan menyertai
program bina upaya untuk negara anggota termasuk program sangkutan,
penghantaran pakar dalam bidang teknikal khusus dan menjadi tuan rumah
program lawatan sambil belajar daripada negara anggota. Dalam tempoh
Rancangan, kerjasama dengan IDB akan dipertingkat melalui pemberian 200
biasiswa secara perkongsian kos kepada pelajar daripada negara IDB
untuk mengikuti kursus pada peringkat siswazah dan pasca siswazah di
universiti tempatan.
27.37
Bank Dunia. Kerjasama dengan Bank Dunia adalah terutamanya melalui
bantuan teknikal dalam bidang tertentu seperti pelaburan, daya saing,
pendidikan dan pertanian. Pakar antarabangsa yang akan melaksanakan
aktiviti khidmat nasihat khusus akan terus diambil daripada Bank Dunia,
sekiranya diperlukan.
27.38
Agensi Khusus PBB. Dalam tempoh Rancangan, bantuan teknikal daripada
agensi khusus PBB dijangka akan berkurang. Sehubungan ini, kaedah
pembiayaan baru akan diteroka untuk melaksana projek dengan rakan
pembangunan. Bagi meneruskan kerjasama dengan UNICEF, Jawatankuasa
Penasihat Kebangsaan yang terdiri daripada wakil agensi Kerajaan dan
NGO akan mengkaji semula dan memperaku kaedah alternatif untuk
dilaksanakan secara sistematik dan telus bagi mengoptimumkan sumber
sedia ada setelah Program Pelan Tindakan Negara UNICEF berakhir pada
tahun 2007. Kerjasama dengan UNFPA juga akan dikaji semula dalam tempoh
Rancangan untuk memaksimum faedah kepakarannya. Projek kerjasama yang
dilaksana secara perkongsian kos dengan rakan pembangunan dijangka
semakin meningkat.
27.39
Bantuan teknikal daripada rakan pembangunan pelbagai hala seperti UNDP,
UNFPA, UNICEF dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) akan memberi
tumpuan untuk mencapai sasaran melepasi MDG melalui projek pengurangan
kemiskinan, pengurusan alam sekitar, tadbir urus, kesihatan, pendidikan
dan isu mengenai gender. Kerjasama dengan rakan pembangunan akan
semakin berasas kepada pembiayaan bersama, iaitu apabila Malaysia terus
mencapai kemajuan dalam bidang tersebut. Pembiayaan bagi projek seperti
kepelbagaian biologi, kecekapan tenaga, tenaga boleh diperbaharu,
perubahan cuaca dan pengurangan pengeluaran chlorofluorocarbons (CFC)
serta bahan lain yang mengurangkan lapisan ozon (ODS) ke dalam
atmosfera akan terus diperoleh daripada tabung pelbagai hala termasuk
Tabung Kemudahan Alam Sekitar Global (GEF). Malaysia juga akan
menggunakan rangkaian global agensi khusus PBB untuk mendapat akses
kepada idea baru.
27.40
Kerjasama Selatan-Selatan dengan rakan pembangunan pelbagai hala akan
dipertingkatkan. Sehubungan ini, Malaysia akan terus berkongsi
pengalaman pembangunan dengan negara Selatan, terutama negara Afrika
dan Asia Tengah dengan memberi tumpuan kepada pembasmian kemiskinan,
perancangan pembangunan dan pembangunan EKS. Aktiviti ini melibat
latihan khusus jangka pendek dan lawatan sambil belajar yang akan
dikendalikan bawah PKTM serta kerjasama dengan agensi pembangunan
antarabangsa lain.
27.41
Organisasi Pelbagai Hala Lain. Rundingan dengan WTO akan ditumpu kepada
peningkatan akses pasaran tanpa memasukkan isu luaran. Malaysia akan
mengguna sepenuhnya penyertaan sebagai pemerhati dalam lapan
jawatankuasa serta tiga kumpulan kerja dan pakar dalam Pertubuhan
Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) untuk meningkatkan lagi
keupayaan menangani cabaran baru perdagangan antarabangsa. Di samping
itu, Malaysia akan dapat menyuara pandangan terhadap isu perdagangan
yang berkaitan dan terlibat dalam penggubalan dasar.
