BAB 11 : MEMPERKUKUHKAN MODAL INSAN
I : PENDAHULUAN
11.01
Dalam tempoh Rancangan Malaysia Kelapan (RMKe-8), tahap guna tenaga
penuh telah dapat dikekalkan dan produktiviti pekerja meningkat. Guna
tenaga berkembang selaras dengan pertumbuhan ekonomi yang disumbangkan
terutamanya oleh sektor perkhidmatan dan pembuatan. Kualiti tenaga
buruh meningkat berikutan peningkatan penawaran sumber manusia mahir
dan berpendidikan. Pelbagai inisiatif diambil termasuk melaksanakan
beberapa program latihan dan latihan semula bagi mengurangkan
ketidaksepadanan kemahiran dan meningkatkan keupayaan sumber manusia
mendapatkan pekerjaan terutamanya siswazah.
11.02
Modal insan negara yang berkualiti merupakan elemen paling kritikal
dalam mencapai Misi Nasional. Oleh itu, pembangunan modal insan akan
menjadi teras utama pembangunan dalam tempoh Rancangan Malaysia
Kesembilan (RMKe-9). Pembangunan modal insan akan dilaksanakan secara
holistik merangkumi pemerolehan pengetahuan dan kemahiran atau modal
intelek termasuk keupayaan keusahawanan dan pengetahuan sains dan
teknologi (S&T) serta memiliki sikap, nilai dan etika positif dan
progresif melalui pendidikan, latihan dan pembelajaran sepanjang hayat.
11.03
Bina upaya akan diperkukuh untuk membangunkan modal insan yang
berpengetahuan, berkemahiran dan inovatif bagi memacu ekonomi
berasaskan pengetahuan. Penekanan juga akan diberikan kepada
pembangunan modal insan yang mempunyai sikap dan pemikiran progresif
serta memiliki etika dan nilai universal yang kukuh seperti digariskan
dalam Islam Hadhari. Pelaksanaan program pembelajaran sepanjang hayat
akan terus dipergiat untuk menggalakkan peningkatan kemahiran di
kalangan semua lapisan masyarakat. Sistem penyampaian pendidikan dan
latihan akan diperluas dan dipertingkat terutamanya dalam bidang
teknikal dan vokasional. Sekolah kebangsaan akan diperkasa supaya
menjadi sekolah pilihan utama rakyat Malaysia. Usaha akan diambil untuk
meningkatkan kualiti pendidikan dan latihan supaya setanding dengan
amalan terbaik di peringkat antarabangsa. Program akan dilaksanakan
bagi membangunkan modal insan yang inovatif dan mempunyai keupayaan
dalam bidang S&T serta kemahiran keusahawanan yang tinggi.
II : KEMAJUAN 2001-2005
Kependudukan
11.04
Penduduk Malaysia meningkat kepada 26.75 juta pada tahun 2005, seperti
ditunjukkan dalam Jadual 11-1. Kadar pertumbuhan penduduk terus
berkurangan berikutan pengurangan kadar kesuburan jumlah kepada 2.76
pada tahun 2005. Jangka hayat ketika lahir bagi penduduk lelaki
meningkat daripada 70.0 tahun pada tahun 2000 kepada 70.6 tahun pada
tahun 2005 dan jangka hayat ketika lahir wanita daripada 75.1 tahun
kepada 76.4 tahun.
Jadual 11-1 : Saiz Penduduk & Struktur Umur, 2000-2010
Tenaga Buruh
11.05
Tenaga buruh meningkat kepada 11.3 juta pada tahun 2005, seperti
ditunjukkan dalam Jadual 11-2. Kualiti tenaga buruh meningkat dengan
peratusan mereka yang mempunyai kelayakan di peringkat tertiari
bertambah daripada 13.9 peratus pada tahun 2000 kepada 20.0 peratus
pada tahun 2005. Ekonomi negara mencatatkan guna tenaga penuh dengan
kadar pengangguran 3.5 peratus pada tahun 2005. Kekurangan tenaga buruh
terutamanya pekerja kurang mahir mengakibatkan peningkatan pengambilan
pekerja asing. Pekerja asing dengan permit kerja meningkat kepada 1.7
juta pada tahun 2005. Sektor pembuatan merupakan majikan terbesar
menggaji 31.0 peratus daripada pekerja asing. Jumlah pegawai dagang
meningkat kepada 35,480 dan 52.6 peratus bekerja dalam sektor
perkhidmatan.
Guna Tenaga
11.06
Guna tenaga meningkat pada kadar purata 3.3 peratus setahun dengan 1.6
juta pekerjaan baru diwujudkan, seperti ditunjukkan dalam Jadual 11-2
Sebanyak 1,062,800 pekerjaan disediakan oleh sektor perkhidmatan dan
sektor pembuatan pula 566,300 pekerjaan. Guna tenaga dalam sektor
pertanian menguncup sebanyak 17,300 pekerjaan pada tahun 2005 hasil
daripada peningkatan penggunaan teknologi penjimatan buruh dan
pengurusan ladang yang lebih baik. Struktur guna tenaga mengikut
kumpulan pekerjaan utama menunjukkan pertambahan permintaan terhadap
sumber manusia berkemahiran tinggi, seperti ditunjukkan dalam Jadual
11-3.
Produktiviti Pekerja
11.07
Dalam tempoh Rancangan, produktiviti pekerja telah meningkat dalam
semua sektor ekonomi. Produktiviti pekerja dalam sektor pertanian
meningkat berikutan amalan pertanian yang baik, penggunaan teknologi
baru dan peralihan kepada aktiviti pertanian bersepadu dan pengeluaran
komersil berskala besar. Dalam sektor pembuatan, pertumbuhan
produktiviti pekerja disebabkan oleh peningkatan kualiti tenaga kerja
dan pengurusan organisasi yang lebih baik serta peningkatan kecekapan
pekerja. Dalam sektor perkhidmatan, penggunaan teknologi maklumat dan
komunikasi (ICT) yang lebih meluas seperti e-perbankan dan e-dagang
serta pelaksanaan proses kerja yang inovatif, proses penggabungan dan
pengambilalihan terutamanya dalam sektor kecil perbankan dan
telekomunikasi menyumbang kepada pertumbuhan produktiviti.
1 Merujuk kepada
mereka yang mempunyai ijazah, diploma, Sijil Tinggi Persekolahan
Malaysia, matrikulasi, A-Level dan sijil lepasan Sijil Pelajaran
Malaysia.
Pembangunan Modal Insan
Program Pendidikan
11.08
Pendidikan Prasekolah dan Rendah. Enrolmen kanak-kanak prasekolah
berumur empat hingga enam tahun meningkat kepada 702,897 pada tahun
2005, seperti ditunjukkan dalam Jadual 11-4. Sebanyak 51.3 peratus
daripada jumlah enrolmen tersebut di prasekolah awam. Penggunaan
Kurikulum Kebangsaan Pendidikan Prasekolah bagi kanak-kanak berumur
lima hingga enam tahun telah diwajibkan di semua prasekolah mulai tahun
2003 untuk menjamin kualitinya. Enrolmen di sekolah rendah meningkat
kepada 3.0 juta pada tahun 2005. Pembinaan 9,930 bilik darjah baru
telah menyumbang kepada peningkatan nisbah kelas kepada bilik darjah
daripada 1:0.90 pada tahun 2000 kepada 1:0.92 pada tahun 2005.
