BAB 25 : TADBIR URUS BAIK UNTUK PEMBANGUNAN
I : PENDAHULUAN
25.01
Pelbagai program dan langkah telah dilaksana dalam tempoh Rancangan
Malaysia Kelapan (RMKe-8) untuk mempertingkat tahap integriti dalam
sektor awam dan swasta. Secara khususnya, pelancaran Pelan Integriti
Nasional (PIN) telah merangsang usaha ke arah mewujudkan masyarakat
Malaysia yang berintegriti tinggi. Usaha untuk meningkatkan tahap
integriti melibatkan penyertaan semua lapisan masyarakat daripada akar
umbi sehingga peringkat tertinggi.
25.02
Dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9), selaras dengan
prinsip Islam Hadhari yang kedua1, keenam2 dan kelapan3, pelaksanaan
PIN akan dipergiat dengan memberi penekanan kepada beberapa bidang
keutamaan. Amalan perniagaan beretika dan program tanggungjawab sosial
korporat akan digalak untuk menambah baik tadbir urus korporat. Usaha
juga akan digembleng ke arah menghapuskan peluang melakukan rasuah,
penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa. Langkah ini akan membantu
menangani rasuah, mengurangkan pembaziran serta meningkatkan ketelusan
dan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam dan sektor korporat dengan
mengurangkan kos menjalankan perniagaan. Manfaat daripada tadbir urus
baik bukan sahaja membantu pencapaian matlamat pembangunan negara
tetapi juga menjadikan Malaysia lebih berdaya saing dan menarik kepada
pelabur.
II : KEMAJUAN 2001-2005
25.03
Dalam tempoh RMKe-8, PIN telah dilancarkan bertujuan membentuk
masyarakat yang bermoral dan beretika serta mempunyai nilai keagamaan
dan kerohanian yang utuh dan tahap etika yang tinggi dan seterusnya
menyahut cabaran keempat Wawasan 2020. Undang-undang dan peraturan
disemak semula.
1 “Kerajaan yang adil dan beramanah.”
2 “Kehidupan berkualiti.”
3 “Keutuhan budaya dan
moral.”serta langkah penguatkuasaan diperketat oleh pelbagai badan
kawal selia untuk mempertingkat tadbir urus korporat. Langkah juga
telah diperkenal untuk memperkukuh etika perniagaan yang baik dalam
sektor korporat.
Pelan Integriti Nasional
25.04
Pelaksanaan PIN dimulakan pada bulan April 2004 dengan pelancaran TEKAD
2008, fasa pertama ke arah meningkatkan tahap etika dan integriti serta
memastikannya menjadi sebahagian daripada budaya masyarakat. PIN
bertujuan:
a) mengurangkan gejala rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa secara berkesan;
b) meningkatkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan awam dan mengatasi kerenah birokrasi;
c) meningkatkan tadbir urus korporat dan etika perniagaan;
d) memantapkan institusi keluarga; dan
e) menambah baik kualiti hidup dan kesejahteraan masyarakat.
25.05
Institut Integriti Malaysia (IIM) telah ditubuhkan pada tahun 2004
untuk menyelaras dan memantau pelaksanaan PIN. Dalam fasa pertama, enam
agensi utama telah dikenal pasti untuk menerajui pelaksanaan PIN, iaitu
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA); Kementerian Perdagangan Dalam Negeri
dan Hal Ehwal Pengguna; Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan
Masyarakat; Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan; Kementerian
Pengajian Tinggi dan Kementerian Pelajaran. Di samping itu, kira-kira
100,000 penjawat awam telah menjalani latihan untuk menerap nilai murni
dan etika dalam tugas harian.
25.06
Indeks Integriti Nasional (IIN) yang mengandungi enam indeks kecil,
iaitu Indeks Rasuah Malaysia; Indeks Penyampaian Perkhidmatan Awam
Malaysia; Indeks Tadbir Urus Korporat dan Etika Perniagaan Malaysia;
Indeks Kepaduan Keluarga dan Masyarakat Malaysia; Indeks Budi Bahasa
Malaysia; dan Indeks Kualiti Hidup dan Kesejahteraan Masyarakat
Malaysia sedang dibangun untuk mengukur tahap integriti di negara ini.
Kajian rintis telah dilaksana di negeri Perak untuk menguji keandalan
dan kesahan IIN.
