BAB 23 : MEMPERKAYAKAN KEBUDAYAAN, KESENIAN DAN WARISAN

I : PENDAHULUAN

23.01 Dalam tempoh Rancangan Malaysia Kelapan (RMKe-8), pembangunan budaya dan seni digalakkan untuk memperkukuh identiti nasional di samping mempererat perpaduan nasional, harmoni dan integrasi. Pelbagai aspek kebudayaan dan kesenian dibangunkan bagi menawarkan produk dan perkhidmatan yang luas untuk menyokong pertumbuhan industri pelancongan. Sehubungan ini, usaha gigih dalam memulihara warisan budaya negara, penyebaran maklumat kebudayaan dan pembangunan budaya dan seni telah diambil.

23.02 Dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9), penekanan yang lebih akan diberi kepada pembangunan budaya, seni dan warisan. Penekanan ini adalah selaras dengan Misi Negara untuk membangun modal insan yang bukan sahaja berpengetahuan dan berdaya saing dari segi ekonomi, tetapi juga berketerampilan progresif dan bernilai murni termasuk nilai budaya positif. Industri berkaitan kebudayaan, kesenian dan warisan terutamanya kraf juga akan digalakkan sebagai satu sumber pertumbuhan ekonomi. Penghayatan terhadap budaya, seni dan warisan akan dipertingkatkan sebagai sebahagian daripada agenda pembangunan negara yang lebih besar dalam membina kesedaran terhadap sejarah dan warisan serta masa depan untuk dikongsi bersama oleh semua rakyat Malaysia. Kerajaan juga akan membangunkan persekitaran budaya dan seni tempatan yang sihat bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat. Penyertaan aktif sektor swasta, badan bukan Kerajaan (NGO) dan rakyat dalam program dan aktiviti berkaitan budaya, seni dan warisan akan digalakkan, sementara usaha naik taraf sumber dan infrastruktur budaya akan dipergiat.

II : KEMAJUAN 2001-2005

23.03 Dalam tempoh RMKe-8, pelbagai program kebudayaan, kesenian dan warisan dilaksana bagi meningkatkan minat orang ramai terhadap seni danbudaya serta pemuliharaan warisan negara. Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan ditubuhkan pada tahun 2004 untuk menyatukan dasar dan program bagi menggiatkan lagi budaya, seni dan warisan negara serta menggubal strategi baru bagi meningkatkan akses rakyat kepada seni.

Seni dan Budaya

Kesedaran dan Penghayatan Terhadap Seni dan Budaya

23.04 Selaras dengan usaha untuk mewujudkan masyarakat yang kaya dengan budaya, pelbagai program dilaksana untuk meningkatkan penghayatan terhadap seni dan budaya di kalangan rakyat Malaysia di semua peringkat. Sehubungan ini, aktiviti berkaitan seni dan budaya dilaksanakan di peringkat kebangsaan, negeri, daerah dan kampung. Dalam tempoh Rancangan, empat taman budaya yang baru telah ditubuhkan di Melaka, Negeri Sembilan, Perlis dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak tujuh taman di seluruh negara. Taman budaya ini menjadi tempat untuk memperkenalkan aktiviti kesenian dan kebudayaan serta menganjurkan program latihan dan bina upaya untuk memupuk bakat dalam seni persembahan.

23.05 Dalam usaha untuk memupuk penghayatan dan cintakan budaya di kalangan generasi muda, pelbagai program dan aktiviti kebudayaan seperti kelab kebudayaan terus dianjur di sekolah rendah dan menengah. Dalam tempoh Rancangan, sejumlah 220 Kumpulan Tunas Budaya baru dengan 10,200 pelajar telah ditubuhkan di sekolah rendah dan 77 Kelab Kesenian Sekolah dengan 2,860 pelajar di sekolah menengah. Bantuan dalam bentuk latihan, khidmat nasihat dan kostum serta peralatan juga disediakan. Pelajar yang terlibat dalam aktiviti ini diberi peluang untuk membuat persembahan dalam majlis rasmi di peringkat negeri dan daerah sebagai usaha untuk menyebar kesedaran dan penghayatan budaya dan seni di kalangan lebih ramai rakyat Malaysia.

