BAB 15 : MEMUPUK PEMBANGUNAN KELUARGA DAN MASYARAKAT

I : PENDAHULUAN

15.01 Dalam tempoh Rancangan Malaysia Kelapan (RMKe-8), program pembangunan keluarga dan masyarakat dilaksanakan selaras dengan objektif mewujudkan masyarakat penyayang yang menyokong pembangunan sektor lain dalam ekonomi. Pelaksanaan program tersebut menyumbang ke arah meningkatkan kebajikan rakyat dan kualiti hidup yang lebih baik.

15.02 Dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9), pelaksanaan program pembangunan keluarga dan masyarakat akan memberi penekanan yang lebih kepada membina keluarga yang berdaya tahan bagi mencapai keseimbangan yang optimum antara pertumbuhan kebendaan dan pembangunan masyarakat. Sehubungan ini, usaha ke arah memperkukuh unit kekeluargaan, meningkatkan penyertaan masyarakat dan peranan masyarakat umum serta badan bukan kerajaan (NGO) ke arah memupuk masyarakat yang lebih bertolak ansur dan penyayang akan dilaksanakan. Usaha bersepadu akan diambil untuk memupuk perpaduan dan integrasi yang lebih kukuh di kalangan rakyat Malaysia bagi memastikan kestabilan sosial.

II : KEMAJUAN 2001-2005

15.03 Dalam tempoh RMKe-8, Kerajaan terus melaksanakan program pembangunan masyarakat bertujuan memperkukuh unit kekeluargaan serta meningkatkan kualiti hidup rakyat termasuk kanak-kanak, orang kurang upaya dan warga tua. Program pembangunan keluarga memberi tumpuan ke arah membina hubungan kekeluargaan yang baik dan mewujudkan kesedaran serta mengiktiraf keluarga sebagai satu unit penting dalam institusi sosial. Kebajikan dan perlindungan kanak-kanak terus diberi penekanan manakala kemudahan untuk orang kurang upaya dan warga tua dipertingkat dan diperluas bagi memastikan penjagaan yang berkualiti. Program pembangunan masyarakat dilaksanakan dengan penyertaan NGO dan sektor swasta.

Pembangunan Keluarga

15.04 Usaha telah diambil bagi memperkukuh unit kekeluargaan sebagai asas untuk mewujudkan masyarakat aman, makmur dan stabil. Penubuhan majlis pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat di setiap negeri membolehkan program pembangunan keluarga dilaksanakan secara bersepadu di peringkat akar umbi. Sehubungan ini, pelbagai program dan aktiviti pencegahan dan sokongan dilaksanakan dengan kerjasama NGO, sektor swasta serta institusi pendidikan dan latihan. Aktiviti tersebut bertujuan mewujudkan kesedaran terhadap kepentingan dan manfaat keluarga bahagia dan harmoni serta membantu keluarga menghadapi perubahan persekitaran kehidupan.

15.05 Kempen Utamakan Keluarga dilancarkan di peringkat kebangsaan dan negeri pada tahun 2003 bertujuan mewujudkan kesedaran dan mengiktiraf keluarga sebagai keutamaan sosial dan unit asas masyarakat yang perlu dilindungi dan disokong oleh komuniti dan negara. Kerajaan melaksanakan pelbagai dasar mesra keluarga bagi anggota perkhidmatan awam. Dasar tersebut termasuk pelaksanaan bekerja lima hari seminggu bagi membolehkan ibu bapa meluangkan masa yang berkualiti bersama keluarga, melanjutkan cuti menjaga isteri bersalin daripada tiga kepada tujuh hari dan menyediakan cuti ehsan selama tiga hari apabila berlaku kematian ahli keluarga terdekat.

15.06 Dalam tempoh Rancangan, pakej SMARTSTART yang menyediakan maklumat dan pengetahuan kepada pengantin baru mengenai peranan dan tanggungjawab masing-masing serta kepentingan memupuk hubungan perkahwinan telah diwujudkan. Pakej tersebut menyediakan maklumat dan nasihat mengenai tujuh bidang utama, iaitu persediaan perkahwinan, alam perkahwinan, kesihatan keluarga, kehamilan dan kelahiran, keibubapaan, mengurus pendapatan keluarga serta mengurus tekanan dan konflik. Di samping itu, modul latihan praperkahwinan yang seragam bertujuan mendidik mereka yang merancang untuk berkahwin mengenai peranan dan tanggungjawab dalam perkahwinan telah dibangunkan setelah mengambil kira pandangan pelbagai pertubuhan agama dan NGO.

15.07 Kerajaan juga telah meluluskan penubuhan pusat latihan dan perkhidmatan keluarga setempat atau Kompleks KASIH Keluarga bagi menyediakan program dan perkhidmatan bertujuan mengukuhkan unit kekeluargaan termasuk kaunseling, kemahiran keibubapaan dan perkhidmatan kesihatan reproduktif. Sehubungan ini, sebuah kompleks siap dibina di Shah Alam, Selangor. Di samping itu, dua projek perintis pusat remaja dan belia dikenali sebagai kafe@TEEN ditubuhkan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Butterworth, Pulau Pinang. Kafe@TEEN menyediakan maklumat dan pengetahuan mengenai seksualiti dan kesihatan reproduktif serta bimbingan dan perkhidmatan yang bersesuaian dengan keperluan remaja.

