BAB 22 : MENGGALAKKAN PENJAGAAN ALAM SEKITAR
I : PENDAHULUAN
22.01
Dalam tempoh Rancangan Malaysia Kelapan (RMKe-8), penerapan
pertimbangan alam sekitar dalam perancangan dan pembangunan
dipertingkatkan. Usaha ini membolehkan pelaksanaan pengurusan alam
sekitar dan sumber asli yang lebih bersepadu dan menyeluruh. Keupayaan
institusi dan rangka kerja kawal selia diperkukuh serta pendekatan dan
instrumen perancangan baru diperkenal. Usaha mempromosi pembangunan
mampan telah menempatkan Malaysia di kedudukan ke-38 di kalangan 146
negara di dunia dan kedua di Asia dari segi kemampanan alam sekitar1.
Di samping itu, Kajian Indeks Prestasi Alam Sekitar2 meletakkan
Malaysia di kedudukan kesembilan daripada 133 negara dari segi usaha
untuk mengurangkan tekanan persekitaran ke atas kesihatan manusia dan
memelihara daya hidup ekosistem.
22.02
Dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9), selaras dengan
prinsip kesembilan3 Islam Hadhari, penjagaan alam sekitar akan terus
digalakkan untuk memastikan keseimbangan antara keperluan pembangunan
dengan alam sekitar dikekalkan. Tumpuan yang lebih diberi kepada
langkah pencegahan bagi mengurangkan kesan negatif ke atas alam sekitar
di punca, mempergiat usaha pemuliharaan dan mengurus sumber asli secara
mampan. Usaha memupuk kerjasama lebih rapat di kalangan pihak
berkepentingan untuk menangani isu alam sekitar akan diberi penekanan.
Penggunaan instrumen perancangan alam sekitar seperti penilaian impak
alam sekitar (EIA), penilaian strategik alam sekitar (SEA), analisis
kos faedah, instrumen berasaskan pasaran dan pengauditan alam sekitar
akan diperluas untuk menilai dan mengurangkan impak akibat aktiviti
pembangunan. Di samping itu, penyelidikan dan pembangunan (R&D)
akan dipergiat untuk terus menyokong pengurusan alam sekitar dan
penggunaan sumber asli secara mampan. Usaha menambah baik perlindungan
alam sekitar dan pemuliharaan sumber asli akan menyumbang kepada
peningkatan kualiti hidup.
1 Environmental Sustainability Index Study, 2005, Yale University.
2 Environmental Performance Index Study, 2006, Yale University.
3 “Pemeliharaan alam semula jadi.”
II : KEMAJUAN 2001-2005
22.03
Dalam tempoh RMKe-8, penekanan diberi untuk menambah baik kualiti alam
sekitar melalui pengurusan yang lebih mantap ke atas beberapa aspek
yang diberi tumpuan utama, khususnya kualiti air dan udara, pengurusan
sisa pepejal serta penggunaan teknologi bersih. Dari segi pengurusan
sumber asli, langkah pemuliharaan dan penggunaan mampan diperkukuh,
terutamanya untuk sumber biodiversiti, hutan dan air. Dasar Alam
Sekitar Negara yang menggaris strategi untuk menggerakkan hala tuju
pembangunan negara ke arah pembangunan mampan telah dilancarkan pada
tahun 2002. Pada tahun 2004, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar
yang baru ditubuhkan dengan menggabung 10 agensi alam sekitar dan
sumber asli di bawah satu pentadbiran untuk memudahkan pendekatan
pengurusan alam sekitar dan sumber asli yang terselaras dan
komprehensif.
Pengurusan Alam Sekitar
22.04
Kualiti Udara. Dalam tempoh Rancangan, kualiti udara kekal di tahap
baik hingga sederhana seperti ditunjuk oleh Indeks Pencemaran Udara
(API). Walau bagaimanapun, terdapat kejadian kemerosotan kualiti udara
di Lembah Klang, Selangor dan Seberang Perai, Pulau Pinang, disebabkan
peningkatan tahap kepadatan ambien ozon dan habuk terampai dari
kenderaan bermotor, perindustrian dan pembakaran terbuka serta sulfur
dioksida dari aktiviti perindustrian. Kejadian jerebu dari punca
merentasi sempadan menjadi fenomena tahunan di beberapa kawasan pantai
barat Semenanjung Malaysia dan Sarawak. Sehubungan ini, usaha dua hala
diambil bagi mengenal pasti dan menangani punca jerebu yang merentasi
sempadan. Langkah juga diambil untuk mengurangkan kejadian jerebu
daripada punca domestik dengan penggubalan Perintah Kualiti Alam
Sekeliling (Aktiviti-Aktiviti Yang Diisytiharkan) (Pembakaran Terbuka)
pada tahun 2003.
