BAB 15 : MEMUPUK PEMBANGUNAN KELUARGA DAN MASYARAKAT
I : PENDAHULUAN
15.01
Dalam tempoh Rancangan Malaysia Kelapan (RMKe-8), program pembangunan
keluarga dan masyarakat dilaksanakan selaras dengan objektif mewujudkan
masyarakat penyayang yang menyokong pembangunan sektor lain dalam
ekonomi. Pelaksanaan program tersebut menyumbang ke arah meningkatkan
kebajikan rakyat dan kualiti hidup yang lebih baik.
15.02
Dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9), pelaksanaan
program pembangunan keluarga dan masyarakat akan memberi penekanan yang
lebih kepada membina keluarga yang berdaya tahan bagi mencapai
keseimbangan yang optimum antara pertumbuhan kebendaan dan pembangunan
masyarakat. Sehubungan ini, usaha ke arah memperkukuh unit
kekeluargaan, meningkatkan penyertaan masyarakat dan peranan masyarakat
umum serta badan bukan kerajaan (NGO) ke arah memupuk masyarakat yang
lebih bertolak ansur dan penyayang akan dilaksanakan. Usaha bersepadu
akan diambil untuk memupuk perpaduan dan integrasi yang lebih kukuh di
kalangan rakyat Malaysia bagi memastikan kestabilan sosial.
II : KEMAJUAN 2001-2005
15.03
Dalam tempoh RMKe-8, Kerajaan terus melaksanakan program pembangunan
masyarakat bertujuan memperkukuh unit kekeluargaan serta meningkatkan
kualiti hidup rakyat termasuk kanak-kanak, orang kurang upaya dan warga
tua. Program pembangunan keluarga memberi tumpuan ke arah membina
hubungan kekeluargaan yang baik dan mewujudkan kesedaran serta
mengiktiraf keluarga sebagai satu unit penting dalam institusi sosial.
Kebajikan dan perlindungan kanak-kanak terus diberi penekanan manakala
kemudahan untuk orang kurang upaya dan warga tua dipertingkat dan
diperluas bagi memastikan penjagaan yang berkualiti. Program
pembangunan masyarakat dilaksanakan dengan penyertaan NGO dan sektor
swasta.
Pembangunan Keluarga
15.04
Usaha telah diambil bagi memperkukuh unit kekeluargaan sebagai asas
untuk mewujudkan masyarakat aman, makmur dan stabil. Penubuhan majlis
pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat di setiap negeri
membolehkan program pembangunan keluarga dilaksanakan secara bersepadu
di peringkat akar umbi. Sehubungan ini, pelbagai program dan aktiviti
pencegahan dan sokongan dilaksanakan dengan kerjasama NGO, sektor
swasta serta institusi pendidikan dan latihan. Aktiviti tersebut
bertujuan mewujudkan kesedaran terhadap kepentingan dan manfaat
keluarga bahagia dan harmoni serta membantu keluarga menghadapi
perubahan persekitaran kehidupan.
15.05
Kempen Utamakan Keluarga dilancarkan di peringkat kebangsaan dan negeri
pada tahun 2003 bertujuan mewujudkan kesedaran dan mengiktiraf keluarga
sebagai keutamaan sosial dan unit asas masyarakat yang perlu dilindungi
dan disokong oleh komuniti dan negara. Kerajaan melaksanakan pelbagai
dasar mesra keluarga bagi anggota perkhidmatan awam. Dasar tersebut
termasuk pelaksanaan bekerja lima hari seminggu bagi membolehkan ibu
bapa meluangkan masa yang berkualiti bersama keluarga, melanjutkan cuti
menjaga isteri bersalin daripada tiga kepada tujuh hari dan menyediakan
cuti ehsan selama tiga hari apabila berlaku kematian ahli keluarga
terdekat.
15.06
Dalam tempoh Rancangan, pakej SMARTSTART yang menyediakan maklumat dan
pengetahuan kepada pengantin baru mengenai peranan dan tanggungjawab
masing-masing serta kepentingan memupuk hubungan perkahwinan telah
diwujudkan. Pakej tersebut menyediakan maklumat dan nasihat mengenai
tujuh bidang utama, iaitu persediaan perkahwinan, alam perkahwinan,
kesihatan keluarga, kehamilan dan kelahiran, keibubapaan, mengurus
pendapatan keluarga serta mengurus tekanan dan konflik. Di samping itu,
modul latihan praperkahwinan yang seragam bertujuan mendidik mereka
yang merancang untuk berkahwin mengenai peranan dan tanggungjawab dalam
perkahwinan telah dibangunkan setelah mengambil kira pandangan pelbagai
pertubuhan agama dan NGO.
15.07
Kerajaan juga telah meluluskan penubuhan pusat latihan dan perkhidmatan
keluarga setempat atau Kompleks KASIH Keluarga bagi menyediakan program
dan perkhidmatan bertujuan mengukuhkan unit kekeluargaan termasuk
kaunseling, kemahiran keibubapaan dan perkhidmatan kesihatan
reproduktif. Sehubungan ini, sebuah kompleks siap dibina di Shah Alam,
Selangor. Di samping itu, dua projek perintis pusat remaja dan belia
dikenali sebagai kafe@TEEN ditubuhkan di Wilayah Persekutuan Kuala
Lumpur dan Butterworth, Pulau Pinang. Kafe@TEEN menyediakan maklumat
dan pengetahuan mengenai seksualiti dan kesihatan reproduktif serta
bimbingan dan perkhidmatan yang bersesuaian dengan keperluan remaja.