11.09
Bagi menggalakkan penyertaan yang lebih besar dan meningkatkan prestasi
pelajar di sekolah rendah, pelbagai program sokongan pendidikan seperti
Skim Pinjaman Buku Teks, kemudahan asrama, Skim Baucer Tuisyen dan
Tabung Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin disediakan terutamanya
kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah, kawasan
pedalaman dan Orang Asli. Enrolmen pelajar Orang Asli di peringkat
pendidikan rendah meningkat daripada 21,704 pada tahun 2000 kepada
26,210 pada tahun 2005 manakala peringkat pendidikan menengah daripada
5,971 kepada 8,490. Di samping itu, Program Pembangunan Pendidikan Luar
Bandar Sabah dan Sarawak menyediakan infrastruktur dan kemudahan secara
bersepadu di sekolah luar bandar dan pedalaman.
11.10
Pelbagai program dilaksanakan bagi memupuk nilai moral dan etika serta
melahirkan warganegara yang bertanggungjawab. Pada tahun 2005, program
j-QAF2 diperkenalkan kepada pelajar beragama Islam di sekolah rendah
yang melibatkan pelajar Tahun 1. Mata pelajaran Sivik dan
Kewarganegaraan juga diperkenalkan pada tahun 2005 kepada pelajar Tahun
4 sekolah rendah dan Tingkatan 1 sekolah menengah bagi mewujudkan
kesedaran mengenai peranan, hak dan tanggungjawab ke arah melahirkan
masyarakat yang patriotik.
11.11
Pendidikan Menengah. Enrolmen di sekolah Kerajaan dan sekolah bantuan
Kerajaan meningkat kepada 2.1 juta pelajar pada tahun 2005, seperti
ditunjukkan dalam Jadual 11-4. Enrolmen pelajar di sekolah teknik dan
vokasional meningkat kepada 72,827 pada tahun 2005. Pembinaan sebanyak
9,936 bilik darjah meningkatkan nisbah kelas kepada bilik darjah
daripada 1:0.83 pada tahun 2000 kepada 1:0.85 pada tahun 2005.
Peratusan pelajar aliran sains meningkat daripada 32.2 peratus pada
tahun 2000 kepada 45.6 peratus pada tahun 2005.
2 Merujuk kepada
objektif memahami pembacaan dan penulisan Jawi, pembacaan dan
penghafalan Al-Quran, mendapatkan kemahiran asas dalam bahasa Arab dan
memperkukuh serta menerapkan amalan fardhu ain.
Jadual 11-4 : Enrolmen Di Institusi Pendidikan Awam, 2000-2010
11.12
Pendidikan Khas. Program Integrasi Pendidikan Khas diperluas untuk
menyepadukan kanak-kanak istimewa dalam persekitaran sekolah biasa. Di
bawah program ini, kurikulum kebangsaan diguna pakai untuk kanak-kanak
kurang upaya penglihatan dan pendengaran di sekolah rendah dan
menengah. Kurikulum kebangsaan yang disesuaikan diguna pakai untuk
pembelajaran kanak-kanak yang bermasalah pembelajaran.
11.13
Peningkatan Kualiti. Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan
Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) dikaji semula bagi
memperkukuh penggunaan pendekatan pembelajaran berpusatkan pelajar.
Pada tahun 2005, pengajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam
bahasa Inggeris yang diperkenalkan pada tahun 2003 diperluas kepada
pelajar Tahun 1 hingga Tahun 3, peringkat menengah rendah dan Tingkatan
6 serta kolej matrikulasi.
11.14
Pembangunan Guru. Kurikulum dan kokurikulum latihan perguruan
diperkukuh untuk menjadikan guru sebagai pengurus yang cekap dalam
proses pengajaran dan pembelajaran serta berupaya menggunakan ICT bagi
mencipta teknik pengajaran yang inovatif. Pelaksanaan Program
Pensiswazahan Guru diteruskan bagi meningkatkan bilangan guru
berijazah.
11.15
Pendidikan Tertiari. Kapasiti universiti sedia ada telah dipertingkat
bagi menyediakan lebih banyak peluang kepada pendidikan tinggi. Di
samping itu, universiti, kolej universiti, kampus cawangan, politeknik
serta kolej komuniti baru ditubuhkan, seperti ditunjukkan dalam Jadual
11-5.
Jadual 11-5 : Institusi Pendidikan Tertiari, 2000-2005
11.16
Enrolmen pelajar di semua peringkat pengajian di institusi pendidikan
tertiari awam dan swasta meningkat kepada 731,698 pada tahun 2005,
seperti ditunjukkan dalam Jadual 11-6. Di peringkat lepasan ijazah,
enrolmen bagi program sarjana dan kedoktoran falsafah (Ph.D) adalah
sebanyak 16.2 peratus daripada jumlah enrolmen di semua peringkat
ijazah di institusi pendidikan tinggi awam3 dan 3.8 peratus di
institusi pendidikan tinggi swasta. Jumlah keluaran dari institusi
pendidikan tertiari awam dan swasta di semua peringkat pendidikan
meningkat daripada 130,161 pada tahun 2000 kepada 252,730 pada tahun
2005. Sebanyak 58.5 peratus daripada jumlah ini merupakan lepasan
institusi pendidikan tertiari swasta. Pada tahun 2005, dianggarkan
11,900 pelajar tajaan kerajaan melanjutkan pengajian di institusi
pendidikan tinggi di luar negara.
3 Merujuk kepada universiti, kolej universiti, kampus cawangan dan kolej.
11.17
Bagi meningkatkan peluang pendidikan tinggi, Perbadanan Tabung
Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) telah mengeluarkan sejumlah RM7.9
bilion dalam tempoh Rancangan. Jumlah pembiayaan ini memanfaatkan
678,467 pelajar. Di samping itu, agensi Kerajaan, syarikat berkaitan
Kerajaan, kerajaan negeri serta organisasi swasta seperti syarikat dan
bank juga menyediakan bantuan kewangan untuk pendidikan di peringkat
tinggi.
11.18
Peningkatan Penawaran Sumber Manusia S&T. Enrolmen pelajar yang
mengikuti program sains dan teknikal serta yang berkaitan di peringkat
ijazah pertama dan diploma di institusi pendidikan tertiari awam dan
swasta meningkat daripada 229,014 pada tahun 2000 kepada 291,546 pada
tahun 2005. Di peringkat lepasan ijazah, enrolmen pelajar yang
mengikuti program sains dan teknikal serta yang berkaitan meningkat
daripada 12,602 kepada 18,910.
11.19
Peningkatan enrolmen di peringkat lepasan ijazah terutamanya dalam
bidang sains dan teknikal serta bidang yang berkaitan dan pertambahan
bilangan lepasan ijazah kedoktoran menyumbang kepada peningkatan
aktiviti penyelidikan dan perancangan (R&D) di universiti dan kolej
universiti awam. Geran R&D berjumlah RM676.1 juta diperuntukkan
bagi meningkatkan aktiviti penyelidikan. Sejumlah 1,631 projek R&D
dilaksanakan di bawah pembiayaan Program Penumpuan Penyelidikan dalam
Bidang Keutamaan (IRPA). Program ini membolehkan seramai 92 pelajar
Ph.D dan 338 sarjana memperoleh ijazah mereka melalui penyelidikan.
Dalam tempoh Rancangan, sebanyak 27 institut ditubuhkan seperti
Institut Gerontologi, Institut Sains Angkasa dan Institut Makanan Halal
untuk menjadi pusat kecemerlangan.
