BAB 19 : PEMBANGUNAN TENAGA MAMPAN
I : PENDAHULUAN
19.01
Dalam tempoh Rancangan Malaysia Kelapan (RMKe-8), tumpuan pembangunan
sektor tenaga adalah bagi memastikan bekalan tenaga yang terjamin,
andal dan berkesan kos untuk meningkatkan daya saing dan daya tahan
ekonomi. Penggunaan sumber tenaga yang cekap serta penggunaan bahan api
alternatif terutamanya tenaga boleh diperbaharu digalakkan. Strategi
berkaitan tenaga telah diperkemas bagi menyederhanakan impak kenaikan
harga minyak ke atas ekonomi negara.
19.02
Dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9), peranan sektor
tenaga akan terus diperkukuh ke arah meningkatkan pertumbuhan ekonomi.
Sehubungan ini, sumber bahan api akan dipelbagaikan melalui penggunaan
tenaga boleh diperbaharu secara lebih meluas. Pendekatan berasaskan
pasaran akan digalakkan untuk memastikan pengagihan sumber yang cekap.
Penekanan akan diberikan bagi mengurangkan kebergantungan ke atas
produk petroleum dengan meningkatkan penggunaan bahan api alternatif.
Tumpuan akan diberikan kepada inisiatif kecekapan tenaga terutamanya
dalam sektor industri, pengangkutan dan komersil serta di bangunan
kerajaan bagi memastikan penggunaan sumber tenaga yang cekap dan
meminimumkan pembaziran. Liputan elektrik luar bandar terutamanya di
Sabah dan Sarawak juga akan diperluas. Kaedah perancangan yang lebih
bersepadu akan dilaksanakan untuk memastikan pembangunan sektor tenaga
yang mampan.
II : KEMAJUAN 2001-2005
19.03
Sektor tenaga telah menunjukkan prestasi yang menggalakkan dalam
meningkatkan bekalan tenaga yang terjamin bagi memenuhi permintaan yang
bertambah. Pembangunan sektor tenaga yang mampan dalam jangka panjang
telah dipertingkatkan melalui penggunaan sumber yang cekap dan
pelaksanaan inisiatif pengurusan penggunaan tenaga.
Permintaan Tenaga
19.04
Dalam tempoh Rancangan, permintaan akhir tenaga komersil meningkat
daripada 1,244 petajoule (PJ) kepada 1,632 PJ, seperti ditunjukkan
dalam Jadual 19-1. Keanjalan permintaan tenaga terhadap keluaran dalam
negeri kasar (KDNK) ialah 1.3. Intensiti tenaga1 meningkat sedikit
daripada 5.9 gigajoule (GJ) pada tahun 2000 kepada 6.2 GJ pada tahun
2005. Walaupun produk petroleum merupakan sumber tenaga utama yang
digunakan tetapi peratusannya kepada keseluruhan permintaan terus
berkurangan manakala permintaan terhadap gas asli meningkat selaras
dengan Dasar Pelbagaian Bahan Api.
Jadual 19-1 : Permintaan Akhir Tenaga Komersil Mengikut Sumber, 2000-2010
Nota:
1 Merujuk kepada kuantiti tenaga komersil yang dibekal kepada pengguna akhir tetapi tidak termasuk gas, arang batu dan
minyak bahan api yang digunakan dalam penjanaan elektrik.
2 Joule ialah unit tenaga yang digunakan untuk menetapkan kandungan persamaan fizikal haba bagi setiap bentuk sumber
tenaga. Satu megajoule = 106 joule. Satu gigajoule (GJ) = 109 joule dan satu petajoule (PJ) = 1015 joule dan satu
PJ = 0.0239 juta tan metrik minyak (mtoe). Satu toe = 7.6 tong.
3 Termasuk gas asli yang digunakan sebagai bahan api dan bahan sua oleh sektor bukan elektrik.
19.05
Sektor pengangkutan merupakan pengguna utama tenaga, iaitu 40.5 peratus
daripada jumlah permintaan akhir tenaga komersil pada tahun 2005.
Sektor industri pula 38.6 peratus manakala sektor kediaman dan komersil
13.1 peratus, seperti ditunjukkan dalam Jadual 19-2. Intensiti tenaga
ialah nisbah jumlah penggunaan tenaga asas domestik atau penggunaan
akhir tenaga kepada keluaran dalam negeri kasar atau output fizikal.
Jadual 19-2 : Permintaan Akhir Tenaga Komersil Mengikut Sektor, 2000-2010
Nota:
1 Termasuk pembuatan, pembinaan dan perlombongan.
2 Termasuk gas asli, bitumen, asphalt, minyak pelincir, bahan sua industri dan gris.
Bekalan Tenaga
19.06
Jumlah bekalan tenaga meningkat daripada 2,003 PJ pada tahun 2000
kepada 2,526 PJ pada tahun 2005, seperti ditunjukkan dalam Jadual 19-3.
Sumber utama bekalan tenaga ialah minyak mentah dan produk petroleum
serta gas asli. Peratusan bekalan minyak mentah dan produk petroleum
telah berkurangan manakala arang batu dan kok meningkat yang
menunjukkan pengurangan kebergantungan pada hanya satu sumber tenaga
Jadual 19-3 : Bekalan Tenaga Komersil Asas Mengikut Sumber, 2000-2010
Nota:
1 Merujuk kepada bekalan tenaga komersil yang belum melalui proses transformasi untuk menghasilkan tenaga.
2 Tidak termasuk gas yang dibakar, gas yang dimasukkan semula ke dalam bumi dan gas cecair asli yang dieksport.
Minyak Mentah
19.07
Rizab minyak mentah dan kondensat meningkat daripada 4.5 bilion tong
pada tahun 2000 kepada 5.3 bilion tong pada tahun 2005. Pengeluaran
purata minyak mentah dan kondensat domestik meningkat daripada 681,000
tong sehari pada tahun 2000 kepada 727,000 tong sehari pada tahun 2005.