Bina Upaya dan Latihan

23.06 Akademi Seni Kebangsaan (ASK) terus menyediakan kursus di peringkat sijil dan diploma dalam bidang teater, penulisan kreatif, tarian dan muzik serta cinematography bagi menggalakkan lagi pembangunan seni kreatif dan persembahan serta menyediakan tempat untuk mengasah bakat kreatif. Dalam tempoh Rancangan, seramai 485 pelajar telah mengikuti latihan di akademi, sementara 157 pelajar telah tamat kursus dalam pelbagai bidang. Di samping itu, kursus dan program sedia ada dalam bidang seni persembahan dan seni halus yang dijalankan di institusi pendidikan tinggi diperluas kepada bidang baru seperti pemodelan grafik berkomputer, seni video digital serta pemasaran dan pengurusan. Kursus dan program ini menyediakan peluang yang lebih kepada pelajar untuk mengembangkan bakat mereka.

Seni Persembahan

23.07 Bagi menyokong industri pelancongan dan memberi peluang kepada rakyat Malaysia meningkatkan penghayatan terhadap seni dan budaya, usaha terus diambil oleh Kerajaan dan sektor swasta untuk membangunkan infrastruktur hiburan bertaraf dunia bagi pementasan pertunjukkan bertaraf antarabangsa. Istana Budaya yang dilengkapi dengan peralatan moden dan terkini terus menjadi tempat penting untuk pementasan seni persembahan dan pelbagai pertunjukan kebudayaan. Dalam tempoh Rancangan, sebanyak 96 persembahan dipentaskan di Istana Budaya meliputi muzikal, konsert dan tarian yang berjaya menarik lebih daripada 403,400 penonton. Sektor swasta juga turut menyumbang kepada kepelbagaian seni persembahan dengan penubuhan Pusat Seni Persembahan Kuala Lumpur pada tahun 2005.

Seni Tampak

23.08 Dalam tempoh Rancangan, pelbagai pameran, seminar, bengkel,pertandingan dan aktiviti seni dianjurkan untuk memupuk minat dalam senitampak. Sejumlah 142 pameran telah dianjurkan yang dikunjungi lebih daripada866,500 pengunjung. Setiap pameran mempunyai pendekatan dan tema yang berbeza dan mempamerkan bakat dan pemikiran kreatif artis tempatan dan antarabangsa. Balai Seni Lukis Negara (BSLN) terus mengumpul, memelihara dan mempamerkan hasil kerja seni serta memupuk kesedaran dan penghayatan di kalangan semua lapisan masyarakat. Di samping itu, BSLN juga telah memperkenalkan Laman Seni Kuala Lumpur, sebuah pasar seni yang diadakan pada setiap bulan dan mendapat sambutan purata 2,000 pelawat sebulan.

Perpaduan Negara

23.09 Menyedari bahawa penghayatan dan menghormati budaya pelbagai etnik di Malaysia adalah penting dalam memupuk identiti Malaysia yang unik, perayaan kebudayaan dan keagamaan kumpulan etnik utama di Malaysia terus disambut di peringkat kebangsaan. Sehubungan ini, Kerajaan menganjur Rumah Terbuka Malaysia bagi menyambut perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali, Krismas, Gawai dan Tadau Kaamatan. Sambutan perayaan ini menunjukkan semangat perpaduan negara dan harmoni yang wujud dalam masyarakat Malaysia yang mempunyai pelbagai budaya.

Warisan

23.10 Bagi memperkukuh dan memupuk penghayatan kepada budaya dan warisan di kalangan rakyat Malaysia, usaha telah diambil untuk memelihara dan memulihara produk kebudayaan seperti tapak warisan, monumen dan artifak, terutamanya yang mempunyai kepentingan sejarah. Sehubungan ini, 63 monumen dan 25 tempat bersejarah dipelihara, dipulihara dan dinaik taraf untuk manfaat negara serta sebagai tarikan pelancong. Produk ini termasuk Rumah Merdeka di Alor Star, Kedah iaitu rumah asal Perdana Menteri pertama yang telah dibaik pulih menjadi sebahagian daripada Memorial Tunku Abdul Rahman.

23.11 Di samping menyenggara muzium sedia ada, muzium dan arkib baru juga diwujudkan bagi menunjukkan pencapaian Malaysia serta menjadi pusat untuk memelihara dan mendokumen sejarah negara. Bagi mempamerkan pencapaian Malaysia dalam industri automatif, Muzium Automobil Nasional telah dibina di Kompleks Litar Antarabangsa Sepang. Muzium tersebut dibuka kepada orang ramai pada tahun 2004 dan menarik lebih daripada 34,500 pengunjung. Penubuhan Arkib Negara cawangan Kedah/Perlis pada tahun 2003 dan Arkib Negara cawangan Sabah pada tahun 2005 telah memudahkan koleksi, pemerolehan dan pemeliharaan rekod negara bagi tujuan penyelidikan. Di samping itu, Muzium Kesenian Islam menyumbang ke arah mempromosi seni dan artifak Islam tempatan dan asing. Langkah juga diambil mewujudkan kesedaran mengenai kekayaan warisan budaya negara dengan penyebaran maklumat dan pelaksanaan pelbagai program dan aktiviti seperti seminar dan bengke.