Kanak-Kanak
15.08
Usaha untuk memastikan perlindungan, pemulihan dan pembangunan
kanak-kanak diteruskan bagi menjaga kebajikan dan kepentingan mereka.
Sehubungan ini, Akta Kanak-Kanak 2001 digubal dengan menggabungkan Akta
Mahkamah Juvana 1947, Akta Perlindungan Wanita dan Gadis 1973 dan Akta
Perlindungan Kanak-Kanak 1991. Penggubalan Akta ini mengambil kira
prinsip Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak. Akta tersebut mewajibkan
pengamal perubatan, ahli keluarga dan penyedia perkhidmatan penjagaan
kanak-kanak melaporkan kes penderaan kanak-kanak. Sehubungan ini, kes
penderaan kanak-kanak yang dilaporkan meningkat daripada 1,036 pada
tahun 2001 kepada 1,656 pada tahun 2005. Akta tersebut juga memberi
penekanan kepada tanggungjawab dan penglibatan ibu bapa dalam pemulihan
kanak-kanak dan menangani ketidakharmonian dalam keluarga melalui
penyediaan bengkel interaktif. Mahkamah khas dikenali sebagai Mahkamah
Kanak-Kanak yang diketuai oleh seorang majistret dengan dua penasihat
daripada kalangan orang awam ditubuhkan pada tahun 2002 untuk mendengar
kes berkaitan kanak-kanak.
15.09
Pelbagai usaha diambil untuk menangani isu keganasan terhadap
kanak-kanak termasuk meningkatkan penyertaan masyarakat dalam
melaksanakan program pencegahan dan pemulihan. Pasukan Perlindungan
Kanak-Kanak dan Pusat Aktiviti Kanak-Kanak ditubuhkan di peringkat
negeri dan daerah untuk memberi perkhidmatan terutamanya kepada
keluarga dan kanak-kanak yang terdedah kepada keganasan di kawasan
berkenaan. Perkhidmatan tersebut termasuk aktiviti berkaitan
kanak-kanak, kaunseling untuk kanak-kanak dan ibu bapa, kursus
keibubapaan serta penjagaan kanak-kanak bertujuan memberi sokongan
psikologi dan motivasi. Dalam tempoh Rancangan, sejumlah 131 pasukan
Perlindungan Kanak-Kanak dengan keahlian aktif seramai 1,572 orang
serta 135 Pusat Aktiviti Kanak-Kanak ditubuhkan. Di samping itu,
pasukan untuk Mengesan Penderaan Kanak-Kanak dan Kanak-Kanak Terabai
(SCAN) ditubuhkan di hospital daerah dan negeri untuk menyelia dan
memantau kes penderaan kanak-kanak yang dirujuk kepada hospital.
Sejumlah 14 pasukan SCAN ditubuhkan di hospital negeri dan 690 kes
penderaan kanak-kanak dilaporkan.
15.10
Akta Pusat Jagaan Kanak-Kanak 1984 yang bertujuan memastikan standard
minimum penjagaan kanak-kanak di pusat penjagaan dikaji semula pada
tahun 2005 bagi menetapkan langkah penguatkuasaan yang lebih ketat dan
meningkatkan kualiti penjagaan kanak-kanak. Di samping itu, sektor awam
dan swasta digalak untuk menubuhkan kemudahan penjagaan kanak-kanak di
tempat kerja melalui penyediaan pelbagai insentif seperti pemberian
bantuan secara langsung dan rebat cukai. Dalam tempoh Rancangan,
sebanyak 86 pusat penjagaan kanak-kanak berdaftar telah ditubuhkan di
tempat kerja manakala seramai 3,197 penyedia khidmat penjagaan
kanak-kanak diberi latihan untuk meningkatkan keupayaan mereka dalam
mengendalikan pusat penjagaan kanak-kanak.
15.11
Kerajaan terus menyediakan institusi penjagaan untuk anak yatim serta
anak yang ditinggalkan, didera dan diabaikan. Dalam tempoh Rancangan,
tiga Rumah Kanak-Kanak yang baru dibina untuk memberi penjagaan dan
perlindungan kepada 320 kanak-kanak. Di samping itu, tujuh Rumah Tunas
Harapan ditubuhkan bagi membolehkan kanak-kanak yang memerlukan
penjagaan dan perlindungan tinggal dalam suasana kekeluargaan. Rumah
tersebut disediakan melalui perkongsian dan kerjasama dengan badan
korporat, kerajaan negeri serta agensi lain yang berkaitan seperti
Yayasan Kebajikan Kebangsaan, NGO dan organisasi berasaskan masyarakat
yang memberi manfaat kepada 240 kanak-kanak.
15.12
Selaras dengan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak, usaha diambil untuk
menggalakkan penyertaan lebih ramai kanak-kanak dalam penggubalan dan
proses membuat keputusan. Usaha bina upaya dan memperkasa kanakkanak
mengenai isu dan hak mereka telah diambil melalui program kesedaran
dengan penyertaan seramai 163 kanak-kanak dalam tempoh Rancangan. Bagi
memastikan suara mereka terus didengar, kanak-kanak juga turut
dilibatkan dalam penilaian Pelan Tindakan Negara (NPA) pertama dan
merangka NPA kedua bagi tempoh 2006–2020. NPA kedua mengambil kira
elemen yang terkandung dalam Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak, iaitu
keperluan hidup, perlindungan, pembangunan dan penyertaan kanak-kanak.