Berdasarkan kadar pengeluaran ini yang selaras dengan Dasar Susutan
Negara, rizab dijangka berupaya menyediakan bekalan untuk tempoh 19
tahun. Walaupun keupayaan penapisan merosot daripada 591,000 tong
sehari kepada 546,500 tong sehari, jumlah ini mencukupi untuk memenuhi
permintaan terhadap produk petroleum.
19.08
Eksport minyak mentah dan kondensat meningkat kepada 369,000 tong
sehari bernilai RM28.5 bilion pada tahun 2005, seperti ditunjukkan
dalam Carta 19-1. Destinasi eksport utama ialah Australia, Thailand,
India dan Republik Korea.
Carta 19-1 : Pengeluaran Minyak Mentah dan Kondensat, Jumlah & Nilai Eksport, 2000-2005
Nota:
1 Satu komponen minyak mentah yang didapati daripada aliran gas asli dan mengandungi pentana dan hidrokarbon
yang lebih berat.
Gas Asli
19.09
Penemuan lapangan gas yang baru telah menyumbang kepada peningkatan
rizab daripada 84.3 trillion kaki padu (tkp) pada tahun 2000 kepada
85.2 tkp pada tahun 2005. Rizab ini dijangka berupaya menyediakan
bekalan untuk tempoh 33 tahun. Pengeluaran purata gas asli meningkat
daripada 4,367 juta kaki padu sehari (jkps) kepada 5,800 jkps. Gas asli
juga diimport dari Natuna Barat, Indonesia bermula tahun 2002 dan dari
Kawasan Pembangunan Bersama Malaysia-Thailand (MTJDA) pada tahun 2005,
seperti ditunjukkan dalam Peta 19-1.
Peta 19-1 : Rangkaian Bekalan Gas, 2005-2010
19.10
Permintaan purata gas asli di Semenanjung Malaysia meningkat daripada
1,643 jkps pada tahun 2000 kepada 2,141 jkps pada tahun 2005. Sektor
elektrik terus menjadi pengguna utama, iaitu 66 peratus daripada jumlah
penggunaan gas, diikuti oleh sektor bukan elektrik 28 peratus. Baki 6.0
peratus dieksport ke Singapura. Bagi memenuhi peningkatan permintaan
daripada sektor bukan elektrik, Sistem Pengagihan Gas Asli (NGDS)
diperluas daripada 455 kilometer kepada 1,365 kilometer.
19.11
Eksport gas asli cecair (LNG) meningkat daripada 15.4 juta tan pada
tahun 2000 kepada 21.9 juta tan pada tahun 2005. Kebanyakan eksport LNG
adalah ke Jepun, Republik Korea dan Taiwan. Jumlah perolehan eksport
LNG ialah RM20.8 bilion pada tahun 2005 berbanding dengan RM11.4 bilion
pada tahun 2000.
Elektrik
19.12
Selaras dengan strategi bagi memastikan bekalan elektrik yang terjamin
dan andal serta mengurangkan kebergantungan yang tinggi kepada gas,
sumber bahan api bagi penjanaan elektrik dipelbagaikan dengan
peningkatan penggunaan arang batu. Sehubungan ini, dua loji berasaskan
arang batu siap dibina oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) manakala
keupayaan loji Sejingkat ditingkatkan oleh Syarikat SESCO Berhad
(SESCO). Keupayaan penjanaan baru berjumlah 6,420 megawatt (MW) siap
dibina dalam tempoh Rancangan.
19.13
Sejajar dengan pertumbuhan ekonomi, permintaan puncak bagi elektrik
meningkat daripada 10,657 MW pada tahun 2000 kepada 13,779 MW pada
tahun 2005, seperti ditunjukkan dalam Jadual 19-4. Penambahan keupayaan
daripada 14,291 MW kepada 19,217 MW meningkatkan rizab margin
daripada34.1 peratus kepada 39.5 peratus. Paras rizab margin ini lebih
daripada mencukupi untuk memenuhi permintaan elektrik. Konsep
perkongsian risiko permintaan elektrik diperkenalkan dalam perjanjian
pembelian tenaga (PPA) bagi membolehkan perkongsian kos untuk
mengekalkan rizab margin.
Jadual 19-4 : Keupayaan Terpasang, Permintaan Puncak dan Rizab Margin, 2000-2010
Nota:
1 Sistem merujuk kepada utiliti-utiliti dan IPP berkaitan.
2 Permintaan puncak ialah permintaan tenaga maksimum yang didaftar oleh sistem dalam tempoh masa yang dinyatakan.
3 Rizab margin bersamaan dengan keupayaan terkumpul tolak permintaan puncak dan seterusnya dibahagi dengan
permintaan puncak darab 100.
4 Termasuk bekalan daripada dari Projek Hidroelektrik Bakun.
19.14
Usaha diambil untuk mengurangkan kebergantungan yang tinggi kepada gas
asli dalam campuran penjanaan dengan meningkatkan penggunaan arang
batu. Hasilnya, peratusan arang batu dalam campuran penjanaan meningkat
daripada 8.8 peratus pada tahun 2000 kepada 21.8 peratus pada tahun
2005 manakala peratusan gas asli berkurang daripada 77.0 peratus kepada
70.2 peratus, seperti ditunjukkan dalam Jadual 19-5. Konsep perkongsian
beban juga dilaksanakan dalam perkongsian kos antara Petroliam Nasional
Berhad (PETRONAS), TNB dan penjanakuasa elektrik persendirian (IPP)
bagi penggunaan bahan api alternatif semasa kekangan bekalan gas pada
tahun 2002 dan 2003.