III : PROSPEK 2006-2010

23.12 Dalam tempoh RMKe-9, penumpuan yang lebih akan diberi untuk mempertingkat peranan budaya dan seni dalam kehidupan rakyat Malaysia serta menggalakkan industri berkaitan budaya dan seni. Penumpuan ini adalah kerana penglibatan aktif semua golongan dalam aktiviti kebudayaan dan kesenian juga menyumbang ke arah membangun individu secara total, mempererat perpaduan negara serta mempertingkatkan kualiti hidup rakyat Malaysia. Sehubungan ini, usaha lebih gigih akan diambil bersama sektor swasta bagi mewujudkan kesedaran dan penghayatan yang lebih baik terhadap kekayaan warisan budaya negara. Dengan demikian, teras strategik untuk tempoh RMKe-9 adalah seperti berikut:

a) memupuk nilai budaya positif di kalangan rakyat Malaysia;

b) memperkukuh penghayatan budaya, seni dan warisan di kalangan rakyat Malaysia;

c) memelihara dan memulihara produk warisan ketara dan tidak ketara;

d) memajukan industri kraf dan menggalakkan produk kraf untuk pasaran dunia;

e) membangunkan industri kebudayaan yang kreatif, dan

f) mengukuhkan program bina upaya bagi memastikan pembangunan budaya, seni dan warisan yang mampan dan berterusan.


Pemupukan Nilai Budaya yang Positif

23.13 Usaha yang berterusan untuk membangun nilai budaya yang positif dan mewujudkan satu Bangsa Malaysia adalah penting untuk mengekalkan perpaduan negara dan keharmonian dalam mencapai matlamat pembangunan terutamanya dalam suasana kepelbagaian etnik di Malaysia. Sehubungan ini, beberapa kempen budi bahasa dan integriti ke arah memperkukuh nilai sosial dan sikap akan diberi penekanan. Kempen dan program lain yang berkaitan akan memberi tumpuan kepada perlunya rakyat Malaysia mengamalkan sikap bertolak ansur, hormat-menghormati dan nilai positif lain yang perlu untuk mengekal perpaduan negara, keharmonian sosial dan kemuafakatan.

Pengukuhan Penghayatan Budaya, Seni dan Warisan

23.14 Bagi memupuk penghayatan yang lebih baik kepada budaya, seni dan warisan di kalangan rakyat Malaysia, akses kepada aktiviti kesenian dan kebudayaan akan ditingkatkan manakala penglibatan aktif kesemua komuniti akan digalakkan. Sehubungan ini, Program Merakyatkan Seni dan Budaya yang bertujuan untuk mendekatkan kembali seni kepada masyarakat serta menjadikan seni sebahagian daripada kehidupan seharian akan dilaksanakan. Aktiviti ini merangkumi persembahan seperti tarian tradisional dan moden, drama dan muzik serta aktiviti berkaitan seni dan kraf dan akan melibatkan masyarakat di kawasan bandar dan luar bandar.

23.15 Program untuk mendidik dan menghebahkan kepentingan dan penghayatan nilai budaya, seni dan warisan di kalangan belia akan diberi penekanan yang lebih dalam tempoh RMKe-9. Bagi mencapai tujuan ini, langkah gigih akan diambil oleh agensi berkaitan untuk menambah bilangan yang dilatih dalam pelbagai bidang berkaitan budaya dan seni. Mereka ini akan dihantar kepada beberapa sekolah di bawah program Tunas Budaya bagi melatih pelajar dalam bidang kesenian. Program ini menghubungkan komuniti seni dengan sektor pendidikan bagi menyokong pembangunan profesional pendidik seni dan penyedia pendidikan seni. Di samping itu, program yang sama akan diperluas meliputi kakitangan sektor awam dan belia bagi meningkatkan akses mereka terhadap seni. Perkongsian strategik antara kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, organisasi berasaskan seni dan masyarakat berserta sektor swasta akan diwujudkan untuk memastikan keberkesanan pelaksanaan program ini.