Kanak-Kanak

15.08 Usaha untuk memastikan perlindungan, pemulihan dan pembangunan kanak-kanak diteruskan bagi menjaga kebajikan dan kepentingan mereka. Sehubungan ini, Akta Kanak-Kanak 2001 digubal dengan menggabungkan Akta Mahkamah Juvana 1947, Akta Perlindungan Wanita dan Gadis 1973 dan Akta Perlindungan Kanak-Kanak 1991. Penggubalan Akta ini mengambil kira prinsip Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak. Akta tersebut mewajibkan pengamal perubatan, ahli keluarga dan penyedia perkhidmatan penjagaan kanak-kanak melaporkan kes penderaan kanak-kanak. Sehubungan ini, kes penderaan kanak-kanak yang dilaporkan meningkat daripada 1,036 pada tahun 2001 kepada 1,656 pada tahun 2005. Akta tersebut juga memberi penekanan kepada tanggungjawab dan penglibatan ibu bapa dalam pemulihan kanak-kanak dan menangani ketidakharmonian dalam keluarga melalui penyediaan bengkel interaktif. Mahkamah khas dikenali sebagai Mahkamah Kanak-Kanak yang diketuai oleh seorang majistret dengan dua penasihat daripada kalangan orang awam ditubuhkan pada tahun 2002 untuk mendengar kes berkaitan kanak-kanak.

15.09 Pelbagai usaha diambil untuk menangani isu keganasan terhadap kanak-kanak termasuk meningkatkan penyertaan masyarakat dalam melaksanakan program pencegahan dan pemulihan. Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak dan Pusat Aktiviti Kanak-Kanak ditubuhkan di peringkat negeri dan daerah untuk memberi perkhidmatan terutamanya kepada keluarga dan kanak-kanak yang terdedah kepada keganasan di kawasan berkenaan. Perkhidmatan tersebut termasuk aktiviti berkaitan kanak-kanak, kaunseling untuk kanak-kanak dan ibu bapa, kursus keibubapaan serta penjagaan kanak-kanak bertujuan memberi sokongan psikologi dan motivasi. Dalam tempoh Rancangan, sejumlah 131 pasukan Perlindungan Kanak-Kanak dengan keahlian aktif seramai 1,572 orang serta 135 Pusat Aktiviti Kanak-Kanak ditubuhkan. Di samping itu, pasukan untuk Mengesan Penderaan Kanak-Kanak dan Kanak-Kanak Terabai (SCAN) ditubuhkan di hospital daerah dan negeri untuk menyelia dan memantau kes penderaan kanak-kanak yang dirujuk kepada hospital. Sejumlah 14 pasukan SCAN ditubuhkan di hospital negeri dan 690 kes penderaan kanak-kanak dilaporkan.

15.10 Akta Pusat Jagaan Kanak-Kanak 1984 yang bertujuan memastikan standard minimum penjagaan kanak-kanak di pusat penjagaan dikaji semula pada tahun 2005 bagi menetapkan langkah penguatkuasaan yang lebih ketat dan meningkatkan kualiti penjagaan kanak-kanak. Di samping itu, sektor awam dan swasta digalak untuk menubuhkan kemudahan penjagaan kanak-kanak di tempat kerja melalui penyediaan pelbagai insentif seperti pemberian bantuan secara langsung dan rebat cukai. Dalam tempoh Rancangan, sebanyak 86 pusat penjagaan kanak-kanak berdaftar telah ditubuhkan di tempat kerja manakala seramai 3,197 penyedia khidmat penjagaan kanak-kanak diberi latihan untuk meningkatkan keupayaan mereka dalam mengendalikan pusat penjagaan kanak-kanak.

15.11 Kerajaan terus menyediakan institusi penjagaan untuk anak yatim serta anak yang ditinggalkan, didera dan diabaikan. Dalam tempoh Rancangan, tiga Rumah Kanak-Kanak yang baru dibina untuk memberi penjagaan dan perlindungan kepada 320 kanak-kanak. Di samping itu, tujuh Rumah Tunas Harapan ditubuhkan bagi membolehkan kanak-kanak yang memerlukan penjagaan dan perlindungan tinggal dalam suasana kekeluargaan. Rumah tersebut disediakan melalui perkongsian dan kerjasama dengan badan korporat, kerajaan negeri serta agensi lain yang berkaitan seperti Yayasan Kebajikan Kebangsaan, NGO dan organisasi berasaskan masyarakat yang memberi manfaat kepada 240 kanak-kanak.

15.12 Selaras dengan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak, usaha diambil untuk menggalakkan penyertaan lebih ramai kanak-kanak dalam penggubalan dan proses membuat keputusan. Usaha bina upaya dan memperkasa kanakkanak mengenai isu dan hak mereka telah diambil melalui program kesedaran dengan penyertaan seramai 163 kanak-kanak dalam tempoh Rancangan. Bagi memastikan suara mereka terus didengar, kanak-kanak juga turut dilibatkan dalam penilaian Pelan Tindakan Negara (NPA) pertama dan merangka NPA kedua bagi tempoh 2006–2020. NPA kedua mengambil kira elemen yang terkandung dalam Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak, iaitu keperluan hidup, perlindungan, pembangunan dan penyertaan kanak-kanak.