Tadbir Urus Korporat yang Baik
25.07
Dalam tempoh Rancangan, pelbagai undang-undang dan peraturan telah
disemak semula untuk meningkatkan kecekapan dan tadbir urus baik dalam
sektor korporat. Peraturan seperti Syarat Penyenaraian (Listing
Requirements), Nota Amalan (Practice Notes) dan Nota Panduan (Guidance
Notes) telah disemak semula untuk mempertingkat tahap tadbir urus
korporat serta menggalakkan ketelusan yang lebih tinggi bagi
membolehkan pelabur membuat keputusan pelaburan bermaklumat. Semakan
semula merangkumi keperluan pengarah syarikat menghadiri Program
Akreditasi Mandatori (Mandatory Accreditation Programme) dan Program
Pendidikan Berterusan (Continuing Education Programme). Bagi mewujudkan
persekitaran yang kondusif untuk pasaran modal yang cekap dan teguh,
Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Bursa Malaysia Securities Berhad (BMSB)
telah menggubal rangka kerja tadbir urus korporat bagi syarikat yang
tersenarai di bursa saham. Rangka kerja tersebut meliputi penubuhan
jawatankuasa audit bebas oleh syarikat untuk memastikan pengurusan
kewangan yang berhemat dan telus.
25.08
Tadbir urus korporat di sektor kewangan juga telah dipertingkatkan
menerusi kajian semula ke atas rangka kerja tadbir urus korporat untuk
institusi kewangan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) yang merangkumi
peranan dan kelayakan minimum pengarah bebas serta isu pampasan. Piawai
Audit Dalaman Minimum (Minimum Internal Audit Standards) juga telah
digubal sebagai panduan dan ukuran prestasi audit dalaman serta
menambah baik keberkesanan operasi institusi kewangan.
25.09
Langkah juga telah diambil untuk mempertingkat tadbir urus baik di
kalangan syarikat yang tidak tersenarai di bursa saham. Suruhanjaya
Syarikat Malaysia (SSM) telah mempergiat aktiviti pengawasan dan kempen
kesedaran awam untuk memastikan pematuhan peruntukan Akta Syarikat 1965
dan Akta Pendaftaran Perniagaan 1956. Peratusan syarikat yang
mengemukakan Penyata Tahunan, maklumat pemegang saham, modal dan akaun
yang telah diaudit meningkat daripada 44.0 peratus pada Disember 2003
kepada 64.0 peratus pada Disember 2004. SSM telah melatih pengarah
syarikat untuk memastikan mereka memahami tanggungjawab dari segi
perundangan dalam pengurusan syarikat. Sehingga bulan Mei 2005,
sebanyak 2,350 kursus telah dijalankan melibatkan 106,590 pengarah
syarikat.
25.10
Dalam tempoh Rancangan, Badan Pengawas Pemegang Saham Minoriti (MSWG)
telah menubuhkan Jawatankuasa Penasihat Pembangunan Produk(Product
Development Advisory Committee) dan Pasukan Petugas Mengenai Panduan
Maklumat Kewangan Pro Forma (Task Force on Guidance on Pro Forma
Financial Information) untuk melindungi kepentingan pemegang saham
minoriti. MSWG juga menjalankan Penyiasatan Penarafan Tadbir Urus
Korporat(Corporate Governance Rating Survey) dan membangunkan Kad
Saringan Tadbir Urus Korporat (Corporate Governance Screen Card) serta
Lembaran Kawalan Pemantauan Tadbir Urus Korporat (Corporate Governance
Monitoring Control Sheet) untuk membantu pencapaian amalan tadbir urus
korporat baik berdasarkan standard tertinggi.
25.11
Badan bukan kerajaan (NGO) seperti Institut Tadbir Urus Korporat
Malaysia (MICG) dan Institut Etika Perniagaan Malaysia (BEIM) juga
telah mengambil inisiatif untuk menambah baik tadbir urus korporat.
MICG melaksanakan 30 program latihan tadbir urus korporat melibatkan
7,000 peserta. BEIM juga menjalankan program latihan untuk mempromosi
Rukuniaga Malaysia serta mewujud kesedaran mengenai kepentingan amalan
perniagaan beretika. Persekutuan Pengilang-pengilang Malaysia (FMM)
menubuhkan Jawatankuasa Amalan Perniagaan Beretika pada tahun 2002
sebagai wadah untuk menggalak tadbir urus korporat serta nilai dan
amalan perniagaan beretika. Institut Juru Audit Dalaman Malaysia (IIAM)
telah bekerjasama dengan agensi berkenaan untuk menjadikan etika,
tadbir urus korporat yang baik dan integriti sebagai budaya di kalangan
ahlinya serta pihak berkepentingan. Kerjasama ini merangkumi penerbitan
Garis Panduan Fungsi Audit Dalaman (Guidelines on Internal Audit
Functions) dan Buku Panduan Baru Tadbir Urus Korporat (New Handbook on
Corporate Governance) pada tahun 2002 serta penyiasatan mengenai Fungsi
Audit Dalaman Syarikat-Syarikat Awam Tersenarai pada tahun 2004. Dewan
Perdagangan dan Industri Antarabangsa Malaysia (MICCI) telah menubuhkan
Jawatankuasa Tetap Penambahbaikan Etika Perniagaan pada tahun 2003
untuk menyediakan pendidikan berterusan dan sokongan kepada ahlinya
yang ingin mempertingkat amalan tadbir urus. Pada tahun 2004, Piagam
Nilai Perniagaan Teras telah dibangunkan berasaskan amalan terbaik yang
telah dikenal pasti oleh syarikat multinasional di negara ini.