Jadual 19-5 : Campuran Bahan Api dalam Penjanaan Elektrik, 2000-2010
19.15
Sistem penghantaran elektrik diperluas dengan siapnya projek
penghantaran baru yang menyambungkan loji janakuasa baru ke grid utama
dan menyediakan sambungan ke kawasan industri dan komersil yang baru.
Projek ini termasuk talian penghantaran Manjung-Air Tawar di
Semenanjung Malaysia serta Grid Pantai Timur dan Grid Utara di Sabah.
Rangkaian pengagihan elektrik juga ditambah untuk memperluas liputan
dan meningkatkan kualiti bekalan elektrik kepada pengguna.
19.16
Dalam tempoh Rancangan, bekalan elektrik ke kawasan luar bandar
dipertingkat, seperti ditunjukkan dalam Jadual 19-6. Pelaksanaan projek
bekalan elektrik luar bandar telah memberikan manfaat kepada 59,960
unit rumah, terutamanya di Sabah dan Sarawak.
Jadual 19-6 : Liputan Elektrik Luar Bandar Mengikut Wilayah, 2000-2010
Nota:
1 Unit rumah luar bandar yang menerima bekalan elektrik sebagai peratus keseluruhan unit rumah luar bandar.
2 Data Banci 2000 tidak termasuk unit rumah yang menggunakan unit penjanaan persendirian.
19.17
Secara keseluruhan terdapat peningkatan produktiviti dan kecekapan
dalam perkhidmatan pembekalan elektrik. TNB dan SESCO mencatatkan
peningkatan prestasi dari segi unit dijual bagi setiap pekerja dan
penguranganbilangan kekerapan gangguan elektrik, seperti ditunjukkan
dalam Jadual 19-7.
Jadual 19-7 : Petunjuk Prestasi Sistem Bekalan Elektrik, 2000 & 2005
Nota:
1 Terdiri daripada syarikat utiliti sahaja.
2 Merujuk kepada kehilangan di peringkat penjanaan, penghantaran dan pengagihan serta penggunaan sendiri.
3 Merujuk kepada jumlah unit tenaga elektrik yang dijual dibahagi jumlah pekerja.
4 Indeks Tempoh Gangguan Purata Sistem.
Tenaga Boleh Diperbaharu
19.18
Usaha diteruskan bagi menggalakkan penggunaan tenaga boleh diperbaharu
(RE). Di bawah Program Pembangunan Janakuasa Kecil Tenaga Boleh
Diperbaharu (SREP), dua projek yang berkeupayaan 12 MW untuk
disambungkan ke grid telah dilaksanakan. Satu panduan hala tuju
mengenai pembangunan tenaga suria, hidrogen dan sel bahan api telah
dirangka dalam tempoh Rancangan. Bagi menggalakkan penggunaan dan
aplikasi teknologi photovoltaic dalam bangunan secara lebih meluas,
Projek Pembinaan Aplikasi Teknologi Bersepadu Photovoltaic Malaysia
(MBIPV) juga telah dilancarkan.
Kecekapan Tenaga
19.19
Bagi menggalakkan penggunaan tenaga secara cekap, tumpuan diberikan
pada aspek reka bentuk dan pemasangan peralatan cekap tenaga di
bangunan kerajaan seperti di Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi.
Sehubungan ini, garis panduan yang baru mengenai reka bentuk yang cekap
tenaga bagi bangunan kerajaan seperti klinik dan sekolah telah
dirangka. Audit tenaga juga dilaksanakan dalam lapan industri intensif
tenaga di bawah Program Peningkatan Kecekapan Tenaga Perindustrian
Malaysia (MIEEIP) untuk mengenal pasti potensi penjimatan tenaga
Harga Tenaga
19.20
Harga minyak mentah di pasaran antarabangsa adalah tidak stabil,
meningkat daripada purata US$30.18 setong pada tahun 2000 kepada
US$55.70 pada tahun 2005. Di pasaran tempatan, harga produk petroleum
terpilih seperti gasolin, diesel dan gas petroleum cecair (LPG)
disederhanakan menerusi Mekanisme Penetapan Harga Secara Automatik
(APM). Walau bagaimanapun, harga produk petroleum disemak secara
berkala untuk mencerminkan kos bekalan di samping mampu dibayar oleh
pengguna. Bagi gas, Kerajaan terus menetapkan harga hiliran kepada
pengguna untuk menangani impak kenaikan harga tenaga.
Penyertaan Dalam Industri dan Perkhidmatan Berkaitan Tenaga
19.21
Selaras dengan usaha untuk membangunkan sumber pertumbuhan baru dalam
sektor tenaga, beberapa syarikat Malaysia terus menceburi industri dan
perkhidmatan berkaitan tenaga di luar negara. Usaha ini termasuk
pelaburan sebanyak RM29.0 bilion oleh PETRONAS dalam aktiviti huluan
dan hiliran di 35 negara. TNB juga membuat pelaburan dalam pembangunan
loji janakuasa di Pakistan dan pengeluaran arang batu di Kalimantan,
Indonesia.
III : PROSPEK 2006-2010
19.22
Dalam tempoh RMKe-9, sektor tenaga akan terus memberikan tumpuan kepada
pembangunan mampan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi, meningkatkan
daya saing serta menyumbang kepada pencapaian pembangunan seimbang.
