BAB 20 : MENINGKATKAN TARAF KESIHATAN
I : PENDAHULUAN
20.01
Dalam tempoh Rancangan Malaysia Kelapan (RMKe-8), keutamaan yang tinggi
telah diberikan untuk melindungi dan menambah baik kesihatan individu,
keluarga dan masyarakat. Sehubungan ini, usaha telah diambil bagi
meningkatkan sistem penyampaian dan menambah baik skop dan kualiti
penjagaan kesihatan. Penekanan telah diberikan bagi mengintegrasi
perkhidmatan penjagaan kesihatan melalui kerjasama yang lebih baik
antara sektor awam dengan swasta serta badan bukan kerajaan (NGO).
20.02
Bagi memanfaatkan pelaburan yang lepas dalam mewujudkan sistem
kesihatan yang bersepadu dan komprehensif, tempoh Rancangan Malaysia
Kesembilan (RMKe-9) akan menumpu usaha mencapai taraf kesihatan yang
lebih baik melalui penggabungan perkhidmatan kesihatan. Bagi tujuan
ini, perubahan akan dilaksanakan daripada tumpuan tradisional terhadap
penyedia kesihatan, kemudahan dan penyakit kepada memperkasakan
pengguna, penggalakan kesihatan, kesejahteraan sepanjang hayat serta
pencegahan dan kawalan penyakit. Penyampaian penjagaan kesihatan akan
terus ditambah baik melalui integrasi yang lebih kukuh, peningkatan
kualiti perkhidmatan dan mengoptimumkan penggunaan sumber.
II : KEMAJUAN 2001-2005
20.03
Dalam tempoh Rancangan, objektif keseluruhan untuk menambah baik taraf
kesihatan penduduk diteruskan melalui peningkatan integrasi dan
perkongsian pintar di kalangan penyedia penjagaan kesihatan. Kemudahan
kesihatan dan skop perkhidmatan telah diperluas untuk meningkatkan
akses, kemampuan memperoleh dan kesaksamaan. Pelbagai program kesihatan
telah dilaksanakan sejajar dengan perubahan epidemiologi dan demografi
serta peningkatan harapan rakyat.
Perkhidmatan Kesihatan Awam
20.04
Program perkhidmatan kesihatan awam diteruskan dengan menumpu kepada
pencegahan dan kawalan penyakit. Integrasi dan penyelarasan yang lebih
baik dengan sektor swasta dan NGO membolehkan pelbagai aktiviti
dilaksana dengan lebih berkesan. Aktiviti penggalakan kesihatan
dipergiatkan untuk meningkat lagi kesedaran dan pengetahuan umum
mengenai kesihatan dan isu berkaitan kesihatan. Bagi membolehkan
penyelarasan dan integrasi yang lebih baik dalam pelaksanaan aktiviti
penggalakan kesihatan, Yayasan Penggalakan Kesihatan yang merangkumi
sektor awam dan swasta, NGO dan pengguna ditubuhkan pada tahun 2002.
Kempen gaya hidup sihat bertemakan Sihat Sepanjang Hayat dilaksanakan
pada tahun 2003. Kempen tersebut menumpu kepada empat elemen, iaitu
pemakanan sihat, senaman dan kesihatan fizikal, penahanan diri daripada
merokok dan pengurusan tekanan.
20.05
Liputan dan skop program pelalian bagi kanak-kanak berumur satu tahun
dan ke bawah terus ditingkatkan, seperti ditunjukkan dalam Jadual 20-
1. Liputan penuh bagi pelalian Bacille Calmette-Guerin (BCG) dicapai
manakala vaksin tiga antigen untuk kerongkong, kancing gigi dan batuk
kokol meningkat daripada 94.4 peratus pada tahun 2000 kepada 99.8
peratus pada tahun 2005. Bagi mengurangkan lagi morbiditi dan mortaliti
di kalangan kanak-kanak disebabkan penyakit yang boleh dicegah melalui
suntikan pelalian, vaksin baru dirangkum sebagai sebahagian daripada
program pelalian kanak-kanak pada Julai 2002 dan diberi secara percuma
di semua kemudahan kesihatan Kerajaan. Pelalian ini termasuk vaksin
haemophilus influenza B (HiB) dan kombinasi beguk, campak dan rubela
(MMR). Di samping itu, Program Pelalian Demam Campak Kebangsaan yang
dilaksana pada tahun 2004 untuk kanak-kanak berumur di antara 7-15
tahun mencapai liputan 93.9 peratus. Usaha ini telah dapat mengurangkan
kejadian penyakit yang boleh dicegah melalui suntikan pelalian seperti
batuk kokol dan demam campak manakala polio dapat dihapuskan.
Jadual 20-1 : Liputan Pelalian Di Klinik Kementerian Kesihatan, 2000 & 2005 (%)
20.06
Pelaksanaan dan pengukuhan program dan aktiviti diteruskan bagi
membendung penularan penyakit human immunodeficiency virus/acquired
immunodeficiency syndrome (HIV/AIDS). Langkah ini termasuk program
pendidikan dan kesedaran yang dilaksana di sekolah, kemudahan penjagaan
kesihatan dan tempat kerja serta melalui media massa. Program
pemindahan penyakit daripada ibu kepada anak yang melibatkan saringan
terhadap wanita mengandung yang mengunjungi klinik antenatal kerajaan
terus dilaksanakan. Wanita yang didapati positif HIV diberikan rawatan
mencegah jangkitan secara percuma dan kaunseling selepas ujian.
20.07
Dalam tempoh Rancangan, mekanisme respons yang cekap dan berkesan
ditubuhkan bagi menangani wabak penyakit akibat patogen baru dijangka
muncul dan yang tidak dikenali seperti selesema burung dan sindrom
pernafasan akut yang teruk (SARS). Mekanisme ini termasuk Bahagian
Kawalan Penyakit Berjangkit di Kementerian Kesihatan pada tahun 2001,
Pusat Penyelidikan Penyakit Berjangkit tahun 2001 serta makmal
bio-safety tahap ketiga (P3 Lab) di Institut Penyelidikan Perubatan
(IMR) pada tahun 2002. Di samping itu, pembangunan dan pelaksanaan
pelaporan elektronik penyakit yang wajib dilapor melalui sistem
maklumat kawalan penyakit berjangkit di semua hospital kerajaan dan
pejabat kesihatan pada tahun 2005 memperkukuh lagi pengawasan penyakit
ini.
20.08
Pencegahan dan kawalan penyakit tidak berjangkitdirangkumi sebagai satu
elemen dalam penyediaan penjagaan kesihatan asas berikutan meningkatnya
arah aliran penyakit tersebut akibat perubahan pola penyakit dan
aktiviti gaya hidup, seperti ditunjukkan dalam Jadual 20-2. Bagi tujuan
ini, semua klinik kesihatan disediakan kemudahan yang perlu bagi
saringan , diagnosis awal dan rawatan bersesuaian bagi memasti
pengurusan optimum penyakit tersebut. Garis panduan khusus dan seragam
mengenai pengurusan penyakit kencing manis, darah tinggi serta penyakit
kardiovaskular juga disedia dan dilaksanakan di semua kemudahan
kesihatan. Aktiviti pencegahan dan kawalan kanser termasuk saringan
awal kanser payu dara dan servik dilaksana di peringkat primer.
Jadual 20-2 : penyakit Tidak Berjangkit Terpilih Di Kemudahan Kementerian Kesihatan, 2000 & 2005
20.09
Pelaksanaan program keselamatan dan kesihatan pekerjaan terus diberi
penekanan melalui pewujudan tempat kerja dan budaya yang lebih selamat
dan sihat. Peraturan diperkenalkan untuk pemberitahuan kejadian
penyakit dan insiden berkaitan pekerjaan seperti kemalangan, keracunan
akibat racun serangga dan kimia, penyakit kulit dan paru-paru serta
hilang pendengaran akibat kebisingan.Sejumlah klinik sentinel dikenal
pasti bagi membolehkan amaran awal mengenai kemerosotan kualiti udara
dan seterusnya memudahkan pengenalan awal pencegahan yang bersesuaian.
