BAB 10 : MEMPERKEMASKAN PENSWASTAAN
I : PENDAHULUAN
10.01
Kerajaan terus memperhalus dan menambah baik pelaksanaan program
penswastaan dalam tempoh Rancangan Malaysia Kelapan (RMKe-8). Prosedur
sedia ada telah diperkemaskan dan langkah baru diperkenalkan untuk
meningkatkan lagi keberkesanannya. Di samping itu, dengan persetujuan
bersama, beberapa perjanjian konsesi telah dikaji semula bertujuan
mengagihkan kos dan manfaat secara lebih saksama kepada pelbagai pihak
berkepentingan. Bagi mengekalkan keberkesanan program ini dalam
menggalakkan penyertaan usahawan Bumiputera, syarat yang lebih ketat
tetapi adil dikenakan ke atas pemilikan dan perubahan struktur ekuiti
dalam entiti yang diswastakan. Pada masa yang sama, pendekatan
bina-pajak-selenggarapindah telah diperkenalkan bagi pelaksanaan
beberapa projek utama.
10.02
Dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9), proses pelaksanaan
akan diperkemaskan lagi, termasuk mengguna pakai pendekatan dan
mekanisme baru untuk meningkatkan keberkesanan program penswastaan.
Program ini akan terus menyokong strategi pertumbuhan yang diterajui
sektor swasta serta meningkatkan penglibatan usahawan Bumiputera dalam
ekonomi. Bagi memupuk semangat profesionalisme di pihak syarikat
konsesi dalam pelaksanaan projek penswastaan, piawai akan diadakan,
petunjuk prestasi diwujudkan serta sistem ganjaran dan denda untuk
semakan semula tarif diperkenalkan. Sehubungan ini, rangka kerja kawal
selia akan diperkukuhkan lagi. Penggunaan inisiatif pembiayaan swasta
(PFI) akan menggalakkan penyertaan lebih luas sektor swasta dalam
bidang pengurusan, operasi dan penyenggaraan bagi menambah baik
penyampaian kemudahan infrastruktur dan perkhidmatan awam.
II : KEMAJUAN 2001-2005
10.03
Dalam tempoh Rancangan, 35 projek telah diluluskan untuk pelaksanaan,
yang mana 10 daripadanya merupakan entiti dan perkhidmatan sedia ada
serta 25 projek baru. Daripada jumlah tersebut, 15 projek adalah dalam
sektor pembinaan dan lapan projek dalam sektor elektrik, gas dan air,
seperti ditunjukkan dalam Jadual 10-1. Projekprojek yang telah siap
termasuk Lebuhraya Baru Pantai (NPE), Jalan Lingkaran Luar Kajang
(SILK), Lebuhraya Shah Alam-Kuang (Guthrie Corridor) dan Skim
Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT) Pakej C. Antara projek
yang dalam pelbagai peringkat pelaksanaan termasuklah Jalan Lingkaran
Luar Butterworth, Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya, Lebuhraya Duta-Ulu
Klang (DUKE) dan Lebuhraya Senai-Desaru-Pasir Gudang.
Jadual 10-1 : Bilangan Projek yang Diswastakan Mengikut Sektor & Kaedah, 2001-2005
Nota:
PEK = Penjualan Ekuiti PET = Pembangunan Tanah
BKP = Bina-Kendali-Pindah P = Penyenaraian
BPP = Bina-Pajak-Pindah PA = Pajakan Aset
PEA = Penjualan Aset KP = Kontrak Pengurusan
BKM = Bina-Kendali-Milik
Manfaat Penswastaan
10.04
Kecekapan dan Produktiviti. Petunjuk prestasi bagi entiti yang
diswastakan terus mencatat peningkatan dalam tempoh Rancangan.
Peningkatan ini adalah hasil daripada penggunaan sumber yang lebih
baik, perhatian yang lebih mendalam kepada permintaan pengguna,
perubahan teknologi dan kos pengeluaran yang lebih rendah. Penswastaan
juga dapat mempercepatkan penyediaan kemudahan, seperti pembangunan
pejabat Kerajaan Persekutuan di Putrajaya melalui kaedah
bina-pajakpindah.
10.05
Manfaat kepada Orang Awam. Pembinaan lebuh raya bertol menyumbang
kepada keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya. Dalam tempoh
Rancangan, sebanyak 16 projek penswastaan lebuh raya telah dilaksanakan
untuk membina tambahan 604.5 kilometer rangkaian jalan raya negara.
