BAB 16 : MENCAPAI PERTUMBUHAN DENGAN PENGAGIHAN
I : PENDAHULUAN
16.01
Dasar pembangunan ekonomi Malaysia telah dibentuk berasaskan komitmen
Kerajaan untuk memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dikongsi secara
saksama oleh semua rakyat Malaysia. Komitmen ini dibina atas kesedaran
bahawa pengagihan pendapatan yang saksama dan peluang pemilikan
kekayaan yang lebih besar adalah penting untuk mengekalkan pertumbuhan
ekonomi serta kestabilan sosial dan perpaduan negara.
16.02
Pembangunan ekonomi semenjak tahun 1970 adalah berpandukan strategi
pengagihan menerusi pertumbuhan dan objektif serampang dua mata Dasar
Ekonomi Baru, iaitu pembasmian kemiskinan tanpa mengira kaum dan
penyusunan semula masyarakat bagi menghapuskan pengenalan kaum mengikut
fungsi ekonomi. Kemajuan ke arah memenuhi objektif ini telah dicapai
walaupun kejayaan beberapa sasaran masih tidak diperoleh sepenuhnya.
Kemajuan yang cemerlang telah dicatat dalam usaha mengurangkan
kemiskinan mutlak. Taraf hidup hampir semua rakyat Malaysia telah
meningkat. Bilangan profesional dan pekerja mahir Bumiputera dalam
pelbagai bidang pekerjaan dan sektor juga telah bertambah. Pertumbuhan
kumpulan kelas menengah termasuk di kalangan Melayu dan Bumiputera lain
juga telah berkembang pesat.
16.03
Namun sejak kebelakangan ini, ketidaksamaan pendapatan termasuk dalam
setiap kumpulan etnik telah meningkat. Aspek ketidaksamaan lain juga
menunjukkan arah aliran yang membimbangkan. Walaupun jurang
ketidaksamaan pendapatan etnik secara relatifnya telah mengecil sejak
beberapa tahun kebelakangan ini, jurang tersebut dari segi nilai mutlak
terus meluas. Ketidaksamaan antara negeri dan antara wilayah berterusan
dan kekal lebar. Pertumbuhan ekonomi merupakan daya penggerak dalam
meningkatkan pendapatan dan taraf hidup, namun pertumbuhan ekonomi
tidak dengan sendirinya menjamin manfaat pertumbuhan dinikmati secara
saksama oleh semua lapisan masyarakat.
16.04
Dalam Misi Nasional, komitmen untuk menambah baik pengagihan manfaat
daripada pertumbuhan ekonomi yang terus meningkat akan ditegaskan
semula, seperti ditunjukkan dalam Kotak 16-1. Pelaksanaan strategi
pengagihan walau bagaimanapun, akan memberi penekanan kepada usaha
meningkatkan keupayaan dan menambah baik daya saing. Sehubungan ini,
usaha yang lebih mantap dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9)
akan dilaksanakan secara membina dan produktif bagi menambah baik
pengagihan melalui pertumbuhan. Penekanan akan diberi ke arah menangani
ketidaksamaan yang berterusan dan menambah baik pengagihan untuk
mencapai objektif mutlak perpaduan negara dan keseimbangan wilayah.
16.05
Fokus strategi pengagihan akan diorientasi semula ke arah mencapai
pariti pendapatan dalam jangka masa panjang dengan mengurangkan secara
ketara jurang ketidaksamaan pendapatan. Secara khusus, kemiskinan tegar
akan dibasmi sepenuhnya dan kemiskinan keseluruhan akan dikurangkan
separuh kepada 2.8 peratus menjelang akhir tempoh Rancangan. Penyertaan
Bumiputera yang berkesan dalam ekonomi akan dipertingkatkan melalui
penyusunan semula secara efektif guna tenaga dalam sektor swasta,
peningkatan pemilikan Bumiputera dalam pemegangan aset korporat serta
pemilikan harta tanah komersil dan kediaman dan harta intelek,
pembangunan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB)
dan pewujudan Masyarakat Sains dan Teknologi Bumiputera (MSTB). Di
samping itu, penyertaan masyarakat India dalam ekonomi akan
dipertingkatkan. Akhirnya, melalui pelaksanaan pelbagai langkah untuk
meningkatkan keupayaan dan meninggikan daya saing, budaya berprestasi
tinggi akan digalakkan di kalangan semua rakyat Malaysia termasuk
masyarakat Bumiputera bagi membolehkan negara menghadapi cabaran
global.
MENEGASKAN SEMULA PENGAGIHAN DALAM AGENDA PEMBANGUNAN MALAYSIA
A. Latar Belakang
Dalam Misi Nasional, komitmen untuk
menambah baik pengagihan manfaat daripada pertumbuhan ekonomi yang
terus meningkat akan ditegaskan semula. Jaminan ini adalah berasaskan
komitmen ke arah mengekal dan memperkukuh perpaduan negara selaras
dengan prinsip Rukunegara dan seperti yang termaktub dalam
Perlembagaan. Komitmen ini bertunjangkan latar belakang sejarah serta
cabaran ekonomi dan sosial yang akan terus dihadapi oleh Malaysia,
sebagai sebuah negara yang berbilang kaum dan agama di peringkat negara
dan antarabangsa.
B. Keperluan Untuk Menegaskan Semula Pengagihan Dalam Pembangunan
Mengekalkan pertumbuhan ekonomi mampan, menggalakkan pembangunan insan dan memperkukuh perpaduan negara
Penemuan baru menunjukkan ketidaksamaan
yang tinggi dan berterusan akan memberi kesan negatif kepada prospek
pertumbuhan ekonomi pada masa hadapan. Pada dasarnya, ketidaksamaan
yang berterusan akan memudaratkan pembangunan manakala ekuiti dan
kemakmuran adalah pelengkap pembangunan. Ekuiti yang lebih besar juga
boleh mengurangkan kemiskinan, meningkatkan pertumbuhan ekonomi,
mengembangkan pembangunan dan menyediakan peluang yang lebih besar
kepada kumpulan paling miskin dalam masyarakat. Pengalaman di
kebanyakan negara membangun dan negara maju yang lain menunjukkan
bahawa peningkatan ketidaksamaan yang berterusan akhirnya boleh
menimbulkan masalah sistemik dan ketidakstabilan sosial dalam ekonomi
melainkan ditangani secara tegas, berkesan, lebih pragmatik dan
bijaksana untuk faedah kepada negara keseluruhannya.
Dasar pembangunan pertumbuhan dengan
pengagihan adalah selaras dengan Piagam Bangsa-Bangsa Bersatu, rejim
pasaran bebas, hak asasi manusia, demokrasi, kedaulatan undang-undang
dan masyarakat sivil. Melalui pelaksanaan teras pengagihan bersama
dengan teras pertumbuhan dalam agenda pembangunan, Malaysia bukan
sahaja memenuhi komitmen dalam Matlamat Pembangunan Alaf Baru
Bangsa-Bangsa Bersatu tetapi juga pada masa yang sama, menangani
pelbagai aspek ketidaksamaan ekonomi dan sosial,dengan demikian
menggalakkan pembangunan insan dan memperbaik kedudukan negara dalam
Indeks Tahunan Pembangunan Manusia oleh Program Pembangunan Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP)
Memenuhi sasaran pengagihan yang belum dicapai sepenuhnya
Meskipun rakyat Malaysia menikmati
kualiti hidup yang lebih tinggi pada masa ini berbanding sebelumnya,
ketidaksamaan pendapatan di kalangan kumpulan etnik dan antara kawasan
bandar dengan luar bandar masih besar dan telah meningkat sejak
kebelakangan ini. Kemajuan untuk mencapai sasaran pengagihan yang telah
ditetapkan sebelum ini adalah lebih perlahan berbanding dengan yang
diunjurkan akibat daripada kelembapan ekonomi berikutan kejutan luaran
di samping berlakunya beberapa kebocoran dalam pelaksanaannya.
