BAB 24 : MEMBANGUNKAN BUDAYA KESUKANAN
I : PENDAHULUAN
24.01
Dalam tempoh Rancangan Malaysia Kelapan (RMKe-8), program pembangunan
sukan dilaksana oleh Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri serta
sektor swasta dan pertubuhan sukan kebangsaan bagi menggalakkan gaya
hidup sihat di samping membina sahsiah, semangat berpasukan dan
muhibbah di kalangan rakyat Malaysia. Pelbagai usaha diambil bagi
menarik lebih ramai penyertaan dalam aktiviti sukan dan rekreasi.
24.02
Mengambil kira kepentingan dan sumbangan sukan ke arah meningkatkan
perpaduan negara dan menyemai semangat patriotik dan perpaduan serta
membina masyarakat yang berdisiplin dan berdaya saing, usaha
menggalakkan sukan massa dan sukan berprestasi tinggi akan terus
dijalankan dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9).
Penekanan akan diberi dalam mewujudkan budaya bersukan di kalangan
rakyat Malaysia bagi menggalakkan gaya hidup sihat serta mencapai
kecemerlangan dan pengiktirafan dalam bidang sukan di peringkat
kebangsaan dan antarabangsa.
II : KEMAJUAN 2001-2005
24.03
Dalam tempoh RMKe-8, pelbagai langkah dilaksanakan bagi menyediakan
satu persekitaran yang membolehkan pembangunan sukan dalam negara
termasuk latihan kepada atlit, jurulatih dan pegawai sukan, pembangunan
kemudahan serta penganjuran pertandingan pada peringkat nasional dan
antarabangsa. Usaha ini memberi dorongan kepada pembangunan sukan dan
menyumbang ke arah pertumbuhan industri pelancongan. Bagi mencapai
kecemerlangan dalam pertandingan di peringkat nasional dan
antarabangsa, penekanan diberi kepada pembangunan program sukan
berprestasi tinggi manakala program Sukan Untuk Semua terus dipromosi
bagi menggalakkan penyertaan masyarakat dalam sukan dan rekreasi
Persekitaran yang Membolehkan
24.04
Dalam tempoh Rancangan, sejumlah 564 persatuan sukan didaftarkan
selaras dengan Akta Pembangunan Sukan, 1997. Akta ini membolehkan
Pesuruhjaya Sukan memastikan persatuan sukan diurus dan ditadbir dengan
lebih bersistem, cekap dan profesional. Sejumlah 29 persatuan
dibatalkan pendaftaran atas pelbagai sebab mengikut peruntukan di bawah
Akta tersebut. Bagi meningkatkan lagi profesionalisme di kalangan
pemegang jawatan persatuan sukan, pelbagai kursus dikendalikan oleh
Pejabat Pesuruhjaya Sukan dan seramai 2,491 pegawai dilatih dalam
tempoh Rancangan.
24.05
Satu Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Sukan ditubuhkan pada tahun
2004 bagi memastikan penyelarasan dan pelaksanaan program pembangunan
sukan yang berkesan. Jawatankuasa tersebut meluluskan skim pencen
bulanan yang memberi pengiktirafan sewajarnya kepada bekas atlit yang
cemerlang dalam Sukan Olimpik. Sehubungan ini, dua pemain badminton
yang memenangi pingat di Sukan Olimpik di Barcelona pada tahun 1992 dan
tiga pemain di Sukan Olimpik di Atlanta pada tahun 1996 mendapat
manfaat daripada skim ini.
Program Sukan Massa
24.06
Pelbagai aktiviti di bawah program sukan massa terus dilaksana bagi
mewujudkan rakyat Malaysia yang aktif dan sihat serta memupuk perpaduan
di kalangan belia dan mencapai perpaduan negara melalui penyertaan
dalam sukan. Dalam tempoh Rancangan, acara dan aktiviti sukan termasuk
sukan tradisional serta sukan baru seperti sukan ekstrim, mendaki
gunung, papan luncur dan sukan bermotor dianjurkan. Acara tersebut
mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat sukan dengan penyertaan
seramai 615,000 orang dalam 5,120 aktiviti. Di samping itu, kempen
kesedaran serta program pendidikan kecerdasan dianjurkan bertujuan
untuk mewujud dan mengekalkan gaya hidup sihat. Program kalistenik di
tempat kerja dan taman awam diperkenalkan oleh organisasi sektor awam
dan swasta bagi menambah baik kesihatan dan meningkatkan produktiviti
pekerja mereka.