Menangani Rasuah
25.12
Badan Pencegah Rasuah (BPR) telah memperhebat usaha menangani rasuah
menerusi pendekatan serampang tiga mata, iaitu pencegahan, pendidikan
masyarakat dan tindakan punitif melalui penguatkuasaan yang tegas.
Dalam tempoh Rancangan, BPR telah menyiasat sejumlah 5,901 kes rasuah
dan membuat 2,359 tangkapan. Daripada jumlah ini, 1,033 kes telah
dihadapkan ke mahkamah, seperti ditunjukkan dalam Jadual 25-1. BPR juga
telah menjalankan tapisan keutuhan ke atas anggota utama dalam sektor
awam dan swasta bagi tujuan kenaikan pangkat, penganugerahan bintang
oleh Kerajaan Persekutuan dan negeri serta lantikan ke jawatan penting.
Jadual 25-1 : Kes Rasuah, 2001-2005
III : PROSPEK 2006-2010
25.13
Dalam tempoh RMKe-9, Kerajaan akan mempergiat usaha untuk meningkatkan
integriti dan ketelusan sektor awam dan swasta bagi menambah baik lagi
tahap tadbir urus baik dalam usaha membantu pembangunan. Teras
strategik untuk mempertingkat tadbir urus baik akan memberi tumpuan
kepada:
a) mempergiat pelaksanaan PIN;
b) menyemak semula dan memperkemas undang-undang dan peraturan untuk menambah baik tadbir urus korporat; dan
c) mempergiat penguatkuasaan dan memperkukuh langkah menangani rasuah.
Pelan Integriti Nasional
25.14
Pelaksanaan lapan strategi PIN yang merangkumi institusi keluarga,
komuniti, masyarakat sivil, sosiobudaya, agama, ekonomi, politik dan
pentadbiran akan dipergiat. Dalam fasa pertama pelaksanaan PIN,
penekanan akan diberikan kepada lima bidang keutamaan, iaitu
mengurangkan gejala rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa;
menambah baik kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan awam; menambah
baik tadbir urus korporat dan etika perniagaan; memantapkan institusi
keluarga dan komuniti; serta menambah baik kesejahteraan masyarakat.
25.15
IIM akan menjalin pakatan dan rangkaian strategik dengan sektor swasta
dan NGO serta pertubuhan antarabangsa untuk memperkukuh program
berkaitan integriti serta membina upaya organisasi sedia ada. IIM juga
akan membantu agensi kerajaan untuk menerapkan PIN ke dalam program
mereka. Pelaksanaan PIN pada semua peringkat akan dipergiat dengan
menubuhkan agensi mirip IIM di peringkat negeri di bawah naungan
kerajaan negeri. Di samping itu, Kerajaan akan terus memperkukuh
peranan pelbagai jawatankuasa yang ditugaskan untuk mempertingkat
akauntabiliti dan integriti dalam sektor awam.
Warganegara yang Bertanggungjawab
25.16
Selaras dengan cabaran keempat Wawasan 2020 untuk membentuk sebuah
masyarakat yang bermoral dan beretika dan mempunyai nilai keagamaan dan
kerohanian yang utuh dan menghayati budi pekerti yang luhur, usaha akan
ditumpu ke arah memperkukuh dan mempertingkat institusi serta
organisasi tempatan seperti Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan
Kampung (JKKK), Rukun Tetangga dan Jawatankuasa Penduduk serta
menggunakan media massa untuk menyumbang ke arah menjadikan integriti
sebagai satu cara hidup. Kempen kesedaran dan program pendidikan akan
diperluas untuk mengingatkan individu mengenai perlunya menerap nilai
murni dan resam secara berterusan supaya dapat dihayati dan diamalkan
sehingga akhirnya menjadi sebahagian daripada cara hidup individu dan
budaya masyarakat.
Tadbir Urus Korporat yang Baik
25.17
Usaha yang diambil untuk menambah baik tadbir urus dalam sektor awam
akan diperlengkap dengan inisiatif yang sama dalam sektor swasta untuk
memenuhi keperluan pihak berkepentingan. Pertubuhan perniagaan akan
terus bekerjasama dengan badan kawal selia dan NGO untuk mempertingkat
tahap tadbir urus korporat dan etika perniagaan. Penekanan khusus akan
diberi kepada usaha menambah baik ketelusan dan akauntabiliti. SSM akan
terus memastikan syarikat mematuhi undang-undang dan peraturan. Di
samping itu, undang-undang dan peraturan yang berkaitan akan disemak
semula untuk menambah baik dan memperkukuh tadbir urus korporat di
Malaysia.
