BAB 13 : WANITA DAN PEMBANGUNAN
I : PENDAHULUAN
3.01
Dalam tempoh Rancangan Malaysia Kelapan (RMKe-8), wanita telah
memberikan sumbangan yang ketara kepada pembangunan sosial dan ekonomi
negara. Pencapaian pendidikan yang lebih tinggi mendorong peningkatan
penyertaan wanita dalam tenaga buruh dan pelbagai aktiviti perniagaan.
13.02
Dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9), usaha akan diambil
untuk menyediakan persekitaran yang kondusif bagi memastikan penyertaan
wanita yang lebih berkesan dalam pembangunan negara. Wanita akan
dilengkapkan dengan kemahiran dan pengetahuan yang sesuai bagi
menjadikan mereka lebih berdaya saing dan serba boleh untuk menghadapi
cabaran ekonomi berasaskan pengetahuan.
II : KEMAJUAN 2001-2005
13.03
Melalui penyertaan yang lebih baik dalam pasaran kerja serta
peningkatan akses dalam pendidikan, wanita telah melibatkan diri dan
memberi sumbangan dalam pelbagai bidang kepada pembangunan negara.
Penyertaan dan sumbangan ini dicapai, antara lain, berikutan perubahan
rangka kerja perundangan dan institusi termasuk pindaan ke atas
Perlembagaan Persekutuan, peningkatan keupayaan mendapatkan pekerjaan
melalui pencapaian pendidikan yang lebih tinggi serta pelaksanaan dasar
dan program gender sensitif.
Kependudukan, Tenaga Kerja dan Guna Tenaga
13.04
Penduduk wanita bertambah pada kadar purata 2.5 peratus setahun, iaitu
48.7 peratus daripada jumlah penduduk negara pada tahun 2005, seperti
ditunjukkan dalam Jadual 13-1. Peratusan penduduk wanita dalam kumpulan
umur 65 tahun dan ke atas bertambah daripada 2.1 peratus pada tahun
2000 kepada 2.3 peratus pada tahun 2005. Pertambahan ini terutamanya
disebabkan oleh peningkatan jangka hayat wanita.
Jadual 13-1 : Struktur Penduduk Mengikut Jantina, 2000-2005
13.05
Wanita merupakan 48 peratus daripada penduduk dalam kumpulan umur
bekerja 15-64 tahun. Dalam tempoh Rancangan, kadar penyertaan tenaga
buruh wanita bertambah daripada 44.7 peratus pada tahun 2000 kepada
45.7 peratus pada tahun 2005. Bilangan wanita yang bekerja dalam tempoh
Rancangan bertambah daripada 3.3 juta pada tahun 2000 kepada 3.9 juta
pada tahun 2005, seperti ditunjukkan dalam Jadual 13-2. Peratusan guna
tenaga wanita daripada jumlah guna tenaga bertambah daripada 35.6
peratus kepada 36.7 peratus dalam tempoh yang sama. Penglibatan wanita
tertumpu pada sektor pembuatan, perdagangan borong dan runcit serta
pertanian.
13.06
Dari segi struktur pekerjaan, peratusan wanita yang bekerja dalam
kumpulan pekerjaan bergaji tinggi adalah tinggi disebabkan oleh
pencapaian yang lebih baik dalam pendidikan. Peratusan wanita dalam
kategori pegawai kanan dan pengurus meningkat daripada 4.8 peratus pada
tahun 2000 kepada 5.4 peratus pada tahun 2005, seperti ditunjukkan
dalam Jadual 13-3. Dalam kategori profesional, wanita terutamanya
bekerja sebagai doktor, doktor pergigian, peguam dan arkitek.
Peningkatan yang ketara juga berlaku dalam kategori perkhidmatan dan
jualan, iaitu daripada 13.3 peratus pada tahun 2000 kepada 17.7 peratus
pada tahun 2005 manakala jumlah wanita yang bekerja dalam pekerjaan
bergaji rendah berkurang, khususnya dalam kategori operator kilang dan
mesin dan pemasang.
Jadual 13-2 : Guna Tenaga Mengikut Jantina & Sektor, 2000-2005
Jadual 13-3 : Guna Tenaga Mengikut Pekerjaan & Sektor, 2000-2005 (%)
Pencapaian Pendidikan
13.07
Kemajuan yang dicapai oleh wanita dalam bidang sosial dan ekonomi
sebahagian besarnya disebabkan wujudnya peluang pendidikan yang sama
antara lelaki dengan wanita. Enrolmen wanita di sekolah rendah dan
menengah menunjukkan nisbah penduduk mengikut gender, iaitu lebih
kurang separuh daripada jumlah enrolmen pada tahun 2005. Pada peringkat
matrikulasi dan tingkatan enam, enrolmen wanita adalah 67 peratus
manakala di universiti awam meningkat dengan ketara daripada 61 peratus
pada tahun 2000 kepada 63.4 peratus pada tahun 2005. Walau
bagaimanapun, di peringkat lepasan ijazah hanya 48.8 peratus pelajar
wanita yang melanjutkan pengajian peringkat sarjana dan 35.7 peratus
peringkat kedoktoran. Penyediaan peluang pendidikan yang sama dan mampu
dibayar membolehkan Millennium Development Goal dari segi mencapai
kesaksamaan gender dan penghapusan ketidaksamaan gender dalam
pendidikan rendah dan menengah dicapai pada tahun 2005.