20.10
Dasar Pemakanan Kebangsaan digubal pada tahun 2003 bagi memastikan
orang awam mendapat akses kepada makanan yang selamat dan berkualiti
tanpa mengira lokasi serta memastikan makanan tersebut berkhasiat untuk
pertumbuhan optimum serta pembangunan dan kesihatan keluarga. Program
pemakanan untuk pencegahan dan kawalan terhadap pemakanan yang
berlebihan dan berkurangan serta penggalakan cara pemakanan sihat telah
diperluas lagi. Sehubungan ini, Peraturan Makanan 1985 dipinda pada
tahun 2004 bagi merangkumi pelaksanaan pelabelan mandatori bagi
kandungan makanan dengan maklumat pemakanan tertentu untuk membantu
pengguna membuat pilihan bermaklumat semasa membeli produk makanan.
20.11
Pelbagai aktiviti dilaksanakan di bawah program keselamatan dan kualiti
makanan untuk meningkatkan kesihatan pengguna dan memastikan pendekatan
bersepadu diguna pakai sepanjang proses pengeluaran makanan, iaitu dari
ladang ke meja. Sehubungan ini, Dasar Keselamatan Makanan Kebangsaan
dan Pelan Tindakan digubal pada tahun 2004 untuk menyedia hala tuju,
panduan dan piawai bagi proses pengeluaran kepada agensi berkaitan
dalam sektor awam dan swasta. Pelaksanaan Sistem Maklumat Keselamatan
Makanan Malaysia (FoSIM), iaitu satu sistem komprehensif berkomputer
berasaskan web yang merangkaikan 36 pintu masuk dan 11 makmal kawalan
kualiti makanan dalam negara memudahkan pemeriksaan makanan import dan
menentukan pematuhan kepada peraturan keselamatan makanan.
20.12
Aktiviti kesihatan pergigian dilaksana bagi menggalak kesedaran tentang
pentingnya amalan pergigian yang baik untuk menambah baik kualiti
hidup. Bagi mencegah pereputan gigi, pemfluoridaan bekalan air terus
dijalankan. Sehubungan ini, sembilan loji rawatan air dilengkapkan
dengan saluran fluorida di negeri Kedah dan Perak menjadikan bilangan
loji yang dipasang penyalur kepada 249 daripada sejumlah 440 loji.
Program penjagaan kesihatan pergigian yang komprehensif untuk pelajar
sekolah bertujuan mengenal pasti dan merawat masalah pergigian di
peringkat awal terus dilaksana dalam tempoh Rancangan yang memanfaatkan
lebih 90 peratus pelajar sekolah rendah.
20.13
Dalam tempoh Rancangan, program bekalan air dan kesihatan alam sekitar
terus dilaksanakan. Dalam usaha untuk mengurangkan penyakit bawaan air
terutamanya di kalangan masyarakat luar bandar, kemudahan asas seperti
bekalan air selamat, tandas sempurna dan sistem pelupusan sisa pepejal
terus disediakan dan dengan ini memperluas liputan. Di samping itu,
kualiti bekalan air awam terus dipantau di bawah Program Pengawasan
Kualiti Air Minuman Kebangsaan. Kualiti air di pulau, tempat peranginan
dan estet juga dipantau.
Perkhidmatan Penjagaan Perubatan dan Kesihatan
20.14
Perkhidmatan penjagaan perubatan dan kesihatan diperluas dan dinaik
taraf manakala program baru diperkenalkan dalam tempoh Rancangan .
Perkhidmatan ini yang meliputi penjagaan primer , sekunder , tertiari
dan pemulihan terus disediakan melalui rangkaian hospital , klinik
kesihatan dan klinik desa yang luas , seperti ditunjukkan dalam Jadual
20-3. Walaupun nisbah kemudahan kesihatan kepada penduduk dalam kawasan
luar bandar pada umumnya merosot akibat penempatan semula kemudahan
tersebut , kualiti dan penyampaian perkhidmatan meningkat berikutan
kerja naik taraf kemudahan termasuk penyediaan kelengkapan diagnostic
dan pengimejan . Langkah ini menyumbang kepada penambahbaikan
kepantasan dan kualiti diagnosis serta meningkatkan keselesaan pesakit.
Di samping itu , pertambahan bilangan klinik dan hospital swasta dalam
kawasan bandar melengkapkan penyediaan penjagaan oleh sektor awam.
20.15
Perkhidmatan penj gaan primer disediakan melalui rangkaian klinik
kesihatan dan klinik desa yang luas serta unit bergerak di kawasan yang
kurang mendapat perkhidmatan. Usaha untuk
meningkatkan kualiti, kepantasan dan
tahap penjagaan terutamanya di kawasan luar bandar termasuk naik taraf
dan melengkapkan 123 klinik dengan makmal dan kemudahan pengimejan
diagnostik serta menempatkan pakar perubatan keluarga. Di samping itu,
konsep klinik bersepadu diperkenal untuk menambah baik penyampaian
penjagaan kesihatan melalui penggunaan sumber manusia secara cekap dan
menjadikan klinik lebih mesra pesakit. Di bawah konsep ini, semua
perkhidmatan disediakan secara harian berbanding dengan sesi klinik
konvensional.
20.16
Perkhidmatan penjagaan sekunder dan tertiari yang memberi tumpuan
kepada rawatan dan penjagaan pemulihan disediakan melalui 122 hospital
awam termasuk enam institusi perubatan khas. Dalam tempoh Rancangan,
sejumlah 22 hospital dibina, iaitu 14 hospital baru dan lapan hospital
gantian. Penyiapan hospital baru dan penggantian beberapa hospital
sedia ada meningkatkan lagi akses kepada penjagaan pakar dalam negara
ini. Bagi tujuan ini, semua hospital awam menyediakan
sekurang-kurangnya tiga perkhidmatan perlu, iaitu pediatrik, perubatan
serta perbidanan dan sakit puan (O&G).
Jadual 20-3 : Kemudahan yang Disediakan Oleh Kementerian Kesihatan, 2000 & 2005
Nota:
1 Merujuk perkhidmatan dispensari, pasukan kesihatan desa, perkhidmatan doktor udara dan perkhidmatan pergigian
bergerak.
2 Termasuk klinik kesihatan ibu dan kanak-kanak.
3 Merujuk kerusi pergigian di klinik Kerajaan.
20.17
Dalam tempoh Rancangan, dua perkhidmatan subkepakaran yang baru
diperkenalkan, iaitu perubatan kecemasan dan paliatif. Pengenalan
perubatan kecemasan di lima pusat wilayah mempertingkat lagi keupayaan
respons krisis dan bencana. Di samping itu, pelan pengurusan bencana
digubal dan jabatan kecemasan hospital dinaik taraf. Dengan pertambahan
bilangan penyakit kronik dan penyakit yang boleh membawa maut dan
keperluan pengurusan yang teratur, perubatan paliatif diperkenal
sebagai subkepakaran. Hospital Selayang di Selangor telah dijadikan
sebagai pusat rujukan khusus penjagaan paliatif dan perkhidmatan ini
juga disediakan di 10 hospital negeri. Di samping itu, penubuhan
rangkaian penjagaan paliatif di Lembah Klang dengan kerjasama NGO
meningkatkan akses kepada penjagaan paliatif.