Orang Kurang Upaya

15.13 Kerajaan terus menyediakan pelbagai program untuk menjaga dan membantu orang kurang upaya termasuk penyediaan kemudahan untuk membolehkan mereka menjalani kehidupan yang normal. Bagi memastikan orang kurang upaya mendapat akses kepada program tersebut, kempen untuk mendidik dan meningkatkan kesedaran mengenai keperluan mendaftar orang kurang upaya telah dimulakan pada tahun 2001. Pada akhir tahun 2005, seramai 150,600 orang kurang upaya berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Kerajaan juga menyediakan faedah seperti pemeriksaan kesihatan, pemberian ubat dan kemudahan wad di hospital kerajaan secara percuma, potongan tambang perjalanan, pengecualian cukai jalan, dokumen perjalanan percuma, tambahan pelepasan cukai pendapatan, potongan duti eksais bagi pembelian kenderaan nasional dan potongan harga bagi pembelian rumah kos rendah.

15.14 Usaha untuk membolehkan orang kurang upaya menyertai kegiatan masyarakat sekeliling dipergiatkan melalui program pemulihan berasaskan masyarakat melibatkan keluarga mereka dan masyarakat serta disokong oleh agensi berkaitan seperti Jabatan Kesihatan, Jabatan Pelajaran dan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Dalam tempoh Rancangan, 313 pusat pemulihan berasaskan masyarakat ditubuhkan dan memberi manfaat kepada 8,453 orang kurang upaya.

15.15 Kerajaan terus menyediakan peluang latihan dan pekerjaan untuk membantu orang kurang upaya berdikari. Pusat Pemulihan dan Latihan Industri di Bangi menyediakan latihan kepada 703 orang kurang upaya dalam bidang komputer, mereka bentuk dan membuat pakaian, membuat peralatan prostetik dan orthotic serta kerusi roda. Sebanyak 30 peratus daripada pelatih menyertai pasaran pekerjaan manakala sebahagian lagi mendapat pekerjaan di bengkel terlindung yang diuruskan oleh Kerajaan dan NGO. Bagi menggalakkan orang kurang upaya terus bekerja untuk menyara hidup mereka dan keluarga, Elaun Pekerja Kurang Upaya bernilai RM200 sebulan disediakan mulai tahun 2004 kepada yang berpendapatan kurang daripada RM750 sebulan. Geran pelancaran dengan nilai maksimum RM2,700 seorang juga disediakan untuk membantu dan menggalakkan orang kurang upaya menceburi perniagaan kecil dengan geran tambahan disediakan untuk membesarkan perniagaan mereka.

15.16 Usaha telah diambil untuk menyediakan lebih banyak kemudahan mesra orang kurang upaya seperti kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan kemudahan bebas dari halangan. Di bawah Program Perumahan Rakyat Bersepadu, pemaju perumahan dikehendaki memperuntukkan 10 peratus daripadaTrumah pangsa yang dibina dengan kelengkapan dan kemudahan yang sesuai untuk orang kurang upaya. Di samping itu, pengangkutan awam seperti rel transit ringan dan bas juga menyediakan kemudahan yang membolehkan orang kurang upaya bergerak dan menggunakannya tanpa halangan. Taman Sinar Harapan siap dibina di Jitra, Kedah menjadikan jumlah keseluruhannya sebanyak tujuh rumah menempatkan seramai 1,080 orang kurang upaya. Rumah tersebut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk perubatan pulih anggota, terapi pekerjaan, terapi muzik, pemulihan kesihatan serta kaunseling untuk membantu penghuni menjalani kehidupan yang lebih bermakna.

Warga Tua

15.17 Menyedari implikasi sosioekonomi daripada pertambahan peratusan warga tua, program untuk warga tua diubah daripada pendekatan kebajikan kepada pendekatan pembangunan bagi memastikan warga tua terus aktif dan produktif. Program yang diperkenalkan memberi penekanan kepada penyertaan masyarakat termasuk menggalakkan gaya hidup sihat, aktiviti sosial dan rekreasi. Program tersebut juga menggalakkan sukarelawan di kalangan warga tua serta aktiviti antara generasi, program pembelajaran sepanjang hayat dan kemahiran hidup seperti ICT untuk membolehkan mereka terus memberi sumbangan kepada keluarga, masyarakat dan negara. Usaha ini selaras dengan Pelan Tindakan Negara Untuk Orang Tua yang digubal pada tahun 1989 yang bertujuan menyediakan masyarakat warga tua yang berdikari, mempunyai harga diri dan maruah yang tinggi.

15.18 Kerajaan terus mengambil langkah untuk menggalakkan ahli keluarga menjaga warga tua. Bagi membantu warga tua yang sihat dan aktif menikmati hidup yang lebih produktif semasa ahli keluarga bekerja, pusat penjagaan harian telah dibina. Dalam tempoh Rancangan, 15 pusat penjagaan telah dibina dan diurus oleh NGO yang memberi manfaat kepada 600 warga tua.

15.19 Pelbagai kemudahan dan keistimewaan untuk warga tua diperkenalkan dalam tempoh Rancangan termasuk penyediaan kaunter dan tempat duduk khas oleh agensi Kerajaan yang menawarkan khidmat kaunter manakala rebat sebanyak 50 peratus diberikan ke atas tambang perjalanan udara dan kereta api dalam negeri. Peluang pekerjaan untuk warga tua disediakan oleh Kementerian Sumber Manusia yang membenarkan majikan menuntut 100 peratus rebat cukai ke atas kos latihan semula warga tua yang diambil bekerja.