Latihan
13.08
Pelbagai program latihan kemahiran dan keusahawanan dilaksanakan bagi
membolehkan wanita memajukan diri dan mengambil peluang dalam pasaran
pekerjaan. Seramai 3,000 usahawan wanita mendapat manfaat daripada
program ini terutamanya penerima pinjaman Yayasan Tekun Nasional (YTN).
Program yang sama juga dilaksanakan di bawah Program Keusahawanan
Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang menyediakan latihan kepada 8,000
wanita. Di samping itu, program latihan dilaksanakan bagi membantu
usahawan wanita menaik taraf perniagaan mereka ke peringkat enterpris
kecil dan sederhana (EKS). Di bawah Program Pembangunan Keusahawanan
Pertanian pula, sebanyak 154 bengkel latihan dikendalikan yang
memanfaatkan 6,328 wanita. Hasil daripada program ini, wanita telah
menyertai industri makanan berasaskan pertanian yang menghasilkan
jumlah jualan sebanyak RM94.1 juta. Pelbagai usaha dilakukan bagi
melengkapkan wanita dengan kemahiran dan pengetahuan dalam teknologi
maklumat dan komunikasi (ICT). Program seperti Internet Desa dan
e-Industri Desa juga dilaksanakan.
Bantuan Kewangan
13.09
Dalam tempoh Rancangan, pelbagai skim bantuan kewangan disediakan bagi
memudahkan lebih ramai wanita menjadi usahawan. Di bawah skim YTN,
sebanyak RM200 juta dikeluarkan sebagai pinjaman kepada 46,000 wanita
untuk membantu mereka dalam aktiviti keusahawanan. Skim Mikro Kredit
Bank Simpanan Nasional memberikan pinjaman sebanyak RM446 juta kepada
49,000 usahawan wanita. Melalui Skim Mikro Kredit di bawah Bank
Pertanian Malaysia, sebanyak RM55.9 juta pinjaman diluluskan kepada
5,600 wanita. Di bawah Skim Bantuan Khas Usahawan Wanita, sebanyak
RM18.5 juta diluluskan kepada 185 usahawan wanita. Pinjaman ini
membantu mereka melibatkan diri dalam perkhidmatan berasaskan teknologi
maklumat, perekabentukan dan pembungkusan produk, penyelidikan dan
pembangunan serta pemasaran. Di samping itu, bagi menggalakkan lebih
ramai wanita menceburi aktiviti berkaitan teknologi seperti reka
bentuk, paten dan lakaran rencana terperinci, Tabung Perolehan
Teknologi untuk Wanita (TAF-W) telah ditubuhkan dengan peruntukan
sebanyak RM25 juta.
Taraf Kesihatan
13.10
Wanita memperoleh faedah daripada peningkatan perkhidmatan penjagaan
kesihatan. Dalam tempoh Rancangan, jangka hayat wanita meningkat
daripada 75.1 tahun pada tahun 2000 kepada 76.4 tahun pada tahun 2005
berbanding dengan lelaki daripada 70 tahun kepada 70.6 tahun. Kematian
ibu mengandung yang merupakan petunjuk taraf kesihatan wanita kekal
rendah pada 0.3 kematian bagi setiap 1,000 kelahiran hidup.
13.11
Program kesihatan ibu dan kanak-kanak yang bertujuan mengurangkan
mortaliti dan morbiditi di kalangan ibu dan kanak-kanak, meningkatkan
penjagaan kesihatan ibu sebelum dan selepas bersalin serta memberikan
pendidikan kesihatan dan pemakanan telah dilaksanakan. Di samping itu,
penekanan diberikan untuk mendapatkan perkhidmatan kelahiran yang
selamat. Hasilnya, kelahiran yang dirawat oleh kakitangan terlatih
meningkat daripada 99 peratus pada tahun 2000 kepada 99.5 peratus pada
tahun 2005. Usaha bersepadu yang diambil untuk meluaskan liputan
perkhidmatan penjagaan kesihatan sebelum bersalin membolehkan 77
peratus wanita mengandung mendapatkan akses bagi perkhidmatan ini.
Usaha tersebut menyumbang kepada pengurangan kadar kematian ibu
mengandung setaraf dengan negara maju.
13.12
Menyedari wanita khususnya wanita muda berada dalam kategori berisiko
tinggi dari segi pendedahan kepada human immunodeficiency
virus/acquired immunodeficiency syndrome (HIV/AIDS), penekanan yang
lebih diberikan bagi meningkatkan kesedaran serta menyediakan maklumat
dan pendidikan mengenai bahaya HIV/AIDS. Sungguhpun usaha telah
dilakukan, peratusan wanita yang dijangkiti HIV meningkat daripada 7.9
peratus atau 466 kes daripada jumlah 5,938 kes pada tahun 2001 kepada
11.6 peratus atau 358 kes daripada jumlah 3,089 kes hingga bulan Jun
2005.