22.05
Punca bergerak kekal sebagai sumber utama bahan pencemar dari segi
pelepasan karbon monoksida dan nitrogen oksida. Beberapa langkah
diambil untuk mengurangkan pelepasan bahan pencemar daripada punca
bergerak. Pada tahun 2004, Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan
Pelepasan Daripada Motosikal) 2003 telah diwarta. Langkah juga diambil
untuk menggubal undangundang bagi mengurangkan kandungan sulfur dalam
minyak diesel daripada 0.3 peratus kepada 0.05 peratus. Loji jana kuasa
merupakan punca utama pelepasan sulfur dioksida, diikuti kilang dan
punca lain seperti hotel dan premis komersil. Dari segi habuk terampai
(PM10), punca tetap termasuk industri dan loji jana kuasa, menyumbang
hampir 90 peratus daripada keseluruhan pelepasan.
22.06
Kualiti Air. Punca utama pencemaran air sungai adalah pembuangan
kumbahan domestik, bahan pencemar daripada industri berasaskan
pertanian, larian air dari kerja-kerja tanah dan pembersihan kawasan
serta pembuangan efluen dari aktiviti perkilangan. Usaha untuk
mengurang dan mengawal pembuangan air tercemar dari sektor domestik
tertumpu kepada kenaikan taraf loji rawatan kumbahan sedia ada dan
membina loji baru. Dalam fasa pertama Projek Kumbahan Kebangsaan, empat
loji rawatan kumbahan dan kemudahan rawatan kumbahan berpusat telah
dibina. Di samping itu, 825 loji rawatan kumbahan dinaik taraf dan
jumlah rangkaian rawatan kumbahan yang disenggara meningkat daripada
9,240 kilometer pada tahun 2000 kepada 14,560 kilometer pada tahun
2005. Langkah ini mengurangkan beban keperluan biokimia oksigen dalam
sungai dan hasilnya bilangan sungai tercemar berkurang.
22.07
Kualiti Air Marin. Dalam tempoh Rancangan, kualiti air marin bertambah
baik dari segi tahap kandungan arsenik, kuprum, Escherichia coli
(E.coli), merkuri dan pepejal terampai. E-coli kekal sebagai pencemar
utama air marin. MUKA
22.08
Sisa Pepejal. Jumlah sisa pepejal yang dijana di Semenanjung Malaysia
meningkat daripada 16,200 tan metrik sehari pada tahun 2001 kepada
19,100 tan metrik sehari pada 2005 atau secara puratanya 0.8 kilogram
per kapita sehari. Sisa pepejal di Malaysia secara purata terdiri
daripada 45.0 peratus sisa makanan, 24.0 peratus plastik, 7.0 peratus
kertas, 6.0 peratus besi, 3.0 peratus kaca dan bahan lain. Walaupun
terdapat usaha bersepadu melalui Kempen Kebangsaan Kitar Semula untuk
menggalakkan penggunaan semula, pengurangan dan pengitaran semula (3Rs)
sisa pepejal, namun jumlah yang dikitar semula masih kurang daripada
5.0 peratus. Dalam tempoh Rancangan, Kerajaan telah membina dua tapak
pelupusan sanitari di Seelong, Johor dan Bukit Tagar, Selangor, dan
sebuah stesen pemindahan di Taman Beringin, Selangor.
22.09
Sisa Toksik. Dalam tempoh Rancangan, secara purata 430,000 tan metrik
sisa berjadual dijana setiap tahun. Dari jumlah sisa berjadual yang
dijana pada tahun 2004, kira-kira 18.8 peratus dirawat dan dilupus di
loji rawatan dan pelupusan sisa toksik di Bukit Nanas, Negeri Sembilan,
58.0 peratus dikitar semula dan diperoleh semula di premis berlesen,
19.7 peratus dirawat dan disimpan di premis penjana, 0.7 peratus
diekspot untuk dikitar semula dan 2.7 peratus dilupuskan di insinerator
sisa klinikal. Pengitaran dan perolehan semula bahan dari sisa toksik
mencatat peningkatan ketara daripada 29.0 peratus pada tahun 2001
kepada 58.0 peratus pada tahun 2004. Hasil usaha ini, rawatan dan
penyimpanan sisa toksik di premis penjana berkurangan daripada 59.9
peratus pada tahun 2001 kepada 19.7 peratus pada tahun 2004, seperti
ditunjukkan dalam Carta 22-1.