Pelaksanaan dasar pengagihan yang tidak dipantau secara teliti dan
pengenalpastian penerima faedah yang tidak dilaksanakan secara tepat
telah menyebabkan berlaku pelbagai kebocoran dalam sistem pelaksanaan.
Memastikan keberkesanan dan impak sepenuhnya dasar, program dan projek pengagihan selaras dengan amalan tadbir urus yang baik
Penemuan daripada pelbagai negara
termasuk Malaysia menunjukkan bahawa ketidaksamaan boleh ditangani
dengan jayanya melalui pelaksanaan pakej dasar, program dan projek awam
yang sesuai serta keutamaan yang ditentukan. Langkah menangani
kebocoran akan meningkatkan impak sepenuhnya program yang menyokong
pertumbuhan ekonomi dan mengurangkan ketidaksamaan.
Penekanan lebih besar yang diberikan
kepada amalan tadbir urus yang baik memerlukan program pengagihan dan
proses pelaksanaan yang lebih berkesan dan bertanggungjawab. Oleh itu,
dasar, program dan projek pengagihan perlu dirangka dengan berhati-hati
supaya menjadi pelengkap dan pendorong bagi meningkatkan aspek
pertumbuhan dan pengagihan secara serentak serta memenuhi piawai tadbir
urus yang baik.
C. Ke Arah Pertumbuhan Dengan Pengagihan
Faktor di atas, disandar dengan
pengalaman, menjadi asas untuk menyedar dan membuka fikiran terhadap
jalinan antara pertumbuhan ekonomi, ketidaksamaan dan pengagihan serta
kepentingan ekuiti sebagai asas pertumbuhan ekonomi yang mampan,
pembangunan insan dan pengekalan perpaduan negara.
Malaysia akan meneruskan dasar
pembangunan yang memberi penekanan kepada pertumbuhan dengan
pengagihan. Dasar, program dan projek pengagihan akan dirangka dengan
lebih baik dan dipantau secara berhati-hati untuk mencapai pertumbuhan
ekonomi yang lebih tinggi serta pengagihan peluang ekonomi, pendapatan
dan kekayaan yang lebih saksama di kalangan semua kumpulan etnik bagi
memastikan pembangunan mampan dalam jangka panjang. Program sedia ada
dan yang telah dilaksanakan akan dikaji semula dan dinilai impak dan
keberkesanannya dalam mencapai sasaran pengagihan manakala sistem
pelaksanaan akan dikaji semula dan diperkukuh untuk mengenal pasti
penerima faedah dengan lebih tepat dan meminimumkan kebocoran. Program
pada masa hadapan akan dilaksanakan berasaskan merit dan keperluan.
Malaysia memerlukan komitmen yang padu
antara Kerajaan dengan semua lapisan masyarakat termasuk sektor swasta,
NGO, kumpulan sosial dan individu bagi meneruskan falsafah pembangunan
pertumbuhan dengan pengagihan dengan jayanya. Semua kumpulan mesti
mengiktiraf dan menghargai bahawa pengagihan ini tidak bermakna
pengagihan semula kekayaan negara sedia ada yang dilindungi oleh
Perlembagaan Persekutuan tetapi lebih kepada pengagihan pertumbuhan
ekonomi pada masa depan secara beransur-ansur dan meningkat, yang
melibatkan semua rakyat Malaysia bersama-sama menyumbang menerusi
penyertaan secara aktif dan tulen dalam proses pengeluaran. Satu
hakikat yang diterima ialah dasar pembangunan yang tidak mengambil kira
majoriti penduduk dalam proses pengeluaran dan pemodenan adalah dasar
yang tidak berdaya maju.
Kejayaan menerima pakai dan melaksanakan
falsafah pembangunan pertumbuhan dengan pengagihan merupakan strategi
kemenangan untuk mana-mana negara. Sehubungan ini, Malaysia sentiasa
berada di hadapan dan akan terus mengekalkan kedudukan ini bagi manfaat
semua rakyatnya termasuk generasi masa hadapan.
II : KEMAJUAN 2001-2005
16.06
Dalam tempoh Rancangan Malaysia Kelapan (RMKe-8), pelaksanaan
pendekatan yang lebih tertumpu kepada sasaran khusus telah mengurangkan
kemiskinan di kawasan luar bandar dan bandar. Tumpuan program
pembasmian kemiskinan dan peningkatan kualiti hidup ditujukan kepada
isi rumah 30 peratus terendah. Bilangan profesional dan pekerja mahir
Bumiputera dalam pelbagai pekerjaan dan sektor telah meningkat manakala
program pembangunan MPPB telah mempercepat pertumbuhan kelas menengah
Bumiputera.
Pembasmian Kemiskinan
16.07
Dalam tempoh Rancangan, konsep dan pengukuran kemiskinan telah dikaji
semula untuk mengambil kira perubahan sosial dan ekonomi yang berlaku
di Malaysia sejak tahun 1977 apabila pendapatan garis kemiskinan (PGK)
mula diperkenalkan. Kajian semula juga bertujuan untuk menghasilkan
pengukuran kemiskinan yang menggambarkan perbezaan kos sara hidup
antara kawasan bandar dengan luar bandar, antara negeri serta pola
demografi setiap isi rumah. Perangkaan ini memberi pengukuran yang
lebih tepat mengenai keadaan dan tahap kemiskinan di Malaysia.
Metodologi asal dan yang dikaji semula dijelaskan dalam Kotak 16-2.
16.08
Kemiskinan Tegar. Jumlah isi rumah miskin tegar berkurangan daripada
91,700 kepada 67,300, seperti ditunjukkan dalam Jadual 16-1. Kadar
kemiskinan tegar di kalangan isi rumah Bumiputera adalah tertinggi pada
tahun 2004, iaitu1.9 peratus berbanding dengan 0.1 peratus bagi isi
rumah Cina dan 0.3 peratus bagi isi rumah India, seperti ditunjukkan
dalam Jadual 16-2.
16.09
Dalam tempoh Rancangan, sejumlah RM589.5 juta dibelanjakan bagi 10
program Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR). Program tersebut
memberi tumpuan kepada projek ekonomi dan sosial yang melibatkan
golongan miskin tegar. Di samping itu, badan bukan kerajaan (NGO)
terutamanya Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan pelbagai Yayasan Basmi
Kemiskinan di peringkat negeri telah menyediakan bantuan kewangan dan
bukan kewangan untuk membantu isi rumah miskin tegar meningkatkan
pendapatan mereka melalui aktiviti perniagaan secara kecil-kecilan. AIM
telah menyediakan kredit mikro berjumlah RM1.02 bilion kepada 147,544
peserta menerusi 69 cawangan dan 3,962 pusat khidmat di seluruh negara.
Kebanyakan peserta AIM terdiri daripada wanita dan ibu tunggal di luar
bandar
16.10
Kemiskinan Keseluruhan. Hasil kejayaan pelaksanaan program pembasmian
kemiskinan dan pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan,kadar
kemiskinan di kalangan rakyat Malaysia berkurangan daripada 8.5 peratus
pada tahun 1999 kepada 5.7 peratus pada tahun 2004 dan bilangan isi
rumah miskin berkurangan daripada 409,300 kepada 311,300, seperti
ditunjukkan dalam Jadual 16-1. Peningkatan pendapatan purata isi rumah
miskin daripada RM656 pada tahun 1999 kepada RM764 pada tahun 2004
telah mengecilkan jurang kemiskinan daripada 2.3 peratus kepada 1.4
peratus. Walau bagaimanapun, jurang kemiskinan di kawasan luar bandar
adalah lima kali lebih tinggi berbanding dengan di kawasan bandar,
menunjukkan kemiskinan di kawasan luar bandar adalah lebih serius.