Projek-projek ini melibatkan perbelanjaan modal sebanyak RM18.0 bilion,
seperti ditunjukkan dalam Jadual 10-2. Empat projek dengan jarak
keseluruhan sepanjang 87.8 kilometer telah disiapkan manakala
projek-projek lain masih dalam peringkat pembinaan atau rundingan.
Penyiapan NPE telah menyediakan jalan alternatif ke Jalan Klang Lama
sementara SILK menawarkan rangkaian jalan yang lebih baik di antara
bahagian selatan dan bahagian barat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Disamping itu, pembinaan terowong jalan yang merupakan sebahagian
daripada projek Pengurusan Tebatan Banjir dan Terowong Jalan serta
Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya telah dilaksanakan untuk meningkatkan
lagi keberkesanan aliran trafik di bahagian selatan daripada Jalan Tun
Razak ke Lebuhraya Kuala Lumpur - Seremban.
Jadual 10-2 : Perlaksanaan Projek Penswastaan Jalanraya, 2001-2005
10.06
Kebanyakan projek jalan raya ini telah dilaksanakan melalui kaedah bina
kendali-pindah yang mana pihak swasta akan membina, mengendali dan
menyenggara kemudahan tersebut dengan pembiayaan sendiri dan sebagai
balasan, mengutip tol daripada pengguna jalan raya sepanjang tempoh
konsesi. Pada akhir tempoh konsesi, kemudahan tersebut akan dipindahkan
kepada Kerajaan tanpa sebarang kos. Dalam tempoh Rancangan, jalan
bertol iaitu Jalan Kuching, Jalan Pahang dan Jalan Cheras telah
diserahkan kepada Kerajaan dan pengenaan tol telah dimansuhkan.
10.07
Penswastaan perkhidmatan bekalan air di Selangor telah dilaksanakan
untuk memenuhi keperluan perbelanjaan modal yang tinggi dalam pembinaan
empangan baru , kawasan tadahan air dan loji rawatan air serta
mengantikan paip lama untuk memenuhi peningkatan permintaan bagi air
dirawat. Sehubungan ini, sejumlah RM3.4 bilion perbelanjaan modal telah
diperuntukkan untuk modal kerja. Di samping itu, sebagai sebahagian
daripada usaha untuk meningkatkan kecekapan pengagihan air kepada
pengguna dan mengurangkan kehilangan air dirawat, Kerajaan telah
menyediakan sejumlah RM500 juta untuk menggantikan paip lama dan
memasang meter baru di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
10.08
Pengurusan dan operasi stesen KL Sentral telah diswastakan bagi
menambah baik perkhidmatan dan kemudahan pertukaran penumpang. Stesen
tersebut telah dikhaskan sebagai sebuah terminal bandar dan gerbang
antarabangsa bagi menyediakan perkhidmatan kepada beberapa pengendali
rel seperti Keretapi Tanah Melayu Berhad, Projek Usahasama Transit
Ringan Automatik Sdn. Bhd. (PUTRA) dan Hubungan Kereta Api Express
(ERL) dan akhirnya menghubungkannya dengan Lapangan Terbang
Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
10.09
Manfaat kepada Kerajaan. Dalam tempoh Rancangan, Kerajaan terus
mendapat manfaat daripada program penswastaan dalam bentuk penjimatan
perbelanjaan modal berjumlah RM28.6 bilion, yang mana 81.5 peratus
adalah daripada sektor elektrik, gas dan air, diikuti oleh sektor
pembinaan sebanyak RM3.7 bilion atau 12.8 peratus. Selain daripada
penyediaan kemudahan dengan lebih awal, penjimatan dana awam
membolehkan Kerajaan mengagihkan semula sumber yang terhad kepada
sektor ekonomi lain.
10.10
Kerajaan juga mendapat manfaat dari segi perolehan daripada syarikat
konsesi melalui penjualan aset sebanyak RM21.7 juta dan penjualan
ekuiti sebanyak RM40.5 juta, seperti ditunjukkan dalam Jadual 10-3.
Pemindahan sejumlah 6,249 pekerja ke sektor swasta telah mengurangkan
beban pentadbiran Kerajaan serta menjimatkan perbelanjaan mengurus.
Dalam tempoh Rancangan, beberapa perjanjian konsesi bagi perkhidmatan
sokongan telah dilanjutkan berdasarkan prestasi syarikat dan manfaat
yang dihasilkan.