13.13
Peningkatan insiden kanser di kalangan wanita khususnya kanser payu
dara dan servik memberikan implikasi yang serius kepada pesakit serta
keluarga. Data daripada Daftar Kanser Kebangsaan menunjukkan bahawa
insiden kanser payu dara telah meningkat daripada 52.8 peratus bagi
setiap 100,000 penduduk pada tahun 2002 kepada 56.8 peratus pada tahun
2005. Memandangkan kanser boleh dirawat jika dikesan pada peringkat
awal, usaha telah diambil bagi menyediakan maklumat dan pengetahuan
kepada wanita mengenai kanser dan rawatannya serta menggalakkan
pemeriksaan kesihatan yang lebih kerap.
13.14
Memandangkan penggalakan dan pencegahan kesihatan penting bagi
memastikan wanita sihat dan kekal sihat, penekanan yang lebih diberi
kepada pelaksanaan pendidikan kesihatan dan program kesedaran.
Sehubungan ini, program Nur Sejahtera diperkenalkan pada tahun 2004
bagi mendidik wanita mengenai kepentingan pemeriksaan kesihatan yang
kerap serta mengamalkan gaya hidup sihat. Di samping itu, Health Line
diperkenalkan pada tahun 2005 bagi menyediakan maklumat yang menyeluruh
dan bersepadu melalui talian mengenai penyakit tidak berjangkit seperti
kanser, kencing manis dan penyakit yang berkaitan dengan jantung.
Langkah ini memperkasa masyarakat khususnya wanita mengenai pentingnya
kesihatan dan pengesanan awal penyakit.
Kemiskinan di Kalangan Wanita
13.15
Pelbagai program ekonomi, sosial dan latihan dilaksanakan oleh Kerajaan
dan NGO bagi mengurangkan insiden kemiskinan di kalangan wanita
termasuk ibu tunggal dan ketua isi rumah wanita. Melalui program
berkenaan, insiden kemiskinan di kalangan ketua isi rumah wanita
berkurang daripada 12.5 peratus pada tahun 2002 kepada 11.5 peratus
pada tahun 2004. Di bawah Skim Pinjaman Ikhtiar yang dilaksanakan oleh
Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), seramai 67,000 wanita daripada kumpulan
berpendapatan rendah terlibat dalam perusahaan mikro kredit. Wanita di
kawasan luar bandar juga diberi peluang menubuhkan bengkel dan premis
gerai perniagaan bagi memudahkan mereka melibatkan diri dalam
perniagaan kecil. Di samping itu, latihan ICT dilaksanakan bagi
meningkatkan produktiviti dan kecekapan mereka. Skim Khas Ibu Tunggal
ditubuhkan oleh AIM pada tahun 2001 membolehkan ibu tunggal menjalankan
aktiviti yang menjanakan pendapatan dengan menyediakan akses mudah
kepada mereka untuk memperoleh bantuan kewangan. Seramai 2,800 ibu
tunggal mendapat manfaat daripada skim ini.
Perundangan Sokongan
13.16
Dalam tempoh Rancangan, perundangan sedia ada dikaji semula dan
perundangan baru telah diluluskan bagi melindungi hak dan maruah
wanita. Pada tahun 2001, Perkara 8 (2) Perlembagaan Persekutuan dipinda
bagi memasukkan perkataan ‘gender’ sebagai satu daripada asas untuk
mencegah diskriminasi dan seterusnya beberapa undang-undang telah
dipinda. Mulai tahun 2002, balu kakitangan Kerajaan telah dibenarkan
terus menerima pencen selepas berkahwin semula manakala pindaan yang
sama dibuat ke atas Akta Keselamatan Sosial 1969 pada tahun 2003. Akta
Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 telah dipinda pada tahun
2002 bagi membenarkan isteri peneroka mendapat pemilikan bersama ke
atas tanah yang diberikan kepada suami mereka di bawah skim pembangunan
tanah. Peraturan Imigresen juga dipinda bagi membolehkan lelaki warga
asing yang berkahwin dengan wanita rakyat Malaysia memperbaharu pas
lawatan mereka setiap tahun berbanding dengan tempoh pembaharuan
sebelumnya, iaitu antara satu hingga enam bulan bergantung pada negara
asal pemohon. Peruntukan yang sama juga diberikan kepada wanita warga
asing yang berkahwin dengan lelaki rakyat Malaysia yang telah berpisah
atau bercerai.
13.17
Sebagai suri rumah, wanita memainkan peranan terpenting dalam
masyarakat. Menyedari peranan ini dan bagi menjamin kestabilan kewangan
wanita pada hari tua, suami boleh membuat sumbangan pendapatan mereka
kepada akaun isteri melalui skim sumbangan pekerja persendirian di
bawah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
13.18
Pelbagai usaha dilaksanakan bagi memastikan penyeragaman dalam
penghakiman kes berhubung Undang-Undang Keluarga Islam di semua negeri.