25.18
Pihak SC dan BMSB akan memantau pematuhan secara rapi dan berusaha
untuk meningkatkan kelebihan daya saing Malaysia bagi menarik pelabur
asing. Sehubungan ini, BMSB akan terus memperkukuh dan memperkemas
rangka kerja tadbir urus korporat bagi syarikat tersenarai untuk
meningkatkan keyakinan pelabur terhadap kredibiliti pasaran. MSWG akan
mempergiat usaha untuk melindungi kepentingan pemegang saham minoriti
terutamanya dalam syarikat yang dikuasai oleh keluarga pengasas.
25.19
Tumpuan akan diberi ke arah membina asas pengauditan dalaman yang kukuh
dan memperluas tumpuan tersebut ke dalam bidang pengurusan risiko
syarikat, perkhidmatan asurans, etika dan tadbir urus, sokongan
jawatankuasa audit dan tanggungjawab sosial. Sektor swasta akan
digalakkan berpegang dan menerima pakai Kod Tadbir Urus Korporat
Malaysia dan Rukuniaga Malaysia serta membangunkan Kod Etika dan
Integriti masing-masing. Anugerah Pengamal dan Organisasi Beretika Baik
juga akan diperkenalkan.
Mempergiat Penguatkuasaan
25.20
Undang-undang dan peraturan akan dikuatkuasa secara tegas dan boleh
dipercayai bagi memastikan pematuhan sewajarnya. Penguatkuasaan akan
berdasarkan kepada tindakan mencegah, memperbetul sebarang kesalahan,
menghukum pesalah sebagai pengajaran kepada orang lain, tindakan
berkesan dan kerjasama di kalangan dan antara agensi kawal selia.
Sehubungan ini, semakan semula dan pengemaskinian undang-undang dan
peraturan berkaitan akan dilaksana. Di samping itu, keupayaan
penguatkuasaan akan diperkukuh melalui penyediaan sumber dan tenaga
manusia yang mencukupi kepada agensi penguatkuasaan yang penting.
Menangani Rasuah
25.21
Kerajaan akan mempergiat usaha ke arah menghapuskan ruang dan peluang
melakukan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa dalam sektor awam
dan swasta. Dalam sektor awam, tumpuan akan diberi kepada usaha
mempertingkat tahap ketelusan dan akauntabiliti dalam perkhidmatan yang
mudah terdedah kepada rasuah dan salah guna kuasa. BPR akan terus
bekerjasama dengan semua pihak terutamanya agensi berisiko tinggi dalam
usaha menangani amalan rasuah.
25.22
Pihak BPR akan mempelbagai inisiatif pendidikan masyarakat dan
meningkatkan kempen melalui media mengenai kejelikan rasuah. BPR akan
menggunakan pendekatan jangka panjang dan mensasar program
pendidikanAkepada pelajar sekolah rendah dan menengah serta institusi
pengajian tinggi.Di samping itu, BPR akan dilengkapkan dengan kaedah
dan teknik terkini untuk meningkatkan keupayaan dan kemampuannya dalam
bidang pencegahan,pengawasan dan sains forensik.
IV : INSTUTUSI PELAKSANA DAN PERUNTUKAN
25.23 Pihak IIM akan menjadi penggerak utama dalam pelaksanaan PIN. Di samping itu, Jabatan Perkhidmatan Awam; Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna; Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan; Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pelajaran akan menerajui pelaksanaan fasa awal PIN. Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan akan meningkatkan pemupukan nilai murni manakala BPR akan mempergiat usahanya untuk menangani gejala rasuah. Bagi sektor swasta, pihak SC dan SSM akan memasti pematuhan undang-undang dan peraturan. Di samping itu, NGO seperti BEIM, MICG dan MSWG akan mengambil langkah untuk meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti.
V : PENUTUP
25.24 RMKe-8 telah menyaksikan pembaharuan komitmen Kerajaan untuk menggalak tadbir urus baik melalui pelancaran PIN. Komitmen tersebut akan diteruskan dalam tempoh RMKe-9 dengan Kerajaan mengambil langkah untuk mempertingkat integriti, ketelusan dan akauntabiliti sektor awam dan swasta dan seterusnya menambah baik tahap tadbir urus. Langkah ini akan membantu usaha menangani rasuah, mengurangkan pembaziran dan kos menjalankan perniagaan serta meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam dan sektor korporat. Manfaat daripada tadbir urus baik akan menjadikan Malaysia lebih berdaya saing dan menarik kepada pelabur serta membantu pencapaian matlamat pembangunan negara.
Di pos oleh Arbain Muhayat pada 20 December 2008