20.18
Akses kepada perkhidmatan kardiologi, kardiotorasik dan pemulihan
jantung dipertingkat lagi dalam tempoh Rancangan. Lebih ramai pakar
ditempatkan di pusat jantung wilayah di Hospital Kuching, Hospital
Pulau Pinang dan Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru. Skop
perkhidmatan ortopedik juga diperkembang dengan pengenalan tujuh
subkepakaran di semua hospital negeri. Kepakaran ini termasuk
perkhidmatan pediatrik dan ortopedik geriatrik, penjagaan tulang
belakang, perubatan sukan dan bank tulang.
20.19
Perkhidmatan kepakaran dalam pelbagai bidang terus disediakan dan
diperluaskan.Perubatan nuklear diperkukuh merangkumi penyelidikan serta
perkhidmatan diagnostik dan terapeutik dan disedia di empat buah
hospital. Di samping itu, dua mesin pengimbas tomografi pancaran
positron di Hospital Pulau Pinang dan Hospital Putrajaya meningkatkan
lagi kualiti penjagaan yang disediakan. Hospital Selayang telah
dibangun sebagai pusatnasional untuk perkhidmatan pembedahan
hepatobiliary dan pemindahan hati juga disediakan dalam tempoh
Rancangan. Hospital Putrajaya dibangun sebagai pusat perkhidmatan payu
daradan endokrin. Di samping itu, perkhidmatan urologi dipertingkat
dengan pengenalan pembedahan minimal invasive di Hospital Kuala Lumpur
(HKL) dan Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru pada tahun 2004
20.20
Usaha telah diambil untuk mengekalkan kualiti dan produk darah. Bagi
tujuan ini, 59 pusat ujian darah sedia ada digabungkan kepada 16 pusat
yang dilengkapi sepenuhnya dengan peralatan yang perlu. Perkhidmatan
tabung darah dipertingkat lagi dengan siapnya pembinaan Pusat
Pemindahan Darah Kebangsaan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada
tahun 2003. Bagi memastikan penyediaan bekalan darah dan produk darah
yang selamat kepada pesakit di hospital swasta, perjanjian
ditandatangani untuk membekalkan produk tersebut daripada kemudahan
kesihatan awam.
20.21
Mengambil kira pertambahan bilangan warga emas, perubatan geriatric
diintegrasikan dalam program penjagaan perubatan. Perkhidmatan pakar
geriatrik yang hanya disediakan di Hospital Seremban, Negeri Sembilan
diperluas ke HKL dan Hospital Selayang. DI samping itu, perkhidmatan
neurofisiologi disediakan di lima pusat wilayah melalui rangkaian
perundingan teleneuro yang dihubung dengan HKL. Satu daftar pesakit
angina ahmar ditubuhkan di HKL pada tahun 2002 bagi membolehkan
perancangan dan pelaksanaan program yang lebih berkesan untuk pesakit
angin ahmar . Usaha ini diambil bagi menyediakan perkhidmatan pemulihan
yang lebih baik seperti perkhidmatan fisioterapi , audiologi , terapi
pertuturan dan pekerjaan kepda golongan yang kurang upaya.
20.22
Dalam tempoh Rancangan, pusat penjagaan ambulatori (ACC) ditubuh di
lima hospital negeri, iaitu Hospital Ipoh; Hospital Tengku Ampuan
Rahimah, Klang; Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan; Hospital Kuala
Terengganu dan Hospital Pulau Pinang. Melalui ACC, penjagaan harian
termasuk perkhidmatan perubatan, pembedahan, pediatrik dan endoskopik
disediakan. Dengan ini, perkhidmatan ACC mengurangkan kemasukan ke
hospital serta kesesakan di wad. Perkhidmatan kesihatan lanjutan
disediakan untuk warga emas dan orang kurang upaya. Sehubungan ini,
penjagaan di rumah diperkenalkan secara perintis di tiga daerah, iaitu
di Klang, Selangor; Kota Bharu, Kelantan dan Kuala Kangsar, Perak.
20.23
Pelbagai langkah dilaksana bagi meningkatkan akses kepada perkhidmatan
pakar. Langkah ini termasuk lawatan berkala oleh pakar ke hospital
tanpa pakar dan rangkaian hospital yang sumber dipusatkan untuk
penggunaan optimum. Konsep rangkaian, dikenali sebagai Rangkaian Unit
Penjagaan Rapi (ICU) Lembah Klang, diperkenalkan. Di bawah konsep ini,
katil ICU di Hospital Kajang, HKL, Hospital Selayang, Hospital
Seremban, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang dan Hospital Putrajaya
diuruskan di bawah satu rangkaian. Bentuk rangkaian yang sama untuk
perkhidmatan pembedahan dan ortopedik dilaksanakan di Hospital Kota
Bharu, Kelantan dan hospital daerah di sekitarnya. Di samping itu,
rangkaian untuk perkhidmatan pembedahan vaskular juga ditubuh di
kalangan HKL, Hospital Kuching dan Hospital Alor Setar.
20.24
Perkhidmatan pakar penjagaan kesihatan oral termasuk pembedahan oral,
pergigian pediatrik, periodontik dan ortodontik terus disediakan.
Perkhidmatan ini diperluas dalam tempoh Rancangan bagi meliputi
pergigian pemulihan dan forensik. Bagi memenuhi perluasan tersebut dan
menyediakan penjagaan pakar yang lebih baik, kemudahan pergigian sedia
ada dinaik taraf dan hospital baru dengan bilangan katil melebihi 108
dilengkapi kemudahan unit pembedahan oral dan pergigian pediatrik.
20.25
Perkhidmatan penjagaan farmaseutikal yang bertujuan menyediakan terapi
ubat secara optimum melalui penyediaan, pembuatan, bekalan dan kawalan
ubat yang betul, kekal sebagai komponen penting dalam program penjagaan
perubatan. Maklumat dan nasihat mengenai cara penggunaan produk
farmaseutikal yang sesuai disediakan. Sistem Pemberian Ubat Bersepadu
dilaksana di klinik kesihatan terpilih dan pesakit yang telah didiscaj
daripada wad hospital boleh mendapat rawatan lanjut daripada klinik
berhampiran kediaman mereka.
20.26
Selaras dengan objektif Rancangan untuk menambah baik integrasi melalui
perkongsian pintar menyediakan penjagaan kesihatan, pelbagai aktiviti
dilaksana dengan kerjasama sektor swasta dan NGO. Kerjasama ini
termasuk penyediaan dan perolehan dalam perkhidmatan haemodialisis,
radioterapi dan pengimejan diagnostik daripada penyedia penjagaan
kesihatan swasta. NGO terus melengkapi usaha Kerajaan dalam pelbagai
program penjagaan pemulihan dan paliatif bagi meringankan penderitaan
pesakit yang mengidap penyakit yang boleh membawa maut dan penyakit
kronik serta menyediakan sokongan kepada keluarga mereka
20.27
Pembangunan pesat sektor kesihatan yang menyediakan penjagaan
berkualiti dan mampu diperoleh, telah mewujudkan persekitaran kondusif
bagi menggalakkan pelancongan kesihatan. Dalam tempoh Rancangan,
kira-kira 450,000 pesakit dari luar negara mendapatkan rawatan di
hospital swasta bagi pelbagai penyakit serta menggunakan perkhidmatan
diagnostik dan terapeutik seperti endoskopi, haemodialisis dan
pengimejan salunan magnet. Di samping itu, saringan perubatan
merangkumi konsep kesejahteraan, optalmologi dan endokrinologi dikenal
pasti sebagai bidang khusus untuk menggalak pelancongan kesihatan.