Dalam tempoh Rancangan, 11 negeri dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,
Labuan dan Putrajaya telah menerima model yang seragam. Di samping itu,
pelaksanaan dan pemantauan yang cekap dan berkesan juga dilaksanakan
bagi undang-undang dan penghakiman berkaitan isu keluarga seperti
perceraian dan nafkah kepada bekas isteri. Sehubungan ini, bahagian
khas bagi penyelarasan dan penguatkuasaan undang-undang telah
ditubuhkan di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Keganasan Terhadap Wanita
13.19
Dalam tempoh Rancangan, usaha diambil bagi membendung peningkatan
bilangan kes keganasan terhadap wanita. Di samping mengkaji semula
perundangan sedia ada dan memperkenalkan perundangan baru, program
pencegahan dan pemulihan juga dilaksanakan. Sejumlah 43 program yang
dilaksanakan telah memberi manfaat kepada 45,000 peserta. Kempen Wanita
Menentang Keganasan (WAVE) peringkat kebangsaan dilancarkan pada tahun
2002 bagi meningkatkan kesedaran terhadap keganasan rumah tangga. Di
samping itu, persatuan sukarela WAVE ditubuhkan di semua negeri.
Latihan diberikan dan maklumat disampaikan kepada ahli persatuan untuk
mengenal pasti penderaan dan rawatan kepada mangsa. Seramai 300
sukarelawan dilatih dan ditempatkan di pusat khidmat masyarakat,
hospital dan rumah perlindungan.
Jentera Nasional untuk Kemajuan Wanita
13.20
Kerajaan, sektor swasta dan NGO telah bekerjasama untuk meningkatkan
taraf wanita serta memastikan kerjasama dan penyelarasan yang lebih
berkesan dalam melaksanakan aktiviti bagi kaum wanita dan keluarga
mereka. Dalam tempoh Rancangan, Kementerian Pembangunan Wanita,
Keluarga dan Masyarakat ditubuhkan bagi menangani isu berkaitan wanita
secara bersepadu. Sehubungan ini, Majlis Penasihat Wanita Negara
disusun semula dan keahliannya ditambah bagi membolehkan pertukaran
pandangan, percambahan idea dan maklumat mengenai isu wanita yang lebih
baik. Di samping itu, majlis pembangunan wanita dan keluarga telah
ditubuhkan di peringkat negeri serta di setiap kawasan parlimen bagi
mewujudkan jalinan dengan wanita di peringkat akar umbi.
13.21
Bagi memperkukuh lagi jentera nasional dan meningkatkan
keberkesanannya, Jawatankuasa Kabinet bagi Kesaksamaan Gender
ditubuhkan pada tahun 2004 untuk menyediakan hala tuju dasar dan
memantau aktiviti berkaitan dengan pembangunan wanita dan keluarga.
Pegawai tumpuan untuk urusan gender telah dilantik di semua kementerian
dan agensi bagi memastikan perspektif gender disepadukan dalam usaha
penggubalan dasar dan pelaksanaan program serta penghapusan segala
bentuk diskriminasi terhadap wanita. Di samping itu, projek perintis
bagi memasukkan perspektif gender dalam proses belanjawan negara
dilaksanakan di lima kementerian. Bagi memastikan pengumpulan dan
penyusunan data mengikut gender secara bersistem, sistem maklumat
mengikut gender juga telah dibangunkan untuk memudahkan analisis.
Menyedari pentingnya peranan wanita dalam pembangunan negara, Kerajaan
bersetuju menetapkan kuota sekurang-kurangnya 30 peratus wanita
memegang jawatan di peringkat pembuat dasar dalam sektor awam.
Sehubungan ini, sektor swasta dan NGO juga digalakkan untuk
meningkatkan bilangan wanita di peringkat pengurusan dan jawatan utama.
13.22
Memandangkan peranan NGO penting dalam melengkapkan usaha Kerajaan
membantu wanita dan keluarga, kursus bina upaya dilaksanakan untuk
meningkatkan kemahiran kepemimpinan, pentadbiran, perancangan dan
pengurusan kewangan di kalangan ahli. Di samping itu, sejumlah RM56.7
juta diagihkan kepada 550 NGO dan majlis pembangunan wanita dan
keluarga di peringkat negeri bagi melaksanakan aktiviti dan program
untuk wanita dan keluarga.
Penglibatan di Peringkat Antarabangsa
13.23
Dalam tempoh Rancangan, Kerajaan menunjukkan komitmen bagi
mempertahankan hak dan maruah wanita di peringkat antarabangsa.
Malaysia terlibat secara aktif dalam pelbagai mesyuarat dan inisiatif
di peringkat serantau dan antarabangsa. Komitmen ini termasuk Mesyuarat
Menteri-Menteri Wanita APEC, Jawatankuasa ASEAN Mengenai Wanita dan
Suruhanjaya Mengenai Taraf Wanita di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Melalui rancangan dua hala, Malaysia terus membangkitkan isu gender dan
berkongsi pengalaman dalam meningkatkan taraf wanita.