10.11
Pelaksanaan program penswastaan telah diperkukuhkan lagi dengan
memperkenalkan format perjanjian penswastaan yang seragam dan rundingan
semula beberapa perjanjian konsesi secara persetujuan bersama untuk
memperbaiki terma dan syarat perjanjian. Antara perkara baru yang
diperkenalkan adalah perkongsian hasil antara Kerajaan dan syarikat
konsesi setelah mencapai ambang pendapatan yang telah dipersetujui,
menggantikan penyelarasan tarif secara automatik kepada yang berasaskan
prestasi, memansuhkan hak eksklusif penyediaan perkhidmatan yang
ditawarkan dan memperketatkan piawai kualiti dan perkhidmatan.
Jadual 10-3 : Perolehan, Penjimatan & Pengurangan Anggota dalam Sektor Awam, 1983-2005
10.12
Dalam tempoh Rancangan, Kerajaan telah mengambil alih projek
penswastaan tertentu yang strategik tetapi telah terjejas akibat
kelembapan ekonomi. Pengambilalihan ini termasuk operasi dan pengurusan
perkhidmatan rel transit ringan yang dikendalikan oleh Sistem Transit
Aliran Ringan Sdn. Bhd. (STAR) dan PUTRA. Langkah ini membolehkan orang
awam terus menikmati perkhidmatan pengangkutan yang tidak terganggu.
10.13
Bagi memelihara dan melindungi kepentingan Kerajaan serta pihak
berkepentingan lain, peruntukan jaminan Kerajaan dan had keberhutangan
telah dimansuhkan selain memperkenalkan peruntukan hak mengambil alih
sementara dan ekspropriasi bagi membenarkan campur tangan Kerajaan
dalam keadaan tertentu. Projek pembangunan tanah di Lembah Klang, Ipoh,
Johor Bahru dan Pulau Pinang menggunakan kaedah pertukaran tanah tidak
digalakkan dan hanya dilaksanakan secara terpilih sebagai langkah
mengekalkan bank tanah Kerajaan bagi kegunaan masa hadapan.
Penyertaan Bumiputera
10.14
Penswastaan terus digunakan sebagai kaedah untuk meningkatkan
penyertaan Bumiputera dalam sektor korporat, terutamanya melalui
penyertaan ekuiti. Langkah telah diambil untuk memastikan hanya
usahawan yang berkelayakan sahaja dipilih untuk menjalankan kerja
pembinaan dan menyertai program pembangunan vendor. Sehubungan ini,
syarat untuk mempertingkatkanpenyertaan usahawan Bumiputera secara
lebih meluas telah dimasukkan ke dalam perjanjian penswastaan dan
langkah telah diambil untuk memastikan supaya syarat ini dipatuhi oleh
syarikat konsesi.
10.15
Kerja Kontrak. Peluang terus diberikan kepada usahawan Bumiputera untuk
menyertai aktiviti perdagangan dan perindustrian melalui kerja kontrak.
Bagi memastikan pengagihan manfaat ekonomi yang lebih meluas, syarat
pemberian kerja kontrak kepada usahawan Bumiputera telah dinaikkan
kepada sekurang-kurangnya 60 peratus. Daripada sembilan projek jalan
yang dilaksanakan dalam tempoh Rancangan, 27 kontraktor Bumiputera
telah dianugerahkan kontrak bernilai RM4,398.4 juta, atau 66.7 peratus
daripada jumlah keseluruhan nilai kontrak.
10.16
Pembangunan Vendor. Program pembangunan vendor yang merupakan komponen
penting penswastaan telah memainkan peranan utama dalam menggalakkan
hubungan yang lebih luas antara enterpris kecil dan sederhana (EKS),
khususnya usahawan Bumiputera, dan syarikat besar. Program ini
menyediakan akses dan peluang yang lebih baik kepada EKS bagi
membekalkan produk, alat ganti dan komponen serta operasi dan
penyenggaraan.
10.17
Pemilikan dan Penguasaan Ekuiti. Dasar yang mensyaratkan penyertaan
sekurang-kurangnya 30 peratus ekuiti usahawan Bumiputera dalam projek
penswastaan terus dilaksanakan dengan lebih ketat. Berdasarkan
keseluruhan pemilikan ekuiti bagi 35 syarikat yang telah dilulus untuk
melaksanakan projek penswastaan dalam tempoh Rancangan, Bumiputera
telah menguasai kepentingan dalam 24 syarikat. Walau bagaimanapun, dari
segi nilai tara saham, Bumiputera memiliki hanya 17.2 peratus ekuiti,
seperti ditunjukkan dalam Jadual 10-4. Kedudukan ini adalah sebahagian
besar disebabkan tahap modal berbayar yang lebih tinggi dipegang oleh
Kerajaan dalam sebilangan syarikat tersebut.