Carta 22-1 : Pengurusan Sisa Berjadual, 2001-2004
22.10
Bahan Kimia dan Bahan Berbahaya. Penggunaan bahan kimia dan bahan
berbahaya menunjukkan peningkatan, terutama dalam sektor pertanian.
Jumlah baja yang diguna meningkat daripada 2.2 juta tan metrik pada
tahun 2001 kepada 4.0 juta tan metrik pada tahun 2004. Amalan pertanian
yang lebih baik diperkenal untuk mengurangkan penggunaan bahan kimia
dan bahan berbahaya melalui Skim Akreditasi Ladang Malaysia (SALM) dan
Skim Organik Malaysia (SOM). Akta Racun Perosak 1974 disemak semula
pada September 2004 untuk memperketat kawalan bahan racun perosak
melalui pengenalan langkah pengendalian yang lebih selamat, denda
kerana tidak mematuhi label keselamatan serta promosi ciri keselamatan
dalam pengeluaran dan penjualan.
Pengurusan Sumber Asli
22.11
Perancangan Guna Tanah. Bagi mempertingkat lagi perancangan guna tanah
bersepadu, Majlis Perancangan Fizikal Kebangsaan ditubuh pada tahun
2003 dan Pelan Fizikal Negara (PFN) 2005-2010 diguna pakai. Di samping
itu, garis panduan untuk memelihara dan memulihara kawasan sensitif
alam sekitar (KSAS) dibangunkan. Sejumlah 86 pelan rancangan tempatan
dan 14 pelan rancangan struktur yang menerapkan pertimbangan alam
sekitar dan pemuliharaan sumber asli telah disediakan. Selain itu,
sebanyak 35 piawai dan garis panduan pembangunan mengenai alam sekitar,
perumahan, pengangkutan, guna tanah, industri dan persekitaran
perbandaran juga telah dikeluar dan dilaksana untuk menambah baik
perancangan dan pembangunan bandar.
22.12
Sumber Air. Kerajaan mengguna pakai kaedah Pengurusan Sumber Air
Bersepadu (IWRM) untuk mengoptimumkan pengurusan sumber air serta
menggubal Pelan Pengurusan Lembangan Sungai Langat, Selangor. Satu
kajian sumber air bawah tanah di negeri Johor, Kedah, Negeri Sembilan,
Sabah, Sarawak dan Selangor disiapkan pada tahun 2002. Garis panduan
untuk memasang sistem tadahan dan penggunaan air hujan juga diperkenal.
22.13
Biodiversiti. Majlis Biodiversiti-Bioteknologi Negara (MBBN) ditubuhkan
pada tahun 2001 untuk menyelaras usaha pemuliharaan dan pengunaan
mampan sumber biologi. Dasar Tanah Lembap Negara diperkenalkan pada
tahun 2004 untuk memelihara dan memulihara kawasan tanah lembap serta
menambah baik pengurusannya. Strategi Pemuliharaan dan Pengurusan Tanah
Tinggi Kebangsaan di Semenanjung Malaysia telah disediakan dan Kajian
Stesen Bukit di Semenanjung Malaysia dijalankan untuk menggalak
pembangunan mampan di kawasan tanah tinggi. Sehubungan ini, sebanyak
109 projek pembangunan di kawasan tanah tinggi yang dilaksana oleh 12
Kementerian dipantau untuk memastikan strategi serta garis panduan
tersebut diambil kira.
22.14
Bilangan kawasan perlindungan juga meningkat daripada 37 kepada 40
dengan penubuhan Taman Negeri DiRaja Belum di Perak, Taman Negara Pulau
Pinang dan Taman Warisan Selangor. Berikutan ini, keluasan kawasan yang
dilindungi meningkat kepada 5.36 juta hektar atau 16.3 peratus daripada
keluasan tanah negara. Di samping itu, kawasan tanah lembap Tanjung
Piai, Sungai Pulai dan Pulau Kukup di Johor, diisytihar sebagai tapak
RAMSAR. Habitat kritikal lain seperti koridor hidupan liar di Gunung
Bintang Hijau di Kedah-Perak dan Endau Rompin di Johor-Pahang serta
kawasan paya air tawar dan tasik juga dikenal pasti untuk pemuliharaan.