24.07
Majlis Kecerdasan Kebangsaan ditubuhkan pada tahun 2004 untuk terus
meningkatkan bilangan rakyat Malaysia yang aktif, cergas, sihat dan
bersatu. Majlis ini yang merupakan gabungan empat agensi kerajaan,
iaitu Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Kesihatan, Kementerian
Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Jabatan Perpaduan Negara dan
Integrasi Nasional, menyokong pewujudan budaya bersukan di kalangan
rakyat Malaysia dan membolehkan pelaksanaan program pembangunan sukan
yang lebih bersepadu dan terselaras.
Program Sukan Berprestasi Tinggi
24.08
Dalam tempoh Rancangan, Kerajaan menaik taraf dan mengubahsuai serta
membina kemudahan sukan di peringkat kebangsaan dan negeri. Langkah
tersebut termasuk menaik taraf stadium dan kompleks sukan seperti
Stadium Tuanku Abdul Rahman, Seremban dan Kompleks Sukan Paroi di
Negeri Sembilan serta pembinaan kemudahan baru termasuk Kompleks Sukan
Negeri Melaka dan Kompleks Sukan Tawau, Sabah.
24.09
Bagi membolehkan penyertaan dalam pertandingan di peringkat
antarabangsa, pelbagai program yang bertujuan membentuk satu kumpulan
bakat muda berpotensi menjadi juara dilaksanakan oleh Majlis Sukan
Negara (MSN). Sehubungan ini, Program Persediaan Atlit Sukan Komanwel,
Program Persediaan Atlit Sukan Asia Tenggara (SEA) dan Program
Pembangunan Belia dan Bakat terus dilaksana dalam tempoh Rancangan bagi
menyediakan atlit muda dengan latihan yang bersistem. Program latihan
jangka panjang tersebut meningkatkan prestasi atlit kebangsaan dengan
Malaysia menjadi juara buat pertama kali dalam Sukan SEA XXI pada tahun
2001 dan atlit Malaysia layak menyertai dalam 11 acara sukan dalam
Sukan Olimpik di Athens pada tahun 2004 berbanding dengan sembilan
acara sukan dalam Sukan Olimpik di Sydney pada tahun 2000.
24.10
Atlit Malaysia juga cemerlang dalam kejohanan individu untuk mencapai
taraf dunia dalam acara sukan seperti badminton, boling tenpin, skuasy,
acara terjun, bina badan, wushu serta sukan tradisional seperti pencak
silat. Atlit Malaysia menyertai,antara lain, Kejohanan Pencak Silat
Dunia pada tahun 2003, Kejohanan Badminton Dunia, Kejohanan FIQ Dunia
untuk boling tenpin, Kejohanan Terbuka Britain dan Kejohanan Dunia
untuk skuasy pada tahun 2005.
24.11
Latihan kepada atlit, jurulatih dan pegawai sukan untuk pertandingan di
peringkat kebangsaan dan antarabangsa terus dilaksana oleh persatuan
sukan berkaitan dan MSN. Badan tersebut menyediakan latihan yang perlu
kepada atlit untuk menyertai pertandingan antarabangsa seperti Sukan
Asia, Sukan Komanwel, Sukan SEA dan Sukan Olimpik. Dalam tempoh
Rancangan, Malaysia berjaya menjadi tuan rumah acara sukan kompetitif
termasuk Sukan SEA XXI dan Kejohanan Hoki Piala Dunia pada tahun 2001,
Kejohananan Boling Tenpin Dunia XV pada tahun 2003, Kejohanan Menembak
Piala ASEAN pada tahun 2004 dan Regatta Antarabangsa Raja Muda VI serta
Piala Monsoon pada tahun 2005. Di samping itu, dengan menjadi tuan
rumah acara sukan antarabangsa lain seperti Bot Berkuasa Tinggi, Le
Tour de Langkawi dan Formula One Grand Prix dapat membantu pertumbuhan
industri sukan serta menyumbang kepada pembangunan industri
pelancongan.
24.12
Bagi mewujudkan asas untuk penyertaan dalam sukan berprestasi tinggi,
satu pendekatan yang lebih bersistem bagi mengenalpasti dan menyedia
atlit di peringkat awal di sekolah rendah dan menengah diguna pakai.
