BAB 21 : MENYEDIAKAN PERUMAHAN DAN PERKHIDMATAN BANDAR YANG BERKUALITI
I : PENDAHULUAN
21.01
Pelaksanaan program pembangunan perumahan dan penyediaan perkhidmatan
bandar dalam Rancangan Malaysia Kelapan (RMKe-8) bertujuan meningkatkan
kualiti hidup dan kesejahteraan penduduk. Pencapaian keseluruhan
program perumahan yang dilaksanakan oleh sektor awam dan swasta
menggalakkan, iaitu melebihi sasaran Rancangan. Penekanan telah
diberikan ke arah menyediakan rumah berkualiti yang mampu dibeli atau
disewa terutamanya untuk golongan berpendapatan rendah dengan
perkhidmatan bandar yang lebih baik serta persekitaran tempat tinggal
yang selesa.
21.02
Dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9), langkah berterusan
akan terus diambil untuk memastikan rakyat Malaysia bagi semua
peringkat pendapatan memperoleh akses kepada perumahan yang mencukupi,
berkualiti dan mampu dibeli atau disewa terutamanya golongan
berpendapatan rendah. Sehubungan ini, sektor swasta digalakkan untuk
membina lebih banyak rumah kos rendah dan kos sederhana rendah melalui
projek perumahan bercampur manakala sektor awam akan terus memberikan
perhatian kepada pembinaan rumah kos rendah dan rumah untuk anggota
sektor awam, golongan yang kurang mendapat faedah dan miskin di kawasan
bandar dan luar bandar. Bagi meningkatkan kualiti hidup penduduk
bandar, penyediaan perkhidmatan bandar yang lebih bersistem dan
tersusun berasaskan kepada pembangunan mampan, peningkatan penglibatan
masyarakat dan penyepaduan sosial penduduk akan diberi penekanan.
II : KEMAJUAN 2001-2005
21.03
Objektif utama program perumahan dalam tempoh RMKe-8 adalah selaras
dengan dasar perumahan untuk menyediakan perumahan yang mencukupi,
berkualiti dan mampu dibeli atau disewa oleh semua rakyat Malaysia.
Perancangan dan pelaksanaan program pembangunan perumahan berasaskan
konsep petempatan manusia termasuk penyediaan kemudahan awam seperti
dewan masyarakat, taman permainan kanak-kanak, klinik, rumah kedai dan
kawasan lapang. Program perumahan oleh sektor awam terus memberikan
tumpuan kepada penyediaan rumah kos rendah untuk golongan berpendapatan
rendah dan ke arah membasmi kawasan setinggan di bandar manakala sektor
swasta membina rumah untuk memenuhi keperluan permintaan pasaran secara
keseluruhan. Bagi meningkatkan kualiti hidup dan taraf sosioekonomi
penduduk bandar, usaha telah diambil untuk meningkatkan kualiti
perkhidmatan bandar serta menyediakan infrastruktur dan kemudahan awam
yang lebih baik.
Perumahan
21.04
Pelaksanaan program pembangunan perumahan adalah mengalakkan dengan
jumlah rumah yang siap dibina melebihi sasaran. Sebanyak 844,043 unit
rumah telah siap dibina, seperti ditunjukkan dalam Jadual 21-1.
Daripada jumlah tersebut, 77.6 peratus dibina oleh sektor swasta
manakala bakinya oleh sektor awam.
21.05
Sebagai sebahagian daripada usaha Kerajaan untuk meningkatkan pembinaan
rumah kos rendah dan kos sederhana rendah, Syarikat Perumahan Negara
Malaysia Berhad (SPNB) melaksanakan projek perumahan bagi memenuhi
keperluan perumahan penduduk. Dalam tempoh Rancangan, SPNB melaksanakan
Program Perumahan Mampu Milik, Program Perumahan Mesra Rakyat dan
projek perumahan anggota tentera. Di samping itu, SPNB juga membaik
pulih projek perumahan terbengkalai terpilih termasuk projek sektor
swasta yang dikenalpasti oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan
Tempatan (KPKT).
21.06
Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 juga dipinda pada
tahun 2002 untuk memperluas skop penguatkuasaan oleh KPKT meliputi
projek yang dilaksanakan oleh agensi Kerajaan dan koperasi, menyediakan
peruntukan bagi kawalan kualiti dan pelaksanaan projek mengikut jadual
serta menubuhkan Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah. Tribunal ini yang
mengendalikan tuntutan di bawah RM25,000 telah menerima sebanyak 10,074
kes tuntutan dan 8,569 daripadanya berjaya diselesaikan dalam tempoh
Rancangan.
Perumahan Kos Rendah
21.07
Prestasi keseluruhan pembinaan rumah dalam kategori kos rendah
menggalakkan dengan 200,513 unit siap dibina, iaitu 86.4 peratus
daripada sasaran Rancangan. Daripada jumlah ini, 103,219 unit atau 51.5
peratus dibina oleh sektor awam termasuk Perbadanan Kemajuan Ekonomi
Negeri (PKEN). Bagi memastikan bekalan rumah kos rendah untuk golongan
berpendapatan rendah mencukupi, projek pembangunan bercampur oleh
pemaju swasta terus dilaksanakan berpandukan dasar yang menetapkan
kuota 30 peratus bagi rumah kos rendah. Walau bagaimanapun,
mengambilkira keadaan permintaan semasa rumah kos rendah serta untuk
menangani isu rumah yang tidak terjual, sesetengah kerajaan negeri
membuat penyesuaian tertentu terhadap dasar tersebut.