Selaras dengan teras Misi Nasional untuk meningkatkan tahap dan
kemampuan kualiti hidup, penekanan akan diberikan kepada pengeluaran
dan penggunaan tenaga yang cekap di samping memenuhi objektif
pemeliharaan alam sekitar. Bagi tujuan ini, strategi sektor tenaga
dalam tempoh Rancangan adalah seperti yang berikut:
a) memastikan bekalan tenaga yang mencukupi, terjamin, andal, berkualiti dan berkesan kos;
b) meningkatkan produktiviti dan
kecekapan pembekal tenaga dan menggalakkan pendekatan berasaskan
pasaran dalam penetapan harga tenaga;
c) mengurangkan kebergantungan yang tinggi ke atas produk petroleum dengan meningkatkan penggunaan bahan api alternatif;
d) menggalakkan penggunaan tenaga boleh diperbaharu bagi penjanaan elektrik dan oleh industri;
e) menggiatkan inisiatif kecekapan tenaga di sektor industri, pengangkutan dan komersil serta bangunan kerajaan;
f) meluaskan liputan elektrik luar bandar, terutamanya di Sabah dan Sarawak; dan
g) membangunkan sumber pertumbuhan baru
dalam sektor tenaga termasuk penyertaan syarikat tempatan dalam
industri dan perkhidmatan berkaitan tenaga di luar negara.
Permintaan Tenaga
19.23
Keseluruhan permintaan tenaga dalam tempoh Rancangan dijangka meningkat
pada kadar purata 6.3 peratus setahun kepada 2,218 PJ pada tahun 2010,
seperti ditunjukkan dalam Jadual 19-1. Peningkatan ini berasaskan
kepada jangkaan pertumbuhan KDNK yang lebih tinggi dalam tempoh
tersebut. Intensiti tenaga diunjurkan meningkat kepada 6.3 GJ pada
tahun 2010. Berdasarkan jangkaan peningkatan kualiti hidup penduduk,
penggunaan tenaga dijangka meningkat disebabkan, antara lain,
penggunaan peralatan elektrik yang meluas dan perjalanan yang lebih
kerap. Sehubungan ini, penggunaan tenaga per kapita dijangka meningkat
daripada 62.2 GJ pada tahun 2005 kepada 76.5 GJ pada tahun 2010. Walau
bagaimanapun, keanjalan permintaan tenaga terhadap KDNK diunjurkan
berkurang kepada 1.0. Usaha untuk menanda aras penggunaan tenaga dengan
negara lain seperti Denmark, Jerman dan Republik Korea akan
dilaksanakan bagi meningkatkan kecekapan tenaga. Di samping itu,
inisiatif akan dipergiat bagi memastikan penggunaan tenaga yang lebih
cekap dan mengurangkan pembaziran serta menyumbang kepada pembangunan
sektor tenaga yang mampan. Sejajar dengan Dasar Pelbagaian Bahan Api,
peratusan produk petroleum kepada jumlah permintaan akhir tenaga
komersil akan berkurang kepada 61.9 peratus manakala gas asli dijangka
meningkat kepada 15.8 peratus pada tahun 2010.
19.24
Sektor pengangkutan dan industri akan terus merupakan pengguna utama
tenaga dalam tempoh Rancangan. Permintaan tenaga sektor pengangkutan
dijangka mencapai 41.1 peratus pada tahun 2010 manakala permintaan
tenaga sektor industri 38.8 peratus, seperti ditunjukkan dalam Jadual
19-2. Pertumbuhan permintaan tenaga yang pesat dalam sektor
pengangkutan, antara lain, disebabkan oleh peningkatan keperluan
perkhidmatan pengangkutan bagi sektor pembuatan dan pertanian serta
industri pelancongan. Bagi sektor industri, industri intensif tenaga
seperti kimia, simen dan seramik, besi dan keluli serta pemprosesan
makanan dijangka kekal sebagai pengguna utama tenaga.
Bekalan Tenaga
19.25
Bekalan tenaga yang terjamin, andal, berkualiti dan berkesan kos akan
ditingkatkan menerusi campuran tenaga yang optimum terutamanya daripada
sumber domestik. Bagi memenuhi keperluan tenaga negara, jumlah bekalan
tenaga diunjur mencapai 3,128 PJ pada tahun 2010. Peratusan minyak
mentah dan produk petroleum dijangka berkurang kepada 44.7 peratus
manakala arang batu meningkat kepada 11.2 peratus. Harga minyak mentah
yang tinggi di pasaran antarabangsa dijangka kekal dalam tempoh
Rancangan. Sehubungan ini, usaha akan terus dipergiat bagi mengurangkan
kebergantungan pada produk petroleum dan pada masa yang sama
menggunakannya secara cekap. Di samping itu, usaha akan dipergiat bagi
meningkatkan bekalan dan penggunaan bahan api alternatif termasuk RE.
Pada tahun 2010, RE dijangka menyumbang 350 MW kepada bekalan tenaga.
Minyak Mentah
19.26
Bagi memastikan bekalan minyak dan gas yang mampan, usaha akan
diteruskan bagi membangunkan lapangan minyak kecil di luar pesisir
pantai serta kawasan laut dalam terutamanya di Sabah dan Sarawak. Usaha
berterusan akan diambil bagi menarik syarikat minyak antarabangsa untuk
melabur dalam aktiviti cari gali terutamanya di lapangan laut dalam
dengan kedalaman lebih 200 meter dan laut ultra dalam dengan kedalaman
melebihi 1 kilometer bagi meningkatkan rizab minyak domestik. Di
samping itu, kerjasama dengan kontraktor perkongsian pengeluaran akan
diteruskan untuk mengenal pasti peluang memaksimumkan penemuan rizab.
Dalam tempoh Rancangan, pengeluaran purata minyak mentah dijangka
sebanyak 695,000 tong sehari.
19.27
PETRONAS akan terus mengkaji operasi huluan dan hiliran di luar negara
bagi menghadapi cabaran dalam pasaran minyak global. Usaha juga akan
dijalankan untuk memperolehi lebih banyak rizab dan meningkatkan
pengeluaran daripada pelaburan di luar negara serta mengembangkan
operasi hiliran mereka.