16.11
Kemiskinan Luar Bandar. Kadar kemiskinan di kawasan luar bandar
berkurangan daripada 14.8 peratus pada tahun 1999 kepada 11.9 peratus
pada tahun 2004 manakala bilangan isi rumah miskin berkurangan
kira-kira 32.0 peratus daripada 323,200 kepada 219,700. Walaupun kadar
kemiskinan dan bilangan isi rumah miskin di kawasan luar bandar
berkurangan, namun kemiskinan masih ketara sebagai fenomena luar bandar
dengan 70.6 peratus daripada isi rumah miskin tinggal di kawasan luar
bandar.
16.12
Kemiskinan Bandar. Kadar kemiskinan bandar berkurangan daripada 3.3
peratus pada tahun 1999 kepada 2.5 peratus pada tahun 2004.
Walaubagaimanapun, bilangan isi rumah miskin di bandar meningkat
sebanyak 6.4 peratus kepada 91,600, sebahagian besarnya disebabkan oleh
peningkatan isi rumah miskin di Sabah. Daftar komprehensif isi rumah
miskin dan berpendapatan rendah di 60 pusat bandar telah dibangunkan
untuk membantu merangka program sasaran khusus bagi isi rumah miskin di
bandar.
Jadual 16-1 : Kadar Kemiskinan & Kemiskinan Tegar, 1999 dan 2004
Jadual 16-2 : Kadar Kemiskinan & Kemiskinan Tegar Mengikut Kumpulan Etnik (%), 1999 dan 2004
16.13
Kemiskinan Mengikut Kumpulan Etnik. Semua kumpulan etnik mencatat
pengurangan kadar kemiskinan. Walau bagaimanapun, kemiskinan di
kalangan Bumiputera kekal jauh tertinggi meskipun berkurangan daripada
12.4 peratus pada tahun 1999 kepada 8.3 peratus pada tahun 2004. Kadar
kemiskinan di kalangan etnik India berkurangan daripada 3.5 peratus
kepada 2.9 peratus manakala bagi etnik Cina, kadar kemiskinan
berkurangan daripada 1.2 peratus kepada 0.6 peratus. Jurang kemiskinan
di kalangan isi rumah Bumiputera adalah terbesar pada 2.1 peratus
berbanding dengan 0.1 peratus bagi isi rumah Cina dan 0.6 peratus bagi
India. Kekurangan kemahiran dan pencapaian pendidikan yang lebih rendah
merupakan antara faktor yang dikaitkan dengan kemiskinan di kalangan
semua kumpulan etnik.
16.14
Bumiputera di Sabah dan Sarawak Berdasarkan Penyiasatan Pendapatan Isi
Rumah (HIS)1999, kadar kemiskinan adalah tinggi di kalangan
Kadazandusun , Bajau dan Murut di Sabah dan Bidayuh di Sarawak . Pada
tahun 2002 , HIS khas mengenai minoriti Bumiputera di Sabah dan Sarawak
menunujukkan kadar kemiskinan adalah di kalangan Orang Sungei , Rungus
, Bisaya dan Sulu atau Suluk di Sabah serta Bidayuh,Kenyah , Kayan ,
Kadazan , Penan dan Lun Bawang di Sarawak . Antara program di bawah
SPKR termasuk projek menjana pendapatan , pendidikan dan latihan ,
bantuan peru ahan dan pembangunan modal insane. Di samping itu ,
sebanyak 9,000 unit kediaman di Sabah dan 1,500 di unit di Sarawak
telah dibina di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) untuk menyediakan
kemudahan perumahan yang lebih baik kepada isi rumah miskin dan
berpendapatan rendah . Dalam tempoh Rancangan , seramai 45,900 peserta
di Sabah dan 40,500 , di Sarawak mendapat faedah daripada pelbagai
program di bawah SPKR.
16.15
Dalam tempoh Rancangan, seramai 48,900 peserta di Sabah dan 43,500 di
Sarawak menerima manfaat daripada pelbagai program kebajikan seperti
elaun untuk pekerja kurang upaya serta bantuan untuk warga emas dan
daif. Di samping itu, AIM menyediakan pinjaman kredit mikro berjumlah
RM99 juta kepada 26,000 peserta di Sabah dan RM88 juta kepada 17,000
peserta di Sarawak. Usaha juga akan diambil untuk memperbaik
infrastruktur di luar bandar termasuk menaik taraf dan membina jalan
luar bandar dan jalan kampung. Dalam hal ini, sejumlah RM279 juta
dibelanjakan di Sabah dan RM286 juta di Sarawak.
16.16
Orang Asli. Usaha telah diambil bagi meningkatkan kualiti hidup di
kalangan Orang Asli melalui program sosioekonomi termasuk penyediaan
pendidikan dan latihan kemahiran, kemudahan infrastruktur, bekalan
elektrik dan air. Pada akhir tahun 2005, sejumlah 9,350 rumah dibina di
bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin dan bekalan elektrik juga
disediakan kepada perkampungan Orang Asli meliputi 12,400 keluarga
manakala kemudahan bekalan air disediakan kepada sejumlah 20,100
keluarga. Di samping itu, pelaksanaan skim pembangunan tanah baru dan
penempatan semula serta projek lain telah memberi manfaat kepada 84,250
Orang Asli, iaitu kira-kira separuh daripada jumlah penduduk Orang
Asli.
Jadual 16-3 : Pendapatan Isi Rumah Kasar Bulanan Purata & Pekali Gini Mengikut Kumpulan Etnik & Strata, 1999 dan 2004
Pengagihan Pendapatan
16.17
Pendapatan isi rumah bagi semua kumpulan etnik meningkat dalam tempoh
Rancangan, seperti ditunjukkan dalam Jadual 16-3. Nisbah jurang
pendapatan antara Bumiputera dengan etnik Cina telah mengecil daripada
1:1.74 pada tahun 1999 kepada 1:1.64 pada tahun 2004 manakala nisbah
antara Bumiputera dengan etnik India juga mengecil daripada 1:1.36
kepada 1:1.27. Walaupun nisbah jurang pendapatan antara etnik mengecil
dari segi relatif, jurang pendapatan berasaskan nilai mutlak terus
melebar. Walau bagaimanapun, nisbah antara isi rumah bandar dengan luar
bandar merosot daripada 1:1.81 pada tahun 1999 kepada 1:2.11 pada tahun
2004.
16.18
Bahagian pendapatan isi rumah 40 peratus terendah berkurangan daripada
14.0 peratus pada tahun 1999 kepada 13.5 peratus pada tahun 2004
manakala bagi isi rumah 20 peratus teratas, bahagiannya meningkat
daripada 50.5 peratus kepada 51.2 peratus. Berikutan itu, pekali Gini
merosot daripada 0.452 pada tahun 1999 kepada 0.462 pada tahun 2004.
Semua kumpulan etnik mencatat peningkatan pekali Gini dalam tempoh
Rancangan. Ketidaksamaan di kalangan Bumiputera adalah tertinggi
berbanding dengan etnik Cina dan India.