21.08
Di bawah program Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) untuk golongan
berpendapatan rendah, sebanyak 27,006 unit rumah kos rendah dibina
melibatkan 70 projek dalam tempoh Rancangan. Projek tersebut
dilaksanakan oleh kerajaan negeri menerusi pinjaman daripada Kerajaan
Persekutuan yang kebanyakannya dibina di bandar kecil dan di kawasan
subbandar. Rumah tersebut dijual kepada pembeli yang layak dan
berdaftar melalui sistem pendaftaran terbuka berkomputer yang
dikendalikan oleh kerajaan negeri berkenaan. Bagi bandar raya dan
bandar utama, Program Perumahan Rakyat Bersepadu (PPRB) dilaksanakan
untuk menempatkan semula setinggan. Di bawah program ini, sebanyak
37,241 unit rumah kos rendah dibina dan disewa kepada golongan yang
layak. Daripada jumlah tersebut 24,654 unit rumah di Wilayah
Persekutuan Kuala Lumpur manakala 12,587 unit di bandar utama lain di
seluruh negara.
Perumahan Kos Sederhana Rendah
21.09
Bagi kategori perumahan kos sederhana rendah, sebanyak 83,910 unit
rumah siap dibina, iaitu 63.9 peratus daripada sasaran Rancangan.
Secara keseluruhan, pencapaian ini lebih baik berbanding dengan 20.7
peratus daripada sasaran dalam tempoh Rancangan terdahulu. Daripada
jumlah tersebut, sebanyak 61,084 unit rumah atau 72.8 peratus dibina
oleh sektor swasta. Peratusan ini menunjukkan pemaju perumahan swasta
memberikan reaksi positif dalam memenuhi permintaan rumah bagi kategori
ini dan seterusnya mengurangkan tekanan permintaan rumah kos rendah. Di
samping itu, SPNB telah membina sejumlah 3,898 rumah di bawah Program
Perumahan Mampu Milik.
Perumahan Kos Sederhana dan Kos Tinggi
21.10
Dalam tempoh Rancangan, jumlah rumah kos sederhana dan kos tinggi yang
dibina oleh sektor swasta jauh melebihi sasaran, menunjukkan permintaan
yang berterusan bagi rumah kategori ini. Sehubungan ini, sebanyak
222,023 unit rumah kos sederhana dan 274,973 unit rumah kos tinggi
telah dibina. Sektor awam telah membina 30,098 unit rumah kos sederhana
atau 64.4 peratus dan 22,510 unit rumah kos tinggi atau 112.6 peratus
daripada sasaran Rancangan. Sebahagian besar daripada rumah tersebut
dibina oleh perbadanan kerajaan seperti PKEN dan SPNB untuk dijual
kepada orang awam serta pembinaan oleh agensi kerajaan untuk digunakan
sebagai rumah kediaman anggota sektor awam.
Pembangunan Perumahan di Kawasan Luar Bandar
21.11
Pelbagai program terus dilaksanakan di kawasan luar bandar seperti
Program Perumahan Rakyat Miskin Tegar (PPRT) untuk golongan miskin
tegar dan Program Pembangunan Masyarakat Setempat (PPMS). Program ini
merupakan sebahagian daripada usaha untuk membasmi kemiskinan di
kalangan masyarakat luar bandar serta menyediakan rumah yang selesa
dengan kemudahan asas. Dalam tempoh Rancangan, sebanyak 9,536 unit
rumah baru untuk golongan miskin tegar dibina dan 13,037 unit rumah
dibaik pulih. Dalam usaha untuk menyediakan petempatan baru yang
dilengkapi dengan infrastruktur asas dan kemudahan awam, program
seperti Penyatuan Semula Kampung, Pusat Pertumbuhan Desa dan
Pembangunan Bersepadu Desa Terpencil dilaksanakan melibatkan 40 kampung
di seluruh negara dan memanfaatkan 6,000 keluarga.
Perumahan untuk Anggota Sektor Awam
21.12
Dalam tempoh Rancangan, sebanyak 43,620 unit atau 70.4 peratus daripada
sasaran dibina sebagai rumah kediaman anggota sektor awam terutamanya
yang berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera
Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kastam Diraja dan
Jabatan Imigresen serta yang bekerja di Wilayah Persekutuan Putrajaya.
Daripada jumlah tersebut sebanyak 9,286 unit dibina di Putrajaya. Rumah
kediaman juga disediakan bagi anggota sektor awam yang lain seperti
guru dan personel kesihatan yangTberkhidmat di luar bandar, kawasan
terpencil dan kawasan yang kurang kemudahan tempat tinggal yang sesuai.
Perkhidmatan Bandar
Perkhidmatan di Kawasan Pihak Berkuasa Tempatan
21.13
Pihak berkuasa tempatan (PBT) melaksanakan pelbagai aktiviti termasuk
yang dipertanggungjawabkan dan aktiviti sampingan dalam menyediakan
perkhidmatan kepada penduduk bandar. Aktiviti ini termasuk menyediakan
perkhidmatan pengurusan sisa pepejal serta membina dan menaik taraf
kemudahan awam seperti dewan orang ramai, pasar, premis perniagaan dan
kemudahan rekreasi.