11.20
Peningkatan Kualiti. Usaha telah diambil bagi meningkatkan kualiti
pendidikan di institusi pendidikan tinggi awam dan swasta. Kerangka
Kelayakan Malaysia (MQF) dibangunkan bagi menjamin keseragaman
kelayakan dan kualiti penyampaian. Program baru dibangunkan menerusi
perundingan dengan pihak industri. Di samping itu, keputusan telah
dibuat supaya institusi pendidikan tinggi mengkaji semula kurikulum
setiap tiga hingga lima tahun. Program akademik disusun semula bagi
membolehkan pelajar mengikuti pengajian dwi-pengkhususan, major-minor,
dwi-ijazah dan ijazah anugerah bersama.
11.21
Pembelajaran Sepanjang Hayat. Program pembelajaran sepanjang hayat
dengan syarat kemasukan yang fleksibel ditawarkan oleh kolej komuniti
serta institusi pendidikan tinggi awam dan swasta seperti Universiti
Terbuka Malaysia (OUM) dan Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR). Kolej
komuniti menawarkan kursus jangka pendek manakala institusi pendidikan
tinggi menawarkan program pendidikan lanjutan.
11.22
Pusat Kecemerlangan Pendidikan Serantau. Langkah diambil bagi
mempromosikan Malaysia sebagai hab pendidikan serantau serta pusat
kecemerlangan pendidikan. Langkah ini termasuk pelaksanaan sistem
jaminan kualiti, aktiviti promosi dan penubuhan pejabat promosi
pendidikan di Beijing, Dubai, Ho Chi Minh City dan Jakarta. Menerusi
usaha ini, enrolmen pelajar asing di institusi pendidikan meningkat
kepada 50,380 pada tahun 2005. Daripada jumlah ini, 82 peratus
mengikuti pengajian di institusi pendidikan tinggi terutamanya dari
Asia Timur dan Pasifik, diikuti oleh negara ASEAN.
Program Latihan
11.23
Latihan Kemahiran. Kapasiti institusi latihan awam bagi latihan sebelum
bekerja meningkat menerusi penubuhan 20 institusi latihan kemahiran dan
menaik taraf 10 institusi latihan sedia ada. Hasilnya, keluaran
daripada institusi latihan awam meningkat kepada 38,765 pada tahun
2005, seperti ditunjukkan dalam Jadual 11-7.
11.24
Pengambilan bagi kursus di peringkat Sijil Kemahiran Malaysia (SKM)
Tahap 4 dan diploma di institusi latihan tinggi awam meningkat kepada
7,110 pada tahun 2005. Di samping itu, pusat pembangunan kemahiran
negeri (PPK) menambahkan kapasiti untuk melatih lebih ramai pekerja
mahir dengan meningkatkan pengambilan bagi kursus sebelum bekerja
kepada 11,060 pada tahun 2005. Seramai 2,735 perantis dilatih di bawah
Skim Perantisan Perbadanan Sumber Manusia Berhad (PSMB). Dalam tempoh
Rancangan, seramai 286,669 sumber manusia mahir telah dilatih.
11.25
Kerajaan telah melaksanakan program latihan secara dua syif pada tahun
2005 bagi menambahkan peluang latihan untuk lepasan sekolah serta
menambahkan penawaran sumber manusia mahir. Sebanyak 49 institusi
latihan termasuk institusi latihan awam dan PPK melaksanakan program
tersebut. Dalam tempoh Rancangan, Tabung Pembangunan Kemahiran (TPK)
menyalurkan bantuan kewangan berjumlah RM644.6 juta kepada 135,496
pelatih.
11.26
Peningkatan Kualiti. Bagi meningkatkan dan menyelaras kualiti latihan
untuk tenaga pengajar, Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS)
untuk tenaga pengajar telah dibangunkan dan program latihan semula di
bawah Program Pembangunan Kemahiran untuk Tenaga Pengajar dan Pegawai
Latihan Vokasional serta Dasar Pandang Ke Timur terus dilaksanakan.
Bagi meningkatkan kualiti latihan, NOSS disediakan berdasarkan format
baru mulai tahun 2005. Di samping itu, Sistem Latihan Dual Nasional
(SLDN) dilancarkan pada bulan Julai 2005 untuk memperkukuh sistem
penyampaian latihan dan memastikan penyediaan latihan selaras dengan
keperluan industri.
11.27
Latihan Semula dan Peningkatan Kemahiran. PSMB telah mempergiat usaha
bagi menggalakkan lebih ramai majikan melatih semula dan meningkatkan
kemahiran pekerja mereka. Sehubungan ini, liputan Tabung Pembangunan
Sumber Manusia (HRDF) diperluas untuk merangkumi firma dalam industri
perkhidmatan berkaitan pembuatan seperti logistik dan sokongan pasaran.
Kerajaan terus menyediakan bantuan kewangan dalam bentuk geran setara
kepada enterpris kecil dan sederhana (EKS). Bantuan kewangan juga
disediakan di bawah Program Peningkatan Kemahiran Perbadanan
Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SMIDEC).
III : PROSPEK 2006-2010
11.28
Dengan peningkatan persaingan di pasaran global, ekonomi akan terus
diperkukuh dengan meningkatkan daya saing dan menerokai sumber
pertumbuhan baru. Peningkatan daya saing ini memerlukan modal insan
bertaraf dunia yang berpengetahuan tinggi, berkemahiran, serba boleh
dan kreatif serta memiliki etika kerja positif dan nilai kerohanian.
Oleh itu, dalam tempoh RMKe-9, bina upaya akan diberi keutamaan yang
tinggi. Bagi tujuan ini, penambahbaikan secara komprehensif sistem
penyampaian pendidikan, latihan dan pembelajaran sepanjang hayat akan
dilaksanakan. Penekanan juga akan diberikan kepada pembangunan
kemahiran keusahawanan bagi semua peringkat pendidikan dan latihan
untuk membantu mewujudkan masyarakat usahawan. Program pembelajaran
sepanjang hayat akan diperluas bagi menyediakan lebih banyak peluang
kepada individu untuk meningkatkan dan menambah baik kualiti diri
melalui pemerolehan pengetahuan dan kemahiran secara berterusan.
Teras Dasar Pembangunan Modal Insan
11.29
Pelaburan dalam modal insan akan diberikan penekanan yang lebih besar
dalam tempoh Rancangan bagi meningkatkan daya tahan dan pertumbuhan
ekonomi, memacu ekonomi berasaskan pengetahuan serta membentuk
masyarakat dengan sistem nilai yang boleh diteladani. Matlamat ini akan
dicapai melalui peningkatan kerjasama antara Kerajaan, sektor swasta
dan masyarakat. Sehubungan ini, teras dasar pembangunan modal insan
adalah seperti yang berikut:
a) melaksanakan penambahbaikan secara komprehensif ke atas sistem penyampaian pendidikan dan latihan;
b) memperkasa sekolah kebangsaan untuk menjadi sekolah pilihan utama rakyat Malaysia bagi meningkatkan perpaduan negara;
c) melaksanakan langkah bagi merapatkan jurang prestasi antara sekolah di luar bandar dengan di bandar;
d) mewujudkan universiti
bertaraf antarabangsa dan memastikan pendidikan dan latihan di
peringkat tertiari memenuhi keperluan majikan;
e) menyediakan lebih
banyak peluang dan akses kepada pendidikan, latihan dan pembelajaran
sepanjang hayat yang berkualiti di semua peringkat;
f) membina masyarakat
yang inovatif dengan keupayaan S&T yang kukuh dan memiliki
kemampuan memperoleh dan menggunakan pengetahuan;
g) memperkukuh perpaduan
nasional dan membangunkan masyarakat yang mempunyai perspektif
progresif, sistem nilai yang boleh diteladani dan budaya mengutamakan
prestasi tinggi serta menghargai tradisi dan warisan; dan
h) memperluas dan
memperkemas forum perbincangan dan perundingan antara Kerajaan, sektor
swasta, ibu bapa dan masyarakat dalam pembangunan modal insan.