Orang Kurang Upaya
15.13
Kerajaan terus menyediakan pelbagai program untuk menjaga dan membantu
orang kurang upaya termasuk penyediaan kemudahan untuk membolehkan
mereka menjalani kehidupan yang normal. Bagi memastikan orang kurang
upaya mendapat akses kepada program tersebut, kempen untuk mendidik dan
meningkatkan kesedaran mengenai keperluan mendaftar orang kurang upaya
telah dimulakan pada tahun 2001. Pada akhir tahun 2005, seramai 150,600
orang kurang upaya berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Kerajaan juga menyediakan faedah seperti pemeriksaan kesihatan,
pemberian ubat dan kemudahan wad di hospital kerajaan secara percuma,
potongan tambang perjalanan, pengecualian cukai jalan, dokumen
perjalanan percuma, tambahan pelepasan cukai pendapatan, potongan duti
eksais bagi pembelian kenderaan nasional dan potongan harga bagi
pembelian rumah kos rendah.
15.14
Usaha untuk membolehkan orang kurang upaya menyertai kegiatan
masyarakat sekeliling dipergiatkan melalui program pemulihan berasaskan
masyarakat melibatkan keluarga mereka dan masyarakat serta disokong
oleh agensi berkaitan seperti Jabatan Kesihatan, Jabatan Pelajaran dan
Jabatan Kebajikan Masyarakat. Dalam tempoh Rancangan, 313 pusat
pemulihan berasaskan masyarakat ditubuhkan dan memberi manfaat kepada
8,453 orang kurang upaya.
15.15
Kerajaan terus menyediakan peluang latihan dan pekerjaan untuk membantu
orang kurang upaya berdikari. Pusat Pemulihan dan Latihan Industri di
Bangi menyediakan latihan kepada 703 orang kurang upaya dalam bidang
komputer, mereka bentuk dan membuat pakaian, membuat peralatan
prostetik dan orthotic serta kerusi roda. Sebanyak 30 peratus daripada
pelatih menyertai pasaran pekerjaan manakala sebahagian lagi mendapat
pekerjaan di bengkel terlindung yang diuruskan oleh Kerajaan dan NGO.
Bagi menggalakkan orang kurang upaya terus bekerja untuk menyara hidup
mereka dan keluarga, Elaun Pekerja Kurang Upaya bernilai RM200 sebulan
disediakan mulai tahun 2004 kepada yang berpendapatan kurang daripada
RM750 sebulan. Geran pelancaran dengan nilai maksimum RM2,700 seorang
juga disediakan untuk membantu dan menggalakkan orang kurang upaya
menceburi perniagaan kecil dengan geran tambahan disediakan untuk
membesarkan perniagaan mereka.
15.16
Usaha telah diambil untuk menyediakan lebih banyak kemudahan mesra
orang kurang upaya seperti kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi
(ICT) dan kemudahan bebas dari halangan. Di bawah Program Perumahan
Rakyat Bersepadu, pemaju perumahan dikehendaki memperuntukkan 10
peratus daripadaTrumah pangsa yang dibina dengan kelengkapan dan
kemudahan yang sesuai untuk orang kurang upaya. Di samping itu,
pengangkutan awam seperti rel transit ringan dan bas juga menyediakan
kemudahan yang membolehkan orang kurang upaya bergerak dan
menggunakannya tanpa halangan. Taman Sinar Harapan siap dibina di
Jitra, Kedah menjadikan jumlah keseluruhannya sebanyak tujuh rumah
menempatkan seramai 1,080 orang kurang upaya. Rumah tersebut dilengkapi
dengan pelbagai kemudahan termasuk perubatan pulih anggota, terapi
pekerjaan, terapi muzik, pemulihan kesihatan serta kaunseling untuk
membantu penghuni menjalani kehidupan yang lebih bermakna.
Warga Tua
15.17
Menyedari implikasi sosioekonomi daripada pertambahan peratusan warga
tua, program untuk warga tua diubah daripada pendekatan kebajikan
kepada pendekatan pembangunan bagi memastikan warga tua terus aktif dan
produktif. Program yang diperkenalkan memberi penekanan kepada
penyertaan masyarakat termasuk menggalakkan gaya hidup sihat, aktiviti
sosial dan rekreasi. Program tersebut juga menggalakkan sukarelawan di
kalangan warga tua serta aktiviti antara generasi, program pembelajaran
sepanjang hayat dan kemahiran hidup seperti ICT untuk membolehkan
mereka terus memberi sumbangan kepada keluarga, masyarakat dan negara.
Usaha ini selaras dengan Pelan Tindakan Negara Untuk Orang Tua yang
digubal pada tahun 1989 yang bertujuan menyediakan masyarakat warga tua
yang berdikari, mempunyai harga diri dan maruah yang tinggi.
15.18
Kerajaan terus mengambil langkah untuk menggalakkan ahli keluarga
menjaga warga tua. Bagi membantu warga tua yang sihat dan aktif
menikmati hidup yang lebih produktif semasa ahli keluarga bekerja,
pusat penjagaan harian telah dibina. Dalam tempoh Rancangan, 15 pusat
penjagaan telah dibina dan diurus oleh NGO yang memberi manfaat kepada
600 warga tua.
15.19
Pelbagai kemudahan dan keistimewaan untuk warga tua diperkenalkan dalam
tempoh Rancangan termasuk penyediaan kaunter dan tempat duduk khas oleh
agensi Kerajaan yang menawarkan khidmat kaunter manakala rebat sebanyak
50 peratus diberikan ke atas tambang perjalanan udara dan kereta api
dalam negeri. Peluang pekerjaan untuk warga tua disediakan oleh
Kementerian Sumber Manusia yang membenarkan majikan menuntut 100
peratus rebat cukai ke atas kos latihan semula warga tua yang diambil
bekerja.
