BAB 16 : MENCAPAI PERTUMBUHAN DENGAN PENGAGIHAN Pt 2
Fasa Kedua Pembangunan MPPB
16.65
Pembangunan MPPB akan kekal sebagai teras utama dalam RMKe-9 bagi
memastikan penyertaan Bumiputera yang berkesan dalam ekonomi dan
meneruskan usaha menyusun semula masyarakat bagi menghapuskan
pengenalan kaum mengikut fungsi ekonomi. Selaras dengan strategi untuk
meningkatkan pemilikan kekayaan Bumiputera dari segi perusahaan
komersil, fasa kedua program pembangunan MPPB dengan penglibatan aktif
sektor swasta akan memberi tumpuan kepada usaha mempercepat pembangunan
usahawan Bumiputera yang berdikari, mampan dan berdaya saing serta
mewujudkan EKS Bumiputera yang kukuh. Dalam fasa ini, pembangunan MPPB
akan dipertingkatkan lagi dengan menggalakkan perkembangan rangkaian
dan kelompok perniagaan di kalangan perusahaan Bumiputera, antara
perusahaan Bumiputera dengan bukan Bumiputera serta antara GLC dengan
perusahaan Bumiputera. Di samping itu, peranan agensi amanah, GLC dan
koperasi akan diperkukuh lagi untuk meningkatkan keupayaan dan
kebolehan bagi melaksanakan strategi dan program MPPB dengan lebih
berkesan.
16.66
Bagi memastikan kewujudan Bumiputera yang teguh dan mampan dalam sektor
perdagangan dan perindustrian, satu pendekatan baru akan diguna pakai
dengan memberi penekanan bukan sahaja kepada bilangan usahawan
Bumiputera yang diwujudkan tetapi yang lebih penting ialah kualiti
mereka dari segi produktiviti dan daya saing. Dalam hal ini, Kerajaan
akan menggalakkan usahawan membina keupayaan dan rekod prestasi supaya
menjadi lebih berdaya tahan untuk menghadapi cabaran persaingan alam
perniagaan. Dalam tempoh Rancangan, program sedia ada akan ditumpukan
ke arah membantu peningkatan mobiliti usahawan ke tahap atau kategori
yang lebih tinggi. Di samping itu, satu program khas akan dilaksanakan
dengan memberi penekanan kepada transformasi EKS Bumiputera terpilih
dengan nilai jualan tahunan antara RM1 juta hingga RM25 juta kepada
perusahaan yang lebih besar. Bagi menyokong pertumbuhan EKS Bumiputera,
langkah akan juga diambil untuk tidak menggalakkan agensi kerajaan
seperti Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN) dan GLC bersaing
secara langsung merebut peluang perniagaan dengan EKS Bumiputera.
16.67
Kerajaan akan terus menyediakan sokongan yang perlu dan mengambil
tindakan terpilih untuk membantu usahawan Bumiputera yang berupaya dan
berkebolehan termasuk melalui program peningkatan produk dan kualiti,
latihan teknikal, pemasaran dan promosi serta pembangunan dan
penyelidikan (R&D). Perusahaan Bumiputera akan digalakkan untuk
menjalankan aktiviti R&D bagi meningkatkan kualiti produk dan
keupayaan pengeluaran. Pelbagai bantuan termasuk kemudahan pembiayaan,
peningkatan produk, pemasaran dan promosi juga akan disediakan kepada
usahawan Bumiputera. Bantuan dan kemudahan lain juga akan disediakan
berdasarkan keperluan perniagaan.