13.24
Selaku pengerusi Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM), Malaysia
mengambil inisiatif memasukkan isu berkaitan wanita sebagai sebahagian
daripada agenda NAM. Sehubungan ini, Malaysia telah menjadi tuan rumah
Mesyuarat Peringkat Menteri NAM Mengenai Pembangunan Wanita yang
pertama pada tahun 2005. Mesyuarat tersebut mengesahkan Deklarasi
Putrajaya dan Program Tindakan Mengenai Pembangunan Wanita dalam Negara
Anggota NAM. Hasil Mesyuarat ini antaranya ialah penubuhan Pusat
Pembangunan Gender NAM di Kuala Lumpur.
III : PROSPEK 2006-2010
13.25
Dalam tempoh RMKe-9, usaha akan terus diambil bagi menangani isu
berkaitan wanita bagi membolehkan wanita menggunakan potensi mereka
sepenuhnya dan melibatkan diri dengan lebih berkesan sebagai rakan
dalam pembangunan selaras dengan prinsip Islam Hadhari. Sehubungan ini,
kekangan perundangan dan institusi yang menghalang penyertaan wanita
yang lebih besar dalam bidang ekonomi akan dikaji semula untuk
menggalakkan penglibatan yang aktif serta menyumbang kepada kemajuan
yang lebih baik. Penekanan akan diberikan bagi memperkasa wanita dengan
menyediakan akses yang lebih baik kepada pendidikan dan program
meningkatkan kemahiran serta melibatkan mereka dalam proses membuat
dasar. Inisiatif yang diambil akan berpandukan komitmen Persidangan
Wanita Sedunia Keempat di Beijing pada tahun 1995 dan Mesyuarat
Peringkat Menteri NAM Mengenai Pembangunan Wanita di Putrajaya pada
tahun 2005. Teras strategik bagi meningkatkan lagi kemajuan wanita
dalam tempoh Rancangan adalah seperti berikut:
a) menggalakkan peningkatan penyertaan wanita dalam tenaga buruh;
b) meningkatkan peluang pendidikan dan latihan;
c) meningkatkan penyertaan dalam perniagaan dan aktiviti keusahawanan;
d) mengkaji semula undang-undang dan peraturan bagi meningkatkan taraf wanita;
e) membaiki lagi taraf kesihatan dan kesejahteraan wanita;
f) mengurangkan keganasan terhadap wanita;
g) mengurangkan kadar kemiskinan dan meningkatkan kualiti hidup;
h) mengukuhkan jentera nasional dan keupayaan institusi; dan
i) menyuarakan isu berkenaan wanita di peringkat antarabangsa.
Peningkatan Penyertaan Wanita dalam Tenaga Buruh
13.26
Kerajaan akan terus menggalakkan lagi penyertaan wanita dalam tenaga
buruh dan menyumbang ke arah peningkatan pembangunan sosioekonomi
negara. Memandangkan penglibatan lebih ramai wanita dalam pasaran
pekerjaan memerlukan keseimbangan yang lebih baik antara kerja tanpa
bayaran dengan kerja berbayar, dasar pekerjaan yang berkesan perlu
merangkumi lebih daripada penyediaan pekerjaan. Sehubungan ini, langkah
akan diambil bagi memastikan penyediaan kemudahan sokongan yang perlu
bagi membolehkan wanita menyertai pasaran pekerjaan. Usaha ini termasuk
mengadakan amalan tempat kerja yang mesra keluarga dan program latihan
yang sesuai. Pusat penjagaan kanak-kanak berasaskan komuniti dan pusat
asuhan akan didirikan di kawasan perumahan terpilih bagi memastikan
penjagaan berkualiti dan mampu dibayar disediakan. Di samping itu,
wanita digalakkan memasuki semula pasaran pekerjaan dengan menyediakan
peluang latihan semula.
13.27
Sektor swasta yang merupakan majikan terbesar akan digalakkan untuk
memudahkan lagi penyertaan wanita dalam pasaran pekerjaan melalui
penyediaan peraturan kerja yang lebih kondusif dengan mengambil kira
pelbagai peranan dan tanggungjawab wanita. Kemudahan ini termasuk
mewujudkan peraturan kerja baru dan fleksibel seperti telekerja, kerja
sambilan dan perkongsian kerja. Di samping itu, usaha akan diambil bagi
melaksanakan konsep bekerja dari rumah untuk menggalakkan wanita
menceburi perniagaan kecil.
13.28
Memandangkan kerja mengurus rumah tangga dan penjagaan keluarga kekal
dipertanggungjawabkan kepada wanita, ramai wanita memberikan keutamaan
kepada tanggungjawab keluarga. Keadaan ini meningkatkan bilangan wanita
dalam sektor tidak formal dengan peraturan kerja yang fleksibel.
Sehubungan ini, langkah akan diambil supaya pekerja wanita dalam sektor
tidak formal mempunyai akses yang lebih baik terhadap perlindungan
sosial yang mencukupi untuk menghadapi kitaran hidup seperti sakit,
kecacatan dan lanjut usia serta risiko pekerjaan.