15.20 Penyediaan perkhidmatan institusi untuk menjaga dan melindungi warga tua diteruskan dengan penubuhan sembilan rumah penjagaan dan dua rumah warga tua untuk mereka yang berpenyakit kronik. Di samping itu, dua Rumah Tunas Budi dibina dengan kerjasama sektor swasta yang menyediakan penjagaan untuk 40 warga tua. NGO telah melengkapkan usaha Kerajaan dalam menyediakan penjagaan institusi melalui penyediaan asrama dan pondok untuk warga tua bagi membolehkan mereka terus tinggal dalam komuniti mereka.

Badan Bukan Kerajaan

15.21 Menyedari pentingnya peranan NGO dalam menyumbang kepada pembangunan sosial negara dan memperkukuh pembentukan masyarakat penyayang, Kerajaan terus menyediakan geran untuk membantu mereka melaksanakan pelbagai program dan aktiviti kemasyarakatan terutamanya kepada golongan masyarakat yang mudah terjejas kepada gejala sosial. Dalam tempoh Rancangan, geran kepada 210 NGO meningkat daripada RM14.9 juta pada tahun 2001 kepada RM34 juta pada tahun 2005 bagi melaksanakan kegiatan serta menjalankan program bina upaya kepada sukarelawan dan petugas dalam bidang penjagaan. Sejumlah 855 petugas telah dilatih untuk membolehkan mereka melaksanakan peranan dan tanggungjawab dengan lebih berkesan.

Pembangunan Masyarakat

15.22 Dalam tempoh Rancangan, program pembangunan masyarakat terus dilaksanakan di kawasan luar bandar dan bandar bertujuan memupuk kehidupan yang harmoni serta menyemai sikap penyayang dan nilai positif di kalangan pelbagai masyarakat. Di kawasan luar bandar, program pembangunan masyarakat dilaksanakan oleh Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) bagi menyediakan peluang kepada penduduk terutamanya golongan termiskin untuk meningkatkan status sosioekonomi mereka. Sejumlah 1,310 kelas prasekolah ditubuhkan bagi kanak-kanak luar bandar mendapat pendidikan formal memanfaatkan seramai 36,570 kanak-kanak.

15.23 Di kawasan bandar, program pembangunan masyarakat dilaksana untuk memupuk semangat kejiranan dan perpaduan negara. Program tersebut dilaksanakan melalui Jawatankuasa Rukun Tetangga yang ditubuhkan dalam kawasan perumahan di seluruh negara. Dalam tempoh Rancangan, sejumlah 780 Jawatankuasa Rukun Tetangga ditubuhkan di kawasan bandar menjadikan jumlah keseluruhannya 3,065 jawatankuasa dengan keahlian lapan juta orang. Skop program Rukun Tetangga telah diperluas meliputi aktiviti jangkauan sosial yang memberi tumpuan kepada kumpulan sasaran tertentu seperti kumpulan yang terpinggir dan mereka yang memerlukan bantuan termasuk orang kurang upaya, ibu tunggal, anak yatim serta bekas penagih dadah yang memerlukan perhatian dan penjagaan daripada masyarakat.

15.24 Bagi meningkatkan keberkesanan Jawatankuasa Rukun Tetangga, program latihan mengenai kepimpinan, pengurusan konflik, kemahiran asas mengenaiTrondaan secara sukarela dan kaunseling telah dianjurkan. Bagi membina budaya pembelajaran sepanjang hayat di kalangan masyarakat dan membentuk masyarakat berpengetahuan, ahli jawatankuasa juga digalakkan untuk menyertai program pembelajaran sepanjang hayat yang dikendalikan di Pusat Rukun Tetangga dan Pusat Aktiviti Perpaduan. Dalam tempoh Rancangan, sebanyak 42 Pusat Rukun Tetangga baru dan tiga Pusat Aktiviti Perpaduan dibina di seluruh negara. Bagi memupuk perpaduan negara dan integrasi di kalangan pelbagai kaum sejak kecil, kelas prasekolah perpaduan terus diwujudkan. Dalam tempoh Rancangan, 250 kelas prasekolah ditubuhkan menjadikan jumlah keseluruhan 1,396 memberi faedah kepada 38,040 kanak-kanak.

15.25 Dasar Sosial Negara (DSN) yang dilancarkan pada tahun 2003 menyediakan rangka kerja bagi kemajuan sosial dan pembangunan seimbang melalui usaha senergi Kerajaan, sektor swasta, persatuan dan komuniti. Bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan dasar tersebut, sebuah majlis antara kementerian telah ditubuh untuk memantau serta menilai pencapaian projek pembangunan sosial yang dilaksanakan oleh pelbagai kementerian dan agensi dalam memenuhi rangka kerja DSN. Pelaksanaan DSN diperkukuhkan dengan penubuhan Pusat Rujukan Sosial yang menyediakan khidmat kaunseling dan maklumat mengenai program pembangunan sosial bagi memenuhi keperluan rakyat. Di samping itu, pusat tersebut menjadi tempat mesyuarat di peringkat komuniti. Dalam tempoh Rancangan, sejumlah 47 Pusat Rujukan Sosial ditubuhkan di seluruh negara yang menyediakan perkhidmatan kepada 38,820 penduduk terutamanya di kawasan luar bandar.