21.14
Pengurusan Sisa Pepejal. Dalam tempoh Rancangan, pungutan dan pelupusan
sisa pepejal perbandaran dilaksanakan oleh syarikat konsesi, operator
atau PBT berkenaan. Dalam usaha untuk mengurangkan sisa pepejal yang
dihasilkan oleh orang awam, peningkatan kesedaran di kalangan orang
awam terhadap pentingnya pengitaran semula telah dilaksanakan melalui
kempen dan aktiviti kitar semula yang meluas oleh 97 PBT dengan
kerjasama sektor swasta dan badan bukan kerajaan (NGO). Sehubungan ini,
pelbagai program kitar semula dilaksanakan termasuk kempen kesedaran
orang ramai dan penyediaan pusat kitar semula terutamanya di kawasan
perumahan serta pusat membeli-belah.
21.15
Langkah juga diambil untuk membolehkan PBT melaksanakan amalan
pengurusan sisa pepejal yang bersistem serta meningkatkan tahap
kebersihan. Sehubungan ini, kemudahan pengurusan sisa pepejal moden
termasuk sebuah stesen pemindahan, sebuah loji rawatan terma dan tapak
pelupusan sanitari disediakan untuk PBT seperti yang ditunjukkan dalam
Jadual 21-2. Bantuan kewangan juga disediakan kepada PBT terutamanya
majlis daerah untuk menaik taraf kemudahan pelupusan, menjalankan
program kitar semula dan perolehan peralatan pengurusan sisa pepejal.
Sehubungan ini, sejumlah RM302 juta diagihkan kepada pelbagai PBT.
Jadual 21-2 : Kemudahan Pengurusan Sisa Pepejal, 2001-2005
21.16
Bagi memastikan pengurusan sisa pepejal yang bersepadu dan mampan,
Pelan Strategik Pengurusan Sisa Pepejal Kebangsaan (PSPSPK) diluluskan
pada tahun 2005. PSPSPK menggariskan pelbagai strategi termasuk amalan
pengurusan yang mampan menerusi pengurangan, penggunaan semula,
pengitaran semula, penggunaan teknologi, kemudahan dan peralatan yang
sesuai serta penyediaan standard perkhidmatan sisa pepejal. Bagi
meningkatkan sistem penyampaian, PSPSPK mencadangkan supaya pelan
tindakan disediakan dengan kerjasama masyarakat setempat, sektor swasta
dan NGO.
21.17
Program Landskap dan Rekreasi. Selaras dengan hasrat negara untuk
melaksanakan konsep bandar raya taman di pusat bandar, pelbagai projek
landskap dan taman rekreasi dilaksanakan oleh PBT dengan sokongan dan
bantuan daripada Jabatan Landskap Negara (JLN). Sehubungan ini, JLN
menyediakan bantuan kepada PBT dan kerajaan negeri dalam merancang
untuk mewujudkan jajaran hijau, mereka bentuk taman rekreasi dan taman
awam serta menghijaukan dan melandskapkan sungai, jalan raya dan
kemudahan awam. Di samping itu, sebanyak 30 pelan induk landskap
dibangunkan bagi menyediakan panduan pembangunan landskap yang sesuai
dengan tumpuan kepada kebersihan, keindahan dan persekitaran yang
selamat serta memastikan keseimbangan antara pembangunan fizikal dan
pemuliharaan sumber asli. Bagi memenuhi peningkatan permintaan terhadap
taman rekreasi dan kawasan lapang yang lebih baik oleh penduduk bandar,
sebanyak 17 taman awam baru dibina dan 256 taman awam sedia ada dinaik
taraf. Di samping itu, kempen menanam pokok di seluruh negara terus
dilaksanakan dalam tempoh Rancangan bagi meningkatkan kesedaran orang
awam tentang pentingnya pokok dalam persekitaran tempat tinggal.
21.18
Menaik Taraf Pihak Berkuasa Tempatan. Beberapa PBT telah merombak
struktur organisasi dan pentadbiran seiring dengan kemajuan perbandaran
yang pesat serta memenuhi permintaan yang semakin meningkat oleh
penduduk bandar yang berpendidikan dan berpengetahuan. Dalam tempoh
Rancangan, tiga majlis perbandaran dianugerahi taraf bandar raya iaitu
Majlis Perbandaran Kota Setar di Kedah, Majlis Perbandaran Melaka
Bandar Bersejarah di Melaka dan Majlis Perbandaran Miri di Sarawak. Di
samping itu, 16 majlis daerah dinaik taraf kepada majlis perbandaran
dengan liputan kawasan yang lebih luas, perancangan pembangunan yang
lebih teratur dan peningkatan sumber kewangan bagi memastikan
pembangunan yang lebih tersusun serta penyampaian perkhidmatan yang
berkualiti.
21.19
Pembangunan Teknologi Maklumat dan Komunikasi. Dalam tempoh Rancangan,
penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dipertingkatkan lagi
bagi meningkatkan keupayaan dan keberkesanan pentadbiran dan pengurusan
PBT. Dalam pelaksanaan Smart Local Government Governance Agenda
(SLGGA), usaha telah diambil untuk melengkapkan PBT dengan peralatan
komputer dan perisian yang sesuai. Laman web untuk 52 PBT dibangunkan
bagi membolehkan pelaksanaan aplikasi e-PBT yang melibatkan pelbagai
sistem seperti sistem hasil, pelesenan, pelaporan, perakaunan, aduan
dan sistem e-Penyerahan.
21.20
Local Agenda 21. Penyertaan masyarakat dalam aktiviti yang dijalankan
oleh PBT telah meningkat melalui program Local Agenda 21 yang
dilancarkan pada tahun 2000. Program yang memberikan tumpuan kepada
peningkatan pemahaman dan kerjasama antara masyarakat, PBT dan sektor
swasta dilaksanakan di 47 PBT. Daripada jumlah tersebut, 16 PBT telah
melancarkan pelan tindakan yang komprehensif berkaitan pembangunan
mampan meliputi aspek sosial, ekonomi dan alam sekitar.
