BAB 18 : MEMPERTINGKATKAN INFRASTRUKTUR, KEMUDAHAN AWAM DAN PENGANGKUTAN BANDAR
I : PENDAHULUAN
18.01
Dalam tempoh Rancangan Malaysia Kelapan (RMKe-8), pembangunan
infrastruktur dan kemudahan awam menyumbang kepada perkembangan
rangkaian pengangkutan, bekalan air dan sistem pembetungan. Projek
infrastruktur menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi melalui pewujudan
rantaian dan faedah limpahannya. Langkah juga diambil bagi meningkatkan
kecekapan dan keandalan kemudahan dan perkhidmatan infrastruktur untuk
menyokong aktiviti perdagangan dan perniagaan serta meningkatkan
kualiti hidup.
18.02
Teras pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam dalam tempoh
Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9) akan memberikan tumpuan kepada
peningkatan liputan rangkaian dan penggunaan kemudahan sedia ada secara
lebih optimum bagi menyokong aktiviti ekonomi. Peningkatan akses kepada
kemudahan infrastruktur di kawasan luar bandar, mod dan perkhidmatan
pengangkutan yang lebih bersepadu serta sistem bekalan air yang
berkualiti dan andal akan merupakan teras dalam perancangan serta
pelaksanaan projek infrastruktur. Langkah akan dilaksanakan untuk
mempertingkatkan pelbagai mod pengangkutan awam terutamanya di kawasan
bandar bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas dan pencemaran udara.
Aspek alam sekitar akan diberikan penekanan dalam perancangan dan
pelaksanaan projek untuk memastikan pembangunan mampan.
II : KEMAJUAN 2001-2005
18.03
Pembangunan infrastruktur terus diberikan keutamaan dalam tempoh RMKe-8
memandangkan kemudahan dan perkhidmatan infrastruktur yang cekap dan
andal adalah penting untuk menyokong pertumbuhan ekonomi. Sejumlah
RM38.7 bilion dibelanjakan untuk meningkatkan keupayaan serta menaik
taraf dan membaik pulih rangkaian infrastruktur dan kemudahan awam bagi
memenuhi permintaan yang bertambah dan meningkatkan kualiti
perkhidmatan.
Jalan Raya
18.04
Program pembangunan jalan raya telah dilaksana berdasarkan strategi
serampang tiga mata, iaitu meningkatkan keupayaan, menyediakan akses ke
kawasan luar bandar dan pembangunan baru serta meningkatkan keselamatan
jalan raya. Sejumlah RM18.5 bilion dibelanjakan untuk pembangunan jalan
raya manakala 22 projek dengan perbelanjaan berjumlah RM4 bilion
dilaksanakan di bawah skim bayaran tertangguh. Beberapa jalan raya
utama seperti Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 dari Karak ke Kuantan di
Pahang, Jalan Pintas Muar di Johor, Jalan Nangoh-Kanibungan di Sabah
dan Jalan Tanjung Kidurung-Suai-Bakam di Sarawak telah siap dibina
untuk menyokong pembangunan koridor timur Semenanjung Malaysia serta
Sabah dan Sarawak. Di bawah program penswastaan, sejumlah RM4 bilion
dilaburkan untuk menyiapkan empat lebuhraya bertol dan memulakan
pelaksanaan enam projek baru.
18.05
Di bawah program keselamatan jalan raya, keadaan jalan bagi 34 lokasi
yang sering berlaku kemalangan dibaiki manakala 280 cerun berbahaya
diperkukuh untuk memastikan keselamatan pengguna jalan raya. Di samping
itu, sepanjang 122 kilometer (km) laluan motosikal dibina di beberapa
jalan raya utama bagi mengurangkan kemalangan. Kempen keselamatan yang
diselaraskan dengan lebih baik untuk meningkatkan amalan keselamatan
jalan raya telah mengurangkan bilangan kemalangan. Kadar kemalangan
maut berkurang daripada 5.7 kematian bagi 10,000 kenderaan berdaftar
pada tahun 2000 kepada 4.2 pada tahun 2005.
18.06
Tumpuan juga diberikan untuk meningkatkan akses ke kawasan luar bandar.
Bagi tujuan ini, sejumlah RM714 juta dibelanjakan untuk membina 340 km
jalan luar bandar dengan piawai minimum JKR-R31. Di samping itu,
sebanyak RM1.6 bilion dibelanjakan untuk membina dan menyenggara 500 km
jalan kampung bagi menyediakan akses kepada 2.5 juta penduduk.
18.07
Pembinaan jalan raya baru yang lebih pesat telah meningkatkan rangkaian
dan jarak jalan raya daripada 66,391 km pada tahun 2000 kepada 77,673
km pada tahun 2005. Sehubungan ini, Indeks Pembangunan Jalan Raya (RDI)
meningkat daripada 0.75 kepada 0.85. Kebanyakan negeri di Semenanjung
Malaysia mencatatkan RDI yang lebih tinggi berbanding dengan indeks
kebangsaan, seperti ditunjukkan dalam Jadual 18-1.
Pengangkutan Bandar
18.08
Strategi pengangkutan bandar ditumpukan kepada pembangunan sistem
pengangkutan awam yang bersepadu, cekap dan andal bagi menggalakkan
pengguna lebih menggunakan pengangkutan awam, khususnya di Lembah
Klang.