Kependudukan
11.30
Dalam tempoh Rancangan, penduduk dianggar akan bertambah kepada seramai
28.96 juta pada tahun 2010 dengan kadar pertumbuhan purata 1.6 peratus
setahun, iaitu lebih rendah berbanding dengan pertumbuhan dalam tempoh
RMKe-8, seperti ditunjukkan dalam Jadual 11-1. Kadar pertumbuhan yang
rendah ini berpunca daripada pengurangan kadar kesuburan jumlah kepada
2.48 pada tahun 2010 berikutan pertambahan rakyat Malaysia yang
melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi dan memberikan
keutamaan kepada kemajuan kerjaya yang menyebabkan perkahwinan lewat
serta kecenderungan mempunyai saiz keluarga lebih kecil.
11.31
Penduduk dalam kumpulan umur bekerja 15-64 tahun dijangka sebanyak 63.6
peratus daripada jumlah penduduk manakala penduduk yang berumur 65
tahun dan ke atas meningkat kepada 4.7 peratus pada tahun 2010.
Pertambahan penduduk dalam kumpulan umur warga emas memerlukan
peningkatan program sokongan dan kemudahan kepada kumpulan ini. Dengan
jangkaan peratusan penduduk yang tinggal di kawasan bandar meningkat
kepada 63.8 peratus pada tahun 2010, permintaan terhadap kemudahan
infrastruktur dan perumahan serta peluang pendidikan dan pekerjaan akan
bertambah.
11.32
Jangka hayat ketika lahir bagi lelaki dijangka meningkat kepada 71.0
tahun pada tahun 2010 dan 77.1 tahun untuk wanita. Peningkatan ini
hasil daripada akses yang lebih baik kepada perkhidmatan kesihatan dan
perubatan serta penekanan yang lebih besar terhadap perkhidmatan
pencegahan.
Tenaga Buruh
11.33
Kualiti tenaga buruh akan dipertingkat dengan menambahkan peratusan
tenaga buruh yang mempunyai pencapaian pendidikan di peringkat tertiari
bagi memenuhi permintaan ekonomi berasaskan pengetahuan. Menyedari
potensi wanita dalam meningkatkan penawaran tenaga buruh tempatan,
penyertaan wanita yang lebih besar dalam pasaran tenaga buruh akan
digalakkan. KPTB keseluruhan dijangka mencapai kadar 67.3 peratus pada
tahun 2010 dengan KPTB lelaki 87.4 peratus dan KPTB wanita 46.3
peratus. Tenaga buruh dijangka meningkat kepada 12.4 juta pada tahun
2010.
11.34
Selaras dengan dasar untuk beralih kepada aktiviti intensif teknologi
dan nilai ditambah yang lebih tinggi, pengambilan pekerja asing akan
dilaksanakan secara bijaksana. Bilangan pekerja asing akan dikurangkan
secara beransuransur bagi menyediakan peluang pekerjaan yang lebih
besar kepada tenaga kerja tempatan dan mengurangkan pengaliran keluar
tukaran asing serta kos pentadbiran. Tenaga buruh tempatan terutamanya
siswazah perlu mengubah pemikiran dan tidak terlalu memilih pekerjaan.
11.35
Kajian semula ke atas undang-undang buruh akan dilaksanakan bagi
mewujudkan persekitaran yang kondusif kepada peningkatan produktiviti
dan daya saing. Kajian semula ini akan memastikan amalan perhubungan
perindustrian dapat memenuhi keperluan persekitaran perniagaan yang
baru serta menyumbang kepada kestabilan sosial dan membantu mobiliti
dan fleksibiliti tenaga buruh dalam perubahan kaedah dan persekitaran
kerja.
11.36
Usaha yang strategik akan diambil untuk menarik dan mengekalkan pekerja
berpengetahuan serta mempunyai mobiliti yang tinggi bagi meningkatkan
penawaran modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi.
Antara langkah yang diambil bagi mendapatkan mereka yang berkepakaran
di peringkat global termasuk menggalakkan warganegara kembali ke
Malaysia serta bekerjasama dengan ahli sains luar negara bagi
meningkatkan keupayaan dan kapasiti R&D tempatan.
11.37
Usaha akan dipergiat bagi membolehkan orang kurang upaya berdikari dan
menyertai aktiviti ekonomi yang produktif. Langkah ini termasuk
menyediakan lebih banyak program latihan vokasional terutamanya
kemahiran yang diperlukan oleh industri.
Guna Tenaga
11.38
Guna tenaga dijangka bertambah pada kadar purata 1.9 peratus setahun
dan menyumbang kepada pewujudan 1.1 juta pekerjaan dalam tempoh
Rancangan terutamanya pekerjaan yang memerlukan kelayakan di peringkat
tertiari. Ekonomi dijangka terus mengekalkan tahap guna tenaga penuh
dengan kadar pengangguran
3.5 peratus pada tahun 2010.
11.39
Sektor perkhidmatan dijangka mewujudkan 693,400 peluang pekerjaan
manakala sektor pembuatan 462,600. Dalam sektor perkhidmatan, sektor
kecil perdagangan borong dan runcit, hotel dan restoran dijangka
menjadi penyumbang terbesar kepada guna tenaga, iaitu 18.0 peratus
dengan kadar pertumbuhan purata 2.4 peratus setahun. Dalam sektor
pembuatan, jangkaan peningkatan dalam permintaan di pasaran global
terutamanya untuk produk elektrik dan elektronik serta produk kayu akan
menyumbang kepada pertumbuhan guna tenaga dalam sektor tersebut.
Permintaan buruh dalam sektor pertanian dijangka menguncup pada kadar
1.2 peratus setahun kesan daripada penggunaan teknologi moden yang
semakin meluas, sistem pertanian tepat dan penggunaan jentera.
11.40
Permintaan terhadap pekerja yang berpengetahuan yang meliputi kategori
pegawai kanan dan pengurus, profesional serta juruteknik dan
profesional bersekutu dijangka meningkat pada kadar purata 2.5 peratus
setahun. Permintaan pekerja bagi kategori profesional dijangka seramai
97,500, seperti ditunjukkan dalam Jadual 11-3.
11.41
Menyedari kepentingan bekerja sendiri dalam pewujudan guna tenaga dan
pertumbuhan ekonomi, usaha akan dipergiat bagi mewujudkan lebih banyak
peluang bekerja sendiri. Peluang perniagaan untuk bekerja sendiri dan
keusahawanan seperti dalam EKS, pertanian dan perkhidmatan serta
penjaja akan digalakkan. Penerapan nilai keusahawanan dan perubahan
minda supaya melihat bekerja sendiri sebagai alternatif kepada guna
tenaga bergaji akan dipergiat termasuk di institusi pendidikan tinggi.