Bagi tujuan ini, olahraga dan gimnastik dimasukkan dalam kurikulum
pendidikan jasmani di sekolah, manakala bilangan guru pendidikan
jasmani ditambah terutamanya di sekolah rendah. Satu progam mengenal
pasti bakat telah dilaksanakan bagi mencari atlit muda yang berpotensi
tinggi untuk dilatih di pusat latihan seluruh negara. Dalam tempoh
Rancangan, seramai 2,370 atlit dilatih di 115 pusat latihan sukan oleh
208 jurulatih terlatih. Program latihan khusus juga dilaksana di
institusi pendidikan tinggi bagi membolehkan atlit berpotensi
meneruskan latihan sambil melanjutkan pengajian mereka.
24.13
Dengan adanya kemudahan sukan bertaraf dunia, usaha diambil bagi
menjadikan Malaysia sebagai destinasi sukan antarabangsa serta tempat
untuk melatih jurulatih dan atlit menerusi kerjasama dengan pertubuhan
dan persatuan sukan antarabangsa. Atlit daripada negara beriklim
sederhana digalak untuk menggunakan kemudahan yang ada dalam negara
bagi tujuan latihan dalam keadaan iklim tropika. Dalam tempoh
Rancangan, sejumlah 34 pasukan antarabangsa dalam pelbagai sukan
seperti hoki, skuasy, memanah, bola sepak, renang dan olahraga mendapat
manfaat daripada usaha tersebut.
24.14
Bagi mengiktiraf sumbangan olahragawan dan olahragawati dan seterusnya
menggalakkan penyertaan belia dalam sukan, Kerajaan memperkenal
pelbagai insentif dan skim kebajikan. Sebagai menghargai sumbangan
mereka dalam pertandingan di peringkat antarabangsa, Skim Hadiah
Kemenangan Sukan, Skim Hadiah Kemenangan Atlit Remaja, Skim Galakan
Jurulatih Kebangsaan dan Skim Kecemerlangan Pengurusan Pasukan
diteruskan dalam tempoh Rancangan. Sejumlah 250 atlit menerima insentif
tersebut yang berjumlah RM6.1 juta..
III : PROSPEK 2006-2010
24.15
Dalam tempoh RMKe-9, pembangunan sukan akan menekankan kepada
penambahbaikan institusi dan organisasi untuk meningkatkan
profesionalisme dan menggalakkan pencapaian yang lebih baik dalam
sukan. Teras strategik pembangunan sukan adalah seperti berikut:
a) memperkukuh jentera
sukan negara dan keupayaan institusi persatuan sukan untuk menggalakkan
pencapaian yang lebih baik dalam sukan;
b) membangunkan budaya kesukanan di kalangan rakyat Malaysia melalui pelaksanaan pelbagai program sukan; dan
c) menggalak gaya hidup aktif dan sihat melalui sukan dan rekreasi.
Pengukuhan Jentera Sukan Negara dan Keupayaan Institusi
24.16
Dalam tempoh Rancangan, pembangunan sukan akan memberi penekanan kepada
lapan sukan teras, iaitu olahraga, akuatik, badminton, boling tenpin,
bolasepak, gimnastik, hoki dan skuasy. Bagi memastikan pembangunan
sukan di Malaysia diselaras dan diurus dengan baik secara profesional
dan menepati Akta Pembangunan Sukan 1997, Pejabat Pesuruhjaya Sukan
akan terus menganjur program latihan untuk pemegang jawatan dengan
memberi tumpuan kepada pentadbiran dan pengurusan. Kira-kira 2,010
pegawai dijangka dilatih setiap tahun. Bagi menyeragam pengurusan
persatuan sukan di seluruh negara, Akta Pembangunan Sukan, 1997 akan
diperluas ke Sabah dan Sarawak.
24.17
Sektor swasta juga akan digalak untuk melengkapi usaha Kerajaan dalam
menyedia kemudahan sukan dan rekreasi di kawasan yang akan dibangunkan
untuk tujuan kediaman, komersil dan perindustrian. Satu rancangan
jangka panjang mengenai penyediaan dan pengurusan kemudahan sukan dan
rekreasi oleh sektor awam dan swasta akan digubal. Di samping itu,
perkongsian dengan sektor swasta akan dipergiat bagi membantu usaha
mengenal pasti bakat muda serta menyedia peluang yang lebih kepada
generasi muda menyertai aktiviti sukan.
Program Sukan Massa
24.18
Pelbagai program sukan dan aktiviti rekreasi berkaitan sukan akan
dianjur untuk terus meningkatkan penyertaan masyarakat dalam sukan.