1 JKR-R3 jalan mempunyai kelebaran minimum 3 meter dan had laju 70 km sejam.
Jadual 18-1 : Petunjuk Pembangunan Jalanraya, 2000-2005
Nota:
1 Ukuran panjang lorong jalan raya dibahagikan dengan jumlah keluasan kawasan.
2 Ukuran jumlah panjang lorong jalan raya bagi 1,000 penduduk.
3 Ukuran tahap pembangunan jalan raya yang mengambil kira keluasan dan jumlah penduduk negara.
Langkah yang diambil termasuk penyusunan
semula sistem pengangkutan awam menerusi program Integrasi dan
Penyusunan Semula Pengangkutan Awam di Lembah Klang (INSPAK). Di bawah
program INSPAK, perkhidmatan bas dipertingkatkan khususnya bagi
menyokong sistem rel bandar dan seterusnya mengoptimumkan potensi
sistem rel sebagai tulang belakang perkhidmatan pengangkutan awam di
Lembah Klang. Projek infrastruktur seperti pembinaan jejantas dan
laluan pejalan kaki berbumbung ke stesen dilaksanakan untuk melancarkan
hubungan antara stesen rel bandar. Dalam tempoh Rancangan, penumpang
purata sehari bagi semua perkhidmatan rel bandar menunjukkan
peningkatan, seperti ditunjukkan dalam Jadual 18-2.
18.09
Kajian Dasar dan Strategi Pengangkutan Negara yang disiapkan pada tahun
2003 menyediakan inventori dan mengemas kini status rancangan, kajian
serta projek pengangkutan dan projek yang berkaitan dengan pengangkutan
yang dilaksanakan oleh Kerajaan. Kajian mendapati kebanyakan kenyataan
dasar lebih khusus kepada mod tertentu dan berkaitan dengan pembangunan
mod tersebut sahaja. Sehubungan ini, keperluan dan isu dalam
membangunkan dasar pengangkutan negara yang menyeluruh termasuk
pengangkutan bandar juga dikenal pasti.
Jadual 18-2 : Penumpang Purata Sehari Perkhidmatan Rel Bandar, 2001-2005
18.10
Projek Sistem Maklumat Pengangkutan Bersepadu (ITIS) yang meliputi
kawasan seluas 243 km persegi merangkumi Bandaraya Kuala Lumpur dan
kawasan sekitarnya disiapkan pada akhir tahun 2005. Pengusaha
pengangkutan awam dan pengguna jalan raya lain dapat menggunakan
kemudahan ITIS untuk mendapatkan maklumat trafik semasa serta mengenal
pasti lokasi kenderaan supaya dapat merancang perjalanan dengan lebih
berkesan. Maklumat semasa boleh diperoleh melalui laman web ITIS, pusat
panggilan ITIS, paparan visual dan radio.
18.11
Projek utama jalan bandar yang dilaksanakan untuk menambah baik aliran
lalu lintas di Kuala Lumpur termasuk projek Stormwater Management and
Road Tunnel (SMART) serta jejambat Kampung Pandan-Sultan Ismail dan
Jalan Mahameru-Jalan Sentul. Projek lain yang dimulakan pembinaannya
termasuk persimpangan bertingkat Jalan Tebrau-Pasir Gudang, Johor dan
Karamunsing, Kota Kinabalu di Sabah serta Jalan Lingkaran Luar
Butterworth (BORR), Pulau Pinang.
Pengangkutan Kereta Api
18.12
Pembangunan subsektor kereta api ditumpukan ke arah meningkatkan
kecekapan dan kualiti perkhidmatan untuk menyediakan perkhidmatan
bersepadu yang selamat, cekap dan andal bagi kereta api penumpang dan
barang. Projek utama yang dilaksanakan untuk menaik taraf infrastruktur
kereta api termasuk projek landasan berkembar elektrik Rawang-Ipoh,
membaik pulih landasan dan jambatan, pemodenan sistem semboyan dan
komunikasi serta pembelian lokomotif dan gerabak. Landasan khusus dari
Kempas ke Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Johor dan dari Kerteh ke
Pelabuhan Kuantan telah disiapkan. Walau bagaimanapun, tarikh siap
projek landasan berkembar Rawang-Ipoh dijadualkan semula dari bulan
Oktober 2004 kepada bulan Disember 2007.
18.13
Penstrukturan semula telah dilaksanakan untuk meningkatkan daya maju
operasi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB). Langkah ini melibatkan,
antara lain, penyusunan semula organisasi KTMB kepada tiga unit
perniagaan strategik (SBU), iaitu Perkhidmatan Pengangkutan Barang,
Antara Bandar dan Komuter untuk beroperasi sebagai entiti perniagaan
autonomi manakala ibu pejabat menyediakan khidmat sokongan dari segi
penggubalan dasar dan hala tuju yang strategik. SBU Perkhidmatan
Pengangkutan Barang kekal sebagai penyumbang utama kepada hasil KTMB.
18.14
Bagi meningkatkan perkhidmatan kereta api di Sabah, projek menaik taraf
infrastruktur kereta api dari Tanjung Aru ke Tenom dilaksanakan secara
bersama oleh KTMB dengan Jabatan Keretapi Negeri Sabah. Penggantian
landas dan pembaikan kecil lokomotif dan gerabak disiapkan pada tahun
2003 manakala kerja menaik taraf dan memperkukuh landasan, jambatan dan
stesen serta sistem semboyan dan komunikasi telah dimulakan pada tahun
2005.
Pelabuhan
18.15
Pembangunan pelabuhan terus ditumpukan ke arah menambah keupayaan,
menaik taraf peralatan dan kemudahan serta meningkatkan kecekapan
perkhidmatan pelabuhan dan perkhidmatan berkaitan. Projek utama
dilaksanakan untuk meningkatkan keupayaan pelabuhan termasuk pembinaan
dermaga tambahan Pelabuhan Barat di Pelabuhan Klang, PTP, Pelabuhan
Pulau Pinang dan Pelabuhan Kuantan serta terminal kontena dan jeti
minyak di Teluk Sapangar, Sabah dan Second Inner Harbour Basin di
Pelabuhan Bintulu, Sarawak.