23.16 Untuk meningkatkan penghayatan seni dan budaya terutamanya di peringkat akar umbi, pelbagai program jangkauan seperti Laman Seni Kuala Lumpur akan dipergiat dan diperluaskan ke semua negeri. Bagi meningkatkan kesedaran dan penghayatan serta kefahaman dalam seni tampak dan persembahan, beberapa program interaktif melibatkan penyertaan belia, masyarakat dan sektor swasta akan dilaksanakan. Selaras dengan dasar yang diluluskan, langkah bagi merealisasikan Kuala Lumpur sebagai hab budaya dan aktiviti kesenian akan diambil dalam tempoh RMKe-9.

23.17 Seni persembahan juga merupakan jentera bagi pemuliharaan dan penyebaran budaya di samping sebagai sumber hiburan dan penghayatan kebudayaan kepada individu. Sehubungan ini, peranan Istana Budaya sebagai pusat kecemerlangan bagi pementasan seni persembahan yang berkualiti tinggi akan diperkukuhkan. Usaha yang berterusan akan diambil untuk menarik lebih banyak pementasan asing menggunakan Istana Budaya sebagai tempat persembahan yang akan menyumbang ke arah menjadikan Kuala Lumpur sebagai hab budaya serantau. Bagi meningkatkan akses rakyat kepada seni serta kesedaran mengenai kemudahan yang canggih di Istana Budaya, aktiviti promosi yang agresif dengan tumpuan kepada penerbitan tempatan dan asing akan dilakukan. Usaha ini adalah selaras dengan langkah untuk mewujudkan kawasan budaya di dalam dan persekitaran Istana Budaya.

Pemeliharaan dan Pemuliharaan Produk Warisan

23.18 Akta Warisan Negara 2005 yang dikuatkuasa pada bulan Mac 2006 akan membolehkan satu pendekatan pemeliharaan dan pemuliharaan produk warisan negara yang ketara dan tidak ketara secara lebih selaras dan bersepadu. Akta ini meliputi langkah penguatkuasaan bagi memastikan amalan pemeliharaan dan arkeologi mematuhi piawaian dunia. Pelaksanaan Akta ini akan memudahkan proses mengenalpasti dan menentukan bangunan, monumen dan tapak yang mempunyai kepentingan sejarah untuk diwartakan sebagai zon bersejarah.

23.19 Arkib Negara akan terus memelihara dan mengurus koleksi arkib sebagai warisan negara. Dalam tempoh Rancangan, Arkib Negara akan memberi tumpuan untuk menjadi pusat sumber dan penyelidikan yang menyediakan perkhidmatan perundingan kurator. Bagi tujuan ini, Arkib Negara akan mempelbagai dan meningkatkan kualiti koleksi dan perkhidmatannya serta memperluaskan kepakarannya dalam pelbagai bidang berkaitan. Berikutan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi, penyimpanan rekod elektronik dan pemeliharaan dokumen kerajaan yang mempunyai nilai sejarah secara digital pada fasa kedua akan dilaksanakan. Di samping itu, Pusat Dokumentasi Pandang Dengar akan ditubuhkan sebagai pusat penyimpanan rekod.

23.20 Sebagai satu usaha untuk memupuk kesedaran dan penghayatan yang tinggi terhadap kekayaan warisan budaya negara, Muzium Tekstil akan ditubuh pada tahun 2006. Muzium ini akan membantu menyebar pengetahuan dan maklumat serta menggalakkan penyelidikan mengenai tenunan, songket dan batik dan akan mempamerkan tekstil dari seluruh negara. Muzium ini juga menjadi pusat sumber yang baik kepada pelajar, penyelidik, ahli akademik dan pengusaha kraf.

Pengukuhan Industri Kraf dan Promosi Kraf Untuk Pasaran Dunia

23.21 Dalam tempoh RMKe-9, usaha yang berterusan akan diambil untuk membangun dan meningkatkan kualiti kraf Malaysia. Usaha ini meliputi penyelidikan dan pembangunan mengenai kaedah baru bagi meningkatkan kemahiran pertukangan serta membangunkan reka bentuk dan teknologi baru. Usaha mempromosi kraf Malaysia di pasaran tradisi dan baru akan dilaksanakan secara meluas dengan kerjasama sektor swasta. Kaedah pemasaran yang inovatif dan kreatif serta penjenamaan kraf negara akan diusahakan.