II : PROSPEK 2006-2010

15.26 Dalam tempoh RMKe-9, penekanan akan terus diberi ke arah membina keluarga yang berdaya tahan dan membentuk masyarakat Malaysia yang lebih penyayang. Bagi tujuan ini, program pembangunan keluarga akan dilaksana terutamanya bagi meningkatkan lagi penyertaan masyarakat dalam memberi perhatian kepada kumpulan masyarakat yang mudah terjejas kepada gejala sosial. Sehubungan ini, usaha sektor awam akan dilengkapkan oleh sektor swasta dan NGO menerusi program perkongsian dan program bersama. Penekanan akan terus diberi kepada usaha memupuk perpaduan negara dan meningkatkan integrasi di kalangan rakyat Malaysia melalui program yang diperkukuh dan diselaraskan. Teras strategik dalam tempoh RMKe-9 adalah seperti berikut:

a) memperkukuhkan institusi kekeluargaan ke arah membentuk masyarakat yang lebih penyayang dan berdaya tahan;

b) memperkukuhkan sistem penyampaian sokongan sosial;

c) menggalakkan penglibatan yang lebih besar masyarakat tempatan dan NGO dalam usaha pembangunan sosial; dan

d) meningkatkan pembangunan masyarakat dan perpaduan negara.


Pengukuhan Institusi Kekeluargaan

Pembangunan Keluarga

15.27 Menyedari bahawa keluarga merupakan penentu utama bagi negara yang sihat, dinamik, produktif dan berdaya saing, program yang menyumbang ke arah pengukuhan unit kekeluargaan akan terus diberi penekanan. Memandangkan berlakunya perubahan terhadap struktur dan perhubungan kekeluargaan sebagaimana ditunjukkan oleh pertambahan peratusan keluarga nuklear dan yang mempunyai dwi-pendapatan, usaha yang lebih gigih akan diambil untuk memastikan peranan keluarga dikekalkan sebagai asas perhubungan sosial dan penstabil serta agen penjagaan kepada golongan muda dan tua. Bagi tujuan tersebut, Dasar Keluarga Negara akan digubal dengan matlamat untuk membangun dan memperkukuhkan institusi kekeluargaan serta mempromosi konsep mengutamakan keluarga. Dasar tersebut akan memastikan inisiatif kesejahteraan keluarga diambil kira dalam penyediaan semua dasar, undang-undang, program, perkhidmatan dan kemudahan.

15.28 Program pembangunan keluarga akan dikaji semula bagi membentuk pendekatan bersepadu yang mensasarkan peringkat pusingan hidup keluarga yang berbeza dan memenuhi keperluan setiap ahli serta memperkasakan mereka dengan pengetahuan dan kemahiran bagi menghadapi cabaran kehidupan moden. Sehubungan ini, usaha akan terus diambil bagi memperkukuhkan institusi kekeluargaan melalui pembangunan, pelaksanaan dan perluasan program pencegahan, sokongan dan pemulihan. Program tersebut akan memberi penekanan terhadap budaya saling menghormati, menjaga dan berkongsi sumber dan tanggungjawab di kalangan ahli keluarga. Bagi tujuan ini, modul berkaitan peranan datuk dan nenek akan dibangunkan. Modul ini akan memberi lebih penekanan kepada perhubungan antara generasi dan mengiktiraf peranan mereka dalam memperkukuhkan institusi kekeluargaan termasuk pemupukan dan pemeliharaan nilai tradisi, kebudayaan dan keagamaan. Di samping itu, usaha juga akan diambil untuk melaksanakan program latihan semula kaunselor supaya mereka dapat memperbaiki dan meningkatkan kemahiran dan pengetahuan secara berterusan.

15.29 Menyedari pertambahan penyertaan wanita dalam tenaga buruh, langkah akan diambil bagi mewujudkan kesedaran dan memberi pengetahuan kepada ibu bapa mengenai kepentingan dan perlunya keseimbangan antara tanggungjawab kerja dengan keluarga. Sehubungan ini, program Parenting@Work akan dibangun berdasarkan modul pembangunan keluarga sedia ada bagi menyediakan bimbingan mengenai kemahiran keibubapaan, memastikan kestabilan dan keutuhan unit keluarga serta melengkapkan keluarga dalam menghadapi cabaran hidup moden. Pada peringkat awal, program ini akan dilaksana di semua agensi kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri.

15.30 Usaha akan terus diambil bagi melaksanakan program yang memupuk keperibadian dan nilai kekeluargaan yang menyumbang ke arah keutuhan, integriti, kemantapan dan kesepaduan keluarga. Sehubungan ini, perkhidmatan dan program mesra keluarga yang menyumbang ke arah pengukuhan perkahwinan, pemupukan nilai kekeluargaan dan perkongsian sumber, tanggungjawab dan tugas yang saksama akan dilaksana. Kursus praperkahwinan akan dijalankan secara lebih meluas kepada pasangan yang akan berkahwin untuk mendidik mereka mengenai peranan dan tanggungjawab serta memastikan mereka bersedia untuk berkahwin. Keluarga yang rapuh dan terpinggir akan terus diberi keutamaan supaya mereka dapat memikul tanggungjawab keluarga dan masyarakat sepenuhnya. Di samping itu, media massa perlu memberi lebih penekanan dalam mempromosi dan menyebar nilai positif dan maklumat yang selaras dengan sosiobudaya negara dan kepekaan keluarga seterusnya menyumbang ke arah pembangunan individu dan keluarga.