16.19
Pada tahun 2004, pekerjaan bergaji menyumbangkan dua pertiga atau 68.0
peratus daripada jumlah pendapatan isi rumah, iaitu 74.3 peratus di
kalangan isi rumah India, 71.2 peratus Bumiputera dan 62.1 peratus
Cina. Kira-kira 23.0 peratus pendapatan isi rumah Cina diperoleh
daripada bekerja sendiri berbanding dengan 14.0 peratus bagi Bumiputera
dan 11.0 peratus bagi India. Perangkaan ini menunjukkan untuk menangani
jurang pendapatan di kalangan etnik, tumpuan utama perlu diberi kepada
status dan pendapatan daripada pekerjaan bergaji.16.19 Pada tahun 2004,
pekerjaan bergaji menyumbangkan dua pertiga atau 68.0 peratus daripada
jumlah pendapatan isi rumah, iaitu 74.3 peratus di kalangan isi rumah
India, 71.2 peratus Bumiputera dan 62.1 peratus Cina. Kira-kira 23.0
peratus pendapatan isi rumah Cina diperoleh daripada bekerja sendiri
berbanding dengan 14.0 peratus bagi Bumiputera dan 11.0 peratus bagi
India. Perangkaan ini menunjukkan untuk menangani jurang pendapatan di
kalangan etnik, tumpuan utama perlu diberi kepada status dan pendapatan
daripada pekerjaan bergaji.
Penyusunan Semula Guna Tenaga
16.20
Peratusan guna tenaga Bumiputera dalam kategori pegawai kanan dan
pengurus masih rendah iaitu 37.1 peratus pada tahun 2005, seperti
ditunjukkan dalam Jadual 16-4. Bagi kategori profesional, peratusan
Bumiputera adalah 47.5 peratus pada tahun 2005 berbanding 77.6 peratus
dalam kalangan etnik Cina dan 69.2 peratus bagi etnik India. Peratusan
ini tidak mengambil kira pensyarah, guru pra-universiti dan sekolah
menengah serta penulis dan artis. Peratusan Bumiputera yang berdaftar
dalam lapan profesion terpilih meningkat daripada 35.5 peratus pada
tahun 2000 kepada 38.8 peratus pada tahun 2005, seperti ditunjukkan
dalam Jadual 16-5. Peratusan Bumiputera dalam profesion akauntan adalah
paling rendah berbanding profesion lain.
16.21
Satu kajian mengenai pola guna tenaga Bumiputera yang dijalankan pada
tahun 2005 meliputi 1,825 pekerja dalam 594 firma swasta mendapati
peratusan pekerja Bumiputera bagi kategori jawatan tinggi dan
pertengahan ialah 48.0 peratus bagi kumpulan pengurusan, 64.0 peratus
profesional serta 53.0 peratus juruteknik dan separa profesional. Bagi
jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), hanya 20.0 peratus adalah
Bumiputera berbanding 70.4 peratus bagi etnik Cina. Kajian ini meliputi
bidang ICT, pembuatan, pelancongan, pengedaran perdagangan dan
bioteknologi.
Penyusunan Semula Hak Milik dan Penguasaan Sektor Korporat
16.22
Pemilikan modal saham Bumiputera pada nilai tara meningkat daripada
RM63.0 bilion pada tahun 2000 kepada RM100.0 bilion pada tahun 2004,
seperti ditunjukkan dalam Jadual 16-6. Namun demikian, peratusan
pemilikan ekuiti Bumiputera tidak berubah pada tahap 18.9 peratus. Di
samping itu, pemilikan modal saham etnik Cina pula meningkat melebihi
dua kali berbanding ekuiti Bumiputera. Peratusan pemilikan ekuiti etnik
India berkurangan daripada 1.5 peratus kepada 1.2 peratus, walaupun
saham mereka meningkat sebanyak RM1.3 bilion. Sebaliknya, pemilikan
ekuiti rakyat asing meningkat daripada 31.3 peratus kepada 32.5
peratus.
16.23
Peratusan syarikat Bumiputera dalam semua sektor ekonomi masih rendah,
seperti ditunjukkan dalam Jadual 16-7. Peratusan ekuiti tertinggi yang
dikuasai oleh Bumiputera adalah dalam sektor pembinaan , iaitu 35.2
peratus diikuti oleh pengangkutan 26.7 peratus serta perdagangan borong
dan runcit 20.4 peratus. Penswastaan kekal menjadi mekanisme yang
berkesan dalam usaha meningkatkan pemilikan ekuiti dan penyertaan
Bumiputera dalam sektor korporat . Pemilikan modal saham Bumiputera
pada nilai tara dalam projek yang diswastakan meningkat kepada RM 14.9
billion pada tahun 2005 atau 14.9 peratus daripada jumlah ekuiti yang
dimiliki oleh Bumiputera.
Jadual 16-6 : Hak Milik Modal Saham (PADA NILAI TARA) Syarikat Berhad, 2000 & 2004
16.24
Ketidaksamaan pemilikan aset bukan kewangan masih luas. Satu tinjauan
mengenai pemilikan bangunan dan premis komersil di semua pusat bandar
di seluruh negara yang dijalankan pada tahun 2005 menunjukkan bahawa
pemilikan harta tanah oleh Bumiputera adalah rendah berbanding bukan
Bumiputera. Bumiputera memiliki hanya 11.7 peratus daripada pelbagai
jenis premis perniagaan, seperti ditunjukkan dalam Jadual 16-8.
Pemilikan premis industri oleh Bumiputera adalah juga rendah, iaitu
pada 4.8 peratus dan bagi kompleks perniagaan adalah 11.7 peratus.
16.25
Dalam tempoh Rancangan, sebanyak 365 permohonan penyenaraian telah
diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti. Daripada jumlah ini, hanya 41
permohonan atau 11.2 peratus adalah daripada syarikat Bumiputera dan
bakinya daripada syarikat bukan Bumiputera termasuk syarikat asing.
Dari
segi jumlah dana yang diterbitkan melalui
tawaran awam permulaan (IPO), sejumlah RM815 juta atau 14.9 peratus
daripada jumlah dana telah diterbitkan oleh syarikat Bumiputera
berbanding RM4.7 bilion atau 85.1 peratus oleh syarikat bukan
Bumiputera dan syarikat asing.
16.26
Dalam tempoh Rancangan, usaha telah diperkenalkan untuk menggalakkan
usahawan yang berpotensi di kalangan etnik India untuk menyertai
pelbagai program pembangunan keusahawanan. Lesen perniagaan telah
dikeluarkan bagi meningkatkanpenyertaan lebih ramai etnik India untuk
menyertai pelbagai program pembangunan keusahawanan. Lesen perniagaan
telah dikeluarkan bagi meningkatkan pemilikan ekuiti mereka dalam
sektor korporat . Peluang juga disediakan kepada belia di kalangan
etnik India untuk memperoleh latihan kemahiran dan pengetahuan dalam
asas pengurusan perniagaan. Mulai tahun 2004 , Pusat GiatMARA di
seluruh negara telah melatih seramai 1,100 belia etnik India dalam
pelbagai bidang kemahiran.
Pembangunan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB)
16.27
Pelaksanaan program MPPB telah diperkukuh dalam tempoh Rancangan. Namun
begitu, kemajuan yang dicapai adalah jauh daripada yang dihasratkan.
Sejumlah 114,770 usahawan Bumiputera telah menyertai program latihan
dan pembangunan perniagaan seperti program pembangunan vendor, program
pembangunan francais, skim modal teroka dan Projek Usahawan Bumiputera
Dalam Bidang Peruncitan (PROSPER).