15.20
Penyediaan perkhidmatan institusi untuk menjaga dan melindungi warga
tua diteruskan dengan penubuhan sembilan rumah penjagaan dan dua rumah
warga tua untuk mereka yang berpenyakit kronik. Di samping itu, dua
Rumah Tunas Budi dibina dengan kerjasama sektor swasta yang menyediakan
penjagaan untuk 40 warga tua. NGO telah melengkapkan usaha Kerajaan
dalam menyediakan penjagaan institusi melalui penyediaan asrama dan
pondok untuk warga tua bagi membolehkan mereka terus tinggal dalam
komuniti mereka.
Badan Bukan Kerajaan
15.21
Menyedari pentingnya peranan NGO dalam menyumbang kepada pembangunan
sosial negara dan memperkukuh pembentukan masyarakat penyayang,
Kerajaan terus menyediakan geran untuk membantu mereka melaksanakan
pelbagai program dan aktiviti kemasyarakatan terutamanya kepada
golongan masyarakat yang mudah terjejas kepada gejala sosial. Dalam
tempoh Rancangan, geran kepada 210 NGO meningkat daripada RM14.9 juta
pada tahun 2001 kepada RM34 juta pada tahun 2005 bagi melaksanakan
kegiatan serta menjalankan program bina upaya kepada sukarelawan dan
petugas dalam bidang penjagaan. Sejumlah 855 petugas telah dilatih
untuk membolehkan mereka melaksanakan peranan dan tanggungjawab dengan
lebih berkesan.
Pembangunan Masyarakat
15.22
Dalam tempoh Rancangan, program pembangunan masyarakat terus
dilaksanakan di kawasan luar bandar dan bandar bertujuan memupuk
kehidupan yang harmoni serta menyemai sikap penyayang dan nilai positif
di kalangan pelbagai masyarakat. Di kawasan luar bandar, program
pembangunan masyarakat dilaksanakan oleh Jabatan Kemajuan Masyarakat
(KEMAS) bagi menyediakan peluang kepada penduduk terutamanya golongan
termiskin untuk meningkatkan status sosioekonomi mereka. Sejumlah 1,310
kelas prasekolah ditubuhkan bagi kanak-kanak luar bandar mendapat
pendidikan formal memanfaatkan seramai 36,570 kanak-kanak.
15.23
Di kawasan bandar, program pembangunan masyarakat dilaksana untuk
memupuk semangat kejiranan dan perpaduan negara. Program tersebut
dilaksanakan melalui Jawatankuasa Rukun Tetangga yang ditubuhkan dalam
kawasan perumahan di seluruh negara. Dalam tempoh Rancangan, sejumlah
780 Jawatankuasa Rukun Tetangga ditubuhkan di kawasan bandar menjadikan
jumlah keseluruhannya 3,065 jawatankuasa dengan keahlian lapan juta
orang. Skop program Rukun Tetangga telah diperluas meliputi aktiviti
jangkauan sosial yang memberi tumpuan kepada kumpulan sasaran tertentu
seperti kumpulan yang terpinggir dan mereka yang memerlukan bantuan
termasuk orang kurang upaya, ibu tunggal, anak yatim serta bekas
penagih dadah yang memerlukan perhatian dan penjagaan daripada
masyarakat.
15.24
Bagi meningkatkan keberkesanan Jawatankuasa Rukun Tetangga, program
latihan mengenai kepimpinan, pengurusan konflik, kemahiran asas
mengenaiTrondaan secara sukarela dan kaunseling telah dianjurkan. Bagi
membina budaya pembelajaran sepanjang hayat di kalangan masyarakat dan
membentuk masyarakat berpengetahuan, ahli jawatankuasa juga digalakkan
untuk menyertai program pembelajaran sepanjang hayat yang dikendalikan
di Pusat Rukun Tetangga dan Pusat Aktiviti Perpaduan. Dalam tempoh
Rancangan, sebanyak 42 Pusat Rukun Tetangga baru dan tiga Pusat
Aktiviti Perpaduan dibina di seluruh negara. Bagi memupuk perpaduan
negara dan integrasi di kalangan pelbagai kaum sejak kecil, kelas
prasekolah perpaduan terus diwujudkan. Dalam tempoh Rancangan, 250
kelas prasekolah ditubuhkan menjadikan jumlah keseluruhan 1,396 memberi
faedah kepada 38,040 kanak-kanak.
15.25
Dasar Sosial Negara (DSN) yang dilancarkan pada tahun 2003 menyediakan
rangka kerja bagi kemajuan sosial dan pembangunan seimbang melalui
usaha senergi Kerajaan, sektor swasta, persatuan dan komuniti. Bagi
memastikan keberkesanan pelaksanaan dasar tersebut, sebuah majlis
antara kementerian telah ditubuh untuk memantau serta menilai
pencapaian projek pembangunan sosial yang dilaksanakan oleh pelbagai
kementerian dan agensi dalam memenuhi rangka kerja DSN. Pelaksanaan DSN
diperkukuhkan dengan penubuhan Pusat Rujukan Sosial yang menyediakan
khidmat kaunseling dan maklumat mengenai program pembangunan sosial
bagi memenuhi keperluan rakyat. Di samping itu, pusat tersebut menjadi
tempat mesyuarat di peringkat komuniti. Dalam tempoh Rancangan,
sejumlah 47 Pusat Rujukan Sosial ditubuhkan di seluruh negara yang
menyediakan perkhidmatan kepada 38,820 penduduk terutamanya di kawasan
luar bandar.