Bank genetik untuk spesies yang hampir pupus dan program pembiakan
ex-situ ditubuhkan untuk melindungi spesies yang hampir pupus dan
membantu penempatan semula spesies terancam.
22.15
Sumber Hutan. Dalam tempoh Rancangan, sejumlah 19.52 juta hektar atau
59.5 peratus daripada keluasan tanah di Malaysia kekal di bawah litupan
hutan dengan 14.39 juta hektar daripadanya kawasan rizab hutan kekal
dan 3.21 juta hektar kawasan dilindungi sepenuhnya. Selain daripada
itu, seluas 310,550 hektar ladang hutan dibangunkan, iaitu 75,800
hektar di Semenanjung Malaysia, 174,750 hektar di Sabah dan 60,000
hektar di Sarawak. Sistem Kriteria, Petunjuk, Aktiviti dan Piawai
Prestasi untuk Persijilan Pengurusan Perhutanan Malaysia (MC&I)
dilancarkan pada tahun 2001 bagi memperaku kawasan hutan yang diurus
secara mampan dan kayu balak yang dikeluarkan mempunyai pengesahan
rantaian penjagaan, dan 67 syarikat diberi perakuan MC&I sehingga
tahun 2005. Langkah juga telah diambil untuk mempergiat pemuliharaan
dan pemulihan hutan paya bakau untuk berfungsi sebagai benteng penahan
pesisir pantai daripada hakisan, alunan ombak dan tsunami.
22.16
Sumber Mineral. Majlis Mineral Negara ditubuhkan pada tahun 2001 untuk
memantau dan menyelaras tindakan mengurus sumber mineral termasuk dasar
rezab mineral dan rangka kerja institusi bagi tadbir urus sumber
mineral. Model Enakmen Mineral Negeri yang merangkumi prosedur dan
pertimbangan aspek alam sekitar yang lebih baik diguna pakai oleh tiga
negeri lagi, iaitu Johor, Kedah dan Negeri Sembilan, menjadikan
jumlahnya lima. Peraturan Kuari menurut Kanun Tanah Negara 1965 juga
diguna pakai oleh Selangor pada tahun 2003 dan Pahang pada tahun 2004
untuk menambah baik pengawalan operasi kuari.
22.17
Sumber Marin dan Pantai. Dalam tempoh Rancangan, sebanyak 37 projek
dilaksana untuk melindungi kawasan pantai daripada kemerosotan dan
hakisan, termasuk pembinaan benteng pemecah ombak, penyuburan pantai
dan pelebaran pesisir pantai khususnya bersempadan kawasan pertanian di
Johor, Melaka, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sarawak, dan Wilayah
Persekutuan Labuan. Di samping itu, satu kajian perintis untuk
menyediakan pelan pengurusan pesisir pantai bersepadu bagi kawasan
utara pesisir pantai Pahang (ISMP) disiapkan manakala kajian untuk
kawasan selatan pesisir pantai Pahang sedang dijalankan. Inisiatif lain
untuk memelihara kepelbagaian marin termasuk penubuhan Taman Laut Tun
Sakaran di Sabah dan penyediaan Panduan Hala Tuju Strategik Marin untuk
mempergiatkan usaha R&D marin.
Inisiatif Lain
22.18
Kesedaran dan Promosi Alam Sekitar. Dalam tempoh Rancangan, usaha untuk
meningkat kesedaran terhadap alam sekitar dipergiat di peringkat
sekolah, komuniti dan kebangsaan. Pada tahun 2002, Pertubuhan NGO Alam
Sekitar Malaysia (MENGOs) diwujudkan untuk menggabung 18 badan bukan
kerajaan (NGO) yang berkaitan dengan alam sekitar bertujuan mengukuh
kerjasama dan integrasi dalam usaha mereka bagi meningkatkan kesedaran
terhadap isu alam sekitar dan sumber asli serta memberi input, komen
dan maklum balas kepada Kerajaan. Bagi menggalak pihak berkuasa
tempatan mengguna pakai amalan mesra alam, program Bandar
Lestari-Anugerah Alam Sekitar dilancarkan pada tahun 2005 dan Kuantan,
Pahang muncul sebagai penerima pertama anugerah tersebut.