Di samping itu, program latihan keusahawanan yang khusus akan
dilaksanakan bagi siswazah yang menganggur.
11.42
Maklumat Pasaran Buruh. Pelaksanaan Sistem Electronic Labour Exchange
(ELX) akan diperkukuh bagi membolehkan penempatan pekerjaan dengan
lebih berkesan di kalangan pencari kerja serta penyebaran maklumat
pasaran buruh bagi memastikan pasaran buruh berfungsi dengan lebih
efektif. Sehubungan ini, institusi pendidikan dan latihan akan
menyediakan maklumat kepada ELX berkaitan siswazah mereka termasuk
status pekerjaan bagi memudahkan penempatan pekerjaan. Langkah yang
lebih berkesan akan diambil bagi menyebarkan maklumat mengenai ELX
kepada pihak yang berkepentingan termasuk majikan, pelajar dan pencari
kerja. Majikan akan digalakkan untuk menggunakan ELX secara kerap bagi
mendaftarkan kekosongan pekerjaan dan menyediakan maklum balas
penempatan pekerja. Satu mekanisme akan diwujudkan bagi memantau dan
memastikan penggunaan ELX secara optimum. Di samping itu, usaha akan
ditingkatkan bagi membantu siswazah mendapatkan pekerjaan terutamanya
di kalangan mereka yang telah menyertai program pendidikan dan latihan
yang dibiayai oleh Kerajaan.
Program Mempercepatkan Pembelajaran Sepanjang Hayat
11.43
Pelaksanaan program pembelajaran sepanjang hayat akan dipercepat bagi
memberikan peluang kepada semua golongan masyarakat belajar dan
memperoleh pengetahuan dan kemahiran secara berterusan. Infrastruktur
pembelajaran sepanjang hayat seperti kolej komuniti akan ditambahkan
dan dinaik taraf. Penggunaan sekolah dan pusat komuniti untuk
pembelajaran sepanjang hayat akan digalakkan. Di samping itu, untuk
meningkatkan peluang mendapat pendidikan, e-pembelajaran dan pendidikan
jarak jauh akan digalakkan lagi. Bagi mengubah sikap dan pemikiran
individu ke arah pembelajaran secara berterusan, langkah bagi memupuk
budaya pembelajaran akan dilaksanakan di semua peringkat masyarakat.
11.44
Institusi pendidikan tinggi awam akan menubuhkan pusat pendidikan
lanjutan dan terus menawarkan lebih banyak tempat, iaitu sehingga 10
peratus daripada pengambilan pelajar di peringkat diploma dan ijazah
dengan syarat kemasukan yang fleksibel. OUM dan UNITAR digalakkan untuk
menawarkan lebih banyak program di peringkat sarjana dan Ph.D untuk
memenuhi keperluan golongan yang bekerja. Majlis Kebangsaan
Pembelajaran Sepanjang Hayat akan ditubuhkan bagi menyediakan hala tuju
dasar dan menyelaras aktiviti pembelajaran sepanjang hayat. Penyedia
pendidikan dan latihan swasta serta badan bukan kerajaan (NGO) juga
akan digalakkan untuk menyediakan program pembelajaran sepanjang hayat.
Di samping itu, majikan digalakkan untuk meningkatkan pembelajaran
sepanjang hayat di kalangan pekerja mereka.
Latihan Semula dan Peningkatan Kemahiran
11.45
Bagi meningkatkan daya saing dan daya tahan ekonomi, produktiviti
pekerja perlu ditingkatkan menerusi penggunaan tenaga kerja secara
cekap, peningkatan kemahiran dan keupayaan pengurusan, mempergiat
aktiviti R&D dan inovasi serta meningkatkan penggunaan teknologi
dan ICT dalam semua sektor ekonomi. Firma juga digalakkan melaksanakan
sistem upah yang dikaitkan dengan produktiviti. Sehubungan ini, PSMB
akan meluaskan liputan HRDF untuk merangkumi industri seperti
perkhidmatan pelabuhan, multimedia, automotif, perakaunan dan firma
audit. Di samping itu, PSMB akan membangunkan program latihan secara
modular yang boleh dilaksanakan di tempat kerja. Majikan terutamanya
EKS juga perlu mengambil langkah bagi mempercepat penyediaan latihan
dan latihan semula pekerja mereka berikutan perubahan teknologi yang
pesat dan pertambahan permintaan terhadap pekerja mahir.
11.46
Kapasiti dan keupayaan institusi latihan awam akan diperkukuh bagi
memenuhi keperluan latihan pekerja di sektor awam. Program latihan
sedia ada akan diteruskan dan program latihan baru akan ditawarkan
dengan penekanan khusus kepada nilai dan etika. Bagi tujuan ini,
Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) akan memperluas program latihan
meliputi kursus pembangunan pekerja yang berprestasi tinggi, khidmat
pelanggan dan kewangan Islam. Bagi membantu pembangunan pembelajaran
sepanjang hayat di kalangan anggota sektor awam, INTAN akan menerajui
pelaksanaan inisiatif e-pembelajaran berdasarkan Rangka Tindakan
Terperinci e-Pembelajaran Sektor Awam. Bagi meningkatkan lagi kemahiran
pengurusan dan profesionalisme anggota pendidikan, Institut Aminuddin
Baki akan mempergiat penyediaan latihan berkaitan.
11.47
Latihan dalam bidang khusus seperti kastam, keselamatan, kesihatan,
penilaian harta, hubungan diplomatik, bidang profesional dan teknikal
akan terus disediakan oleh institusi latihan berkaitan. Institusi ini
termasuk Akademi Kastam DiRaja Malaysia, Akademi Bomba dan Penyelamat
Malaysia, Akademi Imigresen Malaysia, Institut Kesihatan Umum, Institut
Penilaian Negara, Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri dan
Institut Latihan dan Pembangunan Infrastruktur IKRAM.
11.48 Institusi latihan
swasta akan terus menyediakan latihan pengurusan dan latihan dalam
bidang khusus yang lain bagi memenuhi permintaan terhadap pengurus yang
mempunyai tahap kecekapan tinggi bagi membolehkan industri lebih
berdaya tahan dan berdaya saing di pasaran global. Sehubungan ini,
institusi seperti Institut Pengurusan Malaysia, Institut Bank-Bank
Malaysia, FMM Institute of Manufacturing dan Malaysia Institute of
Human Resource Management digalakkan untuk meningkatkan dan memperkukuh
program latihan mereka. Perbadanan Produktiviti Negara akan juga
meningkatkan kapasiti latihannya.
11.49
Dalam tempoh Rancangan, program latihan keusahawanan akan dipergiat
bagi meningkatkan daya tahan dan daya saing terutamanya di kalangan
usahawan Bumiputera. Latihan keusahawanan akan diperluas, antara lain,
menerusi penambahan kapasiti Institut Keusahawanan Negara (INSKEN).
Sebagai agensi penyelaras latihan keusahawanan, INSKEN akan
meningkatkan kualiti dan menyeragamkan program latihan keusahawanan.
Program latihan juga akan memberikan penekanan kepada etika dan nilai
positif. Di samping itu, program akan dilaksanakan bagi mengubah
persepsi masyarakat terutamanya lepasan sekolah dan siswazah mengenai
bekerja sendiri. Bagi menggalakkan dan membantu lepasan sekolah dan
siswazah bekerja sendiri dan memupuk ciri keusahawanan, maklumat
bersepadu mengenai bekerja sendiri akan disediakan.
