BAB 12 : MEMANFAATKAN SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI
I : PENDAHULUAN
12.01
Dalam tempoh Rancangan Malaysia Kelapan (RMKe-8), usaha ditumpukan
untuk memperkukuh kemampuan dan keupayaan sains dan teknologi (S&T)
bagi menyokong pertumbuhan dorongan produktiviti serta mempertingkatkan
daya saing. Sehubungan ini, pelbagai langkah dilaksanakan untuk
mempergiat penyebaran dan aplikasi teknologi, menggalakkan
pengkomersilan penyelidikan dan menambah sumber manusia S&T. Sektor
swasta terus menyumbang dalam memperluas aktiviti penyelidikan dan
inovasi terutama dalam industri yang mempunyai nilai ditambah yang
tinggi. Berikutan usaha secara kolektif antara sektor awam dan swasta,
beberapa petunjuk S&T seperti intensiti penyelidikan dan sumber
manusia S&T mencatatkan peningkatan.
12.02
Teras pembangunan dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9)
akan memanfaatkan sains, teknologi dan inovasi (STI) sebagai pemacu
utama dalam mempertingkatkan keupayaan negara untuk memperoleh dan
menggunakan pengetahuan serta menggalakkan inovasi. Bagi tujuan ini,
satu pendekatan holistik akan diterima pakai bagi memperkukuh Sistem
Inovasi Kebangsaan (NIS) untuk meningkatkan produktiviti dan daya
saing. Kemajuan, penyebaran dan penggunaan pengetahuan dan teknologi
akan dipertingkatkan bagi menambah nilai kepada kepelbagaian aktiviti
ekonomi negara. Keutamaan yang lebih tinggi akan diberikan kepada
penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang berorientasikan pasaran dan
meningkatkan kadar pengkomersilan R&D. Usaha gigih akan digerakkan
ke arah mempertingkatkan modal insan bagi memperkukuh kemampuan dan
keupayaan teknologi untuk menyokong pertumbuhan dorongan inovasi.
II : KEMAJUAN 2001-2005
12.03
Dasar S&T terus menyokong strategi pembangunan negara mengenai
pertumbuhan dorongan produktiviti dan menyediakan asas ke arah
mewujudkan sebuah masyarakat maju dalam bidang S&T. Sehubungan ini,
beberapa petunjuk input STI seperti perbelanjaan R&D dan bilangan
penyelidik serta petunjuk output STI dari segi bilangan paten yang
diluluskan dan penerbitan mencatatkan peningkatan.
Perbelanjaan R&D Negara
12.04
Dalam tempoh Rancangan, R&D diberikan keutamaan sewajarnya
berdasarkan peningkatan perbelanjaan kasar negara ke atas R&D
(GERD) daripada RM1.7 bilion pada tahun 2000 kepada RM4.3 bilion pada
tahun 2005, iaitu pada kadar tahunan purata 20.8 peratus1, seperti
ditunjukkan dalam Jadual 12-1. Kadar pertumbuhan GERD ini melebihi
kadar pertumbuhan tahunan
Jadual 12-1 : Petunjuk Sains, Teknologi & Inovasi, 200-2005
1 Laporan Kajian Penyelidikan dan Pembangunan Kebangsaan 2002 dan 2004 serta unjuran.
purata 20.4 peratus yang diperlukan untuk
mencapai nisbah GERD kepada keluaran dalam negeri kasar (KDNK) 1.5
peratus menjelang tahun 2010. Nisbah GERD kepada KDNK yang merupakan
satu ukuran kepada intensiti penyelidikan meningkat daripada 0.5
peratus pada tahun 2000 kepada 0.9 peratus pada tahun 2005.
Aliran Masuk Teknologi
12.05
Akaun imbangan pembayaran menunjukkan terdapat peningkatan defisit dari
segi teknologi, royalti dan yuran. Walaupun pemerolehan teknologi asing
merupakan salah satu pendekatan untuk mempercepat kemajuan teknologi,
usaha ke arah meningkatkan keupayaan teknologi tempatan perlu dipergiat
bagi mengimbangi peningkatan defisit dalam royalti dan yuran.
Program R&D Sektor Awam
12.06
Selaras dengan keutamaan yang diberikan kepada R&D, peruntukan skim
geran R&D dalam tempoh RMKe-8 bertambah 59.9 peratus kepada RM1.4
bilion berbanding dengan peruntukan dalam tempoh Rancangan Malaysia
Ketujuh (RMKe-7). Daripada jumlah ini, sebanyak RM1.0 bilion disediakan
kepada sektor awam untuk terlibat secara langsung dalam R&D
manakala baki RM430 juta untuk mempertingkatkan R&D sektor swasta
melalui Skim Geran Penyelidikan dan Pembangunan Industri (IGS), Skim
Geran Koridor Raya Multimedia (MGS) dan Skim Geran Aplikasi Penunjuk
Cara (DAGS).
12.07
Mekanisme pembiayaan Program Penumpuan Penyelidikan dalam Bidang
Keutamaan (IRPA) diperkemas bagi memastikan pelaksanaan projek
penyelidikan dengan lebih cekap dan berkesan. Dalam tempoh Rancangan,
sebanyak 2,139 projek bernilai RM836.9 juta diluluskan di bawah program
IRPA, seperti ditunjukkan dalam Jadual 12-2. Penilaian ke atas 1,233
projek IRPA yang dilaksanakan dalam tempoh Rancangan, antara lain,
menunjukkan sebanyak 544 hak harta intelek (IPR) seperti paten, reka
bentuk industri dan hak cipta telah didaftarkan serta 4,872 penerbitan
kertas kerja di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Projek ini turut
menyediakan peluang bina upaya dan berperanan melahirkan 92 siswazah
ijazah doktor falsafah (Ph.D) dan 338 ijazah sarjana serta
mempertingkatkan keupayaan 765 staf penyelidikan dalam teknologi
terkini dan baru muncul.
12.08
Skim Geran R&D Bioteknologi yang diperkenalkan pada tahun 2001 di
bawah Direktorat Bioteknologi Kebangsaan meluluskan sejumlah RM95.3
juta untuk 47 projek penyelidikan bioteknologi dalam bidang yang
diberikan keutamaan seperti biologi molekul, bioteknologi pertanian dan
bioteknologi perubatan. Dana Kecemerlangan Sains Asas (SAGA)
membolehkan penyelidik yang berwibawa dari institusi pendidikan tinggi
menjalankan penyelidikan asas untuk meningkatkan bina upaya dan
pengetahuan dalam bidang sains asas. Usaha ini merupakan sebahagian
daripada cabaran untuk merealisasikan objektif jangka panjang bagi
membolehkan warga Malaysia meraih Hadiah Nobel dalam bidang sains.