22.19
Inisiatif Alam Sekitar Antarabangsa. Malaysia terus memainkan peranan
aktif dalam berbagai-bagai inisiatif alam sekitar di peringkat pelbagai
hala dan khususnya menganjurkan Persidangan Ketujuh Parti-Parti
Konvensyen Kepelbagaian Biologi dan Mesyuarat Pertama Parti-Parti
Protokol Cartagena pada Februari 2004. Dalam tempoh Rancangan, beberapa
perjanjian pelbagai hala mengenai alam sekitar dan pindaan berkaitan
telah ditandatangani termasuk Konvensyen Stockholm Mengenai Pencemar
Organik Yang Berkekalan. Di samping itu, Protokol Montreal Mengenai
Bahan-Bahan Yang Memusnahkan Lapisan Ozon; Konvensyen Basel Mengenai
Kawalan Pergerakan Buangan Berbahaya Merentasi Sempadan dan
Pelupusannya; Konvensyen Rotterdam Mengenai Peraturan Persetujuan
Pemberitahuan Terlebih Dahulu Bagi Bahan Kimia Berbahaya Dan Racun
Perosak Tertentu Dalam Perdagangan Antarabangsa; Protokol Kyoto kepada
Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Mengenai
Perubahan Iklim dan Protokol Cartagena berkenaan Biokeselamatan telah
diratifikasi.
III : PROSPEK 2006-2010
22.20
Dalam tempoh RMKe-9, Kerajaan akan terus memberi penekanan kepada
langkah pencegahan untuk mengurang dan meminimumkan pencemaran serta
menangani impak negatif lain kepada alam sekitar yang berpunca daripada
aktiviti pembangunan. Di samping itu, langkah akan diambil untuk
mengenal pasti dan mengambil tindakan bagi menggalak amalan pengurusan
mampan sumber asli berkaitan sumber tanah, air, hutan, tenaga dan
marin. Usaha ini akan meningkat perlindungan alam sekitar dan
pemuliharaan sumber asli serta menyumbang kepada penambahbaikan kualiti
hidup. Teras strategik bagi menangani isu alam sekitar dan sumber asli
akan bertumpu kepada:
a) menggalak persekitaran hidup yang sihat;
b) mengguna sumber secara mampan dan memulihara habitat kritikal;
c) memperkukuh rangka kerja institusi dan kawal selia serta mempergiat penguatkuasaan;
d) memperluas penggunaan instrumen berasaskan pasaran;
e) membangunkan petunjuk pembangunan mampan yang sesuai; dan
f) menyemai budaya dan amalan mesra alam sekitar di semua peringkat masyarakat.
Pengurusan Alam Sekitar
22.21
Kualiti Udara. Pelan Tindakan Udara Bersih akan disedia dan
dilaksanakan untuk meningkatkan kualiti udara. Kajian terperinci akan
dijalankan untuk merangka pelan tindakan bagi meningkatkan kualiti
udara di kawasan bandar. Pelepasan bahan pencemar udara daripada punca
tetap akan ditangani dengan menggalakkan penggunaan teknologi bersih.
Kandungan sulfur dalam minyak disel akan dikurang daripada 3,000 ppm
kepada 500 ppm, manakala bagi minyak petrol daripada 1,500 ppm kepada
500 ppm berdasarkan spesifikasi EURO 2M. Piawai baru pelepasan
berasaskan EURO 2 untuk kenderaan disel dan EURO 3 untuk kenderaan
petrol akan juga diperkenal bagi mengurangkan pelepasan bahan pencemar
udara daripada punca bergerak. Di samping itu, kemampuan dan keupayaan
mengawal kebakaran di tanah gambut yang merupakan punca jerebu domestik
akan diperkukuh.
22.22
Kualiti Air. Penggunaan pendekatan pengurusan lembangan sungai
bersepadu (IRBM) akan dipergiat untuk menambah baik kualiti air sungai
dan air bawah tanah. Usaha akan ditumpu ke arah mengurang bilangan
sungai tercemar. Sistem pembentungan awam akan dinaik taraf dan lebih
banyak loji rawatan kumbahan berpusat akan dibina untuk mengurangkan
pelepasan air buangan yang tidak dirawat ke dalam sistem sungai.