II : PROSPEK 2006-2010
15.26
Dalam tempoh RMKe-9, penekanan akan terus diberi ke arah membina
keluarga yang berdaya tahan dan membentuk masyarakat Malaysia yang
lebih penyayang. Bagi tujuan ini, program pembangunan keluarga akan
dilaksana terutamanya bagi meningkatkan lagi penyertaan masyarakat
dalam memberi perhatian kepada kumpulan masyarakat yang mudah terjejas
kepada gejala sosial. Sehubungan ini, usaha sektor awam akan
dilengkapkan oleh sektor swasta dan NGO menerusi program perkongsian
dan program bersama. Penekanan akan terus diberi kepada usaha memupuk
perpaduan negara dan meningkatkan integrasi di kalangan rakyat Malaysia
melalui program yang diperkukuh dan diselaraskan. Teras strategik dalam
tempoh RMKe-9 adalah seperti berikut:
a) memperkukuhkan institusi kekeluargaan ke arah membentuk masyarakat yang lebih penyayang dan berdaya tahan;
b) memperkukuhkan sistem penyampaian sokongan sosial;
c) menggalakkan penglibatan yang lebih besar masyarakat tempatan dan NGO dalam usaha pembangunan sosial; dan
d) meningkatkan pembangunan masyarakat dan perpaduan negara.
Pengukuhan Institusi Kekeluargaan
Pembangunan Keluarga
15.27
Menyedari bahawa keluarga merupakan penentu utama bagi negara yang
sihat, dinamik, produktif dan berdaya saing, program yang menyumbang ke
arah pengukuhan unit kekeluargaan akan terus diberi penekanan.
Memandangkan berlakunya perubahan terhadap struktur dan perhubungan
kekeluargaan sebagaimana ditunjukkan oleh pertambahan peratusan
keluarga nuklear dan yang mempunyai dwi-pendapatan, usaha yang lebih
gigih akan diambil untuk memastikan peranan keluarga dikekalkan sebagai
asas perhubungan sosial dan penstabil serta agen penjagaan kepada
golongan muda dan tua. Bagi tujuan tersebut, Dasar Keluarga Negara akan
digubal dengan matlamat untuk membangun dan memperkukuhkan institusi
kekeluargaan serta mempromosi konsep mengutamakan keluarga. Dasar
tersebut akan memastikan inisiatif kesejahteraan keluarga diambil kira
dalam penyediaan semua dasar, undang-undang, program, perkhidmatan dan
kemudahan.
15.28
Program pembangunan keluarga akan dikaji semula bagi membentuk
pendekatan bersepadu yang mensasarkan peringkat pusingan hidup keluarga
yang berbeza dan memenuhi keperluan setiap ahli serta memperkasakan
mereka dengan pengetahuan dan kemahiran bagi menghadapi cabaran
kehidupan moden. Sehubungan ini, usaha akan terus diambil bagi
memperkukuhkan institusi kekeluargaan melalui pembangunan, pelaksanaan
dan perluasan program pencegahan, sokongan dan pemulihan. Program
tersebut akan memberi penekanan terhadap budaya saling menghormati,
menjaga dan berkongsi sumber dan tanggungjawab di kalangan ahli
keluarga. Bagi tujuan ini, modul berkaitan peranan datuk dan nenek akan
dibangunkan. Modul ini akan memberi lebih penekanan kepada perhubungan
antara generasi dan mengiktiraf peranan mereka dalam memperkukuhkan
institusi kekeluargaan termasuk pemupukan dan pemeliharaan nilai
tradisi, kebudayaan dan keagamaan. Di samping itu, usaha juga akan
diambil untuk melaksanakan program latihan semula kaunselor supaya
mereka dapat memperbaiki dan meningkatkan kemahiran dan pengetahuan
secara berterusan.
15.29
Menyedari pertambahan penyertaan wanita dalam tenaga buruh, langkah
akan diambil bagi mewujudkan kesedaran dan memberi pengetahuan kepada
ibu bapa mengenai kepentingan dan perlunya keseimbangan antara
tanggungjawab kerja dengan keluarga. Sehubungan ini, program
Parenting@Work akan dibangun berdasarkan modul pembangunan keluarga
sedia ada bagi menyediakan bimbingan mengenai kemahiran keibubapaan,
memastikan kestabilan dan keutuhan unit keluarga serta melengkapkan
keluarga dalam menghadapi cabaran hidup moden. Pada peringkat awal,
program ini akan dilaksana di semua agensi kerajaan di peringkat
persekutuan dan negeri.
15.30
Usaha akan terus diambil bagi melaksanakan program yang memupuk
keperibadian dan nilai kekeluargaan yang menyumbang ke arah keutuhan,
integriti, kemantapan dan kesepaduan keluarga. Sehubungan ini,
perkhidmatan dan program mesra keluarga yang menyumbang ke arah
pengukuhan perkahwinan, pemupukan nilai kekeluargaan dan perkongsian
sumber, tanggungjawab dan tugas yang saksama akan dilaksana. Kursus
praperkahwinan akan dijalankan secara lebih meluas kepada pasangan yang
akan berkahwin untuk mendidik mereka mengenai peranan dan tanggungjawab
serta memastikan mereka bersedia untuk berkahwin. Keluarga yang rapuh
dan terpinggir akan terus diberi keutamaan supaya mereka dapat memikul
tanggungjawab keluarga dan masyarakat sepenuhnya. Di samping itu, media
massa perlu memberi lebih penekanan dalam mempromosi dan menyebar nilai
positif dan maklumat yang selaras dengan sosiobudaya negara dan
kepekaan keluarga seterusnya menyumbang ke arah pembangunan individu
dan keluarga.