Jadual 12-2 : Program IRPA Mengikut Bidang Penyelidikan yang Diluluskan, 2001-2005
12.09
Bagi menggalakkan penyertaan sektor swasta dalam aktiviti R&D,
peruntukan sebanyak RM127.1 juta diluluskan untuk IGS. Penilaian ke
atas 65 projek IGS yang telah siap menunjukkan sebanyak 26 projek atau
40 peratus dikomersilkan dengan jumlah jualan RM149.6 juta manakala
bakinya masih dalam proses pengkomersilan. Di samping itu, sebanyak 24
IPR dalam bentuk paten, hak cipta dan cap dagangan didaftarkan.
12.10
Dalam tempoh Rancangan, MGS terus menyediakan bantuan kepada syarikat
tempatan yang inovatif untuk membangunkan teknologi multimedia dan
aplikasi. Manfaat yang diperoleh daripada MGS termasuk pengkomersilan
27 projek dengan jumlah jualan sebanyak RM198.5 juta dan penyenaraian
12 syarikat MGS dalam Bursa Dagang Sekuriti dan Sebut Harga Automasi
Malaysia (MESDAQ). Bagi menggalakkan penggunaan teknologi maklumat dan
komunikasi (ICT) secara meluas di kalangan masyarakat dan mendorong
inovasi, peruntukan berjumlah RM79.3 juta diluluskan untuk 51 projek di
bawah DAGS. Sebilangan daripada projek berkenaan menyumbang ke arah
merapatkan jurang digital seperti projek e-bario telah menggalakkan
penggunaan ICT di kalangan masyarakat luar bandar di Sarawak dan
e-pekak meningkatkan literasi ICT di kalangan komuniti pekak.
Pengkomersilan Penyelidikan dan Teknologi
12.11
Berdasarkan penilaian ke atas projek R&D biayaan Program IRPA dalam
tempoh RMKe-7, hanya 3.4 peratus daripada projek tersebut dikomersilkan
dalam tempoh RMKe-8. Penilaian ini membuktikan keperluan untuk
menyediakan bantuan yang lebih meluas kepada inisiatif pembangunan
hiliran R&D. Satu pakej program telah diwujudkan bagi mempercepat
kadar pengkomersilan penemuan R&D. Tabung Pengkomersilan
Penyelidikan dan Pembangunan (CRDF) telah mempermudah pembangunan
beberapa produk dan proses pengeluaran baru serta membantu syarikat
yang terlibat untuk memulakan keupayaan pengeluaran. Di samping itu,
Tabung Pemerolehan Teknologi (TAF) menyediakan bantuan kepada syarikat
untuk mendapatkan teknologi luar negara yang strategik bagi
meningkatkan keupayaan menjana pendapatan.
12.12
Sebahagian daripada usaha untuk mempercepat pengkomersilan penemuan
R&D, insentif fiskal yang baru seperti taraf perintis untuk tempoh
10 tahun dan pengurangan cukai yang setara dengan pelaburan sebenar
ditawarkan. Dana berjumlah RM300 juta diwujudkan pada tahun 2005 untuk
meningkatkan pengkomersilan R&D dalam sektor pertanian oleh pihak
swasta. Di samping itu, unit pengurusan penyelidikan dan pengkomersilan
di universiti dan institusi penyelidikan diperkukuh bagi meningkatkan
kadar pengkomersilan penemuan R&D oleh sektor awam.
Pengukuhan Bina Upaya Tempatan dalam Teknologi Utama
12.13
Selaras dengan Dasar Sains dan Teknologi Kedua (STP2) dan Pelan Induk
Perindustrian Kedua (IMP2), usaha dipergiat untuk memperkukuh keupayaan
dan kemampuan tempatan dalam bidang teknologi utama. Penekanan
diberikan dalam mempertingkatkan lagi keupayaan dalam teknologi utama
khususnya bioteknologi, ICT, pembuatan termaju, bahan termaju,
teknologi berkaitan aeroangkasa dan nanoteknologi.
12.14
Bioteknologi. Tiga makmal ditubuhkan untuk menyokong pembangunan
industri bioteknologi dan meningkatkan sinergi di kalangan pihak
berkepentingan. Makmal tersebut adalah makmal bioteknologi pertanian di
Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), makmal
genomik dan biologi molekul di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
serta makmal farmaseutikal dan nutraseutikal di Universiti Putra
Malaysia (UPM). Inisiatif ini dipertingkat dengan pelancaran Dasar
Bioteknologi Negara pada bulan April 2005.
12.15
Teknologi Maklumat dan Komunikasi. Sebagai sebahagian daripada usaha
untuk meningkatkan keupayaan tempatan dalam penggunaan dan pembangunan
ICT, tumpuan aktiviti R&D diberikan kepada bidang seperti
pengkomputeran pervasif, keselamatan alam siber serta semikonduktor dan
mikroelektronik. Dalam bidang semikonduktor dan mikroelektronik,
aktiviti R&D merangkumi proses semikonduktor seperti fabrikasi,
pengujian dan analisis kegagalan, reka bentuk litar bersepadu (IC)
digital dan analog serta mikroelektronik termaju.
12.16
Pembuatan dan Bahan Termaju. Dalam tempoh Rancangan, penekanan
diberikan kepada teknologi pembuatan termaju untuk meningkatkan daya
saing sektor pembuatan. Perkhidmatan teknologi yang ditawarkan termasuk
membangunkan prototaip dan sistem dengan cepat melalui kontrak
penyelidikan, perundingan dan program latihan. Memandangkan pentingnya
bahan termaju kepada daya saing industri, Pusat Penyelidikan Bahan
Termaju (AMREC) dan beberapa institusi penyelidikan lain dan universiti
telah menjalankan R&D dalam pelbagai bidang bahan termaju bagi
kegunaan industri.
12.17
Teknologi berkaitan aeroangkasa terus diberikan keutamaan untuk
memperkukuh kemampuan pembangunan teknologi dan menjana sumber
pertumbuhan baru. Program Satelit Mikro Kebangsaan dan TIUNGSAT-1
menyediakan asas bagi membangunkan keupayaan dan potensi dalam bidang
berkaitan teknologi aeroangkasa. Di samping itu, kemudahan operasi
dibina pada tahun 2005 bagi tujuan mengendali dan mengawal satelit
nasional.
12.18
Nanoteknologi. Berikutan potensi impak nanoteknologi ke atas pelbagai
bidang industri, usaha ditumpukan kepada bina upaya dalam penyelidikan
nanosains dan nanoteknologi. R&D nanoteknologi yang dilaksanakan
adalah dalam bidang berkaitan nanopartikel, mikropemesinan dan
fabrikasi serta alat pengesan untuk industri elektronik, komunikasi,
automatif dan kimia.