Peningkatan Peluang Pendidikan dan Latihan
13.29
Menyedari keperluan sumber manusia kepada ekonomi berasaskan
pengetahuan dan keperluan untuk bergerak kepada aktiviti nilai ditambah
yang tinggi, lebih banyak peluang pendidikan dan latihan akan
disediakan bagi membantu wanita memenuhi keperluan tersebut. Peluang
latihan dan latihan semula akan disediakan bagi membolehkan lebih ramai
wanita memperoleh kemahiran baru dan yang lebih tinggi sesuai dengan
keperluan industri terutamanya dalam arus perubahan teknologi yang
pesat. Sehubungan ini, sektor swasta juga digalakkan menyediakan
peluang latihan kemahiran dan latihan semula kepada wanita termasuk
dalam bidang teknologi baru.
13.30
Lebih ramai pelajar wanita akan digalakkan untuk mengikuti pengajian
dalam bidang sains dan kejuruteraan. Sehubungan ini, program bimbingan
kerjaya akan dilaksana di peringkat sekolah rendah bagi memberikan
kesedaran yang lebih tinggi di kalangan pelajar wanita dan ibu bapa
mengenai peluang pendidikan dan pekerjaan dalam bidang profesional dan
teknikal. Kaunseling dan maklumat tentang prospek dalam bidang bukan
akademik juga akan diberikan kepada pelajar wanita bagi menggalakkan
mereka mengikuti pengajian vokasional dan teknikal. Di samping itu,
peluang latihan di kolej komuniti dan institusi latihan kemahiran akan
ditingkatkan bagi kemasukan pelajar wanita yang tercicir pengajian
formal di peringkat sekolah. Bagi memastikan wanita terutamanya di luar
bandar terus mendapatkan akses kepada ICT, program latihan formal dan
tidak formal berkenaan aplikasi dan celik komputer akan dijalankan.
Peningkatan Penyertaan dalam Aktiviti Perniagaan dan Keusahawanan
13.31
Usaha untuk meningkatkan penglibatan wanita dalam aktiviti perniagaan
dan keusahawanan akan diteruskan melalui penggabungan dan penyepaduan
bantuan kewangan dan penyediaan program latihan yang lebih baik.
Maklumat mengenai program ini akan disebarkan secara meluas. Bagi
memudahkan lebih ramai wanita memperoleh pinjaman, program khusus untuk
wanita akan diwujudkan dalam program bantuan kewangan sedia ada.
Pelaksanaan konsep bekerja dari rumah akan memudahkan lagi penglibatan
wanita dalam aktiviti perniagaan. Lebih banyak peluang akan disediakan
kepada wanita untuk melibatkan diri dalam industri dan perniagaan
berasaskan pertanian. Memandangkan bidang bioteknologi merupakan sumber
pertumbuhan baru, usaha akan diambil untuk menggalakkan lebih ramai
usahawan wanita memanfaatkan peluang daripada potensi bidang ini
khususnya dalam bioteknologi pertanian dan penjagaan kesihatan.
Usahawan wanita juga akan digalakkan untuk menubuhkan rangkaian dengan
organisasi lain yang berjaya dalam dan luar negara.
Kajian Semula Undang-Undang dan Peraturan bagi Meningkatkan Taraf Wanita
13.32
Undang-undang dan peraturan sedia ada yang mendiskriminasikan atau
menghalang kesejahteraan dan penyertaan wanita dalam usaha pembangunan
akan dikaji semula. Menyedari pentingnya untuk memastikan kesejahteraan
dan keselamatan wanita, Akta Pekerjaan 1955, Akta Perhubungan
Perusahaan 1957 dan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 akan
dipinda bagi memasukkan peruntukan untuk menghalang segala bentuk
gangguan seksual di tempat kerja. Langkah akan terus diambil untuk
memperkemas penguatkuasaan dan mempercepat pelaksanaan keputusan
mahkamah, termasuk mahkamah syariah bagi memastikan perlindungan dan
kebajikan wanita. Di samping itu, sektor swasta akan digalakkan untuk
mengkaji semula perjanjian bersama bagi memastikan tiada diskriminasi
gender.
Penambahbaikan Taraf Kesihatan dan Kesejahteraan Wanita
13.33
Dalam tempoh Rancangan, usaha untuk meningkatkan kesihatan wanita dan
keluarga akan diteruskan. Bagi memastikan wanita sentiasa sihat,
penekanan akan diberikan bagi melaksanakan program kesejahteraan,
meningkatkan kesedaran tentang kesihatan serta menggalakkan pencegahan,
pemeriksaan dan pengesanan awal penyakit yang spesifik seperti kanser
terutamanya di kalangan wanita berpendapatan rendah dan di kawasan
terpencil. Dasar dan strategi akan digubal untuk menyepadukan komponen
kesihatan reproduktif ke dalam sistem penjagaan kesihatan asas. Klinik
bergerak juga akan disediakan di bawah Program Nur Sejahtera bagi
meningkatkan akses kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan.