16.68
Bagi membantu penyertaan lebih ramai Bumiputera dalam bidang
pertumbuhan baru terutamanya dalam sektor perkhidmatan, pembuatan serta
pertanian dan industri berasaskan pertanian, langkah akan diambil untuk
meningkatkan penyertaan usahawan Bumiputera dalam sektor kecil
perkhidmatan terpilih seperti pengangkutan dan logistik, bengkel
automotif, perdagangan pengedaran, perkhidmatan profesional dan
perniagaan, pelancongan, serta industri berasaskan sumber dan
perniagaan berasaskan produk halal, herba dan farmaseutikal. Dalam
sektor pembuatan, penekanan akan diberi kepada sektor strategik dan
industri berteknologi tinggi seperti ICT, bioteknologi, fotonik,
nanoteknologi, pembuatan termaju dan kejuruteraan kepersisan. Kerajaan
dengan kerjasama GLC yang berkaitan akan membantu kemasukan Bumiputera
dalam bidang pertumbuhan baru menerusi pembentukan program berpakej
baru. Program ini meliputi penyediaan skim pembiayaan untuk memupuk
usahawan dan teknousahawan Bumiputera baru yang berpotensi. Di samping
itu, golongan profesional Bumiputera sedia ada yang layak dan
berprestasi tinggi dalam industri berteknologi tinggi akan dikenal
pasti dan digalakkan menjadi peserta peneraju dalam program ini. Pada
masa yang sama, dasar guna tenaga yang lebih fleksibel akan digubal
bagi menggalakkan peningkatan mobiliti kakitangan R&D Bumiputera
dalam institusi penyelidikan awam untuk menceburi bidang pertumbuhan
baru ini. 371
16.69
Fungsi dan peranan agensi amanah, terutamanya PKEN dan Majlis Amanah
Rakyat (MARA) akan dipertingkatkan bagi memperkukuh peranan mereka
dalam memupuk pembangunan Bumiputera terutamanya EKS. PKEN akan
digalakkan untuk meneraju usaha mewujudkan usahawan Bumiputera dalam
bidang baru, khususnya dalam sektor atau aktiviti yang kurang
penyertaan Bumiputera.
16.70
Koperasi Bumiputera yang berpotensi dan berkebolehan akan digalakkan
untuk menceburi aktiviti perniagaan dan menyertai pembangunan MPPB.
Sehubungan ini, Suruhanjaya Koperasi Malaysia akan mengambil langkah
untuk membangunkan keusahawanan koperasi seperti menyediakan kemudahan
pembiayaan untuk memulakan dan membesarkan koperasi sedia ada,
mewujudkan hab koperasi sebagai pusat membeli-belah setempat untuk
mempamerkan dan memasarkan produk usahawan koperasi, serta menyediakan
latihan dan bimbingan untuk usahawan koperasi kecil. Di samping itu,
program pembudayaan keusahawanan koperasi akan juga dilaksanakan untuk
memupuk dan memperkukuh nilai keusahawanan koperasi di kalangan ahli
koperasi pada semua peringkat terutamanya koperasi sekolah.
16.71
Program pembangunan MPPB sedia ada, terutamanya program berpakej
seperti pembangunan francais dan vendor, akan diperkukuh lagi bagi
meningkatkan bilangan usahawan Bumiputera yang berdaya maju. Selaras
dengan peranan baru dalam pembangunan francais, Perbadanan Nasional
Berhad (PNS) akan membangunkan francais Bumiputera dan produk francais
tempatan menerusi R&D, memperoleh francais terpilih dari luar
negara dan meningkatkan kesedaran awam mengenai perniagaan francais.
Program pembangunan vendor akan diperluas bagi meliputi lebih banyak
industri untuk menghasilkan peluang baru kepada perusahaan Bumiputera
yang berdaya saing. Mekanisme pemantauan dan penyelarasan akan
diaktifkan semula untuk memastikan pelaksanaan program secara berkesan.
16.72
Inisiatif baru akan diguna pakai oleh PUNB bagi membangunkan lebih
banyak EKS Bumiputera yang berdaya tahan di bawah skim modal teroka.
Dalam hal ini, PUNB akan memastikan portfolio pelaburan yang lebih
seimbang antara syarikat baru, syarikat pertumbuhan tinggi dan syarikat
yang sedang berkembang serta mengalihkan tumpuan pelaburannya kepada
syarikat yang terlibat dalam pembuatan barangan akhir, sektor
perkhidmatan berasaskan pengetahuan dan perkhidmatan terpilih. Bagi
meningkatkan penyertaan peruncit Bumiputera melalui PROSPER, PUNB akan
membangunkan lebih banyak kedai konsep dengan kerjasama usahawan
Bumiputera yang berpengalaman serta menggalakkan rangkaian dengan PNS
dalam memperkukuh sistem kedai konsep sebelum sesuatu perniagaan
berkenaan difrancaiskan. Di samping itu, skop PROSPER akan diperluas
lagi untuk meningkatkan bilangan EKS Bumiputera yang berdaya maju dalam
industri strategik termasuk perniagaan borong.
16.73
Kerajaan akan meneruskan usaha untuk membantu usahawan Bumiputera di
Sabah dan Sarawak. Sejumlah RM68 juta akan diperuntukkan kepada Sabah
dan RM72 juta kepada Sarawak untuk membina premis perniagaan dan
perindustrian dalam tempoh Rancangan. Pada masa yang sama, bantuan lain
akan disediakan oleh pelbagai agensi pelaksana, termasuk agensi amanah
dan GLC serta dewan perniagaan dan persatuan perdagangan melalui
program latihan, R&D dan bantuan teknikal, pinjaman dan promosi
barangan.