Inovasi dan Harta Intelek
12.19
Selaras dengan kepentingan paten dalam menggalakkan inovasi dan sebagai
sumber bagi pembangunan produk baru, penekanan yang lebih diberikan
dalam menghasilkan harta intelek (IP). Sehubungan ini, bilangan paten
didaftarkan oleh pemastautin meningkat daripada 206 pada tahun 2000
kepada 522 pada tahun 2005. Bilangan paten diluluskan kepada
pemastautin meningkat daripada 24 pada tahun 2000 kepada 37 pada tahun
2005. Bagi memenuhi keperluan memperkukuh sistem pengurusan dan
pendaftaran, Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) ditubuhkan pada
tahun 2003.
Pengukuhan Keupayaan Teknologi EKS
12.20
Pelbagai langkah dilaksanakan bagi memperkukuh keupayaan teknologi
dalam enterpris kecil dan sederhana (EKS). Sehubungan ini, beberapa
agensi yang berasaskan penyelidikan dan teknologi menyediakan
perkhidmatan sokongan termasuk latihan kemahiran teknikal dan
perniagaan serta khidmat runding teknikal bagi membantu EKS baru dan
sedia ada. Beberapa kemudahan dan pembiayaan untuk memperkukuh
kemampuan R&D, keupayaan reka bentuk, aktiviti penyediaan prototaip
untuk produk serta proses yang berpotensi untuk dikomersilkan bagi
menghasilkan produk yang mempunyai nilai ditambah lebih tinggi
disediakan. Aktiviti ini menyumbang kepada peningkatan keupayaan
teknologi EKS yang menyertai aktiviti tersebut terutama dalam
menghasilkan alat ganti dan komponen yang berkualiti tinggi untuk
sebilangan industri.
Inkubator bagi Mewujudkan Syarikat berasaskan Teknologi Baru
12.21
Dalam tempoh Rancangan, penekanan diberikan kepada inkubator teknologi
yang berperanan sebagai pemangkin dalam mewujudkan dan membimbing
usahawan berasaskan teknologi baru. Sehubungan ini, program inkubator
teknologi dilaksanakan oleh SIRIM Berhad, Taman Teknologi Malaysia
(TPM), Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC), Perbadanan
Pembangunan Multimedia (MDC) dan Taman Teknologi Tinggi Kulim. Beberapa
institusi pendidikan tinggi seperti Universiti Sains Malaysia (USM) dan
Universiti Teknologi Malaysia (UTM) juga mewujudkan program inkubator
untuk mengkomersilkan output R&D. Dalam tempoh Rancangan, sejumlah
400 syarikat mendapat manfaat daripada perkhidmatan yang disediakan
seperti penggunaan kemudahan guna sama, bantuan teknikal dan
pembangunan usahawan.
Penstandardan dan Jaminan Kualiti
12.22
Dalam tempoh Rancangan, penekanan yang lebih besar diberikan untuk
memenuhi standard antarabangsa melalui pengujian, pengukuran dan
jaminan kualiti. Kejayaan telah dicapai dalam usaha penstandardan
dengan pelaksanaan Pelan Tindakan dan Strategi Standard Kebangsaan pada
tahun 2004. Pelan ini bertujuan meningkatkan lagi produktiviti dan daya
saing serta melindungi kepentingan pengguna dan alam sekitar.
12.23
Jabatan Standard Malaysia (JSM) sebagai agensi yang
dipertanggungjawabkan ke atas peraturan pengiktirafan bersama bagi
akreditasi, standard dan pengukuran di bawah beberapa program kerjasama
serantau dan antarabangsa. Peraturan pengiktirafan tersebut membolehkan
laporan analisis pengujian dan penentukuran serta sijil kualiti yang
dikeluarkan oleh organisasi penilaian pematuhan yang diakreditasi oleh
JSM diiktiraf dan diterima pakai.
Sumber Manusia S&T
12.24
Dalam tempoh Rancangan, bilangan siswazah S&T di semua peringkat
ijazah meningkat pada kadar tahunan purata 25.3 peratus selaras dengan
usaha untuk meningkatkan sumber manusia berpengetahuan dan berkemahiran
dalam bidang S&T. Peratus siswazah S&T kepada jumlah keluaran
siswazah meningkat daripada 40.1 peratus pada tahun 2000 kepada 52.4
peratus dalam tahun 2005. Pertambahan ini meningkatkan potensi bekalan
ahli sains dan jurutera penyelidik (RSE).
12.25
Program pembangunan sumber manusia S&T dilaksanakan selaras dengan
keperluan untuk meningkatkan keupayaan dan kemampuan S&T. Bagi
tujuan ini, sejumlah RM116 juta diperuntukkan untuk membiayai Skim
Biasiswa Penyelidikan Sains Kebangsaan (NSF), Felow Penyelidikan
Lepasan Ijazah Kedoktoran, Skim Geran Penyelidikan Lepasan Ijazah Bagi
Pegawai Dalam Perkhidmatan, Skim Geran Untuk Pakar Latihan dan Pakar
Runding serta Program Penempatan Penyelidik. Di samping itu, sebanyak
RM61 juta diperuntukkan kepada institusi pendidikan tinggi awam bagi
membiayai pelajar lepasan ijazah dalam bidang teknologi utama.
III : PROSPEK 2006-2010
12.26
Dalam ekonomi global yang semakin kompetitif, keupayaan untuk
memanfaatkan STI akan menjadi strategi yang lebih penting dalam
pembangunan negara. Kemajuan pesat STI dan peranannya yang mencakupi
semua aspek dalam ekonomi global memerlukan negara membangunkan dan
meningkatkan kemampuan dan keupayaan STI bagi meneroka peluang yang
berpotensi dalam menjana kekayaan. Sehubungan ini, Kerajaan akan
memberi penekanan yang lebih kepada bina upaya dan memperkukuh NIS
dengan menggunakan pengetahuan dan teknologi peneraju terkini. Bagi
tujuan ini, sasaran ditetapkan untuk meningkatkan perbelanjaan R&D
negara kepada 1.5 peratus daripada KDNK menjelang tahun 2010 dengan
perbelanjaan sektor swasta melebihi 70.0 peratus. Di samping itu,
langkah akan diambil untuk mencapai sasaran 50 RSE bagi setiap 10,000
tenaga buruh menjelang tahun 2010. Pendekatan khusus mengikut bidang
terpilih akan diguna pakai bagi melahirkan lebih ramai teknousahawan
untuk meningkatkan kadar pengkomersilan R&D dan mewujudkan lebih
banyak syarikat berasaskan S&T.
Teras Pembangunan STI
12.27
Teras pembangunan STI dalam tempoh RMKe-9 adalah untuk menyumbang ke
arah pertumbuhan dorongan inovasi serta meningkatkan produktiviti dan
daya saing untuk menjana kekayaan dan mengekalkan kesejahteraan sosial.