Pembangunan Sumber Manusia
20.28
Langkah diambil dalam tempoh Rancangan bagi memastikan bekalan sumber
manusia yang mencukupi untuk menyokong pengembangan dan penyampaian
perkhidmatan kesihatan. Keupayaan latihan di tujuh universiti awam dan
lima kolej perubatan swasta dipertingkat bagi melatih lebih ramai
doktor , doktor gigi dan ahli farmasi . Usaha ini menghasilkan nisbah
personel kesiahtan kepada penduduk yang bertambah baik , seperti
ditunjukkan dalam Jadual 20-4 .Walaupun nisbah doktor kepada penduduk
bertambah baik daripada 1 : 1 , 413 pada tahun 2000 kepada 1 : 1 ,387
pada tahun 2005 , jurang antara negeri masih kekal tinggi , seperti
ditunjukkan dalam Jadual 20-5 . Bagi membolehkan profesion perubatan
memberi penjagaan yang lebih baik , penekanan diberikan kepada latihan
lepasan ijazah dalam pelbagai disiplin kepakaran dan subkepakaran ,
seperti perubatan kecemasan , paliatif dan pemulihan , psikiatri ,
pembedahan kepala dan leher serta perubatan keluarga . Sejumlah 1 ,885
doktor melanjutkan latihan kepakaran dan 278 pakar dalam latihan
subkepakaran.
20.29
Walaupun usaha latihan tersebut dilaksanakan, negara masih mengalami
kekurangan personel perubatan. Langkah yang diambil bagi mengatasi
kekurangan ini termasuk melantik 871 doktor dan doktor gigi asing.
Sejumlah 873 pakar, doktor dan doktor gigi yang telah bersara dilantik
semula secara kontrak. Perkhidmatan pakar perubatan sektor swasta juga
diambil mengikut keperluan di hospital awam dan doktor digalak
berkhidmat di klinik kesihatan awam. Di samping itu, pegawai pergigian
dan ahli farmasi dikehendaki berkhidmat secara wajib bagi tempoh tiga
tahun.
20.30
Langkah diambil bagi menambah bilangan personel kesihatan sains
bersekutu (AHSP). Sehubungan ini, dua kolej latihan baru ditubuh di Sg.
Buloh, Selangor dan Kuching, Sarawak. Sejumlah 22,000 AHSP dilatih
dalam tempoh Rancangan. Walau bagaimanapun, masih wujud kekurangan
dalam pelbagai kategori AHSP. Bagi mengatasi kekurangan ini, latihan
AHSP dikendalikan oleh institusi pengajian tinggi swasta. Di samping
itu, 440 AHSP dilantik berkhidmat secara kontrak. Dalam usaha untuk
terus menaik dan menambah baik tahap kepakaran di kalangan AHSP,
latihan pasca asas diberi dalam pelbagai disiplin. Bagi memastikan
penggunaan sumber sedia ada secara optimum, sejumlah 19,488 atenden
kesihatan menjalani latihan klinikal asas dan pentadbiran bagi
membolehkan mereka menjalankan pelbagai tugas.
Jadual 20-4 : Nisbah Personel Kesihatan Kepada Penduduk, 2000 & 2005
Nota:
1 Termasuk sektor awam dan swasta.
2 Merujuk nisbah dan keperluan Kementerian Kesihatan sahaja.
Jadual 20-5 : Bilangan Doktor Mengikut Negeri, 2005
Penyelidikan dan Pembangunan
20.31
Dalam tempoh Rancangan, aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D)
terus dijalankan bagi memperkukuh, membangun dan menyokong perkhidmatan
yang disediakan oleh sektor kesihatan. Penekanan diberi bagi
memperkukuh keupayaan institusi dan menggalakkan penyelidikan dalam
bidang utama untuk menyokong amalan berasaskan bukti. Bagi tujuan ini,
skop lima institusi sedia ada di bawah Institut Kesihatan Kebangsaan
(NIH) diperkemas dan bilangannya ditambah kepada tujuh bagi membolehkan
tumpuan yang lebih dalam bidang utama berikut:
20.32
Penyelidikan bioperubatan yang dijalankan di IMR termasuk penyakit
kanser, kardiovaskular, kencing manis, pemakanan dan penyakit
berjangkit serta pembangunan dan pengeluaran klon virus jangkitan.
Hasilnya, lima paten didaftarkan dan empat produk dikomersilkan. Pihak
IMR dijadikan sebagai tumpuan bagi Program Kerjasama Pengawasan WHO
mengenai Ketahanan Antibiotik dalam Rantau Pasifik Barat dan Pusat
Influenza Kebangsaan WHO. Pihak IMR juga memperoleh pensijilan WHO
sebagai Pusat Program Pembasmian Global bagi Polio. Dalam tempoh
Rancangan, IPH menjalan Kajian Beban Penyakit Kebangsaan yang
menyediakan penilaian komprehensif mengenai mortaliti awal dan
morbiditi akibat penyakit, kecederaan dan pelbagai faktor berisiko
lain. Kajian ini menyediakan maklumat berkenaan cabaran utama kesihatan
yang menjadi asas kepada program kesihatan masa hadapan bagi menggalak
rakyat Malaysia yang lebih sihat.
20.33
Mengambil kira potensi biodiversiti Malaysia yang kaya dan peningkatan
penggunaan perubatan tradisional dan komplementari (T/CM) serta
keperluan memastikan tahap sara diri vaksin, Kerajaan meluluskan
penubuhan NINPVB. Objektif NINPVB adalah untuk mengubah produk asli
sebagai produk komersil serta menggunakan bioteknologi dalam
pembangunan vaksin bagi penyakit berjangkit. Di samping itu, NINPVB
dipilih sebagai tumpuan bagi pembangunan vaksin di kalangan Pertubuhan
Negara Islam (OIC). Aktiviti R&D bagi vaksin dan ubat-ubatan herba
dijalankan melalui perkongsian pintar dengan sektor swasta.
Teknologi Maklumat dan Komunikasi
20.34
Penyampaian perkhidmatan penjagaan kesihatan terus diubah dan
ditingkatkan dengan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
Dalam tempoh Rancangan, komponen teleperundingan di bawah projek
Telekesihatan dilaksana bagi membolehkan penyedia penjagaan kesihatan
mendapat pengetahuan dan maklumat perubatan untuk membantu dalam
membuat keputusan. Sehubungan itu, teleperundingan membolehkan penyedia
penjagaan primer terutamanya di kawasan luar bandar mendapat nasihat
daripada pakar di kawasan bandar, dengan itu dapat menyedia penjagaan
yang lebih baik kepada pesakit. Seterusnya skop projek telekesihatan
disemak semula menurut keperluan utama dan keupayaan pelaksanaan.
Penekanan diberi kepada pelaksanaan tujuh komponen, iaitu rekod
kesihatan sepanjang hayat, perkhidmatan pelan kesihatan sepanjang
hayat, maklumat dan pendidikan kesihatan peribadi mengikut keperluan
orang ramai, pembangunan profesional berterusan (CPD), teleperundingan,
pusat panggilan/pengurusan perhubungan pelanggan dan perkhidmatan data
terkumpul.
20.35
Skop dan pelaksanaan sistem maklumat hospital menyeluruh, satu sistem
elektronik yang menyokong fungsi penjagaan pesakit dan perkhidmatan
yang memudahkan fungsi ini telah dikaji semula dalam tempoh Rancangan.
Sehubungan ini, penekanan diberi kepada perkomputeran institusi untuk
pengurusan pesakit secara menyeluruh. Bagi memastikan penggunaan sumber
secara optimum dalam menyediakan penjagaan pesakit yang cekap dan
berkualiti, Hospital Kepala Batas di Pulau Pinang dilengkapi sistem
maklumat asas dan Hospital Lahad Datu di Sabah dengan sistem maklumat
pertengahan.