Pembangunan Industri Kebudayaan Yang Kreatif

23.22 Malaysia mempunyai sumber budaya yang kreatif dan luas dalam bidang seni persembahan, seni halus dan seni tampak, kaligrafi Islam dan penulisan Jawi, filem, pendidikan seni, kesusasteraan dan kraf yang boleh dimaju dan diterokai. Dalam tempoh Rancangan, potensi ekonomi industri budaya kreatif akan terus dibangunkan melalui kerjasama erat antara sektor awam dan swasta. Bagi memudahkan pembangunan industri ini, Kerajaan akan terus menyediakan persekitaran yang kondusif. Pihak industri akan digalakkan untuk mengguna pelbagai kemudahan di peringkat negeri seperti pusat kebudayaan negeri dan galeri untuk menjayakan aktiviti mereka. Di samping itu, Kerajaan juga akan menyediakan premis perniagaan kepada usahawan untuk mempromosi kraf dan barangan keluaran mereka.

23.23 Promosi dan pemasaran keluaran seni, budaya dan produk warisan di peringkat tempatan dan antarabangsa akan dipergiatkan melalui pelbagai kempen pemasaran dan penganjuran acara antarabangsa yang berprestij. Acara ini seperti Pesta KL, Pesta Filem Malaysia dan Hari Kraf Kebangsaan akan diadakan untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai hab kebudayaan.

Pengukuhan Program Bina Upaya

23.24 Selaras dengan aspirasi untuk mencapai kecemerlangan di kalangan profesional dalam bidang seni persembahan dan warisan, ASK akan dinaiktaraf kepada Akademi Seni Budaya dan Warisan. Kursus yang ditawarkan di akademi ini akan diperluaskan meliputi kursus di peringkat ijazah dalam bidang pengajian warisan merangkumi museumology, arkeologi dan sains arkib. Di samping itu, Akademi juga akan mempergiatkan latihan kemahiran untuk melahirkan tenaga professional yang berkualiti tinggi dalam bidang seperti pementasan dan pengurusan teater, pencahayaan dan bunyi, peralatan dan set penggambaran serta pemasaran yang berkesan. Untuk terus menggalak dan membangunkan industri filem tempatan, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) akan memberi penekanan kepada aktiviti bina upaya untuk membangunkan modal insan berkemahiran tinggi dalam bidang berkaitan filem.

23.25 Program bina upaya akan terus dilaksana di Institut Kraf Kebangsaan serta melalui pelbagai program pembangunan usahawan bagi menyumbang kepada pembangunan artisan berkemahiran teknologi bagi menghadapi cabaran masa depan. Satu program khas, iaitu Skim Perantisan Warisan Kraf akan dilaksanakan dalam tempoh Rancangan untuk memberi kemahiran di samping memelihara seni dan kraf tradisional.

IV : INSTUTUSI PELAKSANA DAN PERUNTUKAN

 


23.26 Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan akan terus menjadi agensi utama dalam melaksana program dan projek yang berkaitan dengan budaya, seni dan pemeliharaan warisan negara. Usaha ini akan dilaksanakan bersama Kementerian Pelajaran, Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pelancongan, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dan Kementerian Penerangan serta kerajaan negeri.

23.27 Dalam tempoh Rancangan, peruntukan sebanyak RM442.4 juta akan disediakan untuk program budaya, seni dan warisan, seperti ditunjukkan dalam Jadual 23-1. Daripada jumlah ini, 63 peratus akan digunakan untuk pemeliharaan dan pemuliharaan warisan budaya dan 37 peratus adalah untuk melaksana pelbagai program seni dan budaya di peringkat negeri dan daerah.

Jadual 23-1 : Perbelanjaan & Peruntukan Pembangunan bagi Program Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, 2001-2010 (RM Juta)

V : PENUTUP

23.27 Dalam tempoh RMKe-8, pelaksanaan program kebudayaan, kesenian dan warisan menyumbang kepada pengukuhan perpaduan negara serta menggalakkan industri pelancongan dalam negara. Dalam tempoh RMKe-9, menyedari bahawa budaya dan warisan adalah saling berkait dalam mengukuhkan tamadun negara, dan merupakan aspek penting dalam membangun rakyat Malaysia yang seimbang, bernilai murni dan berketerampilan progresif, fokus akan diberi untuk mempertingkat peranan budaya, seni dan warisan dalam kehidupan seharian masyarakat Malaysia. Bagi mempermudahkannya, kerjasama strategik antara sektor awam dan sektor swasta serta masyarakat akan diperkukuh. Usaha untuk mempromosi kraf dan industri budaya kreatif akan juga dipergiatkan memandangkan industri berkaitan budaya, seni dan warisan berpotensi untuk dijadikan sumber pertumbuhan ekonomi.

 

 

Di pos oleh Arbain Muhayat pada 20 December 2008