16.28
Program pembangunan vendor telah mewujudkan 135 vendor baru. Sebanyak
100 syarikat Bumiputera dilantik sebagai vendor kepada syarikat milik
persendirian manakala 35 lagi dipilih untuk membekalkan alat ganti
serta menyediakan bekalan dan perkhidmatan kepada syarikat berkaitan
Kerajaan (GLC). Dalam tempoh Rancangan, program pembangunan francais
telah mewujudkan 228 usahawan francais Bumiputera dalam pelbagai bidang
perniagaan seperti makanan, pusat pembelajaran kanak-kanak dan
automotif. Di samping itu, sejumlah 29 daripada 114 pemilik francais
berdaftar adalah Bumiputera. Kekurangan syarikat swasta yang bersedia
menjadi syarikat peneraju dalam pengembangan perniagaan merupakan sebab
utama pencapaian yang rendah dalam pelaksanaan program ini.
16.29
Di bawah program PROSPER, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB)
meluluskan pelaburan kepada 884 peniaga runcit Bumiputera dengan jumlah
kos projek sebanyak RM233.2 juta. Sebanyak 48 peratus daripada jumlah
tersebut dibiayai melalui PUNB. Perniagaan ini menjana jualan sebanyak
RM350 juta setahun dan menyediakan kira-kira 3,580 peluang pekerjaan.
Selain menggalakkan penglibatan lebih ramai peruncit Bumiputera di
kawasan perumahan dan bandar baru, program ini berjaya menggalakkan
usahawan Bumiputera berkecimpung dalam perniagaan yang kurang disertai
Bumiputera seperti pusat perkhidmatan automotif, kedai perkakasan serta
kedai dobi dan cucian kering. Di bawah skim modal teroka, PUNB
menumpukan perhatian untuk memulihkan syarikat yang menyertai program
dan telah terjejas teruk akibat krisis kewangan 1997-98. Berikutan itu,
PUNB berupaya membangunkan 14 syarikat Bumiputera baru di bawah skim
ini dengan jumlah pelaburan sebanyak RM14.4 juta.
16.30
Langkah juga telah diambil untuk membangunkan usahawan Bumiputera di
Sabah dan Sarwak melalui penyediaan pelbagai jenis premis perniagaan
dan perindustrian . Dalam hal ini , sejumlah RM45 juta dibelanjakan di
Sabah dan RM54 juta di Sarawak dalam tempoh Rancangan.
III : PROSPEK 2006-2010
16.31
Dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9), agenda pengagihan
akan dilaksanakan secara lebih tegas bagi memastikan pencapaian agihan
manfaat pembangunan ekonomi dengan lebih saksama oleh semua rakyat
Malaysia. Strategi pengagihan akan ditumpukan ke arah mewujudkan
penyertaan yang lebih seimbang dan saksama antara dan di kalangan etnik
terutamanya melalui bina upaya dan peningkatan daya saing. Pendekatan
ini diambil atas kesedaran bahawa dalam konteks ekonomi semasa, tahap
pendapatan dan kemakmuran individu dan isi rumah serta kumpulan etnik
dan wilayah adalah ditentukan sebahagian besarnya oleh peranan mereka
dalam sistem pengeluaran dan pulangan yang diperolehi daripada bekerja
sendiri dan menerusi pasaran pekerja. Dalam tempoh RMKe-9, selain
menumpukan kepada pencapaian dalam pembasmian kemiskinan serta
ketidakseimbangan pendapatan dan kekayaan, perhatian khusus akan
diberikan kepada impak pelaksanaan dasar, program dan projek ke atas
guna tenaga terutama dari segi keberkesanan dan produktiviti dalam
proses pertumbuhan serta pengagihan peluang dan ganjaran.
16.32 Bagi menumpukan usaha dengan lebih baik, sasaran khusus untuk pengagihan ditetapkan di bawah RMKe-9 seperti yang berikut:
a) membasmi kemiskinan tegar dan mengurangkan separuh kemiskinan keseluruhan kepada 2.8 peratus menjelang tahun 2010;
b) mengurangkan nisbah
ketidaksamaan pendapatan antara Bumiputera dengan etnik Cina kepada
1:1.50 dan antara Bumiputera dengan etnik India kepada 1:1.15 pada
tahun 2010; dan
c) meningkatkan pemilikan
modal saham Bumiputera antara 20 hingga 25 peratus pada tahun 2010 bagi
mencapai sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus menjelang tahun 2020.
16.33 Strategi pengagihan akan diorientasikan semula ke arah mencapai pariti pendapatan menerusi teras utama yang berikut:
a) meningkatkan bahagian
pendapatan bagi kumpulan isi rumah 40 peratus terendah dengan
meningkatkan produktiviti menerusi pembangunan modal insan;
b) mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi menarik lebih banyak penyertaan NGO dan sektor swasta dalam pembasmian kemiskinan;
c) mengurangkan ketidaksamaan dalam pemilikan kekayaan termasuk aset bukan kewangan;
d) membangunkan MPPB yang
lebih berdaya saing dan produktif melalui pewujudan usahawan Bumiputera
yang berdikari dan mampan serta membangunkan enterpris kecil dan
sederhana (EKS) Bumiputera yangTberdaya tahan;
e) memperluas akses
kepada program pendidikan dan latihan bagi meningkatkan bilangan
pengurus dan profesional Bumiputera terutamanya dalam sektor swasta;
f) mempergiat pelaksanaan
program penyusunan semula guna tenaga ke arah mengurangkan pengenalan
kumpulan etnik mengikut pekerjaan dan pendapatan bagi meningkatkan
integrasi; dan
g) memperkukuh pangkalan data dan mekanisme pemantauan untuk melaksanakan agenda pengagihan secara berkesan.
16.34
Semua agensi kerajaan dikehendaki memastikan dasar dan program
mengambil kira implikasi ke atas pengagihan. Mekanisme pelaksanaan dan
pemantauan yang lebih berkesan dan memberi penekanan kepada hasil dan
impak akan diwujudkan. Mekanisme ini akan disokong dengan pangkalan
data dan penyelarasan yang lebih baik di kalangan kementerian dan
agensi yang berkaitan bagi memastikan kejayaan pelaksanaan agenda
pengagihan. Satu sistem yang lebih baik akan diwujudkan untuk mengenal
pasti penerima faedah dan meminimumkan kebocoran.
Pembasmian Kemiskinan
16.35
Dalam tempoh Rancangan, usaha akan diambil untuk membasmi kelompok
miskin di kalangan kumpulan yang kurang mendapat faedah pembangunan,
khususnya di kalangan masyarakat Orang Asli di Semenanjung Malaysia.
Teras strategi pembasmian kemiskinan akan bertumpu kepada pembasmian
kemiskinan tegar dan mengurangkan separuh kemiskinan keseluruhan pada
akhir tahun 2010. Mekanisme pelaksanaan yang baru dan yang lebih baik
serta program kebajikan masyarakat yang khusus akan dilaksanakan bagi
memastikan kemiskinan tegar kekal dibasmikan selepas tahun 2010. Di
samping itu, langkah akan diambil untuk mengurangkan kemiskinan di
kawasan luar bandar dan bandar serta di kalangan Bumiputera di Sabah
dan Sarawak melalui projek yang menjana pendapatan dan menyediakan
peluang pekerjaan. Hanya warga emas, ibu tunggal miskin, orang kurang
upaya dan daif yang tidak dapat menjalankan sebarang aktiviti ekonomi
yang mendatangkan hasil akan terus menerima bantuan langsung.
16.36
Kemiskinan Tegar. Liputan program berpakej di bawah SPKR akan diperluas
kepada semua kumpulan sasar, terutamanya di kawasan yang mempunyai
bilangan isi rumah miskin tegar yang tinggi. Program berkenaan,
termasuk Program Peningkatan Ekonomi, Program Pembangunan Infrastruktur
Asas dan Program Pembangunan Insan, akan memberi lebih penekanan kepada
pembangunan modal insan dan bina upaya bagi memastikan program tersebut
memberi manfaat kepada peserta secara berterusan.
