BAB 23 : MEMPERKAYAKAN KEBUDAYAAN, KESENIAN DAN WARISAN
I : PENDAHULUAN
23.01
Dalam tempoh Rancangan Malaysia Kelapan (RMKe-8), pembangunan budaya
dan seni digalakkan untuk memperkukuh identiti nasional di samping
mempererat perpaduan nasional, harmoni dan integrasi. Pelbagai aspek
kebudayaan dan kesenian dibangunkan bagi menawarkan produk dan
perkhidmatan yang luas untuk menyokong pertumbuhan industri
pelancongan. Sehubungan ini, usaha gigih dalam memulihara warisan
budaya negara, penyebaran maklumat kebudayaan dan pembangunan budaya
dan seni telah diambil.
23.02
Dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9), penekanan yang
lebih akan diberi kepada pembangunan budaya, seni dan warisan.
Penekanan ini adalah selaras dengan Misi Negara untuk membangun modal
insan yang bukan sahaja berpengetahuan dan berdaya saing dari segi
ekonomi, tetapi juga berketerampilan progresif dan bernilai murni
termasuk nilai budaya positif. Industri berkaitan kebudayaan, kesenian
dan warisan terutamanya kraf juga akan digalakkan sebagai satu sumber
pertumbuhan ekonomi. Penghayatan terhadap budaya, seni dan warisan akan
dipertingkatkan sebagai sebahagian daripada agenda pembangunan negara
yang lebih besar dalam membina kesedaran terhadap sejarah dan warisan
serta masa depan untuk dikongsi bersama oleh semua rakyat Malaysia.
Kerajaan juga akan membangunkan persekitaran budaya dan seni tempatan
yang sihat bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat. Penyertaan aktif
sektor swasta, badan bukan Kerajaan (NGO) dan rakyat dalam program dan
aktiviti berkaitan budaya, seni dan warisan akan digalakkan, sementara
usaha naik taraf sumber dan infrastruktur budaya akan dipergiat.
II : KEMAJUAN 2001-2005
23.03
Dalam tempoh RMKe-8, pelbagai program kebudayaan, kesenian dan warisan
dilaksana bagi meningkatkan minat orang ramai terhadap seni danbudaya
serta pemuliharaan warisan negara. Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan
Warisan ditubuhkan pada tahun 2004 untuk menyatukan dasar dan program
bagi menggiatkan lagi budaya, seni dan warisan negara serta menggubal
strategi baru bagi meningkatkan akses rakyat kepada seni.
Seni dan Budaya
Kesedaran dan Penghayatan Terhadap Seni dan Budaya
23.04
Selaras dengan usaha untuk mewujudkan masyarakat yang kaya dengan
budaya, pelbagai program dilaksana untuk meningkatkan penghayatan
terhadap seni dan budaya di kalangan rakyat Malaysia di semua
peringkat. Sehubungan ini, aktiviti berkaitan seni dan budaya
dilaksanakan di peringkat kebangsaan, negeri, daerah dan kampung. Dalam
tempoh Rancangan, empat taman budaya yang baru telah ditubuhkan di
Melaka, Negeri Sembilan, Perlis dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak tujuh taman di seluruh negara.
Taman budaya ini menjadi tempat untuk memperkenalkan aktiviti kesenian
dan kebudayaan serta menganjurkan program latihan dan bina upaya untuk
memupuk bakat dalam seni persembahan.
23.05
Dalam usaha untuk memupuk penghayatan dan cintakan budaya di kalangan
generasi muda, pelbagai program dan aktiviti kebudayaan seperti kelab
kebudayaan terus dianjur di sekolah rendah dan menengah. Dalam tempoh
Rancangan, sejumlah 220 Kumpulan Tunas Budaya baru dengan 10,200
pelajar telah ditubuhkan di sekolah rendah dan 77 Kelab Kesenian
Sekolah dengan 2,860 pelajar di sekolah menengah. Bantuan dalam bentuk
latihan, khidmat nasihat dan kostum serta peralatan juga disediakan.