Program Kerjasama Teknikal Malaysia
27.42
Sebagai pelopor utama kepada kerjasama Selatan-Selatan dan selaras
dengan dasar “prosper-thy-neighbour”, Malaysia melalui PKTM akan terus
menawar kerjasama teknikal kepada negara Selatan yang lain dalam tempoh
Rancangan. PKTM akan memain peranan lebih strategik dalam memperkukuh
perkongsian pintar, meningkatkan hubungan dua hala dan menggalakkan
keupayaan berdikari di kalangan negara membangun melalui perkongsian
pengetahuan dan pengalaman serta pembangunan modal insan. PKTM akan
berusaha untuk bekerjasama rapat dengan sektor swasta dan NGO serta
melaksana program secara perkongsian kos dengan negara anggota dan
rakan pembangunan seperti JICA dan Rancangan Colombo bagi meluaskan
skop dan liputannya.
27.43
Teras strategik PKTM adalah untuk mempromosi perkongsian kerjasama,
penglibatan lebih giat sektor swasta dan NGO serta pelancongan,
industri, kesihatan dan pendidikan. Mekanisme pelaksanaan, pemantauan
dan penilaian PKTM akan diperkukuh bagi meningkatkan impak dan
keberkesanannya.
27.44
Selaras dengan usaha untuk meningkat kerjasama Selatan-Selatan, PKTM
akan memperluas program untuk mempromosi perkongsian di kalangan negara
anggota. Pendekatan tersebut akan memperkukuh lagi hubungan perdagangan
dan ekonomi dua hala antara PKTM dengan negara anggota.
27.45
PKTM akan terus bekerjasama dengan NGO untuk membantu negara yang
terlibat dengan tsunami dalam pengurusan risiko bencana. Kerjasama
dengan NGO termasuk menganjurkan kursus bina upaya seperti pengurusan
bencana dengan MERCY Malaysia serta untuk bantuan kemanusiaan.
27.46
Dalam tempoh Rancangan, usaha akan diambil bagi menggalakkan
pelancongan, industri, kesihatan dan pendidikan melalui PKTM dengan
merangkumi program lawatan ke destinasi pelancongan, industri serta
kemudahan kesihatan ke dalam kurikulum kursus. Biasiswa peringkat
lepasan ijazah yang disediakan bawah PKTM akan diperlengkap dengan
program biasiswa khas, iaitu Program Biasiswa Antarabangsa Perdana,
yang dikendalikan oleh Kementerian Pengajian Tinggi.
27.47
Langkah akan diambil untuk meningkat impak PKTM melalui pengukuhan
mekanisme pelaksanaannya, pemantauan dan penilaian. Kaedah sedia ada
kerjasama teknikal di kalangan negara membangun (TCDC) akan terus
dihalusi dan skopnya diperluas terutama bagi menangani jurang digital,
pembasmian kemiskinan dan tadbir urus ke atas perdagangan dan pelaburan
global serta mempromosi proses ke arah pembentukan keamanan. Kaedah ini
akan dikaji secara berterusan bagi mencerminkan keperluan semasa negara
penerima. PKTM akan melaksana kursus TCTP dengan kerjasama rakan
pembangunan seperti JICA dan Rancangan Colombo dalam bidang khusus
dengan penyertaan lebih luas institusi sektor swasta.