16.37
Akses kepada kemudahan kredit akan dipertingkatkan lagi bagi
membolehkan kumpulan sasar terlibat secara aktif dalam aktiviti ekonomi
yang lebih produktif. Bagi tujuan ini, operasi AIM dalam membasmi
kemiskinan tegar akan diperkukuh lagi. Menjelang tahun 2010, AIM akan
memperluas kemudahan kredit mikro kepada 69,200 peserta tambahan dan
menambah keahlian kepada 203,200. Bagi meningkatkan liputan dan
menambah baik penyampaian perkhidmatan kepada golongan miskin tegar,
AIM akan menumpukan operasinya di negeri yang mempunyai bilangan isi
rumah miskin tegar yang tinggi, terutamanya di Sabah, Terengganu dan
Perak. Di samping itu, NGO lain dan sektor swasta akan digalakkan untuk
memulakan program dan projek yang menyediakan peluang kepada kumpulan
sasar untuk meningkatkan pendapatan mereka. Usaha akan diambil untuk
mengemas kini dan menggabung daftar golongan miskin tegar bandar dan
luar bandar bagi memastikan semua program pembasmian kemiskinan
dinikmati oleh kumpulan sasar.
16.38
Kemiskinan Keseluruhan. Program bagi membina dan meningkatkan keupayaan
golongan miskin dalam kumpulan umur bekerja akan diperkukuh bagi
membolehkan mereka menjalankan aktiviti ekonomi yang lebih produktif.
Program ini termasuk pendidikan dan latihan dalam kemahiran dan
pengetahuan khusus serta penyemaian dan pemupukan nilai positif
termasuk etika kerja yang baik dan keyakinan diri. Program sokongan
seperti pemberian buku teks, biasiswa dan elaun serta makanan tambahan
akan diteruskan bagi meningkatkan akses isi rumah miskin kepada
pendidikan dan latihan. Lebih banyak asrama akan disediakan bagi
menempatkan pelajar daripada keluarga miskin. Program dan projek di
bawah SPKR dan Program Pembangunan Bersepadu Bagi Masyarakat Bandar
akan diperkukuh bagi memastikan keberkesanannya dalam meningkatkan
peluang pekerjaan dan pendapatan serta menambah baik kualiti hidup isi
rumah miskin dan yang berpendapatan rendah.
16.39
Persekitaran yang lebih kondusif akan diwujudkan untuk menggalakkan
lagi penyertaan NGO dan sektor swasta dalam menyediakan peluang yang
lebih luas kepada golongan miskin untuk menambah baik mata pencarian
mereka. Institusi kewangan akan disaran menyediakan kemudahan pinjaman
yang inovatif dan mesra golongan miskin. Penyertaan kumpulan sasar
serta komuniti akan digalakkan dalam pengenalpastian dan pelaksanaan
projek bagi meningkatkan kualiti dan kemampanan program berkenaan.
16.40
Dalam tempoh Rancangan, langkah akan diambil untuk menambah baik
pengurusan institusi berasaskan Islam, terutamanya yang berkaitan
dengan zakat, wakaf dan baitulmal serta membangunkan institusi tersebut
menjadi mekanisme yang berkesan untuk memberi bantuan secara langsung
kepada golongan miskin. Kejayaan Pusat Pungutan Zakat Wilayah
Persekutuan Kuala Lumpur akan dicontohi sebagai model pungutan zakat
untuk dilaksanakn di negeri lain.MUKA
16.41
Inisiatif pembasmian kemiskinan oleh sektor awam, NGO dan sektor swasta
akan diperkemas manakala penyelarasan dan pemantauan di semua peringkat
akan diperkukuh, termasuk menetapkan sasaran boleh capai bagi semua
agensi pelaksana untuk memastikan kemampanan dan impak yang lebih besar
sesuatu program. Bagi tujuan ini, satu pangkalan data kemiskinan yang
menggabungkan daftar kemiskinan luar bandar dan bandar dengan
menggunakan definisi pendapatan yang sama akan diwujudkan bagi menambah
baik kualiti pangkalan data mengenai isi rumah miskin dan miskin tegar.
Pangkalan data yang disokong dengan data daripada pelbagai agensi
pelaksana termasuk NGO akan digunakan oleh semua agensi pelaksana
sebagai sumber data utama bagi kumpulan sasar mereka. Di samping itu,
pemetaan kemiskinan akan dibangunkan di kawasan bandar dan luar bandar
terpilih bagi membantu dalam merangka program untuk memenuhi keperluan
kumpulan sasar yang berlainan.
16.42
Kemiskinan Luar Bandar. Pembangunan luar bandar akan terus menjadi
strategi utama pembasmian kemiskinan di kawasan luar bandar. Sehubungan
itu, masyarakat luar bandar akan diberi akses yang lebih baik kepada
teknologi baru dan kaedah pertanian moden serta aktiviti ekonomi luar
kebun. Pemodenan dan pengkomersilan aktiviti pertanian melalui
penggunaan klon berhasil tinggi yang lebih meluas akan meningkatkan
produktiviti dan pendapatan di kalangan isi rumah miskin. Petani dan
pekebun kecil akan terus disediakan khidmat sokongan pertanian yang
lebih baik bagi menggalakkan mereka menceburi aktiviti pertanian
berskel besar untuk meningkatkan produktiviti dan pendapatan.
16.43
Program latihan dan kemudahan kredit akan disediakan terutamanya kepada
mereka yang terlibat dalam aktiviti ekonomi berasaskan pertanian.
Petani dan nelayan akan digalakkan untuk menjalankan aktiviti ekonomi
tambahan dalam bidang akuakultur, penternakan dan pemprosesan makanan
serta perniagaan dan keusahawanan berasaskan pertanian. Petani yang
terlibat dengan penanaman tembakau juga akan digalakkan menceburi
aktiviti ekonomi tersebut serta penanaman tanaman alternatif lain bagi
menambah pendapatan mereka, memandangkan kawasan tanaman dan pendapatan
daripada tembakau dijangka akan berkurangan.
16.44
Skim pembangunan tanah dan penubuhan pusat pertumbuhan luar bandar,
terutamanya di Sabah dan Sarawak, akan terus menyediakan peluang
pekerjaan yang lebih banyak kepada golongan miskin luar bandar.
Penyatuan dan pemulihan kebun kecil juga akan memberi manfaat kepada
petani miskin di kawasan luar bandar. Dalam tempoh Rancangan, sejumlah
387,500 hektar kawasan getah dan kelapa sawit akan ditanam semula dan
102,700 hektar tanah akan disatukan dan dipulihkan oleh pelbagai agensi
termasuk Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah
(RISDA), FELCRA Berhad dan Lembaga Industri Getah Sabah, untuk memberi
manfaat kepada pekebun kecil miskin.
16.45
Kemiskinan Bandar. Dalam tempoh Rancangan, usaha membasmi kemiskinan
bandar akan berpandu kepada Pelan Tindakan Strategik Kemiskinan Bandar.
Semua program dan projek di bawah Program Pembangunan Bersepadu
Masyarakat Bandar akan disatukan dan diperluas di bawah Program
Pembasmian Kemiskinan Bandar. Komponen program ini termasuk penyediaan
perumahan, penjanaan pendapatan, pendidikan dan latihan serta penubuhan
Pusat Sejahtera sebagai pusat maklumat dan sumber bagi golongan miskin.
Penempatan semula penduduk setinggan di kawasan bandar ke projek
perumahan awam kos rendah dan projek perumahan lain akan diteruskan
melalui pendekatan pembangunan bersepadu.