18.16
Jumlah kargo yang dikendalikan di pelabuhan meningkat daripada 223.9
juta tan metrik pada tahun 2000 kepada 369.4 juta tan metrik pada tahun
2005, seperti ditunjukkan dalam Jadual 18-3. Antara pelabuhan utama,
Pelabuhan Klang mencatatkan peningkatan 57 peratus dalam pengendalian
kontena daripada 70 juta tan metrik pada tahun 2000 kepada 110 juta tan
metrik pada tahun 2005 manakala PTP meningkat 102 peratus daripada 29.5
juta tan metrik kepada 59.6 juta tan metrik. Pelabuhan Klang dan PTP
disenaraikan pada kedudukan ke-13 dan ke-16 di dunia pada tahun 2004
mengikut bilangan kontena yang dikendalikan seperti dilaporkan dalam
Containerisation International Year Book 2005.
18.17
Sungai digunakan sebagai mod perkhidmatan pengangkutan dan juga untuk
menggalakkan pelancongan, terutamanya di Sarawak dan Melaka. Terminal
bot ekspres dan jeti dibina dan dinaik taraf bagi meningkatkan
keselamatan dan keselesaan pengangkutan sungai diSarawak. Projek
membersihkan dan mencantikkan Sungai Melaka juga dilaksanakan termasuk
pembinaan benteng sungai, laluan pejalan kaki dan jambatan.
Jadual 18-3 : Keupayaan Pelabuhan,
Bilangan Dermaga, Kren, Kapal Singgah dan Jumlah Kargo yang
Dikendalikan di Pelabuhan, 2000-2010
Lapangan Terbang
18.18
Dalam tempoh RMKe-8, jumlah penumpang yang dikendalikan di lapangan
terbang meningkat daripada 32.9 juta pada tahun 2000 kepada 42.8 juta
pada tahun 2005. Kemudahan lapangan terbang dinaik taraf untuk memenuhi
permintaan trafik udara yang meningkat. Di Sarawak, lapangan terbang
baru dibina di Limbang dan Bintulu manakala lapangan terbang di Miri
dan Sibu dinaik taraf bagi melengkapkan mod pengangkutan lain
terutamanya ke kawasan pedalaman. Kerja menaik taraf lapangan terbang
di Alor Setar dan Kota Bharu juga disiapkan.
18.19
Usaha mempromosi Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) sebagai hab
udara menghasilkan pertambahan kekerapan penerbangan oleh syarikat
penerbangan sedia ada serta syarikat penerbangan baru yang memulakan
operasi. Bilangan penumpang yang dikendalikan di KLIA meningkat
daripada 16.8 juta pada tahun 2000 kepada 23.2 juta pada tahun 2005.
Dalam kaji selidik yang dijalankan oleh Airports Council International
(ACI) dan International Air Transport Association (IATA) pada tahun
2005 dari segi tahap kepuasan pelanggan, KLIA disenaraikan di tempat
ketiga dalam kategori lapangan terbang terbaik di dunia dan tempat
pertama dalam kategori 15-25 juta penumpang setahun.
Bekalan Air
18.20
Antara projek utama yang dilaksanakan bagi memastikan bekalan air yang
mencukupi dan berterusan untuk memenuhi permintaan air domestik dan
industri ialah pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Rasa Fasa II dan LRA
Bukit Badong Fasa II di Selangor, LRA Gadek di Melaka, LRA Gemencheh di
Negeri Sembilan dan LRA Bintulu di Sarawak. Empat empangan juga siap
dibina, iaitu Empangan Beris di Kedah, Empangan Chereh di Pahang,
Empangan Jus di Melaka dan Empangan Kelalong di Sarawak. Kapasiti
pengeluaran bekalan air telah meningkat daripada 11,917 juta liter
sehari (jlh) pada tahun 2000 kepada 14,226 jlh pada tahun 2005. Liputan
bekalan air pula meningkat daripada 92 peratus kepada 95 peratus dalam
tempoh yang sama.
18.21
Sejumlah RM640 juta dibelanjakan untuk mengurangkan kadar air tidak
terhasil (NRW). Beberapa langkah diambil termasuk mengganti paip lama
sepanjang 3,380 km dan meter air yang lama, mengurangkan kecurian air,
membaik pulih serta menaik taraf sistem bekalan air dan LRA. Hasilnya,
kadar NRW negara berkurang daripada 40 peratus pada tahun 2000 kepada
38 peratus pada tahun 2005.MUK
18.22
Selaras dengan dasar membekalkan air yang boleh diminum ke kawasan luar
bandar, sejumlah RM734 juta dibelanjakan untuk program Bekalan Air Luar
Bandar (BALB). Program ini terdiri daripada penyambungan paip daripada
paip utama bekalan air awam ke kawasan luar bandar, menaik taraf LRA
dan sistem bekalan air sedia ada serta pembinaan sistem retikulasi.
Program ini juga meliputi pelaksanaan sistem bekalan air alternatif.
Program BALB telah memberi manfaat kepada 41,000 orang di Semenanjung
Malaysia, 207,000 di Sabah dan 106,000 di Sarawak.