Usaha tersebut termasuk program pembangunan kecergasan dan aktiviti
luar manakala program baru berasaskan kekuatan dan ketahanan yang boleh
menarik penyertaan lebih ramai di kalangan belia akan diperkenal. Bagi
mempromosi manfaat mengekalkan gaya hidup sihat di kalangan orang
ramai, lebih banyak program kesedaran seperti kempen, program
pendidikan kecergasan dan kalistenik di tempat kerja dan taman awam
akan diteruskan dalam tempoh Rancangan. Sebanyak 50 peratus rakyat
Malaysia dijangka terlibat secara langsung dalam aktiviti gaya hidup
cergas dan sihat menjelang tahun 2010. Bagi memastikan keberkesanan
pelaksanaan program ini, sejumlah 24,000 jurulatih dan fasilitator
dalam sukan massa akan dilantik dan dilatih melalui kursus yang akan
dijalankan di dalam dan luar negara.
24.19
Program gaya hidup aktif akan diteruskan bagi membolehkan belia
terutamanya di peringkat akar umbi menyertai acara sukan. Di bawah
program ini, semua aktiviti sukan termasuk sukan bermotor, sukan air
dan sukan udara akan digalakkan dengan sokongan sektor korporat melalui
penajaan mereka. Program dan aktiviti ini akan meningkat dan
menggalakkan pelancongan sukan dan menyumbang kepada pertumbuhan
industri sukan.
24.20
Sebagai sebahagian usaha untuk menggalakkan penyertaan yang lebih ramai
dalam aktiviti sukan, beberapa kemudahan sukan sedia ada di peringkat
negeri dan daerah akan di naik taraf. Langkah akan diambil untuk
memastikan penyenggaraan dan penjagaan kemudahan dilakukan dengan
sempurna termasuk penguatkuasaan peraturan dan prosedur mengenai
penggunaan kemudahan tersebut. Di samping itu, personel terlibat dalam
penyenggaraan kemudahan akan diberi latihan berkaitan bagi memastikan
mereka cekap dan berupaya untuk mengurus kemudahan tersebut. Bagi
menggalak serta memudahkan penyertaan yang lebih ramai dalam sukan pada
peringkat akar umbi, 13 kompleks sukan pelbagai guna peringkat daerah
akan dibina. Pelbagai kemudahan untuk sukan seperti badminton, sepak
takraw dan futsal serta premis untuk mengadakan mesyuarat dan lain
aktiviti berkaitan masyarakat akan disedia di kompleks tersebut. Satu
jawatankuasa bagi pengurusan dan penyenggaraan yang teratur bagi setiap
kompleks akan ditubuhkan di setiap kawasan berkenaan.
Sukan Berprestasi Tinggi
24.21
Dalam tempoh Rancangan, usaha akan terus diambil untuk menyedia lebih
ramai atlit muda untuk menyertai pertandingan pada peringkat
antarabangsa melalui program latihan dan kejurulatihan yang sistematik.
Sehubungan ini, Program Pembangunan Bakat akan menyediakan latihan
kepada 14,570 atlit muda dalam 37 acara sukan. Bagi tujuan ini, pusat
latihan dan jurulatih untuk Program Pembangunan Bakat akan ditambah
bagi menghasilkan lebih ramai atlit berbakat menjadi juara dan
berpotensi memenangi pingat terutamanya untuk Sukan Asia 2006, Sukan
Olimpik 2008, Sukan Komanwel dan Sukan Asia pada tahun 2010 serta
kejohanan antarabangsa yang lain. Akses yang lebih kepada program
latihan di luar negara akan disediakan untuk memastikan atlit cemerlang
dalam sukan berprestasi tinggi pada peringkat antarabangsa.
24.22
Pendekatan yang lebih bersistem untuk mengenalpasti dan menyediakan
atlit di peringkat sekolah rendah dan menengah akan diguna pakai bagi
mewujudkan asas yang lebih baik bagi membolehkan penyertaan dalam sukan
berprestasi tinggi. Bagi tujuan ini, lebih ramai guru pendidikan
jasmani akan ditempatkan di sekolah rendah manakala mata pelajaran
olahraga dan gimnastik akan dijadikan sebahagian daripada kurikulum
pendidikan. Di samping itu, program pembangunan sukan sekolah akan
terus diperkukuh termasuk menaik taraf kemudahan sedia ada, membina dua
sekolah sukan baru, penglibatan dan penyertaan yang lebih cemerlang di
peringkat antarabangsa serta penyediaan lebih ramai jurulatih yang
berkelayakan dan berkebolehan. Sekolah akan digalakkan untuk menganjur
aktiviti selepas waktu sekolah bagi menyediakan peluang kepada pelajar
untuk menambah baik kemahiran mereka dalam sukan yang dikenali dan
melibatkan diri dalam aktiviti baru di bawah bimbingan jurulatih yang
baik. Akses yang lebih baik kepada kemudahan dan kompleks sukan akan
disediakan kepada pelajar termasuk kemudahan di bawah pengurusan pihak
berkuasa tempatan dalam usaha menggalakkan pelajar aktif dalam sukan.