20.36
Usaha diambil untuk melengkapkan kemudahan penjagaan primer dengan ICT
bagi menyediakan maklumat kesihatan dan membantu mengenal pasti
penyakit dan memberi rawatan awal. Bagi tujuan ini, Penjagaan
Teleprimer dilancarkan sebagai projek perintis bagi 41 tempat di negeri
Johor dan Sarawak. Melalui inisiatif ini, penyedia penjagaan kesihatan
di kawasan luar bandar dibantu oleh pakar perubatan di hospital dalam
membuat keputusan melalui sistem maklumat dan sokongan klinikal
menyeluruh. Di samping itu, bagi menambah baik lagi pengumpulan data,
sistem maklumat pengurusan kesihatan dinaik taraf untuk mewujudkan
rangkaian dengan pejabat kesihatan di peringkat daerah
Tadbir Urus
20.37
Usaha diteruskan bagi memastikan penduduk mendapat akses kepada
penjagaan yang selamat, komprehensif, mampu diperoleh dan berkualiti.
Sehubungan ini, Majlis Keselamatan Pesakit Malaysia ditubuhkan pada
tahun 2003 untuk merangka dasar, strategi dan program bagi meningkatkan
keselamatan pesakit dan personel perubatan sektor awam. Di samping itu,
sistem pengawasan untuk memantau dan mengawal jangkitan di hospital
diperkenalkan di semua hospital awam. Inisiatif meningkatkan kualiti
yang dilaksana termasuk Pensijilan Akreditasi Hospital. Sejumlah 50
hospital awam dan swasta menerima akreditasi tersebut. Tabung Kesihatan
Kebangsaan telah ditubuhkan pada tahun 2002 bagi menyelaras dan
menyediakan bantuan kewangan kepada pesakit untuk mendapat perkhidmatan
rawatan di hospital swasta
20.38
Langkah kawal selia sistematik bagi farmaseutikal serta produk
kesihatan dan penjagaan diri dilaksana bagi memasti kualiti,
keselamatan dan keberkesanannya. Pendaftaran secara dalam talian
membolehkan kelulusan lebih cepat bagi produk kosmetik dimulakan pada
tahun 2002, preskripsi ubat generik dan bukan generik pada tahun 2003
serta ubat tradisional pada tahun 2004. Pengawasan, penguatkuasaan dan
pemeriksaan yang lebih ketat terhadap premis pembuatan dilaksana dan
dipertingkat bagi memastikan pematuhan terhadap amalan pembuatan baik
(GMP). Bagi memastikan kualiti dan keberkesanan preskripsi ubat
generik, kajian wajib biokesetaraan dijalankan terhadap produk yang
mengandungi ramuan aktif khusus.
20.39
Pengawasan pasca pemasaran diteruskan bagi membanteras pemalsuan,
pengadukan dan produk farmaseutikal yang substandard. Di samping itu,
Kerajaan memulakan pelaksanaan berfasa alat sekuriti hologram bagi
memperkemas pembuatan, pengimportan, pendaftaran dan penjualan produk
farmaseutikal asli termasuk produk penjagaan luaran diri dan produk
tradisional serta bahan kesihatan tambahan yang diperoleh tanpa
preskripsi doktor.
20.40
Penilaian teknologi kesihatan (HTA) diteruskan bagi memasti penggunaan
teknologi yang selamat dan sesuai berasaskan bukti. Sehubungan ini, HTA
wajib dijalankan sebelum perolehan semua peralatan perubatan yang
melibatkan teknologi baru dan berharga lebih daripada RM200,000 seunit.
Usaha meluas bagi menggalak dasar dan membuat keputusan berasaskan
bukti melalui HTA membolehkan Malaysia dijadikan sebagai Pusat
Kerjasama WHO bagi Amalan Berasaskan Bukti dalam Penjagaan Kesihatan
bagi Rantau Asia Pasifik pada tahun 2004. 20.41 Penyediaan penjagaan
kesihatan yang mudah dan mampu diperoleh melalui satu rangkaian
kemudahan yang komprehensif dan pelaksanaan pelbagai program telah
meningkatkan taraf kesihatan penduduk Malaysia. Petunjuk kesihatan
adalah setanding dengan negara maju, seperti ditunjukkan dalam Jadual
20-6.
20.41
Penyediaan penjagaan kesihatan yang mudah dan mampu diperoleh melalui
satu rangkaian kemudahan yang komprehensif dan pelaksanaan pelbagai
program telah meningkatkan taraf kesihatan penduduk Malaysia. Petunjuk
kesihatan adalah setanding dengan negara maju, seperti ditunjukkan
dalam Jadual 20-6.
Jadual 20-6 : Petunjuk Terpilih Bagi Taraf Kesihatan, 2000 & 2005
III : PROSPEK 2006-2010
20.42
Kesihatan merupakan aset yang penting dalam pembangunan modal insan.
Dalam tempoh RMKe-9, sungguhpun Kerajaan akan terus menyediakan
kemudahan dan melaksanakan program bagi meningkat taraf kesihatan
penduduk, namun tanggungjawab individu yang lebih besar adalah amat
penting untuk mencapai kesihatan yang lebih baik. Bagi tujuan ini,
usaha akan diambil bagi menggalak kesejahteraan sepanjang hayat sebagai
pendekatan yang proaktif bagi mengekal kesihatan, mengurangkan beban
penyakit dan memanfaat sumber yang ada untuk faedah optimum kepada
masyarakat. Penekanan juga akan diberi bagi memperkukuh dan
mengintegrasi perkhidmatan bagi menambah baik lagi kecekapan, kualiti,
akses dan kesaksamaan dalam penyampaian penjagaan kesihatan. Sehubungan
itu, pembangunan sektor kesihatan akan berpandukan kepada strategi
berikut:
a) mencegah dan mengurang beban penyakit bagi meningkatkan lagi taraf kesihatan;
b) menambah baik sistem penyampaian penjagaan kesihatan bagi meningkatkan akses kepada penjagaan berkualiti;
c) mengoptimumkan sumber melalui pengukuhan dan integrasi;
d) meningkatkan R&D untuk menyokong dalam membuat keputusan berasaskan bukti;
e) mengurus krisis dan bencana berkaitan kesihatan secara berkesan;
f) meningkatkan pembangunan sumber manusia; dan
g) memperkukuhkan sistem maklumat dan pengurusan kesihatan.
Perkhidmatan Kesihatan Awam
20.43
Kesihatan penduduk yang baik adalah satu input penting bagi pertumbuhan
ekonomi dan pembangunan modal insan. Bagi tujuan ini, usaha yang lebih
giat akan diambil bagi menggalak dan mengekalkan kesihatan penduduk.
Berdasarkan penemuan Kajian Beban Penyakit yang menunjukkan bahawa
penyakit tidak berjangkit merupakan beban utama penyakit, usaha akan
diambil bagi mencegah atau menangguh berlakunya penyakit ini dengan
mengubah kelakuan risiko individu atau menukar faktor risiko
masyarakat.
20.44
Penggalakan kesihatan akan diberi lebih penekanan bagi membolehkan
orang ramai meningkat kawalan dan menambah baik kesihatan supaya mereka
dapat mencapai potensi kesihatan. Aktiviti penggalakan dan pendidikan
kesihatan akan dipertingkat bagi menyediakan pengetahuan dan maklumat
yang perlu serta menyemai amalan tingkah laku yang sihat. Sehubungan
itu, individu, keluarga dan komuniti akan diperkasakan bagi mengambil
tanggungjawab yang lebih untuk meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan
mereka secara keseluruhan. Penggalakan gaya hidup sihat di tempat
terpilih akan terus diperkukuh. Kantin dan asrama sekolah akan digalak
untuk menyedia makanan yang menyihatkan dan berkhasiat. Di samping itu,
pelbagai aktiviti lain dalam menggalak kesihatan dan mencegah penyakit
termasuk kaunseling akan dilaksana dengan meningkatkan kerjasama dan
rangkaian di kalangan agensi kerajaan, sektor swasta dan NGO.