18.23
Perlembagaan Persekutuan dipinda pada bulan Januari 2005 untuk
memindahkan perkara yang berhubung dengan perkhidmatan bekalan air
daripada Senarai Negeri kepada Senarai Bersama. Pindaan tersebut
membolehkan Kerajaan Persekutuan mengawal selia perkhidmatan bekalan
air manakala pemilikan dan pengawalan sumber air, empangan dan kawasan
tadahan dikekalkan di bawah kerajaan negeri. Dua rang undang-undang
telah dirangka bertujuan mewujudkan industri perkhidmatan air yang
cekap dan berkesan serta pembentukan Suruhanjaya Perkhidmatan Air
Negara (SPAN) sebagai badan kawal selia perkhidmatan air.
Pembetungan
18.24
Antara projek utama yang dilaksanakan untuk menyediakan perkhidmatan
pembetungan yang cekap, andal dan mesra alam ialah Projek Pembetungan
Negara (NSP). Pembinaan NSP Fasa I yang terdiri daripada lima projek di
Kuala Lumpur dan Selangor telah dimulakan pada tahun 2004. Pembinaan
beberapa loji rawatan pembetungan (LRP) telah disiapkan seperti loji di
Bayan Baru, Kuala Terengganu, Port Dickson serta di Padang Mat Sirat
dan Pantai Tengah di Langkawi. Kemudahan pembetungan lain juga dibina
seperti tangki septik dan loji rawatan berkelompok manakala sistem
sedia ada dipertingkatkan dan dibaik pulih. Jumlah penduduk yang
disediakan kemudahan pembetungan meningkat daripada 6.7 juta pada tahun
2000 kepada 8.1 juta pada tahun 2005.
Tebatan Banjir
18.25
Sejumlah RM1.8 bilion dibelanjakan untuk mengurangkan bencana banjir
terutamanya di kawasan bandar. Usaha yang diambil untuk mengurangkan
banjir di Lembah Klang termasuk pembinaan projek SMART, kolam takungan
banjir di Batu dan Jinjang serta lencongan aliran air banjir. Masalah
banjir yang sering berlaku di sepanjang Sungai Muda dan dalam pekan
Baling, Kuala Ketil dan Sik di Kedah ditangani melalui pelaksanaan
projek Sungai Muda Fasa 1 yang merangkumi kerja memperbaik sungai dan
membina empang jajar. Pelaksanaan projek tebatan banjir utama yang lain
termasuk projek Sungai Perai dan Bertam-Kepala Batas di Pulau Pinang
serta projek Sungai Air Hitam dan Sungai Rasau di Selangor.
Pengeksportan Kepakaran
18.26
Kerajaan memberikan galakan dan sokongan kepada firma pembinaan
Malaysia untuk mencebur diri dalam projek pembinaan di luar negara
dengan menggunakan keupayaan dan kepakaran yang diperoleh daripada
pembangunan infrastruktur dalam negara. Sejumlah 76 firma pembinaan
telah melaksanakan 316 projek di luar negara bernilai RM17.6 bilion
terutamanya di wilayah Asia Selatan dan Timur Tengah.
III : PROSPEK 2006-2010
18.27
Teras pembangunan infrastruktur dalam tempoh RMKe-9 akan ditumpukan
kepada usaha meningkatkan penggunaan kemudahan infrastruktur sedia ada
dengan memberi penekanan kepada sistem penyampaian dan kualiti
perkhidmatan yang lebih baik, peluasan rangkaian ke kawasan kurang
membangun serta peningkatan keupayaan. Sehubungan ini, infrastruktur
akan dibangunkan untuk membantu pertumbuhan sektor lain berpandukan
kepada strategi yang berikut:
a) mempertingkatkan akses
kepada kemudahan infrastruktur yang berkualiti di kawasan luar bandar
bagi merapatkan jurang pembangunan antara luar bandar dengan kawasan
bandar;
b) menyediakan
perkhidmatan yang cekap dan andal bagi memastikan penggunaan kemudahan
infrastruktur secara optimum serta meningkatkan keselamatan dan
keselesaan pengguna;
c) mengoptimumkan
penggunaan sumber, terutamanya air melalui pengurusan mampan dan
penyediaan kemudahan infrastruktur yang lebih baik;
d) menggalakkan
penggunaan pengangkutan awam sebagai mod perjalanan utama khususnya di
kawasan bandar dengan meningkatkan penyepaduan pelbagai mod
pengangkutan;
e) meningkatkan tahap kecekapan dan keupayaan penyedia perkhidmatan infrastruktur; dan
f) menggalakkan eksport perkhidmatan kepakaran dalam pembinaan dan pengurusan projek.
Jalan Raya
18.28
Program pembangunan jalan raya akan dilaksanakan dengan memberikan
Ttumpuan kepada meningkatkan akses ke kawasan kurang membangun
terutamanya kawasan yang berpotensi untuk pembangunan pelancongan,
pertanian dan pusat pertumbuhan luar bandar. Kajian semula Pelan
Pembangunan Rangkaian Lebuhraya (HNDP) yang dijangka siap pada tahun
2006 akan mengenal pasti projek yang perlu diberikan keutamaan untuk
menambah baik rangkaian jalan raya di Semenanjung Malaysia. Kajian
semula HNDP akan mengenal pasti projek jalan raya yang boleh
dilaksanakan di bawah program penswastaan. Kajian lain juga akan
dilaksanakan untuk mengenal pasti rangkaian jalan raya yang diperlukan
untuk mempercepat pembangunan di Sabah dan Sarawak.