Pelajar yang terlibat dalam aktiviti ini diberi peluang untuk membuat
persembahan dalam majlis rasmi di peringkat negeri dan daerah sebagai
usaha untuk menyebar kesedaran dan penghayatan budaya dan seni di
kalangan lebih ramai rakyat Malaysia.
Bina Upaya dan Latihan
23.06
Akademi Seni Kebangsaan (ASK) terus menyediakan kursus di peringkat
sijil dan diploma dalam bidang teater, penulisan kreatif, tarian dan
muzik serta cinematography bagi menggalakkan lagi pembangunan seni
kreatif dan persembahan serta menyediakan tempat untuk mengasah bakat
kreatif. Dalam tempoh Rancangan, seramai 485 pelajar telah mengikuti
latihan di akademi, sementara 157 pelajar telah tamat kursus dalam
pelbagai bidang. Di samping itu, kursus dan program sedia ada dalam
bidang seni persembahan dan seni halus yang dijalankan di institusi
pendidikan tinggi diperluas kepada bidang baru seperti pemodelan grafik
berkomputer, seni video digital serta pemasaran dan pengurusan. Kursus
dan program ini menyediakan peluang yang lebih kepada pelajar untuk
mengembangkan bakat mereka.
Seni Persembahan
23.07
Bagi menyokong industri pelancongan dan memberi peluang kepada rakyat
Malaysia meningkatkan penghayatan terhadap seni dan budaya, usaha terus
diambil oleh Kerajaan dan sektor swasta untuk membangunkan
infrastruktur hiburan bertaraf dunia bagi pementasan pertunjukkan
bertaraf antarabangsa. Istana Budaya yang dilengkapi dengan peralatan
moden dan terkini terus menjadi tempat penting untuk pementasan seni
persembahan dan pelbagai pertunjukan kebudayaan. Dalam tempoh
Rancangan, sebanyak 96 persembahan dipentaskan di Istana Budaya
meliputi muzikal, konsert dan tarian yang berjaya menarik lebih
daripada 403,400 penonton. Sektor swasta juga turut menyumbang kepada
kepelbagaian seni persembahan dengan penubuhan Pusat Seni Persembahan
Kuala Lumpur pada tahun 2005.
Seni Tampak
23.08
Dalam tempoh Rancangan, pelbagai pameran, seminar, bengkel,pertandingan
dan aktiviti seni dianjurkan untuk memupuk minat dalam senitampak.
Sejumlah 142 pameran telah dianjurkan yang dikunjungi lebih
daripada866,500 pengunjung. Setiap pameran mempunyai pendekatan dan
tema yang berbeza dan mempamerkan bakat dan pemikiran kreatif artis
tempatan dan antarabangsa. Balai Seni Lukis Negara (BSLN) terus
mengumpul, memelihara dan mempamerkan hasil kerja seni serta memupuk
kesedaran dan penghayatan di kalangan semua lapisan masyarakat. Di
samping itu, BSLN juga telah memperkenalkan Laman Seni Kuala Lumpur,
sebuah pasar seni yang diadakan pada setiap bulan dan mendapat sambutan
purata 2,000 pelawat sebulan.
Perpaduan Negara
23.09
Menyedari bahawa penghayatan dan menghormati budaya pelbagai etnik di
Malaysia adalah penting dalam memupuk identiti Malaysia yang unik,
perayaan kebudayaan dan keagamaan kumpulan etnik utama di Malaysia
terus disambut di peringkat kebangsaan. Sehubungan ini, Kerajaan
menganjur Rumah Terbuka Malaysia bagi menyambut perayaan seperti Hari
Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali, Krismas, Gawai dan Tadau
Kaamatan. Sambutan perayaan ini menunjukkan semangat perpaduan negara
dan harmoni yang wujud dalam masyarakat Malaysia yang mempunyai
pelbagai budaya.