Perangkap am pencemar dan kolam pemendapan akan dibina di kawasan
kritikal di lembangan sungai untuk mengurangkan aliran keluar punca
pencemar tak diketahui. Pengawalan pengelodakan dan hakisan akan
ditangani melalui pindaan undang-undang sedia ada. Penguatkuasaan akan
dipertingkat lagi untuk memastikan pelepasan efluen mematuhi piawai
alam sekitar supaya kualiti alam sekitar dikekalkan.
22.23
Kualiti Air Marin. Piawai interim kualiti air marin akan dikaji semula
ke arah pewujudan piawai kualiti yang komprehensif. Kajian terperinci
akan dijalan untuk menetapkan metodologi serta paramater yang
bersesuaian dengan mengambil kira beban bahan pencemar dan keadaan
tempatan. Di samping itu, pengawasan perairan marin akan dipergiat bagi
meningkatkan pematuhan dan pengawalan pelepasan bahan pencemar secara
haram.
22.24
Sisa Pepejal. Pelan Strategik Pengurusan Sisa Pepejal Kebangsaan (Pelan
Srategik) akan dilaksana dengan penekanan kepada usaha menaik taraf
tapak pelupusan yang tidak sanitari serta pembinaan tapak pelupusan
sanitari baru dan stesen pemindahan dengan kemudahan bersepadu
perolehan semula bahan buangan. Keutamaan akan terus diberi kepada
pengurangan, penggunaan semula, perolehan semula dan pengitaran semula
sisa serta peningkatan penggunaan bahan mesra alam seperti bioplastik.
Undang-undang bagi menyelaras pengurusan sisa pepejal akan digubal bagi
melicin pelaksanaan strategi dan langkah yang terkandung dalam Pelan
Strategik tersebut. Kempen dan aktiviti bagi meningkat kesedaran akan
dipergiat untuk mendidik orang awam mengenai manfaat mengamalkan
penggunaan secara mampan. Jabatan sisa pepejal akan ditubuh untuk
melaksanakan langkah tersebut dan mentadbir dasar, perancangan dan
pengurusan sisa pepejal secara holistik.
22.25
Bahan Toksik, Kimia dan Berbahaya. Keupayaan agensi berkenaan dalam
mengurus bahan toksik dan berbahaya akan diperkukuh lagi dengan
mengguna pakai sistem global yang seragam untuk pendaftaran import,
pengangkutan dan pengendalian bahan kimia dan bahan berbahaya secara
selamat. Langkah juga akan diambil untuk membentuk rangka kerja bagi
memudahkan penggunaan pendekatan dan teknologi untuk merawat dan
mengubahsuai sisa toksik kepada sumber yang boleh diguna semula. Di
samping itu, langkah menangani kegunaan sembarangan bahan kimia
khususnya dalam sektor pertanian akan dipergiat.
22.26
Teknologi Bersih. Bagi mempromosi penggunaan teknologi mesra alam
secara meluas, industri akan digalakkan untuk mengguna pakai langkah
swakawal dan menggunakan Pendekatan Kitaran Hidup (LCA) dalam proses
pengeluaran dan pembangunan produk. SIRIM Berhad akan membangun
Pangkalan Data Inventori Kitaran Hidup Kebangsaan untuk industri dan
aktiviti utama seperti penjanaan elektrik, bekalan air, cari gali dan
pengeluaran petroleum dan gas asli serta petrokimia. Pangkalan data
tersebut akan membantu usaha industri untuk membangun LCA dalam proses
pengeluaran dan pengilangan. Di sampingTitu, penemuan daripada projek
perintis ekolabel akan diguna untuk membangun skim pelabelan alam
sekitar kebangsaan. Langkah juga akan diambil untuk membantu dalam
mengguna pakai teknologi bersih oleh enterpris kecil dan sederhana
(EKS) termasuk mengenal pasti sumber pembiayaan baru daripada Bank SME.