20.45
Pencegahan dan pengawalan penyakit berjangkit akan terus diberi
penekanan dalam tempoh Rancangan. Sehubungan ini, Pusat Penyakit
Berjangkit (CDC) akan ditubuh di Sg. Buloh, Selangor bagi meningkat
kemampuan untuk menghadapi dan menangani perubahan dan perluasan skop
penyakit ini serta penularan penyakit baru muncul dan muncul semula.
Pusat tersebut akan dilengkapi dengan sistem pengawasan bagi
membolehkan pemberitahuan segera dan tepat pada masanya serta
menyediakan sokongan makmal yang mencukupi untuk diagnosis dan
pengesahan awal. Program risikan epidemik akan terus diperkukuh untuk
melengkapkan personel perubatan di peringkat negeri dan daerah bagi
mengambil tindakan segera dan cekap ke atas wabak penyakit. Di samping
itu, penyertaan dan penglibatan komuniti akan dipertingkat bagi
membantu kawalan penyakit bawaan vektor seperti denggi dan malaria.
20.46
Bagi mengurangkan lagi penularan HIV dalam negara ini dan untuk
mencapai Millennium Development Goal (MDG) berkenaan HIV/AIDS, Pelan
Strategik Kebangsaan bagi HIV/AIDS akan dilaksanakan. Pelan tersebut
akan menyediakan rangka kerja umum inisiatif HIV/AIDS yang dilaksanakan
dan diperluas di peringkat nasional bagi tempoh lima tahun akan datang
dan mengguna pakai ‘three ones’ sebagai panduan asas bagi menambah baik
respons negara kepada HIV/AIDS. Langkah ini akan melibatkan penubuhan
satu rangka kerja nasional yang komprehensif, satu badan penyelaras
AIDS nasional dan satu sistem pemantauan dan penilaian nasional. Di
samping itu, program pengurangan mudarat akan dilaksanakan di seluruh
negara.
20.47
Dalam usaha mengurangkan penularan penyakit berjangkit oleh warga asing
terutamanya batuk kering, penyakit pembawakan seksual dan penyakit
zoonotik, usaha akan diambil bagi menghalang, memantau dan mengawal
penularan penyakit ini. Langkah ini termasuk penubuhan klinik kesihatan
untuk pelancong di setiap negeri bagi menyediakan perkhidmatan seperti
saringan, pelalian dan prophylaxis serta maklumat kesihatan kepada
warga asing. Sokongan makmal akan diperluaskan dengan pembinaan empat
makmal kesihatan awam di negeri Kedah, Kelantan, Melaka dan Sarawak.
20.48
Peningkatan penyakit tidak berjangkit dalam negara adalah sebahagian
besarnya berkait dengan gaya hidup dan tingkah laku serta perubahan
demografi. Sehubungan ini, usaha akan diambil bagi menggalak individu
untuk mendapatkan pengetahuan dan mengambil tindakan yang perlu untuk
sentiasa sihat. Penekanan yang lebih akan diberi untuk perubatan
pencegahan seperti mengamalkan gaya hidup sihat dan saringan berkala
serta mengenal pasti dan mengubah faktor risiko di peringkat awal. Bagi
tujuan ini, daftar penyakit tidak berjangkit akan diwujud bagi
membolehkan tindakan yang berkesan dan komprehensif diambil untuk
mengawal dan mencegah penyakit ini.
20.49
Pengurusan krisis dan bencana berkaitan kesihatan akan terus diperkukuh
bagi meningkatkan tahap kesediaan dan merangka strategi bagi menangani
isu kesihatan awam dan pemulihan apabila berlakunya bencana. Bagi
tujuan ini, Pusat Kesediaan dan Respons Krisis (Kesihatan) Nasional
akan ditubuhkan. Pusat ini akan menyelaras semua aktiviti berkaitan
kesihatan bagi memastikan respons yang segera dan berkesan bertujuan
mengurangkan morbiditi dan mortaliti sebelum, semasa dan selepas
bencana dengan mengguna pakai pendekatan antara sektor. Kerjasama dan
penyelarasan dengan organisasi antarabangsa, NGO dan sektor swasta
termasuk syarikat farmaseutikal dan makmal akan dipertingkat.
20.50
Perkhidmatan kesihatan mental akan terus diperkukuh pada peringkat
penjagaan primer dan komuniti. Sehubungan ini, perkhidmatan kesihatan
mental yang komprehensif dan bersepadu akan dibangun untuk kumpulan
sasar khusus seperti remaja dan warga emas. Pencegahan dan pengawalan
penyakit mental akan dilaksana dan ditingkatkan melalui saringan awal
masalah seperti tekanan, kebimbangan, kesedihan dan penderaan. Bagi
memulih pesakit mental dan memastikan mereka boleh berinteraksi dengan
komuniti, perkhidmatan pemulihan psikososial akan disedia di peringkat
penjagaan primer. Di samping itu, penglibatan keluarga dan komuniti serta program sokongan termasuk latihan
akan dibangun.
20.51
Pelaksanaan program bekalan air dan kesihatan alam sekitar akan
diteruskan. Sehubungan ini, penyediaan tandas sempurna, air selamat,
perparitan sempurna dan sistem pelupusan sisa pepejal akan diperluas
untuk memanfaatkan penduduk luar bandar. Kualiti air minuman akan terus
dipantau bagi memastikan pematuhan piawai negara dan antarabangsa.
Strategi penilaian risiko epidemiologi dan kesihatan akan diperkenal
bagi memantau kesan pencemaran alam sekitar terhadap kesihatan.
Perkhidmatan Penjagaan Perubatan dan Kesihatan
20.52
Program perkhidmatan perubatan dan kesihatan yang menyedia penjagaan
primer, sekunder, tertiari dan pemulihan akan diperkukuh bagi
meningkatkan penyampaian penjagaan kesihatan. Strategi pencegahan
penyakit dan penggalakan kesihatan akan dilaksana bagi membolehkan
individu membuat pilihan gaya hidup yang baik untuk menggalak
kesejahteraan. Bagi tujuan ini, kemudahan penggalakan kesejahteraan dan
kesihatan akan ditubuh di klinik dan hospital sedia ada manakala
program melibatkan pesakit dan keluarga mereka serta komuniti akan
dilaksana. Dengan mengambil kira peranan T/CM dalam penyampaian
penjagaan kesihatan, perkhidmatan bersepadu merangkumi amalan T/CM
terpilih akan dilaksana secara perintis di tiga hospital.
20.53
Dalam tempoh Rancangan, usaha lebih giat akan diambil untuk mengukuh
perkhidmatan yang disediakan di peringkat penjagaan primer. Kemudahan
sedia ada akan dinaik taraf manakala kemudahan baru akan dibina bagi
menyediakan satu pakej perkhidmatan yang komprehensif. Dalam usaha
untuk meningkatkan lagi akses, klinik bergerak akan disedia di kawasan
bandar yang mempunyai penduduk padat dan tiada tanah sesuai untuk
membina kemudahan kesihatan. Akses kepada penjagaan kesihatan di
kawasan pedalaman dan yang kurang mendapat perkhidmatan akan
dipertingkat melalui penyediaan lebih banyak klinik bergerak yang
dilengkapi peralatan diagnostik yang perlu.
20.54
Program baru merangkumi saringan penyakit khusus dan faktor risiko,
tindakan dan rawatan awal serta pengurangan kecacatan akan
dilaksanakan. Sehubungan ini, satu program pengurusan risiko kesihatan
yang komprehensif dan bersepadu bertujuan untuk pengesanan awal
penyakit akan dilaksana. Program saringan untuk congenital
hypothyroidism di kalangan bayi baru lahir akan terus diperluas.
Perkhidmatan untuk kanak-kanak kurang upaya akan diperluas dan
diperkenal di setiap daerah. Saringan untuk thalassaemia akan dilaksana
bagi memastikan pengesanan awal gangguan darah.