Usaha akan dipergiat ke arah menguasai dan memanfaatkan S&T bagi
penggunaan secara meluas dalam menjana pengetahuan, inovasi dan
pertumbuhan. Sehubungan ini, usaha gigih akan diambil bagi melaksanakan
strategi yang berikut:
a) memperkukuh NIS untuk memberikan
sumbangan lebih berkesan ke arah pembangunan dan penyebaran teknologi
baru bagi meningkatkan produktiviti, daya saing dan pertumbuhan;
b) mempertingkatkan modal insan S&T sebagai sumber utama inovasi dan kelebihan daya saing;
c) menggalakkan keteknousahawanan bagi meningkatkan keupayaan inovasi negara dan menambah bilangan syarikat berasaskan S&T;
d) meningkatkan kemampuan dan keupayaan teknologi EKS bagi menghadapi cabaran globalisasi dan persaingan yang semakin sengit;
e) menentukan keutamaan dan penggabungan
inisiatif R&D dan pengkomersilan bagi memastikan pengagihan sumber
secara lebih berkesan serta meningkatkan kadar pengkomersilan R&D
dan pulangan pelaburan;
f) menumpukan kepada aktiviti R&D terpilih bagi menjana sumber pertumbuhan baru;
g) menggalakkan penstandardan dan jaminan kualiti untuk meningkatkan daya saing dan kesejahteraan pengguna;
h) meningkatkan kesedaran STI bagi menyumbang ke arah memupuk budaya kreatif dan inovasi; dan
i) mempertingkatkan rantaian antarabangsa dalam pembangunan STI untuk memperoleh pengetahuan global.
Pengukuhan NIS
12.28
Pendekatan holistik akan diguna pakai untuk memperkukuh NIS
memandangkan potensi pertumbuhan negara yang semakin bergantung kepada
keberkesanan keupayaan inovasi dan kemampuan untuk mencipta, menyebar
dan menggunakan pengetahuan. Bagi tujuan ini, Majlis Inovasi Kebangsaan
akan ditubuhkan untuk meneraju usaha menggubal dasar dan strategi utama
bagi menggalakkan inovasi di peringkat kebangsaan dan syarikat serta
menyumbang ke arah pembangunan kelompok inovatif yang dinamik. Rangka
kerja NIS akan mengambil kira model inovasi yang berjaya dan amalan
terbaik dari negara yang maju dari segi teknologi dan menyesuaikannya
bagi memperkukuh NIS.
12.29
Dalam tempoh Rancangan, usaha akan ditumpukan ke arah meningkatkan
keupayaan institusi penyelidikan dan universiti untuk menghasilkan
teknologi yang diperlukan untuk inovasi produk dan proses serta
memperkemas mekanisme pemindahan teknologi yang berkesan. Sehubungan
ini, kerjasama antara institusi penyelidikan dan universiti dengan
industri dalam R&D akan dipergiat bagi meningkatkan produktiviti
dan pembangunan teknologi syarikat serta menambah hasil universiti dan
institusi penyelidikan. Walau bagaimanapun, universiti akan terus
menjalankan penyelidikan asas bagi kemajuan pengetahuan sains dan
aplikasi teknologi. Penggabungan infrastruktur STI akan dilaksanakan
bagi memastikan kemudahan dan peralatan sedia ada digunakan secara
optimum. Sehubungan ini, penilaian akan dibuat ke atas taman teknologi,
pusat inkubator serta kemudahan penyelidikan di universiti dan
institusi penyelidikan bagi meningkatkan keberkesanan dalam
mengkomersilkan R&D dan mewujudkan syarikat baru berasaskan
S&T.
12.30
Memandangkan pembiayaan merupakan faktor utama yang menggalakkan
inovasi, langkah akan diambil untuk meningkatkan akses dan menambah
baik mekanisme pembiayaan. Sehubungan ini, skim geran R&D dan
pengkomersilan akan diperluas dengan mengambil kira aktiviti dalam
rantaian nilai dari penyelidikan ke pasaran. Skim ini akan melengkapkan
usaha membangunkan model perniagaan dan kewangan yang berdaya maju
untuk pengkomersilan penemuan R&D. Di samping itu, lebih banyak
modal teroka akan dimobilisasikan bagi mewujudkan syarikat berteknologi
tinggi.
12.31
Untuk menggalakkan lagi inovasi, pemindahan teknologi dan
pengkomersilan, rangka kerja IP sedia ada akan dipertingkatkan. Langkah
akan diambil bagi meningkatkan kemudahan sokongan IP dan memendekkan
proses kelulusan IP. Di samping itu, pejabat pelesenan teknologi di
institusi penyelidikan dan universiti akan diperkukuh. Sebagai usaha
meningkatkan kadar pengkomersilan penemuan R&D oleh institusi
penyelidikan awam, mekanisme pemberian IP dan perkongsian royalti akan
dikaji semula. Kajian semula ini, antara lain, bertujuan meningkatkan
pengkomersilan R&D oleh industri serta menyediakan ganjaran untuk
inovasi dan keusahawanan.
Peningkatan Modal Insan S&T
12.32
Memandangkan sumber manusia S&T merupakan teras kepada penemuan
dalam bidang sains dan inovasi, usaha akan dipergiat untuk menambah
pelaburan modal insan dan penguasaan pengetahuan selaras dengan prinsip
keempat Islam Hadhari. Pelbagai langkah akan diambil bagi meningkatkan
bilangan RSE dengan kadar tahunan purata 17.7 peratus bagi mencapai
sasaran 50 RSE bagi setiap 10,000 tenaga buruh menjelang tahun 2010.
Bagi mewujudkan permintaan untuk RSE, pusat kecemerlangan dalam bidang
teknologi terkini akan ditubuhkan serta keupayaan R&D di universiti
dan institusi penyelidikan akan dinaik taraf. Di samping itu, lebih
banyak syarikat berasaskan teknologi akan diwujudkan dan kerjasama
dalam R&D antara universiti, institusi penyelidikan dan sektor
swasta terutamanya syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat
multinasional (MNC) akan dipertingkatkan.
12.33
Sebagai usaha untuk menyediakan persekitaran yang lebih kondusif bagi
meningkatkan minat dalam kerja penyelidikan serta menggalakkan inovasi
dan pengkomersilan, penyelidik akan dibenarkan memegang jawatan penting
dan/atau memiliki ekuiti dalam syarikat baru. Satu mekanisme fleksibel
bagi menyediakan pilihan kepada penyelidik untuk kembali memegang
jawatan asal di institusi yang berkaitan akan dipertimbangkan. Di
samping itu, pertimbangan yang sewajarnya akan diberi untuk melanjutkan
tempoh perkhidmatan penyelidik yang mencapai umur persaraan bagi
memastikan projek R&D utama disiapkan serta membolehkan penyelidik
dengan rekod cemerlang terus menyumbang kepada aktiviti R&D dan
inovasi dalam negara.