18.29
Di bawah program jalan luar bandar, lebih banyak jalan dengan piawai
minimum JKR-R3 akan dibina untuk memudahkan pengangkutan hasil
pertanian. Di samping itu, program ini akan diperluas untuk
menghubungkan kawasan penempatan semula dengan kawasan perindustrian
luar bandar dan ladang terutamanya di Sabah dan Sarawak bagi
meningkatkan mobiliti penduduk luar bandar yang bekerja di kawasan
berkenaan. Langkah ini akan membantu merapatkan jurang pembangunan
antara kawasan luar bandar dengan bandar.
18.30
Keselamatan jalan raya akan diberikan tumpuan dengan meningkatkan aspek
fizikal jalan dan memupuk etika berhemah di kalangan pengguna. Langkah
akan terus diambil untuk menambah baik kawasan kemalangan di jalan
utama, jalan negeri dan jalan perbandaran. Langkah ini termasuk
meluruskan jalan, menyediakan lorong memotong dan menambah baik tanda
jalan. Kerja pengukuhan ke atas cerun yang berisiko akan dilaksanakan
untuk mengelakkan kejadian tanah runtuh. Lebih banyak lintasan pejalan
kaki akan disediakan terutamanya di kawasan sekolah. Program
keselamatan jalan raya akan dipergiat untuk mengurangkan kemalangan
termasuk
penguatkuasaan undang-undang jalan raya yang lebih tegas.
Pengangkutan Bandar
18.31
Pembangunan pengangkutan bandar akan ditumpukan kepada usaha
menggalakkan peralihan mod pengangkutan daripada kenderaan persendirian
kepada pengangkutan awam untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas. Di
Lembah Klang, kadar penggunaan pengangkutan awam mengalami pengurangan
daripada 34 peratus pada tahun 1985 kepada 16 peratus pada tahun 2003.
Sehubungan ini, langkah akan dilaksanakan untuk meningkatkan penggunaan
pengangkutan awam berbanding dengan kenderaan persendirian dan
seterusnya mencapai nisbah 30:70. Langkah ini termasuk memanjangkan
jajaran transit aliran ringan (LRT) dan komuter, memperoleh lebih
banyak tren LRT dan bas serta menaik taraf stesen dan kemudahan park
and ride. Di samping itu, terminal pengangkutan bersepadu akan dibina
sebagai hab transit untuk membolehkan penumpang antara bandar
menggunakan sistem rel bandar ke kawasan utama di Kuala Lumpur.
18.32
Satu suruhanjaya akan ditubuhkan bagi mengawal selia sistem
pengangkutan awam di Lembah Klang. Suruhanjaya ini juga akan
bertanggungjawab ke atas perancangan, penyelarasan dan pelesenan semua
mod pengangkutan awam di Lembah Klang.
18.33
Beberapa jalan di bandar utama akan dibina atau dinaik taraf bagi
menambah baik aliran dan penyuraian trafik di bandar utama. Projek ini
termasuk pembinaan jalan lingkaran luar dan jalan pintas di Georgetown,
Pulau Pinang; Seremban, Negeri Sembilan; dan Johor Bahru, Johor. Projek
SMART di Kuala Lumpur dijadualkan siap pada bulan Disember 2006. Laluan
kenderaan di terowong ini dijangka dapat mengurangkan kesesakan lalu
lintas di laluan masuk utama ke Kuala Lumpur dari selatan.
18.34
Dasar pengangkutan jangka panjang yang tersusun dan bersepadu
diperlukan bagi memenuhi keperluan yang semakin meningkat kepada sistem
pengangkutan yang cekap dan selamat serta tambang yang berpatutan. Bagi
mencapai matlamat ini,dasar pengangkutan negara akan menggariskan
objektif dan hala tuju strategik sektor pengangkutan, hubungannya
dengan sektor lain serta pembangunan masa hadapan.
Pengangkutan Kereta Api
18.35
Dalam tempoh Rancangan, pembangunan pengangkutan kereta api akan
ditumpukan kepada peningkatan kecekapan operasi serta menggalakkan
penggunaan pengangkutan kereta api sebagai mod pengangkutan barang yang
utama dan alternatif bagi pengangkutan penumpang antara bandar yang
cekap. Bagi mencapai tujuan ini, infrastruktur kereta api akan dinaik
taraf dan sistem komunikasi dipermoden. Langkah ini termasuk kerja
mengubah jajaran dan menaik taraf landasan dari Taiping ke Padang
Rengas, membaik pulih dan memperkukuh landasan dan jambatan serta
pengkomputeran sistem semboyan. Landasan khusus akan dibina untuk
menyediakan perkhidmatan pengangkutan barang dari kawasan industri ke
bandar dan pelabuhan utama. Di samping itu, lokomotif dan gerabak baru
akan diperoleh dan yang sedia ada dibaik pulih. Stesen baru akan dibina
di kawasan pertumbuhan baru serta bagi menggantikan stesen yang lama.
Walau bagaimanapun, stesen lama yang mempunyai nilai sejarah akan
dibaik pulih dan dikekalkan.
18.36
Perkhidmatan kereta api dari Tanjung Aru ke Tenom di Sabah
dipertingkatkan dengan siapnya program membaik pulih dan menaik taraf
infrastruktur kereta api, lokomotif dan gerabak serta sistem semboyan
dan komunikasi. Program ini akan meningkatkan keselamatan operasi
perkhidmatan kereta api serta mengurangkan separuh masa perjalanan
antara dua destinasi. TProgram ini juga akan meningkatkan akses ke
kawasan luar bandar dan menyokong 4pembangunan pertanian serta
pelancongan di sepanjang koridor tersebut.