Warisan
23.10
Bagi memperkukuh dan memupuk penghayatan kepada budaya dan warisan di
kalangan rakyat Malaysia, usaha telah diambil untuk memelihara dan
memulihara produk kebudayaan seperti tapak warisan, monumen dan
artifak, terutamanya yang mempunyai kepentingan sejarah. Sehubungan
ini, 63 monumen dan 25 tempat bersejarah dipelihara, dipulihara dan
dinaik taraf untuk manfaat negara serta sebagai tarikan pelancong.
Produk ini termasuk Rumah Merdeka di Alor Star, Kedah iaitu rumah asal
Perdana Menteri pertama yang telah dibaik pulih menjadi sebahagian
daripada Memorial Tunku Abdul Rahman.
23.11
Di samping menyenggara muzium sedia ada, muzium dan arkib baru juga
diwujudkan bagi menunjukkan pencapaian Malaysia serta menjadi pusat
untuk memelihara dan mendokumen sejarah negara. Bagi mempamerkan
pencapaian Malaysia dalam industri automatif, Muzium Automobil Nasional
telah dibina di Kompleks Litar Antarabangsa Sepang. Muzium tersebut
dibuka kepada orang ramai pada tahun 2004 dan menarik lebih daripada
34,500 pengunjung. Penubuhan Arkib Negara cawangan Kedah/Perlis pada
tahun 2003 dan Arkib Negara cawangan Sabah pada tahun 2005 telah
memudahkan koleksi, pemerolehan dan pemeliharaan rekod negara bagi
tujuan penyelidikan. Di samping itu, Muzium Kesenian Islam menyumbang
ke arah mempromosi seni dan artifak Islam tempatan dan asing. Langkah
juga diambil mewujudkan kesedaran mengenai kekayaan warisan budaya
negara dengan penyebaran maklumat dan pelaksanaan pelbagai program dan
aktiviti seperti seminar dan bengke.
III : PROSPEK 2006-2010
23.12
Dalam tempoh RMKe-9, penumpuan yang lebih akan diberi untuk
mempertingkat peranan budaya dan seni dalam kehidupan rakyat Malaysia
serta menggalakkan industri berkaitan budaya dan seni. Penumpuan ini
adalah kerana penglibatan aktif semua golongan dalam aktiviti
kebudayaan dan kesenian juga menyumbang ke arah membangun individu
secara total, mempererat perpaduan negara serta mempertingkatkan
kualiti hidup rakyat Malaysia. Sehubungan ini, usaha lebih gigih akan
diambil bersama sektor swasta bagi mewujudkan kesedaran dan penghayatan
yang lebih baik terhadap kekayaan warisan budaya negara. Dengan
demikian, teras strategik untuk tempoh RMKe-9 adalah seperti berikut:
a) memupuk nilai budaya positif di kalangan rakyat Malaysia;
b) memperkukuh penghayatan budaya, seni dan warisan di kalangan rakyat Malaysia;
c) memelihara dan memulihara produk warisan ketara dan tidak ketara;
d) memajukan industri kraf dan menggalakkan produk kraf untuk pasaran dunia;
e) membangunkan industri kebudayaan yang kreatif, dan
f) mengukuhkan program bina upaya bagi memastikan pembangunan budaya, seni dan warisan yang mampan dan berterusan.
Pemupukan Nilai Budaya yang Positif
23.13
Usaha yang berterusan untuk membangun nilai budaya yang positif dan
mewujudkan satu Bangsa Malaysia adalah penting untuk mengekalkan
perpaduan negara dan keharmonian dalam mencapai matlamat pembangunan
terutamanya dalam suasana kepelbagaian etnik di Malaysia. Sehubungan
ini, beberapa kempen budi bahasa dan integriti ke arah memperkukuh
nilai sosial dan sikap akan diberi penekanan. Kempen dan program lain
yang berkaitan akan memberi tumpuan kepada perlunya rakyat Malaysia
mengamalkan sikap bertolak ansur, hormat-menghormati dan nilai positif
lain yang perlu untuk mengekal perpaduan negara, keharmonian sosial dan
kemuafakatan.