Jadual 10-4 : Pemilikan Ekuiti Entiti yang Diswastakan Semasa Penswastaan, 2001-2005
10.18
Pemilikan ekuiti Bumiputera menunjukkan peningkatan daripada 32.7
peratus semasa penswastaan kepada 51.7 peratus pada akhir tahun 2005,
seperti ditunjukkan dalam Jadual 10-5. Dari segi nilai mutlak,
pemilikan Bumiputera bagi modal saham pada nilai tara telah meningkat
daripada RM5.5 bilion semasa penswastaan kepada RM14.9 bilion pada
tahun 2005.
Jadual 10-5 : Pemilikan Ekuiti Entiti yang Diswastakan
III : PROSPEK 2006-2010
10.19
Dalam tempoh RMKe-9, pelaksanaan program penswastaan akan diperkemaskan
lagi. Penyenggaraan kemudahan akan dimasukkan dalam perjanjian konsesi
projek penswastaan infrastruktur yang diluluskan dalam tempoh
Rancangan. Kaedah PFI akan diperkenalkan dalam pelaksanaan projek
penswastaan, dengan spesifikasi output dan petunjuk prestasi utama
(KPI) ditetapkan dengan jelas. Prestasi entiti yang diswastakan akan
dinilai dan diaudit secara berkala untuk memastikan projek tersebut
mencapai piawai yang ditetapkan dan mematuhi KPI. Strategi penswastaan
dalam tempoh Rancangan adalah seperti berikut:
a) memperkukuhkan prosedur kelulusan;
b) memberi penekanan ke atas piawai prestasi;
c) memperkemaskan proses pelaksanaan;
d) meningkatkan daya maju melalui pengagihan risiko;
e) memperkukuhkan rangka kerja institusi dan kawal selia; dan
f) meningkatkan penyertaan Bumiputera.
Memperkukuhkan Prosedur Kelulusan
10.20
Usaha akan terus dilaksana bagi memperkukuhkan prosedur kelulusan,
termasuk mengkaji semula amalan dan keperluan semasa, memperkukuhkan
rangka kerja perundangan dan prosedur pentadbiran serta menambah baik
format yang seragam bagi terma dan syarat perjanjian penswastaan untuk
melindungi kepentingan awam dan negara. Pemilihan syarikat konsesi akan
melalui proses pembidaan dan projek yang dilaksanakan akan
didayausahakan oleh Kerajaan, berdasarkan keutamaan dan strategi negara
untuk memastikan kesan pengganda yang lebih besar serta meningkatkan
kualiti perkhidmatan. Di samping itu, syarikat konsesi yang berpotensi
akan dinilai dari segi kemampuan untuk melaksanakan projek dan
menyediakan perkhidmatan berdasarkan kecekapan, kualiti serta
kemampanan.
Memberi Penekanan Ke atas Piawai Prestasi
10.21
Langkah untuk menambah baik program penswastaan bagi meningkatkan
kecekapan serta manfaat operasi dan kewangan akan merangkumi perincian
spesifikasi output yang jelas untuk perkhidmatan yang akan disediakan.
Suatu sistem penyampaian berdasarkan prestasi akan dibangunkan untuk
memastikan perkhidmatan disediakan mengikut piawai prestasi yang
ditetapkan oleh Kerajaan. KPI akan diwajibkan dalam semua projek
penswastaan bagi memastikan syarikat konsesi melaksanakan tanggungjawab
mereka dengan berkesan. Sehubungan ini, caj dan semakan tarif akan
tertakluk kepada sistem ganjaran dan denda, di mana bayaran untuk
perkhidmatan akan dikaitkan kepada prestasi dengan mengenakan potongan
sekiranya tahap perkhidmatan tidak dicapai. Oleh itu, sistem ini akan
menjadi insentif kepada syarikat konsesi untuk menyediakan perkhidmatan
yang memenuhi piawai yang ditetapkan sepanjang tempoh projek bagi
memastikan syarikat konsesi mendapat balik sepenuhnya perbelanjaan
modal.