15.31 Dalam tempoh Rancangan, lebih banyak penyelidikan akan dijalankan mengenai isu semasa dan baru berkaitan kependudukan dan kekeluargaan termasuk keperluan golongan istimewa seperti orang tua, ibu atau bapa tunggal dan remaja. Hasil daripada aktiviti penyelidikan ini akan membantu penggubalan dasar sosial dan program pencelahan ke arah pengukuhan unit kekeluargaan. Sehubungan ini, penunjuk pembangunan keluarga juga akan dirangka untuk menilai impak program tersebut ke atas kesejahteraan keluarga.

Pengukuhan Sistem Penyampaian Sokongan Sosial

Kanak-Kanak

15.32 Memandangkan keluarga merupakan unit asas kepada masyarakat dan pewujudan persekitaran kepada tumbesaran dan kesejahteraan ahli keluarga terutamanya kanak-kanak, usaha bersepadu ke arah memperkukuhkan institusi dan mekanisme sokongan kekeluargaan akan diteruskan dalam tempoh RMKe-9. Usaha tersebut membantu menjaga kebajikan, memberi perlindungan, pembangunan dan penyertaan kanak-kanak. Usaha tersebut juga meliputi penyatuan program sedia ada, peningkatan jaminan kualiti dan pengukuhan program sokongan lain termasuk bina upaya kakitangan dan menaik taraf kemudahan sedia ada.

15.33 Susulan kepada NPA pertama 1990-an, NPA kedua (2006-2020) akan dilaksana untuk meningkatkan kualiti hidup kanak-kanak dengan memberi penekanan kepada perlindungan, pembangunan dan penyertaan mereka selaras dengan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak dan Wawasan 2020. Dasar Pembangunan dan Penjagaan Awal Kanak-Kanak akan digubal bagi menyediakan rangka kerja dasar untuk pembangunan strategi dan program masa hadapan yang akan memastikan pembangunan kanak-kanak secara keseluruhannya adalah menepati keperluan dan hak mereka. Dasar ini akan merangkumi isu berkaitan dengan mereka yang berada dalam kumpulan umur dari semenjak kelahiran sehingga berumur enam tahun.

15.34 Penyertaan masyarakat akan terus menjadi strategi utama dalam program pencegahan dan pemulihan untuk kanak-kanak dalam tempoh Rancangan. Peranan pasukan perlindungan kanak-kanak, Jawatankuasa Kebajikan Kanak-Kanak dan penasihat mahkamah untuk Mahkamah Kanak-Kanak akan dipertingkatkan melalui usaha bina upaya yang akan memudahkannya berfungsi dengan berkesan dalam membantu memberi perlindungan yang terbaik kepada kanak-kanak dan menjalankan program pencegahan dan pemulihan bagi membendung pelbagai masalah sosial di kalangan kanak-kanak. Usaha untuk meningkatkan kesedaran dan program latihan khusus akan dilaksanakan untuk memberi pengetahuan dan kemahiran kepada semua ahli berkaitan dengan kanak-kanak, pengetahuan prosedur mahkamah, penyediaan akta yang berkaitan dan kesedaran mengenai hak kanak-kanak.

15.35 Akta Pusat Penjagaan Kanak-Kanak 1984 akan dikaji semula bagi menambahbaik lagi penyediaan perkhidmatan yang berkualiti selaras dengan prinsip pembangunan dan penjagaan awal kanak-kanak. Penubuhan pusat penjagaan kanak-kanak berasaskan komuniti akan menyediakan kemudahan penjagaan kanak-kanak yang berkualiti, mampu dibayar dan mudah diperoleh terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah di kawasan bandar yang tidak mampu menghantar anak mereka ke pusat penjagaan kanak-kanak yang diuruskan oleh sektor swasta.

Orang Kurang Upaya

15.36 Program mengintegrasikan orang kurang upaya ke dalam masyarakat bagi membolehkan mereka menjalani kehidupan yang normal akan terus dipergiat. Bagi memastikan orang kurang upaya tidak terpinggir, proses pendaftaran orang kurang upaya akan diperkemas untuk perancangan program dan kemudahan yang teratur. Sistem pendaftaran secara dalam talian akan dilaksana bagi membolehkan Kerajaan mengetahui tahap ketidakupayaan mereka sebelum menggubal program yang bersesuaian untuk pembangunan orang kurang upaya.

15.37 Akta Orang Kurang Upaya akan digubal untuk meningkatkan dan melindungi hak orang kurang upaya supaya hidup bermaruah dan mempunyai harga diri. Akta ini akan memberi hak kepada mereka untuk diterima oleh masyarakat, meningkatkan akses kepada pendidikan dan latihan vokasional, pekerjaan, persekitaran bebas dari halangan serta akses kepada ICT.

15.38 Program pemulihan berasaskan komuniti terbukti berkesan dari segi kos dan merupakan pilihan yang berkesan kepada institusi pemulihan bagi orang kurang upaya. Sehubungan ini, lebih banyak pusat pemulihan berasaskan komuniti akan ditubuh dalam RMKe-9. Pusat pemulihan ini akan dibangunkan sebagai pusat khidmat setempat bagi menyediakan perkhidmatan yang lebih komprehensif kepada orang kurang upaya. Antara perkhidmatan yang akan disediakan ialah pemeriksaan dan pengesanan ketidakupayaan, khidmat rujukan, penyebaran maklumat mengenai orang kurang upaya, latihan vokasional dan penempatan pekerjaan, pendaftaran orang kurang upaya dan perkhidmatan sokongan.