Pengukuhan Penghayatan Budaya, Seni dan Warisan
23.14
Bagi memupuk penghayatan yang lebih baik kepada budaya, seni dan
warisan di kalangan rakyat Malaysia, akses kepada aktiviti kesenian dan
kebudayaan akan ditingkatkan manakala penglibatan aktif kesemua
komuniti akan digalakkan. Sehubungan ini, Program Merakyatkan Seni dan
Budaya yang bertujuan untuk mendekatkan kembali seni kepada masyarakat
serta menjadikan seni sebahagian daripada kehidupan seharian akan
dilaksanakan. Aktiviti ini merangkumi persembahan seperti tarian
tradisional dan moden, drama dan muzik serta aktiviti berkaitan seni
dan kraf dan akan melibatkan masyarakat di kawasan bandar dan luar
bandar.
23.15
Program untuk mendidik dan menghebahkan kepentingan dan penghayatan
nilai budaya, seni dan warisan di kalangan belia akan diberi penekanan
yang lebih dalam tempoh RMKe-9. Bagi mencapai tujuan ini, langkah gigih
akan diambil oleh agensi berkaitan untuk menambah bilangan yang dilatih
dalam pelbagai bidang berkaitan budaya dan seni. Mereka ini akan
dihantar kepada beberapa sekolah di bawah program Tunas Budaya bagi
melatih pelajar dalam bidang kesenian. Program ini menghubungkan
komuniti seni dengan sektor pendidikan bagi menyokong pembangunan
profesional pendidik seni dan penyedia pendidikan seni. Di samping itu,
program yang sama akan diperluas meliputi kakitangan sektor awam dan
belia bagi meningkatkan akses mereka terhadap seni. Perkongsian
strategik antara kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, organisasi
berasaskan seni dan masyarakat berserta sektor swasta akan diwujudkan
untuk memastikan keberkesanan pelaksanaan program ini.
23.16
Untuk meningkatkan penghayatan seni dan budaya terutamanya di peringkat
akar umbi, pelbagai program jangkauan seperti Laman Seni Kuala Lumpur
akan dipergiat dan diperluaskan ke semua negeri. Bagi meningkatkan
kesedaran dan penghayatan serta kefahaman dalam seni tampak dan
persembahan, beberapa program interaktif melibatkan penyertaan belia,
masyarakat dan sektor swasta akan dilaksanakan. Selaras dengan dasar
yang diluluskan, langkah bagi merealisasikan Kuala Lumpur sebagai hab
budaya dan aktiviti kesenian akan diambil dalam tempoh RMKe-9.
23.17
Seni persembahan juga merupakan jentera bagi pemuliharaan dan
penyebaran budaya di samping sebagai sumber hiburan dan penghayatan
kebudayaan kepada individu. Sehubungan ini, peranan Istana Budaya
sebagai pusat kecemerlangan bagi pementasan seni persembahan yang
berkualiti tinggi akan diperkukuhkan. Usaha yang berterusan akan
diambil untuk menarik lebih banyak pementasan asing menggunakan Istana
Budaya sebagai tempat persembahan yang akan menyumbang ke arah
menjadikan Kuala Lumpur sebagai hab budaya serantau. Bagi meningkatkan
akses rakyat kepada seni serta kesedaran mengenai kemudahan yang
canggih di Istana Budaya, aktiviti promosi yang agresif dengan tumpuan
kepada penerbitan tempatan dan asing akan dilakukan. Usaha ini adalah
selaras dengan langkah untuk mewujudkan kawasan budaya di dalam dan
persekitaran Istana Budaya.