21.21
Kemudahan dan Infrastruktur. PBT terus menggalakkan golongan
berpendapatan rendah untuk melibatkan diri dalam perniagaan kecil
dengan menyediakan kemudahan seperti pasar, pusat penjaja dan premis
perniagaan yang disewa kepada mereka yang layak. Usaha juga diambil
untuk meningkatkan infrastruktur termasuk menambah baik dan menaik
taraf jalan raya, sistem pengangkutan awam bagi mengatasi kesesakkan
lalu lintas dan menyediakan sistem saliran yang lebih baik untuk
mengelakkan banjir kilat. Bagi memastikan keselamatan masyarakat
bandar, konsep Bandar Raya Selamat diperkenalkan pada tahun 2004. Di
bawah konsep tersebut, PBT digalakkan untuk meningkatkan penyediaan
lampu jalan, laluan dan lorong pejalan kaki serta bekerjasama dengan
pihak polis untuk menggalakkan, membangunkan dan melaksanakan inisiatif
pencegahan jenayah di kawasan bandar.
Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat
21.22
Langkah terus diambil untuk menyediakan perkhidmatan bomba dan
penyelamat yang berkualiti dan profesional setanding dengan amalan dan
standard antarabangsa. Sehubungan ini, Jabatan Bomba dan Penyelamat
mengambil pelbagai langkah untuk melengkapkan dan meningkatkan
anggotanya dengan kemahiran dan peralatan yang sesuai, sistem
komunikasi yang canggih serta meningkatkan kesedaran orang ramai
mengenai keselamatan bomba. Dalam tempoh Rancangan, Jabatan Bomba dan
Penyelamat telah menjalankan sebanyak 195,070 usaha memadam dan
menyelamat dengan anggaran nilai aset dan barangan yang diselamatkan
sebanyak RM47.7 bilion.
21.23
Bagi menyediakan perkhidmatan bomba dan penyelamat yang lebih berkesan,
sebanyak 73 balai bomba baru telah dibina di pelbagai lokasi yang
strategik terutamanya di kawasan perumahan, perniagaan dan
perindustrian. Di samping itu lima kompleks ibu pejabat negeri dan dua
bengkel wilayah dibina untuk memperkukuh dan meningkatkan perkhidmatan
bomba dan penyelamat. Kecekapan perkhidmatan bomba dan penyelamat
dipertingkatkan lagi dengan pembelian sebanyak 146 kenderaan pemadam
kebakaran, 20 kenderaan bantuan dan 595 kenderaan pelbagai guna.
Pembelian ini termasuk kenderaan memadam kebakaran yang canggih dan
khusus untuk operasi menyelamat yang berisiko tinggi seperti kebakaran
di bangunan tinggi, maritim dan pengendalian bahan berbahaya. Sebanyak
dua helikopter dan lima bot tambahan juga dibeli dalam tempoh Rancangan
untuk tujuan pengawasan dan operasi menyelamat.
III : PROSPEK 2006-2010
21.24
Dalam tempoh RMKe-9, pembangunan sektor perumahan akan terus memberikan
tumpuan kepada penyediaan rumah yang mencukupi, berkualiti dan mampu
untuk dibeli atau disewa oleh semua rakyat. Sehubungan ini, sektor
swasta akan bertindak sebagai peneraju manakala sektor awam akan
memberi sokongan melalui penyediaan peraturan yang sesuai untuk
menjamin kecekapan. Bagi memenuhi keperluan golongan berpendapatan
rendah, penekanan akan terus diberikan kepada pembangunan rumah kos
rendah dan kos sederhana rendah di kawasan yang sesuai, lengkap dengan
kemudahan awam yang mencukupi. Bagi meningkatkan kualiti hidup penduduk
bandar, penyediaan perkhidmatan bandar akan memberikan tumpuan kepada
usaha meluaskan skop perkhidmatan, mewujudkan persekitaran tempat
tinggal yang selamat, meningkatkan penyertaan masyarakat serta
memastikan perancangan dan pembangunan PBT yang mampan.
21.25 Teras strategik pembangunan perumahan dan perkhidmatan bandar dalam tempoh Rancangan adalah seperti berikut:
a) menyediakan rumah yang mencukupi,
berkualiti dan mampu dibeli atau disewa terutamanya untuk memenuhi
keperluan golongan berpendapatan rendah dengan memberi penekanan lebih
kepada kesesuaian lokasi dan persekitaran tempat tinggal yang kondusif;
b) mengkaji semula undang-undang dan peraturan ke arah memastikan pembangunan sektor perumahan yang lebih teratur;
c) menggalakkan penyertaan sektor swasta dalam pembinaan rumah kos rendah dan kos sederhana rendah;
d) meningkatkan keberkesanan dan keupayaan PBT;
e) memastikan penyediaan perkhidmatan bandar yang berkualiti; dan
f) menggalakkan penyertaan masyarakat yang lebih meluas dalam pembangunan bandar.
Perumahan
21.26
Dalam tempoh Rancangan, keperluan rumah baru dianggarkan berjumlah
709,400 unit dengan 19.2 peratus di Negeri Selangor, diikuti Johor 12.9
peratus, Sarawak 9.4 peratus dan Perak 8.2 peratus, seperti ditunjukkan
dalam Jadual 21-3. Daripada keseluruhan keperluan tersebut, 92.8
peratus adalah rumah baru manakala 7.2 peratus rumah gantian. Sektor
swasta dijangka membina 72.1 peratus daripada keperluan keseluruhan,
seperti ditunjukkan dalam Jadual 21-4. Dari segi kategori perumahan,
sebanyak 38.2 peratus adalah kombinasi rumah kos rendah dan kos
sederhana rendah serta rumah untuk golongan miskin manakala 61.8
peratus untuk kategori rumah kos sederhana dan kos tinggi.
