BAB 20 : MENINGKATKAN TARAF KESIHATAN Pt 2
Teknologi Maklumat dan Komunikasi
20.73
Dalam tempoh Rancangan, sistem maklumat seluruh negara akan diperkenal
untuk merangkaikan kemudahan awam dan swasta bagi membolehkan maklumat
yang tepat pada masa, berkualiti dan andal. Sehubungan ini, Pusat
Maklumat Kesihatan Negara akan ditubuh bagi memastikan semua maklumat
kesihatan dan berkaitan kesihatan diproses secara berpusat. Keutamaan
juga akan diberi untuk melaksana perkhidmatan Telekesihatan yang akan
membolehkan maklumat saling beroperasi dan dikongsi melalui
perkhidmatan Rekod Kesihatan Sepanjang Hayat (LHR) dan Pelan Kesihatan
Sepanjang Hayat (LHP). Kemudahan LHR membantu integrasi di kalangan
penyedia perkhidmatan kesihatan dan membolehkan penyediaan penjagaan
tanpa sempadan dan berterusan. Sementara itu, LHP akan menyediakan
maklumat berkaitan pelbagai kejadian yang dijangka dalam kehidupan
individu termasuk pencegahan dan pengurusan penyakit. LHR dan LHP akan
dilaksanakan sebagai projek perintis di Seberang Perai, Pulau Pinang.
20.74
Perkhidmatan teleperundingan akan diperluaskan bagi membolehkan
penyediaan perkhidmatan pakar kepada penduduk luar bandar terutamanya
di Sabah dan Sarawak dan seterusnya menyumbang kepada mengoptimum
sumber dan menyediakan penjagaan yang lebih berkualiti. Penggunaan ICT
dalam penyampaian perkhidmatan penjagaan primer akan diperluas dengan
penambahan liputan projek penjagaan teleprimer kepada lebih banyak
daerah. Sistem maklumat menyeluruh akan diperkenal bagi merangkai
kemudahan awam dan swasta dan seterusnya membolehkan pemindahan
maklumat pesakit antara penyedia perkhidmatan kesihatan bila mana dan
di mana perlu bagi membolehkan penyediaan penjagaan kesihatan tanpa
sempadan dan berterusan. Pelaksanaan sistem maklumat hospital (HIS) di
hospital terpilih akan menambah baik lagi penyampaian penjagaan
kesihatan dengan menyedia maklumat pesakit yang tepat dan lengkap dalam
talian. Pelaksanaan HIS akan dilakukan secara berfasa dan akan
merangkumi semua hospital dan klinik. SURAT
20.75
Pengawasan kesihatan penduduk akan diperkukuh lagi melalui
penambahbaikan dan menaik taraf sistem maklumat sedia ada bagi pelbagai
program seperti pengawasan penyakit serta pengawalan kualiti makanan
dan air. Di samping itu, daftar kebangsaan bagi penyakit khusus seperti
HIV/AIDS, kencing manis dan penyakit mental akan diperkukuh ke arah
menyedia liputan yang lebih komprehensif. Maklumat daripada daftar
tersebut akan menyumbang ke arah pembentukan program yang berkesan dan
lebih baik serta meningkatkan penyelidikan dalam bidang tersebut.
Tadbir Urus
20.76
Dalam tempoh Rancangan, tadbir urus yang baik melalui pengawalan
teratur ke atas personel, kemudahan, produk dan peralatan penjagaan
kesihatan akan memastikan penyediaan penjagaan kesihatan berkualiti dan
mampu diperoleh. Sinergi yang lebih luas akan dicapai melalui
pengharmonian inisiatif penambahbaikan kualiti yang akan menyumbang ke
arah penerapan budaya berkualiti dan profesionalisme di kalangan
personel kesihatan di semua peringkat. Lebih banyak hospital digalak
untuk memperkenalkan langkah supaya layak memperoleh Pensijilan
Akreditasi Hospital. Penekanan juga akan diberi bagi meningkat kualiti
penjagaan soft component termasuk menambah baik respons kepada
keperluan dan harapan pesakit serta memastikan kecekapan dan kebolehan
personel. Petunjuk antarabangsa berasaskan bukti dan langkah menambah
baik kualiti akan diguna sebagai penanda aras dalam penentuan kualiti
perkhidmatan. Bagi perancangan yang lebih berkesan dan peruntukan
sumber yang cekap, usaha akan diambil bagi memastikan pengumpulan
maklumat tahunan Akaun Kesihatan Kebangsaan untuk menyedia maklumat
mengenai tahap dan arah aliran sumber kewangan yang ada dalam sektor
kesihatan.