Warga Tua

15.39 Langkah akan diambil bagi menyediakan persekitaran supaya warga tua sentiasa sihat, aktif dan selamat dalam meneruskan kehidupan mereka dengan bermaruah dan dihormati serta dapat berdikari dan hidup bersama anggota keluarga, masyarakat dan negara dengan lebih bermakna. Program akan dilaksanakan untuk mewujudkan kesedaran yang tinggi di kalangan anggota keluarga dan masyarakat supaya menjaga warga tua. Sehubungan ini, nilai seperti tanggungjawab kekeluargaan, kasih sayang dan persefahaman dalam menjaga warga tua akan diberi penekanan. Penyertaan di peringkat masyarakat akan dipertingkat melalui jaringan perkhidmatan masyarakat yang kukuh dan penyediaan peluang untuk melibatkan diri dalam aktiviti sosial dan ekonomi. Usaha yang lebih teratur dan tersusun dalam pelaksanaan program pembangunan untuk warga tua akan dilaksanakan bagi memastikan penyertaan yang berkesan kumpulan sasar dalam usaha pembangunan negara. Di samping itu, kemahiran, pengalaman dan sumbangan warga tua terhadap pembangunan negara akan ditingkatkan melalui kerjasama di antara Kerajaan, masyarakat awam, NGO dan sektor swasta.

15.40 Bagi membantu keluarga memainkan peranan yang lebih berkesan dan bermakna dalam menjaga ibu bapa yang tua, pelbagai perkhidmatan sokongan masyarakat termasuk bantuan dan perkhidmatan sokongan di rumah dan penilaian terapi pekerjaan akan disediakan pada kadar mampu dibayar. Di samping itu, perkhidmatan kaunseling di kalangan masyarakat akan digalak bagi memberi pengetahuan kepada warga tua mengenai psikologi dan kemahiran diri. Usaha tersebut akan membantu mereka menjadi lebih cekap dalam menangani perubahan sosial, ekonomi dan psikologi yang berkaitan dengan penuaan.

15.41 Bagi memastikan kesejahteraan masyarakat keseluruhannya, penambahbaikan yang berterusan untuk meningkatkan mekanisme penyampaian akan diambil selaras dengan harapan masyarakat untuk mendapat perkhidmatan yang cepat dan berkesan. Program jangkauan masyarakat akan diambil sebagai langkah proaktif untuk memastikan warga tua yang memerlukan tidak ketinggalan dalam arus perdana pembangunan. Unit kebajikan bergerak, iaitu Unit Mayang akan ditubuh dengan objektif menyediakan perkhidmatan kebajikan kepada masyarakat secara langsung. Unit ini akan menyediakan perkhidmatan profesional seperti kaunseling di samping memproses permohonan untuk mendapatkan bantuan kewangan serta pembayaran, pendaftaran orang kurang upaya, khidmat sokongan serta operasi bantuan bencana alam.

Bantuan Kewangan

15.42 Program pembangunan untuk kanak-kanak, orang kurang upaya dan warga tua dalam tempoh Rancangan akan dipertingkatkan dengan penyediaan bantuan kewangan seperti Bantuan Kanak-Kanak, Bantuan Orang Tua, Bantuan Geran Pelancaran dan Bantuan Alat Tiruan. Bantuan yang akan disediakan dijangka memberi faedah kepada 150,000 penerima.

Peningkatan Penglibatan Badan Bukan Kerajaan

15.43 Menyedari peranan NGO, Kerajaan akan terus memberi sokongan yang perlu untuk membolehkan NGO bergiat dan membangunkan program dan menyediakan kemudahan berterusan untuk kumpulan terpinggir dan yang mudah terjejas kepada gejala sosial. Sehubungan ini, usaha untuk meningkatkan bina upaya NGO akan diteruskan melalui program pembangunan sumber manusia. Bagi memastikan penjagaan berkualiti disediakan kepada kumpulan sasar, pindaan kepada Akta Pusat Jagaan 1993 akan memudahkan pendaftaran semua institusi yang diuruskan oleh NGO dan memperkukuhkan penguatkuasaan akta berkenaan. Di samping itu, garis panduan untuk pengurusan rumah kanak-kanak akan disediakan sebagai mekanisme jaminan kualiti untuk menentu dan memastikan kualiti dan standard rumah kanak-kanak yang diuruskan oleh NGO.

Peningkatan Pembangunan Masyarakat dan Perpaduan Negara

Pembangunan Masyarakat

15.44 Program pembangunan masyarakat dengan objektif untuk memupuk nilai positif, menyemai hidup berjiran dan mengekalkan keharmonian di kalangan masyarakat berbilang etnik serta menanam semangat berdikari akan terus dilaksanakan di kawasan luar bandar dan bandar. Di kawasan luar bandar, pendidikan tidak formal termasuk pendidikan pembangunan keluarga melalui pelaksanaan kelas mengenai makanan dan pemakanan, kesihatan keluarga dan kebersihan serta ekonomi rumah tangga akan diteruskan untuk meningkatkan lagi kualiti hidup masyarakat di luar bandar. Pembinaan pusat sumber baru dan pusat khidmat masyarakat akan menyediakan lebih banyak peluang kepada keluarga di luar bandar terlibat dalam program pembangunan masyarakat. Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung akan digalak untuk bekerjasama dengan sektor swasta bagi melaksanakan projek pembangunan masyarakat.