Memperkemaskan Proses Pelaksanaan
10.22
Dalam tempoh Rancangan, PFI akan diperkenal dalam melaksanakan projek
penswastaan. PFI melibatkan pemindahan kepada sektor swasta
tanggungjawab membiayai dan mengurus satu pakej pelaburan modal dan
perkhidmatan termasuk pembinaan, pengurusan, penyenggaraan, pembaikan
dan penggantian aset sektor awam seperti bangunan, infrastruktur,
peralatan dan kemudahan lain yang mewujudkan satu stand alone business.
Sektor swasta akan membangunkan aset dan menyediakan perkhidmatan
kepada pelanggan di sektor awam. Sebagai pulangan, sektor swasta akan
menerima bayaran dalam bentuk sewa pajakan yang selaras dengan tahap,
kualiti dan ketepatan masa perkhidmatan yang diberikan sepanjang tempoh
konsesi. Struktur bayaran sewa pajakan bagi projek PFI akan menjamin
pulangan sepenuhnya ke atas perbelanjaan pelaburan modal syarikat
konsesi, termasuk kos bayaran balik pinjaman dan keuntungan ke atas
pelaburan. Aset dan kemudahan tersebut akan dipindahkan kepada sektor
awam di akhir tempoh konsesi.
10.23
Memandangkan proses penilaian dan perolehan yang terlibat dalam
pelaksanaan PFI akan lebih diperincikan, terutamanya keperluan untuk
menjelaskan spesifikasi output, penyenggaraan, petunjuk prestasi dan
pengagihan risiko, satu rangka kerja berkesan untuk pelaksanaan akan
dibangunkan. Sehubungan ini, langkah akan diambil untuk mewujudkan
pembanding sektor awam dalam menilai cadangan dan menentukan
value-for-money berbanding pendekatan konvension.
10.24
Satu mekanisme yang berkesan akan dibangun untuk mempercepatkan proses
perolehan dan memenuhi kehendak perincian kontrak seperti yang
diperlukan dalam pendekatan PFI. Untuk membantu pembiayaan projek PFI
yang kebiasaannya mempunyai tempoh tunggu hasil yang panjang, langkah
juga akan diambil untuk mewujudkan skim pembiayaan jangka panjang
melalui institusi kewangan tempatan, termasuk Kumpulan Wang Simpanan
Pekerja. Memandangkan projek PFI adalah kompleks yang memerlukan
kemahiran serta khidmat sokongan yang baru, latihan intensif akan
disediakan untuk meningkatkan keupayaan dan kepakaran anggota sektor
awam yang terlibat dalam rundingan dan pemantauan projek.
10.25
Bagi memperkemaskan lagi proses pelaksaan , syarat baru akan dikenakan
untuk memastikan calun syarikat mendapat akses kepada modal , termasuk
memiliki modal berbayar minimum sebanyak RM250,000 semasa mengemukakan
cadangan projek dan bukti dokumentar sokongan kewangan
dikemukakan dalam tempoh dua belas bulan
selepas menandatangani perjanjian. Disamping itu , syarikat juga perlu
mengemukakan bukti kepakarn teknikal dan pengurusan.
Meningkatkan Daya Maju Melalui Pengagihan Risiko
10.26
Untuk meningkatkan daya maju dan kemampuan projek, penekanan akan
diberikan ke atas pengagihan risiko secara optimum antara sektor awam
dan swasta. Kerajaan akan terus membantu pelaksanaan projek,
terutamanya melalui perundangan dan bantuan kos tanah, manakala
keupayaan sektor swasta akan digunakan dalam mengurus risiko berkaitan
dengan reka bentuk, pembinaan, operasi dan penyenggaraan.
Memperkukuhkan Rangka Kerja Institusi dan Kawal Selia
10.27
Rangka kerja institusi dan kawal selia akan diperkukuhkan lagi untuk
melindungi kepentingan pengguna dan menjamin kecekapan dalam penyediaan
perkhidmatan oleh entiti yang diswastakan. Suruhanjaya Perkhidmatan Air
Negara (SPAN) akan menjadi badan kawal selia yang bertanggungjawab ke
atas perkhidmatan bekalan air dan pembetungan. Antara lain, SPAN akan
memastikan produktiviti perkhidmatan bekalan air dan pembetungan serta
pematuh pengendali terhadap piawai perkhidmatan dan obligasi kontrak
yang ditetapkan ke arah penyediaan perkhidmatan yang berkesan dan cekap
kepada pengguna. Sehubungan ini, semua entiti bekalan air akan
dikorporatkan dan dilesenkan oleh SPAN. Di bawah rejim pelesenan baru,
kadar caj yang dikenakan bagi perkhidmatan bekalan air akan ditentukan
oleh Kerajaan berdasarkan syor oleh SPAN. Bagi memastikan badan kawal
selia yang baru ditubuhkan ini berfungsi dengan berkesan, usaha akan
diambil bagi menyediakan perundangan dan sumber yang diperlukan serta
anggota yang mencukupi dengan kemahiran dan kepakaran yang bersesuaian.