Pemeliharaan dan Pemuliharaan Produk Warisan
23.18
Akta Warisan Negara 2005 yang dikuatkuasa pada bulan Mac 2006 akan
membolehkan satu pendekatan pemeliharaan dan pemuliharaan produk
warisan negara yang ketara dan tidak ketara secara lebih selaras dan
bersepadu. Akta ini meliputi langkah penguatkuasaan bagi memastikan
amalan pemeliharaan dan arkeologi mematuhi piawaian dunia. Pelaksanaan
Akta ini akan memudahkan proses mengenalpasti dan menentukan bangunan,
monumen dan tapak yang mempunyai kepentingan sejarah untuk diwartakan
sebagai zon bersejarah.
23.19
Arkib Negara akan terus memelihara dan mengurus koleksi arkib sebagai
warisan negara. Dalam tempoh Rancangan, Arkib Negara akan memberi
tumpuan untuk menjadi pusat sumber dan penyelidikan yang menyediakan
perkhidmatan perundingan kurator. Bagi tujuan ini, Arkib Negara akan
mempelbagai dan meningkatkan kualiti koleksi dan perkhidmatannya serta
memperluaskan kepakarannya dalam pelbagai bidang berkaitan. Berikutan
perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi, penyimpanan rekod
elektronik dan pemeliharaan dokumen kerajaan yang mempunyai nilai
sejarah secara digital pada fasa kedua akan dilaksanakan. Di samping
itu, Pusat Dokumentasi Pandang Dengar akan ditubuhkan sebagai pusat
penyimpanan rekod.
23.20
Sebagai satu usaha untuk memupuk kesedaran dan penghayatan yang tinggi
terhadap kekayaan warisan budaya negara, Muzium Tekstil akan ditubuh
pada tahun 2006. Muzium ini akan membantu menyebar pengetahuan dan
maklumat serta menggalakkan penyelidikan mengenai tenunan, songket dan
batik dan akan mempamerkan tekstil dari seluruh negara. Muzium ini juga
menjadi pusat sumber yang baik kepada pelajar, penyelidik, ahli
akademik dan pengusaha kraf.
Pengukuhan Industri Kraf dan Promosi Kraf Untuk Pasaran Dunia
23.21
Dalam tempoh RMKe-9, usaha yang berterusan akan diambil untuk membangun
dan meningkatkan kualiti kraf Malaysia. Usaha ini meliputi penyelidikan
dan pembangunan mengenai kaedah baru bagi meningkatkan kemahiran
pertukangan serta membangunkan reka bentuk dan teknologi baru. Usaha
mempromosi kraf Malaysia di pasaran tradisi dan baru akan dilaksanakan
secara meluas dengan kerjasama sektor swasta. Kaedah pemasaran yang
inovatif dan kreatif serta penjenamaan kraf negara akan diusahakan.
Pembangunan Industri Kebudayaan Yang Kreatif
23.22
Malaysia mempunyai sumber budaya yang kreatif dan luas dalam bidang
seni persembahan, seni halus dan seni tampak, kaligrafi Islam dan
penulisan Jawi, filem, pendidikan seni, kesusasteraan dan kraf yang
boleh dimaju dan diterokai. Dalam tempoh Rancangan, potensi ekonomi
industri budaya kreatif akan terus dibangunkan melalui kerjasama erat
antara sektor awam dan swasta. Bagi memudahkan pembangunan industri
ini, Kerajaan akan terus menyediakan persekitaran yang kondusif. Pihak
industri akan digalakkan untuk mengguna pelbagai kemudahan di peringkat
negeri seperti pusat kebudayaan negeri dan galeri untuk menjayakan
aktiviti mereka. Di samping itu, Kerajaan juga akan menyediakan premis
perniagaan kepada usahawan untuk mempromosi kraf dan barangan keluaran
mereka.