21.27
Dalam tempoh Rancangan, Kerajaan akan terus menyediakan rumah kos
rendah di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) bagi memastikan rumah
yang mencukupi untuk golongan berpendapatan rendah. Sehubungan ini,
usaha akan diambil untuk mempercepat penyiapan projek yang sedang dalam
pembinaan melibatkan 24,757 unit rumah. Di samping itu, sebanyak 43,800
unit rumah kos rendah untuk disewa dan dijual akan dibina bagi memenuhi
permintaan oleh golongan berpendapatan rendah yang dijangka meningkat.
Sehubungan ini, Jabatan Perumahan Negara akan bekerjasama dengan
kerajaan negeri bagi memastikan rumah tersebut dibina di kawasan sesuai
dan dilengkapi dengan kemudahan awam.
Jadual 21-3 : Keperluan Perumahan Mengikut Negeri, 2006-2010
Jadual 21-4 : Sasaran Perumahan Sektor Awam & Swasta, 2006-2010
21.28
Bagi membantu usaha Kerajaan, SPNB akan membina sebanyak 26,120 unit
rumah kos rendah dan kos sederhana rendah di kawasan bandar dan
subbandar dalam tempoh Rancangan. Sebanyak 3,050 unit rumah kos rendah
akan dibina di kawasan luar bandar di bawah Program Perumahan Mesra
Rakyat. SPNB juga dijangka membaik pulih 11,000 unit rumah terbengkalai
daripada pelbagai projek perumahan di seluruh negara serta membina 166
rumah di Kedah dan 900 rumah di Pulau Pinang untuk penempatan semula
mangsa tsunami.
21.29
Penglibatan sektor swasta yang lebih banyak dalam pembinaan rumah kos
rendah akan digalakkan untuk memastikan penawaran rumah mampu milik
adalah mencukupi bagi memenuhi keperluan golongan berpendapatan rendah.
Bagi membantu usaha tersebut, dasar dan strategi serta perundangan
semasa akan dikaji semula. Usaha ini termasuk mensyaratkan kepada
pemaju swasta menyerahkan tanah yang disediakan untuk pembinaan rumah
kos rendah dalam projek pembangunan bercampur kepada Kerajaan jika
projek tersebut gagal dilaksanakan. Dalam tempoh Rancangan, sasaran
pembinaan rumah kos rendah oleh sektor swasta ialah sebanyak 80,400
unit.
21.30
Bagi menggalakkan pemaju perumahan memperbanyakkan pembinaan rumah kos
sederhana rendah dalam komponen projek pembangunan bercampur, syarat
kuota 30 peratus rumah kos rendah akan dikaji semula terutamanya bagi
kawasan yang kurang permintaan terhadap rumah kos rendah. Garis panduan
khusus yang memperincikan spesifikasi, reka bentuk serta harga rumah
kos sederhana rendah akan disediakan. Langkah ini akan membantu pemaju
perumahan dalam menyediakan pelan pembangunan mereka, mempercepatkan
proses kelulusan oleh PBT serta memastikan rumah tersebut memenuhi
standard yang ditetapkan dan mampu untuk dibeli atau disewa oleh
kumpulan sasar. Sejumlah 48,500 rumah kos sederhana rendah disasarkan
untuk dibina oleh sektor swasta.
21.31
Langkah akan diambil untuk menambah baik sistem pendaftaran dan
pengagihan rumah kos rendah bagi memastikan pembahagian yang lebih
teratur dan mengelakkan golongan sasar daripada tidak memperoleh
peluang untuk membeli rumah tersebut. Maklumat daripada pangkalan data
tersebut akan dikemas kini secara berkala dan kriteria pemilihan
pembeli yang layak akan dikaji dan diseragamkan antara semua negeri.
Selain daripada tahap pendapatan, keutamaan juga akan diberi kepada
golongan kurang mendapat faedah seperti ibu tunggal, keluarga yang
mempunyai tanggungan yang ramai dan juga golongan kurang upaya. Sistem
pangkalan data berpusat sedia ada di KPKT akan dipertingkatkan dan
disepadukan dengan pangkalan data yang dikendalikan oleh kerajaan
negeri untuk memudahkan pemilihan dan pengagihan rumah kos rendah
secara lebih bersistem dan telus.
21.32
Langkah juga akan diambil untuk memastikan semua rumah pangsa
terutamanya kategori rumah kos rendah dan kos sederhana rendah
disenggarakan dengan baik. Sehubungan itu, Jabatan Perumahan Negara
dengan kerjasama PBT berkenaan akan menjalankan aktiviti untuk
meningkatkan kesedaran di kalangan penghuni tentang tanggungjawab
terhadap kebersihan dan penyenggaraan premis mereka. Usaha juga diambil
untuk menggalakkan penghuni melantik syarikat pengurusan untuk
perkhidmatan penyenggaraan bangunan dan keselamatan.
21.33
Pembangunan Perumahan di Kawasan Luar Bandar. Usaha akan terus diambil
untuk menyediakan kemudahan awam kepada penduduk luar bandar.