20.56
Dalam usaha meningkatkan dan terus menambah baik penyampaian penjagaan
kesihatan, perkhidmatan penjagaan perubatan yang disedia di peringkat
penjagaan primer akan dikaji semula dan diperluas. Perkhidmatan
kecemasan dan diagnostik akan terus dibangun dan dinaik taraf bagi
memudahkan diagnosis lebih awal dan berkesan. Penekanan akan diberi
bagi menyediakan penjagaan perubatan kepada kumpulan sasar khusus
seperti masyarakat Orang Asli, penduduk miskin di bandar, warga emas
dan kanak-kanak kurang upaya. Konsep klinik bersepadu akan diteruskan
dengan penyediaan semua perkhidmatan harian untuk menambah baik
penyampaian penjagaan dan meningkatkan keselesaan pesakit. Bagi
meningkatkan lagi kepantasan dan kualiti diagnosis, semua klinik akan
disediakan perkhidmatan sokongan yang berkaitan termasuk perkhidmatan
patologi, radiologi dan farmaseutikal serta peralatan diagnostik.
20.57
Pelbagai langkah akan diambil bagi menambah baik dan memperkukuh
penyediaan penjagaan sekunder dan tertiari. Melalui sistem rujukan yang
cekap dan berkesan, penjagaan berterusan tanpa sempadan antara
penjagaan primer, sekunder dengan tertiari akan disediakan.
Perkhidmatan bersesuaian akan dikenal pasti dan ditempatkan semula bagi
membawa penjagaan lebih dekat dengan kediaman dan mengoptimumkan
sumber. Sehubungan ini, pakar perubatan keluarga yang berkhidmat di
peringkat penjagaan primer akan mengambil tindakan susulan ke atas
pesakit yang didiscaj atau menerima rawatan daripada klinik pakar.
Pesakit ini juga boleh mendapatkan bekalan ubat susulan daripada klinik
kesihatan berdekatan dengan kediaman mereka. Inisiatif ini akan
membolehkan pesakit menerima penjagaan dalam persekitaran yang lebih
selesa termasuk masa menunggu yang lebih pendek. Bagi pesakit kronik
yang uzur dan penyakit yang boleh membawa maut, perkhidmatan penjagaan
di rumah akan disediakan dengan sokongan dan kerjasama komuniti dan
NGO.
20.58
Bagi mengurangkan bilangan kemasukan ke wad dan tempoh rawatan di
hospital, usaha akan diambil bagi meningkatkan kecekapan dan menambah
baik penyampaian perkhidmatan prahospital, kecemasan dan penjagaan
ambulatori. Penjagaan prahospital akan dipertingkat melalui penubuhan
lebih banyak pusat panggilan ambulan manakala pasukan tindakan
kecemasan akan disediakan dengan ambulan yang lebih lengkap. Di samping
itu, pasukan tindakan kecemasan paramedik (skuad motosikal) akan
ditubuhkan bagi membolehkan mereka sampai di tempat kecemasan dan
memberi rawatan secepat mungkin. ACC juga akan ditubuh di semua
hospital negeri dan hospital daerah terpilih. 20.59 Dalam tempoh
Rancangan, hospital baru dan gantian akan dibina bagi menyedia akses
yang lebih baik dan penjagaan yang lebih berkualiti, termasuk hospital
untuk wanita dan kanak-kanak serta hospital rehabilitasi. Institut
Kanser Kebangsaan akan ditubuh di Hospital Putrajaya bagi menyediakan
penjagaan rawatan kanser secara komprehensif. Bagi memastikan
perancangan, penyelarasan dan pengurusan perkhidmatan forensik yang
lebih baik dalam negara, Institut Forensik Kebangsaan dan pusat wilayah
akan ditubuh. Di samping itu, perkhidmatan kepakaran penjagaan oral
akan diperkukuh lagi dengan penubuhan Institut Kesihatan Oral
Kebangsaan. Bagi tujuan ini, peruntukan sebanyak RM1.3 bilion akan
ditubuh di semua hospital negeri dan hospital daerah terpilih.
20.59
Dalam tempoh Rancangan , hospital baru dan gantian akan dibina bagi
menyedia akses yang lebih baik dan penjagaan yang lebih berkualiti ,
termasuk hospital untuk wanita dan kanak-kanak serta hospital
rehabilitasi . Institut Kanser Kebangsaan akan ditubuh di Hospital
Purajaya bagi menyediakan penjagaan rawatan kanser secara komprehensif
. Bagi memastikan perancangan , penyelarasan dan pengurusan
perkhidmatan forensik yang lebih baik dalam negara, Institut Forensik
kebangsaan dan pusat wilayah akan ditubuh . Di samping itu ,
perkhidmatan kepakaran penjagaan oral akan diperkukuh lagi dengan
penubuhan Institut Kesihatan Oral kebangsaan . Bagi tujuan ini ,
peruntukan sebarang RM 1.3 billion akan disedia.
20.60
Penyediaan bagi perkhidmatan kardiologi akan ditambah baik dengan
perluasan perkhidmatan berkenaan di lebih banyak hospital negeri
seperti Hospital Alor Setar, Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan dan
Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu. Perkhidmatan neurosurgikal
juga akan disediakan di lebih banyak hospital termasuk Hospital Kuala
Terengganu, Hospital Melaka dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.
Perkhidmatan radioterapi dan onkologi akan ditambah baik dan diperluas
ke Hospital Pandan, Johor, Hospital Pulau Pinang dan Hospital Likas,
Sabah.
20.61
Usaha juga akan diambil bagi meningkatkan keupayaan dan kualiti unit
penjagaan kritikal di semua hospital dengan keutamaan diberi untuk
menaik taraf kemudahan penjagaan rapi sedia ada di semua hospital
negeri dan beberapa hospital daerah. Unit tersebut akan dilengkapi
dengan perkhidmatan penjagaan rapi yang komprehensif untuk semua
disiplin dan kumpulan umur. Di samping itu, perkhidmatan tertiari yang
canggih dan khusus akan disedia mengikut wilayah melalui penubuhan
pusat kecemerlangan dalam bidang seperti forensik, pembangunan tisu dan
stem cell serta genetik. Bagi memastikan kecekapan pengurusan penyakit
berjangkit, pusat wilayah akan ditubuh di Hospital Kota Bharu,
Kelantan; Hospital Sg. Buloh, Selangor; Hospital Pulau Pinang dan
Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru. Penubuhan pusat tersebut akan
membolehkan penjagaan lebih berkualiti serta menyediakan persekitaran
yang kondusif untuk latihan dan aktiviti penyelidikan.
20.62
Pelbagai usaha akan diambil bagi mengoptimumkan sumber yang ada di
kemudahan yang kurang digunakan. Sehubungan ini, hospital dengan kadar
penggunaan katil yang rendah akan diguna untuk pesakit yang menderita
akibat penyakit kronik dan yang boleh membawa maut serta pesakit yang
memerlukan pemulihan. Pusat paliatif dan pusat penjagaan harian serta
tempat pemulihan sementara pesakit mental akan ditubuh di kemudahan
tersebut. Program latihan akan dilaksana bagi melatih personel yang
mencukupi dalam penjagaan pemulihan termasuk daripada NGO dan komuniti
yang juga akan digalakkan dalam program sukarelawan hospital.
20.63
Dalam tempoh Rancangan, perkhidmatan farmasi akan terus diperkukuh.