13.34
Usaha bersepadu akan diambil untuk meningkatkan kesedaran dan mendidik
wanita tentang penyakit HIV/AIDS dan penyakit yang berjangkit melalui
hubungan seks terutamanya golongan wanita muda. Program untuk mencegah
pemindahan HIV daripada ibu kepada anak serta penyediaan penjagaan dan
sokongan kepada mereka yang dijangkiti termasuk program kaunseling akan
diteruskan. Pendidikan seks, kemahiran hidup dan program perubahan
sikap akan terus dipergiat. Bagi memastikan program tersebut
dilaksanakan secara berterusan dan berkualiti, garis panduan mengenai
pendidikan seks yang digubal bersama NGO akan dilaksanakan. Di samping
itu, program kesihatan reproduktif bagi remaja akan dilaksanakan oleh
Kerajaan dan NGO dengan matlamat untuk memupuk nilai positif dan sikap
bertanggungjawab serta menggalakkan gaya hidup sihat.
13.35
Langkah akan terus diambil untuk menyediakan penjagaan kesihatan yang
menyeluruh dan bersepadu kepada wanita dan kanak-kanak. Sehubungan ini,
hospital khusus untuk wanita dan kanak-kanak akan diwujudkan di Kuala
Lumpur. Kemudahan ini akan berfungsi sebagai pusat rujukan negara bagi
kesihatan dan kesejahteraan wanita dan kanak-kanak serta menjalankan
penyelidikan mengenai penyakit yang biasa dihidapi oleh mereka.
Pengurangan Keganasan Terhadap Wanita
13.36
Usaha bersepadu akan terus diambil bagi meningkatkan kesedaran bahawa
keselamatan dan kesejahteraan wanita dan keluarga adalah tanggungjawab
semua. Program kesedaran dan latihan yang berkaitan dengan pemahaman
peranan dan keperluan gender, pencegahan penderaan dan keganasan,
penyelesaian konflik dan pengekalan keharmonian keluarga akan
dilaksanakan oleh Kerajaan dan NGO. Pelaksanaan kempen WAVE juga akan
dipergiat dengan penyertaan dan penglibatan yang lebih meluas di
kalangan masyarakat. Kemudahan perlindungan kepada mangsa keganasan
rumah tangga akan diwujudkan di Rumah Nur yang sedia ada di lima
negeri, iaitu Kelantan, Melaka, Pahang, Sabah dan Selangor. Kemudahan
di Selangor juga akan digunakan untuk menyediakan perlindungan kepada
wanita warga asing yang menjadi mangsa penyeludupan manusia.
13.37
Sektor swasta juga akan digalakkan menyertai usaha menghapuskan
keganasan terhadap wanita. Kerajaan dengan kerjasama NGO akan
memastikan wujudnya mekanisme sokongan kepada mangsa keganasan rumah
tangga termasuk mewartakan lebih banyak rumah perlindungan dan
menyediakan sukarelawan terlatih serta menempatkan mereka di lokasi
strategik seperti hospital dan balai polis. Kursus kepekaan gender akan
dilaksanakan bagi agensi yang terlibat dalam menangani dan menguruskan
kes keganasan rumah tangga. Sehubungan ini, prosedur operasi standard
akan disediakan untuk kegunaan agensi dan NGO yang berkaitan bagi
memastikan keselarasan dan keberkesanan yang lebih baik dalam menangani
kes tertentu.
Pengurangan Kadar Kemiskinan dan Peningkatan Kualiti Hidup
13.38
Usaha akan diambil bagi mengurangkan kadar kemiskinan di kalangan
wanita khususnya di kawasan luar bandar termasuk Sabah dan Sarawak.
Bagi mengatasi kemiskinan bandar, program untuk wanita miskin di
kawasan bandar akan dibangunkan. Penekanan khusus akan diberikan kepada
ibu tunggal melalui pembentukan pelan tindakan strategik yang akan
menggariskan program pendidikan dan latihan serta pendekatan bagi
memudahkan penglibatan ibu tunggal dalam aktiviti yang menjanakan
pendapatan. Menerusi pendekatan ini, program Inkubator Kemahiran Ibu
Tunggal (I-KIT) akan diperkenalkan untuk meningkatkan kemahiran ibu
tunggal. I-KIT akan memberikan tumpuan kepada tujuh bidang kemahiran,
iaitu jahitan, kraf tangan, pelancongan, terapi kecantikan, perniagaan,
keusahawanan dan penjagaan kanak-kanak. Program Anak Angkat akan
dilaksanakan melalui perkongsian pintar dengan sektor swasta. Di bawah
program ini, syarikat swasta akan digalakkan untuk menyediakan sokongan
kewangan bagi pendidikan anak kepada ibu tunggal. Kerajaan akan
melengkapkan usaha tersebut dengan menyediakan insentif dalam bentuk
rebat cukai kepada syarikat terlibat.