Sehubungan ini, pelaksanaan program perumahan untuk golongan
berpendapatan rendah dan miskin tegar di kawasan luar bandar akan
dikaji semula terutamanya untuk memastikan keberkesanannya. Peruntukan
sebanyak RM233.1 juta akan disediakan untuk pembinaan rumah untuk
golongan miskin tegar termasuk membaik pulih kira-kira 14,000 rumah
usang. Di samping itu, projek pembangunan di bawah program Penyusunan
Semula Kampung dan Pembangunan Bersepadu Desa Terpencil akan dipergiat.
21.34
Perumahan untuk Anggota Sektor Awam. Kerajaan akan terus menyediakan
rumah kepada anggota sektor awam terutamanya mereka yang berkhidmat
dalam perkhidmatan penting dan di kawasan yang kurang kemudahan tempat
tinggal yang sesuai. Dalam tempoh Rancangan, sebanyak 48,400 unit
perumahan kerajaan dan kediaman pekerja terutamanya untuk anggota
beruniform, perkhidmatan perubatan dan guru akan dibina di seluruh
negara termasuk Putrajaya. Rumah tersebut akan disediakan di bandar
utama, kawasan sempadan serta kawasan pedalaman di Semenanjung
Malaysia, Sabah dan Sarawak.
21.35
Perumahan untuk Pekerja Ladang dan Industri. Kerajaan akan memastikan
pemilik ladang menyediakan rumah atau tempat tinggal dan kemudahan yang
mencukupi kepada pekerja mereka seperti diperuntukkan di bawah Akta
Standard-standard Minimum dan Kemudahan Pekerja, 1990. Majikan dalam
sektor perindustrian juga digalakkan supaya menyediakan kemudahan
tempat tinggal dan kemudahan yang sesuai kepada pekerja mereka.
Pemantauan dan pemeriksaan berkala akan dijalankan oleh agensi
berkaitan bagi memastikan pemilik ladang dan majikan sektor industri
mematuhi keperluan tersebut.
21.36
Teknologi Perumahan, Penyelidikan dan Pembangunan. Usaha akan terus
diambil untuk menggalakkan pembangunan dan penyelidikan (R&D) dalam
aktiviti yang berkaitan dengan industri pembinaan termasuk perumahan.
Dalam tempoh Rancangan, usaha akan ditingkatkan lagi bagi menggalakkan
penggunaan bahan binaan dan teknologi alternatif di bawah sistem
bangunan berindustri (IBS) dan reka bentuk berpandukan konsep
koordinasi bermodul dalam pembinaan rumah. Teknologi ini akan
mengurangkan penggunaan tenaga kerja, meningkatkan produktiviti dan
kualiti rumah di samping menghasilkan persekitaran tempat kerja yang
lebih selamat dan bersih.
21.37
Pelaksanaan IBS dalam tempoh Rancangan akan berpandukan kepada satu
rangka kerja strategik pelaksanaan, antara lain, termasuk penggunaan
komponen IBS dalam pembinaan rumah mampu milik dan projek bangunan
Kerajaan serta penguatkuasaan penggunaan konsep koordinasi bermodul
melalui Undang-undang Kecil Bangunan Seragam oleh PBT. Kerajaan akan
menyediakan insentif seperti kelulusan pelan pembangunan secara green
lane dan pengecualian levi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan
(CIDB) kepada pengguna pelan standard yang direka bentuk berpandukan
komponen koordinasi bermodul dan komponen bangunan standard. Di samping
itu, tumpuan akan diberikan kepada R&D yang berkaitan dengan
perkhidmatan bangunan mampan dan teknologi yang mesra alam berpandukan
kepada konsep 3P (pengurangan, penggunaan dan pengitaran semula)
seperti mengitar semula air sisa dan kecekapan tenaga.
Perkhidmatan Bandar
Perkhidmatan di Kawasan Pihak Berkuasa Tempatan
21.38
Bagi meningkatkan lagi keberkesanan dan kualiti perkhidmatan bandar,
Dasar Perbandaran Nasional akan digubal. Dasar tersebut akan
menggariskan strategi ke arah mewujudkan bandar raya dan bandar yang
selamat, bersistem, moden dan menarik.
21.39
Langkah juga akan diambil untuk memastikan pelaksanaan projek
pembangunan di peringkat negeri, PBT dan daerah berasaskan kepada
rancangan struktur dan rancangan tempatan yang telah diluluskan. Usaha
ini termasuk pematuhan yang lebih ketat oleh pemaju akan syarat
rancangan yang berfungsi sebagai alat perancangan penggunaan tanah dan
pengagihan sumber. Pembangunan kampung tradisional dan kampung tersusun
di kawasan bandar akan berpandukan kepada model kampung yang
dibangunkan oleh Jabatan Perancang Bandar dan Desa.
21.40
Langkah akan diambil untuk meningkatkan lagi keupayaan dan kemampuan
pengurusan PBT dengan meningkatkan bina upaya dan mengkaji semula
sistem dan prosedur yang berkaitan. Sehubungan ini, usaha akan terus
diambil untuk membangunkan modal insan dan meningkatkan kesedaran di
kalangan pekerja mengenai peranan dan tanggungjawab mereka dalam
memberi perkhidmatan kepada orang awam. Satu mekanisme pemantauan juga
akan diwujudkan oleh KPKT bagi memastikan keputusan yang dibuat di
peringkat Majlis Negara Kerajaan Tempatan dilaksanakan oleh kerajaan
negeri dan PBT.