Pengurusan Sumber Asli
22.27
Perancangan Guna Tanah. Pelaksanaan pendekatan pembangunan spatial yang
mengintegrasikan konsep dan metodologi pembangunan mampan akan
digalakkan. Strategi yang terkandung dalam PFN akan dilaksana dengan
menerapkannya dalam pelan struktur. Kaedah dan parameter yang sesuai
akan dibangun untuk mengenal pasti dan mengurus KSAS bagi
membolehkannya menjadi zon tebatan dalam pengawalan penyelerakan
pembangunan. Pengurusan sumber tanah akan ditambah baiki melalui
peluasan pelaksanaan program e-Tanah dan mewujudkan pentadbiran tanah
yang kompeten melalui latihan.
22.28
Lanskap. Dasar Lanskap Negara akan dijadikan panduan pembangunan taman
bandar pada peringkat bandar, daerah dan negeri. Rizab kawasan hijau
akan diperluas serta sungai, jalan, bangunan awam dan kemudahan awam
akan dilanskap untuk menambah baik alam sekitar. Bekas tapak lombong
dan kuari yang sesuai akan dipulihara dan ditambah baik supaya menjadi
tapak warisan geologi dan tarikan ekopelancongan.
22.29
Sumber Air. Penekanan akan diberi untuk mengekal dan meningkatkan
fungsi ekosistem sungai melalui pemulihan dan penyenggaraan tadahan
tanah tinggi, tanah lembap, tebatan sungai dan zon riparian. Kesesuaian
instrumen berasaskan pasaran akan dikaji untuk mengambil kira kos alam
sekitar, termasuk kekurangan, ke dalam sistem harga air. Langkah untuk
mengurangkan permintaan air akan diberi penekanan termasuk melalui
pemberian rebat cukai untuk industri yang mengitar semula air.
22.30
Biodiversiti. Usaha memelihara habitat kritikal akan dipergiat.
Sehubungan ini, pelan pengurusan sedia ada akan dikaji semula bagi
memperkukuh lagi perlindungan flora dan fauna yang terancam. Proses EIA
akan dikaji semula untuk merangkumi penilaian impak terhadap ekosistem.
Kajian Strategi Pemuliharaan dan Pengurusan Tanah Tinggi di Sabah dan
Sarawak akan dilaksanakan dan Dasar Tanah Tinggi Negara akan digubal.
Garis Panduan Akses dan Perkongsian Manfaat Sumber Biologi akan disedia
bagi memastikan perkongsian saksama manfaat daripada penggunaan sumber
biodiversiti dan menangani isu biorompak. Institusi penyelidikan dan
universiti akan membangun inventori biodiversiti komprehensif untuk
membantu biopenerokaan.
22.31
Sumber Hutan. Pemuliharaan dan penggunaan secara mampan produk hutan
dan kawasan tadahan air akan diberi penekanan untuk menggalakkan
pengurusan hutan secara mampan. Pembangunan sumber kekayaan yang mampan
daripada produk hutan seperti produk herba dan ubat-ubatan, aktiviti
ekopelancongan dan biopenerokaan akan digalakkan. Pusat Produk Hutan
dan Bukan Hutan akan ditubuh untuk meningkatkan keupayaan pengurusan
alam sekitar dan sumber asli. Sistem MC&I akan diperkukuh untuk
memantapkan usaha pengurusan hutan secara mampan.
22.32
Sumber Mineral. Pendekatan sinergistik akan diambil untuk meneraju
pembangunan industri sumber mineral secara mampan. Penerapan amalan
mesra alam akan diberi penekanan dengan mengguna pakai Enakmen Mineral
dan Peraturan Kuari oleh semua negeri.
22.33
Sumber Marin dan Pantai. Dasar Pengurusan Bersepadu Zon Pesisir Pantai
akan diperkenalkan untuk menggalak pemuliharaan dan pengekalan sumber
marin dan pesisir pantai. Pemulihan dan pembaikpulihan pesisir pantai
akan dipertingkat melalui program penanaman dan penghijauan semula.
Pelan pengurusan hutan bakau dan hutan pesisir pantai komprehensif akan
dibangun untuk menangani kadar susutan hutan bakau bagi menjamin
bekalan sumber yang berterusan serta mengurangkan kesan dari hakisan
pantai dan tsunami. Indeks Keterancaman Pesisir Pantai akan dibangun
untuk memandu reka bentuk program pengurusan zon pesisir pantai.