15.31
Dalam tempoh Rancangan, lebih banyak penyelidikan akan dijalankan
mengenai isu semasa dan baru berkaitan kependudukan dan kekeluargaan
termasuk keperluan golongan istimewa seperti orang tua, ibu atau bapa
tunggal dan remaja. Hasil daripada aktiviti penyelidikan ini akan
membantu penggubalan dasar sosial dan program pencelahan ke arah
pengukuhan unit kekeluargaan. Sehubungan ini, penunjuk pembangunan
keluarga juga akan dirangka untuk menilai impak program tersebut ke
atas kesejahteraan keluarga.
Pengukuhan Sistem Penyampaian Sokongan Sosial
Kanak-Kanak
15.32
Memandangkan keluarga merupakan unit asas kepada masyarakat dan
pewujudan persekitaran kepada tumbesaran dan kesejahteraan ahli
keluarga terutamanya kanak-kanak, usaha bersepadu ke arah
memperkukuhkan institusi dan mekanisme sokongan kekeluargaan akan
diteruskan dalam tempoh RMKe-9. Usaha tersebut membantu menjaga
kebajikan, memberi perlindungan, pembangunan dan penyertaan
kanak-kanak. Usaha tersebut juga meliputi penyatuan program sedia ada,
peningkatan jaminan kualiti dan pengukuhan program sokongan lain
termasuk bina upaya kakitangan dan menaik taraf kemudahan sedia ada.
15.33
Susulan kepada NPA pertama 1990-an, NPA kedua (2006-2020) akan
dilaksana untuk meningkatkan kualiti hidup kanak-kanak dengan memberi
penekanan kepada perlindungan, pembangunan dan penyertaan mereka
selaras dengan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak dan Wawasan 2020.
Dasar Pembangunan dan Penjagaan Awal Kanak-Kanak akan digubal bagi
menyediakan rangka kerja dasar untuk pembangunan strategi dan program
masa hadapan yang akan memastikan pembangunan kanak-kanak secara
keseluruhannya adalah menepati keperluan dan hak mereka. Dasar ini akan
merangkumi isu berkaitan dengan mereka yang berada dalam kumpulan umur
dari semenjak kelahiran sehingga berumur enam tahun.
15.34
Penyertaan masyarakat akan terus menjadi strategi utama dalam program
pencegahan dan pemulihan untuk kanak-kanak dalam tempoh Rancangan.
Peranan pasukan perlindungan kanak-kanak, Jawatankuasa Kebajikan
Kanak-Kanak dan penasihat mahkamah untuk Mahkamah Kanak-Kanak akan
dipertingkatkan melalui usaha bina upaya yang akan memudahkannya
berfungsi dengan berkesan dalam membantu memberi perlindungan yang
terbaik kepada kanak-kanak dan menjalankan program pencegahan dan
pemulihan bagi membendung pelbagai masalah sosial di kalangan
kanak-kanak. Usaha untuk meningkatkan kesedaran dan program latihan
khusus akan dilaksanakan untuk memberi pengetahuan dan kemahiran kepada
semua ahli berkaitan dengan kanak-kanak, pengetahuan prosedur mahkamah,
penyediaan akta yang berkaitan dan kesedaran mengenai hak kanak-kanak.
15.35
Akta Pusat Penjagaan Kanak-Kanak 1984 akan dikaji semula bagi
menambahbaik lagi penyediaan perkhidmatan yang berkualiti selaras
dengan prinsip pembangunan dan penjagaan awal kanak-kanak. Penubuhan
pusat penjagaan kanak-kanak berasaskan komuniti akan menyediakan
kemudahan penjagaan kanak-kanak yang berkualiti, mampu dibayar dan
mudah diperoleh terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah di
kawasan bandar yang tidak mampu menghantar anak mereka ke pusat
penjagaan kanak-kanak yang diuruskan oleh sektor swasta.
Orang Kurang Upaya
15.36
Program mengintegrasikan orang kurang upaya ke dalam masyarakat bagi
membolehkan mereka menjalani kehidupan yang normal akan terus
dipergiat. Bagi memastikan orang kurang upaya tidak terpinggir, proses
pendaftaran orang kurang upaya akan diperkemas untuk perancangan
program dan kemudahan yang teratur. Sistem pendaftaran secara dalam
talian akan dilaksana bagi membolehkan Kerajaan mengetahui tahap
ketidakupayaan mereka sebelum menggubal program yang bersesuaian untuk
pembangunan orang kurang upaya.
15.37
Akta Orang Kurang Upaya akan digubal untuk meningkatkan dan melindungi
hak orang kurang upaya supaya hidup bermaruah dan mempunyai harga diri.
Akta ini akan memberi hak kepada mereka untuk diterima oleh masyarakat,
meningkatkan akses kepada pendidikan dan latihan vokasional, pekerjaan,
persekitaran bebas dari halangan serta akses kepada ICT.
15.38
Program pemulihan berasaskan komuniti terbukti berkesan dari segi kos
dan merupakan pilihan yang berkesan kepada institusi pemulihan bagi
orang kurang upaya. Sehubungan ini, lebih banyak pusat pemulihan
berasaskan komuniti akan ditubuh dalam RMKe-9. Pusat pemulihan ini akan
dibangunkan sebagai pusat khidmat setempat bagi menyediakan
perkhidmatan yang lebih komprehensif kepada orang kurang upaya. Antara
perkhidmatan yang akan disediakan ialah pemeriksaan dan pengesanan
ketidakupayaan, khidmat rujukan, penyebaran maklumat mengenai orang
kurang upaya, latihan vokasional dan penempatan pekerjaan, pendaftaran
orang kurang upaya dan perkhidmatan sokongan.