Gas Asli
19.28
Usaha akan dipertingkatkan untuk membangunkan sumber tenaga domestik
serta memperoleh bekalan dari luar negara bagi memastikan bekalan gas
asli yang berterusan dalam jangka panjang. Bagi memenuhi peningkatan
permintaan domestik di Semenanjung Malaysia, bekalan gas asli dari
Natuna Barat, Indonesia dijangka meningkat kepada 250 jkps manakala
daripada MTJDA 390 jkps. Jumlah ini merupakan kira-kira 20 peratus
daripada jumlah bekalan gas pada tahun 2010.
19.29
Penggunaan gas asli di Semenanjung Malaysia dijangka meningkat pada
kadar purata 4.3 peratus setahun untuk mencapai 2,647 jkps pada tahun
2010. Sektor elektrik dijangka kekal sebagai pengguna utama gas asli
dengan penggunaan diunjurkan mencapai 1,653 jkps pada tahun 2010. Bagi
sektor bukan elektrik, penggunaan gas oleh industri dijangka meningkat
kepada 779 jkps disebabkan harga gas yang kompetitif serta pembangunan
kawasan perindustrian baru dan perkembangan industri sedia ada.
19.30
Rangkaian NGDS akan diperluas sepanjang 640 kilometer lagi kepada 2,005
kilometer di akhir tempoh Rancangan melibatkan pelaburan sebanyak RM640
juta. Pertumbuhan tahunan purata bekalan gas melalui rangkaian NGDS
dijangka meningkat 8.2 peratus setahun untuk mencapai 267 jkps pada
tahun 2010.
19.31
Bagi menggalakkan lebih banyak penggunaan gas asli untuk kenderaan
(NGV) dalam sektor pengangkutan, 54 stesen baru NGV akan dibina
menjadikan keseluruhannya 94 pada akhir tempoh Rancangan. Langkah akan
diambil untuk menggalakkan penggunaan NGV secara lebih meluas termasuk
membangunkan stesen NGV khusus, pakej pembiayaan bagi pengubahsuaian
kenderaan kepada NGV serta mempergiat program penyelidikan dan
pembangunan (R&D). Di samping itu, insentif akan dikaji semula
untuk menggalakkan pengusaha pengangkutan mengubah suai kenderaan bagi
menggunakan NGV.
19.32
Sejumlah RM43.8 bilion dijangka dilaburkan oleh PETRONAS dalam tempoh
Rancangan. Daripada jumlah ini, RM13.1 bilion atau 30.0 peratus akan
dibelanjakanbagi aktiviti cari gali minyak dan gas serta aktiviti
pembangunan dan pengeluaran dan pengeluaran untuk meningkatkan bekalan
minyak dan gas dalam jangka panjang.Baki berjumlah RM30.7 bilion akan
digunakan untuk menaik taraf infrastruktur pembekalan minyak dan gas,
meningkatkan bilangan stesen perkhidmatan serta mengembangkan industri
petrokimia.
Arang Batu
19.33
Penggunaan arang batu bagi penjanaan elektrik dijangka mencapai 19.0
juta tan metrik dan kegunaan oleh industri 2.2 juta tan metrik
terutamanya berikutan daripada beroperasinya dua loji baru berasaskan
arang batu di Semenanjung Malaysia. Usaha akan diteruskan untuk
meningkatkan jaminan bekalan dengan meneroka potensi untuk membangunkan
sumber tempatan terutamanya di Sarawak serta mendapatkan bekalan jangka
panjang dari luar negara.
Elektrik
19.34
Selaras dengan petunjuk ekonomi negara yang positif, permintaan puncak
bagi elektrik dijangka meningkat pada kadar purata 7.8 peratus setahun
kepada 20,087 MW pada tahun 2010, seperti ditunjukkan dalam Jadual
19-4. Pada akhir tempoh Rancangan, keupayaan terpasang terkumpul
dijangka meningkat kepada 25,258 MW. Berikutan dengan ini, rizab margin
keseluruhan dijangka berkurang ke paras yang lebih berkesan kos, iaitu
25.7 peratus. Rizab margin bagi Semenanjung Malaysia pada paras 25.4
peratus, Sabah 37.2 peratus dan Sarawak 23.5 peratus adalah mencukupi
untuk memenuhi permintaan yang dijangka meningkat
19.35
Sejajar dengan usaha untuk mengurangkan rizab margin ke paras 20
peratus dalam jangka panjang, pelaksanaan projek penjanaan elektrik
yang telah diluluskan di Semenanjung Malaysia akan ditangguhkan dan
pembinaan loji baru akan hanya dilaksanakan dalam tempoh Rancangan akan
datang. Di samping itu, konsep perkongsian risiko permintaan akan
diperluas kepada PPA baru bagi membolehkan perkongsian kos antara
syarikat utiliti dengan IPP untuk mengekalkan rizab margin. Kajian
mengenai kaedah penswastaan dan peraturan pelepasan kos bahan api dalam
PPA baru akan dilaksanakan bagi memastikan penggunaan sumber yang
optimum, perkongsian risiko antara syarikat utiliti dengan IPP serta
meminimumkan kos syarikat utiliti. Inisiatif ini dijangka meningkatkan
kecekapan dan daya maju syarikat utiliti dan IPP dan seterusnya
meningkatkan bekalan elektrik yang terjamin, andal, berkualiti dan
berkesan kos kepada pengguna. Sehubungan ini, usaha juga akan
dilaksanakan untuk menanda aras pencapaian syarikat utiliti tempatan
dengan syarikat utiliti
luar negara.