16.46
Bumiputera di Sabah dan Sarawak. Program sasaran spesifik akan
dilaksanakan dalam tempoh Rancangan untuk membasmi kemiskinan
berdasarkan penemuan kajian yang dijalankan pada tahun 2005. Langkah
akan diambil bagi menyediakan peluang pekerjaan dan aktiviti yang
menjana pendapatan bagi mengurangkan kadar kemiskinan yang tinggi di
kalangan Orang Sungei, Rungus, Bisaya dan Sulu atau Suluk di Sabah
serta Bidayuh, Kenyah, Kayan, Kadayan, Penan dan Lun Bawang di Sarawak.
Di bawah SPKR, sejumlah RM189 juta akan diperuntukkan kepada Sabah dan
RM139 juta untuk Sarawak bagi menangani kadar kemiskinan yang tinggi di
kalangan Bumiputera.
16.48
Orang Asli. Dalam tempoh Rancangan, satu pelan pembangunan komprehensif
akan dilaksanakan untuk menangani kadar kemiskinan yang tinggi di
kalangan masyarakat Orang Asli. Pelan ini merangkumi strategi dan
program untuk meningkatkan pendapatan dan menambah baik kualiti hidup
melalui pelaksanaan projek ekonomi serta penempatan semula dan
pembangunan modal insan. Usaha akan ditumpukan ke arah meningkatkan
akses masyarakat . Orang Asli kepada projek yang menjana pendapatan
seperti penanaman tanaman makanan , kraf tangan dan pelancongan serta
penyediaan peluang pekerjaan , infrastruktur dan kemudahan asas lain.
Bagi tujuan ini, penyampaian program dan inisiatif pembasmian kemisinan
akan diperkukuh bagi memastikan golongan miskin menikmati manfaat yang
lebih besar. NGO , terutamanya AIM , akan digalakkan untuk memperluas
program dan inisiatif bagi membasmi kemiskinan dan kemiskinan tegar di
kalangan kumpulan yang kurang mendapat faedah pembangunan. SPKR juga
akan dipelruas lagi sebagai sebahagian daripada program yang tertumpu
kepada sasaran khusus lagi sebagai sebahagian daripada program yang
tertumpu kepada sasaran khusus bagi mebasmi kemiskinan di kalangan
kumpulan tersebut di kawasan luar bandar.
Pengagihan Pendapatan
16.49
Bagi mencapai pariti pendapatan dalam jangka panjang, usaha akan
diambil bagi mengurangkan jurang pendapatan antara kumpulan etnik
sertaantara kawasan luar bandar dengan kawasan bandar, untuk mencapai
pengagihan diambil bagi mengurangkan jurang pendapatan antara kumpulan
etnik serta antara kawasan luar bandar dengan kawasan bandar, untuk
mencapai pengagihan yang lebih saksama daripada hasil pertumbuhan
ekonomi negara yang terus berkembang. Sehubungan ini, aktiviti yang
menjana pendapatan dan peluang pekerjaan akan diwujudkan untuk
mengecilkan jurang pendapatan antara Bumiputera dengan etnik Cina
daripada 1:1.64 pada tahun 2004 kepada 1:1.50 pada tahun 2010. Dalam
tempoh yang sama, jurang pendapatan antara Bumiputera dengan etnik
India disasarkan berkurangan daripada 1:1.27 kepada1:1.15.
16.50
Selain usaha pembasmian kemiskinan, strategi dan program pengagihan
akan bertumpu kepada pewujudan kumpulan berpendapatan menengah
Bumiputera yang lebih besar dan makmur melalui pembangunan modal insan.
Usaha yang sedang dilaksanakan akan diperkukuh lagi dan instrumen baru
yang berkesan akan dikenal pasti untuk memperbesar kumpulan
berpendapatan menengah Bumiputera. Langkah ini meliputi usaha
mempergiat program penyusunan semula guna tenaga untuk mewujudkan lebih
ramai usahawan yang berjaya, meningkatkan hak milik dan kekayaan
Bumiputera, memperkukuh program pendidikan dan latihan serta
menyediakan lebih banyak peluang kepada Bumiputera untuk bersaing
mendapatkan pekerjaan berpendapatan lebih tinggi, terutamanya dalam
peringkat pengurusan, profesional dan teknikal. Di samping itu, langkah
meningkatkan pendapatan isi rumah miskin dan berpendapatan rendah akan
diperluas untuk meliputi isi rumah 40 peratus terendah bagi membolehkan
mereka beralih ke kategori pendapatan yang lebih tinggi. Kira-kira 76.0
peratus daripada kumpulan 40 peratus isi rumah terendah pada tahun 2004
adalah Bumiputera.
16.51
Faktor yang berkaitan dengan kualiti pekerja dan penggunaan sumber akan
diberi perhatian yang lebih, memandangkan faktor ini amat mempengaruhi
produktiviti dan keupayaan memperoleh pendapatan dalam aktiviti ekonomi
moden. Latihan tambahan akan disediakan terutamanya kepada siswazah
menganggur bagi membolehkan mereka memenuhi keperluan pasaran
pekerjaan. Pada masa yang sama, lebih banyak institusi latihan akan
dinaik taraf dan dibina terutamanya di kawasan luar bandar untuk
memberi peluang yang lebih banyak kepada masyarakat luar bandar.
16.52
Pembangunan luar bandar akan dipergiat melalui pemodenan dan
pengkomersilan aktiviti pertanian serta pelbagaian ekonomi luar bandar
bagi mengurangkan ketidakseimbangan pendapatan antara kawasan luar
bandar dengan bandar dan antara negeri yang kurang membangun dengan
yang lebih membangun. Pemodenan dan pewujudan aktiviti ekonomi baru di
kawasan luar bandar terutamanya melalui program Satu Daerah Satu
Industri dan pembangunan estet perindustrian luar bandar akan
menyediakan lebih banyak peluang kepada isi rumah luar bandar mendapat
pekerjaan dalam sektor berproduktiviti tinggi.
16.53
Pembangunan usahawan luar bandar akan dilaksanakan secara lebih
sistematik dan berfokus berpandukan kepada Pelan Induk Pembangunan
Usahawan Luar Bandar. Program untuk meningkatkan kesedaran dan
penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di kalangan isi
rumah luar bandar akan dilaksanakan bagi mengurangkan jurang digital
serta meningkatkan peluang isi rumah luar bandar menyertai dan
menceburi aktiviti ekonomi moden. Langkah untuk meningkatkan celik ICT
di kalangan penduduk luar bandar dan kumpulan yang kurang mendapat
faedah pembangunan akan membolehkan mereka meningkatkan akses kepada
maklumat dan perkhidmatan yang penting, memupuk minat bekerja sendiri
dan keusahawanan di kalangan penduduk yang lebih miskin.
Penyusunan Semula Guna Tenaga
16.54
Dalam tempoh Rancangan, usaha akan dipergiat lagi bagi memastikan pola
guna tenaga pada semua peringkat pekerjaan dan dalam semua sektor
ekonomi menggambarkan komposisi penduduk mengikut etnik. Sektor swasta
perlu meningkatkan penglibatan mereka dalam memesatkan pertumbuhan
gunaAtenaga Bumiputera dan menyusun semula pola guna tenaga dalam
sektor swasta. Kerjasama sektor awam dan swasta akan diwujudkan dan
dilaksanakan bagi memajukan guna tenaga Bumiputera. Kemajuan penyusunan
semula guna tenaga yang mencerminkan komposisi etnik akan dipantau
secara lebih teliti pada pelbagai peringkat dan secara keseluruhan,
walaupun sasaran tidak ditetapkan pada peringkat mikro.