Pelabuhan
18.37
Usaha untuk meningkatkan prestasi dan produktiviti pelabuhan akan
diteruskan bagi menghadapi persaingan sengit pelabuhan serantau.
Langkah akan diambil termasuk promosi bagi menarik lebih banyak
pengendali syarikat perkapalan utama dan membentuk kerjasama strategik
dengan pelabuhan antarabangsa serta membangunkan lagi perkhidmatan
sokongan. Bagi memendekkan masa menunggu di pelabuhan, kren gantri
tambahan dan peralatan operasi lain akan diperoleh dan kemudahan tempat
penyimpanan kargo dinaik taraf. Alur pelayaran dan kawasan dermaga
pelabuhan akan dikeruk bagi membolehkan kapal yang lebih besar singgah
di pelabuhan. Di samping itu, zon perdagangan bebas akan dibangunkan
untuk meningkatkan operasi pelabuhan. Pelabuhan di Malaysia akan terus
menjalinkan kerjasama dengan pelabuhan antarabangsa bagi meningkatkan
rangkaian serta menarik lebih banyak pengendali syarikat perkapalan
utama singgah terutamanya di Pelabuhan Klang dan PTP.
18.38
Penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam operasi
pelabuhan akan dipergiat dan dikembangkan untuk meningkatkan lagi
kecekapan pelabuhan. Sehubungan ini, sistem dokumentasi elektronik akan
diperluas kepada pelabuhan kecil serta penggunaan ICT seperti e-billing
dan e-dagang bagi operasi pelabuhan akan ditingkatkan.
18.39
Tumpuan akan terus diberikan untuk meningkatkan keselamatan pelayaran
dan mengurangkan pencemaran laut. Langkah akan diambil termasuk menaik
taraf dan memperluas sistem keselamatan pelayaran serta mempergiat
pemantauan pergerakan kapal. Pelupusan bangkai kapal serta kerja
pengerukan juga akan dilaksanakan. Pengawasan di perairan Malaysia akan
dipertingkatkan lagi setelah Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia
(APMM) yang ditubuhkan pada tahun 2005 menambah kakitangan dan
memperoleh kapal tambahan.
18.40
Pengangkutan sungai akan terus menyokong pembangunan sosioekonomi dan
kebudayaan di Sarawak. Sehubungan ini, kajian akan dijalankan untuk
mengenal pasti potensi pembangunan pengangkutan air sebagai satu mod
pengangkutan alternatif yang cekap serta menggalakkan pelancongan.
Lapangan Terbang
18.41
Trafik penumpang diunjur bertambah pada kadar purata 5.8 peratus
setahun dengan bilangan penumpang meningkat kepada 54.5 juta pada tahun
2010, seperti ditunjukkan dalam Jadual 18-4. Unjuran trafik udara yang
berkembang memerlukanpeningkatan yang berterusan bagi keupayaan dan
kemudahan lapangan terbang.KLIA dijangka mencapai had keupayaan, iaitu
25 juta penumpang setahun pada tahun 2008. Kerja untuk meningkatkan
keupayaan kepada 45 juta penumpang setahun dijadual bermula dalam
tempoh Rancangan. Kerja menaik taraf lapangan terbang Kuching, Kota
Kinabalu, Labuan dan Kuala Terengganu akan siap pada akhir tempoh
Rancangan.Akses ke kawasan pedalaman Sarawak akan dipertingkatkan
dengan pembesaran padang terbang sedia ada.
Jadual 18-4 : Trafik Di Lapangan Terbang Malaysia, 2000-2010
18.42
Kekerapan penerbangan yang dijangka meningkat memerlukan peralatan
trafik udara yang canggih. Peralatan komunikasi dan pandu arah bagi
kawalan trafik udara seperti radar, pemprosesan data penerbangan dan
alat perakam suara serta sistem maklumat aeronautik akan dinaik taraf
untuk membolehkan pengendalian kawalan yang lebih tepat dan cekap.
Peralatan satelit dan komunikasi digital akan digunakan untuk
meningkatkan lagi keselamatan penerbangan serta mematuhi peraturan
International Civil Aviation Organisation (ICAO). Pematuhan kepada
peraturan ini penting bagi menarik lebih banyak syarikat penerbangan ke
Malaysia. Latihan kepada kakitangan trafik udara secara berterusan akan
diberikan tumpuan bagi meningkatkan kecekapan mereka.
18.43
Selaras dengan hala tuju liberalisasi bagi perkhidmatan udara, Kerajaan
akan terus berunding untuk mendapat pertambahan hak pendaratan di bawah
pendekatan liberal atau dasar langit terbuka dengan negara tertentu
termasuk ahli Kesatuan Eropah. Penambahan bilangan perjanjian
perkhidmatan udara akan meningkatkan connectivity rangkaian dan
seterusnya memudahkan perdagangan dan pelancongan. Sehubungan ini,
syarikat penerbangan negara ASEAN akan mempunyai akses yang tidak
terbatas ke ibu negara ASEAN menjelang tahun 2008.
18.44
Dalam tempoh RMKe-9, Malaysia Airlines (MAS) akan memberikan tumpuan
kepada usaha pembangunan rangkaian yang lebih berdaya maju dan mampan
serta meningkatkan bahagiannya di pasaran serantau. Langkah ini akan
melibatkan peningkatan keupayaan dan kekerapan, merasionalisasikan
rangkaian serta mengadakan perkhidmatan ke destinasi baru.