10.28
Mekanisme pemantauan dan penilaian bagi agensi pelaksana akan
diperkukuh bagi memastikan syarikat yang diswastakan mematuhi
peruntukan dalam perjanjian penswastaan. Program latihan akan
disediakan untuk meningkatkan pengetahuan teknikal dalam penilaian dan
pengauditan prestasi projek.
Meningkatkan Penyertaan Bumiputera
10.29
Penswastaan akan terus diguna sebagai kaedah untuk memenuhi objektif
meningkatkan pemilikan ekuiti Bumiputera dalam sektor korporat. Bagi
tujuan ini, keperluan untuk memperuntukkan sekurang-kurangnya 30
peratus ekuiti usahawan Bumiputera dalam entiti yang diswastakan akan
terus dikuatkuasakan. Selain daripada sekatan ke atas penjualan saham
selama tiga tahun bagi perubahan struktur pegangan saham dan pemegang
saham, prosedur yang ketat akan terus diguna pakai dalam pemilihan
usahawan Bumiputera untuk mengelak penyusutan kepentingan Bumiputera
dalam syarikat yang diswastakan.
10.30
Peluang akan terus ditawarkan kepada usahawan Bumiputera untuk
mengambil bahagian dalam aktiviti perdagangan dan perindustrian bagi
entiti yang diswastakan melalui penetapan syarat sekurang-kurangnya 60
peratus daripada kontrak kerja diberi kepada usahawan Bumiputera.
Pemberian kerja kontrak akan diperketat supaya anak syarikat pemegang
konsesi utama dikecualikan. Pemegang konsesi akan terus disyarat untuk
menawarkan peluang pekerjaan kepada individu Bumiputera, terutamanya di
peringkat profesional dan pengurusan. Program pembangunan vendor dan
usahawan akan terus kekal sebagai ciri bersepadu program penswastaan.
Bagi memastikan keperluan penyertaan Bumiputera dilaksana dan dipantau
secara berkesan, satu pendekatan bersepadu akan diguna pakai bagi
memperkemaskan usaha mekanisme pemantauan sedia ada, termasuk badan
kawal selia berasaskan sektor.
IV : INSTITUSI PELAKSANA DAN PERUNTUKAN
10.31 Unit Perancang Ekonomi (UPE) akan menjadi agensi peneraju dalam merundingkan perjanjian penswastaan. UPE akan disokong oleh agensi pusat lain seperti Kementerian Kewangan, Jabatan Peguam Negara, Kementerian Kerja Raya, Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan dan agensi pelaksana yang berkaitan.
V : PENUTUP
10.32
Dalam tempoh RMKe-8, langkah baru telah diperkenalkan dan syarat yang
lebih ketat dikenakan dalam pelaksanaan program penswastaan bagi
memelihara kepentingan pengguna serta meningkatkan kecekapan dan
produktiviti. Dalam tempoh RMKe-9, program tersebut akan diperkemaskan
lagi dengan pemilihan projek akan dikenal pasti oleh Kerajaan dan
pemilihan syarikat konsesi akan dilaksana melalui
proses pembidaan. PFI akan diperkenalkan
dalam pelaksanaan projek penswastaan. Sehubungan ini, penggunaan KPI,
pengagihan risiko dan penyenggaraan akan meningkatkan penyampaian
kemudahan infrastruktur dan perkhidmatan awam. Suatu sistem penyampaian
berasaskan prestasi akan dilaksana di mana caj dan semakan tarif akan
tertakluk kepada satu sistem ganjaran dan denda. Skim pembiayaan
jangkapanjang akan diwujudkan melalui institusi kewangan tempatan,
termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja. Program penswastaan akan terus
digunakan untuk menyokong dan meningkatkan lagi penyertaan usahawan
Bumiputera dalam ekonomi.
Di pos oleh Arbain Muhayat pada 20 December 2008