27.48
Usaha akan dipertingkat untuk bekerja rapat dengan perwakilan Malaysia
di luar negara bagi melaksana PKTM secara lebih berkesan. Perwakilan
tersebut akan membantu menubuh persatuan alumni dan menjalin rangkaian
dalam negara anggota. Program PKTM akan terus menggunakan rangkaian
alumni sebagai forum untuk mendapat input merancang hala tuju masa
hadapan PKTM. Rangkaian alumni akan dijadikan sebagai sumber pakar
rujuk seminar, bengkel dan persidangan. Rangkaian tersebut juga akan
dipertingkat dengan penubuhan data exchange yang akan membolehkan
perkongsian maklumat di kalangan semua institusi latihan.
27.49
Program PKTM akan terus aktif menyokong kerjasama Selatan-Selatan
termasuk kerjasama dengan pertubuhan pelbagai hala, negara penderma dan
negara membangun lain untuk menyediakan TCTP dan bentuk kerjasama
teknikal lain kepada negara anggota. Sehubungan ini, lebih ramai negara
anggota akan digalakkan untuk menyertai program sebagai rakan kongsi
PKTM melalui kaedah perkongsian kos. Pendekatan tersebut akan diguna
pakai kepada negara anggota yang lebih membangun, terutamanya negara
yang mempunyai pendapatan per kapita lebih tinggi daripada Malaysia.
V : INSTUTUSI PELAKSANAAN DAN PERUNTUKAN
27.50
Bagi melaksanakan program kerjasama dua hala dan pelbagai hala yang
berkesan, agensi utama ialah Kementerian Luar Negeri, Kementerian
Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan UPE. Agensi ini akan memberi
tumpuan kerjasama dalam bidang keutamaan yang akan menyumbang ke arah
pembangunan ekonomi negara dan integrasi serantau serta rangkaian
antarabangsa. Perwakilan Malaysia di luar negara akan juga memain
peranan penting untuk melaksana program latihan PKTM dan mempromosi
aktiviti lain termasuk rangkaian alumni PKTM. UPE akan menyelaras,
memantau dan menilai aktiviti PKTM serta menyedia peruntukan kepada
semua institusi latihan dan agensi yang melaksana kursus PKTM.
27.51
Dalam tempoh RMKe-9, sebanyak RM200 juta akan diperuntukkan kepada PKTM
dan daripada jumlah tersebut lebih kurang 75 peratus akan dibelanja
bagi pembangunan modal insan. Peruntukan tersebut merupakan pertambahan
sebanyak 25 peratus berbanding dengan peruntukan RMKe-8.
V : PENUTU
27.52
Dalam tempoh RMKe-8, Malaysia bekerjasama aktif dengan komuniti
serantau dan global bagi meningkatkan hubungan dua hala, serantau dan
pelbagai hala. Kerjasama Selatan-Selatan terus diberi penekanan sebagai
wahana untuk Malaysia menggalakkan hubungan ekonomi yang lebih besar
dengan negara membangun lain bagi faedah bersama. Kemajuan ketara
dicapai dalam perluasan skop dan liputan PKTM dan perkongsian dengan
agensi pembangunan antarabangsa lain serta menggalakkan kerjasama
serantau terutama menerusi ASEAN.
27.53
Dalam tempoh RMKe-9, usaha akan diambil untuk mempertingkat kerjasama
antarabangsa dua hala dan pelbagai hala untuk meneroka peluang baru
bagi pembangunan ekonomi. Kerjasama serantau dengan anggota lain ASEAN
akan diberi penekanan dan kerjasama di kalangan serantau akan
digalakkan lagi melalui penyertaan dalam aktiviti APEC. Malaysia juga
menggalakkan hubungan ekonomi di kalangan anggota OIC terutamanya dalam
perdagangan dan pelaburan serta bina upaya dengan tujuan membasmi
kemiskinan. PKTM akan memain peranan ketara dalam mempertingkat
hubungan ekonomi dan politik dua hala dengan negara anggota. Kerjasama
dengan negara membangun lain akan terus diberi penekanan bagi
membolehkan kepentingan negara Selatan disatukan bawah agenda global
dan jurang pembangunan antara negara maju dengan negara membangun
dirapatkan
Di pos oleh Arbain Muhayat pada 20 December 2008