12.34
Langkah akan diambil untuk mengoptimumkan kepakaran dan kompetensi
teras RSE bagi meningkatkan kadar FTE setiap RSE kepada 70 peratus
terutamanya di institusi penyelidikan dan universiti awam. Langkah ini,
antara lain, melibatkan penstrukturan semula organisasi untuk
mengurangkan beban kerja pentadbiran RSE dan menambah baik skim
perkhidmatan bagi membolehkan mereka dinaikkan pangkat dan kekal
sebagai penyelidik. Di samping itu, usaha mengenal pasti universiti
awam terpilih sebagai universiti penyelidikan akan melengkapkan
inisiatif tersebut serta menyumbang kepada peningkatan FTE dan
permintaan terhadap penyelidik.
12.35
Program pembangunan sumber manusia S&T akan diperkemas bagi
memastikan pembangunan kompetensi utama dalam bidang penyelidikan
strategik untuk memenuhi keperluan negara dan industri. Sehubungan ini,
kajian mengenai keperluan sumber manusia S&T akan dijalankan dan
direktori RSE akan diwujudkan bagi membantu perancangan strategik serta
memastikan pembangunan kelompok RSE dalam bidang teknologi utama. Bagi
meningkatkan keupayaan dan kemampuan kelompok R&D yang berbakat,
pusat kecemerlangan khusus dalam bidang penyelidikan terpilih akan
ditubuhkan. Langkah ini akan dilaksanakan dengan memperkukuh makmal dan
institusi sedia ada yang berpotensi tinggi dan berprestasi cemerlang.
Pusat kecemerlangan ini akan memanfaatkan pelajar institusi pendidikan
tinggi untuk membantu aktiviti penyelidikan dan menyediakan peluang
pekerjaan untuk siswazah S&T.
12.36
Program lepasan ijazah akan diberikan penekanan yang lebih untuk
menyediakan sokongan sewajarnya kepada projek R&D serta
meningkatkan pemindahan dan pembangunan teknologi. Kurikulum institusi
pendidikan tinggi akan dikaji dari semasa ke semasa bagi meningkatkan
kualiti program sains, kejuruteraan dan pengurusan. Di samping itu,
kursus yang menggabungkan hard subjects dalam bidang teknikal, sains
dan kejuruteraan dengan pembangunan soft skills termasuk pengurusan
teknologi dan program inovasi akan digalakkan.
12.37
Sekolah dan pendidikan adalah penting dalam membentuk asas kepada
sumber manusia S&T. Oleh yang demikian, kurikulum S&T di
peringkat pendidikan rendah dan menengah akan dikaji semula dari semasa
ke semasa untuk memenuhi keperluan negara dan industri serta memupuk
budaya inovasi dan kreativiti. Di samping itu, usaha akan dipergiat
untuk menyediakan latihan kepada guru bagi melengkapkan mereka dengan
perkembangan terkini mengenai pembangunan S&T.
12.38
Program akan dilaksanakan untuk membangunkan teknousahawan, pegawai
pelesenan teknologi dan pengurus perniagaan yang mencukupi bagi
menyokong keperluan sumber manusia di sepanjang rantaian nilai inovasi.
Program berkenaan akan ditumpukan ke arah menangani kekurangan sumber
manusia yang mempunyai kompetensi dan kemahiran dalam penilaian risiko
dan teknologi serta pengurusan perniagaan. Di samping itu, kemahiran
penyelia, juruteknik dan pekerja pengeluaran akan dipertingkatkan
terutamanya bagi mengendalikan peralatan dan kemudahan makmal
berteknologi tinggi.
12.39
Bagi melengkapkan inisiatif bina upaya, pelaksanaan Program Brain Gain
Kebangsaan akan diterajui oleh unit khas di Kementerian Sains,
Teknologi dan Inovasi yang berperanan sebagai perantara langsung dengan
RSE di luar negara dan menyelaraskan keperluan industri, institusi
penyelidikan dan universiti. Sehubungan ini, satu mekanisme dan kaedah
pembiayaan akan diwujudkan bagi memudahkan penempatan RSE terbaik luar
negara bagi jawatan, projek penyelidikan dan institusi yang bersesuaian
dengan kepakaran serta menyediakan sokongan untuk penempatan semula
RSE. Bagi mempercepat pemindahan dan peningkatan keupayaan teknologi,
RSE boleh bertindak sebagai mentor atau pakar rujuk dalam projek
R&D terpilih.
Penggalakan Keteknousahawanan
12.40
Teknousahawan dan syarikat berasaskan teknologi baru merupakan ejen
utama dalam NIS. Sehubungan ini, program inkubator teknologi akan
dipertingkatkan untuk membangunkan secara berterusan kumpulan
teknousahawan dan syarikat berasaskan teknologi tempatan. Penggabungan
usaha ini dengan strategi yang lebih menyeluruh akan meningkatkan
penggunaan pengetahuan dan teknologi baru yang dihasilkan oleh
institusi penyelidikan dan universiti bagi pembangunan produk dan
perkhidmatan baru. Program inkubator akan memberikan penekanan yang
lebih bagi menyediakan perkhidmatan bimbingan seperti pengurusan
kewangan dan risiko serta pengurusan IP. Di samping itu, perkhidmatan
jaringan dan teknikal juga akan disediakan.
12.41
Kerjasama erat antara Kerajaan dengan persatuan industri berkaitan yang
terlibat dalam membangunkan dan membimbing usahawan bagi
mempertingkatkan lagi keberkesanan program inkubator sebagai penggerak
utama dalam menggalakkan keteknousahawanan. Sehubungan ini, usaha akan
dilaksanakan untuk membangunkan keupayaan dan kemampuan dalam
pengurusan inkubator dan menggalakkan amalan terbaik dalam pengendalian
inkubator.
12.42
Sebagai usaha untuk memupuk masyarakat S&T Bumiputera dalam
penjanaan kekayaan, program pembangunan teknousahawan akan
dipertingkatkan. Dalam konteks ini, perkhidmatan bimbingan seperti
penilaian teknologi dan penyediaan pelan perniagaan akan disediakan
kepada RSE Bumiputera. Di samping itu, inkubasi teknologi dan inisiatif
pemadanan perniagaan akan dipergiat untuk mengkomersilkan penemuan
R&D oleh RSE Bumiputera melalui penubuhan syarikat baru atau
pelesenan teknologi.