Dasar Ubat Kebangsaan akan digubal untuk menggalak penggunaan secara
rasional ubat yang selamat, berkesan dan mampu diperoleh bagi
meningkatkan kesihatan. Di samping itu, pengguna akan disediakan dengan
maklumat yang tepat dan berasaskan bukti secara dalam talian serta
melalui media massa bagi membantu pemilihan dan penggunaan produk
perubatan. Lebih banyak kempen pendidikan dan kesedaran akan dianjur
bagi membolehkan orang awam membuat keputusan bermaklumat dan
mengurangkan penggunaan produk yang tidak berdaftar. Dengan pengenalan
klinik kaunseling ubat-ubatan dan sokongan di hospital utama, pesakit
yang mengidap penyakit kronik seperti kencing manis, lelah,
kardiovaskular dan HIV/AIDS akan disediakan penjagaan farmaseutikal
yang lebih baik. Peranan ahli farmasi akan diperluas dengan melibatkan
mereka dalam penjagaan pesakit di wad bagi mengoptimumkan terapi
ubat-ubatan dan meningkatkan kesihatan.
20.64
Usaha akan terus diambil bagi memperkukuh kerjasama dan kesepakatan
antara penyedia penjagaan kesihatan awam dan swasta bagi memastikan
penggunaan bagi perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berkesan dan
optimum. Sehubungan itu, penyumberan luar perkhidmatan perubatan,
penyediaan perkhidmatan di hospital awam oleh pengamal perubatan
swasta, penyewaan kemudahan awam kepada pengamal perubatan swasta serta
kerjasama dengan institusi perubatan swasta dalam melatih personel
perubatan dan kesihatan bersekutu akan diambil. Di samping itu,
penyedia penjagaan kesihatan swasta akan digalakkan bagi memberi
penekanan yang lebih terhadap pencegahan penyakit dan penggalakan
amalan gaya hidup sihat.
20.65
Pelancongan kesihatan akan terus dipromosikan dalam tempoh Rancangan
dengan penglibatan yang lebih meluas daripada sektor kesihatan swasta.
Sehubungan ini, pakej perkhidmatan yang komprehensif di mana Malaysia
mempunyai kelebihan bersaing akan dibangun. Pakej ini termasuk
perkhidmatan T/CM, spa serta kosmetik. Usaha juga akan diambil untuk
membangunkan lagi perkhidmatan penjagaan kesihatan di destinasi
pelancongan yang popular termasuk kemudahan kecemasan dan menyelamat
bagi aktiviti sukan yang berisiko tinggi dan sukan lasak. Aktiviti
promosi kesihatan dan kesejahteraan termasuk saringan yang mampu
diperoleh di hospital dan klinik terpilih akan dipasarkan bagi menarik
lebih ramai pelancong menggunakan perkhidmatan tersebut. Di samping
itu, pusat kecemerlangan optalmologi di Hospital Selayang, Selangor dan
endokrinologi di Hospital Putrajaya akan dipromosi. Bagi tujuan ini,
usaha promosi akan dipertingkat lagi dengan mewujudkan jenama
perkhidmatan kesihatan Malaysia yang dikenali sebagai Health Malaysia.
Pembangunan Sumber Manusia
20.66
Pembangunan sumber manusia akan diberi lebih keutamaan dalam tempoh
Rancangan bagi menangani kekurangan yang ketara dalam pelbagai kategori
personel perubatan dan kesihatan. Peruntukan sebanyak RM1 bilion akan
disedia. Satu rencana terperinci akan digubal bagi menambah baik
pembangunan sumber manusia serta menangani isu berkaitan perolehan,
latihan, bekalan, penggunaan dan penempatan personel kesihatan. Bagi
tujuan ini, latihan di peringkat ijazah dan lepasan ijazah dalam bidang
perubatan, pergigian dan farmasi akan diperkukuh lagi bagi memenuhi
permintaan sektor kesihatan dalam negara. Mekanisme kerjasama akan
ditubuh dengan agensi kerajaan berkaitan dan sektor swasta bagi
meningkatkan keupayaan latihan. Sehubungan ini, hospital awam terpilih
akan juga digunakan sebagai hospital pengajar. Di samping itu, pelajar
akan dihantar ke luar negara bagi melengkapi latihan yang dijalankan
oleh institusi tempatan.
20.67
Program pembangunan profesional berterusan (CPD) akan terus diperkukuh
melalui penyediaan kemudahan dalam talian bagi membangunkan kemahiran
dan kecekapan personel perubatan. Aktiviti CPD akan dipantau bagi
memastikan kualiti, profesionalisme akan dipadankan dengan ujian
kecekapan yang perlu. Di samping itu, usaha akan diambil bagi
meningkatkan pengetahuan dan kecekapan personel perubatan dalam bidang
kepakaran dan subkepakaran baru seperti pembangunan vaksin dan
pengurusan bencana berkaitan kesihatan melalui latihan dalam
perkhidmatan. Keutamaan akan juga diberi bagi memastikan bilangan
personel terlatih yang mencukupi bagi menangani isu komponen tingkah
laku gaya hidup.
20.68
Usaha akan diambil bagi menarik dan mengekalkan personel melalui
penambahbaikan terma dan syarat perkhidmatan. Usaha ini termasuk
melanjutkan umur persaraan bagi doktor, meningkatkan peluang kemajuan
kerjaya, menambah elaun serta menyediakan persekitaran kerja yang lebih
kondusif dengan menaik taraf kemudahan. Kemudahan kediaman tambahan dan
yang lebih baik juga akan disediakan di kawasan luar bandar dan kawasan
pedalaman serta di bandar utama yang kadar sewanya adalah tinggi.
20.69
Penyiapan tujuh kolej latihan bagi AHSP yang dijangka siap dalam tempoh
Rancangan akan membolehkan 25,000 lagi personel dilatih. Bagi menambah
baik dan meningkatkan lagi kemahiran dan pengetahuan personel terlatih,
latihan pasca asas dalam disiplin baru dan yang diberi keutamaan akan
dijalankan. Di samping itu, pembangunan soft skills termasuk pemupukan
etika dan nilai yang baik serta sikap penyayang akan diberi lebih
penekanan. Langkah juga akan diambil bagi menambah bilangan pengajar
serta meningkatkan kemahiran mereka.
Penyelidikan dan Pembangunan
20.70
R&D dalam bidang kesihatan akan terus dilaksana untuk menyedia
dorongan bagi menambah baik kualiti penjagaan kesihatan dan
meningkatkan kesihatan. Keupayaan dan kemampuan penyelidikan institusi
di bawah NIH akan diperkukuh bagi membolehkan penggubalan dan
pembangunan program yang lebih berkesan untuk pencegahan, diagnosis,
rawatan dan pengawalan masalah kesihatan awam.
20.71
Pelbagai kajian epidemiologi akan dijalan termasuk Kajian Beban
Penyakit yang kedua dan Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan yang
ketiga. Penyelidikan bagi menangani faktor berisiko penyakit yang
merebak dan kaedah bagi mengurangkan beban penyakit akan diberi
keutamaan. Aktiviti penyelidikan ke atas penyakit yang baru muncul dan
muncul semula akan dipergiat berikutan meningkatnya kejadian penyakit
tersebut. Sehubungan ini, usaha diteruskan untuk mempercepatkan
pengeluaran kit diagnostik untuk jangkitan demam denggi dan virus
nipah.
20.72
Mengambil kira potensi untuk merevolusikan terapi dalam bentuk
penggantian sel, penyelidikan stem cell akan diberi lebih keutamaan.
Penubuhan NINPVB dalam tempoh Rancangan akan membolehkan penyelidikan
dijalankan untuk pembangunan ubat-ubatan dan vaksin termasuk vaksin
halal daripada sumber tempatan. Di samping itu, NINPVB akan mengeluar
vaksin asas kanakkanak untuk penggunaan tempatan serta eksport. Bagi
memudahkan penggabungan T/CM ke dalam sistem penjagaan kesihatan,
kajian mengenai keselamatan dan keberkesanan produk daripada tumbuhan
ubat-ubatan akan dijalankan bagi menyediakan bukti untuk rawatan khusus
penyakit.
Di pos oleh Arbain Muhayat pada 20 December 2008