20.77
Pelaksanaan mekanisme pembiayaan kesihatan akan meningkat lagi akses
dan kesaksamaan melalui penyediaan liputan perkhidmatan kesihatan yang
berkualiti tinggi, cekap, bersepadu dan komprehensif kepada penduduk.
Dengan demikian, mekanisme tersebut akan menggalakkan fleksibiliti dan
kebebasan yang lebih dalam membuat pilihan untuk mendapatkan penjagaan
kesihatan daripada kedua-dua sektor swasta dan awam. Di samping itu,
Kerajaan akan terus memastikan agar tiada sesiapa pun dinafikan akses
kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan.
20.78
Perundangan kesihatan baru dan sedia ada akan diperkenal dan disemak
semula bagi mengawal selia dan memantau sektor kesihatan. Akta
Peralatan Perubatan akan digubal bagi mengawal selia dan memastikan
peralatan yang digunakan adalah berkualiti tinggi, sesuai dan selamat.
Di samping itu, pendaftaran wajib salun kecantikan dan kosmetik akan
dilaksana untuk melindungi kepentingan pengguna. Penilaian teknologi
kesihatan akan terus dijalan sebelum pengenalan perkhidmatan dan
teknologi baru seperti saringan untuk dan diagnosis awal ke atas
penyakit tertentu, rawatan dan tindakan. Akta Perubatan Tradisional dan
Komplementari akan digubal bagi memastikan amalan yang selamat oleh
pengamal T/CM. Pada masa yang sama, program kesedaran dan pendidikan
orang awam akan dijalankan bagi memaklumkan pengguna mengenai amalan
T/CM yang selamat. Bagi memastikan pematuhan kepada prinsip dan piawai
etika penyelidikan bioperubatan dan klinikal terutamanya dalam
melindungi maruah, keselamatan dan kesejahteraan pesakit, Lembaga Etika
Kebangsaan akan ditubuhkan dalam tempoh Rancangan.
IV : INSTUTUSI PELAKSANA DAN PERUNTUKAN
20.79
Kementerian Kesihatan Malaysia akan terus menjadi agensi dan penyedia
utama dalam perkhidmatan penjagaan kesihatan dalam negara. Penyediaan
perkhidmatan kesihatan akan dilaksana dengan kerjasama kementerian dan
agensi lain yang berkaitan serta sektor swasta dan NGO. Dalam tempoh
RMKe-9, sejumlah RM10.28 bilion akan diperuntukkan bagi pembangunan
sektor kesihatan, seperti yang ditunjukkan dalam Jadual 20-7.
Sebahagian besar daripada peruntukan ini akan disediakan bagi
pelaksanaan program kesihatan awam termasuk penggalakan kesihatan dan
pencegahan penyakit serta peningkatan pembangunan sumber manusia. Usaha
R&D serta menaik taraf dan mengubahsuai kemudahan penjagaan
kesihatan sedia ada akan juga diberi penekanan.
Jadual 20-7 : Perbelanjaan & Peruntukan Pembangunan Bagi Perkhidmatan Kesihatan, 2001-2010
V : PENUTUP
20.80 Dalam tempoh RMKe-8, penekanan diberi bagi meningkatkan lagi kualiti hidup. Keutamaan diberi bagi menambah dan menaik taraf kemudahan kesihatan serta memperluas skop penjagaan kesihatan. Dalam tempoh RMKe-9, usaha akan dilaksana bagi memperkukuh perkhidmatan penjagaan kesihatan, meningkat pembangunan sumber manusia dan mengoptimum penggunaan sumber. Penambahbaikan dalam sistem penyampaian akan dilaksana dengan penglibatan yang lebih meluas daripada sektor swasta dan NGO. Di samping usaha yang akan dilaksanakan bagi melindungi penduduk daripada penyakit berjangkit dan tidak berjangkit, tanggungjawab dan kerjasama individu, keluarga dan komuniti dalam pencegahan dan pengawalan penyakit serta pengamalan gaya hidup sihat adalah penting ke arah mencapai kesihatan dan kesejahteraan yang lebih baik.
Di pos oleh Arbain Muhayat pada 20 December 2008