Peningkatan Keupayaan dan Kemampuan Teknologi EKS
12.43
Dalam tempoh Rancangan, keutamaan yang tinggi akan diberikan untuk
memperkukuh keupayaan dan kemampuan teknologi EKS bagi menghadapi
cabaran globalisasi dan persaingan yang semakin sengit. Bagi tujuan
ini, strategi akan ditumpukan kepada pemerolehan teknologi yang
mendorong EKS ke tahap yang lebih tinggi dalam rantaian nilai sektor
pembuatan, pertanian dan perkhidmatan. Penekanan yang lebih besar akan
diberikan kepada pembangunan keupayaan teknologi untuk mewujudkan
kepimpinan teknologi, menghasilkan pembezaan produk dan perkhidmatan
serta mewujudkan lebih banyak syarikat berasaskan teknologi tempatan.
12.44
Program khusus akan dilaksanakan untuk membimbing EKS tempatan sebagai
rakan R&D bagi pembangunan keupayaan teknologi tempatan di kalangan
EKS secara fast-track dengan mengambil peluang daripada aktiviti
penyumberan luar R&D oleh MNC dan GLC. Langkah akan diambil untuk
menggalakkan kerjasama perniagaan antara EKS dengan MNC dan GLC bagi
memudahkan pemindahan teknologi dan pembangunan kemahiran serta
pemasaran. Sehubungan ini, universiti dan institusi penyelidikan akan
melaksanakan lebih banyak projek R&D terpilih dengan kerjasama EKS.
12.45
Dalam tempoh Rancangan, pembangunan teknousahawan akan diperluas untuk
membantu EKS berasaskan S&T terutamanya di kalangan Bumiputera bagi
memanfaatkan pembangunan teknologi tempatan. Langkah ini akan dicapai,
antara lain, melalui penyediaan infrastruktur yang sesuai, pemindahan
teknologi dan akses yang lebih baik kepada pembiayaan. Mekanisme
sokongan baru akan diperkenalkan untuk mempertingkatkan program
jangkauan luar untuk EKS termasuk perkhidmatan teknikal, reka bentuk,
pemasaran dan khidmat nasihat perniagaan.
Penentuan Keutamaan dan Penggabungan Inisiatif R&D dan Pengkomersilan
12.46
Dalam tempoh Rancangan, usaha akan dipergiat untuk mengkomersilkan
sekurang-kurangnya 10 peratus daripada projek R&D di bawah
pembiayaan sektor awam. Bagi tujuan ini, langkah akan diambil untuk
memperkukuh dan mengatasi perbezaan di sepanjang rantaian nilai untuk
mengetengahkan idea inovatif ke pasaran. Mekanisme pembiayaan R&D
dan pengkomersilan akan disusun semula bagi menyediakan pembiayaan
daripada peringkat permulaan sehingga projek selesai dan sumber akan
disalurkan semula kepada R&D yang lebih berorientasikan permintaan
bagi meningkatkan kadar pengkomersilan. Mekanisme ini termasuk
penubuhan ScienceFund dan TechnoFund serta penambahbaikan CRDF.
12.47
ScienceFund merupakan skim geran R&D yang menyediakan pembiayaan
untuk penyelidikan asas sehingga pembangunan prototaip berskala makmal.
TechnoFund pula merupakan skim geran untuk membangunkan teknologi bagi
tujuan pengkomersilan. Skop TechnoFund merangkumi pembangunan prototaip
yang sedia dikomersilkan, loji perintis dan aktiviti inkubasi bagi
menangani jurang pembiayaan dalam aktiviti prapengkomersilan.
12.48
CRDF akan terus menyediakan geran setara untuk meningkatkan kadar
pengkomersilan penemuan R&D. Satu daripada langkah penambahbaikan
CRDF ialah menyediakan perkhidmatan bimbingan yang mempunyai nilai
ditambah yang tinggi kepada penerima geran. CRDF akan mengambil kira
komponen daya saing melalui pembidaan bagi permohonan daripada
universiti dan institusi penyelidikan untuk melaksanakan kajian
prakemungkinan ke atas penemuan R&D. Langkah ini akan meningkatkan
kebolehpasaran penemuan R&D oleh sektor awam dan seterusnya
meningkatkan potensi pengkomersilan.
12.49
Bagi memperoleh manfaat yang maksimum, satu mekanisme yang teratur akan
diwujudkan bagi pengurusan R&D, penjanaan modal intelek dan
pengkomersilan yang berkesan. Penekanan yang lebih besar akan diberi
untuk melaksanakan pencarian teknologi, risikan pasaran dan kajian
kemungkinan sebagai panduan untuk menentukan keutamaan penyelidikan dan
peruntukan bagi meningkatkan pulangan daripada pelaburan R&D. Di
samping itu, penyertaan industri dan syarikat modal teroka akan
dipertingkatkan dalam menentukan keutamaan penyelidikan. Kelulusan
projek R&D dan pengkomersilan akan mengambil kira faktor kejayaan
yang kritikal seperti kesesuaian teknikal dan kemungkinan pasaran,
pengurusan risiko, kecukupan sumber manusia dan kewangan, sokongan
institusi serta model perniagaan dan pengkomersilan yang berdaya maju.
12.50
Langkah akan diambil bagi mempertingkatkan penyelarasan, pemantauan dan
penilaian projek R&D dan pengkomersilan bagi memastikan kelancaran
pelaksanaan dan kejayaan penyiapan projek. Di samping itu, sasaran dan
fasa pelaksanaan yang sesuai untuk projek R&D dan pengkomersilan
akan diwujudkan bagi membolehkan penilaian projek secara objektif dan
sistematik. Pengeluaran dana mengikut fasa pelaksanaan yang utama akan
berasaskan pencapaian sasaran seperti yang ditetapkan.
Penggalakan Teknologi Terpilih sebagai Sumber Pertumbuhan Baru
12.51
Dalam tempoh Rancangan, penekanan yang lebih besar akan diberikan
kepada R&D yang terpilih untuk membangunkan kemahiran dan
pengkhususan dalam teknologi baru muncul bagi menjana sumber
pertumbuhan baru. Keutamaan akan diberi kepada usaha membangunkan
bidang terpilih untuk mengelakkan pengagihan sumber yang terhad secara
meluas kepada pelbagai bidang. Sehubungan ini, tumpuan akan diberikan
kepada bidang bioteknologi, bahan termaju, pembuatan termaju, ICT dan
nanoteknologi untuk mewujudkan 300 syarikat berasaskan S&T melalui
dana R&D sektor awam dan 50 syarikat yang mempunyai perkongsian di
peringkat global. Faedah yang diperoleh daripada pembangunan,
penyebaran dan pemanfaatan teknologi dalam bidang pertumbuhan terpilih
akan dapat dimanfaatkan sepenuhnya dengan mengguna pakai pendekatan
berasaskan kelompok dan mempertingkatkan kerjasama antara komuniti
penyelidik dengan penggiat industri melalui mekanisme dan proses yang
telah ditambah baik.