11.50
Selaras dengan tumpuan yang lebih besar kepada pembangunan pertanian
dalam tempoh Rancangan, agensi pertanian akan memperluas program
peningkatan kemahiran dan latihan semula untuk petani dan usahawan
serta pekerja. Program latihan sedia ada yang ditawarkan oleh pelbagai
agensi pertanian akan dikaji semula, antara lain, untuk meningkatkan
kemahiran pengurusan dan pengkomersilan serta pengurusan alam sekitar
dan memberikan lebih penekanan kepada etika dan nilai positif. Bagi
mempergiat dan memperkukuh penyediaan latihan dalam bidang berkaitan
pertanian, institut latihan pertanian akan menawarkan program latihan
secara separuh masa dan melaksanakan kursus jangka pendek. Sehubungan
ini, analisis keperluan latihan akan dijalankan bagi mengukur jurang
kemahiran dan mengenal pasti jenis dan tahap kemahiran yang diperlukan
dalam sektor pertanian.
Program Pendidikan
11.51
Pendidikan Prasekolah. Program pendidikan prasekolah akan diperluas
untuk menyediakan peluang pendidikan kepada semua kanak-kanak dalam
kumpulan umur lima hingga enam tahun. Tumpuan yang lebih akan diberikan
kepada program latihan guru prasekolah termasuk guru di prasekolah
agensi lain untuk meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran
serta memenuhi peningkatan permintaan guru terlatih. Bagi memastikan
penyediaan pendidikan prasekolah yang berkualiti, usaha akan diambil
untuk menyediakan pembantu guru prasekolah di semua prasekolah bantuan
Kerajaan. Di samping itu, program pembangunan awal kanak-kanak yang
berumur empat tahun dan ke bawah akan diperkenalkan.
11.52
Pendidikan Rendah dan Menengah. Tumpuan utama pendidikan rendah dan
menengah adalah untuk meningkatkan lagi peluang pendidikan yang
berkualiti terutamanya di Sabah dan Sarawak serta kawasan luar bandar.
Di samping itu, penekanan akan diberikan bagi menyediakan asas yang
kukuh dalam Matematik, Sains dan bahasa Inggeris serta memupuk etika
dan disiplin yang baik di kalangan pelajar. Selaras dengan dasar
pendidikan wajib di peringkat rendah, enrolmen dijangka bertambah
kepada 3.2 juta pada tahun 2010, seperti ditunjukkan dalam Jadual 11-4.
Enrolmen di peringkat pendidikan menengah akan meningkat kepada 2.3
juta. Langkah juga akan diambil bagi mengurangkan dan seterusnya
menghapuskan keciciran pelajar bagi memastikan semua pelajar memperoleh
sekurang-kurangnya 11 tahun pendidikan.
11.53
Pendidikan Khas. Peluang pendidikan bagi kanak-kanak istimewa akan
ditambah melalui penyediaan kelas khas di sekolah biasa. Penyediaan
kelas khas ini juga akan membolehkan kanak-kanak istimewa menyesuaikan
diri dengan persekitaran sekolah biasa. Bagi meningkatkan kualiti
pengajaran dan pembelajaran, lebih ramai guru akan dilatih dan
kurikulum pendidikan khas akan terus diperkemas.
11.54
Peningkatan Kualiti. Sekolah kebangsaan akan diperkasa bagi
menjadikannya sekolah pilihan semua etnik untuk memperkukuh lagi
perpaduan negara. Bagi tujuan ini, mata pelajaran bahasa seperti
Mandarin dan Tamil akan diperkenalkan. Program j-QAF akan diperluas
kepada pelajar beragama Islam di sekolah rendah dan pendidikan moral
diajarkan kepada pelajar beragama Islam dan bukan Islam bagi melahirkan
pelajar yang berpengetahuan agama dan bermoral tinggi. Mata pelajaran
Sivik dan Kewarganegaraan juga akan diperluas kepada pelajar Tahun 5
dan Tahun 6 di sekolah rendah dan sekolah menengah.
11.55
Pelaksanaan sistem penilaian berasaskan sekolah akan dipercepat bagi
membolehkan penilaian dibuat secara berterusan dan menyokong
pembangunan kreativiti serta kemahiran menganalisis dan menyelesaikan
masalah. Kurikulum KBSR dan KBSM dan aktiviti kokurikulum akan
diperkemas melalui perundingan dengan ahli pendidikan, masyarakat, ibu
bapa dan wakil industri supaya relevan dengan keperluan yang sentiasa
berubah. Kurikulum KBSM dan kokurikulum akan menyediakan program dan
aktiviti yang dapat memberikan pendedahan awal kepada suasana sebenar
pekerjaan dan pilihan kerjaya serta penglibatan dalam khidmat
masyarakat dan kerja amal bagi melahirkan pelajar yang lebih berwibawa.
11.56
Dalam tempoh Rancangan, Program Pembestarian Sekolah merujuk kepada
proses memanfaatkan semua inisiatif ICT sedia ada seperti projek
sekolah bestari, projek pengkomputeran, penggunaan ICT dalam pengajaran
dan pembelajaran mata pelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa
Inggeris, SchoolNet dan portal MySchoolNet bagi meningkatkan kualiti
pendidikan. Program Pembestarian Sekolah akan dilaksanakan di semua
sekolah rendah dan menengah bagi membolehkan guru menyepadukan ICT
dalam pengajaran, pembelajaran dan pengurusan.
11.57
Usaha akan diambil bagi merapatkan jurang prestasi antara pelajar di
sekolah luar bandar dengan sekolah di bandar terutamanya dalam mata
pelajaran Matematik, Sains dan bahasa Inggeris. Semua sekolah daif akan
digantikan bagi menyediakan persekitaran pengajaran dan pembelajaran
yang lebih kondusif. Di samping itu, guru berpengalaman akan
ditempatkan di sekolah di luar bandar dan guru lantikan baru akan
diwajibkan berkhidmat di sekolah luar bandar bagi suatu tempoh
tertentu. Peruntukan sebanyak RM690 juta akan disediakan bagi pembinaan
rumah guru. Daripada jumlah ini, RM143 juta untuk pembinaan rumah guru
di kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak. Bahan pengajaran dan
pembelajaran yang berkualiti akan disediakan termasuk menaik taraf dan
memaksimumkan sumber perpustakaan sekolah bagi memperkaya dan
menghidupkan pembelajaran dalam bilik darjah. Kemudahan dan
infrastruktur perpustakaan awam akan dinaik taraf dan diperluas ke
semua daerah, mukim dan kampung bagi membolehkan pelajar dan orang awam
memperoleh bahan bacaan dengan lebih mudah.
11.58
Pembangunan Guru. Pelaksanaan Program Khas Pensiswazahan Guru akan
dipercepat bagi meningkatkan kualiti dan profesionalisme guru bagi
mencapai sasaran semua guru di sekolah menengah dan 25 peratus guru di
sekolah rendah berijazah pada tahun 2010. Kurikulum latihan perguruan
akan dikaji semula bagi menambah baik kandungan mata pelajaran,
meningkatkan kemahiran pedagogi dan membolehkan penggunaan ICT secara
meluas dalam pendidikan. Konsep sekolah pengajar (teaching school) akan
diperkenalkan bagi memberikan lebih peluang kepada pensyarah dan
pelatih menguji inovasi pengajaran dan pembelajaran dalam suasana
sebenar bilik darjah serta menjalankan penyelidikan secara bersama. Di
samping itu, program latihan peringkat tinggi dalam pelbagai aspek
pendidikan akan dilaksanakan bagi menggalakkan guru mempertingkat tahap
profesionalisme mereka secara berterusan.