19.36
Dua IPP baru berasaskan arang batu di Tanjung Bin, Johor dan Jimah,
Negeri Sembilan dengan keupayaan terpasang berjumlah 3,500 MW akan
beroperasi dalam tempoh Rancangan. Loji janakuasa baru tersebut akan
menggunakan pemendak elektrostatik dan proses nyahsulfur gas serombong
untuk memenuhi piawai alam sekitar. Sebagai langkah untuk menggalakkan
penggunaan sisa pepejal, projek perintis penjanaan elektrik menggunakan
sisa pepejal perbandaran akan dilaksanakan di Semenanjung Malaysia.
19.37
Di Sabah, loji berasaskan gas yang baru dengan keupayaan 100 MW akan
mula beroperasi manakala loji 120 MW kitar terbuka akan ditukar kepada
loji 190 MW kitar padu pada tahun 2006. Di samping itu, sebuah loji
berasaskan gas dengan keupayaan 190 MW akan beroperasi pada tahun 2008.
Bagi memenuhi permintaan serta memastikan bekalan elektrik yang andal
di pantai timur, sebuah loji berasaskan arang batu berkeupayaan 300 MW
akan dibina untuk beroperasi pada tahun 2009/2010. Di Sarawak,
keupayaan penjanaan juga akan ditambah dengan bermulanya operasi loji
janakuasa baru, termasuk loji berasaskan gas berkeupayaan 100 MW di
Bintulu pada tahun 2006. Projek Hidroelektrik Bakun dengan keupayaan
terpasang sebanyak 2,400 MW akan mula beroperasi pada 2009/2010.
19.38
Bagi mencapai sistem bekalan elektrik yang lebih terjamin, batas
perancangan 10 hingga 15 tahun akan dipertimbangkan untuk mengambil
kira masa mendulu yang diperlukan bagi pembangunan loji arang batu dan
loji hidro elektrik. Bagi meningkatkan penggunaan sumber secara lebih
cekap, projek penjanaan elektrik pada masa hadapan akan dipertimbangkan
melalui proses pembidaan. Langkah ini juga akan membolehkan Kerajaan
menetapkan keupayaan, jenis bahan api dan lokasi projek penjanaan
dengan lebih awal berdasarkan keperluan sistem. Bekalan daripada sumber
lain khususnya kuasa hidro akan dipertimbangkan bagi memastikan bekalan
elektrik yang terjamin, meminimumkan kos penjanaan serta memenuhi
objektif alam sekitar.
19.39
Campuran bahan api bagi penjanaan elektrik dalam tempoh Rancangan
sebahagian besarnya akan merangkumi arang batu dan gas asli. Dengan
beroperasinya loji berasaskan arang batu Tanjung Bin dan Jimah,
peratusan arang batu dalam campuran penjanaan akan meningkat kepada
36.5 peratus pada tahun 2010, seperti ditunjukkan dalam Jadual 19-5.
Peratusan gas dalam campuran bahan api dijangka berkurang kepada 55.9
peratus manakala minyak dan hidro di bawah 10.0 peratus.
19.40
Prestasi sistem penghantaran akan terus ditingkatkan dalam usaha untuk
memastikan bekalan elektrik yang terjamin dan andal. Sehubungan ini,
operasi dan penyenggaraan sistem akan ditingkatkan. Di samping itu,
sistem penghantaran yang merentasi sempadan seperti Grid Sambungtara
Semenanjung Malaysia–Sumatera akan diusahakan untuk membantu
pelaksanaan projek Grid Elektrik Trans-ASEAN (TAPG).
19.41
Di Semenanjung Malaysia, inisiatif akan diambil untuk meningkatkan
bekalan elektrik yang terjamin dan andal di pusat beban utama. Langkah
ini termasuk pembinaan talian penghantaran baru untuk Pengukuhan
Kawasan Tengah di Lembah Klang, Pengukuhan Kawasan Utara dari Manjung
di Perak ke Pulau Pinang dan Pengukuhan Kawasan Selatan-Tengah dari
Sepang ke Puchong. Berikutan ini, rangkaian penghantaran di Semenanjung
Malaysia dijangka meningkat kepada 20,860 kilometer-litaran
(km-litaran) pada tahun2010. Bagi kawasan yang memerlukan bekalan
elektrik tanpa gangguan, satu skim islanding akan dilaksanakan untuk
memastikan bekalan yang terjamin. Dalam tempoh Rancangan,skim tersebut
akan meliputi kawasan Putrajaya dan Cyberjaya.
19.42
Grid Sambungtara Timur Barat di Sabah akan siap dibina pada tahun2006.
Penyepaduan grid tersebut dengan Grid Pantai Timur dan Grid Utara akan
membentuk satu sistem penghantaran utama baru sebagai tulang belakang
yang akan membolehkan penghantaran bekalan elektrik antara pantai barat
dengan pantai timur Sabah serta menyumbang kepada kestabilan dan
keselamatan sistem. Hasilnya, rangkaian Grid Sabah akan berjumlah 2,670
km-litaran. Di Sarawak, Grid SESCO akan diperluas untuk menampung
penambahan keupayaan penjanaan. Talian penghantaran baru juga akan
dibina bagi membekalkan elektrik dari projek Bakun ke Kemena dan
Balingian. Pada akhir tempoh Rancangan, talian penghantaran di Sarawak
dijangka mencapai 1,620 km-litaran.
19.43
Dalam tempoh Rancangan, rangkaian pengagihan di Semenanjung Malaysia
akan diperluas selaras dengan pertumbuhan kawasan perindustrian, bandar
dan perumahan yang baru. Rangkaian pengagihan di Sabah dan Sarawak akan
dinaik taraf bagi menyambungkan bekalan elektrik ke kawasan pedalaman
serta memastikan bekalan yang andal. Pada akhir tempoh Rancangan,
rangkaian di Semenanjung Malaysia dijangka mencapai 424,190 km-litaran,
Sabah 9,120 km-litaran dan Sarawak 25,950 km-litaran.