23.23
Promosi dan pemasaran keluaran seni, budaya dan produk warisan di
peringkat tempatan dan antarabangsa akan dipergiatkan melalui pelbagai
kempen pemasaran dan penganjuran acara antarabangsa yang berprestij.
Acara ini seperti Pesta KL, Pesta Filem Malaysia dan Hari Kraf
Kebangsaan akan diadakan untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai hab
kebudayaan.
Pengukuhan Program Bina Upaya
23.24
Selaras dengan aspirasi untuk mencapai kecemerlangan di kalangan
profesional dalam bidang seni persembahan dan warisan, ASK akan
dinaiktaraf kepada Akademi Seni Budaya dan Warisan. Kursus yang
ditawarkan di akademi ini akan diperluaskan meliputi kursus di
peringkat ijazah dalam bidang pengajian warisan merangkumi museumology,
arkeologi dan sains arkib. Di samping itu, Akademi juga akan
mempergiatkan latihan kemahiran untuk melahirkan tenaga professional
yang berkualiti tinggi dalam bidang seperti pementasan dan pengurusan
teater, pencahayaan dan bunyi, peralatan dan set penggambaran serta
pemasaran yang berkesan. Untuk terus menggalak dan membangunkan
industri filem tempatan, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia
(FINAS) akan memberi penekanan kepada aktiviti bina upaya untuk
membangunkan modal insan berkemahiran tinggi dalam bidang berkaitan
filem.
23.25
Program bina upaya akan terus dilaksana di Institut Kraf Kebangsaan
serta melalui pelbagai program pembangunan usahawan bagi menyumbang
kepada pembangunan artisan berkemahiran teknologi bagi menghadapi
cabaran masa depan. Satu program khas, iaitu Skim Perantisan Warisan
Kraf akan dilaksanakan dalam tempoh Rancangan untuk memberi kemahiran
di samping memelihara seni dan kraf tradisional.
IV : INSTUTUSI PELAKSANA DAN PERUNTUKAN
23.26
Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan akan terus menjadi agensi
utama dalam melaksana program dan projek yang berkaitan dengan budaya,
seni dan pemeliharaan warisan negara. Usaha ini akan dilaksanakan
bersama Kementerian Pelajaran, Kementerian Pengajian Tinggi,
Kementerian Pelancongan, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi
dan Kementerian Penerangan serta kerajaan negeri.
23.27
Dalam tempoh Rancangan, peruntukan sebanyak RM442.4 juta akan
disediakan untuk program budaya, seni dan warisan, seperti ditunjukkan
dalam Jadual 23-1. Daripada jumlah ini, 63 peratus akan digunakan untuk
pemeliharaan dan pemuliharaan warisan budaya dan 37 peratus adalah
untuk melaksana pelbagai program seni dan budaya di peringkat negeri
dan daerah.
Jadual 23-1 : Perbelanjaan & Peruntukan Pembangunan bagi Program Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, 2001-2010 (RM Juta)
V : PENUTUP
23.27 Dalam tempoh RMKe-8, pelaksanaan program kebudayaan, kesenian dan warisan menyumbang kepada pengukuhan perpaduan negara serta menggalakkan industri pelancongan dalam negara. Dalam tempoh RMKe-9, menyedari bahawa budaya dan warisan adalah saling berkait dalam mengukuhkan tamadun negara, dan merupakan aspek penting dalam membangun rakyat Malaysia yang seimbang, bernilai murni dan berketerampilan progresif, fokus akan diberi untuk mempertingkat peranan budaya, seni dan warisan dalam kehidupan seharian masyarakat Malaysia. Bagi mempermudahkannya, kerjasama strategik antara sektor awam dan sektor swasta serta masyarakat akan diperkukuh. Usaha untuk mempromosi kraf dan industri budaya kreatif akan juga dipergiatkan memandangkan industri berkaitan budaya, seni dan warisan berpotensi untuk dijadikan sumber pertumbuhan ekonomi.
Di pos oleh Arbain Muhayat pada 20 December 2008