Warga Tua
15.39
Langkah akan diambil bagi menyediakan persekitaran supaya warga tua
sentiasa sihat, aktif dan selamat dalam meneruskan kehidupan mereka
dengan bermaruah dan dihormati serta dapat berdikari dan hidup bersama
anggota keluarga, masyarakat dan negara dengan lebih bermakna. Program
akan dilaksanakan untuk mewujudkan kesedaran yang tinggi di kalangan
anggota keluarga dan masyarakat supaya menjaga warga tua. Sehubungan
ini, nilai seperti tanggungjawab kekeluargaan, kasih sayang dan
persefahaman dalam menjaga warga tua akan diberi penekanan. Penyertaan
di peringkat masyarakat akan dipertingkat melalui jaringan perkhidmatan
masyarakat yang kukuh dan penyediaan peluang untuk melibatkan diri
dalam aktiviti sosial dan ekonomi. Usaha yang lebih teratur dan
tersusun dalam pelaksanaan program pembangunan untuk warga tua akan
dilaksanakan bagi memastikan penyertaan yang berkesan kumpulan sasar
dalam usaha pembangunan negara. Di samping itu, kemahiran, pengalaman
dan sumbangan warga tua terhadap pembangunan negara akan ditingkatkan
melalui kerjasama di antara Kerajaan, masyarakat awam, NGO dan sektor
swasta.
15.40
Bagi membantu keluarga memainkan peranan yang lebih berkesan dan
bermakna dalam menjaga ibu bapa yang tua, pelbagai perkhidmatan
sokongan masyarakat termasuk bantuan dan perkhidmatan sokongan di rumah
dan penilaian terapi pekerjaan akan disediakan pada kadar mampu
dibayar. Di samping itu, perkhidmatan kaunseling di kalangan masyarakat
akan digalak bagi memberi pengetahuan kepada warga tua mengenai
psikologi dan kemahiran diri. Usaha tersebut akan membantu mereka
menjadi lebih cekap dalam menangani perubahan sosial, ekonomi dan
psikologi yang berkaitan dengan penuaan.
15.41
Bagi memastikan kesejahteraan masyarakat keseluruhannya, penambahbaikan
yang berterusan untuk meningkatkan mekanisme penyampaian akan diambil
selaras dengan harapan masyarakat untuk mendapat perkhidmatan yang
cepat dan berkesan. Program jangkauan masyarakat akan diambil sebagai
langkah proaktif untuk memastikan warga tua yang memerlukan tidak
ketinggalan dalam arus perdana pembangunan. Unit kebajikan bergerak,
iaitu Unit Mayang akan ditubuh dengan objektif menyediakan perkhidmatan
kebajikan kepada masyarakat secara langsung. Unit ini akan menyediakan
perkhidmatan profesional seperti kaunseling di samping memproses
permohonan untuk mendapatkan bantuan kewangan serta pembayaran,
pendaftaran orang kurang upaya, khidmat sokongan serta operasi bantuan
bencana alam.
Bantuan Kewangan
15.42
Program pembangunan untuk kanak-kanak, orang kurang upaya dan warga tua
dalam tempoh Rancangan akan dipertingkatkan dengan penyediaan bantuan
kewangan seperti Bantuan Kanak-Kanak, Bantuan Orang Tua, Bantuan Geran
Pelancaran dan Bantuan Alat Tiruan. Bantuan yang akan disediakan
dijangka memberi faedah kepada 150,000 penerima.
Peningkatan Penglibatan Badan Bukan Kerajaan
15.43
Menyedari peranan NGO, Kerajaan akan terus memberi sokongan yang perlu
untuk membolehkan NGO bergiat dan membangunkan program dan menyediakan
kemudahan berterusan untuk kumpulan terpinggir dan yang mudah terjejas
kepada gejala sosial. Sehubungan ini, usaha untuk meningkatkan bina
upaya NGO akan diteruskan melalui program pembangunan sumber manusia.
Bagi memastikan penjagaan berkualiti disediakan kepada kumpulan sasar,
pindaan kepada Akta Pusat Jagaan 1993 akan memudahkan pendaftaran semua
institusi yang diuruskan oleh NGO dan memperkukuhkan penguatkuasaan
akta berkenaan. Di samping itu, garis panduan untuk pengurusan rumah
kanak-kanak akan disediakan sebagai mekanisme jaminan kualiti untuk
menentu dan memastikan kualiti dan standard rumah kanak-kanak yang
diuruskan oleh NGO.
Peningkatan Pembangunan Masyarakat dan Perpaduan Negara
Pembangunan Masyarakat
15.44
Program pembangunan masyarakat dengan objektif untuk memupuk nilai
positif, menyemai hidup berjiran dan mengekalkan keharmonian di
kalangan masyarakat berbilang etnik serta menanam semangat berdikari
akan terus dilaksanakan di kawasan luar bandar dan bandar. Di kawasan
luar bandar, pendidikan tidak formal termasuk pendidikan pembangunan
keluarga melalui pelaksanaan kelas mengenai makanan dan pemakanan,
kesihatan keluarga dan kebersihan serta ekonomi rumah tangga akan
diteruskan untuk meningkatkan lagi kualiti hidup masyarakat di luar
bandar. Pembinaan pusat sumber baru dan pusat khidmat masyarakat akan
menyediakan lebih banyak peluang kepada keluarga di luar bandar
terlibat dalam program pembangunan masyarakat. Jawatankuasa Keselamatan
dan Kemajuan Kampung akan digalak untuk bekerjasama dengan sektor
swasta bagi melaksanakan projek pembangunan masyarakat.