Bekalan Air
18.45
Usaha akan diambil untuk mengekalkan kuantiti dan meningkatkan kualiti
sumber air sedia ada serta mengenal pasti sumber air yang berpotensi
untuk dibangunkan bagi memastikan bekalan air yang mencukupi dan
berterusan.Permintaan air untuk kegunaan domestik dan industri dijangka
meningkat pada kadar purata 6.6 peratus setahun kepada 16,270 jlh pada
tahun 2010, seperti ditunjukkan dalam Jadual 18-5. Pembinaan empangan,
muka sauk, LRA dan sistem agihan akan dilaksanakan. Berikutan
penambahan kapasiti tersebut,liputan bekalan air dijangka meningkat
kepada 96.8 peratus, seperti ditunjukkan dalam Jadual 18-6.
18.46
Kecekapan perkhidmatan bekalan air akan ditingkatkan melalui program
pengurangan NRW. Beberapa langkah akan diambil termasuk penguatkuasaan
yang ketat terhadap kecurian air, penggantian paip dan meter, pemetaan
rangkaian agihan melalui Sistem Maklumat Geografi (GIS), membaik pulih
sistem agihan dan menaik taraf LRA sedia ada serta pewujudan pusat
operasi. Kadar NRW negara dijangka berkurang kepada 30 peratus pada
tahun 2010, seperti ditunjukkan dalam Jadual 18-7.
Jadual 18-5 : Kapasiti Pengeluaran & Kuantiti Bekalan Air, 2000-2010
18.47
Pembangunan penyaluran air antara negeri dan antara lembangan akan
diberikan keutamaan untuk mengatasi masalah kekurangan air dan agihan
sumber air yang tidak serata dalam negara. Projek Penyaluran Air Mentah
Antara Negeri dari Pahang ke Selangor (Pahang-Selangor ISRWT) yang akan
dimulakan pembinaannya dalam tempoh Rancangan dijangka dapat memenuhi
peningkatan permintaan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. Di
samping program pengurangan NRW, program lain yang akan diperkenalkan
sebagai langkah sementara bagi mengatasi kekurangan bekalan air yang
dijangka berlaku di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya adalah
perlindungan sumber air, penuaian air hujan, penggunaan air daripada
kolam pengurusan air banjir bukan tujuan untuk diminum dan pembangunan
air tanah.
18.48
Untuk meningkatkan liputan bekalan air yang boleh diminum ke kawasan
luar bandar, keutamaan akan diberikan kepada negeri yang mempunyai
liputan yang rendah seperti Sabah, Sarawak, Pahang, Kelantan,
Terengganu dan Kedah. Penekanan akan diberikan kepada kawasan terpencil
seperti perkampungan Orang Asli dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak,
ladang kecil dan sekolah
Jadual 18-6 : Liputan Bekalan Air Bandar & Luar Bandar, 2000-2010
luar bandar. Sehubungan
ini, pembangunan air tanah, penuaian air hujan dan sistem bekalan air
berasaskan graviti akan dilaksanakan. Program carigali dan pembangunan
air tanah juga akan dijalankan untuk membekalkan air ke kawasan lain
yang kekurangan bekalan air dan untuk tujuan pengairan. Penggunaan
telaga mendatar, empangan bawah tanah dan air tanah yang dikumpul dari
sawah padi akan digalakkan.
18.49
Pendekatan Pengurusan Sumber Air Bersepadu (IWRM) akan diperkenalkan
untuk mencapai pembangunan sumber air yang mampan. Kajian Kebangsaan
Mengenai Pelaksanaan Secara Berkesan Pengurusan Sumber Air Bersepadu di
Malaysia yang dimulakan pada tahun 2005 dijangka siap dalam tempoh
Rancangan. Kajian tersebut akan merangka pelan tindakan dan program
untuk meningkatkan kesedaran terhadap IWRM serta mencapai pengurusan
sumber air negara yang cekap dan mampan. IWRM juga melibatkan
pengurusan sumber fizikal serta pemulihan sistem dan amalan bagi
membolehkan masyarakat mendapat manfaat yang berterusan dan saksama
daripada sumber tersebut.
Jadual 18-7 : Kadar Air Tidak Terhasil, 2000-2010
18.50
Langkah bukan struktur untuk menambah baik perkhidmatan bekalan air
akan terus dilaksanakan termasuk menggalakkan penggunaan air secara
berhemah. Lebih banyak kempen akan dibuat untuk meningkatkan kesedaran
orang awam mengenai kepentingan pemuliharaan air. Pengguna akan
digalakkan untuk mengguna peranti dan peralatan jimat air seperti
sistem tandas dwisimbahan manakala kerajaan negeri digalakkan meminda
Enakmen Air berkaitan pemasangan sistem tandas 6-liter air simbahan
dalam bangunan. Panduan untuk Pemasangan Sistem Pengumpulan dan
Penggunaan Air Hujan akan disemak semula untuk menambah baik aspek
praktikal bagi pengumpulan air hujan. Langkah tersebut dijangka
mengurangkan permintaan air dan menyumbang kepada pemuliharaan alam
sekitar.
18.51
SPAN akan memulakan operasi dalam tempoh Rancangan untuk mengawal selia
perkhidmatan bekalan air dan pembetungan di Semenanjung Malaysia.
Penyedia perkhidmatan air dan pemilik sistem perkhidmatan air akan
dilesenkan oleh SPAN dan dikehendaki mencapai piawai perkhidmatan dan
petunjuk prestasi utama. Di samping itu, Syarikat Pengurusan Aset Air
(WAMCO) akan ditubuhkan untuk membangunkan infrastruktur bekalan air
pada masa hadapan.