16.74
Bagi menggalakkan lebih ramai usahawan Bumiputera yang berdikari dan
berdaya saing, langkah akan diambil untuk membentuk usahawan yang
mampan, berdaya tahan, berdikari dan berjaya. Program latihan
keusahawanan akan dipergiat. Program latihan tersebut akan juga memberi
penekanan untuk menyemai nilai dan sikap positif serta budaya
berprestasi tinggi. Bagi tujuan ini, Institut Keusahawanan Negara
(INSKEN) akan menjadi pusat rujukan bagi menjalankan dan menyelaraskan
program latihan untuk semua agensi pelaksana yang terlibat dalam
pembangunan keusahawanan. Dalam hal ini, program latihan yang
dikendalikan oleh INSKEN akan memberi penekanan kepada latihan
berasaskan pengetahuan bagi memastikan impak yang tinggi.
IV : INSTUTUSI PELAKSANA DAN PERUTUKAN
16.75
Bagi melaksanakan program dan projek pembasmian kemiskinan dan
pengagihan pendapatan, agensi peneraju dalam pembasmian kemiskinan luar
bandar adalah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Kementerian
Pertanian dan Industri Asas Tani dan Kementerian Pembangunan Wanita,
Keluarga dan Masyarakat manakala bagi kawasan bandar, usaha pembasmian
kemiskinan akan diteraju oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan
Tempatan. Agensi lain yang terlibat dalam program pembasmian kemiskinan
dan peningkatan pendapatan termasuk Jabatan Hal Ehwal Orang Asli,
FELDA, RISDA, FELCRA Berhad, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Unit
Perancang Ekonomi Negeri berkaitan.
16.76
Agensi peneraju bagi melaksanakan program penyusunan semula guna tenaga
adalah Jabatan Perkhidmatan Awam, Kementerian Pendidikan, Kementerian
Pengajian Tinggi, Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian
Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD). Bagi meningkatkan pemilikan
kekayaan dan pembangunan MPPB, agensi yang memainkan peranan utama
adalah MECD,Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri,
Kementerian Kewangan dan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana
Menteri. Dalam tempoh RMKe-9,peruntukan pembangunan bagi program
pengagihan adalah seperti dalam JADUAL16-9.
Jadual 16-9 : Peruntukan Pembangunan bagi Program Pengagihan, 2006-2010
V : PENUTUP
16.78
Memandangkan pentingnya semua program dan projek pengagihan, Kerajaan
akan memastikan pelaksanaannya diseliakan dengan teliti menerusi
mekanisme pemantauan yang lebih kukuh di Unit Perancang Ekonomi dan
Unit Penyelarasan Pelaksanaan di Jabatan Perdana Menteri. Semua
kementerian dan agensi berkaitan perlu memastikan dasar dan program
yang dilaksanakan menyumbang ke arah pengagihan pendapatan, kekayaan
dan peluang ekonomi lain yang lebih saksama. Satu sistem yang lebih
baik akan diwujudkan untuk mengenal pasti penerima faedah dan
meminimumkan kebocoran bagi mencapai objektif pertumbuhan dengan
pengagihan.
16.77
Dalam tempoh RMKe-8, kemajuan yang menggalakkan telah dicapai dalam
usaha mengurangkan kemiskinan dan merapatkan jurang pendapatan antara
kumpulan etnik serta meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam kategori
pekerjaan dan sektor ekonomi utama. Agenda pengagihan dalam RMKe-9 akan
memberi tumpuan ke arah pencapaian pariti pendapatan menerusi strategi
pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat. Kemiskinan
tegar dijangka akan dapat dibasmi dan kemiskinan keseluruhan
dikurangkan separuh kepada 2.8 peratus menjelang akhir tahun 2010
menerusi program pembasmian kemiskinan yang lebih bertumpu. Strategi
pengagihan akan terus dilaksanakan bagi memastikan penyertaan dalam
peluang ekonomi yang lebih seimbang dan saksama di kalangan pelbagai
kumpulan etnik. Lebih penekanan akan diberikan kepada usaha
mengurangkan ketidaksamaan pendapatan dan merapatkan jurang pendapatan
antara luar bandar dengan bandar serta meningkatkan penyusunan semula
guna tenaga dan menambahkan guna tenaga Bumiputera dalam kategori
pekerjaan profesional dan yang berpendapatan tinggi. Di samping itu,
jurang pemilikan kekayaan akan dikurangkan manakala pembangunan MPPB
akan memasuki fasa kedua yang lebih mantap.
Di pos oleh Arbain Muhayat pada 20 December 2008