19.44
Pelaksanaan program bekalan elektrik luar bandar akan dipergiat untuk
meningkatkan kualiti hidup masyarakat luar bandar terutamanya di Sabah
dan Sarawak. Sehubungan ini, sebanyak 54,680 unit rumah akan dibekalkan
elektrik menggunakan teknologi seperti sistem hibrid suria dan
hidromikro. Amaun yang lebih besar daripada Akaun Amanah Industri
Bekalan Elektrik akan digunakan untuk melaksanakan program tersebut.
Pada akhir tempoh Rancangan, liputan elektrik luar bandar di Sabah
dijangka meningkat kepada 80.6 peratus dan Sarawak 89.6 peratus.
19.45
Dalam tempoh Rancangan, produktiviti dan kecekapan sistem bekalan
elektrik akan ditingkatkan dengan pemakaian sistem Penyeliaan Kawalan
dan Perolehan Data (SCADA) secara lebih meluas serta peningkatan
kualiti bekalan elektrik. Usaha juga akan diambil untuk meningkatkan
kecekapan dalam mengendalikan aduan pelanggan seperti pengurangan
tempoh untuk mengambil tindakan ke atas aduan dan penambahbaikan
penyampaian perkhidmatan. Di samping itu, program mengeratkan
perhubungan pelanggan akan diperluas untuk meningkatkan kualiti bekalan
elektrik kepada pelanggan utama khususnya sektor perindustrian. Usaha
juga akan diambil untuk menanda aras prestasi sistem bekalan elektrik
dengan negara lain.
Tenaga Boleh Diperbaharu
19.46
Pembangunan dan penggunaan sumber RE akan dipergiatkan dalam tempoh
Rancangan. Bagi tujuan ini, usaha akan dipertingkatkan untuk mewujudkan
persekitaran yang lebih kondusif bagi menyokong pelaksanaan projek
SREP. Sehubungan ini, kajian semula terma dan syarat Perjanjian
Pembelian Tenaga Boleh Diperbaharu (REPPA) serta isu berkaitan dengan
daya maju projek seperti jaminan bekalan bahan api untuk jangka panjang
dan pembiayaan dijangka akan dapat dimuktamadkan. Kemudahan Clean
Development Mechanism (CDM) akan juga digunakan untuk membantu
pelaksanaan projek SREP. Projek RE menggunakan sisa pepejal perbandaran
juga akan digalakkan. Sejumlah 300 MW dijangka dapat dijana dan
dihubungkan kepada Grid TNB di Semenanjung Malaysia dan 50 MW ke Grid
SESB di Sabah menjelang tahun 2010. Sumber RE lain seperti sistem
stand-alone bagi hibrid suria akan dibangunkan manakala co-generation
berasaskan biojisim akan ditingkatkan dalam tempoh Rancangan.
19.47
Sumber tenaga baru seperti suria dan angin akan dibangunkan dengan
penekanan terhadap penggunaan teknologi yang berkesan kos serta
pengukuhan bina upaya. Sehubungan ini, usaha akan diambil untuk
menyelaraskan aktiviti R&D yang dijalankan oleh pelbagai pusat
penyelidikan berkaitan tenaga. Di samping itu, aktiviti di bawah
panduan hala tuju bagi suria, hidrogen dan sel bahan api seperti
pembangunan teknologi dan perkongsian pengetahuan akan dilaksanakan
manakala mekanisme pembiayaan akan diteliti. Inisiatif untuk
mempertingkat keupayaan dalam negeri dalam membangunkan teknologi
tempatan berasaskan RE sebagai sumber pertumbuhan baru akan diberi
sokongan.
19.48
Usaha untuk menggalakkan pembangunan biofuel menggunakan minyak sawit
sebagai sumber RE akan dilaksanakan dalam tempoh Rancangan selaras
dengan inisiatif untuk menjadikan negara ini peneraju dan hab minyak
sawit dunia. Beberapa stesen minyak terpilih terutamanya di Lembah
Klang dijangka mula membekalkan minyak diesel yang diadun dengan 5.0
peratus minyak sawit olein pada 2006. Bagi fasa permulaan, minyak
diesel yang diadun akan digunakan oleh kenderaan agensi Kerajaan yang
terpilih. Peraturan bagi pengadunan minyak diesel petroleum dengan
minyak sawit olein akan dirangka. Usaha juga akan diambil untuk
menggalakkan eksport diesel berasaskan sawit.
Kecekapan Tenaga
19.49
Pelaksanaan program kecekapan tenaga (EE) akan ditumpukan kepada ciri
penjimatan tenaga dalam sektor industri dan komersil. Sehubungan ini,
ciri EE seperti sistem lampu dan penyaman udara yang cekap serta
pewujudan sistem pengurusan tenaga komprehensif akan digalakkan. Di
samping itu, sektor industri akan digalakkan untuk melaksanakan langkah
meningkatkan EE termasuk penambahbaikan kepada loji, peralatan dan
proses serta penggunaan akhir. Sehubungan ini, usaha akan diambil untuk
memperkenal Peraturan-Peraturan Pengurusan Tenaga Elektrik Yang Cekap,
meminda Undang-undang Kecil Bangunan Seragam (UBBL), melabel
kelengkapan elektrik dan menggalakkan penggunaan motor kecekapan
tinggi. Inisiatif untuk membangunkan kepakaran tempatan dalam
penghasilan peralatan dan jentera yang cekap tenaga sebagai sumber
pertumbuhan baru juga akan diberi sokongan.
19.50
Usaha untuk meningkatkan kesedaran mengenai EE akan terus dipergiat.