24.23
Usaha akan diambil untuk menambah bilangan jurulatih yang berkelayakan
memandangkan jurulatih memainkan peranan penting dalam pembangunan
sukan. Lebih banyak program latihan di peringkat sijil, diploma dan
ijazah akan dijalankan. Satu program khas akan diperkenalkan untuk
akreditasi jurulatih yang terlibat dalam menjalankan program
pembangunan atlit manakala bekas atlit dan atlit sedia ada yang
berpengalaman akan digalakkan untuk mengikuti latihan yang perlu untuk
menjadi jurulatih. Institusi pendidikan tinggi awam akan digalakkan
untuk menawarkan lebih banyak tempat kepada pelajar untuk mendaftar
pada peringkat ijazah dalam bidang sains sukan serta program bagi
melatih jurulatih baru.
24.24
Program Persediaan Atlit akan diteruskan bagi menyediakan atlit
Malaysia ke Sukan Komanwel dan Sukan Asia pada tahun 2006 dan 2010,
Sukan SEA pada tahun 2007 serta Sukan Olimpik pada tahun 2008. Sebagai
tuan rumah Sukan Paralimpik Timur Jauh dan Pasifik Selatan untuk Orang
Kurang Upaya pada tahun 2006, Malaysia akan terus menyumbang ke arah
pembangunan sukan di kalangan orang kurang upaya. Acara ini akan
melibatkan penyertaan 48 negara dengan 5,000 atlit dan pegawai sukan
serta 10,000 sukarelawan. Bagi tujuan ini, program latihan intensif dan
khusus akan dianjurkan bagi memastikan kejayaan penyertaan atlit
Malaysia. Di samping itu, peranan sebagai tuan rumah acara sukan yang
lain seperti sukan Bot Berkuasa Tinggi, Le Tour de Langkawi, Formula
One Grand Prix dan Piala Monsoon akan meningkatkan sumbangan kepada
pembangunan industri pelancongan.
IV : INSTUTUSI PELAKSANAN DAN PERUNTUKAN
24.25
Kementerian Belia dan Sukan akan terus menjadi agensi peneraju dalam
menyediakan kemudahan sukan dan rekreasi di peringkat daerah dan
negeri. Kerajaan negeri, sektor swasta serta persatuan sukan akan
menyedia sokongan dalam memupuk budaya bersukan dan menggalakkan gaya
hidup sihat di kalangan rakyat Malaysia.
24.26
Peruntukan pembangunan untuk tempoh RMKe-9 adalah seperti ditunjukkan
dalam Jadual 24-1. Daripada jumlah peruntukan sebanyak RM620.8 juta,
48.3 peratus adalah untuk membina kompleks sukan pelbagai guna dan 51.7
peratus untuk menaik taraf, menambah dan menyenggara kemudahan sukan
sedia ada di peringkat daerah dan negeri serta pelaksanaan program
pembangunan atlit.
Jadual 24-1 : Perbelanjaan & Peruntukan Pembangunan bagi Program Sukan, 2001-2010 (RM Juta)
V : PENUTUP
24.27 Pelaksanaan program pembangunan sukan dalam tempoh RMKe-8 menyumbang dengan ketara ke arah pewujudan sebuah masyarakat yang berdisiplin melalui penyertaan dalam sukan dan aktiviti rekreasi. Dalam tempoh RMKe-9, program pembangunan sukan akan terus memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan akses kepada kemudahan sukan bagi memastikan penyertaan yang lebih besar di peringkat akar umbi serta memupuk bakat sukan agar cemerlang dalam kejohanan peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Di samping itu, program pembangunan sukan akan terus menggalakkan gaya hidup sihat, membina sahsiah dan semangat berpasukan di kalangan rakyat Malaysia. Sektor swasta dan NGO dijangka memain peranan yang lebih penting dalam pelaksanaan program pembangunan sukan bagi melengkapi usaha sektor awam
Di pos oleh Arbain Muhayat pada 20 December 2008