Inisiatif Lain
22.34
Pendekatan Ekonomi. Langkah akan diambil untuk memperluas penggunaan
instrumen ekonomi dan langkah berasaskan pasaran seperti penerapan
prinsip pencemar bayar, fi pengguna dan teknik penilaian ekonomi untuk
menangani isu alam sekitar secara berkesan dan cekap. Penggunaan
mekanisme pembiayaan yang inovatif akan dikaji untuk membantu
pemuliharaan kawasan kritikal yang dilindungi. Kajian dan projek
perintis akan dijalankan untuk melaksanakan instrumen inovatif
berasaskan pasaran.
22.35
Kesedaran dan Promosi Alam Sekitar. Dalam tempoh Rancangan, usaha
mempromosi dan memupuk budaya dan amalan mesra alam di kalangan rakyat
Malaysia akan dipergiat dengan penglibatan aktif sektor swasta dan NGO.
Tindakan dan perubahan yang sesuai akan diambil melalui kurikulum
pendidikan di sekolah bagi menanam kesedaran yang lebih mendalam
terhadap keperluan pemeliharaan alam sekitar. Sektor swasta akan
digalak untuk menganjurkan program kesedaran penjagaan di kalangan
industri dan syarikat bagi meningkatkan tahap penjagaan yang lebih
tinggi terhadap keselamatan awam dan alam sekitar. Di samping itu,
tenaga, ide dan kesungguhan NGO alam sekitar akan digembleng bagi
melengkapi usaha Kerajaan memelihara alam sekitar. 489
22.36
Petunjuk Pembangunan Mampan. Sistem petunjuk pembangunan mampan
Malaysia akan dibangun dan ditanda aras dengan inisiatif antarabangsa
yang sedia ada untuk memastikan supaya setanding. Sehubungan ini, satu
kajian komprehensif akan dijalankan untuk menilai ketepatan,
kesesuaian, dan faedah mengguna kaedah penilaian seperti perakaunan
sumber asli, pengauditan alam sekitar dan model berasaskan tindak balas
terhadap keadaan tekanan untuk memantau pembangunan mampan dalam
Malaysia.
22.37
Inisiatif Alam Sekitar Antarabangsa. Malaysia akan meneruskan penekanan
terhadap kerjasama serantau dan antarabangsa untuk menangani isu alam
sekitar serantau dan global. Perbincangan dan perkembangan di pelbagai
fora alam sekitar akan dipantau rapi untuk memastikan kepentingan
Malaysia tidak terjejas. Tumpuan akan diberi terhadap kajian dan
langkah yang perlu bagi membantu tindakan Malaysia memenuhi komitmennya
dalam perjanjian alam sekitar pelbagai hala.
IV : INSTUTUSI PELAKSANA DAN PERUNTUKAN
22.38
Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar berserta 10 agensinya akan
memainkan peranan utama dalam menggalakkan penjagaan alam sekitar dan
mengekalkan keseimbangan antara keperluan pembangunan dengan alam
sekitar. Kementerian tersebut bersama dengan Kementerian Perumahan dan
Kerajaan Tempatan akan memastikan supaya alam sekitar diambil kira
dalam perancangan dan pembangunan guna tanah. Jabatan Perhutanan dan
Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) akan menjadi agensi
peneraju dalam usaha pemuliharaan biodiversiti. Sektor korporat dan
pihak NGO berkaitan alam sekitar akan digalakkan untuk menambah dan
melengkap usaha agensi tersebut.
V : PENUTUP
22.39 Dalam tempoh RMKe-8, penekanan diberi untuk menambah baik kualiti alam sekitar melalui pengurusan yang lebih baik dalam bidang yang diberi perhatian utama khususnya kualiti udara dan air, pengurusan sisa pepejal serta penggunaan teknologi bersih. Usaha juga dipergiat untuk melindung dan memulihara sumber tanah, air, biodiversiti dan hutan. Dalam RMKe-9, Kerajaan akan memberi penekanan kepada langkah pencegahan yang dapat mengurang dan meminimumkan pencemaran. Penggalakkan amalan pengurusan sumber asli secara mampan berkaitan dengan sumber tanah, air, hutan, tenaga dan marin akan dipergiat. Kerjasama yang lebih rapat akan dipupuk dengan pihak berkepentingan dan NGO dalam menangani isu alam sekitar dan sumber asli. Usaha tersebut akan meningkatkan perlindungan alam sekitar dan pemuliharaan sumber asli serta menyumbang ke arah menambah baik kualiti hidup.
Di pos oleh Arbain Muhayat pada 20 December 2008