16.55
Pendidikan dan latihan akan kekal sebagai strategi penting bagi
mencapai objektif meningkatkan guna tenaga Bumiputera dalam pekerjaan
profesional, pengurusan dan pekerjaan berpendapatan tinggi lain
terutamanya dalam sektor perkhidmatan serta sektor lain yang moden dan
berproduktiviti tinggi. Dalam tempoh Rancangan, enrolmen Universiti
Teknologi MARA (UiTM) akan dipertingkatkan termasuk menerusi sistem
francais dengan institusi pengajian tinggi swasta Bumiputera bagi
menyediakan lebih banyak tempat untuk pelajar Bumiputera. Langkah akan
dilaksanakan bagi mempercepat lagi peralihan dan penerimaan pelajar
lepasan sekolah menengah dan siswazah Bumiputera ke dalam sektor
dinamik dan kategori pekerjaan berpendapatan tinggi.
16.56
Tumpuan akan diberi kepada usaha mewujudkan MSTB dan meningkatkan
penyertaan Bumiputera dalam sektor kecil berasaskan teknologi seperti
bioteknologi, ICT dan pembuatan termaju. Langkah akan dipergiat bagi
meningkatkan prestasi pelajar Bumiputera terutamanya dalam mata
pelajaran sains, matematik dan Bahasa Inggeris dan meningkatkan
bilangan mereka dalam kursus kritikal di universiti. Selain bantuan
yang diberi kepada pelajar terbaik, biasiswa dan pinjaman akan
diberikan kepada pelajar Bumiputera yang berkelayakan untuk mengikuti
pengajian di institusi pengajian tinggi awam dan swasta tempatan serta
institusi terkemuka di luar negara.
16.57
Langkah akan juga diambil bagi menyediakan peluang kepada siswazah
Bumiputera menyertai pelbagai program pembangunan MPPB untuk
membolehkan mereka bekerja sendiri. Sehubungan ini, Skim Usahawan
Siswazah akan diperluas dan diperkukuh manakala bantuan lain untuk
mereka bekerja sendiri akan disediakan termasuk latihan, nasihat
teknikal, bantuan kewangan, maklumat pasaran dan teknologi baru.
16.58
Sektor swasta dan GLC akan digalakkan untuk memberi peluang dan bantuan
kepada Bumiputera bagi mendapat kelayakan profesional dan pekerjaan.
Selain itu, langkah yang lebih tegas akan diambil bagi meningkatkan
penyertaan bukan Bumiputera dalam sektor perkhidmatan awam dalam
kategori pekerjaan yang masih kurang penyertaan mereka.
Pemilikan Kekayaan
16.59
Sungguhpun Kerajaan kekal komited bagi memastikan pencapaian
sekurang-kurangnya 30 peratus pemilikan ekuiti Bumiputera, sasaran ini
hanya boleh dicapai dalam jangka masa lebih panjang. Oleh itu, sasaran
pemilikan 30 peratus ekuiti Bumiputera dalam sektor korporat dan
sasaran 3.0 peratus bagi komuniti India akan dilanjutkan sehingga tahun
2020. Di samping itu, dalam konteks ekonomi semasa, faktor lain selain
pemilikan ekuiti menjadi semakin penting sebagai pengukur pemilikan
kekayaan. Oleh itu, selain pemilikan modal saham, tumpuan program
pengagihan dalam tempoh Rancangan akan diperluas bagi meliputi aspek
pemilikan kekayaan lain, terutamanya pemilikan Bumiputera dalam aset
produktif fizikal dan bukan fizikal. Selaras dengan ini, dasar dan
program akan dilaksanakan bagi meningkatkan pemilikan Bumiputera dalam
harta tanah kediaman dan komersil di bandar, hak harta intelek serta
enterpris komersil terutamanya EKS.
16.60
Dalam tempoh Rancangan, Permodalan Nasional Berhad (PNB) akan
menggalakkan penyertaan aktif lebih ramai Bumiputera dalam skim saham
amanah menerusi program kesedaran dan pendidikannya. PNB akan
menyediakan lebih banyak pilihan produk bagi menarik lebih ramai
pelabur Bumiputera. Tumpuan khusus akan diberi untuk meningkatkan
penyertaan Bumiputera di Sabah dan Sarawak dalam skim saham amanah.
16.61
Agensi amanah Bumiputera dan GLC akan memainkan peranan yang lebih
aktif dalam usaha meningkatkan harta tanah komersil Bumiputera di
kawasan bandar. Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera dengan modal
permulaan sebanyak RM2.0 bilion akan meneraju usaha meningkatkan
pemilikan harta tanah Bumiputera di lokasi strategik terutamanya di
kawasan bandar. Perbadanan UDA akan ditubuhkan semula bagi melengkapi
usaha Yayasan untuk mengenal pasti dan memperoleh harta tanah komersil
terutamanya di bandar besar dan menyediakan lebih banyak peluang kepada
usahawan Bumiputera berniaga di lokasi perniagaan utama. Peningkatan
usahawan dan pemilikan enterpris komersil Bumiputera terutamanya EKS
akan terus dipergiat.
16.62
Sumber wakaf, baitulmal dan zakat akan digembleng sewajarnya dalam
tempoh Rancangan bagi meningkatkan pembangunan Bumiputera dan
masyarakatIslam lain. Penekanan akan diberikan kepada usaha
membangunkan tanah wakaf di dalam kawasan komersil dalam bandar di
Johor Bahru, Lembah Klang dan Pulau Pinang. Program pembangunan akan
melibatkan pembangunan semula penempatan perumahan secara bersepadu
dengan menyediakan kemudahan infrastruktur dan ekonomi, termasuk premis
perniagaan dan industri di atas tanah wakaf. Jabatan Wakaf, Zakat dan
Haji akan menyelaraskan penubuhan satu entiti baru dengan penyertaan
Majlis Agama Islam Negeri bagi melaksanakan program untuk membangunkan
tanah wakaf dan baitulmal sebagai pelaburan ekonomi yang berdaya maju
dan seterusnya membantu pembangunan MPPB.Di samping itu, pangkalan data
mengenai sumber wakaf, zakat dan baitulmal akan diperkukuh.
16.63
Program penyusunan semula untuk meningkatkan pemilikan aset Bumiputera
juga merangkumi langkah khusus untuk meningkatkan pemilikanoleh
Bumiputera di Sabah dan Sarawak. Bagi tujuan ini, satu pelan tindakan
akan dirangka untuk melaksanakan pelbagai program termasuk skim saham
amanah, pembangunan keusahawanan dan program latihan kemahiran serta
penyediaan kemudahan pembiayaan. Pembangunan tanah pribumi dan adat di
Sabah dan Sarawak melalui pembangunan projek komersil dan projek lain
yang bersesuaian akan dilaksanakan untuk manfaat Bumiputera.
16.64
Langkah tambahan akan dilaksanakan bagi meningkatkan pemilikan ekuiti
etnik India kepada 3.0 peratus menjelang tahun 2020. Lebih banyak
peluang akan disediakan kepada komuniti India untuk menyertai skim
saham amanah terpilih. Bagi menggalakkan lagi komuniti India menceburi
bidang perniagaan, akses kepada bantuan kewangan dan program latihan
akan diperluas kepada usahawan yang berpotensi dan berkemampuan. Dalam
tempoh Rancangan,peluang akan terus diberi kepada pelajar lepasan
sekolah di kalangan isi rumah India yang berpendapatan rendah untuk
menyertai pelbagai kursus latihan kemahiran di Pusat GiatMARA. Selain
itu, sebuah institusi latihan kemahiran baru iaitu Pusat Putra akan
ditubuhkan bagi membantu belia khususnya di kalangan etnik India untuk
memperoleh kemahiran berkaitan terutamanya dalam bidang ICT dan
automekanik.
Di pos oleh Arbain Muhayat pada 20 December 2008