15.45 Di kawasan bandar, lebih banyak Jawatankuasa Rukun Tetangga akan ditubuhkan dan skop aktivitinya akan diperluaskan lagi meliputi golongan muda melalui program Rakan Muda. Usaha yang lebih giat akan dilaksana oleh jawatankuasa tersebut untuk menggalakkan penyertaan masyarakat dan memupuk hidup berjiran serta membantu mengurangkan jenayah di kawasan perumahan. Persatuan penduduk serta kelab sosial dan rekreasi akan terus digalak untuk memperluaskan program jangkauan sosial untuk menyemai sikap saling menghormati dan bertolak ansur di kalangan pelbagai masyarakat.

15.46 Bagi menggalak dan memperkukuhkan lagi kerjasama antara etnik dan meningkatkan persefahaman di kalangan masyarakat, profil penduduk dalam sesuatu kawasan perumahan akan dibangunkan untuk memastikan pendekatan yang lebih sistematik ke arah merancang kegiatan dan melaksanakan inisiatif untuk membangunkan masyarakat. Latihan dalam pelbagai bidang seperti pengurusan konflik dan kaunseling akan dijalankan untuk membolehkan ahli masyarakat menangani cabaran yang dihadapi dalam kehidupan bermasyarakat. Semangat gotong-royong dan komitmen yang tinggi untuk mencapai perpaduan dalam masyarakat yang berbilang etnik dan budaya akan dipupuk melalui pelbagai program. Aktiviti yang menjana pendapatan akan digalak di kalangan para ahli bertujuan meningkatkan taraf ekonomi mereka. Lebih banyak kelas perpaduan prasekolah akan ditubuhkan dalam tempoh Rancangan untuk memupuk sikap saling menghormati, meningkatkan persefahaman dan cintakan negara di kalangan generasi muda.

15.47 Pelbagai program perpaduan yang menggalakkan penglibatan rakyat daripada berbilang etnik diteruskan untuk membolehkan semua peringkat masyarakat berinteraksi dan lebih memahami antara satu sama lain. Program tersebut termasuk aktiviti kebudayaan di peringkat persekutuan dan negeri serta sambutan perayaan pelbagai etnik di negara ini. Usaha akan terus diambil untuk mendidik dan mewujudkan kesedaran di kalangan masyarakat pelbagai etnik terhadap kepentingan perpaduan sebagai agenda utama dalam semua aspek kehidupan dan ianya perlu diamalkan, diterap dan diperkukuhkan dari masa ke semasa. Sehubungan ini, media perlu memainkan peranan yang lebih penting.

15.48 Bagi memastikan kejayaan pelaksanaan DSN, Kerajaan komited untuk mengubah sikap dan minda serta meningkatkan lagi kesedaran di semua peringkat jentera kerajaan dan NGO dalam menangani isu sosial. Sehubungan ini, usaha bersepadu melibatkan sektor awam dan swasta serta NGO akan dilaksana untuk mengenal pasti langkah dan pendekatan yang lebih berkesan terutamanya dalam menangani gejala sosial dalam masyarakat. Jentera dan sumber sedia ada dalam komuniti akan digunakan ke tahap maksimum bagi melengkapkan usaha Kerajaan dalam menyediakan penjagaan dan perkhidmatan kepada kumpulan sasar.

15.49 Dalam tempoh Rancangan, Institut Sosial Malaysia (ISM) akan terus melatih pekerja sosial dan petugas dalam bidang penjagaan yang profesional dengan memberi penekanan kepada penjagaan yang berkualiti. Standard Kebangsaan Untuk Kecekapan Kerja Sosial akan dilaksana untuk menyediakan pengamal sosial dalam menghadapi cabaran global seperti bencana alam, keselamatan sosial, penuaan penduduk dan pembasmian kemiskinan. ISM akan menjadi sebuah hab untuk melatih pengamal sosial di rantau ini.

IV : INSTUTUSI PELAKSANA DAN PERUNTUKAN

15.50 Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan terus menjadi agensi peneraju dalam pelaksanaan program pembangunan keluarga dan masyarakat. Di samping itu, program untuk melengkapkan usaha tersebut akan dilaksana oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional serta KEMAS.

15.51 Dalam tempoh RMKe-9, peruntukan sebanyak RM842.5 juta akan disediakan bagi program pembangunan keluarga dan masyarakat, seperti ditunjukkan dalam Jadual 15-1. Daripada jumlah tersebut, 55 peratus akan diperuntukkan kepada program perkhidmatan kebajikan termasuk penjagaan, perlindungan dan pemulihan kanak-kanak, orang kurang upaya dan warga tua manakala 45 peratus akan diperuntukkan kepada program pembangunan keluarga dan masyarakat.

Jadual 15-1 : Perbelanjaan & Peruntukan Pembangunan bagi Program Pembangunan Keluarga & Masyarakat, 2001-2010 (RM Juta)

V : PENUTUP

15.52 Program pembangunan keluarga dan masyarakat dalam tempoh RMKe8 telah dilaksanakan dengan tujuan meningkatkan akses dan liputan kepada sebahagian besar penduduk Malaysia untuk mencapai kualiti hidup yang lebih baik. Sumbangannya kepada seluruh pembangunan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat umum akan terus diberi penekanan dalam tempoh RMKe-9 melalui penambahbaikan dalam sistem penyampaian dan peningkatan program bina upaya. Usaha yang giat akan diambil untuk memupuk dan memperkukuhkan perpaduan negara serta integrasi sosial khususnya di kalangan generasi muda.

 

 

Di pos oleh Arbain Muhayat pada 20 December 2008