11.59
Pendidikan Tertiari. Lebih banyak peluang pendidikan tertiari akan
disediakan untuk mencapai sasaran 40 peratus kadar penyertaan bagi
kumpulan umur 17-23 tahun dalam pendidikan tertiari pada tahun 2010.
Enrolmen di peringkat lepasan ijazah akan ditambah untuk mencapai
sasaran 25 peratus daripada jumlah enrolmen di peringkat ijazah pada
tahun 2010. Program khusus akan dilaksanakan bagi meningkatkan enrolmen
pelajar peringkat lepasan ijazah terutamanya dalam program berkaitan
S&T. Dalam tempoh Rancangan, enrolmen di institusi pendidikan
tertiari di semua peringkat pengajian dijangka meningkat kepada
1,326,340 pada tahun 2010. Daripada jumlah ini, 32.3 peratus di
peringkat ijazah pertama dan 35.8 peratus di peringkat diploma. Lebih
banyak kursus terutamanya di peringkat diploma akan ditawarkan bagi
memenuhi permintaan terhadap kategori pekerjaan juruteknik dan
profesional bersekutu yang dijangka meningkat.
11.60
Pembiayaan Pendidikan. PTPTN akan terus menyediakan bantuan kewangan
bagi membantu pelajar mendapatkan pendidikan di institusi pendidikan
tinggi awam dan swasta terutamanya dalam bidang kritikal. Memandangkan
penyediaan pendidikan bukan hanya menjadi tanggungjawab Kerajaan serta
kos pendidikan tinggi yang semakin meningkat, ibu bapa digalakkan lagi
untuk menabung bagi membiayai pendidikan anak mereka.
11.61
Peningkatan Kualiti. Langkah akan diambil untuk meningkatkan kualiti
institusi pendidikan tinggi awam dan swasta supaya setaraf dengan
universiti terkemuka dunia. Bagi tujuan ini, kualiti institusi
pendidikan tinggi akan ditanda aras dengan standard antarabangsa supaya
lebih berdaya saing di peringkat global. Institusi pendidikan tinggi
awam akan mengaudit secara berterusan ke atas kualiti melalui sistem
penarafan yang berkesan bagi memupuk persaingan dalam mencapai
kecemerlangan. Agensi Kelayakan Malaysia akan ditubuhkan bagi menyokong
pelaksanaan MQF dan membangunkan sistem jaminan kualiti yang bersepadu.
11.62
Institusi pendidikan tinggi akan merangka program akademik dan
membangunkan kurikulum berdasarkan keperluan pasaran bagi memastikan
siswazah berupaya mendapatkan pekerjaan. Program ini akan dilaksanakan
dengan kerjasama yang lebih kukuh dan sokongan aktif daripada pihak
industri dan persatuan majikan. Di samping itu, pelajar akan diberikan
pendedahan awal kepada persekitaran tempat kerja melalui program
internship dan sangkutan berstruktur bagi tempoh minimum empat bulan.
Kualiti anggota akademik akan ditingkatkan melalui pertambahan program
pembangunan bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mereka termasuk
kemahiran pedagogi dan penilaian. Bilangan anggota akademik
berkelayakan Ph.D di universiti awam akan ditambah bagi mencapai
sasaran 60 peratus daripada jumlah anggota akademik pada tahun 2010.
Institusi pendidikan swasta juga akan digalakkan mengambil lebih ramai
anggota akademik dengan kelayakan Ph.D dan meningkatkan kelayakan
tenaga pengajar institusi berkenaan.
11.63
Institusi pendidikan tinggi akan mengambil langkah bagi mempertingkat
kefasihan pelajar menggunakan bahasa Inggeris dan menambah keupayaan
mereka mendapat pengetahuan serta menjalankan penyelidikan. Beberapa
bahasa seperti Mandarin, Tamil dan Arab serta bahasa asing lain akan
ditawarkan kepada pelajar peringkat ijazah pertama untuk menggalakkan
penguasaan pelbagai bahasa supaya dapat bersaing dalam pasaran global.
11.64
Institusi pendidikan tinggi awam serta anggota akademik dan bukan
akademik akan meningkatkan perspektif global dan penglibatan dengan
institusi terkemuka antarabangsa supaya dapat membuat tanda aras dengan
amalan terbaik antarabangsa. Tadbir urus universiti awam akan dikaji
semula untuk mewujudkan persekitaran yang dapat menggalakkan, antara
lain, institutional diversity, kreativiti dan inovasi dalam mencapai
kecemerlangan. Penggunaan ICT dan pendekatan berbantukan teknologi akan
dipergiat bagi memudahkan intellectual engagement serta penemuan dan
penggunaan pengetahuan.
11.65
Meningkatkan Keupayaan S&T. Keupayaan penyelidikan dan inovasi di
institusi pendidikan tinggi tempatan akan diperkukuh bagi membangunkan
bina upaya tempatan terutamanya dalam bidang teknologi utama dan
membina masyarakat yang inovatif dengan keupayaan S&T yang kukuh.
Bagi tujuan ini, enrolmen pelajar bagi program S&T di semua
peringkat pengajian akan ditingkatkan bagi membantu melahirkan lebih
ramai ahli sains dan jurutera penyelidik. Pertambahan ini akan
menyediakan sumber yang berpotensi untuk aktiviti R&D dan mencapai
sasaran nisbah 50 ahli sains dan jurutera penyelidik bagi setiap 10,000
tenaga buruh pada tahun 2010.
11.66
Kerjasama yang lebih rapat dalam bidang penyelidikan akan dijalankan
antara institusi pendidikan tinggi awam, industri dan institut
penyelidikan tempatan serta institusi penyelidikan, universiti dan
firma asing yang ternama. Institusi pendidikan tinggi swasta akan
digalakkan untuk bekerjasama dengan institusi pendidikan tinggi awam
dalam menjalankan aktiviti penyelidikan. Universiti Malaya, Universiti
Putra Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Sains
Malaysia akan dipilih untuk menjadi universiti penyelidikan. Universiti
ini seterusnya akan dibangunkan supaya setaraf dengan universiti
terkemuka di dunia.
11.67
Pembangunan Pusat Kecemerlangan Pendidikan dan Latihan Serantau. Usaha
akan dipergiat bagi membangunkan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan
pendidikan dan latihan serantau melalui perkongsian pintar antara
sektor awam dengan swasta. Sebuah agensi khusus akan ditubuhkan bagi
mempromosikan dan mengeksport pendidikan tinggi melalui pemasaran yang
lebih strategik dan penjenamaan produk pendidikan bagi mencapai sasaran
100,000 pelajar asing di semua peringkat pengajian termasuk di
peringkat sekolah pada tahun 2010. Penyedia pendidikan dan latihan
swasta perlu meningkatkan kualiti serta mengkhusus dan menawarkan lebih
banyak kursus dalam bidang sains dan teknikal selaras dengan keperluan
pasaran dengan struktur yuran yang kompetitif untuk menarik pelajar
asing.