Pengukuhan Jentera Nasional dan Keupayaan Institusi
13.39
Dalam tempoh Rancangan, jentera nasional dan keupayaan institusi bagi
kemajuan wanita akan diperkukuh. Usaha juga akan diambil untuk mencapai
kuota 30 peratus wanita memegang jawatan dalam kategori pembuat
keputusan di sektor awam. Ke arah mencapai matlamat ini, lebih banyak
peluang akan disediakan kepada wanita untuk memegang jawatan utama
dalam perkhidmatan awam. Di samping itu, penekanan akan diberikan untuk
melantik lebih ramai wanita sebagai ahli majlis dalam pihak berkuasa
tempatan.U
13.40
Latihan akan disediakan bagi meningkatkan keberkesanan tumpuan untuk
pengurusan gender dalam agensi awam bagi memastikan dasar, strategi dan
program di agensi tersebut mengambil kira perspektif gender. Program
analisis bajet dan kepekaan gender akan dilaksanakan oleh penggubal dan
perancang dasar. Usaha yang lebih berkesan juga akan diambil bagi
memastikan pengumpulan dan penyediaan data mengikut gender yang
bersistem untuk memudahkan analisis yang berkesan, memantau, menilai
impak dan menggubal dasar. Di samping itu, pelaksanaan bajet gender
akan diperluas secara berperingkat ke kementerian yang lain.
13.41
Selaras dengan teras pembangunan berasaskan masyarakat, penekanan yang
lebih akan diberikan untuk mengarusperdanakan gender. Ke arah mencapai
matlamat ini, strategi mengarusperdanakan gender akan memastikan
perspektif gender sentiasa diambil kira dalam penggubalan dasar,
strategi dan program utama sektoral. Di samping itu, indeks pembangunan
berkaitan gender akan dibangunkan untuk menyediakan petunjuk
kesaksamaan gender di negara ini.
13.42
Majlis pembangunan wanita dan keluarga di peringkat negeri dan kawasan
parlimen akan terus mengukuhkan jalinan dengan wanita di peringkat akar
umbi. Sehubungan ini, latihan akan disediakan kepada ahli majlis untuk
meningkatkan keberkesanan mereka dalam penggubalan dan pelaksanaan
program serta menyelesaikan isu yang berkaitan dengan wanita di
peringkat akar umbi.
13.43
NGO akan terus digalakkan untuk memainkan peranan sebagai pelengkap
kepada usaha Kerajaan dalam memajukan wanita khususnya wanita yang
kurang memperoleh faedah pembangunan. Bagi tujuan ini, sokongan
kewangan akan diberikan kepada NGO untuk melaksanakan program yang
memberikan faedah secara langsung kepada wanita dan menambah baik
kualiti hidup. Di samping itu, latihan akan diberikan kepada NGO bagi
memastikan sikap profesionalisme diamalkan dalam menangani isu yang
berkaitan dengan wanita.
Menyuarakan Isu Berkenaan Wanita di Peringkat Antarabangsa
13.44
Kerajaan bersama sektor swasta dan NGO akan terlibat secara aktif dalam
forum antarabangsa untuk memajukan wanita. Penglibatan ini membolehkan
Malaysia berkongsi pengalaman dalam bidang tertentu seperti pembasmian
kemiskinan, pencapaian pendidikan dan peningkatan taraf kesihatan serta
pengenalan kepada pendekatan pembangunan yang lebih menyeluruh.
13.45
Penubuhan Pusat Pembangunan Gender NAM di Malaysia akan membolehkan
tindakan bersepadu di peringkat antarabangsa bagi memajukan dan
memperkasa wanita melalui pendekatan pendidikan sepanjang hayat.
Sehubungan ini, Pusat tersebut akan menjalankan pelbagai program
termasuk bina upaya, pertukaran pendapat dan maklumat serta
penyelidikan di samping kerjasama erat dengan organisasi dan institusi
antarabangsa.
IV : INSTUTUSI PELAKSANA DAN PERUNTUKAN
13.46 Dalam tempoh RMKe-9, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sebagai agensi peneraju akan terus melaksanakan program untuk memajukan lagi wanita. Usaha tersebut akan dilengkapkan dengan penyertaan kementerian utama yang lain seperti Kementerian Pelajaran, Kementerian Kesihatan, Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta sektor swasta dan NGO.
V : PENUTUP
13.47 Dalam tempoh RMKe-8, wanita telah mencapai kemajuan dalam pelbagai bidang pembangunan dengan peningkatan akses kepada pendidikan dan latihan, penjagaan kesihatan dan peluang pekerjaan. Dalam tempoh RMKe-9, usaha akan diambil untuk meningkatkan lagi taraf wanita bagi membolehkan pencapaian potensi mereka sepenuhnya dan menyumbang kepada pembangunan sosial dan ekonomi negara. Sehubungan ini, penekanan akan diberikan untuk mengarusperdanakan gender dan memasukkan pertimbangan gender ke dalam penggubalan dasar dan program. Penekanan juga akan diberikan bagi melengkapkan wanita dengan kemahiran dan pengetahuan serta mewujudkan persekitaran yang menggalakkan bagi menyokong dan memajukan lagi wanita.
Di pos oleh Arbain Muhayat pada 20 December 2008