Bioteknologi
12.52
Dalam usaha untuk mencapai kemajuan, bioteknologi akan dijadikan bidang
pertumbuhan baru untuk meningkatkan kemakmuran ekonomi dan
kesejahteraan sosial. Bagi tujuan ini, usaha gigih akan ditumpukan
kepada usaha mempercepat pembangunan industri bioteknologi berdasarkan
teras strategik dan hala tuju Dasar Bioteknologi Negara. Bidang yang
dikenal pasti, iaitu bioteknologi pertanian, bioteknologi penjagaan
kesihatan dan bioteknologi industri akan dibangunkan dengan
memanfaatkan kekuatan dan kelebihan daya saing negara.
Teknologi Maklumat dan Komunikasi
12.53
Dalam tempoh Rancangan, usaha akan dipergiat untuk memanfaatkan ICT
yang mengupayakan usaha meningkatkan produktiviti dan daya saing serta
sebagai pemacu kepada pemanfaatan sumber pertumbuhan baru. Bagi tujuan
ini, bidang teknologi yang akan diberikan tumpuan meliputi
semikonduktor dan mikroelektronik; Internet Protocol versi 6 (IPv6),
pengkomputeran grid dan kejuruteraan bahasa serta keselamatan maklumat.
12.54
Semikonduktor dan Mikroelektronik. Sebagai usaha untuk beralih kepada
aktiviti nilai ditambah yang tinggi, R&D akan ditumpukan kepada
pembangunan reka bentuk IC dan pembungkusan cip termaju. Sehubungan
ini, reka bentuk sistem mikroelektromekanikal (MEMS) akan dibangunkan
untuk menghasilkan dan menggunakan pelbagai peranti seperti suis
frekuensi radio (RF), resonator, meter pemecut dan alat pengesan.
R&D dalam komunikasi mudah alih akan dilaksanakan untuk menambah
komponen tempatan dan kegunaan kepada pengguna selular. Penggunaan
jalur lebar wayarles seperti generasi ketiga (3G) dan general packet
radio service (GPRS) akan membolehkan pembangunan aplikasi interaktif
dan meningkatkan pertumbuhan perkhidmatan komunikasi.
12.55
IPv6, Pengkomputeran Grid dan Kejuruteraan Bahasa. Jangkaan peralihan
daripada IPv4 kepada IPv6 akan merangsang aktiviti R&D dalam
keserasian aplikasi, kualiti dan keselamatan yang merupakan ciri baru
dalam IPv6. Pengkomputeran grid akan diberikan penekanan dalam membantu
penyelidikan maklumat termaju termasuk pengenalpastian bahasa, teknik
statistik dalam pengelasan data serta penyelidikan dalam pelbagai
bidang perubatan dan bioteknologi.
12.56
Keselamatan Maklumat. Bagi merealisasikan sepenuhnya potensi ICT, usaha
akan dipergiat untuk mengurangkan kesan ancaman dan pencerobohan
keselamatan maklumat. Sehubungan ini, penyelidikan dalam bidang
keselamatan ICT akan disasar kepada pemeliharaan e-kedaulatan dan
meningkatkan kepercayaan dalam e-dagang. Usaha akan diambil untuk
membangunkan enjin penentusahan yang berkesan dan mampu dibeli,
komunikasi dan aplikasi yang selamat, sistem capaian yang cekap serta
identiti dan sistem yang boleh dipercayai bagi memastikan kerahsiaan,
integriti dan kebolehdapatan maklumat.
Bahan dan Pembuatan Termaju
12.57
Usaha akan terus dipergiat untuk membangunkan bahan termaju yang baru
dan ditambah baik untuk digunakan dalam pelbagai industri. Penggunaan
bahan termaju dijangka memberikan faedah kepada industri, antara lain,
memanjangkan jangka hayat peralatan, mengurangkan kos penyenggaraan
serta meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga dan keandalan produk.
Bidang tumpuan bagi R&D bahan termaju termasuk bahan fotonik dalam
industri telekomunikasi serta bahan logam dan komposit polimer untuk
industri pertahanan, aeroangkasa, pertanian dan automotif. Penekanan
juga diberikan kepada pembangunan bahan baru untuk peranti penyimpanan
tenaga. Usaha akan terus dipergiat untuk menggalakkan penggunaan
teknologi, kejuruteraan dan proses termaju bagi meningkatkan daya saing
dan mencipta produk dengan nilai ditambah yang lebih tinggi. Dalam
usaha menyokong pembuatan termaju sebagai sumber pertumbuhan, R&D
dalam bidang seperti teknologi kawalan, sistem pembuatan fleksibel
(FMS), pengeluaran sepadu komputer (CIM) dan kejuruteraan proses
termaju akan dilaksanakan.
Nanoteknologi
12.58
Dalam tempoh Rancangan, R&D dalam nanoteknologi akan ditumpukan
kepada bidang yang berpotensi tinggi untuk kegunaan industri tempatan.
Usaha ini termasuk pemangkin bernanostruktur untuk bahan api
hidrokarbon yang mesra alam, membran bernanostruktur untuk rawatan air
kumbahan dan MEMS untuk peranti diagnostik perubatan. Di samping itu,
keupayaan R&D dalam nanoteknologi akan dipertingkatkan untuk
membangunkan asas pengetahuan yang kukuh di kalangan penyelidik bagi
membolehkan mereka melibatkan diri dalam jaringan antarabangsa dan
memanfaatkan pengetahuan global.
Penggalakan Penstandardan dan Jaminan Kualiti
12.59
Standard dan pematuhan standard merupakan kaedah penting bagi
meningkatkan kecekapan dan produktiviti industri serta daya saing
eksport dan penerimaan pengguna. Dalam tempoh Rancangan, pelaksanaan
Strategi dan Pelan Tindakan Standard Kebangsaan akan dipercepat
terutamanya dalam pembangunan standard Malaysia yang berkaitan. Di
samping itu, standard Malaysia akan disetarakan dengan standard
antarabangsa bagi memastikan penerimaan produk dan perkhidmatan
Malaysia di pasaran luar negara.
12.60
Bagi memenuhi keperluan industri, skim akreditasi akan diperkukuh dan
diperluas untuk merangkumi lebih banyak bidang seperti keserasian
elektromagnetik (EMC), sistem pengurusan keselamatan maklumat (ISMS)
serta Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP). Skim ini akan
membolehkan badan penilaian pematuhan meluaskan skop pensijilan dan
pengujian serta mendapatkan akreditasi, seterusnya memastikan
perkhidmatan yang ditawarkan kepada industri berwibawa dan kompeten.