21.41
Bagi meningkatkan kutipan hasil dan kemampuan kewangan PBT, nilai aset
pegangan dan kadar taksiran akan dikaji semula seperti yang
diperuntukkan di bawah Akta 171. Tumpuan yang lebih akan diberikan
kepada PBT yang tidak mengkaji semula kadar taksiran melebihi 10 tahun.
Di samping itu, formula pemberian geran tahunan yang disediakan oleh
Kerajaan Persekutuan kepada PBT di bawah Geran Tahunan Berasaskan Kadar
Keseimbangan akan dikaji semula bagi memastikan PBT, terutamanya majlis
daerah diberi bantuan kewangan yang sewajarnya. Bagi meningkatkan lagi
kutipan hasil, PBT akan digalak untuk mempelbagaikan kaedah kutipan
termasuk melaksanakan sistem pembayaran dalam talian serta memberikan
diskaun kepada bayaran awal. Di samping itu, PBT juga akan digalak
supaya memperkenalkan langkah yang lebih inovatif bagi meningkatkan
hasil dan mengurangkan kebergantungan pada bantuan kewangan Kerajaan
serta ke arah mengamalkan sumber pembiayaan sendiri dalam jangka
panjang. Usaha juga akan diambil untuk memperluas pelaksanaan SLGGA
kepada lebih banyak PBT terutamanya bagi yang berstatus bandar raya dan
majlis perbandaran.
21.42
Program Local Agenda 21 akan diperluas kepada semua PBT berdasarkan
kepada pencapaian 47 PBT dalam tempoh Rancangan terdahulu. Bagi
memudahkan penyertaan masyarakat setempat dalam program tersebut, lebih
banyak pusat komuniti yang diuruskan oleh persatuan penduduk akan
ditubuhkan. Pusat komuniti ini akan menjadi titik fokus untuk aktiviti
sosial dan penyebaran maklumat seperti maklumat mengenai peluang
pekerjaan, pendidikan dan latihan. Bagi meningkatkan kebolehcapaian
masyarakat kepada aktiviti berasaskan ICT, kemudahan pembelajaran
komputer akan disediakan di pusat komuniti.
21.43
Dalam usaha ke arah menjadikan masyarakat setempat yang lebih
bertangunggjawab terhadap penyenggaraan persekitaran, penduduk
setempat, sektor swasta dan NGO digalakkan terlibat dalam aktiviti
gotong-royong, melaksanakan aktiviti kitar semula sisa pepejal, kempen
dan program pendidikan untuk mewujudkan persekitaran tempat tinggal
yang bersih, selesa dan selamat. Insentif dalam bentuk anugerah dan
peruntukan khas akan disediakan kepada PBT yang mampu mencapai dan
mengekalkan tahap penyertaan seperti yang dikehendaki.
21.44
Program pembangunan dan projek di kawasan kampung baru akan
dilaksanakan berpandukan pelan induk yang baru diwujudkan. Langkah ini
termasuk menambah baik kemudahan infrastruktur asas dan kemudahan
sosial serta penyertaan sektor swasta yang lebih besar dalam
pembangunan perusahaan kecil dan sederhana serta pelancongan. Bagi
membantu pembangunan kampung tradisional dalam kawasan PBT, satu pelan
induk khusus akan diwujudkan. Sehubungan ini, peruntukan sebanyak RM400
juta akan disediakan bagi melaksanakan projek di kampung tradisional
dan kampung baru.
21.45
Pengurusan Sisa Pepejal dan Kebersihan. Pengurusan sisa pepejal dalam
tempoh Rancangan akan berpandukan Pelan Strategik Pengurusan Sisa
Pepejal Kebangsaan (PSPSPK). PSPSPK akan menggariskan dasar, strategi
dan pelan tindakan yang akan menjadi panduan kepada semua pihak
berkepentingan dalam merancang dan memperuntukkan sumber. Bagi
memudahkan pelaksanaan PSPSPK, langkah akan diambil untuk mengkaji
semula institusi, perundangan dan peraturan berkaitan dengan pengurusan
sisa pepejal sedia ada serta menambah baik kemudahan infrastruktur.
Hierarki pengurusan sisa pepejal di bawah PSPSPK akan memberikan
keutamaan kepada kaedah pengurangan, penggunaan dan perolehan semula
serta pemilihan teknologi dan kemudahan yang akan disediakan. Pembinaan
kemudahan yang kecil dan mudah urus akan diberi keutamaan. Sebuah
entiti baru iaitu Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal akan ditubuhkan di
bawah KPKT untuk melaksanakan penggubalan dasar, merancang dan mengurus
sisa pepejal termasuk hal yang berkaitan dengan kewangan.
21.46
Bagi memastikan respons dan penyertaan orang ramai dalam program dan
projek pembangunan serta aktiviti berkaitan dengan sisa pepejal yang
dijalankan oleh Kerajaan, kempen kesedaran awam akan diperhebatkan.
Kempen tersebut akan memberikan tumpuan ke arah mendidik orang awam
tentang keperluan mengadakan kemudahan pengurusan sisa pepejal yang
betul, kos yang berkaitan dengan penyediaan perkhidmatan dan peranan
masyarakat dalam program kitar semula. Pelan induk kitar semula di
peringkat kebangsaan akan diwujudkan bagi memperkukuh keupayaan dan
kemampuan agensi berkaitan serta mewujudkan masyarakat yang komited ke
arah mengurangkan sisa pepejal dan mencapai sasaran kitar semula
sebanyak 22 peratus menjelang tahun 2020.