Pembetungan
18.52
Perkhidmatan pembetungan akan terus diperluaskan bagi memastikan
kualiti efluen yang disalur kepada air permukaan mematuhi piawai alam
sekitar dan melindungi kesihatan awam. Usaha menaik taraf, membaik
pulih dan mengubahsuai sistem rawatan pembetungan sedia ada dalam
kawasan tadahan sistem bekalan air awam akan terus diberikan keutamaan.
Program rasionalisasi sistem pembetungan akan diteruskan dalam tempoh
Rancangan. Operasi LRP kecil dan berselerak akan dihentikan selepas LRP
berpusat dalam lingkungan kawasan tadahan siap dibina untuk
mengurangkan kos operasi dan penyenggaraan.
18.53
Kempen kesedaran mengenai kepentingan pengurusan air kumbahan dan
sistem pembetungan untuk mengekalkan kebersihan serta melindungi alam
sekitar dan sumber air akan dipergiatkan. Penyelidikan dan pembangunan
terhadap penggunaan semula enapcemar untuk tujuan perindustrian,
pertanian dan lanskap serta memulih guna air kumbahan bukan tujuan
untuk diminum akan dijalankan. Peruntukan dalam Akta Perkhidmatan
Pembetungan, 1993 yang mensyaratkan bahawa hartanah dalam lingkungan 30
meter daripada sistem pembetungan berpusat disambungkan kepada sistem
pembetungan akan dikuatkuasakan sepenuhnya.Peningkatan sambungan ke
sistem berpusat akan membantu meningkatkan kesihatan awam dan alam
sekitar serta keberkesanan LRP berpusat.
Tebatan Banjir
18.54
Usaha berterusan akan dijalankan untuk mengurangkan bencana banjir di
Lembah Klang serta kawasan lain di seluruh negara yang terdedah kepada
ancaman banjir melalui pelaksanaan langkah struktur seperti pembinaan
kolam takungan air banjir, kerja meningkatkan aliran sungai dan
lencongan banjir. Di samping itu, langkah bukan struktur seperti
pengawalan guna tanah serta sistem ramalan, amaran awal dan bantuan
banjir secara bersepadu juga akan dilaksanakan. Kerja tebatan banjir di
Kota Bharu dan kawasan terpilih lain di sepanjang Sungai Kelantan di
Kelantan akan dilaksanakan. Pengurusan lembangan banjir dan pelaksanaan
Manual Saliran Mesra Alam (MSMA) yang merupakan kaedah kawalan air di
punca yang juga dapat mengatasi masalah pemendapan dan hakisan akan
diperluas ke kawasan pembangunan baru di seluruh negara. Langkah
tersebut akan mengurangkan kerugian akibat banjir dan meningkatkan
kualiti air sungai.
Pengeksportan Kepakaran
18.55
Usaha akan dipergiat untuk memberikan galakan dan sokongan kepada
sektor swasta mengeksport kepakaran tempatan terutamanya dalam sektor
pembinaan. Penyelarasan antara pelbagai agensi seperti Lembaga
Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia, Perbadanan Pembangunan
Perkhidmatan Profesional dan kementerian berkaitan akan dipertingkatkan
dalam meneroka pasaran baru di Timur Tengah dan Eropah Timur yang
sedang membangunkan kemudahan infrastruktur dengan pesat.
IV : INSTUTUSI PELAKSANA DAN PERUNTUKAN
18.56
Pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam akan dilaksanakan melalui
usaha yang terselaras oleh kementerian dan agensi. Pembangunan jalan
raya akan dikendalikan oleh Kementerian Kerja Raya. Di samping itu,
projek berkaitan dengan pengangkutan termasuk keselamatan jalan raya
akan dilaksanakan oleh Kementerian Pengangkutan. Kementerian Tenaga,
Air dan Komunikasi akan menerajui pembangunan perkhidmatan bekalan air
dan pembetungan manakala Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan
Wilayah akan melaksanakan program jalan luar bandar dan BALB.
Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar pula akan menyelaraskan
pelaksanaan projek tebatan banjir. Sejumlah RM46.8 bilion akan
diperuntukkan bagi membangunkan subsektor berkaitan, seperti
ditunjukkan dalam Jadual 18-8.
Jadual 18-8 : Perbelanjaan & Peruntukan Pembangunan Bagi Infrastruktur dan Kemudahan Awam, 2001-2010
V : PENUTUP
18.57 Dalam tempoh RMKe-8, keupayaan rangkaian infrastruktur dan kemudahan awam telah dipertingkatkan untuk memenuhi permintaan pengguna yang semakin bertambah serta merangsang pertumbuhan ekonomi melalui pewujudan rantaian dan faedah limpahannya. Sistem pengangkutan awam di Lembah Klang distrukturkan semula melalui pelaksanaan RMKe-9 pula akan memberikan penekanan kepada memperluas kemudahan ke kawasan luar bandar, meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan bagi menyokong aktiviti ekonomi dan meningkatkan kualiti hidup. Keselamatan jalan raya akan diberikan tumpuan dengan menambah baik aspek fizikal jalan dan memupuk etika berhemah di kalangan pengguna. Kemudahan dan perkhidmatan pengangkutan awam akan dinaik taraf dan disepadukan lagi bagi menggalakkan lebih ramai pengguna menggunakan pengangkutan awam. Kecekapan perkhidmatan bekalan air akan dipertingkatkan melalui penubuhan SPAN dan pelaksanaan program pengurangan NRW. Langkah juga akan diambil untuk meningkatkan daya saing dan keandalan penyedia perkhidmatan untuk memastikan penggunaan kemudahan yang cekap dan optimum.
Di pos oleh Arbain Muhayat pada 20 December 2008