Bagi menyediakan sokongan yang lebih luas kepada industri untuk menjadi
syarikat perdagangan bertaraf global, Kerajaan akan terus berusaha
untuk mendapatkan sokongan agar diterima oleh badan akreditasi
antarabangsa yang berkaitan. Usaha ini akan membolehkan negara
mendapatkan persetujuan saling iktiraf dari organisasi di peringkat
serantau dan antarabangsa dalam bidang tersebut.
12.61
Malaysia akan terus memantau pengenalan instrumen baru dalam
perdagangan dan perniagaan antarabangsa yang boleh memberikan impak ke
atas daya saing eksport ke pasaran dunia. Penggunaan label ekologi dan
standard keselamatan dijangka diwajibkan dengan meningkatnya kesedaran
terhadap kepentingan alam sekitar dan kesihatan awam. Bagi memenuhi
keperluan tersebut, rangka kerja kawal selia dan institusi akan
diperkukuh untuk melaksanakan skim label ekologi yang dapat mengenal
pasti produk yang meminimumkan pencemaran alam sekitar.
Peningkatan Kesedaran STI
12.62
Satu daripada usaha mewujudkan budaya kreatif dan inovasi, tumpuan akan
diberikan bagi meningkatkan kesedaran, minat dan kefahaman tentang STI
di semua peringkat masyarakat terutamanya di peringkat sekolah.
Pelbagai kempen akan dianjurkan untuk meningkatkan kesedaran berkaitan
sumbangan STI ke arah menjana kekayaan dan meningkatkan kualiti hidup
serta menggalakkan bidang S&T sebagai kerjaya pilihan. Pendekatan
baru akan diperkenalkan untuk menyelaras aktiviti promosi yang
dijalankan oleh pelbagai agensi kerajaan dengan kerjasama sektor swasta
dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi mewujudkan impak yang lebih besar
ke atas kumpulan sasar seperti pelajar sekolah dan penduduk luar
bandar.
12.63
Galeri pameran Pusat Sains Negara di Kuala Lumpur akan dinaik taraf
dengan bahan pameran baru untuk menarik lebih ramai pelawat. Sebuah
pusat sains wilayah juga akan dibina di Kedah. Di samping itu, program
yang dikhususkan untuk sekolah dan kanak-kanak di luar bandar melawat
pusat sains akan diperluas.
Peningkatan Hubungan Antarabangsa dalam Pembangunan STI
12.64
Dengan meningkatnya saling pergantungan dalam ekonomi dunia, jaringan
dan kerjasama antarabangsa kekal sebagai strategi penting untuk
meningkatkan keupayaan STI. Sehubungan ini, perkongsian strategik
antarabangsa akan terus dijalin bagi menggalakkan perkongsian
pengetahuan dan sumber. Program kerjasama dua hala sedia ada yang
merangkumi rantau ASEAN dan rantau lain dan program kerjasama pelbagai
hala dalam S&T akan diperkukuh. Di samping itu, beberapa memorandum
persefahaman dan perjanjian kerjasama dua hala akan diterjemahkan
kepada output yang lebih bermanfaat untuk kepentingan pembangunan STI
di Malaysia.
12.65
Antara usaha untuk memanfaatkan pengetahuan global, langkah yang lebih
terselaras akan diambil bagi mengadakan hubungan dengan institusi
terkemuka dunia yang cemerlang dan berwibawa dalam bidang terpilih.
Bagi tujuan ini, penekanan khusus akan diberikan untuk membantu program
kerjasama penyelidikan, penempatan penyelidik, latihan lepasan ijazah
kedoktoran dan menjadi tuan rumah persidangan antarabangsa dalam bidang
strategik. Penyelidik Malaysia akan digalakkan untuk terlibat secara
aktif dalam program penyelidikan global yang utama anjuran pertubuhan
S&T serantau dan antarabangsa.
IV : INSTITUSI PELAKSANA DAN PERUNTUKKAN
12.66
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi merupakan agensi peneraju
dalam melaksanakan program R&D dan pengkomersilan dengan kerjasama
kementerian dan agensi utama lain. Kementerian Pengajian Tinggi serta
universiti dan institusi latihan yang berkaitan akan melaksanakan
pelbagai program untuk memastikan bekalan sumber manusia S&T yang
mencukupi.
12.67
Dalam tempoh RMKe-9, peruntukan sebanyak RM5.3 bilion akan disediakan
untuk inisiatif STI bagi memperkukuh NIS, seperti ditunjukkan dalam
Jadual 12-3. Selaras dengan tumpuan kepada aktiviti hiliran R&D dan
pengkomersilan, 67.9 peratus akan diperuntukkan untuk R&D,
pemerolehan teknologi dan pengkomersilan penyelidikan. Keutamaan akan
diberikan untuk membangunkan sumber manusia S&T, meningkatkan
kesedaran terhadap S&T dan menyediakan infrastruktur dan kemudahan
S&T.
Jadual 12-3 : Perbelanjaan & Peruntukan Pembangunan Sains, Teknologi & Inovasi, 2001-2010
V : PENUTUP
12.68 Dalam tempoh RMKe-8, pelbagai langkah telah dilaksanakan untuk memperkukuh rangka kerja dasar dan infrastruktur S&T bagi meningkatkan produktiviti dan daya saing. Dalam tempoh RMKe-9, pendekatan yang lebih holistik akan diguna pakai untuk memperkukuh NIS dan mempertingkatkan rantaian nilai ekonomi. Usaha gigih akan ditumpukan untuk meningkatkan kandungan teknologi, pengetahuan dan inovasi meliputi semua sektor ekonomi. Penekanan akan diberikan untuk menangani jurang di sepanjang rantaian nilai dalam mengetengahkan idea penyelidikan ke pasaran. Bagi menggalakkan penglibatan sektor swasta dalam inovasi serta aktiviti pembangunan produk dan pasaran, geran setara, modal teroka dan penambahbaikan insentif R&D dan pemerolehan teknologi akan turut disediakan. Program pembangunan sumber manusia S&T akan dilaksanakan bagi memastikan pembangunan kompetensi teras dalam bidang teknologi utama untuk pelbagai aktiviti penjanaan pendapatan dan memenuhi keperluan industri. Usaha akan ditumpukan ke arah menggalakkan keteknousahawanan dan mempertingkatkan program inkubator teknologi untuk menyokong penubuhan perniagaan berasaskan teknologi. Kejayaan pelaksanaan program ini memerlukan penggemblengan usaha kerjasama antara Kerajaan dengan industri dan pihak berkepentingan yang berkaitan secara sinergi untuk memaksimumkan potensi STI sebagai pemacu utama bagi meningkatkan keupayaan pengetahuan dan inovasi negara seperti dinyatakan dalam teras kedua Misi Nasional.
Di pos oleh Arbain Muhayat pada 20 December 2008