21.47
Program Landskap dan Rekreasi. Selaras dengan aspirasi untuk menjadikan
Malaysia negara maju, bersih dan negara taman yang menarik, usaha akan
terus diambil ke arah pembangunan landskap yang berkualiti. Dasar
landskap negara yang komprehensif yang disokong dengan peraturan
berkaitan akan digubal untuk memacu pelaksanaan program. Sehubungan
ini, JLN akan memastikan perancangan untuk taman awam baru berpandukan
kepada standard kawasan lapang dan kemudahan rekreasi serta selaras
dengan pelan induk landskap di peringkat negeri. Taman awam dan kawasan
landskap akan direka bentuk bagi memastikan mudah disenggara, mampan,
menarik dan mudah digunakan oleh orang awam, termasuk warga tua dan
orang kurang upaya. Di samping itu, R&D mengenai landskap dan
perancangan taman akan dipertingkatkan bagi memastikan kemajuan
pembangunan landskap. PBT akan terus mengambil langkah untuk
menggalakkan perkongsian pintar antara sektor swasta dan NGO untuk
menaik taraf dan menyenggara taman awam. Langkah ini termasuk
menyediakan peralatan taman permainan, membina litar kecergasan dan
gazebo serta menyenggara laluan pejalan kaki.
Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat
21.48
Usaha akan terus diambil untuk menambah baik dan meningkatkan kualiti
perkhidmatan bomba dan penyelamat bagi memenuhi keperluan keselamatan
bomba dan standard antarabangsa. Dalam tempoh Rancangan, penekanan akan
diberikan kepada membina balai bomba dan pengkalan operasi serta
pembelian peralatan memadam kebakaran dan menyelamat yang lebih
komprehensif. Bagi meningkatkan lagi profesionalisme dan kemahiran
anggota bomba dalam memadam dan menyelamat, Akademi Bomba dan
Penyelamat di Wakaf Tapai di Terengganu akan diperbesar untuk
meningkatkan kapasiti latihan yang dilengkapkan dengan teknologi bomba
dan penyelamat terkini. Di samping itu, pusat R&D yang menjalankan
R&D keselamatan dan kejuruteraan bomba akan ditubuhkan dalam tempoh
Rancangan.
21.49
Kempen mencegah kebakaran akan terus dilaksanakan untuk mempertingkat
lagi kesedaran awam tentang kepentingan mengambil langkah pencegahan
kebakaran. Langkah akan diambil untuk menyebarkan maklumat mengenai
pencegahan dan perlindungan kebakaran melalui media massa dan bahan
bercetak. Jabatan Bomba dan Penyelamat akan menjalankan pameran dan
sesi latihan menggunakan kenderaan pameran bergerak. Bagi menggalakkan
penyertaan orang awam dalam aktiviti yang dijalankan oleh Jabatan Bomba
dan Penyelamat, lebih banyak briged sukarelawan bomba dan penyelamat
akan diwujudkan, terutamanya di kawasan subbandar dan kawasan perumahan.
IV : INSTUTUSI PELAKSANA DAN PERUNTUKAN
21.50
Dalam tempoh Rancangan, KPKT akan memainkan peranan utama dalam
melaksanakan program perumahan kos rendah dan menyediakan perkhidmatan
bandar termasuk perkhidmatan bomba dan penyelamat manakala Kementerian
Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah akan menjadi agensi utama bagi
perumahan luar bandar. Penyediaan perumahan kerajaan dan kediaman
anggota sektor awam pula akan dikendalikan oleh pelbagai agensi
kerajaan yang berkaitan. Peruntukan sebanyak RM18.4 bilion bagi
pembangunan perumahan dan perkhidmatan bandar akan disediakan seperti
ditunjukkan dalam Jadual 21-5. Bagi program perumahan sektor awam,
peruntukan sebanyak RM9.5 bilion akan disediakan dan daripada jumlah
tersebut RM6.8 bilion untuk pembangunan perumahan kerajaan dan kediaman
anggota sektor awam manakala bakinya bagi rumah kos rendah dan rumah
untuk golongan miskin tegar. Di samping itu, sebanyak RM9.0 bilion akan
diperuntukkan bagi perkhidmatan bandar termasuk RM1.5 bilion untuk
perkhidmatan bomba dan penyelamat.
Jadual 21-5 : Perbelanjaan & Peruntukan Pembangunan Untuk Perumahan dan Perkhidmatan Bandar, 2001-2010 (RM Juta)
V : PENUTUP
21.51 Dalam tempoh RMKe-8, prestasi program perumahan secara keseluruhannya meningkat melepasi sasaran Rancangan. Pelaksanaan perumahan dan program perkhidmatan bandar telah menyumbang kepada peningkatan kualiti dan taraf hidup penduduk bandar dan luar bandar. Dalam tempoh RMKe-9, keutamaan akan terus diberikan kepada penyediaan rumah yang mencukupi, berkualiti dan mampu dibeli atau disewa untuk semua rakyat daripada pelbagai peringkat pendapatan dengan memberikan penekanan kepada golongan berpendapatan rendah. Usaha akan diambil untuk meningkatkan liputan dan kualiti perkhidmatan bandar oleh PBT dan menggalakkan penyertaan masyarakat setempat dan sektor swasta yang lebih besar dalam pengurusan persekitaran tempat tinggal. Bagi memastikan penyediaan perkhidmatan memadam kebakaran dan menyelamat yang lebih baik, usaha meningkatkan keupayaan anggota bomba melalui pengetahuan dan kemahiran dalam aspek keselamatan dan kejuruteraan bomba akan ditingkatkan.
Di pos oleh Arbain Muhayat pada 20 December 2008