15.45
Di kawasan bandar, lebih banyak Jawatankuasa Rukun Tetangga akan
ditubuhkan dan skop aktivitinya akan diperluaskan lagi meliputi
golongan muda melalui program Rakan Muda. Usaha yang lebih giat akan
dilaksana oleh jawatankuasa tersebut untuk menggalakkan penyertaan
masyarakat dan memupuk hidup berjiran serta membantu mengurangkan
jenayah di kawasan perumahan. Persatuan penduduk serta kelab sosial dan
rekreasi akan terus digalak untuk memperluaskan program jangkauan
sosial untuk menyemai sikap saling menghormati dan bertolak ansur di
kalangan pelbagai masyarakat.
15.46
Bagi menggalak dan memperkukuhkan lagi kerjasama antara etnik dan
meningkatkan persefahaman di kalangan masyarakat, profil penduduk dalam
sesuatu kawasan perumahan akan dibangunkan untuk memastikan pendekatan
yang lebih sistematik ke arah merancang kegiatan dan melaksanakan
inisiatif untuk membangunkan masyarakat. Latihan dalam pelbagai bidang
seperti pengurusan konflik dan kaunseling akan dijalankan untuk
membolehkan ahli masyarakat menangani cabaran yang dihadapi dalam
kehidupan bermasyarakat. Semangat gotong-royong dan komitmen yang
tinggi untuk mencapai perpaduan dalam masyarakat yang berbilang etnik
dan budaya akan dipupuk melalui pelbagai program. Aktiviti yang menjana
pendapatan akan digalak di kalangan para ahli bertujuan meningkatkan
taraf ekonomi mereka. Lebih banyak kelas perpaduan prasekolah akan
ditubuhkan dalam tempoh Rancangan untuk memupuk sikap saling
menghormati, meningkatkan persefahaman dan cintakan negara di kalangan
generasi muda.
15.47
Pelbagai program perpaduan yang menggalakkan penglibatan rakyat
daripada berbilang etnik diteruskan untuk membolehkan semua peringkat
masyarakat berinteraksi dan lebih memahami antara satu sama lain.
Program tersebut termasuk aktiviti kebudayaan di peringkat persekutuan
dan negeri serta sambutan perayaan pelbagai etnik di negara ini. Usaha
akan terus diambil untuk mendidik dan mewujudkan kesedaran di kalangan
masyarakat pelbagai etnik terhadap kepentingan perpaduan sebagai agenda
utama dalam semua aspek kehidupan dan ianya perlu diamalkan, diterap
dan diperkukuhkan dari masa ke semasa. Sehubungan ini, media perlu
memainkan peranan yang lebih penting.
15.48
Bagi memastikan kejayaan pelaksanaan DSN, Kerajaan komited untuk
mengubah sikap dan minda serta meningkatkan lagi kesedaran di semua
peringkat jentera kerajaan dan NGO dalam menangani isu sosial.
Sehubungan ini, usaha bersepadu melibatkan sektor awam dan swasta serta
NGO akan dilaksana untuk mengenal pasti langkah dan pendekatan yang
lebih berkesan terutamanya dalam menangani gejala sosial dalam
masyarakat. Jentera dan sumber sedia ada dalam komuniti akan digunakan
ke tahap maksimum bagi melengkapkan usaha Kerajaan dalam menyediakan
penjagaan dan perkhidmatan kepada kumpulan sasar.
15.49
Dalam tempoh Rancangan, Institut Sosial Malaysia (ISM) akan terus
melatih pekerja sosial dan petugas dalam bidang penjagaan yang
profesional dengan memberi penekanan kepada penjagaan yang berkualiti.
Standard Kebangsaan Untuk Kecekapan Kerja Sosial akan dilaksana untuk
menyediakan pengamal sosial dalam menghadapi cabaran global seperti
bencana alam, keselamatan sosial, penuaan penduduk dan pembasmian
kemiskinan. ISM akan menjadi sebuah hab untuk melatih pengamal sosial
di rantau ini.
IV : INSTUTUSI PELAKSANA DAN PERUNTUKAN
15.50
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan terus
menjadi agensi peneraju dalam pelaksanaan program pembangunan keluarga
dan masyarakat. Di samping itu, program untuk melengkapkan usaha
tersebut akan dilaksana oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi
Nasional serta KEMAS.
15.51
Dalam tempoh RMKe-9, peruntukan sebanyak RM842.5 juta akan disediakan
bagi program pembangunan keluarga dan masyarakat, seperti ditunjukkan
dalam Jadual 15-1. Daripada jumlah tersebut, 55 peratus akan
diperuntukkan kepada program perkhidmatan kebajikan termasuk penjagaan,
perlindungan dan pemulihan kanak-kanak, orang kurang upaya dan warga
tua manakala 45 peratus akan diperuntukkan kepada program pembangunan
keluarga dan masyarakat.
Jadual 15-1 : Perbelanjaan & Peruntukan Pembangunan bagi Program Pembangunan Keluarga & Masyarakat, 2001-2010 (RM Juta)
V : PENUTUP
15.52 Program pembangunan keluarga dan masyarakat dalam tempoh RMKe8 telah dilaksanakan dengan tujuan meningkatkan akses dan liputan kepada sebahagian besar penduduk Malaysia untuk mencapai kualiti hidup yang lebih baik. Sumbangannya kepada seluruh pembangunan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat umum akan terus diberi penekanan dalam tempoh RMKe-9 melalui penambahbaikan dalam sistem penyampaian dan peningkatan program bina upaya. Usaha yang giat akan diambil untuk memupuk dan memperkukuhkan perpaduan negara serta integrasi sosial khususnya di kalangan generasi muda.
Di pos oleh Arbain Muhayat pada 20 December 2008