Program Latihan Kemahiran
11.68
Tenaga kerja yang berupaya menyesuaikan diri, mudah dilatih dan
mempunyai pelbagai kemahiran diperlukan memandangkan industri terus
menggunakan kelebihan kemajuan teknologi, sistem pengurusan dan kaedah
pengeluaran baru bagi meningkatkan daya saing di pasaran global. Tenaga
kerja yang terlatih juga merupakan syarat penting bagi meningkatkan
daya saing Malaysia dalam menarik pelaburan langsung asing dan
menggalakkan pelaburan semula. Dalam tempoh Rancangan, keupayaan dan
kecekapan sistem penyampaian latihan akan diperkukuh menerusi
peningkatan kapasiti institusi latihan awam, penambahan penawaran
kursus di peringkat tinggi, pengukuhan jaminan kualiti dan penyertaan
lebih besar sektor swasta.
11.69
Peningkatan Peluang. Peluang latihan kemahiran perindustrian akan
ditingkatkan bagi menambahkan penawaran sumber manusia berkemahiran
tinggi terutamanya di peringkat diploma dan diploma lanjutan. Kapasiti
institusi latihan tinggi akan diperluas dan dipertingkat serta program
latihan direka bentuk semula untuk memenuhi pertambahan permintaan bagi
pekerja mahir yang mempunyai kemahiran keusahawanan. Penyedia latihan
swasta akan terus memainkan peranan dalam melengkapkan usaha Kerajaan
melalui penyediaan latihan yang berkualiti.
11.70
Pelaksanaan SLDN akan dipergiat bagi menggandakan pengambilan pelatih
setiap tahun menerusi peningkatan penyertaan industri terutamanya EKS.
Liputan SLDN juga akan diperluas bagi merangkumi kursus baru.
11.71
Peningkatan Kualiti. Kualiti latihan kemahiran perindustrian akan
dipertingkat dengan mempercepat pembangunan kurikulum yang
berorientasikan pasaran dan berdasarkan NOSS baru, memperkukuh
kerjasama dengan industri, meningkatkan kualiti tenaga pengajar,
mengkaji semula prosedur akreditasi penyedia latihan dan kaedah
penilaian pelatih serta memperluas penggunaan e-pembelajaran. Di
samping itu, bagi memperkemas perancangan, pembangunan dan pelaksanaan
program latihan, sistem pengurusan maklumat di agensi latihan akan
diperkukuh dan Majlis Penasihat Kebangsaan Mengenai Pendidikan dan
Latihan akan ditubuhkan.
Pembangunan Modal Insan yang Holistik
11.72
Budaya Mengutamakan Prestasi Tinggi. Bagi mencapai status negara maju
seperti yang terkandung dalam Wawasan 2020, usaha perlu dipergiat bagi
membangunkan pekerja berpengetahuan, iaitu berdaya saing, fleksibel,
dinamik dan berorientasikan prestasi dan kecemerlangan. Mewujudkan
persekitaran yang menyokong pembangunan pekerja berpengetahuan ini juga
penting. Oleh yang demikian, pembangunan budaya yang mengutamakan
prestasi tinggi di semua peringkat daripada sekolah hingga tempat kerja
akan diberi penekanan dalam tempoh Rancangan. Lebih banyak elemen
berasaskan prestasi akan disepadukan dalam pelbagai bidang seperti guna
tenaga sektor awam, program pembangunan keusahawanan dan geran R&D.
11.73
Perspektif Progresif, Etika dan Moral yang Kukuh. Program pembangunan
modal insan yang memberikan penekanan kepada etika, nilai moral dan
kerohanian akan dilaksanakan. Islam Hadhari akan disebarkan secara
meluas bagi menerap perspektif pembangunan yang progresif dalam
masyarakat. Program bagi membangunkan masyarakat yang bermoral dan
beretika akan dijadikan asas penting di semua peringkat perancangan
pembangunan bagi melengkapkan program pembangunan fizikal serta
mengukuhkan perpaduan negara. Sehubungan ini, nilai toleransi dan
kesederhanaan serta rasa kekitaan dan bangga kepada negara yang
merupakan elemen penting dalam masyarakat berbilang etnik akan diberi
penekanan yang lebih besar.
11.74
Program penerapan nilai moral dan etika akan diberikan liputan meluas
di semua peringkat dan kumpulan umur masyarakat. Pelaksanaan program
ini akan juga melibatkan penyertaan secara menyeluruh meliputi
institusi kekeluargaan dan keagamaan, institusi pendidikan dan latihan,
tempat kerja dan komuniti serta media. Majikan akan digalakkan untuk
membangunkan kod etika korporat dan merangka mekanisme pelaksanaan yang
sesuai supaya kod tersebut memberikan kesan yang ketara. Di samping
itu, penekanan yang lebih besar akan diberikan kepada usaha mewujudkan
masyarakat yang lebih menghargai tradisi dan warisan.
IV : INSTITUSI PELAKSANA DAN PERUNTUKAN
11.75
Pembangunan modal insan akan dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran
(KPM), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Kementerian Sumber Manusia
(KSM) dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD) serta
Kementerian Belia dan Sukan (KBS). KPM bertanggungjawab untuk
menyediakan lebih banyak peluang pendidikan prasekolah, rendah dan
menengah serta pendidikan guru yang berkualiti manakala KPT
bertanggungjawab untuk meningkatkan peluang pendidikan tertiari yang
berkualiti. Program latihan untuk meningkatkan kemahiran tenaga buruh
akan dilaksanakan oleh MECD, KSM dan KBS.
11.76
Selaras dengan tumpuan yang lebih kepada pembangunan modal insan,
sejumlah RM45.1 bilion akan diperuntukkan dalam tempoh RMKe-9 untuk
melaksanakan pelbagai program pendidikan dan latihan, seperti
ditunjukkan dalam Jadual 11-8.
Jadual 11-8 : Perbelanjaan & Peruntukan Pembangunan Untuk Pendidikan & Latihan 2001-2010
V : PENUTUP
11.77 Dalam tempoh RMKe-8, kualiti tenaga buruh meningkat berikutan pertambahan penawaran sumber manusia yang berpendidikan dan berkemahiran. Pertambahan penawaran ini berikutan peningkatan kapasiti institusi pendidikan dan latihan. Dalam tempoh RMKe-9, pembangunan modal insan merupakan satu daripada teras utama pembangunan seperti termaktub dalam Misi Nasional. Tumpuan yang lebih besar akan diberikan kepada usaha membangunkan modal insan yang holistik yang dilengkapkan dengan pengetahuan dan kemahiran serta mempunyai nilai moral dan etika yang utuh. Program pembelajaran sepanjang hayat akan diperluas. Penerapan nilai keusahawanan akan dipergiat untuk menggalakkan individu bekerja sendiri. Langkah akan diambil untuk meningkatkan keupayaan S&T bagi memacu inovasi. Perkongsian pintar dan kerjasama di kalangan semua pihak berkepentingan dalam pendidikan, latihan dan pembelajaran sepanjang hayat akan dipergiat. Penyertaan sektor swasta yang lebih besar dalam penyediaan pendidikan dan latihan yang berkualiti akan digalakkan. Sistem penyampaian pendidikan, latihan dan pembelajaran sepanjang hayat akan diperkukuh bagi meningkatkan kualiti modal insan dan melahirkan individu unggul yang diperlukan bagi menghadapi cabaran pembangunan dan memacu ekonomi berasaskan pengetahuan
Di pos oleh Arbain Muhayat pada 20 December 2008