Sehubungan ini, kursus RE dan EE yang sesuai akan dilaksanakan di
institusi pendidikan tinggi. Kursus khusus mengenai perancangan dan
pengurusan tenaga akan diperkenalkan untuk meningkatkan keupayaan
golongan profesional dalam pengurusan berkaitan tenaga. Bagi
meningkatkan EE secara meluas di bangunan kerajaan, amalan penggunaan
tenaga yang cekap seperti lampu dan penyaman udara yang optimum akan
dilaksanakan. Audit tenaga akan dijalankan pada bangunan kerajaan untuk
mengenal pasti langkah tambahan yang boleh dilaksanakan bagi
meningkatkan EE. Di bawah projek MIEEIP, audit tenaga akan diperluas
kepada industri oleokimia, plastik dan tekstil menjadikan bilangan
industri yang diaudit kepada 11 di akhir tempoh Rancangan. Sebagai
sokongan tambahan kepada pelaksanaan inisiatif RE dan EE, insentif
kewangan dan fiskal yang sedia ada seperti Elaun Modal Dipercepat akan
ditambah baik dalam tempoh Rancangan.
Harga Tenaga
19.51
Dalam tempoh Rancangan, inisiatif akan diambil untuk mengkaji semula
struktur harga tenaga bagi menggambarkan harga pasaran pelbagai sumber
tenaga alternatif dan menggalakkan penggunaan tenaga yang lebih cekap
di samping meminimumkan pembaziran tenaga. Sehubungan ini, subsidi
harga tenaga akan dikaji semula bagi mengurangkannya secara
berperingkat. Di samping itu, pengurusan penggunaan tenaga akan diberi
penekanan untuk memastikan sumber tenaga yang semakin susut dan
berkurangan digunakan secara optimum dan cekap.
Kerjasama Serantau Mengenai Tenaga
19.52
Di peringkat serantau, Malaysia akan terus menyokong Pelan Tindakan
Bagi Kerjasama Tenaga ASEAN (APAEC). APAEC merangkumi empat bidang
kerjasama iaitu Projek TAPG; Projek Saluran Paip Gas Trans-ASEAN
(TAGP); Penggunaan Arang Batu Yang Mampan, Program Kecekapan dan
Pemuliharaan Tenaga; dan Tenaga Boleh Diperbaharu dan Program Dasar dan
Perancangan Tenaga Serantau. Sehubungan ini, rangkaian sambungan grid
elektrik dan saluran paip gas akan memberi manfaat yang besar dari segi
bekalan tenaga yang terjamin dan mampan. Di samping itu, isu berkaitan
bekalan tenaga yang terjamin juga akan diberi penekanan di bawah
kerjasama ASEAN Plus Three dan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).
IV : INSTITUSI PELAKSANA DAN PERUNTUKAN
19.53
Perancangan keseluruhan bagi pembangunan mampan sektor tenaga ke arah
memastikan bekalan tenaga yang mencukupi, terjamin, andal dan berkesan
kos akan terus diselaraskan oleh Unit Perancang Ekonomi (UPE). Di
samping itu, pelaksanaan projek penjanaan elektrik pada masa hadapan
melalui proses pembidaan dan projek perintis penjanaan elektrik
menggunakan sisa pepejal perbandaran juga akan diselaraskan oleh UPE.
Inisiatif berkaitan dengan pembangunan sumber RE dan peningkatan EE
akan diteraju oleh Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi. Pembangunan
biofuel pula akan diteraju oleh Kementerian Perusahaan Perladangan dan
Komoditi manakala program bekalan elektrik luar bandar oleh Kementerian
Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah. Program berkaitan dengan bekalan
tenaga yang terjamin, andal dan berkesan kos akan dilaksanakan
PETRONAS, TNB, SESB dan SESCO.
19.54
Perbelanjaan oleh Kerajaan Persekutuan dan pelaburan oleh Perusahaan
Awam Bukan Kewangan (PABK) dalam tempoh RMKe-8 berjumlah RM76.2 bilion,
seperti ditunjukkan dalam Jadual19-8. Perbelanjaan industri bekalan
elektrik berjumlah RM27.9 bilion manakala industri minyak dan gas
RM48.3 bilion. Dalam tempoh RMKe-9, Kerajaan Persekutuan akan
memperuntukkan sebanyak RM1.8 bilion bagi pembangunan sektor tenaga
manakala perbelanjaan pelaburan oleh PABK berjumlah RM71.7 bilion.
Jadual 19-8 : Perbelanjaan & Peruntukan Pembangunan Untuk Program Sektor Tenaga, 2000-2010 (RM Juta)
V : PENUTUP
19.55 Dalam tempoh RMKe-8, bekalan tenaga yang terjamin telah dipertingkatkan dengan penambahan keupayaan penjanaan elektrik serta rizab minyak dan gas. Langkah juga diambil untuk menambah baik bekalan tenaga dan meminimumkan kemungkinan berlaku gangguan bekalan. Pembangunan sektor tenaga yang mampan akan diberi tumpuan dalam tempoh RMKe-9 bagi membolehkannya menyumbang ke arah memperkukuh pertumbuhan ekonomi. Sehubungan ini, penekanan akan terus diberikan ke arah memastikan bekalan tenaga yang terjamin, andal dan berkesan kos serta meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada pengguna. Pendekatan berasaskan pasaran dalam penentuan harga tenaga akan diguna pakai secara berperingkat untuk memas tikan pengagihan sumber tenaga secara lebih cekap. Usaha akan dipergiat ke arah meningkatkan penggunaan RE, terutamanya untuk penjanaan elektrik dan penggunaan biofuel dalam sektor pengangkutan. Inisiatif EE juga akan diambil bagi memastikan penggunaan sumber tenaga yang cekap dan bagi meminimumkan pembaziran. Rizab margin akan dikurangkan secara berperingkat kepada 20 peratus dan pembinaan projek penjanaan elektrik baru tidak akan dilaksanakan dalam tempoh Rancangan.
Di pos oleh Arbain Muhayat pada 20 December 2008